November 27th, 2015

Khutbah Jumaat ~ Pengurusan dan Pengisian Masa Cuti Sekolah

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 27 November 2015:JAIS

Pengurusan dan Pengisian Masa Cuti Sekolah


Cuti sekolah kembali lagi. Inilah masa yang ditunggu-tunggu oleh anakanak yang bersekolah lantaran mereka tidak lagi terikat dengan buku-buku pelajaran, aktiviti kokurikulum atau pun kelas tambahan.

Hadis daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Dua nikmat yang sering memperdaya manusia; Kesihatan dan kelapangan masa”. (Riwayat Imam Bukhari)

Masa itu ibarat emas.  Perkara yang paling berharga setelah memiliki iman dan islam dalam diri adalah masa.

Umat Islam yang tidak tahu menghargai masa, tidak mungkin akan menjadi umat yang maju malah menjadi umat yang rugi.

Firman Allah SWT dalam surah al-Asr ayat 1-3:“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar”

Ibubapa yang bijak akan menguruskan masa anak-anak dengan sebaik-baiknya. Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka kedua-dua ibu bapanyalah yang akan menjadikan anak itu seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi”. (Riwayat al-Bukhari).

Sebagai perkongsian pandangan kepada para jemaah khususnya yang mempunyai anak-anak bersekolah, khatib pada hari ni menyenaraikan aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang cuti sekolah.

1. Mempelajari al-Quran dan kelas-kelas Fardu Ain yang menjadi kewajipan kepada mereka dalam usaha untuk mencari ilmu yang tidak terhad pada waktu persekolahan semata-mata bahkan ia boleh diperolehi tanpa mengira tempat dan masa.

2. Melancong dan berkelah; Melalui aktiviti ini, ia dapat memberi peluang kepada mereka untuk mengenali dunia luar sekali gus melihat keindahan alam ciptaan Allah s.w.t. Kata orang, jauh berjalan, luas pandangan. Melawatlah ke mana-mana sahaja. Asalkan tempat itu bukanlah tempat maksiat dan juga tempat yang boleh merosakkan aqidah dan akhlak.

3. Kem Cuti Persekolahan; Program seperti ini biasanya dianjurkan oleh pihak sekolah, syarikat swasta, NGO-NGO, komuniti setempat termasuk di sesetengah masjid. Program ini biasanya memuatkan pelbagai aktiviti yang berasaskan motivasi, sahsiah, agama, kerohanian, akhlak, ibadah, jati diri, sosial dan seumpamanya. Di samping mendapat ilmu baharu, anak-anak boleh mengenali rakan-rakan baharu di kem-kem yang disertai.

4. Kelas tambahan; Ia merupakan cadangan yang positif terutamanya kepada anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan awam seperti UPSR, PT3 dan SPM pada tahun berikutnya.

5. Kursus jangka pendek; Bagi meningkatkan kemahiran anak-anak, ibu bapa boleh mendaftarkan mereka ke institusi-institusi yang menganjurkan kursus jangka pendek mengikut minat mereka seperti kelas ICT, kelas Bahasa Inggeris, kelas seni bela diri, kelas renang dan seumpamanya.

Kemahiran-kemahiran seperti ini sangat bermanfaat sebagai satu kaedah dalam memperkembangkan bakat anak-anak seiring dengan pencapaian akademik.

Khatib juga ingin berpesan kepada anak-anak, janganlah sama sekali menghabiskan masa cuti sekolah dengan perkara yang tidak berfaedah.

Perkara-perkara negatif sebenarnya tidak membantu dalam memperkembangkan potensi diri bahkan memberi kemudharatan kepada diri sendiri. Contohnnya; Menonton siaran dan program di televisyen tanpa pengawasan, bermain permainan video dan telefon pintar tanpa had masa, berjumpa kawan-kawan tanpa mengira siang dan malamserta mengabaikan solat, juga menghabiskan masa di kafe cyber dan pusat membeli belah dan lain-lain lagi.

Sesungguhnya, setiap mukmin yang bertaqwa akan menghargai setiap detik dan masa.  Salah satu daripada lima perkara yang telah dipesan oleh Rasulullah SAW iaitu ‘ingatlah masa lapangmu sebelum masa sibukmu’ perlulah direnungkan bersama-sama agar di akhirat nanti kita tidak akan kerugian.

“Wahai orang-orang Yang beriman! bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa Yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). dan (sekali lagi diingatkan): bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan Segala Yang kamu kerjakan”. (Surah al-Hasyr : 18)

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ Jihad Mempertahankan Akidah

Sedutan Petikan Teks Khutbah Jumaat  27 November 2015M/ 15 Safar 1437H JAWI

Jihad Mempertahankan Akidah

Sesuatu yang paling berharga yang diberikan oleh Allah kepada seorang hamba adalah akidah yang benar. Akidah ini kekal segar dalam diri apabila ilmu dan taqwa dibaja setiap masa.

Akidah Islam yang benar harus dipelihara dan dipertahankan. Lebih-lebih lagi di saat merebaknya pelbagai fitnah yang mampu menggugat akidah.

Rasulullah SAW pernah memberi gambaran tentang betapa ramai umatnya yang akan terjerumus dalam kesesatan disebabkan mereka tidak memelihara serta membentengi akidah agar bertepatan dengan kehendak Allah SWT dan NabiNya. Hanya ada satu golongan sahaja yang akan terselamat iaitu mereka yang dikenali sebagai Al-Jamaah.

Hal ini dipastikan melalui pengkhabaran Rasulullah SAW melalui Muawiyah bin Abi Sufyan yang diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa Bermaksud : “Ketahuilah sesungguhnya manusia sebelum kamu dari Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) terpecah menjadi 72 (tujuh puluh dua) golongan dan sesungguhnya ummat ini akan berpecah belah menjadi 73 (tujuh puluh tiga) golongan, (adapun) yang tujuh puluh dua akan masuk Neraka dan yang satu golongan akan masuk Syurga, yaitu Al-Jamaah.”

:Perpecahan demi perpecahan dari sudut akidah kian ketara seiring berkembangnya dunia Islam serta pertambahan penganutnya dari semasa ke semasa. Muktazilah, Qadariah, Murjiah, Syiah, Khawarij dan pelbagai lagi label yang menjadi pengenalan kepada kelompok-kelompok tertentu dalam kalangan umat Islam.

Akidah yang benar sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW iaitu Al-Jamaah atau lebih dikenali kini dengan nama Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ahli yang dimaksudkan ialah para penganut atau pengikut. Sunnah pula ialah segala apa yang datang dari Nabi Muhammad SAW sama ada perkataan, perbuatan, sifat, dan taqrirnya (pengakuannya).

Ahli Sunnah ialah mereka yang mengikut dan mempertahankan sunnah Rasulullah SAW.

Al-Jamaah pula ialah ialah jalan para sahabat dan tabi’in (orang yang hidup selepas mereka), maka lahirlah istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah orang yang mengikuti petunjuk Rasulullah SAW dan para sahabat serta tabi ‘in yang sepakat di atas kebenaran berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.

Menurut ijmak Ahli Sunnah Wal Jamaah, terdapat tiga perkara yang akan meruntuhkan akidah yang benar ini.

Pertama : Menolak, menafi atau mengingkari hakikat Islam, sama ada kerana kejahilan, sangkaan, ikut-ikutan atau kerana sememangnya disengajakan, walaupun mengetahui kebenarannya. Antara ciri-ciri mereka yang sedemikian adalah dengan mengamalkan bentuk-bentuk kesyirikan, meragui Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber pengambilan hukum utama dan mengamalkan unsur agama selain Islam sebagai sebahagian dari kehidupan.

Kedua: . Keterlaluan yang berpunca dari fanatik dan hawa nafsu sehingga sanggup menolak, menafi atau mengingkari kebenaran Islam. Kelompok ini mendewa-dewakan sebahagian manusia sehingga menganggap mereka itu maksum. Ada pula yang keterlaluan menghina seseorang seperti menghina para sahabat RA dan ulamak atau golongan yang tidak sealiran dengan mereka.

Ketiga: . Tidak berlapang dada dan menghormati orang lain. Berpegang kepada tafsiran yang batil, yang tidak berdasarkan kepada kaedah-kaedah bahasa Arab dan syara’, yang didorong oleh rasa fanatik dan hawa nafsu selain dari kelemahan iman.

Allah SWT menerusi Surah Al-Ankabut, ayat 69:  Bermaksud : “Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benarbenar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.”

Bertepatan dengan seruan Allah SWT iaitu berjihad mencari kebenaran dalam konteks akidah, maka mimbar menyeru untuk kita berjihad mempertahankan akidah dengan melaksanakan beberapa perkara secara tekun dan berterusan :

Pertama : Bermuhasabah dengan akidah yang kita berpegang sekarang ini, adakah benar atau tidak.

Kedua : Berlapang dada dan besederhanalah dalam melaksanakan tuntutan agama.

Ketiga : Selidiki ajaran berkaitan akidah yang sampai kepada kita.

Keempat : Berhati-hati dalam menyebarkan maklumat yang berkaitan dengan akidah.

Sebagai penutup tirai khutbah pada hari ini, mimbar ingin berpesan beberapa perkara :

Pertama : Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan akidah yang sebenar warisan daripada Rasulullah SAW, para sahabat baginda RA dan para tabi’in.

Kedua : Pengambilan sumber hukum kepada akidah ini hendaklah jelas daripada AlQuran dan As-Sunnah yang sahih dengan penafsiran dan pentakwilan daripada ulamak yang muktabar.

Ketiga : Peliharalah dan berjuanglah mempertahankan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah ini sehingga ke hembusan nafas kita yang terakhir.

Firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’, ayat 175 Bermaksud : “Adapun orang-orang yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepada agamaNya niscaya Allah akan memasukkan mereka ke dalam rahmat yang besar dariNya (syurga) dan limpahan karuniaNya. Dan ditunjuki mereka kepada jalan yang lurus (untuk sampai) kepadaNya.”

Wallahualam.

Pengalaman 
di ‘neraka dunia’

BAGAIMANA dalam pasca dunia yang mana penghuninya dikatakan sudah sempurna akal, menyanjung prinsip kehidupan demokrasi, kebebasan, keadilan dan kesaksamaan sejagat boleh membiarkan sebuah negara serta bangsa lain hidup bagaikan dalam sebuah neraka?

Sukar dipercayai tetapi itulah realiti yang dilihat dan dirasai sendiri sepanjang 15 hari berada di Palestin baru-baru ini. Datang dengan misi penggambaran 30 hari tetapi terpaksa dipendekkan lantaran keengganan agensi perisikan Israel untuk melanjutkan tempoh perjalanan dan penggambaran kami di bumi Palestin.

Kekejaman ‘halal’ terancang, Palestin terus ditindas

HAMPIR setiap hari pasti ada rakyat Palestin yang mati syahid dan seluruh penduduk lazimnya akan bercuti untuk mengiringi jenazah ke makam syuhada.

Tiada pilihan, selain meninggalkan bumi yang penuh barakah ini. Sedih, dukacita dan kesal. Pun begitu, selama 15 hari di sana, saya pulang membawa bingkisan pengalaman untuk tatapan semua pihak.

Di sebalik peristiwa berdarah yang sudah meragut puluhan nyawa rakyat Palestin oleh tentera Zionis Yahudi sejak lebih dua bulan lalu, kebanyakannya adalah remaja Palestin sementara puluhan yang lain cedera dan ditangkap. Mereka kini berhadapan dengan satu lagi ujian yang dilihat sesetengah pihak bakal mencetuskan intifada ketiga.

Selagi tidak dihentikan, angka korban akan terus meningkat. Di sebalik kematian, kecederaan dan kekerasan itu terdapat fenomena luar biasa lain yang kurang diketahui umum, iaitu yang  mendorong saya menggelarkan Palestin sebagai neraka!

NERAKA DUNIA



JENAZAH syuhada masih elok walaupun sudah 14 tahun dikebumikan di Tanah Perkuburan Syuhada Aziz al-Sheikh, Hebron.

Kenapa? Apa sebenarnya yang berlaku dan dialami rakyat Palestin? Mengambil pemahaman mudah neraka sebagai sebuah tempat yang penuh dengan kesakitan dan menakutkan. Sejak 1948 apabila tertubuhnya negara Israel, Palestin dan rakyatnya sudah mendiami sebuah neraka. Kekalahan negara-negara Arab dalam Perang Enam Hari dengan Israel pada 1967 hanya menambah lagi luka penderitaan mereka. Sejak itu kayu dan api yang membakar rakyat Palestin tidak pernah padam malah bertambah marak sampai ke saat ini. Keadaannya sangat dahsyat dan menyedihkan.

Kayu dan api neraka yang saya maksudkan di sini ialah pelbagai bentuk kekejaman yang dilakukan pihak Zionis Yahudi Israel, 24 jam  sehari, 12 bulan setahun dan sudah selama 67 tahun ia berlangsung.



SETIAP masa penduduk Palestin terpaksa menyabung nyawa kerana sentiasa terdedah kepada keganasan dan kekejaman tentera Israel.

Kekejaman ini dilakukan secara terancang, digubal di parlimen, dikuatkuasakan dan menjadi undang-undang yang perlu dipatuhi setiap warga Palestin tanpa disoal.

Sepanjang 15 hari di bumi berdarah ini, selain diceritakan oleh rakyat Palestin sendiri, saya kemudian melihat dan merasai antara  bentuk penindasan dan kekejaman yang dalam fikiran dan pengetahuan saya tidak wujud di negara lain. Saya hanya mampu memberikan beberapa bukti penindasan dan kekejaman daripada senarainya yang panjang yang membelenggu setiap saat dalam kehidupan rakyat Palestin. Ia berlaku dalam setiap aspek kehidupan rakyat Palestin.

Rakus merampas harta



PEMANDANGAN rakyat Palestin terutamanya remaja yang diherdik oleh tentera Israel semasa melalui pusat pemeriksaaan merupakan perkara biasa.

Kebanyakan tapak penempatan Yahudi Israel sekarang dahulunya milik rakyat Palestin yang dirampas secara kejam. Saya dimaklumkan bahawa pendatang-pendatang Yahudi mengarahkan rakyat Palestin merobohkan rumah mereka sendiri jika tidak mereka terpaksa menanggung kos meroboh yang bakal dilakukan. Tindakan pelik tapi kejam ini dilakukan dengan kerjasama pihak tentera dan polis.

Kami dimaklumkan bagaimana pendatang Yahudi akan bergerak dari atas bukit turun ke kawasan ladang seperti taktik kumpulan dubuk menyerang mangsanya. Mereka yang bersenjata akan membakar, menculik malah sampai ke tahap membunuh peladang Palestin sebelum merampas dan mendirikan penempatan baru mereka.

Pembinaan tembok pemisah Israel sepanjang lebih 730 kilometer dengan ciri-ciri keselamatan canggih dan dibina dengan kos berbilion dollar Amerika Syarikat adalah kemuncak segala penindasan dan kekejaman Zionis Israel ke atas Palestin dan rakyatnya. Saya menyifatkannya sebagai Tembok Neraka.



PALESTIN walaupun bentuk muka buminya berbukit-bukau tetapi ia amat subur dan sesuai ditanam dengan pelbagai jenis tanaman berkualiti tinggi.

TEMBOK NERAKA

Terdirinya tembok ini sejak 2002 benar-benar menderitakan rakyat Palestin kerana mereka seolah-olah terhimpun dalam sebuah wilayah yang berpagar tinggi mencecah enam meter, kalis bom dan dikawal 24 jam oleh tentera Israel.

Dengan segala bentuk penindasan dan kekejaman yang dikuatkuasakan sebagai peraturan dan undang-undang, rakyat Palestin tiada pilihan selain hidup menanggung penderitaan dan kesengsaraan yang maha dahsyat sehingga akhir hayat mereka.



SISTEM dan kualiti pendidikan di Palestin merupakan antara yang terbaik di Timur Tengah meskipun tidak mempunyai kemudahan prasarana yang mencukupi akibat kekangan daripada Israel.

Terbaru, ahli-ahli politik Israel dikhabarkan sudah mengeluarkan arahan membenarkan setiap warga Yahudi Israel memiliki senjata api untuk menembak rakyat Palestin. Tidak hairanlah angka korban dalam kalangan rakyat Palestin terus meningkat.

Hari ini rakyat Palestin bukan sahaja dibunuh oleh askar mahupun polis Israel tetapi juga oleh penduduk Yahudi. Ternyata, rakyat Palestin ditekan dengan pelbagai bentuk penindasan dan kekejaman meliputi aspek mental dan fizikal, ekonomi, taraf hidup, pendidikan, kesihatan dan sebagainya.



PENDUDUK Palestin mengibarkan Jalur Gemilang bersama dengan bendera Palestin di celah-celah sisa bangunan runtuh akibat dibedil oleh Israel.

Apa yang saya kemukakan di sini hanyalah sebahagian kecil bukti-bukti penindasan dan kekejaman yang meliputi pencabulan hak-hak asasi manusia dalam pelbagai bidang dan di sinilah berlakunya jenayah pembunuhan yang dirancang.

SABUNG NYAWA


RAMAI kanak-kanak Palestin menjadi yatim piatu kerana ibu bapa mereka dibunuh secara zalim oleh Israel.

Setiap waktu sepanjang berada di sini kami berkesempatan melihat ratusan tentera yang lengkap bersenjata dan penembak tepat Israel berkawal, helikopter dan jet pejuang berlegar 24 jam di udara, bunyi letupan senjata api dan juga siren ambulans sentiasa memecah keheningan hari tanpa mengira waktu.

Di sana-sini kelihatan rakyat Palestin ditahan, diherdik dan disepak terajang, lebih daripada itu kami juga mendengar suara-suara perkauman melampau daripada dalam kereta terhadap rakyat Palestin yang berjalan kaki.

Kami juga berpeluang menghadiri majlis pengebumian rakyat Palestin yang ditembak mati tentera Israel. Yang mati dianggap syuhada dengan seluruh penduduk akan bercuti dan berarak mengiringi jenazah ke makam syuhada.



PANORAMA Masjidil Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat Islam memang menakjubkan dan menyentuh perasaan siapa sahaja yang melihatnya.

Kami turut diberi peluang untuk melihat jenazah seorang syuhada di dalam liang lahad di Tanah Perkuburan Syuhada Aziz al-Sheikh, Hebron yang masih belum hancur walaupun sudah 14 tahun dikebumikan sambil menyedut bau wangi di sekitarnya, Subhanallah!

Kami juga berkesempatan menziarahi sebuah keluarga yang kehilangan dua anak lelaki angkara kekejaman Zionis Yahudi. Seorang ditembak mati manakala seorang lagi masih di dalam penjara Israel, lebih mengharukan beliau dijatuhi hukuman penjara selama 1,800 tahun, satu tempoh yang tidak masuk akal!.

Dengan 1,001 bentuk penindasan dan kekejaman di bumi penuh berkat ini, saya tidak melihat sedikit pun rasa takut dan gentar dalam kalangan rakyat Palestin untuk terus hidup dalam neraka ini. Rata-rata penduduk Palestin memberitahu, kami akan mempertahankan tanah air ini sehingga ke titisan darah yang terakhir walaupun tanpa sebarang bantuan dari luar.


PIHAK berkuasa Palestin mengawal kubur bekas Presiden Palestin, Yasser Arafat di Ramallah.

Contoh penindasan

Kemudahan awam seperti tempat menunggu bas di Palestin dibina berbeza. Biasanya yang lebih baik adalah untuk rakyat Israel yang dikawal pihak tentera sepanjang waktu, warga Palestin dilarang menggunakannya. Kemudahan sistem pengangkutan awam seperti LRT dan MRT juga hanya untuk rakyat Israel sementara rakyat Palestin terpaksa menggunakan kemudahan awam seperti bas dan teksi yang serba mundur.



TANAH perkuburan Yahudi daripada puncak bukit Zaiton, bersebelahannya merupakan penempatan haram mereka yang jauh lebih tersusun dan serba moden berbanding rakyat Palestin.

Kemudahan jalan raya moden juga dikhaskan untuk rakyat Israel dan mereka yang tinggal di Jerusalem sahaja sementara rakyat Palestin terpaksa menggunakan jalan raya yang berliku-liku merentasi cerun dan bukit berbahaya - jaraknya lebih jauh dan memakan masa yang panjang.

Keadaan jalan untuk warga Palestin juga daif tanpa sebarang kerja selenggaraan. Rakyat Palestin yang tinggal dalam wilayah-wilayah tertentu dibezakan dengan warna plat kenderaan khusus, sekaligus membataskan perjalanan mereka. Hijau untuk warga Palestin, kuning bagi Israel.

Mereka yang tinggal di wilayah Hebron tidak boleh memasuki Jerusalem, sekali gus tidak boleh memasuki Masjidil Aqsa. Perbezaan warna plat ini memudahkan pihak berkuasa Israel mengenakan pelbagai tindakan terhadap rakyat Palestin. Mereka yang tidak bernasib baik akan dikenakan pelbagai hukuman termasuk kehilangan lesen memandu, ditarik status warganegara, dipenjara dan sebagainya.




TENTERA Israel menahan seorang penduduk Palestin yang didakwa terlibat dalam kejadian mencederakan penduduk Israel. -

SEKATAN PERJALANAN

Dikenakan terhadap mana-mana rakyat Palestin yang ingin ke luar negara, mereka perlu mendapatkan kebenaran dari Kementerian Dalam Negeri Israel dan kebenaran ini sesuatu yang sukar diperoleh. Bagi mana-mana keluarga para syuhada yang menentang Israel atau yang pernah ditangkap dan dipenjarakan, kebenaran perjalanan ini diharamkan, tidak dibenarkan sama sekali keluar dari wilayah apatah lagi untuk keluar dari Palestin. Selain itu, banyak kes yang mana warganegara Palestin yang ke luar negara dihalang untuk kembali tanah air sendiri.

Tindakan itu ternyata berjaya memutuskan hubungan antara ahli-ahli keluarga rakyat Palestin dan disifatkan sebagai strategi ‘Penghapusan Silaturahim’ yang sangat berkesan.

NEGARA CHECK POINT

Turut diwujudkan pusat pemeriksaan atau check point di mana-mana dalam wilayah Palestin termasuk dalam wilayah pentadbiran Pihak Berkuasa Palestin atau PA sendiri. Sekatan ini sangat menyeksakan kehidupan rakyat apabila terpaksa menempuh kesesakan yang amat teruk dan mengambil masa berjam-jam untuk sampai ke satu-satu destinasi setiap hari.

Seorang pelancong dari Belanda menggelarkan Palestin sebagai negara check point kerana jumlahnya yang begitu banyak. Dalam tempoh konflik seperti sekarang bilangannya meningkat dengan banyaknya semata-mata untuk menyekat kebangkitan rakyat Palestin.



RAMAI kanak-kanak Palestin menjadi yatim piatu kerana ibu bapa mereka dibunuh secara zalim oleh Israel.

CUKAI MELAMPAU

Rakyat Palestin dikenakan cukai yang sangat tinggi iaitu cukai Palestin dan Israel. Mereka perlu membayar kedua-duanya. Walaupun cukainya tinggi, rata-rata wilayah dan rakyat Palestin ketinggalan tanpa sebarang pembangunan. Kawasan Palestin dibiarkan tanpa sebarang pembangunan dan kurangnya kemudahan.

Kotor dengan sampah sarap, kemudahan bekalan air dan elektrik yang tidak sempurna, kurangnya kemudahan awam seperti taman dan pusat rekreasi, maka kelihatanlah anak-anak Palestin menjadikan jalan raya sebagai tempat bermain, masjid-masjid yang terbiar usang, kemudahan klinik dan hospital yang terhad, begitu juga keadaan sekolah dan institusi pendidikan yang serba mundur tanpa dana bantuan.

Sementara itu adalah mudah untuk membezakan antara penempatan rakyat Palestin dan rakyat Israel. Kawasan dan bentuk kediaman antara kedua-duanya sangat berbeza.

Biasanya rumah dan bangunan milik Yahudi jauh lebih cantik dan besar saiznya, terletak di lereng-lereng bukit dan tepi pantai menjadikannya lebih selesa dan mewah berbanding rakyat Palestin.

Jihad bukan hanya berperang

DASAR utama yang diperjuangkan oleh Islam adalah mewujudkan kedamaian dan kesejahteraan kepada semua. Keganasan, permusuhan, pembunuhan dan perpecahan bukan ajaran Islam. Pengertian kalimah Islam itu sendiri sudah membawa makna penyerahan, kedamaian dan kesejahte­raan abadi untuk sekalian alam. Perkataan Islam berasal da­ripada bahasa Arab yang bermaksud tunduk, patuh dan juga selamat, sejahtera serta damai.

Oleh yang demikian, jangan sebab segelintir orang Islam melakukan jenayah, seluruh umat Islam dilabel sebagai pengganas, pemberontak dan pelbagai gelaran antagonis. Penganut agama lain turut melakukan jenayah, pembunuhan dan kekejaman.
Namun akibat prejudis dan double standard terutama­nya media Barat, insiden yang kononnya dilakukan oleh orang Islam pantas dijaja dan dikaitkan dengan keganasan. Sehinggakan tindakan penduduk Palestin yang menjadi pengebom berani mati sebagai salah satu cara mempertahankan negara dan agama juga digelar pengganas oleh media Barat. Padahal media dan masyarakat dunia menyaksikan bagaimana kejam dan zalimnya rejim zionis. Mereka bukan sahaja membunuh rakyat Palestin tetapi merampas tanah dan rumah, mengebom kediaman orang awam, memenjarakan kanak-kanak dan melakukan macam-macam lagi jenayah.

Sebab itu, dalam insiden serangan di Paris pada 13 November lalu umat Islam seluruh dunia turut sama mengutuk dan mengecam tindakan tersebut. Ini bukan cara yang diajar oleh Islam walau atas apa alasan sekalipun termasuk jika ada yang mengaitkannya dengan jihad. Orang yang melakukan serangan sedemikian mungkin muslim tetapi mereka bukan mukmin.
Jihad adalah perkataan dalam bahasa Arab yang bermaksud berusaha keras dan bersungguh-sungguh dalam me­lakukan sesuatu.
Secara keseluruhan jihad bererti mencurahkan kemampuan dan kekuatan dengan ‘berperang’ di jalan Allah SWT dengan jiwa, harta dan lisan. Ia bertujuan memakmurkan bumi dengan syariat Allah SWT. Namun, masyarakat masa kini sering mengaitkan jihad sebagai ‘mengangkat senjata’ atau berperang.

Umat Islam dibenarkan berperang hanya selepas mereka ditindas dengan kekerasan dan diserang oleh musuh Islam iaitu kafir Qurasiy sebagaimana yang menimpa Nabi SAW semasa Baginda di Mekah. Ekoran itu, Allah menurunkan ayatnya yang bermaksud: Telah diperkenankan untuk meng­angkat senjata bagi mereka yang telah diperangi, disebabkan mereka telah diperlakukan dengan aniaya dan sesungguhnya Allah berkuasa menolong mereka. (al-Hajj: 39)
Para ulama sependapat ini adalah ayat pertama yang memberi izin kepada umat Islam mengangkat senjata mempertahankan diri mereka. Namun, umat Islam hanya boleh mengangkat senjata untuk membela diri terhadap mereka yang terlebih dahulu menyerang dan hanya jika umat Muslim memang tertindas dan teraniaya. Hal inilah yang menjadi inti pati penting dalam jihad Islamiah yang banyak di­salah-ertikan sekarang.
Islam tidak memerintahkan umatnya memerangi semua orang yang tidak menerima dakwahnya. Jika mereka sudi hidup berbaik-baik dengan orang Islam, maka mereka akan diberi hak dan tanggungjawab sama seperti yang diperoleh oleh umat Islam yang lain. Ini dibuktikan oleh Islam sepanjang sejarah pemerintahan dan kekuasaannya dahulu. Malah tercatat dalam sejarah Islam lampau bahawa kementerian tertentu di bawah kekuasaan Islam diketuai oleh orang bukan Islam yang mahir dalam bidang yang berkenaan.

Tindakan segelintir orang Islam seperti kumpulan militan Negara Islam (IS) yang didakwa mencetuskan keganasan di beberapa lokasi termasuk di Paris minggu lalu tidak mewakili umat Islam secara keseluruhan. Sebaliknya ia memberi persepsi yang salah tentang agama Islam sebagai agama yang membawa rahmat ke sekelian alam.
Perbuatan itu juga menjejaskan peluang ribuan pela­rian Islam dari Syria untuk mendapat perlindungan sementara di negara-negara Eropah berikutan krisis yang berlaku di negara tersebut. Menyebar dan mencetus keganasan atas nama jihad adalah suatu kesilapan. Bentuk jihad untuk menghadapi golongan kafir adalah bergantung kepada keadaan. Islam bukanlah agama yang keras dan kaku. Ia memandu umatnya supaya bertindak sesuai dengan situasi serta kemampuan yang ada. - MOHD. RADZI MOHD. ZIN Utusan Malaysia Rencana 20 November 2015 1:32 AM

Allah sayangkan hamba-Nya, Jadikan musibah pencetus semangat, bukan mati akal

Jadikan musibah pencetus semangat, bukan mati akal

Prinsip hidup sebagai umat beragama Islam adalah 'hidup adalah ujian'. Setiap orang pasti diuji dan setiap ujian pasti ada penyelesaiannya. Sama ada keputusan itu membawa kepada kejayaan mahupun kegagalan, ia mendidik manusia untuk berusaha dan reda kepada ketentuan Tuhan.

Menerangkan mengenai prinsip kehidupan sebagai ujian ini, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerangkan bahawa pemilik ujian adalah Allah SWT dan yang diuji adalah manusia menerusi Program Islam Itu Indah di IKIMfm.

Katanya, kayu ukur kepada kejayaan mengharungi ujian adalah memperoleh reda Allah SWT dan diberi ganjaran syurga-Nya. Sebaliknya, jika gagal akan mendapat murka Allah dan diazab ke dalam neraka-Nya. Sesungguhnya dijadikan mati dan juga hidup untuk menguji manusia.

Ujian berlaku dalam dua bentuk. Bentuk pertama adalah ujian kepada sesuatu yang disukai dan kedua ujian kepada sesuatu yang tidak disukai atau lebih dikenali sebagai musibah.

Ujian kekayaan lebih sukar

Musibah adalah ujian, tetapi tidak semua ujian diklasifikasikan sebagai musibah. Contohnya, antara kaya dengan miskin.

Kaya itu ujian tetapi kemiskinan juga ujian dan tergolong dalam kategori musibah.

Namun, ujian dalam kekayaan itu jauh lebih sukar daripada musibah kemiskinan.

Saat ditimpa musibah perlu kepada sabar. Bagaimanapun, untuk menempuh ujian berdepan kesenangan yang perlu kepada syukur. Sesungguhnya tidak dapat disangkal makam kedudukan syukur lebih tinggi daripada sabar.

Kebanyakan orang yang ditimpa musibah merasakan bahawa hanya dirinya yang dirundung musibah. Mereka beranggapan bahawa diri mereka paling malang, menderita dan teraniaya akibat ditimpa musibah sehingga hilang semangat dan putus asa untuk meneruskan kehidupan.

Elakkan berasa hanya kita seorang saja ditimpa musibah di dunia ini kerana hakikatnya ramai orang menerima musibah dengan cara dan keadaan berbeza.

Percayalah, pada saat diri mula sedar bahawa bukan diri ini saja yang menerima musibah maka akan lahir semangat untuk berjuang melepaskan diri daripada cengkaman musibah itu.

Allah mengubati kesedihan Rasulullah ketika berdepan dengan kematian dua insan tercinta, bapa saudaranya, Abu Talib dan isteri, Siti Khadijah dengan mengutuskannya dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

Dalam peristiwa itu, Rasulullah SAW dipertemukan dengan Nabi dan Rasul. Tidak ketinggalan Baginda berjumpa dengan Nabi yang diuji seperti Nabi Musa, Nabi Luth dan lain-lain.

Pertemuan itu adalah cara menghilangkan kedukaan Baginda kerana melalui pertemuan itu, secara tidak langsung ia membina kekuatan Rasulullah SAW.

Persiap diri terima ujian genting

Sentiasa tanamkan dalam diri saat diuji bahawa ada insan yang diuji dengan lebih sukar. Beringat selalu ketika berasa terlalu sukar bertahan, Nabi berdepan sukar yang lebih mencabar.

Bak kata bijak pandai, "Usah mengeluh jika berjalan tanpa kasut, kerana ada yang berjalan tidak berkaki". Rasulullah SAW mendidik sahabat yang paling awal beriman kepada Allah di Makkah, untuk bersedia menerima ujian yang paling genting.

Mengikut sirah, sahabat yang memeluk Islam pada peringkat awal itu terdiri daripada golongan marhain. Sehingga terdapat seorang sahabat bernama Kabab bin Ararat yang menerima ujian yang sangat berat.

Dikisahkan beliau menerima ujian yang benar-benar menguji keimanannya. Beliau adalah seorang hamba dan disebabkan beliau beriman kepada Allah lantas beliau diseksa oleh tuannya dengan membakar tubuhnya sehingga menitiskan lemak di badannya.

Akibat terlalu panas, titisan lemak daripada badannya yang terbakar itu memadamkan api. Apabila berasa terlalu berat dan dahsyat ujian yang diterima, lalu beliau bertemu dengan Rasulullah dan mengadu tentang nasibnya.

Beliau meminta Rasulullah SAW memohon kepada Allah sebarang bantuan yang mampu meringankan beban seksaan dan ujian yang menimpanya.

Seraya Rasulullah menjawab bahawa orang yang terdahulu daripadanya lebih diuji iaitu Nabi Yahya dan Nabi Zakaria yang digergaji sehingga terbelah dua tubuhnya.

Begitulah Rasulullah SAW membesarkan jiwa sahabat dengan cita-cita yang besar kerana cita-cita yang besar akan mengecilkan ujian yang dihadapi.

Fitrah umat Islam bercita-cita besar

Seseorang yang terkesan dengan ujian dengan cara yang negatif akan mudah putus asa dan cepat patah semangat. Itu petanda diri individu terbabit tiada cita-cita yang besar.

Sebagai umat Islam, sememangnya secara fitrah bercita-cita besar iaitu inginkan syurga Allah SWT dan menegakkan Islam di atas muka bumi ini. Pahrol berkata, anak kecil sakit pasti ibu bapa akan memberikan ubat.

Semestinya kanak-kanak tidak menyukai ubat disebabkan rasanya yang pahit dan tidak enak. Namun, ibu bapa akan tetap memaksa anak kecil itu menelan ubat.

Bagi ibu bapa yang penyayang, pengambilan ubat itu akan diteruskan juga dengan seribu daya dan cara walaupun anak itu memberontak dan menangis.

Mustahil ibu bapa mengikut kehendak anak yang enggan makan ubat hanya kerana rasanya pahit. Kasih sayang ibu bapa ada pada ubat yang pahit. Asbab ubat itu akan memberi kesembuhan kepada anak yang mereka sayang.

Memang rasanya pahit tapi itu yang terbaik. Ujian itu pahit, namun kerana Allah itu Maha Penyayang maka diberikan buat hamba-Nya sebagai penawar paling mujarab untuk kehidupan mendatang.

Allah sayangkan hamba-Nya

CUMA tinggal seminggu majlis pernikahannya akan berlangsung. Kini hanya perlu mencukupkan mana-mana yang belum disempurnakan.

Ayah Zaifa sudah tidak sabar-sabar untuk berjabat tangan dengan bakal menantunya. Bukan apa, maklumlah menantu tunggal. Zainal tidak punya ramai anak, Zaifa adalah puteri dan hero.

Setiap sesuatu pasti ada hikmah


MANUSIA yang beriman dapat memahami bahawa setiap ujian adalah tanda Allah sayang kepadanya, malah ia ruang untuknya muhasabah diri sekali gus meningkatkan keimanan. - GAMBAR HIASAN


Namun dalam kegembiraan itu, jauh di sudut hati Zainal perasaan sedih bertandang.

Dia akan kembali hidup berdua sebagaimana dia memulakan hidup bersama isterinya di awal perkahwinan dulu.

Zaifa bukan lagi di bawah tanggungjawabnya, tugasnya bakal diambil alih oleh bakal menantunya.

“Menung panjang nampak,” tiba-tiba Zaifa mengejutkan lamunan si ayah.

Si ayah lantas tersenyum dan berkata: “Tak lama lagi anak ayah akan jadi milik orang. Jadilah isteri yang baik. Jangan ingkar perintah suami.”


Zaifa mengangguk. Dia juga sedih mahu berpisah dengan ayahnya. “Tapi kalau ayah tak ada, Zaifa pandai-pandailah bawa diri. Jangan tinggalkan ibu kerana dia akan keseorangan,” sambung Zainal.

Zaifa kaget. Dia pelik bila ayahnya berkata demikian. “Apa ayah merepek ni. Ayah tak kasihankan Zaifa ke nak kena uruskan semuanya,” tanya Zaifa manja sambal memeluk ayahnya.



Esok kenduri akan berlangsung. Selepas solat Subuh, Zainal mencapai kunci motornya dan memberitahu Zaifa bahawa dia akan ke rumah Tok Kadi. Khuatir kalau-kalau Tok Kadi terlupa!

Asar menjelang. Kelibat si ayah masih tak kunjung tiba. Dalam keresahan menunggu kepulangan si ayah, telefon Zaifa berdering. Seseorang yang tidak dikenali mula menjelaskan satu persatu.

Longlai kaki Zaifa dibuatnya. Air matanya deras mengalir. Dipeluknya si ibu yang ada di sisi. Semua jiran yang datang untuk kenduri esoknya kehairanan.

“Ayah dah tak ada. Ayah kemalangan,” suara Zaifa tersekat-sekat menahan tangis.

Zakat lambang kebesaran Allah

Zakat lambang kebesaran Allah

Soalan: Apakah kaitan zakat dan kebesaran Allah? Mohon pencerahan ustaz.
Jawapan: Tanda-tanda kebesaran Allah SWT sentiasa ada di mana-mana. Hadapkan wajah kita, sama ada timur, barat, utara atau selatan. Di situ, akan terpamer pelbagai kehebatan-Nya. Semuanya adalah untuk kita hayati, bertafakur dan merendah diri kepada-Nya.

Firman Allah: “Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (Kami yang terdapat) di langit dan bumi dan (Kami memperlihatkannya) agar dia termasuk orang yang yakin,” (al-An’am: 75)

Hakikatnya, kebesaran Allah bukan sekadar terpamer pada segala ciptaan-Nya. Ia juga terkandung di dalam pelbagai hukum-hakam dan perintah-Nya yang dinamakan sebagai syariat Allah. Tugas manusia yang beriman ialah menyakini akan syariat ini dan melaksanakannya tanpa ragu dalam kehidupan sehari-hari.

Penjana transformasi kecemerlangan umat

TANDA kebesaran Allah sentiasa wujud di mana-mana sahaja, semuanya adalah untuk kita hayati, bertafakur dan merendah diri kepada-Nya.

Kita mestilah menjadi seorang yang menilai dan menghayati penciptaan Allah sehingga tumbuh di hati kita rasa keimanan dan ketakwaan. Apabila sudah menyubur rasa seperti ini, nescaya kita beroleh harapan untuk menjadi ‘ulul albab’.

Allah menyeru: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi ulul albab (orang-orang yang berakal),” (Ali ‘Imran: 190).

Para ulama mempunyai interpretasi berbeza mengenainya. Imam an-Nawawi misalnya, menyebut bahawa ulul albab adalah mereka yang berpengetahuan suci, tidak hanyut dalam derasnya arus dunia serta yang terpenting, mereka mengerti, menguasai dan mengamalkan ajaran Islam.

Walau apa pun definisi dan huraiannya, secara mudah dapat dirumuskan bahawa ulul albab adalah manusia yang berjiwa halus dan hidup akalnya atau golongan yang berminda jernih, sehingga mampu menekuni keagungan Allah terhadap hukum-hakam, perundangan dan syariat yang Allah berikan ke atas umat manusia di dunia ini.

Golongan ini menyedari, bahawa segala syariat ataupun peraturan yang Allah turunkan kepada manusia bukan bermatlamat menyusahkan manusia sebalik mempunyai 1,000 rahsia. Persis kenyataan Allah: “Kami tidak menurunkan al-Quran ini kepadamu agar kamu menjadi susah (dengannya).” (Thahaa: 2)

PEDOMAN

Realiti sepanjang zaman menunjukkan, syariat Allah adalah suatu pedoman dan tatacara demi menuntun kehidupan manusia menuju sejahtera. Hidup yang serba cukup, bahagia dan selesa adalah impian semua orang. Maka, demi melestarikan kesejahteraan inilah, syariat Allah itu perlu dipatuhi, diamalkan secara tuntas dan dijadikan piawaian dalam setiap tindakan agar semua orang beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan yang merata.

Maka, di sinilah agungnya syariat Allah yang bernama zakat. Jika sebuah masakan, ia ibarat rencah yang enak. Dalam kehidupan bermasyarakat, zakat menjadi resipi kebahagiaan. Perlaksanaannya secara tuntas, bukan sekadar menjadi jambatan yang mampu merapatkan jurang kaya – miskin, namun terlebih utama ia menjadi perkakas bagi penyatuan dan kesejahteraan umat.

Demi manfaat umat, zakat menegah kekayaan hanya berlegar dalam kalangan golongan tertentu sahaja. Seperti mana firman Allah: “Apa saja harta rampasan (fa’i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (dari harta benda) yang berasal daripada penduduk kota-kota (yang ditakluki) maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarang bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya,” (al-Hasyr: 7)

Sungguhpun ayat di atas menyentuh tentang harta fa’i (rampasan perang secara aman) namun ia menjadi suatu petunjuk bahawa Islam mahukan agar harta kekayaan itu dibahagikan secara adil dan saksama sesama umat. Sekali gus Islam juga amat menegah harta kekayaan itu daripada sekadar terkepung dalam kalangan tertentu, sama ada dalam kalangan elit mahu pun pertengahan sehingga ada pihak yang terpinggir menikmatinya.

Menerusi zakat juga, ekonomi umat Islam dapat bergerak secara konsisten menuju keluk keseimbangan. Maksudnya, dengan zakat yang dikeluarkan maka ia dapat diagih kepada lapan asnaf yang memerlukan. Dari situ, kelak berlakulah aktiviti ekonomi yang aktif kerana kewangan dicairkan dalam masyarakat.

PENJANA UMAT

Malah, lebih indah lagi apabila dana zakat dapat dimanfaatkan sebagai modal pembangunan umat secara mapan. Asnaf yang berpotensi untuk maju, diberikan peluang merubah masa hadapan dan dibantu menerusi pelbagai mekanisme pembangunan diri. Misalnya, mereka digalakkan menceburi bidang perniagaan, pertanian dan penternakan. Dari situ, maka mimpi bakal menjadi realiti, lalu rezeki yang secupak pun akan menjadi segantang. Lurah yang kering kontang pun akan basah kesuburan.

Kerancakan aktiviti ekonomi seperti ini, pasti sahaja mampu menyumbang kepada kewujudan ekosistem politik dan budaya yang lebih nyaman dan tenteram, seterusnya mampu memacu kesejahteraan negara dengan lebih kukuh dan menyeluruh.

Allah berfirman: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan ketakwaan serta janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya ),” (al-Maidah: 2).

Inilah roh zakat. Ia membolehkan kita menjalani kehidupan sebagai entiti yang saling bertolong-bantu demi melestarikan kebaikan. Sesungguhnya, zakat juga mampu menjadi wasilah bagi menjana transformasi umat agar berubah menjadi sebuah umat yang cemerlang dalam urusan keduniaan dan juga urusan akhiratnya. Maka tepatlah andai dikatakan, bahawa zakat sememangnya lambang kebesaran Allah di dunia sekali gus terapi kehidupan buat kita.


Agih lebih sukar daripada kutip

PUSAT pungutan zakat bukanlah satu organisasi yang sempurna. Walaupun zakat merupakan tuntutan agama yang wajib dipatuhi tetapi diuruskan oleh manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan.

Itu adalah hakikat, maka tidak hairanlah kritikan terhadap pusat zakat tidak pernah padam. Kalau dahulu, ia diluahkan melalui media tradisional tetapi hari ini, dengan adanya media baharu seperti Facebook (FB), blog, twitter dan lain-lain, skop kritikan sudah pasti lebih meluas lagi.


Kutip tidak perlu tanya sumber harta

MEMBAYAR zakat melalui perkhidmatan Kaunter Zakat Bergerak di tapak Pasar Tani Setiawangsa, Kuala Lumpur. - GAMBAR HIASAN

Perlu diingatkan bahawa pentadbir zakat itu manusia, pengkritik pun sudah semestinya manusia juga yang bermakna kedua-dua pihak langsung tidak akan terkecuali daripada melakukan kesilapan.

Kelemahan memang wujud, namun usaha tetap dibuat demi memastikan usaha untuk mencapai atau memenuhi tuntutan yang ditetapkan oleh syariat itu berjaya dicapai dengan sebaik mungkin.

“Sebagai manusia, kami tidak terlepas daripada membuat kesilapan. Maka cara yang terbaik dalam menangani permasalahan yang timbul adalah datang berjumpa dengan pusat zakat.

“Semua pusat zakat ada cara tersendiri tangani aduan. Misalnya pusat zakat boleh ambil tindakan terhadap pegawai yang jelas melakukan kesalahan, atau tidak memberikan hak kepada yang berhak.

“Tetapi kalau meluahkan rasa marah kepada orang yang tidak berkenaan, misalnya di media sosial, ia tidak akan selesaikan masalah,” kata seorang penggerak industri zakat tempatan, Hamizul Abdul Hamid yang ditemui di Gombak, Selangor baru-baru ini.



KAUNTER bergerak zakat bertujuan memudahkan pembayar zakat yang layak menunaikan Rukun Islam keempat.

Bagi Hamizul yang mempunyai pengalaman lebih 12 tahun dalam industri zakat menyifatkan kritikan itu sebagai tidak adil kerana masyarakat umum harus mengerti bahawa mengagihkan zakat adalah lebih sukar berbanding mengutipnya.

Ini kerana, setiap orang Islam yang datang ke pusat zakat, tidak perlu ditanya sumber hartanya. Tetapi ia tidak sama bila melibatkan soal pengagihan kutipan zakat.

“Kami tidak akan tanya daripada mana sumber hartanya walaupun mungkin ia daripada hasil mencuri, merompak, rasuah, berjudi dan sebagainya sebab itu adalah haknya. Tetapi kalau dia beritahu, kami pastinya tidak boleh menerima zakat berkenaan, kerana ia jelas daripada sumber haram,” katanya.

Tetapi tidak dalam soal pengagihan, seorang pegawai zakat wajib bertanya latar belakang pemohon kerana ia selaras dengan pesanan Rasulullah SAW.

“Orang yang ditimpa kemiskinan, maka hendaklah disaksikan atau diketahui oleh tiga orang yang dipercayai bahawa dia memang miskin, maka layaklah atasnya zakat,” - Riwayat Imam Muslim.

KEPERCAYAAN

Setiap yang datang atau membuat permohonan zakat, pusat zakat tidak boleh terus mempercayai melainkan dibuat siasatan terlebih dahulu kerana kebarangkalian untuk individu berkenaan membuat permohonan palsu sentiasa ada.

“Banyak kes penipuan berlaku. Misalnya menipu identiti diri, mengaku ibu tunggal sedangkan masih mempunyai suami. Mengaku menghidap penyakit kronik dan tidak mendapat rawatan kerana tidak mampu kerana kononnya tidak dibantu sedangkan perkara sebenar adalah sebaliknya. Ini semua adalah kisah ‘sebalik tabir’ yang perlu disiasat oleh pusat zakat,” katanya.

Sikap sedemikian adalah penting kerana tanggungjawab mengutip dan mengagihkan zakat adalah amat berat. Salah perhitungan atau melakukan penyelewengan, golongan yang menguruskannya tidak akan terlepas daripada seksaan di akhirat.

Hadis Rasulullah SAW daripada Imam Ahmad ada menyatakan, “Amil yang menyeleweng dengan amanah zakat akan dihitung dengan berat oleh Allah SWT di akhirat.”

Dalam masa sama, Hamizul memberitahu, pihak pusat zakat sebenarnya telah mengambil beberapa langkah proaktif dalam mengesan dan mengenal pasti individu Islam dalam kategori asnaf zakat.

Antaranya, menemui penduduk, menjalinkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan Islam, mengajak masyarakat menyalurkan informasi terus kepada pusat zakat melalui media sosial dan mengurangkan prosedur bagi permohonan bantuan zakat.

“Tetapi kalau ada yang kata ia masih bermasalah, saya rasa, pihak berkenaan perlu mencadangkan langkah penambahbaikan kepada pusat zakat agar ia jadi lebih efektif,” katanya.



Bukan hanya untuk sara diri

PUSAT zakat bukanlah pusat kebajikan atau sumber sara hidup untuk tempoh lama. Ini sejajar dengan imej Islam itu sendiri yang tidak mahu umatnya hidup atas ihsan orang lain. Islam mengajar umatnya untuk hidup berdikari.

Sebaliknya bantu keluar daripada kemiskinan


PENGAGIHAN dana zakat turut dilakukan di peringkat akar umbi. - GAMBAR HIASAN

Tidak hairanlah, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Zainal Abidin Jaffar yang ditemui baru-baru ini melihat peranan zakat bukan sekadar untuk menyara diri.

Beliau menjelaskan zakat adalah ejen untuk mengubah hidup seseorang daripada keadaan miskin kepada kedudukan yang mempunyai sumber pendapatan yang terjamin.

“Sebab itu, dalam membantu warga emas atau golongan kurang upaya (OKU), pihak MAIWP tidak melupakan anak-anak golongan berkenaan atau dipanggil generasi kedua. Bantuan generasi itu lebih kepada aspek pendidikan atau latihan kemahiran,” katanya.

MAIWP percaya bantuan dan sokongan kepada generasi kedua itu amat penting kerana merekalah yang bakal membawa keluarga masing-masing keluar daripada garis kemiskinan.

“Anak-anak mereka itu kita bantu. Kalau masuk universiti, kita bantu dan kalau yang gagal, kita hantar kepada institusi latihan supaya bila besar, mereka dapat kerja atau berniaga untuk bantu keluarga masing-masing.

“Bagi mereka yang gagal ke universiti, kami ada latihan kemahiran sama ada peringkat sijil atau diploma. Kalau peringkat sijil kita ada Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) dan Institut Profesional Baitulmal (IPB) bagi peringkat diploma,” katanya.

Sokongan itu diteruskan lagi melalui penyediaan skim bantuan modal kepada mana-mana lepasan IKB yang berminat membuka perniagaan atau bekerja sendiri.

“Kami juga pantau kemajuan perniagaan mereka dan akan terus bantu supaya perniagaan yang diusahakan itu berkembang,” katanya.

Samalah dengan satu kes yang melibatkan pasangan suami isteri yang berpendapatan bersama sebanyak RM1,000 sebulan dan mereka hanya memerlukan tambahan lebih kurang RM200 sebulan bagi menampung kos hidup bulanan.

“MAIWP hanya bantu dari segi keperluan tambahan itu dan bukannya bantu sepenuhnya supaya mereka tidak terus bergantung kepada kami dan lebih penting lagi mereka perlu belajar mencari sumber pendapatan lain,” kata Zainal Abidin.

SYARAT PERLU DIPATUHI

Secara amnya, terdapat 28 jenis agihan zakat di bawah MAIWP. Pemohon dibenarkan memohon lebih daripada satu jenis agihan zakat yang disediakan itu.

Antaranya adalah bantuan kewangan bulanan, perniagaan, pendidikan, pertanian, guaman syarie, deposit beli rumah kos rendah, bantuan musibah, bantuan perkahwinan dan deposit sewa bulanan rumah.

“Setiap skim bantuan itu ada syarat-syaratnya supaya golongan yang berhak tidak tercicir kerana kami percaya akan ada segelintir yang tamak atau sanggup menipu untuk memperoleh bantuan zakat. Berdasarkan rekod kami, memang ada kes sedemikian,” katanya.

Namun begitu, Zainal Abdin mengakui persepsi negatif masyarakat terhadap pusat zakat tetap ada walaupun beliau percaya setiap pusat zakat seluruh negara berusaha melicinkan urusan pengagihan zakat hanya kepada yang berhak.

Selain program turun padang dan mewujudkan pusat agihan zakat di setiap kawasan Parlimen, MAIWP turut menjalinkan kerjasama dengan jawatankuasa surau, persatuan penduduk dan badan bukan kerajaan berkaitan.

“Hasil usaha itu, setakat ini MAIWP mempunyai 25,000 penerima bantuan tetap dan kami masih meneruskan usaha itu supaya mereka yang berhak tidak tercicir,” katanya.


Bukti ketelusan agihan zakat

TIDAK pernah sunyi daripada menjadi pertikaian ramai, pusat pungutan zakat terus dihujani dengan pelbagai tanggapan negatif masyarakat termasuk daripada umat Islam sendiri.

Sehinggakan ada melabelkan institusi yang bertanggungjawab mengumpul dan mengagihkan wang zakat itu sebagai menyeleweng dan tidak peka dalam membantu golongan yang memerlukan.


Program Zikra LZS tonjol aktiviti agihan zakat


SEBAHAGIAN peserta yang terdiri daripada pembayar zakat mengunjungi Pusat Dialisis, MAIS, ketika Program Zikra di Klang dan Kuala Selangor, baru-baru ini

Sehubungan itu, bagi menguar-uarkan kejayaan hasil kutipan zakat, Lembaga Zakat Selangor (LZS) baru-baru ini mengadakan program Jalinan Kasih Bersama Asnaf 2015 (Zikra).

Program itu bertujuan mendedahkan pembayar zakat terhadap aktiviti agihan zakat secara langsung kepada asnaf, di samping mendapatkan maklum balas secara terus terhadap keberkesanan agihan zakat di Selangor.

Pada program itu, peserta dibawa ke sekitar Klang dan Kuala Selangor bagi menziarahi serta melihat aktiviti asnaf LZS yang telah menerima bantuan zakat.

PESERTA berpeluang menyelami sendiri kehidupan golongan asnaf.

Berbeza dengan penganjuran Zikra sebelum ini, program kali ini membawa peserta selama dua hari bagi membolehkan mereka mendekati asnaf zakat, dalam masa sama menyelami realiti kehidupan golongan kurang berkemampuan itu.

Antara lokasi yang dikunjungi pada program itu termasuk Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor, Bait al-Mawaddah, Kompleks Asrama Anak-anak Asnaf, Bait al-Hasanah, Pusat Dialisis LZS, dan bertemu penerima bantuan modal daripada LZS.

Bait al-Mawaddah ditubuhkan sebagai pusat perlindungan bagi warga emas yang tidak mempunyai tempat tinggal, manakala Bait al-Hasanah bertujuan menyediakan prasarana pendidikan kepada anak-anak asnaf dalam persekitaran yang selesa, di samping mengelakkan daripada keciciran.

Peserta turut dibawa melihat sendiri agihan zakat LZS kepada projek ekonomi asnaf yang mengusahakan kebun limau, serahan bantuan zakat kepada asnaf dan juga kunjungan ke kedai cendol yang diusahakan oleh usahawan asnaf zakat, Muhammad Burhan Salikon yang kini telah bebas daripada kategori asnaf.

Keluarga didahulukan, integriti diutamakan

SAMBUTAN Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia adalah satu inisiatif terancang di bawah gerakan 1Malaysia FamilyFirst (1MFF) iaitu agenda keluarga negara demi meningkatkan kebertanggungjawaban dan integriti dalam usaha mendidik serta membimbing masyarakat tanpa mengira latar belakang agama, budaya dan kaum sama-sama mengimarahkan dan memperkasakan nilai-nilai amalan integriti dalam institusi keluarga masing-masing. Integriti bermula dari rumah.

Rumah tempat bermulanya sistem pendidikan formal dan tidak formal, sistem kesedaran dan sistem bimbingan praktikal yang akhirnya setiap ahli keluarga terpancar sifat keperibadian sebagai Role Model atau Ikon Integriti kepada anak-anak.

Dengan tema: “Saya Sayang Keluarga saya”, maka keluarga yang berintegriti juga sebagai asas kepada pembangunan insan madani mempunyai tingkah laku beretika bagi membentuk sebuah negara yang sejahtera lagi membangun serta makmur. Kerajaan memperuntukkan bagi syarikat swasta yang menganjurkan hari keluarga untuk pekerja-pekerja mereka, rebat atau potongan 100 peratus untuk semua perbelanjaan keraian.

Definisi keluarga menurut Kamus Dewan, adalah seisi keluarga yang terdiri daripada suami, isteri dan anak, manakala bahagia pula bermaksud suasana senang dan aman. Islam pula agama yang selamat dan secara keseluruhan maksudnya ialah pembinaan sebuah kehidupan yang bahagia berlandaskan tuntutan agama yang benar demi membina Keluarga Sakinah, Mawaddah Warahmah.

Firman Allah SWT: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah Al-Rum: 30: 2)

Antara amanah yang dipikul setiap kepala keluarga adalah membersihkan rumahnya daripada kemungkaran dan mengharuskan anggota keluarga mengamalkan kewajipan dan perkara Sunnah dalam agama.

Rasulullah SAW selaku uswatun hasanah yang patut dicontohi telah membimbing umatnya dalam hidup berkeluarga agar mencapai sebuah impian kehidupan rumah tangga yang sakinah mawaddah warahmah. Baginda sentiasa menggalakkan suami isteri saling ta’awun (tolong-menolong) dan bekerjasama dalam bentuk saling menasihati dan saling mengingatkan dalam kebaikan dan ketakwaan, sebagaimana sabda baginda:

“Nasihatilah isteri-isteri kamu dengan cara yang baik, kerana sesungguhnya para wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok dan yang paling bengkok adalah bahagian atasnya, maka jika kamu (para suami) keras dalam meluruskannya (membimbingnya), pasti kalian akan mematahkannya. Dan jika kamu membiarkannya (yakni tidak membimbingnya), maka tetap akan bengkok. Nasihatilah isteri-isteri (para wanita) dengan cara yang baik.”(Riwayat Abu Hurairah)

Dalam pembinaan keluarga bahagia ini, dasarnya perlu selari dengan kehendak syarak agar memberi kesan yang baik kepada diri dan keluarga. Di samping itu, beberapa perkara perlu diambil perhatian iaitu:

* Pertama, meletakkan akidah yang kukuh dan mantap kepada Allah SWT sebagai asas utama pembinaan keluarga bahagia.

* Kedua, mematuhi garis panduan yang diajar oleh Islam dalam memahami tanggungjawab dan amanah yang dipikul.

* Ketiga, mengakui dan bersedia melaksanakan ketaatan sebagai suami, isteri dan anak-anak.

* Keempat, menjadikan diri sebagai contoh dan teladan yang terbaik. Kelima, sentiasa memupuk rasa kasih sayang dan silaturahim dalam suasana ceria.

Imam Ibnu Katsir menyatakan Allah SWT menganugerahkan satu nikmat yang sangat besar untuk hamba-Nya yang beriman, di mana anak-anak atau ahli keluarga mereka akan dihimpunkan semula oleh Allah SWT bersama ibu bapa mereka di dalam syurga. Perhimpunan ini adalah penyempurnaan nikmat Allah SWT ke atas mereka yang pernah berkumpul di dunia ini sebagai sebuah keluarga yang diasaskan dengan keimanan, meskipun mereka berbeza dari segi amalan.

Allah SWT menjelaskan di dalam Surah at-Thur ayat 21 yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikit pun daripada pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.”

Apakah peranan kita sebagai ibu bapa dalam melunaskan tanggungjawab mendidik, membimbing dan mengajar setiap ahli keluarga kita?

i. Bertutur bicara dan berkomunikasi dengan sopan dan lemah lembut. Jangan sesekali mengeluarkan kata-kata kesat, kotor dan menyumpah kerana itu adalah doa untuk anak.

ii. Anugerahkan nama yang baik-baik kepada anak-anak mengikut Sunnah Rasulullah SAW. Anak lelaki berilah nama Muhammad pada awalnya atau pilihlah nama-nama sahabat, ulama dan perkataan bahasa Arab yang memberi erti baik.

iii. Berusaha memastikan rezeki diraih halalan toyyiban agar sumber makanan halal dan berkat serta dijauhi oleh api neraka.

iv. Memupuk semangat cinta kasih pada agama dalam jiwa sanubari anak-anak. Agama bakal menjadi pendinding dan benteng hamba Allah yang bertakwa.

v. Berusaha mendidik anak menjadi soleh dan solehah.

vi. Memantau dan mengawal tingkah laku anak-anak demi menunjukkan tahap kepedulian yang tinggi terhadap aktiviti harian mereka.

vii. Tempat tidur anak-anak hendaklah diasingkan daripada ibu bapanya apabila usianya meningkat tujuh tahun.

Pada hemat penulis, institusi keluarga yang telah dibina de­ngan penuh integriti dapat menghidupkan suasana persekitaran yang kondusif, aman damai dan sejahtera serta melimpahkan keberkatan kepada masyarakat serta negara. Mudah-mudahan negara kita akan menjadi sebuah negara yang maju, makmur, cemerlang dan berintegriti.

Mudah-mudahan Allah memberikan taufik-Nya kepada kita semua untuk membentuk dan memperbaiki rumah tangga kita agar penuh ketenangan dan kecintaan, seraya mengamalkan etika dan integriti menurut syariat Islam. - Hamilye Sham Harun Utusan Malaysia Rencana 26 November 2015 6:25 PM

70 tahun tunggu tunai haji, Kerajaan kaji sistem giliran dan kos tunai haji

Kerajaan kaji sistem giliran tunai haji

Kerajaan akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji semula sistem giliran menunaikan haji, kata Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Beliau berkata, hasil kajian jawatankuasa khas itu akan membantu pihaknya mencari satu kaedah bersesuaian bagi memendekkan tempoh menunggu bakal jemaah Haji yang telah mendaftar.

"Ini kerana jika ikut sistem sekarang, bakal jemaah haji kalau daftar selepas lima tahun secara automatik baru nama akan naik.

"Bagaimanapun, apa yang berlaku sekarang banyak anak-anak muda dapat tunai haji kerana sejak lahir ibu bapa terus daftar nama dengan Tabung Haji malah ada yang letak RM10,000 di dalam akaun simpanan anak-anak mereka dan apabila usia anak-anak mencecah 13 atau 14 tahun nama akan naik untuk pergi haji," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji Musim Haji 1436 Hijrah di Ibu Pejabat Tabung Haji di sini, semalam.

Abdul Azeez berkata, sehingga kini jumlah pendaftaran haji melebihi 1.8 juta orang dengan tempoh menunggu mencecah hampir 77 tahun.

Menurut Abdul Azeez, jawatankuasa khas itu akan diketuai beliau sendiri dan akan ditubuhkan secepat mungkin. - BERNAMA

70 tahun tunggu tunai haji

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Sebahagian daripada 1.8 juta umat Islam daripada pelbagai peringkat umur di negara ini yang telah mendaftar untuk menunaikan ibadah haji perlu menanti antara 70 hingga 77 tahun sebelum berpeluang mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Tabung Haji tubuh jawatankuasa cari kaedah selesai 1.8 juta pendaftar haji

Jamil Khir Baharom, Abdul Azeez Abdul Rahim (depan, lapan dari kiri) dan Ismee Ismail (enam dari kiri) bersama wakil jabatan dan agensi selepas Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji Musim 1436 Hijrah di Bangunan Tabung Haji, Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Sekalipun tempoh penantian untuk berpeluang menunaikan haji dilihat sebagai sesuatu yang mustahil, namun itulah realiti yang perlu dihadapi dan ditangani oleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) iaitu agensi yang diberi tanggungjawab mengendalikan urusan haji.

Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, tempoh penantian itu juga boleh menjadi lebih lama lagi memandangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peruntukan kuota haji untuk Malaysia oleh kerajaan Arab Saudi yang selama ini berjumlah 28,000 jemaah telah dikurangkan.

Menurut beliau, pada 2012, kuota yang ditawarkan kepada Malaysia berjumlah 20,000 jemaah dan angka itu menurun kepada 21,000 pada tahun 2013 sebelum meningkat kepada 22,800 pada 2014.

“Itu kalau tiap tahun kita dapat kuota 28,000 setahun tetapi jika kurang (kuota) maka tempoh menunggu akan berpanjangan melebihi 70 tahun.

“Dengan lain perkataan, jika anda mendaftar untuk menunaikan haji pada hari ini, bermakna anda akan menunggu sehingga 70 tahun untuk berpeluang menunaikan haji,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Ke­syukuran Tamat Operasi Haji Mu­sim Haji 1436/2015M di Ibu Pejabat Tabung Haji, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pe­ngarah Urusan Kumpulan dan Ke­tua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail.

Utusan Malaysia difahamkan, daripada jumlah 1.8 juta pendaftar haji itu, 10,000 daripada mereka merupakan bakal jemaah warga emas yang berusia 75 tahun ke atas.

Dalam konteks pendaftar warga emas, Abdul Azeez berkata, bagi membolehkan kesemua golongan ini menunaikan haji sekali gus, mereka perlu membawa pengiring yang jumlahnya kelak akan me­lebihi separuh daripada kuota yang dibenarkan.

Sementara itu, beliau membe­ritahu, jumlah yang berdaftar untuk mengerjakan haji juga dijangka bertambah lebih tinggi lagi apabila terdapat 8.6 juta umat Islam di negara ini yang merupakan pendeposit atau pemegang akaun di Tabung Haji.

“Apabila simpanan telah mencukupi pastinya kebanyakan pendeposit akan mendaftar untuk menunaikan haji,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Tabung Haji katanya, akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mencari kaedah yang lebih berkesan untuk menyelesaikan pendaftaran haji yang telah melebihi 1.8 juta orang.

“Jawatankuasa tersebut akan dibentuk pada Disember ini dengan saya sendiri akan mengetuainya bagi memperhalusi kaedah-kaedah untuk membolehkan senarai me­nunggu ini dapat dikurangkan de­ngan banyak,” katanya.

Abdul Azeez berkata, jawatankuasa tersebut juga bakal menyemak semula tawaran haji yang akan diberikan kepada bakal jemaah yang mendaftar semula selepas lima tahun menunaikan haji.

“Mungkin kita akan lanjutkan kepada 10 tahun atau 15 tahun dan begitu juga tawaran diberikan kepada golongan kanak-kanak dan remaja yang nama mereka naik selepas lima tahun mereka didaf­tarkan untuk menunaikan haji oleh ibu bapa mereka,” katanya.


Tabung Haji belum putuskan kenaikan kos tunai haji
KUALA LUMPUR 26 Nov. – Kerajaan akan mempertimbangkan cada­ngan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) untuk menaikkan bayaran haji secara teliti sekiranya ada kenaikan kos dalam pengurusan dan pengendalian operasi haji untuk musim haji akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sehingga kini bayaran bagi musim haji akan datang masih belum diputuskan kerana Tabung Haji sedang membuat semakan semula kos-kos yang terlibat.

“Ini terutamanya kos-kos langsung seperti penyewaan, penerbangan, bangunan penginapan, sajian dan lain-lain berkaitan akibat kesan dari kejatuhan nilai mata wang negara kepada riyal Saudi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ke­syukuran Tamat Operasi Haji Musim Haji 1436/2015M di Ibu Pejabat Tabung Haji, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail.

Di majlis itu, beliau turut me­nyampaikan cenderahati kepada wakil-wakil agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Pendaftaran Negara, syarikat-syarikat korporat dan individu yang terlibat dalam Operasi Haji baru-baru ini.

Menurut Jamil Khir, seperti musim-musim lalu walaupun berlaku penurunan nilai mata wang ringgit Malaysia, Tabung Haji mampu menanganinya dan tiada bayaran tambahan dikenakan kepada jemaah haji.

Sementara itu, Abdul Azeez pula menggesa para pendaftar haji supaya mula mengemaskini akaun dan butiran pendaftaran haji mereka.

“Ini kerana kita akan mula menghantar surat-surat tawaran menunaikan haji bermula Disember ini dan kita tidak mahu lagi. ada kejadian surat tawaran tersebut tidak sampai akibat berlaku pertukaran alamat tanpa diberitahu terlebih dahulu,” katanya.

Viral isu halal, haram tanpa kesahihan dianggap fitnah

Kita sering mendengar ungkapan fitnah itu lebih bahaya daripada membunuh, tetapi sejauh mana kita faham maknanya atau sekadar hanya ikutan dan penyedap kata-kata sahaja.

Sebenarnya ia peringatan daripada Allah SWT yang bermaksud: "Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada fitnah." (Surah al-Baqarah, ayat 217)

Kini fitnah di hujung jari dan dalam konteks isu makanan halal, memang ia tiada penghujungnya kerana ada saja perbualan serta fitnah dalam kalangan masyarakat yang mencari kebenaran.

Sedangkan isu itu berlaku lima tahun lalu dan sudah dijelaskan tetapi masih diviralkan melalui pelbagai saluran komunikasi seperti Facebook, sistem pesanan ringkas (SMS), aplikasi Whatsapp dan telegram yang tersebar begitu cepat.

Timbulkan kegelisahan

Menviralkan isu halal menyebabkan kegelisahan terutama masyarakat Islam yang cukup sensitif dalam perkara membabitkan makanan halal dan haram.

Apatah lagi jika dikaitkan dengan sumber babi kerana hendak menyebut perkataan babi pun sesuatu yang sensitif. Ini adalah persepsi masyarakat terhadap isu halal yang diviralkan yang akhirnya menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.

Masalahnya, produk itu memiliki logo halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

JAKIM sentiasa melakukan pemeriksaan dan pemantauan teliti dalam mematuhi piawaian halal. - Gambar hiasan
Bagaimanakah sikap kita terhadap berita yang belum tahu kebenarannya dan bersumber daripada orang tidak diketahui kejujurannya.

Bagaimana seharusnya sikap seorang Muslim terhadap berita yang belum jelas kesahihannya itu.

Contohnya, Nombor E (E Numbers) pada pembungkusan produk yang dikatakan mengandungi sumber haram berdasarkan nombor tertentu.

Maka ada yang menghafal nombor itu kerana bimbang termakan makanan haram.

Sebenarnya Nombor E ialah kod nombor untuk bahan tambah dan ia selalunya digunakan pada label makanan di Negara Kesatuan Eropah, Australia, New Zealand, Amerika Utara terutama Kanada dan Israel.

Skim penomboran itu mengikut Sistem Penomboran Antarabangsa (INS) oleh Jawatankuasa Codex Alimentarius. Antara E-Number yang digunakan sebagai aditif makanan ialah E100-E199 (warna), E200-E299 (pengawet), E300-E399 (oksidan, fosfat, antioksida, pengawal asid), E400-E499 (pemekat, pelembap, penstabil, emulsifier). E500-E599 (garam, regulator asid, agen penghalang kerak), E600-E699 (penambah perisa), E700-E799 (antibiotik), E900-E999 (pemanis, bahan-bahan lain) dan E1000-E1999 (bahan kimia tambahan).

Mungkin nombor yang sering kita hafal ialah E471 kerana beranggapan sememangnya ia daripada lemak babi.

Sebenarnya ia adalah sejenis emulsifier iaitu mono dan digliserida atau bahan kimia yang digunakan bagi memperbaiki mutu makanan. Ia dihasilkan sama ada daripada sumber lemak haiwan (lembu atau babi) dan tumbuhan (minyak kelapa sawit).

Ini bermakna bahan itu boleh dianggap halal atau haram bergantung kepada sumber proses ambilan asalnya.

JAKIM buat pemantauan teliti

Jika diambil daripada sumber tumbuhan atau haiwan halal yang disembelih maka ia adalah halal. Dalam hal ini, JAKIM sebagai pakar pensijilan halal dunia akan memastikan sumbernya disahkan halal melalui pemeriksaan dan pemantauan teliti dari segi syarak dan teknologi.

Selain itu, ia juga mesti dibuktikan melalui sijil halal daripada badan Islam yang diiktiraf JAKIM. Bukan nombor itu menjadi ukuran halal haram, tetapi sumbernya yang menentukan status halalnya.

Apa juga nombor digunakan, jika terdapat logo halal maka ia telah mematuhi piawaian halal Malaysia. Terdapat juga bahan tambahan makanan lain yang diragui (mashbuh).

Ia boleh jadi halal atau haram bergantung kepada sumber ambilan serta sijil halal seperti bahan pemekat, penstabil, perasa, pewarna, antioksidan, animal shortening, enzim dan gelatin.

Perkara ini tidak diketahui oleh kita orang awam disebabkan perkembangan teknologi makanan kini semakin kompleks.

Nu'man bin Basyir meriwayatkan, beliau mendengar Rasul SAW bersabda: "Perkara halal adalah jelas dan yang haram juga jelas. Bagaimana pun antara kedua-duanya terdapat perkara yang tidak jelas (syubhah), yang mana ramai orang tidak mengetahuinya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika kita tidak pasti status halalnya seharusnya kita rujuk kepada yang pakar atau berilmu dalam bidang ini seperti JAKIM. Firman Allah SWT bermaksud: "Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui." (Surah an-Nahl, ayat 43)

As-Sheikh Dr Yusof Al Qardhawi dalam bukunya Halal dan Haram Islam menyamakan orang yang mengharamkan yang halal dan sebaliknya seperti mensyirikkan Allah SWT.

Dari sudut ekonomi, memviralkan perkara yang tidak sahih beri kesan besar termasuk kehilangan pekerjaan disebabkan syarikat mengalami kerugian.

Walaupun memiliki sijil halal, tetapi dakwaan tidak benar yang disebarkan memberi kesan dalam masyarakat khususnya pengguna Islam.

Justeru, sebagai pengguna yang bijak, kita perlu mendapatkan pengesahan daripada pihak yang mempunyai bidang kuasa.

JAKIM juga perlu menjawab isu yang dibangkitkan yang ada kala sudah dijelaskan sebelum ini, tetapi disebabkan ia diviralkan semula, maka penjelasan diberikan atas desakan ramai.

Selain logo halal JAKIM, masyarakat boleh merujuk direktori halal di www.halal.gov.my.

Tahyul dalam urus jenazah

SIMPAN kain kafan dalam rumah diibaratkan seperti menjemput kematian!. Itu pandangan masyarakat dahulu kala, namun di zaman serba canggih yang ada bermacam teknologi baharu pun masih ada yang berfikiran sebegitu.

Pada hal, ramai sahaja nenek moyang dan orang tua kita menyimpan kain batik lepas tidak berjahit. Kata mereka: “Gunakan kain batik lepas ini nanti untuk tutup jenazah aku bila aku mati.”

Gerun dan takut apabila menyebut perihal kematian? Mengingati mati sangat penting dalam Islam, bahkan  Rasulullah SAW sendiri menyifatkan, orang yang banyak mengingati kematian dan mempersiapkan diri untuk menghadapinya adalah orang yang cerdik. (Riwayat Ibnu Majah)

Malahan dalam al-Quran sendiri, tidak kurang daripada 145 ayat yang menyebut dan membahaskan perihal kematian.

RAHSIA ALLAH

ALLAH SWT berfirman: "Setiap yang bernyawa pasti akan berasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dam kebaikan sebagai cubaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami." (Surah Al-Anbiya’: 35)

Pegawai Agama Kolej Pegawai Tidak Tauliah Akademi Tentera Darat Port Dickson Negeri Sembilan, Mejar Anuar Mohd Ehwal berkata, Islam memerintahkan umatnya supaya jangan takut menghadapi kematian dan mengingatkan, mereka sekali-sekali tidak dapat melarikan diri daripada kematian walau dengan apa cara dan usaha sekalipun kerana mati itu pasti  bagi setiap yang hidup. Bila dan di mana kita akan menghembuskan nafas terakhir hanya ALLAH sahaja Yang Maha Mengetahui.

"Ada yang bertanyakan saya benarkan tarikh kematian itu boleh ditangguhkan hanya dengan menepuk bahu individu yang tidak kelihatan bayangnya ketika berjalan di bawah cahaya matahari, apabila ditepuk bahunya maka umurnya akan bertambah setahun lagi.

Kepercayaan sedemikian adalah karut dan tidak benar sama sekali malahan tidak ada asasnya langsung sama ada dari al-Quran mahupun hadis Nabi SAW.

Ada segelintir dalam kalangan masyarakat kita terpedaya dengan momokan cerita tahyul dan karut sebegini lantaran takut dengan kematian sehingga mencipta cerita-cerita karut dengan tujuan untuk menyedapkan hati.

"Apabila sampai ajalnya tidak akan dicepatkan atau dilewatkan walau satu saat. Perihal mengenai kenyataan berkenaan ada dijelaskan dalam al-Quran. Tidak ada sesiapa yang tahu dengan pasti masa dan ketikanya kerana ia adalah rahsia ilmu ALLAH SWT.

"Saya pernah terdengar, ada seorang pesakit, dia merancang hendak meninggal dan dikebumikan di tanah tumpah darahnya kerana berasakan ajalnya akan tiba.

Mengharap dan berdoa kepada ALLAH untuk meninggal di suatu tempat yang menjadi pilihan hati tidak salah tetapi sebagai manusia kita tidak akan tahu dengan pasti di mana tempat kematian kita kerana itu termasuk dalam rahsia-Nya," katanya kepada Rehal.

Menurutnya, ada juga yang bertanya jika seseorang itu meninggal akibat kemalangan jalan raya, adakah tanah tempat dia meninggal itu adalah tanah yang ALLAH gunakan semasa mahu menjadikannya.

Sebagai orang Islam kita perlu memahami dan mengetahui hanya ada tiga manusia yang dijadikan ALLAH berbeza daripada kejadian manusia yang lain iaitu Nabi Adam AS sahaja yang dijadikan dari tanah, Siti Hawa dijadikan ALLAH dari kejadian Nabi Adam manakala Nabi Isa AS pula dari tiupan roh sebagai tanda kekuasaan ALLAH. Selain dari mereka bertiga semua kejadian manusia adalah berasal dari air mani. Oleh itu kepercayaan sedemikian adalah karut dan ditolak.

PERSEPSI MASYARAKAT

Lambakan filem dan drama menyiarkan kisah-kisah berkaitan kematian yang pada asalnya mahu memberi kesedaran kepada masyarakat dilihat telah mencipta tanggapan negatif masyarakat terhadap kematian khususnya berkaitan pengurusan jenazah.

Jaga aib si mati

Mejar Anuar berkata, kisah yang dipaparkan dalam drama mahu pun filem sebahagian besarnya adalah tidak benar sama sekali dan lebih kepada rekaan semata-mata demi menarik perhatian penonton.

Malangnya itulah yang ditonjolkan dan dimomokkan sehingga penonton terpedaya malahan percaya, cerita yang dipaparkan adalah berdasarkan kisah benar yang berkisar dalam masyarakat khususnya ketika melaksanakan pengurusan jenazah.

"Andainya ada berlaku perkara sebagaimana yang dipaparkan, ia adalah dengan keizinan daripada-Nya.

Bayangkan apabila penonton melihat adanya adegan jenazah yang mengerikan semasa dimandikan atau dikafankan serta berlaku peristiwa luar biasa yang di luar kewarasan akal fikiran manusia, maka sudah pasti ia memberi kesan yang sangat negatif kepada masyarakat sehingga menganggap kematian adalah satu perkara yang sangat menakutkan.

Ketakutan ini ditambah lagi dengan kepercayaan sedia ada dalam masyarakat mengenai badi mayat.

"Sedangkan kematian adalah sesuatu yang mesti diterima dengan reda apabila ia berlaku. Muslim itu seharusnya bersedia menunggu datangnya mati dengan berbuat perkara yang diredai ALLAH.

Saya akui, susah bahkan sukar untuk mengubah tanggapan negatif masyarakat terhadap kematian. Walaupun demikian sesuatu mesti dilakukan," katanya yang turut terlibat menguruskan jenazah anak kapal dan penumpang MH17 di Belanda tahun lalu.

Niat di hati

Menguruskan jenazah adalah fardu kifayah ke atas umat Islam. Namun, setiap Muslim perlu tahu bagaimana untuk menguruskannya. Bimbang jika berlaku apa-apa musibah, maka jenazah dapat diuruskan dan dikebumikan dengan segera sebagaimana yang dituntut syarak.

Mejar Anuar menegaskan, individu atau pihak yang menguruskan jenazah disarankan agar menjaga adab dan sentiasa bersangka baik terhadap jenazah serta memohon kepada ALLAH agar segala urusan dipermudahkan daripada sibuk memikirkan bagaimana keadaan jenazah semasa hidupnya.

"Usah dikenang bagaimana jenazah semasa hayatnya. Saya ambil satu contoh, jika semasa hidupnya arwah adalah seorang yang samseng dan terlibat dengan perkara yang tidak elok.

Pengurus jenazah mesti bersangka baik dan memohon keampunan serta pertolongan dari ALLAH agar dipermudahkan segala urusan yang berkaitan.

Kerana sesungguhnya ALLAH itu menurut sangkaan hamba-Nya, andai baik yang disangka dan dipohon maka baiklah yang diberi dan begitulah sebaliknya seperti yang dinyatakan dalam Surah Al-Hujurat ayat 12.

"Tidak dinafikan, apabila dalam hati terdetik perkara negatif mengenai hayat hidup arwah, bagaimana kehidupannya, siapa dia. Memang berlaku.

Sebab itulah kejadian pelik semasa uruskan jenazah berpunca daripada individu yang menguruskan jenazah itu. Daripada kejadian itu, mulalah masyarakat sekeliling bercerita, alih-alih aib si mati yang terbongkar," katanya lagi.

Beliau yang hampir 18 tahun dalam Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) berkata, syarat utama untuk mengurus jenazah pengurus jenazah mestilah orang yang beriman dan sentiasa bersangka baik dengan orang lain termasuk jenazah itu sendiri.

Apa yang arwah lakukan adalah urusan ALLAH. Tugasnya hanya mengurus jenazah. Tujuan ALLAH tunjuk adalah untuk memberi kesedaran kepada pengurus jenazah supaya bersihkan hatinya.

HALAL LAGI SUCI

Semasa menguruskan jenazah, Nabi SAW menggalakkan agar kita menggunakan wangi-wangian seperti penggunaan kapur barus, cendana dan sebagainya.

"Setiap kali menguruskan jenazah adalah sunnah memperbanyakkan wangian dalam khususnya semasa memandikan dan mengkafankan jenazah. Namun begitu kita mesti memastikan bahawa bahan wangian yang digunakan menepati kehendak syarak dari sudut halalan toyyiban (halal lagi suci).

"Kita perhatikan dalam pasaran hari ini banyak jenis wangian yang dijual namun sebagai pengguna Islam adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikannya menepati kehendak syarak.

Sebagai contoh sabun-sabun yang digunakan, benar ia bersih secara zahirnya  tetapi dari segi syaraknya bolehkah dipastikan ia halal lagi suci.

Pilihan untuk memperoleh bahan yang wangi banyak di pasaran namun tidak semuanya menepati kehendak yang telah ditetapkan oleh syarak," kata Mejar Anuar lagi.

Kerana itulah, pihak  Airist Cosmetics Sdn Bhd  menghasilkan set lengkap pengurusan jenazah dengan jenama Pakaian Akhir Sebelum Temui Ilahi (Pasti) berusaha mendapatkan pensijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya pihak atau individu yang menggunakan bahan yang ada di dalamnya tidak berasa ragu-ragu malahan terhindar dari perkara yang syubhah.

Mejar Anuar turut berkongsi, semasa menguruskan jenazah Malaysia yang terhempas di Belanda beliau turut mengesyorkan beberapa cadangan dan pandangan agar set lengkap pengurusan jenazah Pasti menepati serta memenuhi apa jua keperluan walau pun ketika menguruskan jenazah yang terlalu uzur.

Set lengkap ini memudahkan dan mengandungi semua item yang diperlukan untuk mengkafankan dan memandikan jenazah seperti apron plastik, debu tayamum, gel anti bakteria, topeng muka, sarung tangan getah, plastik kafan dan banyak lagi.

Lengkapnya set ini, Rasulullah SAW juga menuntut kita supaya memperbaiki pengurusan jenazah (wasatiyyah) tidak berlebih dan tidak mengurangkan. Dan barangan yang ada dalam set ini amat bertepatan mengikut sunnah sebagaimana yang ditetapkan Baginda SAW.

INFAQ set pasti

ementara itu, Ketua Pegawai Operasi Airist Cosmetics Sdn Bhd, Mohammad Zairi Zulkapli berkata, program infaq ini memfokuskan kesedaran kepada pentingnya memudahkan dan menyegerakan pengurusan jenazah.

Paling utamanya adalah pengurusan jenazah yang sempurna dengan menggunakan peralatan yang halal untuk mengelakkan unsur syubhah.

"Antara skop kumpulan penerima infaq yang menjadi keutamaan kami adalah kepada masjid, surau-surau, perkampungan orang asli, rumah orang-orang tua dan sekolah (sebagai alat bantuan mengajar).

"Disamping itu, melalui program infaq ini juga dapat mengejutkan kembali saudara Islam kita akan kepentingan mengingati mati kerana semua orang Islam seperti yang kita sedia maklum bercita-cita untuk masuk ke syurga.

Akan tetapi kita lupa syarat untuk masuk syurga itu sendiri adalah kita harus mati dan syarat untuk mati itu adalah kita harus hidup," katanya.

Menurutnya, di saat masih bernyawa pada hari ini, kita tanya diri kita, sahabat kita, saudara-mara kita, keluarga kita, adakah kita yakin yang kita akan hidup pada esok hari?

Soalnya, apakah kita sudah siapkan pakaian terakhir kita yang lengkap, sempurna dan halal? Baju raya siap kita tempah tapi sempatkah kita berasa raya sekali lagi?

"Atas kesedaran inilah, program jom infaq kami ini, kami wujudkan 1 lagi program kesedaran iaitu 1 Rumah 1 Set Pasti. Program 1 Rumah 1 Set Pasti ini adalah satu program yang sangat mencabar.

"Jika diimbau kembali semasa tahun 80an, kempen 1 rumah 1 komputer dipandang sebagai satu program yang tidak logik.

Melalui pendekatan yang sama, Alhamdulillah dengan kerjasama syarikat korporat dan individu serta bantuan media yang bekerjasama dalam menjayakan program ini, insya-ALLAH kesedaran ini akan dicapai satu hari nanti," katanya.

Menurut Mohammad Zairi, program 1 Rumah 1 Set Pasti ini tidaklah bermaksud setiap set disimpan di rumah untuk kegunaan ahli keluarga sendiri.

Sebagai contoh andai kata ada jiran kita atau saudara mara kita yang meninggal dunia, dengan adanya Set Pasti di rumah, dapatlah kita membantu waris mereka ketika dalam kesedihan.

Mati itu datangnya tidak dirancang dan ketika berlakunya kematian adakah kita dapat menyediakan kelengkapan jenazah dalam masa setengah jam atau satu jam tambahan untuk mencari peralatan yang sempurna dan halal?.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Airist Cosmetics Sdn Bhd, Mohammad Zairi Zulkapli berkata, program infaq ini memfokuskan kesedaran kepada pentingnya memudahkan dan menyegerakan pengurusan jenazah.

Paling utamanya adalah pengurusan jenazah yang sempurna dengan menggunakan peralatan yang halal untuk mengelakkan unsur syubhah.

"Antara skop kumpulan penerima infaq yang menjadi keutamaan kami adalah kepada masjid, surau-surau, perkampungan orang asli, rumah orang-orang tua dan sekolah (sebagai alat bantuan mengajar).

"Disamping itu, melalui program infaq ini juga dapat mengejutkan kembali saudara Islam kita akan kepentingan mengingati mati kerana semua orang Islam seperti yang kita sedia maklum bercita-cita untuk masuk ke syurga.

Akan tetapi kita lupa syarat untuk masuk syurga itu sendiri adalah kita harus mati dan syarat untuk mati itu adalah kita harus hidup," katanya kepada Rehal. 

Menurutnya, di saat masih bernyawa pada hari ini, kita tanya diri kita, sahabat kita, saudara-mara kita, keluarga kita, adakah kita yakin yang kita akan hidup pada esok hari? 

Soalnya, apakah kita sudah siapkan pakaian terakhir kita yang lengkap, sempurna dan halal? Baju raya siap kita tempah tapi sempatkah kita berasa raya sekali lagi? 

"Atas kesedaran inilah, program jom infaq kami ini, kami wujudkan 1 lagi program kesedaran iaitu 1 Rumah 1 Set Pasti. Program 1 Rumah 1 Set Pasti ini adalah satu program yang sangat mencabar.

"Jika diimbau kembali semasa tahun 80an, kempen 1 rumah 1 komputer dipandang sebagai satu program yang tidak logik.

Melalui pendekatan yang sama, Alhamdulillah dengan kerjasama syarikat korporat dan individu serta bantuan media yang bekerjasama dalam menjayakan program ini, insya-ALLAH kesedaran ini akan dicapai satu hari nanti," katanya. 

Menurut Mohammad Zairi, program 1 Rumah 1 Set Pasti ini tidaklah bermaksud setiap set disimpan di rumah untuk kegunaan ahli keluarga sendiri. Sebagai contoh andai kata ada jiran kita atau saudara mara kita yang meninggal dunia, dengan adanya Set Pasti di rumah, dapatlah kita membantu waris mereka ketika dalam kesedihan.

Mati itu datangnya tidak dirancang dan ketika berlakunya kematian adakah kita dapat menyediakan kelengkapan jenazah dalam masa setengah jam atau satu jam tambahan untuk mencari peralatan yang sempurna dan halal?.

Kita pasti akan mati dan kita mati untuk berjumpa ALLAH. Kita siapkan diri kita dengan pakaian terbaik apabila ingin berjumpa sesorang yang penting, tapi ketika berjumpa ALLAH kita serahkan pada orang lain untuk menyediakan pakaian untuk kita.

Adilkah kita pada ALLAH? Tidakkah kita berasa malu?  Jangan kita menjadi sombong dengan mengambil ringan akan pakaian terakhir kita.

Kempen 1 set 1 rumah, pihak kami mahu menerapkan pengurusan jenazah itu:-
1- Mudah, di mana jika berlakunya kematian dalam kalangan jiran tetangga set lengkap jenazah dapat memudahkan pengurusan jenazah.
 2- Mendidik, pengurusan jenazah bermula dari keluarga sendiri.
 3- Membudayakan pengurusan jenazah, di mana bukan orang yang tertentu sahaja boleh memandikan jenazah. Contoh, mahu mendidik orang muda supaya boleh mengurus jenazah,
 4- Tidak takut kepada kematian kerana itu adalah lumrah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati.

Boleh layari www.facebook.com/kitpengurusanjenazah atau hubungi pengedar di facebook Ammelia Mohd Ali.

Astronomi Almanak 2016

ASTRONOMI Almanak 2016 atau AA2016 ialah sebuah diari fenomena samawi (celestial phenomena) lengkap menyenaraikan fenomena langit utama yang menarik untuk dicerap, sepanjang tahun 2016 (bermula Januari sehingga Disember). Ia telah disusun atur sesuai dengan langit di Malaysia dan Asia Tenggara amnya.

Bagi minggu ini Sains Falak akan menjelaskan mengenai kedudukan planet, meteor, lintasan bulan di langit dan buruj. Penerangan lanjut boleh layari   www.falakonline.net.

Kedudukan planet sepanjang Januari 2016

Secara umumnya, tiada planet-planet cerah yang kelihatan pada waktu Maghrib dan Isyak. Kebanyakan planet hanya terbit menjelang Subuh.

Utarid

- Pada awal bulan, Utarid akan kelihatan di langit senja, sebaik sahaja waktu Maghrib, rendah di ufuk barat.

- Menjelang minggu ke-dua ia hilang dari pandangan.

- Terlalu hampir dengan matahari

- Hanya muncul kembali menjelang minggu terakhir Januari pada waktu Subuh, rendah di ufuk timur.

- Menerusi teleskop, kita akan dapat lihat Utarid berbentuk seperti 'bulan separuh' pada 1 Januari 2016.

Zuhrah

- Ia kekal menjadi objek paling cerah pada arah timur, menjelang waktu Subuh.

- Menjelang hujung bulan, ia semakin hari semakin rendah ke arah ufuk.

Marikh

- Marikh ini berkecerahan sederhana sahaja sepanjang bulan ini, namun kedudukannya semakin tinggi di langit. Pada hujung bulan, ia akan
berada tegak di atas kepala ketika waktu Subuh.

- Marikh terbit sekitar jam 2.30 pagi pada awal Januari, dan menjelang hujung bulan, ia terbit jam 1.30 pagi

Musytari

- Musytari akan terbit pada 12 tengah malam, awal Januari

- Pada hujung bulan Januari, ia terbit jam 10 malam.

- Pada waktu Subuh, ia mudah kelihatan kerana bersinar amat terang tepat di atas kepala sepanjang bulan Jan.

Zuhal

- Zuhal mula muncul kembali pada waktu Subuh, rendah di ufuk timur. Ia akan terbit semakin cepat setiap hari.

Meteor

- Pada tengah malam ke Subuh, 4 Januari 2016, juraian meteor Quandrantids akan muncul di langit.

- Kadar kemunculan meteor sekitar 40 meteor setiap jam.

- Namun tahun 2016 ini, bulan yang berada dalam sukuan akhir berada di langit pada waktu yang sama, maka cahayanya mungkin akan mengganggu sedikit kenampakan meteor ini.

Lintasan bulan di langit

- Bulan akan melintasi empat buah planet, Musytari, Marikh, Zuhal dan Zuhrah pada sepanjang minggu pertama bulan Januari, pada waktu Subuh.

Fasanya semakin mengecil sepanjang lintasan ini.

- Pada minggu ke-tiga, bulan yang ketika itu berada dalam fasa semakin membesar, akan berada dalam kalangan buruj-buruj yang terang di
langit, seperti Orion, Taurus dan Gemini.

- Pada hujung Januari, bulan akan sekali lagi melintasi hampir dengan planet Musytari.

Buruj

- Buruj Orion (yang menunjuk arah kiblat) akan mendominasi langit sebelah timur, sepanjang bulan ini. Mula kelihatan selepas Maghrib

- Bintang paling cerah Sirius akan kelihatan sedang terbit di timur.

- Di arah selatan, bintang kedua tercerah, Canopus akan kelihatan.

- Di langit sebelah utara, buruj Cassiopeia yang berbentuk huruj 'M' akan mudah kelihatan selepas Maghrib hinggalah menjelang tengah malam.

- Pada waktu Subuh, buruj paling popular iaitu Biduk atau Big Dipper akan gah berada di sebelah utara.

- Waktu Subuh juga, di sebelah langit selatan, buruj Pari atau Crux akan turut kelihatan. Di sebelah kirinya, bintang paling hampir dengan matahari,

Alpha Centauri akan turut kelihatan.

Jauhi perkataan dusta

SEBAGAI seorang Muslim, kita disuruh supaya bertakwa kepada ALLAH SWT dan menjaga diri kita daripada segala keburukan yang dituturkan lidah.

Ini kerana kejahatan lidah sangat buruk. ALLAH memerintahkan agar kita tidak menyebarkan fitnah berita-berita dan tuduhan palsu terhadap orang lain.

ALLAH mengancam orang yang membuat tuduhan palsu dan menyebarkan persepsi negatif terhadap orang lain. Sehinggakan perbuatan seperti itu dikaitkan dengan syirik menyekutukan ALLAH. Firman ALLAH: "Maka jauhilah kekotoran syirik penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan-perkataan dusta." (Surah Al-Hajj: 30)

Abu Bakar RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: "Mahukah kalian aku khabarkan dosa yang paling besar?"

Jawab sahabat RA: "Tentu wahai Rasulullah." Kata Nabi SAW: "Syirik menyekutukan ALLAH, menderhakai kedua ibu bapa."

Baginda SAW yang sedang duduk bersandar kemudian duduk tegak dan berkata: "Serta perkataan dusta dan penyaksian palsu."

Kata Abu Bakar RA: "Nabi SAW terus-menerus mengulangi perkataan terakhir itu sehingga kami berkata: Kalaulah Baginda diam." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Fitnah adalah perbuatan melemparkan tuduhan tidak benar yang sengaja diada-adakan untuk memburukkan seseorang.

Ia dilontarkan untuk mencapai matlamat tertentu seperti menjatuhkan lawan dengan menimbulkan persepsi negatif orang ramai terhadap orang yang dituduh dan menyebabkan maruah dan nama baiknya tercalar.

Adakala ia juga dilakukan untuk mendapat habuan bayaran tertentu dan seumpamanya.

Ia dilakukan tanpa memikirkan kesan buruk fitnah tersebut dan tanpa rasa gentar terhadap ALLAH.

Walhal syariat Islam menuntut supaya seorang Muslim itu sentiasa berkata dengan perkataan yang benar. Adapun perkataan yang tidak diketahui kesahihannya dan tidak dapat dipastikan ketepatannya, hendaklah dielakkan. Apatah lagi perkataan berbaur dusta dan bohong.

Firman ALLAH: "Kecuali mereka yang bersaksi dengan kebenaran dalam keadaan mengetahuinya." (Surah Al-Zukhruf: 86)

Mereka hendaklah meyakini, perkataan yang mereka ucapkan itu adalah benar. Lebih-lebih lagi hal yang membabitkan orang lain khususnya saudara seagama. Dalam masa yang sama, perkataan yang diucapkan itu hendaklah dengan niat dan tujuan yang baik.

Adapun mereka yang memutar belitkan berita dan fakta, tidak menceritakan sesuatu kejadian dengan sepenuhnya tetapi memilih bahagian berita yang tertentu dan menyembunyikan yang lain, golongan ini jelas tidak jujur dan berniat jahat.

Mereka ingin memperdayakan pendengar dan pembaca supaya suatu kesimpulan yang tidak baik dibuat terhadap individu yang dimaksudkan.

Mereka ini termasuk dalam kalangan pembohong dan pendusta yang tidak jujur dalam perkataan dan kesaksian mereka.

Firman ALLAH: "Sebenarnya orang yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat ALLAH; dan mereka itu adalah golongan pendusta." (Surah Al-Nahl; 105)

Firman-Nya lagi: "Sesungguhnya ALLAH tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas dan berdusta." (Surah Ghafir: 28)

Sesungguhnya antara keburukan orang yang berbohong dan tidak jujur dalam perkataan yang diucapkannya adalah mereka menzalimi orang yang dituduh sehingga menyebabkan darah, harta atau maruah tertuduh dihalalkan.

Tambah lagi, orang yang menimbulkan fitnah atas orang lain telah menghalalkan apa diharamkan ALLAH dengan berdusta dan memakan harta serta menjatuhkan maruah orang secara batil. Akhirnya mereka menimbulkan banyak kejahatan.

PERINGATAN BUAT MEREKA

Wahai golongan pemfitnah! Kamu telah menzalimi orang lain dan menzalimi diri kamu sendiri di samping menjual agama kamu dengan harga yang sangat murah.

Sesungguhnya golongan pemfitnah adalah golongan yang membuat kerosakan di atas muka bumi dan tidak membawa apa jua kebaikan. Mereka adalah pengkhianat yang mengubah sesuatu yang baik menjadi buruk dan sesuatu yang buruk menjadi baik.

Golongan ini sanggup memperdayakan orang ramai serta pemerintah dan bersekongkol dengan penjenayah. Betapa banyaknya kerosakan yang mereka bawa sehingga keamanan bertukar menjadi kekacauan, ketenangan berubah menjadi ketakutan dan hak-hak orang dicabuli.

Kerana itu tidaklah sifat bohong dan suka memfitnah datang melainkan daripada orang yang lemah agama dan akalnya. Orang yang sanggup melanggar batas agama dan norma-norma masyarakat untuk mencapai suatu matlamat tanpa melihat jauh dan memikirkan kesan buruk perbuatannya.

Sungguh fitnah dan lontaran persepsi negatif telah banyak merosakkan masyarakat dan menyebabkan komuniti menjadi keliru antara yang mana benar dan yang mana salah. Adanya teknologi komunikasi dan media sosial baharu terus menambahkan lagi kecelaruan dan kekusutan masyarakat.

Fitnah membuatkan masyarakat hilang keyakinan dan saling tidak percaya sesama mereka. Betapa keadaan ini merosakkan dunia dan agama umat Islam.

PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL

Pengguna media sosial baharu seperti laman sosial Facebook, Aplikasi WhatsApp, Twiter dan YouTube perlu berhati-hati ketika menerima suatu khabar berita khususnya berita yang membabitkan saudara seagamanya.

Berita itu perlu dipastikan kesahihan dan kebenarannya sebelum ia diterima dan dipercayai.

Firman ALLAH: "Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan suatu yang tidak diingini akibat kejahilan kamu sehingga akhirnya kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." (Surah Al-Hujuraat; 6)

Perlu ada sikap bertanggungjawab dalam menerima dan menyebarkan sesuatu berita. Silap langkah, buruk padahnya. Sabda Nabi SAW: "Cukuplah kedustaan seseorang untuk dia menceritakan segala apa yang dia dengar." (Riwayat Muslim)

TINDAKAN TEGAS

Kerana itu pemerintah perlu bertindak keras dan tegas terhadap golongan yang menyebarkan fitnah serta berita yang tidak benar.

Hukuman berat perlu dijatuhkan atas mereka dengan dihebahkan kepada umum agar ia menjadi peringatan buat yang lain dan supaya masyarakat berwaspada terhadap penyebar fitnah itu.

Seorang Muslim disuruh supaya sentiasa jujur dan berkata benar. Sama sekali tidak boleh berkata bohong atau bersaksi atas sesuatu yang tidak benar. Firman ALLAH: "Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana ALLAH dan menerangkan kebenaran." (Surah Al-Maa'idah; 8)

Jangan kerana kebencian atau permusuhan menyebabkan kita sampai sanggup berbuat apa sahaja untuk menjatuhkan lawan kita dengan menyebarkan fitnah serta tuduhan palsu. Sesungguhnya setiap perkataan yang kita ucapkan akan dicatat dan dipersoalkan di akhirat kelak.

Semoga ALLAH memberi taufik dan hidayah-Nya untuk kita sentiasa bersama dengan orang-orang yang jujur lagi benar, menjauhi fitnah dan dusta.