December 4th, 2015

Khutbah Jumaat ~ “Raja; Ketua Agama Islam Negeri”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 04 Disember 2015:  JAIS

“Raja; Ketua Agama Islam Negeri”

institusi Raja telah memainkan peranan yang sangat penting di tanah air kita. Sejak bertapaknya Islam di Nusantara, Baginda adalah pelindung kepada rakyat, penyebar agama Islam ke wilayah-wilayah di seluruh Nusantara. Terdapat di kalangan sultan-sultan di Nusantara memiliki kehebatan dari segi ketakwaan kepada Allah dan kemahiran mentadbir wilayah. Kepintaran pendakwah pula membolehkan iman menyerap ke dalam jiwa Raja-raja.

Pendakwah mengislamkan Raja-raja dan rakyat pada zaman dahulu dengan kaedah tersebut ialah;

1. Memulakan dakwah kepada raja-raja secara langsung sebagaimana Maulana Abdul Aziz berdakwah kepada Parameswara.
2. Seterusnya berdakwah kepada putera-putera raja dan kerabat Diraja sebagaimana pengislaman Pangeran Cakrabuana, Putera Raja Pajajaran yang beragama Hindu.
3. Selanjutnya pendakwah-pendakwah itu sendiri mendirikan sebuah kerajaan Islam yang baru sebagaimana Sultan Syariful Hashim yang mendirikan Kerajaan Sulu.
4. Kebijaksanaan ulama-ulama wali songo iaitu bagaimana kejayaan mereka menyampaikan dakwah kepada pembesar-pembesar negeri mereka.

Setelah berlakunya pengislaman para raja, rakyat jelata pun turut memeluk agama Islam. Ketika itu masyarakat memiliki ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada Raja-raja mereka. Dengan itu, rakyat mudah di Islamkan apabila Raja telah menerima Islam. Selepas itu, gelaran raja ditukarkan kepada sultan. Para ulama Islam telah dilantik oleh sultan menjadi penasihat dan sentiasa berdamping rapat dengan baginda. Kesan daripada itu, maka lahirnya segolongan sultan yang memiliki peribadi yang soleh dan hebat dalam mentadbir kerajaan berlandaskan syariat Islamiah.

Jika ditanya pada orang-orang Syria tentang Sultan Nuruddin Al-Zanki, pasti mereka mengenalinya dan mengetahui sejarah sultan tersebut. Begitu juga sejarah Sultan Salahuddin Al-Ayyubi bagi orang Mesir, Sultan Muhammad AlFateh bagi orang Turki, seterusnya, masyarakat Islam di negara-negara lain juga amat memelihara sejarah Sultan-sultan mereka yang soleh.

Namun, perkara sedemikian mungkin tidak berlaku dalam masyarakat kita. Ramai di kalangan kita kurang mengetahui bahawa terdapat Sultan-sultan yang soleh di wilayah-wilayah Nusantara ini.

Buku berjudul “Sultan-sultan Soleh Di Nusantara” karya Hasanuddin Yusof, telah merungkai sejarah 24 orang sultan yang soleh pernah berkuasa memerintah kerajaan-kerajaan Islam di Nusantara.

Allah SWT melalui firmannya dalam surah an-Nahl ayat 97: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan”.

Menurut fakta sejarah, antara sultan yang terkemuka di Negeri Selangor adalah Sultan Sulaiman Shah, iaitu Sultan Selangor yang ke-5. Baginda seorang sultan yang warak dan amat mengasihi ulama. Baginda sentiasa mendapatkan pandangan dan nasihat daripada ulama dalam setiap perkara yang berkaitan dengan hal ehwal pentadbiran negeri dan penyebaran agama Islam.

Sebagaimana hadis daripada Abi Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Sesungguhnya, ulama adalah pewaris Nabi. Para Nabi tidak mewarisi dinar dan dirham, namun mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya (ilmu tersebut) bererti telah mengambil bahagian yang sempurna”. (Riwayat Abu Daud)

Sultan Sulaiman Shah sangat mengambil berat terhadap pengembangan ajaran Islam di Negeri Selangor. dan telah membina dua buah masjid, iaitu di Jugra yang dinamakan Masjid Sultan Alaeddin dan sebuah lagi di Kelang iaitu Masjid Sultan Sulaiman untuk memberi keselesaan bagi umat Islam menunaikan solat.

Baginda juga sering menyampaikan khutbah Jumaat, khutbah solat Idulfitr dan Idiladha di masjid-masjid di Negeri Selangor terutamanya di Masjid Diraja Sultan Alaeddin. Kerana minat yang mendalam terhadap ilmu-ilmu Islam, baginda sempat menulis beberapa buah kitab agama.

Bagi memantapkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, baginda mengarang kitab yang masyhur antaranya bertajuk “Pohon Agama Bahagian Rukun Iman” dan Kitab tauhid yang berjudul “Melatih Kanak-kanak Lelaki dan Perempuan Agama Islam”. Kitab ini pernah dijadikan buku teks disekolah-sekolah agama di negeri Selangor. Sultan Sulaiman Shah juga telah mengarang beberapa buah puisi agama yang menarik dan dapat dijadikan panduan dan pengajaran kepada rakyat baginda

Tulisan-tulisan tersebut membuktikan bahawa baginda adalah seorang sultan yang menguasai ilmu pengetahuan agama yang tinggi. Baginda mangkat pada 31 Mei 1938 pada usia 72 tahun dan telah memerintah Negeri Selangor selama 40 tahun.

Sesungguhnya sumbangan Raja-raja Melayu kepada agama, bangsa dan tanah air amat mengagumkan seluruh rakyat jelata. Mereka menganggap bahawa pangkat yang disandang bukanlah satu kemegahan dan kebanggaan, tetapi ia adalah satu amanah dan tanggungjawab besar lagi mencabar. Semakin tinggi kepimpinan yang disandang, semakin banyaklah tanggungjawab yang mesti dipikul.

Oleh itu, kita sebagai rakyat sewajarnya mentaati sultan-sultan dan menghargai sumbangan serta menjunjung kasih atas pengorbanan mereka. Sebagaimana Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’, ayat 59 : “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.

Alhamdulillah, hari ini kita bersyukur kehadrat Allah SWT kerana Raja kita, D.Y.M.M. Sultan Idris Shah Ibni Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Sultan Selangor Darul Ehsan, adalah seorang raja yang berjiwa rakyat, yang sentiasa mengambil berat tentang kemajuan dan kesejahteraan rakyat. Baginda tidak jemu bertitah menyeru rakyat supaya bersatu, mengelakkan sebarang persengketaan dan perbalahan serta fitnah memfitnah, menolak pelbagai ajaran dan fahaman sesat yang bercanggah dengan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah

Di bawah naungan baginda sebagai Ketua Agama, syiar Islam tambah bersinar, kesedaran rakyat terhadap ajaran agama amatlah dibanggakan. Contohnya, jumlah kutipan zakat telah bertambah dari tahun ke setahun, kesedaran berwakaf termasuk wakaf tunai disambut baik oleh rakyat. Masjid-masjid dan surau dibina begitu indah, sekolah-sekolah agama mendapat sambutan yang menggalakkan sama ada di peringkat rendah mahupun menengah.

Oleh itu, sewajarnya kita menyambut baik setiap saranan Duli Yang Maha Mulia sultan yang menyeru kepada mempererat persaudaraan dan memperkukuh perpaduan serta mengelak perpecahan. Bahkan, masjid hendaklah dijadikan tempat beribadat, bukan tempat mendatangkan masalah atau perbalahan sesama umat Islam. Hubungan mesra antara institusi Raja dengan rakyat yang sedia terjalin, hendaklah dipelihara dan dipertahankan daripada sebarang cabaran dan fitnah, supaya syiar Islam terus maju berkembang pesat, maruah umat Islam terbela, terpelihara dan negeri berada dalam aman dan makmur

Mengakhiri khutbah ini, marilah kita mempertingkatkan amal soleh ke arah yang diredai Allah SWT dengan menitikberatkan perkara-perkara berikut;

1. Kita hendaklah sentiasa mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya. Seterusnya mentaati sultan dan para pemimpin yang adil dalam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah.
2. Kita hendaklah mensyukuri nikmat Allah yang kita kecapi sekarang dengan meningkatkan ketaqwaan dan amal soleh.
3. Umat Islam hendaklah berusaha memupuk sikap baik sangka terhadap orang lain dan mengikis sikap buruk sangka dan fitnah memfitnah.
4. Setiap rakyat negeri ini hendaklah berganding bahu mempertahankan institusi Raja yang sifatnya sebagai Ketua Agama, supaya dengan izin Allah, agama Islam dapat dipertahankan dan maruah orang Islam sentiasa terpelihara dan terbela.

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”. (Surah ali-Imran : 26).

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ Menyantuni Orang Kelainan Upaya

Sedutan Teks Khutbah Jumaat 04 Disember 2015M/ 22 Safar 1437H JAWI

Menyantuni Orang Kelainan Upaya


Menjadi sunnatullah tidak semua manusia dilahirkan sempurna. Begitu juga manusia yang sempurna, mereka juga tiada jaminan kekal sedemikian hingga ke hujung usia. Kedua-dua kelompok ini termasuk dalam golongan yang lemah atau al-Dhu’afa’. Mereka juga walaupun tidak majoriti, tetap merupakan sebahagian daripada entiti masyarakat dan mendapat perhatian selayaknya dalam ajaran Islam.

Kisah Rasulullah SAW ketika Baginda masih di Makkah. Suatu ketika Baginda Rasul SAW didatangi oleh Abdullah bin Ummi Maktum RA, iaitu seorang sahabat yang cacat penglihatannya. Beliau datang bertujuan mempelajari ilmu agama sedang ketika itu Rasulullah SAW sibuk melayani para pembesar Quraisy dengan tujuan berdakwah kepada mereka. Melihat kehadiran Ibnu Ummi Maktum RA, Baginda SAW lalu memalingkan muka daripadanya kerana ingin menumpukan perhatian kepada para elit Quraisy tersebut.

Lantaran itu, Allah SWT mewahyukan Surah ‘Abasa bagi menegur tindakan Baginda tersebut: Maksudnya: “Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling. Kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali dia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya? Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup. Maka kamu melayaninya. Padahal tidak ada (celaan) atasmu jika dia tidak membersihkan diri (beriman). Dan adapun orang yang datang kepadamu dengan bersegera (untuk mendapatkan pengajaran). Sedang ia takut kepada (Allah). Maka kamu mengabaikannya.” Ayat 1 hingga 10 tersebut merupakan suatu teguran yang tegas buat Baginda SAW.

Peristiwa ini menunjukkan kepada kita bahawa meskipun seseorang itu ada kecacatan tertentu, kita harus melayaninya seperti orang lain, lebih-lebih lagi jika mereka mendekati kita dengan tujuan untuk mendalami ilmu agama. Inilah apa yang diajarkan oleh Islam kepada ummatnya dalam menyantuni Orang Kelainan Upaya (OKU).

Antara perkara yang diberikan tumpuan oleh Islam ialah:

Pertama: Menyantuni Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam urusan ibadah. Beribadah kepada Allah SWT adalah perkara pokok dalam ajaran Islam. Tidak ada pengecualian bagi setiap individu yang mukallaf, sama ada mereka insan sempurna atau kelainan upaya.

Hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Nasa’i daripada Abu Hurairah RA. Sabda Rasulullah SAW: ُكُ ْم ُكُ ْم بِالَّن ا ِس ف َلْي ُخَف ِفْ فَِإَّ ن فِيه ِمْ الَّ سقِيمَ وَال َّ ضعِي َف وَال ْكَبِيرَ فَِإذَا َصلَّ ى َأحَد ِإذَا َصلَّ ى َأحَد َ ل ِن َفْسِهِ ف َلْي ُطَو ِلْ مَا َشاء Bermaksud: “Apabila seseorang daripada kamu solat bersama orang ramai (menjadi imam), hendaklah dia meringankan (bacaan dalam solatnya) kerana dalam kalangan mereka terdapat orang yang sakit, orang yang lemah, dan orang yang tua. Tetapi jika salah seorang daripada kalian solat sendirian, maka dia boleh memperpanjang sekehendaknya.”

Kedua: Membantu dan mendahulukan urusan OKU. Kehadiran Orang Kelainan Upaya (OKU) adalah merupakan suatu Rahmat daripada Allah SWT. Dengan adanya orang buta, kita menghargai nikmat melihat. Dengan adanya orang pekak, kita mensyukuri nikmat mendengar. Dengan adanya orang bisu, kita mengerti nilai nikmat berbicara. Segala yang ada pada diri kita adalah anugerah daripada Allah SWT. Ia lebih bernilai apabila dikongsi berbanding hanya dinikmati seorang diri.

Kehadiran Orang Kelainan Upaya (OKU) bukanlah untuk dihina atau ditertawakan, namun untuk difahami dan dibantu. Apalah gunanya pancaindera sempurna yang ada pada kita andai kita gagal peka kepada keperluan mereka. Ia tidak memadai dengan hanya menyediakan kemudahan seperti tandas khas, tempat letak kereta khusus serta laluan tertentu kepada mereka tanpa sentuhan bantuan secara individu.

Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud daripada Jabir bin Abdillah RA: و ُ ف وَيَْدع رْدِ ُ ُ زْ ِجي ال َّ ضعِي َف وَي ُ ف فِي الْمَِسيرِ فَي عَلَيْهِ وَ َسَّل مَ يَتَخََّل ُ ُ َّ ه َصلَّ ى الل َّ هِ ل الل ُ سو كَانَ رَ ُ ل َه ُمْ Bermaksud: “Rasulullah SAW berada di belakang ketika dalam perjalanan. Baginda memimpin orang yang lemah, memboncengkan, serta menyeru (orang) membantu mereka.”

Ketiga: Mengiktiraf dan memberikan peranan yang selayaknya kepada OKU dan masyarakat. Meskipun terdapat kekurangan tertentu pada mereka, namun pada sudut yang lain, mereka dianugerahkan dengan bakat dan kebolehan yang luar biasa, bahkan mengatasi insan lain yang sempurna.

Sebagaimana riwayat Imam Abu Dawud menerusi hadith daripada Anas bin Malik RA: عَلَيْهِ وَ َسَّل مَ ا ْستَ ُ َّ ه و م عَلَى الْمَدِينَةِ مََّر تَيْنِ َّي َصلَّ ى الل ُ َأَّ ن الَّن بِ ِم مَ ْكت ُ خْلََف ابَْن أ Bermaksud: “Bahawasanya Nabi SAW pernah melantik Ibnu Ummi Maktum menggantikan Baginda mentadbir Madinah sebanyak dua kali.”

Melabuh tirai khutbah pada hari ini, khatib merumuskan bicara kepada beberapa butiran penting berikut:

Pertama: Kehadiran Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam masyarakat adalah rahmat daripada Allah SWT kepada kita.

Kedua: Kasihilah OKU, santunilah mereka, dan bantulah keperluan ibadah dan kehidupan mereka terlebih dahulu berbanding diri kita sendiri.

Ketiga: Kita hendaklah mengiktiraf kelebihan yang ada pada mereka dan memberikan peranan yang selayaknya kepada mereka di dalam masyarakat.

Firman Allah SWT dalam surah al-Fath, ayat 17: Bermaksud: “Tidaklah menjadi salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya). Dan (ingatlah), sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, dan sesiapa yang berpaling ingkar, akan diseksa-Nya dengan azab yang tidak terperi sakitnya”.

Wallahualam.

Harapkan ustaz, ustaz tidak amanah

ANTARA ayat yang selalu dibaca oleh ustaz ketika berkhutbah Jumaat ialah: "Sesungguhnya ALLAH SWT memerintahkan kamu semua supaya memberikan amanah kepada ahlinya…". (Surah An-Nisa': 58)

Menurut Syekh Muhammad bin Soleh Al-'Uthaimin, dari segi bahasa Arab, perintah yang ada dalam ayat ini mengandungi maksud yang sangat kuat apabila digunakan dengan jelas kalimah 'ALLAH'. Sesungguhnya ALLAH yang memerintahkan kamu. Ia berbeza jika hanya digunakan 'tunaikanlah amanah' atau 'sesungguhnya Aku memerintahkan kamu'.

ALLAH menyuruh kita supaya memilih orang yang betul bagi menjaga sesuatu amanah. Amanah boleh jadi dalam bentuk sesuatu maklumat, jawatan, pekerjaan, wang ringgit dan harta orang ramai.

KHIANATI AMANAH

Sifat amanah mempunyai kaitan langsung dengan tahap iman. Orang yang diberi amanah, kemudian dia menjaga amanah tersebut seperti yang diharapkan, ia melambangkan kualiti imannya yang baik. Sebaliknya, seseorang yang mengkhianati amanah, ia gambaran kepada imannya yang kotor dan rosak.

Cukup sekiranya seorang individu mengkhianati amanah individu yang lain, dia berdosa dan perlu memohon maaf kepada individu tersebut. Apatah lagi sekiranya amanah tersebut melibatkan kepercayaan, harta dan wang ringgit orang ramai. Semakin besar amanah yang ditanggung, semakin besarlah kesalahannya jika ia diselewengkan dan dikhianati.

Perhati dan renungi peringatan Rasulullah SAW seperti yang berikut: "Tanda orang munafik ada tiga: ketika berbicara dia menipu, jika berjanji dia mungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianati." (Muttafaqun 'alaihi)

Dalam satu riwayat lain, ditambah dengan lafaz "walaupun dia berpuasa, solat dan mendakwa dia sebagai orang Islam."

Munafik ialah orang yang menzahirkan keislamannya dan menyembunyikan kekufuran. Ia boleh juga ditakrifkan dengan orang yang menzahirkan dirinya sebagai orang baik, tetapi kejahatannya disembunyikan.

Munafik iman sukar untuk dikenal pasti kecuali oleh mereka yang diberikan pengetahuan tersebut. Di zaman Rasulullah SAW pun, ada dalam kalangan mereka yang berpura-pura sebagai Islam, tetapi hakikatnya mereka masih kufur. Bukan semua sahabat Baginda SAW dapat mengenal pasti kelompok tersebut. Huzaifah bin Al-Yaman diberikan pengetahuan ini.

Namun, orang munafik dari segi sifat dan akhlaknya dapat dikenali melalui kelakuan zahirnya. Antaranya tiga sifat yang dinyatakan dalam hadis tadi. Maka, orang yang khianat terhadap sesuatu amanah yang diberikan, dia adalah bersifat munafik.

Munafik dari sudut ini boleh terkena kepada sesiapa sahaja, walaupun yang bergelar ustaz, lebai, haji, habib dan sebagainya, Munafik ini juga boleh berlaku di dalam apa jua bidang dan institusi. Jangan disangka orang munafik (tidak amanah) hanya akan wujud dalam bidang perniagaan, institusi sukan, arena hiburan dan dunia politik sahaja. Bahkan ia boleh juga terpalit kepada institusi yang ada nama Islam di dalamnya. Walaupun ia diuruskan oleh ustaz atau berlatar belakangkan agama, itu semua bukan jaminan mutlak kepada nilai amanah.

LEBIH BERINTEGRITI?

Tambahan lagi, apabila menguruskan wang ringgit dan harta orang awam, mata pun boleh menjadi kelam.

Kadang-kadang, mereka yang bukan ustaz, lebih berintegriti daripada mereka yang dipanggil ustaz atau tuan haji. Kadang kala institusi yang tidak ada nama Islam, ditadbir dengan lebih telus, amanah dan berintegriti daripada institusi yang ada nama Islam.

Lebih menarik, jika sesuatu tindakan yang tidak berintegriti, penyelewengan, pengkhianatan amanah dan sebagainya dilakukan oleh orang agama atau institusi yang ada nama Islam, ada sahaja dalil-dalil yang dibaca bagi menghalalkan perbuatan tersebut.

Sekiranya ada perbelanjaan yang tidak munasabah pun, ia tidak dilihat salah, kerana semuanya boleh berpayung di bawah istilah dakwah. Inilah 'kelebihan' orang agama atau institusi yang berkait dengan Islam. Tambahan lagi, jika ia ditadbir oleh orang-orang yang bernama.

Oleh sebab itu, bergelar ustaz atau 'orang agama' bukanlah ukuran utama kepada kelayakan untuk diberikan jawatan atau menguruskan sesuatu pentadbiran. Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyah dalam kitabnya Al-Siyasah Al-Syar'iyyah fi Islah al-Ra'iy wa al-Ra'iyyah menyebut:

"Hendak dipastikan orang yang terbaik bagi setiap jawatan, kerana sesungguhnya kepimpinan itu mempunyai dua rukun iaitu Al-Quwwah dan Al-Amanah. Ini seperti yang ALLAH firmankan (maksudnya): "Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah." Kata Raja Mesir kepada Yusuf AS: "Sesungguhnya kamu hari ini menjadi orang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai." (Surah Yusuf: 54)

Firman ALLAH dalam menyifatkan Jibrail: "(Sesungguhnya al-Quran itu benar-benar firman (ALLAH yang dibawa oleh) utusan yang mulia (Jibrail). Yang mempunyai kekuatan, yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi (ALLAH) yang mempunyai 'Arsy. Yang ditaati lagi dipercayai."  (Surah At-Takwir: 19-21)

Kata Ibn Taimiyyah lagi: "Al-Quwwah dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. Al-Quwwah dalam mengetuai peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kepada kemampuan dalam berbagai jenis peperangan. Al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan as-Sunnah dan kepada kemampuan melaksanakan hukum.

Dan amanah pula merujuk kepada perasaan takutkan ALLAH, tidak menjual ayat ALLAH dengan harga yang murah dan tidak takutkan manusia. Inilah tiga ciri yang ditetapkan ALLAH bagi setiap yang memerintah manusia.

PIKUL AMANAH

Justeru, kepada mereka yang diberikan amanah menguruskan hal ehwal dan harta orang ramai, takutlah kepada ALLAH dalam menjalankan tanggungjawab tersebut. Mungkin di dunia kita boleh bentangkan pelbagai hujah dan helah. Namun, yakinkah kita hujah tersebut mampu ditegakkan di hadapan ALLAH?

Rasulullah SAW bersabda kepada sahabah Baginda SAW yang soleh dan warak Abu Zar Al-Ghifari: "Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya." (Riwayat Muslim)

Umat mengharapkan golongan agama menjadi penegak keadilan dan pemusnah kemungkaran. Menjadi penasihat dan penegur jika ada unsur kezaliman dan penyelewengan dilakukan oleh mereka yang diberikan amanah mengurus urusan umat.

Begitu juga dengan institusi yang berkait rapat dengan nama Islam. Diharapkan pentadbiran institusi ini mampu menjadi contoh kepada nilai integriti yang boleh diteladani oleh institusi lain.

Namun, apabila ustaz yang patut mengingatkan perihal nilai amanah pun dilihat tidak amanah dan institusi yang berkait dengan agama pun terpalit dengan krisis integriti, maka siapa lagi yang boleh kita harapkan menjadi teladan.

Ibarat burung pegar yang diharap menjaga tanaman padi dari ancaman haiwan perosak, ia sendiri yang memakan padi tersebut. Harapkan pegar, pegar makan padi. Harapkan ustaz, ustaz pun tidak amanah lagi.

Tradisikan tadarus berkeluarga

SEGELINTIR dalam kalangan kita pastinya berasa janggal apabila bertadarus al-Quran bersama keluarga kerana kita tidak praktik tradisi bertadarus. Kita gemar membaca al-Quran secara bersendirian kerana sudah terbiasa. Mungkin kerana ia kurang dibiasakan! Manusia terbiasa menilai sesuatu berdasarkan zahir. Yang nampak diutamakan, yang tidak nampak kita kata: "Nanti dahulu."


Pahala membaca al-Quran termasuk dalam senarai 'tidak nampak'. Benar, kita anggap ia perkara penting tetapi hati kecil mungkin mengira, manfaatnya hanya dinikmati pada hari kiamat kelak. Alasannya, akhirat masih jauh, segala yang berkaitan dengannya diletakkan pada prioriti penting tetapi rendah.

Tulisan ini ingin berkongsi manfaat tadarus al-Quran bukan sekadar mengejar pahala akhirat. Malah jauh lebih besar daripada itu. Manfaatnya dinikmati sekarang, di dunia ini, mencorakkan kehidupan kita sekarang. Itulah manfaat yang ingin ditekankan iaitu: Bagaimana dengan tadarus al-Quran secara berjemaah yakni bersama sekeluarga, ia melancarkan perjalanan hidup anda sekeluarga.

Renunglah hadis Riwayat Muslim ini yang bermaksud: "Tidak berkumpul satu kaum di suatu rumah daripada rumah ALLAH (masjid), mereka itu membaca al-Quran dan saling bertadarus antara mereka melainkan diturunkan ke atas mereka ketenangan,

diselubungi rahmat, di kelilingi malaikat rahmat dan ALLAH mengingati mereka pada siapa di sisi-Nya.

Mari kita fahami, apakah yang akan dinikmati sekarang jika seisi keluarga akrab dengan  al-Quran melalui tadarus?

1. Ketenangan

Rumah yang cantik tidak bermakna jika dalamannya porak-peranda. Suami-isteri asyik bermasam-muka. Anak tidak bertegur-sapa. Apabila pulang, rumah berasa 'panas' dengan konflik, masalah dan pergaduhan yang tidak berkesudahan. Rumah cantik dan mewah tidak menjanjikan ketenangan. Ketika ini kita sedar, kediaman impian bukan setakat cantik tetapi perlu ‘disejukkan’. Sejuk bukan bermaksud zahir, ada penghawa dingin atau cantik & mewah. Sejuk bermaksud, ada ketenangan mengisinya.

Disebabkan itu kita perlu 'berbaik' dengan Tuhan melalui bacaan al-Quran. Hadis di atas mengajar kita petuanya: Jemputlah ketenangan luar biasa daripada Tuhan melalui tadarus al-Quran sekeluarga.

2. Diliputi rahmat

Manusia adalah makhluk yang sentiasa inginkan kasih-sayang. Percayalah, segala yang kita usahakan setiap hari hanyalah satu tujuan: Kita ingin kehidupan yang penuh 'love', penuh kebahagiaan.

Tetapi, kebahagiaan atau rahmat yang kita dambakan selalunya palsu. Kerap juga ia 'kaca': Disangka benar tetapi rupanya fatamorgana sahaja.  Makin banyak kita sekeluarga mendengar nasihat-Nya (membaca al-Quran), makin banyak Dia akan curahkan rahmat kepada kita.

Apabila Tuhan sudah sayang, efeknya luar biasa. Apa yang kita minta, Dia mudah tunaikan hatta perkara yang kita tidak minta pun, Dia akan kurniakan sebagai 'surprise' untuk menggembirakan kita. Inilah manfaat yang bakal dirasai apabila Tuhan meletakkan kita dalam 'orbit' hamba yang diliputi rahmat-Nya. Dan perkara ini bermula dengan master keynya yakni tadarus al-Quran sekeluarga.

3. Dikelilingi malaikat


Agama mengajar, ada malaikat yang tugasnya mendatangkan rahmat. Ada malaikat yang tugasannya memohon maghfirah dan keampunan kepada manusia.

Malaikat yang memohon ampun terhadap dosa kelam kita. Inilah kumpulan malaikat yang diinginkan. Mungkin selama ini hidup kita 'tersekat', banyak perkara yang diingini masih belum diperoleh kerana dosa yang belum diampunkan. Istighfar yang dilakukan masih belum mencukupi untuk menjemput keampunan Tuhan. Dan cara untuk menjemput agar malaikat memenuhi kediaman kita bermula dengan tadarus al-Quran sekeluarga.

4. ALLAH sebut nama kita

Tahukah anda, mengapa ada sesetengah orang, hidupnya berjalan lancar sementara yang lain, hidupnya tersekat? Puncanya satu sahaja: Adakah kita benar tersambung dengan main source?

Hidup berkat dalam erti kata, segala yang diusahakan berhasil. Anak menjadi, rezeki tidak putus dan musibah besar jarang berlaku. Usahakan agar Tuhan menyebut nama kita. Usahakan agar Tuhan suka dan gembira dengan kita. Nescaya, apa yang kita inginkan mudah sahaja Tuhan datangkannya. Kuncinya? Tadaruslah al-Quran sekeluarga.

Alhamdulillah kita sedar sekarang, tadarus al-Quran bukan setakat mengejar pahala, tetapi ia amat berkait rapat dengan segala usaha, hajat dan keinginan duniawi anda. Jangan jemu untuk bertadarus al-Quran sekeluarga. Bimbing anak kita untuk akrab dengan Tuhan melalui al-Quran agar mereka mudah dibentuk menjadi manusia yang meluruskan dan mudah diluruskan.

Anak yang kenal Tuhan, hidupnya pasti lurus. Dia pasti soleh dan solehah kerana kesedaran dan kecintaan Tuhan ada dalam hatinya. Hidupnya akan terbimbing, keputusan yang dilakukan sentiasa menurut hidayah Tuhan kerana keputusannya bukan atas tuntunan nafsu, tetapi atas tuntunan al-Quran.

Seminar ADHA

Jika anda ingin mendalami bagaimanakah teknik termudah untuk mendidik anak ke arah itu, hadiri Seminar ALLAH Dalam Hati Anakku (ADHA).

Seminar khas membincangkan bagaimana ibu bapa yang kurang latar belakang agama ingin mendidik anaknya berusia 6 hingga 12 tahun menjadi soleh-solehah. Anak yang mudah mendengar kata, lembut hatinya dan sejak kecil cintakan agama. Teknik yang bakal dikongsi mudah diaplikasikan, kerana ia berlandaskan on the go learning: Kita akan menguatkan bonding, anak dengan Tuhan secara tidak langsung melalui interaksi dan perbualan harian.

Apa yang anak ceritakan kepada kita, pengalamannya, apa yang disukainya, apa yang berlaku kepadanya, semuanya ada poin kita jadikannya batu loncatan untuk anak lebih mencintai Tuhan. Dapatkan maklumat lanjut mengenai seminar ini dengan melayari: http://www.furqanworks.com/seminaradha/

MUDAHNYA

Jika kita ingin cepat naik pangkat, kuncinya ada pada interaksi bersama al-Quran.

Inginkan anak berjaya dalam pelajaran, mulakan dengan tabiat membaca al-Quran.

Mahu rezeki berjalan lancar, mulakan dengan al-Quran.

Istiqamah pada jalan ALLAH

KETAHUILAH ALLAH SWT memerintah hamba-Nya secara am dan Nabi-Nya secara khas supaya beristiqamah sebagaimana Firman ALLAH: "Hendaklah kamu istiqamah dan beristighfar kepada-Nya." (Surah Fussilat: 6)

BANYAK GANJARAN

Buat mereka yang istiqamah pada jalan-Nya, ALLAH menjanjikan ganjaran pahala yang melimpah ruah.

Istiqamah membawa erti berdiri teguh atas jalan-Nya yang berkait dengan kata-kata, perbuatan dan niat. Maka ia adalah kata nama yang membawa erti yang luas. Kerana itu, ketika seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan berkata: "Wahai Rasulullah, katakan kepada aku dalam Islam suatu kata-kata yang aku tidak perlu bertanya kepada orang lain sesudah engkau." Kata Nabi: "Katakan aku beriman kepada ALLAH lalu beristiqamahlah kamu." (Riwayat Muslim)


Beristiqamahlah dalam mengerjakan amal kebaikan.

Maka istiqamah bererti teguh di atas jalan agama yang lurus tanpa condong ke kanan atau kiri; tanpa menambah atau mengurang; dan tanpa bersikap melampau atau mengambil mudah.

GODAAN SYAITAN

Ternyata syaitan mampu menghidu hati manusia dan mengujinya. Jika ia melihat seseorang itu berpaling daripada agama atau malas melakukan ketaatan kerana ingin bermudah-mudahan dan bermalas-malasan, syaitan ketika itu akan terus menggodanya supaya meninggalkan kewajipan dan melakukan yang terlarang sehingga orang tersebut memutuskan hubungan agamanya dan bergelumang dalam liku-liku kebinasaan.

Adapun jika syaitan melihat seseorang itu prihatin terhadap agamanya sehingga sukar untuk dihalang, ia akan menggodanya dan menyerunya supaya terus berlebih-lebihan dan melampaui batas kesederhanaan. Syaitan akan berbisik kepadanya:

"Sesungguhnya ini adalah kebaikan dan ketaatan, maka bersungguh-sungguhlah untuk mencapai kesempurnaan dan janganlah kamu berpaling bersama orang yang berpaling tadah atau tidur bersama orang yang lena."

Syaitan akan terus-menerus menggodainya sehinggalah orang tersebut bersikap melampau melebihi batas istiqamah.

Inilah yang menimpa golongan Khawarij pada zaman Khalifah Ali bin Abi Talib RA di mana golongan yang beristiqamah atas jalan agama dalam kalangan sahabat Nabi SAW menganggap sedikit solat mereka berbanding solat yang dikerjakan golongan Khawarij. Begitu juga dengan puasa dan bacaan al-Quran mereka. Tetapi Nabi SAW menyebut perihal golongan Khawarij ini dalam hadis Baginda SAW: "Mereka terkeluar daripada agama sebagaimana anak panah terkeluar daripada sasarannya." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Kedua-dua kelompok adalah tercela. Kedua-duanya telah menyalahi sunnah Nabi SAW dan menyelisihkan jalan istiqamah. Kelompok pertama telah menyimpang kerana mengambil mudah urusan agama. Adapun kelompok kedua, mereka juga menyimpang kerana sikap berlebih-lebihan dan melampaui batas.

Kata ulama salaf: Tidaklah ALLAH menurunkan satu perintah melainkan syaitan mempunyai dua jalan untuk menyesatkan manusia. Sama ada jalan supaya manusia mengambil mudah dan bersikap sambil lewa terhadap perintah ALLAH tersebut. Atau jalan supaya manusia bersikap keras dan berlebih-lebihan. Mana-mana yang dipilih oleh manusia antara dua jalan kesesatan tersebut tidak menjadi masalah buat syaitan.

Maka segala kebaikan adalah dengan menelusuri jalan pertengahan dalam melakukan ketaatan dan kebaikan sebagaimana yang digariskan sunnah Nabi SAW. Segala kejahatan pula adalah dengan menyimpang daripada sunnah Nabi SAW sama ada dengan memilih jalan mudah sambil lewa atau jalan melampau berlebih-lebihan.

Sebahagian mendakwa mereka beriman kepada ALLAH tetapi mereka tidak istiqamah atas jalan agama. Mereka hanya mendakwa dengan kata-kata sahaja.

TIDAK BERSABAR

Ternyata mereka tidak dapat bersabar dengan gangguan tersebut. Mereka menyimpang daripada jalan yang lurus akibat ditimpa semudah-mudah ujian. Mereka juga sesat akibat semudah-mudah syubhah atau syahwat. Merekalah golongan yang tidak mengotakan kata-kata mereka. Agama mereka adalah apa yang menepati nafsu dan keinginan mereka. Mereka tidak kenal apa itu suruhan dan apa itu larangan.

Merekalah golongan yang tidak melazimkan erti kata: "Kami beriman kepada ALLAH." (Surah Al-Baqarah: 8)

Perkataan ini seolah-olah tidak mempunyai makna dan tidak memberi kesan pada tingkah-laku mereka.

Walhal, keselamatan daripada api neraka dan kejayaan masuk syurga tidak akan dapat dicapai kecuali dengan kedua-duanya. Mengucapkan perkataan iman ini dan istiqamah di atas maknanya.

Realitinya, jika ucapan kata-kata adalah memadai dan boleh memberi manfaat kepada orangnya, tentu sahaja ia akan memberi manfaat kepada orang munafik yang mengulang-ulang perkataan: "Kami beriman kepada ALLAH." (Surah Al-Baqarah: 8)

Tetapi ALLAH mendustakan mereka dengan firman-Nya: "Tetapi mereka tidak beriman. Mereka bermuslihat terhadap ALLAH dan orang-orang beriman." (Surah Al-Baqarah: 8-9)

Mengapa? Kerana mereka tidak istiqamah atas ucapan kata-kata mereka: "Kami beriman kepada ALLAH." (Surah Al-Baqarah: 8)

Tidak dinafikan kesempurnaan istiqamah atas jalan agama tanpa melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan dalam mentaati ALLAH adalah suatu perkara yang mustahil. Ini kerana manusia sinonim dengan melakukan salah dan silap.

Dalam masa yang sama, atas sifat ALLAH Yang Maha Mengasihani lagi Maha Pengampun, disyariatkan atas manusia supaya beristighfar meminta keampunan Ilahi untuk menampung kekurangan dan kecacatan yang ada dalam kita beristiqamah pada jalan ALLAH.

Firman ALLAH: "Hendaklah kamu istiqamah serta beristighfar kepada-Nya." (Surah Fussilat: 6)

Ayat di atas mengandungi isyarat mengenai akan berlakunya kekurangan dan kecacatan dalam melaksanakan tuntutan istiqamah. Dan kekurangan ini akan dapat ditampung dengan beristighfar.

PESAN NABI SAW

Betapa indahnya jalan istiqamah menuju ALLAH dan betapa cantiknya jalan pertengahan di antara dua jalan yang saling bertentangan. Tanpa mengambil mudah atau bersikap melampau. Tanpa menjatuhkan maruah diri daripada kedudukan agama yang ALLAH muliakan manusia dengannya.

Dan tanpa melampaui batas, bersikap keras dan menyusahkan urusan agama sehingga hal sunat diangkat menjadi wajib serta hal makruh dianggap haram manakala hal yang diharuskan syarak yang berupa kecantikan dan kemanisan dunia yang ALLAH datangkan buat manusia dilarang.

Dalam satu peristiwa, tiga sahabat RA di mana salah seorang mereka bertekad untuk mengerjakan qiamullail sepanjang malam, manakala seorang lagi berazam untuk berpuasa setiap hari tanpa ada hari berbuka dan sahabat yang ketiga berjanji untuk tidak berkahwin selama-lamanya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Demi ALLAH, aku lebih takut kepada ALLAH dan lebih bertakwa kepada-Nya; tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku solat malam dan tidur, di samping itu juga aku berkahwin dengan wanita. Barang siapa berpaling daripada sunnahku maka dia bukan terdiri daripada golonganku." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Semoga ALLAH mengurniakan kita  istiqamah teguh di atas jalan agama-Nya serta patuh pada sunnah kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW.

Sabarlah, anakmu menunggu di syurga

PERMULAAN bulan Disember 2015 membawa khabar sedih apabila tujuh kanak-kanak dan remaja mati lemas dalam insiden di Kuala Lumpur dan Johor. Kita bersimpati dan mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa.

Dalam insiden di Pasir Gudang, tiga kanak-kanak termasuk dua beradik ditemukan lemas dalam sebuah kolam takungan air di Taman Cahaya Masai, 1 Disember lalu. Pada kira-kira pukul 10 pagi hari yang sama, seorang remaja orang kurang upaya ditemukan lemas di Pantai Lido, Johor Bahru.

Kelmarin, kesemua tiga kanak-kanak yang lemas selepas tergelincir di Sungai Puyuh berhampiran Sungai Besi ditemukan di sebuah lombong berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah, Kuala Lumpur.

Kita turut sama berkongsi kesedihan yang ditanggung oleh semua keluarga terlibat. Siapa yang tidak sayangkan anak. Tetapi demikian sudah tersurat takdir Allah. Rezeki mereka di muka bumi ini hanya setakat itu sahaja.

Bagaimanapun, bagi orang Islam, di sebalik kesedihan itu, ada khabar gembira menanti ibu bapa yang kematian anak-anak yang belum baligh. Anak-anak itu nanti akan menunggu ibu bapa masing-masing di syurga kelak.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW. Daripada Abu Hurairah ra. bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Anak-anak kecil Islam (yang meninggal sebelum baligh) akan menjadi pelayan-pelayan syurga yang akan menemui bapanya atau kedua orang tuanya. Ia pun memegang pakaian bapanya dengan tangannya, seperti saya mengambil shinfah [susunan/karya] ini. Ia tidak melepaskannya lagi sehingga Allah memasukkannya bersama orang tuanya ke syurga.” (Riwayat Muslim)

Baginda SAW yang juga kekasih Allah turut diuji oleh Allah SWT. Ini apabila ketiga-tiga anak lelaki Rasulullah SAW meninggal dunia sewaktu kecil manakala tiga anak perempuan meninggal dunia selepas berkahwin dan semasa Nabi SAW masih hidup.

Orang beriman pastinya reda dengan ketentuan Allah. Sebabnya, anak-pinak, harta kekayaan dan sebagainya yang kita miliki di dunia ini hanya pinjaman. Apabila tiba masanya, semuanya akan kembali kepada Yang Maha Kuasa iaitu Allah SWT. Demikianlah juga dengan nyawa kita.

Sehiba mana dan sesedih mana pun kita, ingatlah bahawa semua yang berlaku itu ada hikmahnya. Untuk itu, para ibu bapa yang kehilangan anak-anak yang masih kecil, perlu memberi perhatian kepada beberapa perkara. Di antaranya:

- Sabar dan ikhlas - Ibu bapa mesti sabar dan ikhlas menerima pemergian sang anak, tidak meratapi secara berlebihan sehingga memudaratkan kesihatan.

- Memuja Allah - Ucapkanlah kalimat istirja’ (innaa lillahi wainnailillaihi roojiun) dan merenungi kandungan maknanya. Kita anak kita, dan segala yang ada di sekitar kita semuanya adalah milik Allah. Anak adalah amanah dan pinjaman daripada Allah SWT.

- Mengharap reda atas kematian anak - Kematian seorang anak bukanlah suatu musibah melainkan himpunan berkat yang mesti diambil oleh orang yang ditinggalkan. Ibu bapa mestilah memohon pahala dan keberkatan daripada peristiwa tersebut mudah-mudahan Allah akan melimpahkan banyak kebaikan dan pahala kepada hambanya yang meminta dengan setulus hati. - Mohd Radzi Mohd Zin Al-Bayan Utusan Malaysia Rencana 04 Disember 2015  6:15PM

Ajar keamanan, bukan keganasan

ISLAM tidak pernah me­nga­jarkan keganasan. Dalam ajaran Islam hanya ada fiqh jihad yang jauh sama sekali daripada pengertian keganasan.

Mana-mana kumpulan atau individu yang melakukan kerosakan di atas muka bumi ini maka mereka ialah orang yang zalim. Maksud firman Allah SWT:“Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas: 77).

Menceroboh dan membunuh sesuka hati seperti yang dilakukan oleh kumpulan pengganas Negara Islam (IS) atau mana-mana kumpulan pengganas sekali pun adalah contoh kerosakan dan kezaliman.


PENUNTUT lelaki beragama Islam di India ini tekun mendengar ceramah mengutuk keganasan kumpulan militan IS di Mumbai, 20 November lalu. AFP

Demikian juga dengan tindakan membunuh beramai-ramai dengan cara meletupkan diri (suicide attacks) di tengah-tengah masyarakat awam adalah satu jenayah yang bukan daripada ajaran Islam. Membunuh tanpa hak adalah ibarat membunuh manusia seluruh alam.

“Sesiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan sesiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.” (Surah al-Maidah: 32).

Justeru, tiada kena-mengena keganasan dengan Islam. Hakikatnya, punca keganasan bukanlah daripada agama tetapi didorong faktor fenomena sosial sehingga berlakunya ketidakadilan dan penindasan dalam masyarakat. Kejahatan yang dilakukan oleh kumpulan IS pada hari ini dilakukan oleh penganut Islam yang menyeleweng (pseudo-adherents) - seperti yang pernah berlaku dalam sejarah Kristian ketika zaman kegelapan dulu.

Sejarah agama itu merakamkan bahawa tentera salib yang terdiri daripada penganut Kristian Eropah telah memanipulasi pengikutnya untuk berjuang menjajah Palestin dari tangan orang Islam di akhir abad ke-11. Gerakan itu yang kononnya berjuang atas nama agama telah melakukan keganasan dan kekejaman ke atas orang awam yang tidak bersalah dengan melakukan pembunuhan kejam dalam kota yang dicerobohnya. Demikianlah apa yang dilakukan oleh kumpulan IS pada hari ini, terutama di Iraq dan Syria.

Sama ada tentera salib dulu mahupun kumpulan IS pada hari ini mereka telah melakukan keganasan yang bertentangan sama sekali dengan ajaran agama masing-masing. Kedua-duanya, sama ada tentera salib mahupun IS dibentuk oleh mereka yang jahil tentang agama. Apatah lagi kewujudan IS sangat diragui kerana ia dikatakan dilahirkan oleh Zionis sendiri untuk memburuk-burukkan Islam.

Realitinya, kumpulan pengganas itu dipergunakan untuk menjayakan agenda Zionis. Anak-anak muda Islam di seluruh dunia yang terpengaruh dengan IS kebanyakannya kerana mereka jahil dengan tujuan dan agenda sebenar IS yang kononnya berjuang untuk agama.


AKTIVIS antiperang berhimpun di luar bangunan Parlimen di tengah kota London bagi membantah keputusan kerajaan Britain mengundi untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap Syria atas alasan memerangi kumpulan militan Islamic State (IS) pada 2 Disember lalu. AFP

Ketika Islam mula berkembang di Mekah, ramai yang memeluk Islam termasuk orang Badwi yang tinggal di pedalaman gurun. Oleh kerana Badwi yang tinggal di pedalaman gurun adalah mereka yang mundur dari segi ketamadunan dan intelektual maka mereka gagal memahami dan mendalami Islam dalam erti katanya yang sebenar. Allah menyatakan hal ini di dalam Al-Quran: “Orang-orang Arab Badwi itu, lebih banyak kekafiran dan kemunafikannya, dan lebih wajar tidak mengetahui hukum-hukum yang diturunkan Allah kepada Rasul-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah: 97).

Justeru, golongan yang terpengaruh dengan IS itu boleh diumpamakan seperti orang Badwi - terdiri daripada orang yang jahil, kufur dan munafik dan akhirnya menjadi ‘duri dalam daging’ atau petualang kepada Islam. Golongan fanatik dan ekstrem ini mendakwa diri mereka memahami Islam walaupun pada hakikatnya mereka tidak memahami Islam sepenuhnya sehingga tindakan mereka menyeleweng daripada al-Quran.

Golongan fanatik dan ekstrem seperti ini sanggup membunuh sesiapa sahaja seperti mana yang berlaku ke atas Sayidina Ali yang dibunuh oleh aktivis ekstremis golongan kharijiyah dari puak Syiah.

Penyakit yang ada pada dunia Barat pula ialah mengambil kesempatan atas sifat permusuhan dan kejahilan dengan menubuh atau mempotretkan Islam mengajar dan mendukung keganasan. Persepsi ini perlu diubah walaupun terpaksa mengambil jangka masa panjang untuk membetulkannya. Dunia Barat yang diterajui Amerika Syarikat (AS) sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memburukkan Islam dan penganutnya.

Sering kali juga mereka menggunakan kuasa untuk memerangi negara umat Islam atas nama memerangi keganasan. Mereka cuba menghidupkan atau menyemarakkan pertembungan agama atau budaya seolah-olah mahu membenarkan teori clash of civilization (benturan peradaban), iaitu satu doktrin yang dicipta oleh Samuel Huntington pada 90-an.

Sepatutnya Barat yang didominasi oleh Kristian berusaha merapatkan hubungan dengan dunia Islam kerana Allah sendiri menyatakan bahawa penganut Kristian sebagai paling dekat persahabatannya dengan orang yang beriman (Surah al-Maidah: 82).

Justeru, dialog peradaban mesti terus disemarakkan, terutamanya antara penganut Kristian dan Islam supaya dapat duduk semeja untuk saling bermusyawarah dan memastikan agama tidak dikaitkan dengan sebarang keganasan.