December 3rd, 2015

Polemik Malaysia sebagai negara Islam

SEJAK kebelakangan ini timbul persoalan apa yang akan berlaku jika Malaysia menjadi sebuah negara Islam?

Ini disebabkan ada golongan mendakwa negara kita dilahirkan dengan mempertahankan ciri sekular. Soalan tersebut sebenarnya bersifat semantik kerana jawapannya bergantung kepada definisi negara Islam itu sendiri.

Sebahagian ulama Islam sudah melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Tetapi ada sebahagian yang lain mengatakan tidak dan belum sampai tahap untuk menjadi sebuah negara Islam. Namun yang pasti Malaysia bukan negara sekular.

Tidak timbul pertikaian Malaysia negara sekular

PERTABALAN Yang di-Pertuan Agong dengan menyebut kalimah sumpah sambil menjunjung al-Quran bukti Malaysia sebagai negara Islam.

Sekularisme adalah prinsip pemisahan institusi kerajaan dan orang-orang yang diberi mandat untuk mewakili kerajaan daripada institusi agama dan pengamalan agama.

Dalam sebuah negara sekular, agama tidak mempunyai peranan dalam pentadbiran negara dan juga tidak ada sebarang keutamaan atau prasangka dilakukan terhadap mana-mana agama.

Sebaliknya di Malaysia, Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan. Islam juga jelas dinyatakan sebagai agama bagi semua negeri di Malaysia kecuali Sarawak.

Islam tidak disebut sebagai agama rasmi tetapi agama bagi Persekutuan. Malah, tidak ada perkataan ‘rasmi’ digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan, begitu juga perkataan ‘sekular’.

Apatah lagi, jika kita meneliti Laporan Suruhanjaya Reid kita akan memahami bahawa sekularisme telah ditolak ketika Suruhanjaya tersebut merangka Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun telah dicadangkan oleh Parti Perikatan bahawa Perlembagaan harus mengandungi peruntukan mengisytiharkan Islam sebagai agama bagi negeri, mengesyorkan perlu dijelaskan dalam peruntukan yang perisytiharan itu tidak akan mengenakan apa-apa hilang upaya kepada rakyat bukan Islam dalam menganut, menyebarkan dan mengamalkan agama mereka dan ia tidak akan menghalang negeri ini daripada menjadi negara sekular.

Cadangan tersebut telah diterima pakai keseluruhannya dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan kecuali satu. Tidak ada susunan kata yang nyata menetapkan bahawa pengisytiharan Islam sebagai agama persekutuan tidak akan menghalang kerajaan daripada menjadi negara sekular.

Perkara 3 (1) berbunyi ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Oleh itu, pengiktirafan Perlembagaan kepada pelbagai entiti Islam dan institusi lain seperti mahkamah Syariah serta pihak berkuasa agama Islam yang diberi kuasa untuk menjalankan hal ehwal umat Islam adalah sejajar dengan semangat kerangka asas Perlembagaan itu sendiri.

Malaysia tidak pernah memisahkan negeri dan agama. Begitu juga, Malaysia hakikatnya telah memilih Islam secara terang-terangan dengan mewujud dan mengiktiraf institusi agama yang mempunyai kuasa untuk mengawal selia perjalanan majoriti rakyat.

BUKAN NEGARA SEKULAR

Sudah sampai masanya kita berhenti menakutkan dan melakukan kepungan minda dengan menyalah arah diri menyatakan Malaysia akan berubah dari negara sekular kepada negara Islam kerana Malaysia tidak pernah menjadi negara sekular.

Kebanyakan undang-undang kita sudah Islam tanpa ia dinamakan Islam kerana prinsip tidak bertentangan dengan Islam itu.

Ramai orang tidak faham apa yang dimaksudkan dengan undang-undang jenayah Islam. Terdapat salah faham bahawa undang-undang jenayah Islam adalah hudud sahaja, sedangkan undang-undang jenayah Islam sebenarnya merangkumi qisas dan juga taazir.

Qisas ialah suatu kesalahan yang hukumannya adalah berdasarkan timbal balik. Manakala, taazir pula merupakan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan seperti kesalahan trafik, kesalahan-kesalahan terhadap tidak bermoral dan kesalahan lain yang tidak termasuk di bawah hudud atau qisas.

Kebanyakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan undang-undang jenayah yang lain merupakan kesalahan taazir.

Di samping itu, undang-undang Syariah bukan hanya undang-undang jenayah sahaja tetapi meliputi sistem lain seperti perbankan dan kewangan, undang-undang keterangan, hisbah, pentadbiran keadilan, kepimpinan, hubungan antara manusia dan makhluk dan hubungan antara manusia dan Allah.

Kita perlu melihat mereka dari lensa yang lebih makro, tidak hanya terhad kepada undang-undang jenayah. Dalam sistem perundangan selari yang telah pun wujud sejak sebelum merdeka lagi, tidak banyak pertentangan antara sistem syariah dan sivil ini melainkan dapat aspek-aspek yang begitu kecil.

SALAH FAHAM 
NEGARA ISLAM

Apa yang wujud hanyalah prejudis dan salah faham terhadap sebuah negara Islam. Persoalan ini timbul lazimnya kerana salah tanggapan bahawa Malaysia adalah negara sekular, justeru tidak boleh menjadi negara Islam kecuali dengan mengubah perlembagaan.

Sesungguhnya perlembagaan bukan sahaja bercampur perkara-perkara negeri dan agama, ia telah menyatakan peruntukan lebih cenderung kepada Islam dan umat Islam. Tiada pun masalah besar timbul sejak merdeka lagi dan fakta ini jelas menafikan sifat sekular tersebut.

Apa yang diperjuang umat Islam sekarang ialah mengekalkan perlembagaan dan menyulamkan pelaksanaan hukum hudud mengikut peruntukan perlembagaan.

Malaysia sudah menjadi negara Islam yang dihormati dalam kalangan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan saya percaya dengan pengenalan hudud, reputasi Malaysia sebagai negara utama OIC bukan 
sahaja akan berkurangan tetapi dipertingkatkan dalam kalangan negara-negara Islam.

Masyarakat antarabangsa tidak pernah menganggap Malaysia sebagai negara sekular, malah Malaysia mempunyai peruntukan jelas dalam perlembagaan mengiktiraf pihak berkuasa Islam, mahkamah dan institusi Islam dengan kuasa untuk mengawal selia perjalanan majoriti rakyat Malaysia.

Perlu juga diperhatikan, ketika Yang di-Pertuan Agong menaiki takhta baginda bersumpah dengan nama Allah dengan berkata ‘Wallahi wabillahi watallahi’ dan selepas itu dia bersumpah untuk memelihara Islam pada setiap masa.

Nekad perjuang tulisan Jawi

SEDAR atau tidak, tulisan Jawi yang pernah dijadikan tulisan perantaraan di seluruh nusantara termasuk beberapa negara Asia suatu ketika dahulu, pernah menjadi tulisan rasmi dan utama di negara ini.

Memastikan tulisan yang menjadi 
identiti orang Melayu tidak lenyap

Ini terbukti menerusi hasil kajian sejarah yang menemukan tulisan Jawi adalah antara tulisan terawal yang ditemui di Tanah Melayu, iaitu pada 1303 Masihi menerusi penemuan Batu Bersurat di Terengganu, berbanding penemuan bahasa rumi yang hanya ditemui pada lewat kurun ke-19.

Malah, perjanjian penting antara Raja-Raja Melayu dengan Portugis, Belanda dan Inggeris seperti perjanjian antara Stamford Raffles dengan Johor, Perjanjian Pangkor 1874, Pengisytiharan Merdeka 1957 juga ditulis menggunakan skrip tulisan Jawi.

Malangnya, tulisan yang sinonim dengan al-Quran itu semakin diancam kepupusan apabila generasi muda termasuk golongan yang lahir selepas tahun 1963 tidak tahu membaca tulisan Jawi.

Perkara itu yang dikhuatiri oleh Profesor Madya Che Siah Che Man, tulisan Jawi bakal lenyap ditelan zaman jika tidak diwarisi dan diajar kepada generasi muda.

Beliau yang juga merupakan Yang Dipertua Persatuan Pencinta Tulisan Jawi Selangor (Penjawis) berkata, lebih membimbangkan, ia secara tidak langsung menghilangkan keistimewaan identiti orang Melayu itu sendiri.

PENEMUAN Batu Bersurat membuktikan tulisan Jawi merupakan tulisan terawal ditemui di Tanah Melayu.

“Apa yang kita lihat sekarang, tulisan Jawi sudah jauh dengan anak muda kerana kurangnya pendedahan terhadap pendidikan tulisan Jawi, sehinggakan ramai yang tidak kenal huruf Jawi. Buktinya apabila disuruh membaca al-Quran dia dapat membaca.

“Ini kerana ramai dalam kalangan kita tidak lagi merasakan tulisan Jawi ini adalah tulisan warisan bangsa Melayu sendiri. Malah, tulisan Jawi juga dilihat seperti satu elemen menakutkan untuk dipelajari,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Kesan daripada itu, tambahnya, mengakibatkan generasi akan datang tidak sedar mengenai kewujudan tulisan warisan nenek moyang mereka itu.

Che Siah berkata, tulisan Jawi harus dipelihara dan dikekalkan dalam diri setiap individu sebagai tanda keunikan serta kepelbagaian Melayu agar dapat dikenali masyarakat seluruh dunia.

Ini sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa–bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal,” (al-Hujurat : 13)

“Tidak perlu melihat jauh, dalam negara kita sendiri, mengapa bangsa lain boleh memartabatkan tulisan mereka termasuk dalam urusan rasmi seperti melalui surat menyurat dan juga akhbar, sedangkan kita seakan malu untuk menggunakan tulisan Jawi.

“Apa lagi yang boleh kita banggakan jika tulisan yang pernah menjadi tulisan perantara rasmi di nusantara hilang dan masyarakat dunia juga tidak tahu tulisan Jawi adalah identiti bagi masyarakat Melayu,” jelasnya.

Perkasa tulisan jawi

PROFESOR Madya Che Siah Che Man juga berjakat, Penjawis merangka pelbagai program bagi mendedahkan dan meningkatkan kesedaran masyarakat terutamanya golongan muda terhadap tulisan Jawi.

UMMI Siah mempunyai misi tersendiri dalam perjuangannya.

“Pelbagai program seperti seminar, kursus dan juga program pemerkasaan tulisan Jawi kepada kanak-kanak dianjurkan menerusi kaedah santai dan mudah supaya mereka menyedari tulisan ini adalah tulisan warisan tradisi mereka.

“Penjawis juga berusaha mengembang dan menyemarakkan penggunaan tulisan Jawi dalam pelbagai urusan di samping membantu masyarakat memanfaatkan kemahiran tulisan Jawi dalam memperoleh dan mengembangkan ilmu,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya turut merancang untuk menjalinkan kerjasama bersama pihak berkuasa negeri dan juga tempatan bagi mengadakan Jelajah Jawi di seluruh negeri Selangor.

“Kita sedang merancang untuk mengadakan program Jelajah Jawi di sembilan daerah di Selangor dengan pelbagai pengisian bagi memberi pendedahan mengenai tulisan Jawi di kawasan tersebut.

“Menerusi usaha ini, kita berharap dapat memartabatkan tulisan Jawi sebagai tulisan yang sama status dan fungsinya dengan tulisan rumi dalam Bahasa Malaysia di negara ini dengan dimulakan di Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, Che Siah turut memuji usaha kerajaan dalam melancarkan Program Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain (J-Qaf) di sekolah rendah di seluruh negara pada 2005 yang dilihat sebagai langkah bijak dalam memperkasakan tulisan Jawi.