December 8th, 2015

Integriti dalam bersumpah

MUTAKHIR ini sumpah dan pengakuan bersumpah seolah-olah menjadi mainan bibir sesetengah anggota masyarakat. Sejak sedekad lalu, politik Malaysia sering dihiasi beberapa siri pengakuan bersumpah yang ada kalanya ditarik semula selang beberapa hari selepas dilafazkan sehinggakan masyarakat keliru dan mula meragui kejituan sesuatu sumpah itu.

Sumpah atau dalam bahasa Arab ‘Al–Yamin’ bermaksud kanan atau pihak kanan. Hal ini kerana sewaktu bersumpah orang akan menggunakan tangan kanannya. Dari sudut Islam, sumpah bermaksud menyatakan dengan penuh kesungguhan perkara yang mungkin berlaku dan mungkin tidak berlaku yang diperkukuhkan dengan menyebut nama Allah SWT atau salah satu sifat-Nya.

Sumpah boleh dilakukan di dalam mahkamah atau di luar mahkamah. Namun begitu sumpah yang dibuat di mahkamah adalah atas permintaan hakim sahaja dan boleh menjadi keterangan yang sah dalam mana-mana perbicaraan.

Akta Sumpah Dan Ikrar 1949 (Akta 194) mengenakan hukuman yang agak ringan kepada mereka yang berbohong ketika bersumpah di mahkamah. Seksyen 14(1) Akta berkenaan menetapkan bahawa sekiranya seseorang itu berbohong dan memberi keterangan palsu setelah bersumpah di Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Tinggi mengikut pengertian Seksyen 191, Kanun Keseksaan, maka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga bulan atau denda tidak lebih RM500.

Sekiranya seseorang itu memberi keterangan palsu di Mahkamah Sesyen pula, hukuman maksimum yang boleh dikenakan ialah penjara tidak lebih dua bulan atau denda tidak melebihi RM200 manakala jika kesalahan itu disabitkan di Mahkamah Majistret, maka hukumannya penjara tidak melebihi se­bulan dan denda tidak lebih RM100. Hukuman ini menyebabkan orang ramai tidak begitu takut untuk melakukan pembohongan dan memberikan keterangan palsu biarpun di dalam mahkamah setelah melalui proses bersumpah.

Mengikut ajaran Islam, sumpah adalah satu perkara yang amat dipandang berat. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang yang menukar janjinya dengan Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, maka mereka itu tidak akan mendapat pahala di akhirat, dan Allah tidak akan berbicara dengan mereka dan tidak akan melihat mereka pada hari kiamat dan tidak pula akan mensucikan mereka. Dan bagi mereka azab yang pedih.” - Surah Ali Imran: Ayat 77.

Dalam syariat Islam, setiap sumpah yang hendak dilakukan perlu memenuhi prasyarat berikut:

(i) Orang yang membuat sumpah itu mestilah mukallaf iaitu siuman, baligh, tidak dipaksa dan tidak tidur;

(ii) Sumpah hendaklah dibuat dengan niat bukan kerana gurauan atau tersilap sebut;

(iii) Sumpah dibuat atas nama Allah SWT;

(iv) Wajib ke atas orang yang kena dakwa menafikan tuduhan, jika dia mengaku salah maka tidak wajib dia bersumpah;

(v) Sumpah dilakukan sendiri iaitu tidak mewakilkan kepada orang lain.

Para fuqaha Islam telah membahaskan tentang hukum bersumpah. Walaupun pada dasarnya sumpah itu diterima sebagai salah satu cara untuk pembuktian, namun sumpah itu boleh dibahagikan kepada empat kategori iaitu wajib, harus, makruh dan haram.

Sumpah yang wajib adalah sumpah untuk menjaga keselamatan manusia. Umpamanya seseorang yang telah dituduh membunuh, sedangkan tidak ada saksi yang terang untuk mensabitkan­nya, maka wajiblah dia bersumpah.

Sumpah yang harus pula ialah sumpah untuk melakukan atau meninggalkan sesuatu yang harus. Sebagai contohnya, seseorang itu bersumpah untuk memakan makanan yang sedap. Oleh kerana makan sedap itu harus, maka bersum­pah kerananya juga adalah ha­rus.

Sumpah yang makruh ialah sumpah untuk mengerjakan sesuatu perkara yang makruh atau hendak meninggalkan perkara yang sunat. Sebagai contohnya seseorang itu bersumpah untuk tidak memberi sedekah. Oleh kerana perbuatan itu meninggalkan perbuatan yang sunat, maka bersumpah seperti itu adalah makruh hukumnya.

Akhir sekali, sumpah yang haram pula ialah sumpah yang dusta atau bersumpah untuk melakukan perkara yang haram. Sebagai contohnya seseorang itu bersumpah untuk mensabitkan rakannya sebagai tidak membayar hutangnya sedangkan rakannya itu telah pun menjelaskan hutangnya, maka sumpah seperti itu adalah haram hukumnya dan amat berdosa.

Begitulah indahnya Islam meletakkan sumpah itu sebagai asas pembuktian dan bukannya landasan atau ruang untuk menjadi sandiwara dan medan pemboho­ngan oleh segelintir manusia yang tidak berintegriti yang kian kerap berlaku dewasa ini.

Sumpah juga tidak boleh dijadikan medan untuk menganiayai sesama manusia apatah lagi oleh seseorang pemimpin kepada rak­yatnya seperti yang dilakukan oleh diktator Canaan Sodindo Banana iaitu Presiden Zimbabwe pertama yang memerintah negara itu secara kuku besi dari 1980 hingga 1987. Sebaik sahaja menerajui negara, beliau telah bersumpah akan meng­hukum mana-mana rakyatnya yang mempersendakan namanya “banana“ yang bererti pisang itu.

Untuk merealisasikannya, beliau menguatkuasakan undang-undang mengenakan hukuman penjara 10 tahun kepada sesiapa yang disabitkan kesalahan mempersendakan namanya. Kezalimannya itu akhir­nya mendapat pembalasan apabila beliau disabitkan dengan tuduhan meliwat 11 pembantu peribadinya pada 1998 sehingga terpaksa turun dari takhta pemerintahan dalam keadaan hina.

Mudah-mudahan masyarakat ki­ta, terutamanya generasi Y akan sentiasa peka pentingnya berpegang kepada premis kebenaran dan menghindari membuat pengakuan atau bersumpah palsu dan menjadikan nilai integriti sebagai budaya hidup seharian baik secara individu mahupun secara berpasukan.

- Anuar Ahmad Utusan Malaysia Rencana 07 Disember 2015 6:10 PM

Tiga ciri ahli Sunnah wal Jamaah

KEBELAKANGAN ini, terdapat keperluan untuk menegaskan semula Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) sebagai Mazhab Akidah Teras umat Islam di Malaysia. Penegasan sedemikian, selain lanjutan sejarah sebenar perkembangan Islam di Alam Melayu, juga menjelaskan lagi kandungan peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia berkenaan Islam sebagai Agama Persekutuan. Bagaimanapun, penekanan tersebut perlu sentiasa dipandu oleh kesedaran dan kefahaman yang betul bagi mengelakkannya sekadar menjadi slogan ikutan yang dipertahan dengan kuasa semata-mata.

Kesedaran dan kefahaman yang dimaksudkan itu sekurang-kurangnya perlu merangkum tiga perkara berikut:

Pertama, ASWJ sesungguhnya penzahiran sebenar pendirian yang wasat, iaitu adil-beradab, dalam berdepan de­ngan pelbagai pegangan dan kecenderungan melampau. Misalnya, antara melampau dalam menobatkan cuma akal sebagai sandaran ilmu dan keyakinan sebagaimana yang dipegang oleh sekelompok ahli falsafah dan melampau dalam bersandarkan hanya riwayat dan naqal untuk memperoleh ilmu yang pasti seperti kelihatan pada segelintir ahli hadis tegar; antara melampau dalam menafikan sama sekali sifat-sifat Tuhan untuk mempertahan kesatuan dan ketunggalan-Nya dan melampau dalam mengiyakan sifat-sifat-Nya sehingga sama seperti yang terdapat pada insan; antara melampau dalam menafikan kehendak dan kuasa insan demi mengiyakan kehendak dan kuasa Tuhan dan me­lampau dalam menafikan kehendak dan kuasa Tuhan demi mempertanggungjawabkan insan atas kelakuannya; antara melampau dalam menafikan al-Quran sebagai Ka­lam Allah yang qadim dari segala segi dan melampau dalam mengiyakan al-Quran sebagai Kalam-Nya yang qadim sehingga merangkum dakwat dan kertas mushaf; antara melampau dalam menyalahkan Saidina Ali dalam ijtihad baginda sehingga menghalalkan darahnya dan melampau dalam membenarkan baginda dan keturunannya sehingga menyalahkan semua sahabat yang tiada bersependapat dengannya; antara melampau dalam mengkafirkan setiap Muslim yang berdosa dan melampau dalam meringan-ringan segala dosa; dan lain-lain yang seumpama semua itu.

Oleh kerana pendirian wasat ini, tokoh-tokoh ilmuwan utama ASWJ dalam pegangan dan amalan mereka berjaya mencontohkan ke­seimbangan antara sifat inklusif dan sifat eksklusif ketika berdepan dengan ane­ka aliran pemikiran dan ajaran sehingga dapat memanfaatkan apa-apa yang baik serta menghindari segala yang buruk.

Kedua, dalam penzahiran ASWJ di pentas sejarah dan selari dengan beberapa riwayat hadis Baginda Nabi SAW, gelaran salaf merujuk kepada generasi dalam tiga atau empat kurun pertama sejak zaman Rasulullah SAW, manakala khalaf pula ada gelaran untuk gene­rasi yang muncul selepas tiga-empat kurun itu. Malah, sebagaimana yang berlaku dalam sejarah, pada generasi salaf itu, termasuk dalam kalangan para sahabat Nabi SAW, sudah sedia terdapat perbezaan pendekatan dan kaedah.

Pendekatan dan kaedah berbeza ini kemudiannya berlanjutan dan berkembang dalam generasi khalaf. Pembahagian salaf-khalaf ini justeru bersifat kronologi (atau urutan masa) dan tidak sama sekali bermaksud manhaj atau kaedah yang benar dan yang salah.

Sehubungan itu, dakwaan sesetengah pihak bahawa mereka ‘Salafi’ dengan makna “ajaran, pendekatan dan kaedah mereka menuruti generasi salaf dan justeru berbeza dengan generasi khalaf” sesungguhnya dakwaan yang sangat perlu diawasi kerana mempunyai ciri melampau dan cenderung untuk memecahbelahkan umat Islam.

Ketiga, dari segi rumusan, penyusunan dan penghuraian ajaran akidah yang zahir berkembang dalam generasi khalaf, ASWJ merangkum tiga mazhab utama, iaitu: Asha‘irah (bernisbahkan Imam al-Ash‘ari), Maturidiyyah (bernisbahkan Imam al-Maturidi) dan Hanabilah (bernisbahkan Imam Ahmad b. Handal).

Sangat menarik untuk kita perhatikan bahawa dengan pemerluasan wilayah pemerintahan Islam dan peningkatan bilangan orang Islam, hanya Hanabilah yang kekal sama sebagai mazhab akidah dan fiqh sedangkan secara umumnya orang Islam yang dari segi akidahnya bermazhab Asha‘irah dari segi fiqhnya pula bermazhab Shafi‘i ataupun Maliki, manakala yang dari segi akidahnya bermazhab Maturidiyyah dari segi fiqhnya sering bermazhab Hanafi.

Tambahan lagi, sekiranya dilihat dari segi keluasan perkembangan, berbeza dengan mazhab Hanabilah yang cenderung bertumpu di Semenanjung Arab semata, mazhab Asha‘irah dan Maturidiyyah pesat maju ke hampir setiap daerah yang dihuni oleh kaum Muslimin, termasuk kawasan-kawasan yang terlebih dahulu didiami oleh pe­nganut agama dan warga Peradaban sebelum Islam.

Justeru, dalam memelihara, mempertahan, mengembangkan dan memupuk ajaran Islam, termasuk dasar-dasar akidahnya, tokoh-tokoh terkemuka kedua-dua mazhab ASWJ ini sering perlu berhujah dengan sangat baik lagi meyakinkan ketika berdepan secara ilmiah dengan barisan cendekiawan, sarjana pemikir, dan ahli sains agama-agama dan tamadun bukan Islam itu.

Justeru, dalam karya-karya tokoh-tokoh tersebutlah sebenarnya terkandung contoh gemilang Dialog Peradaban Aras Tinggi yang masih relevan dan sangat perlu kita manfaatkan semula, khasnya di peringkat pendidikan tinggi. Malah, dialog tamadun sedemikian adalah sebahagian isi kandungan utama disiplin pengajian yang dikenali dengan beberapa nama: al-fiqh al-akbar (fiqh utama atau induk), usul al-din, atau ilmu al-kalam. Umat Islam kini sesungguhnya masih bertuah kerana banyak kitab utama dalam jurusan ilmu ini masih terpelihara dan dapat ditelaah sehingga kini.

Cuma, yang sangat diperlukan sekarang adalah, (1) penyediaan kemudahan institusi terjamin bagi para sarjana dan cendekiawan semasa yang jelas terbukti pencapaian, ketokohan dan sumbangan mereka dalam bidang ini untuk menyelidik, berkarya dan mendidik ilmuwan-ilmuwan pelapis seterusnya; (2) peruntukan dana yang sewajarnya secara lestari bagi menjamin tuntutan kefarduan bidang ini berpanjangan dipenuhi; dan (3) pemilihan tenaga-tenaga geliga dalam kalangan umat untuk menekuni bidang ini dalam suasana cabaran pemikiran semasa.

- Dr Mohd Zaidi Ismail Utusan Malaysia Rencana 07 Disember 2015

Kesusahan Kesenangan Ujian Allah

“Kesusahan Kesenangan Ujian Allah ”

Apabila kita menyebut nikmat, maka terbayang di fikiran kita tentang kesenangan, kemewahan, kejayaan dan sebagainya. Dan apabila kita memperkatakan tentang kesusahan, maka berlegar difikiran kita pula tentang kesempitan, kesukaran, kesakitan, kemiskinan dan sebagainya.

Kita wajib beriman dan meyakini bahawa segala ketentuan susah atau senang adalah qada’ dan qadar yang telah ditentukan oleh Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al-A’la ayat 1-3: Maksudnya: “Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu Yang Maha Tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan). Yang telah menciptakan (sekalian makhluk-Nya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya. Dan Yang telah mengatur serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan kesempurnaannya).”

Dalam Tafsir al-Jalalain, yang menyentuh khusus ayat , menjelaskan bahawa hanya Allah SWT yang menentukan apa yang dikehendakiNya, dan Allah jualah yang memberi petunjuk kepada apa yang ditentukanNya samada berupa amal kebaikan atau amal keburukan.

Berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Yunus ayat 12: Maksudnya: “Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia kepada Kami, sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; Maka setelah Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia kembali dengan cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang yang menimpanya. demikianlah diperelokkan pada pandangan orang yang melampau apa yang mereka lakukan.”.

Ayat ini memberitahu kita bahawa dalam menghadapi apa jua bentuk kesusahan hidup yang kita lalui, kita hendaklah berfikiran positif, mengkaji dan menilai apa-apa kelemahan dan kekurangan, membuat analisa, merancang tindakan, cuba mencari formula atau jalan keluar daripada masalah atau kemelut yang melanda, bertanya kepada mereka yang pakar dalam menentukan hala tuju dan matlamat yang jelas, dan paling penting hendaklah meletakkan kebergantungan kita kepada Allah SWT dengan bertawakal dan berserah diri sepenuh jiwa dan raga.

Kesusahan ini tidak mengenal sesiapa bahkan para Nabi dan Rasul juga mengalaminya. Contohnya, Nabi Ayub AS diuji dengan penyakit kulit, Nabi Yunus AS ditelan ikan Nun, Nabi Nuh AS yang belayar dalam bahteranya mengharungi banjir besar bersama kaumnya, Nabi Muhammad SAW dan para sahabat RHUM yang dianiaya, diseksa, dipulau, dicaci, dicerca, dilempar batu dan pelbagai lagi ujian berat yang ditanggung. Namun semua kesusahan ini sedikit pun tidak melunturkan iman dan taqwa mereka, bahkan semakin kuat dan sentiasa bergantung kepada Allah SWT.


Berdasarkan tajuk khutbah pada minggu ini, iaitu:

Pertama: Sebagai orang yang beriman, saat kita ditimpa musibah ucapkanlah: (maknanya:“Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”). Dan selayaknya kita berusaha mengembalikan hati, diri dan jiwa kita untuk mendekatkan diri kepada-Nya.

Kedua: Saat kita diberi kebahagiaan, kecukupan dan kenikmatan, sebenarnya ia adalah salah satu ujian yang besar buat kita. Adakah dengan kenikmatan itu boleh menjadikan kita dekat atau bahkan menjauhkan diri kita dari Allah SWT.

Ketiga: Saat kita diberi kesulitan, kesedihan dan cubaan ditimpa musibah, janganlah kita menganggap bahawa kitalah orang yang paling malang atau orang yang dibenci oleh Allah SWT. Sebaiknya kita menyingkap ujian itu dengan berusaha mencari jalan keluar, berdoa dan bertawakal. Semakin dekat dengan Allah, semakin tunduk kepada-Nya demi mendapatkan perhatian, rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Keempat: Hendaklah kita sentiasa bersyukur di waktu senang dan bersabar dengan ketentuan-Nya di waktu susah.

Kelima: Ketika berhadapan dengan kesulitan atau kesenangan, kita hendaklah sentiasa dekat kepada Allah SWT.

“Alif, Laam, Mim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta.”. (Surah al-Ankabut : 1-3)

Wallahualam.


Khutbah JAKIM (25 September 2015 / 11 Zulhijjah 1436H) : JAKIM

Perancangan 5 tahun tingkat pelaburan, aset Tabung Haji

SAIZ dana Tabung Haji (TH) kini melonjak lebih empat kali ganda kepada RM60 bilion daripada RM13.3 bilion dalam tempoh kira-kira sedekad lalu, sekali gus muncul antara dana Islam terbesar dunia.

Pada masa sama bilangan pemegang akaun TH meningkat kepada 8.8 juta. Namun, 7.5 juta pemegang akaun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000, selain 1.9 juta pendeposit sudah mendaftar haji tetapi masih tidak berpeluang menyempurnakan Rukun Islam Kelima itu.

Ikuti temu bual eksklusif wartawan BH, MUTAZAR ABD GHANI, AHMAD FIESAL OTHMAN dan MOHD ZIN ALI bersama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH, TAN SRI ISMEE ISMAIL, yang mengulas bahawa agensi pengurusan haji itu mengimbangi sasaran untuk menjana keuntungan dan pada sama tidak menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya iaitu memudahkan umat Islam menunaikan haji.


PENGARAH Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail. - Foto Asyraf Hamzah
S: Apakah teras utama pelan perniagaan TH untuk tahun hadapan? Apakah strategi pelaburan TH memandangkan keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini?

J: Pada asasnya dari segi strategi, kami akan meneruskan apa yang kami gunapakai sekarang. Jika anda melihat pada aset atau saiz dana kami hari ini, ia berada pada aras RM60 bilion.

Kami percaya peruntukan Alokasi Aset Strategik yang sedia ada masih relevan, yang mana ia dibahagikan kepada ringkasnya empat sektor iaitu Ekuiti, Hartanah, Pendapatan Tetap dan Tunai.

Pada dasarnya kita akan mengekalkannya dan kita akan melakukan beberapa perubahan taktikal.

Perubahan taktikal bermakna alokasi aset kami berubah berdasarkan iklim pelaburan semasa.

Sebagai contoh, sejak dua tahun yang lalu, pelaburan ekuiti sebenar adalah pada sekitar 40 peratus, walaupun alokasi aset strategiknya adalah 50 peratus.

Kini apabila pasaran ekuiti menurun ada kemungkinan peluang kita untuk meningkatkan pelaburan dlm ekuiti ke paras strategik 50 peratus.

Keduanya, saya fikir ini adalah satu peluang yang baik bagi TH untuk mengkaji semula hala tuju dari tujuan asal penubuhan kami. Saya tidak mengatakan bahawa kami telah menyimpang daripada matlamat awal kami tetapi kita perlu lihat kembali.

Jika saya boleh cerita sejarah sedikit, 10 tahun yang lalu ketika hari pertama saya memegang jawatan ini pada 1 Januari 2006, Insya-Allah tahun ini cukup 10 tahun saya di TH. Saiz dana TH ketika itu, setelah kewujudan TH selama lebih 40 tahun (1963-2006) adalah RM13.3 bilion.

Tetapi hari ini, saiz dana kita adalah RM60 bilion, jadi dalam tempoh sedekad yang lalu sahaja saiz dana kami meningkat hampir empat kali ganda. Kami telah menjadi entiti yang berbeza. Justeru, kita perlu melihat sekali lagi terhadap hala tuju tujuan asal TH iaitu untuk memudahkan pendeposit, menyimpan wang sedikit demi sedikit untuk menunaikan haji.

Kita perlu mengkaji semula fokus kita sekarang sama ada kita hendak fokus pada pengurusan haji atau aktiviti perniagaan dan pelaburan. Alhamdulillah, pada masa lalu, kita berjaya wujudkan persekitaran kedua-duanya iaitu pengurusan haji dan pelaburan. Namun, kita juga harus lihat profil pendeposit kita.

Adakah semua pendeposit menyimpan dengan matlamat untuk menunaikan haji. Saya menjangkakan tahun depan saiz dana kami akan mencecah RM65 bilion, dengan melihat pada kadar pertumbuhan TH sejak 10 tahun lalu.

Maka, sejajar perkembangan itu, kita perlu melihat kepada objektif kita, atau diingatkan mengenai misi asal kita. Kita tidak mahu menjadi sebuah institusi yang mana pendeposit menyimpan bukan kerana mahu pergi haji, tetapi semata-mata hanya kerana bayaran bonus antara terbaik di pasaran.

S: Bolehkah Tan Sri berkongsi profil pendeposit TH?

J: TH mempunyai 8.8 juta akaun pendeposit hari ini, 85 peratus (7.5 juta akaun) memiliki simpanan kurang RM10,000 yang mana jumlah dana terbabit ialah RM 7.4 bilion. Dana selebihnya, kira-kira RM50 bilion adalah kebanyakannya daripada mereka yang mempunyai baki simpanan melebihi RM10,000

S: Bila Tan Sri merujuk kepada 7.5 juta akaun pendeposit yang memiliki simpanan di bawah RM10,000, adakah mereka belum atau sudah tunaikan haji atau semua pendeposit?

J: Ia merujuk kepada akaun pendeposit yang belum menunaikan haji. Jumlah pendeposit yang telah mendaftar haji dan sedang menunggu giliran haji adalah 1.9 juta pendeposit. Bukan semua pendeposit buka akaun di TH kerana hendak mendaftar pergi haji ada yang buka akaun hanya bagi tujuan pelaburan. Buka akaun di TH bukan bermakna mereka secara automatik sudah mendaftar untuk tunai haji, justeru pendeposit perlu mendaftar haji terlebih dulu sebelum boleh masuk dalam senarai menunggu giliran Haji. Sebab itu dahulu kita buat kempen untuk orang mendaftar haji. Pendeposit yang ada nilai simpanan minimum RM1,300 boleh mendaftar, atau kalau tidak cukup boleh menggunakan penyata KWSP untuk mendaftar. Sekarang tempoh menunggu giliran adalah kira-kira 77 tahun. Kita perlu fokus kepada kumpulan ini (7.5 juta) bagi membolehkan mereka mengumpul wang bagi mengerjakan haji. Seperti dua tahun lalu, kami melakukannya dengan mengumumkan bonus tambahan selain bonus tahunan iaitu Bonus Haji sebanyak dua peratus untuk mereka yang belum pergi haji. Bonus Haji ini menzahirkan matlamat asal kewujudan TH iaitu untuk menjaga kebajikan Jemaah Haji. Apa juga kita lakukan, kita harus permudahkan urusan rakyat Malaysia mengerjakan haji. Itu teras kami.

S: Selain tambahan dua peratus bonus Haji, apa lagi kaedah lain TH untuk bantu 7.5 juta pendeposit yang belum tunaikan haji?

J: Saya rasa dalam bergerak ke hadapan, itu adalah model yang akan kita guna pakai, bagi saya adalah model yang baik kerana kita memberi fokus kepada majoriti pendeposit yang belum mengerjakan haji. Kemampuan (Istito'ah) untuk mengerjakan haji, termasuk kemampuan dari segi kesihatan dan kuota haji. Namun begitu isu kuota haji adalah di luar kawalan kita. TH cuba membantu dari segi kewangan melalui bonus tahunan dan bonus haji serta subsidi haji yang diberi setiap tahun. Musim haji yang lalu saja, subsidi TH (hampir 45 peratus ) adalah RM7,290 untuk seorang jemaah yang pertama kali tunai haji. Musim haji akan datang, jika bayaran haji masih sama maka subsidi Haji akan meningkat kepada RM8,910. Itu kiraan berdasarkan hari ini dalam keadaan pertukaran mata wang Riyal Arab Saudi. Peningkatan kos haji lebih kurang 10 peratus untuk musim hadapan. Bagi saya subsidi haji tidak jadi masalah selagi TH ada kemampuan kewangan, namun begitu isunya hanyalah berapa jumlah peratus subsidi kepada kos haji adalah 'ideal.' Saya rasa, ini boleh dianggap sebagai bentuk subsidi yang paling tinggi di Malaysia. Subsidi Haji ditanggung sepenuhnya oleh TH dan tidak ada bantuan dana daripada kerajaan. Musim haji yang lalu subsidi haji kira-kira RM150 juta. Kita anggap ini adalah tanggungjawab TH dan selagi ada kemampuan, kita akan terus laksanakan subsidi.

S: Adakah jumlah had simpanan di TH?

J: Simpanan di TH tiada had jumlah dan masa. Akaun TH adalah seperti akaun simpanan mana-mana perbankan Islam, bezanya kita tiada buku cek. Ia jelas dinyatakan dalam Akta Penubuhan TH bahawa simpanan TH dijamin oleh kerajaan bagi setiap ringgit yang disimpan. Kami hanya boleh menerima simpanan daripada individu, warganegara Malaysia dan beragama Islam. Simpanan di TH tiada had yang juga menjadi cabaran kepada kami, kerana orang menjangkakan pulangan yang tinggi. Konsep simpanan di TH adalah Al-Wadiah Yad Dhamanah, iaitu simpanan yang dijamin tetapi tidak menjanjikan apa-apa pulangan, kalau ada pulangan pun dalam bentuk hadiah yang dipanggil Hibbah. Itu konsep Al Wadiah. Namun pada masa ini (pulangan bonus yang baik) sudah jadi satu jangkaan daripada pendeposit, tetapi Alhamdulillah setakat ini kami mampu melakukannya walaupun ia sebenarnya tertakluk kepada budi bicara TH dalam bentuk hibbah.

S: Orang ramai harap dividen yang bagus daripada TH tetapi pada masa sama kadangkala mempersoalkan pelaburan oleh TH. Apa komen Tan Sri?

J: Jika buat perbandingan antara institusi pelaburan patuh Syariah, perbandingan paling hampir dengan simpanan di TH adalah mana-mana simpanan tetap di perbankan Islam. Simpanan di PNB , LTAT dan EPF ada syarat dan had-had yang tertentu. Maka, secara perbandingan, dari segi pulangan simpanan di TH dapat pulangan yang baik, risiko rendah, selain dijamin oleh kerajaan. Secara purata, kadar pulangan yang diberikan oleh TH sejak 10 tahun lalu adalah 6.2 peratus. Rasanya sekarang kadar pulangan simpanan tetap tertinggi hanya sekitar 4.5 peratus, tetapi perlu mengekalkan simpanan untuk setahun dan tidak boleh keluar masuk simpanan bila-bila masa seperti TH.

S: Pertumbuhan deposit dalam kalangan penyimpan begitu besar dalam TH sejak Tan Sri menjadi CEO. Bagaimana Tan Sri mengurus pelaburan deposit?

J: Ada orang bertanyakan soalan sama dulu, saya katakan kami di TH kuat sembahyang dan setiap tahun pergi haji (ketawa). Bila saya bermula pada tahun 2006, deposit di TH adalah sebanyak RM13.3 bilion dan kini sudah mencapai RM60 bilion. Ia bukan berlaku secara kebetulan. Ia adalah melalui perancangan. Pada tahun 2006, ketika saya mula menjadi CEO, apa yang saya lakukan ialah saya bersama barisan kepimpinan tertinggi TH termasuk Pengerusi TH ketika itu, Allahyarham Tan Sri Zainol Mahmood merancang Pelan Perniagaan Lima Tahun TH. Ia adalah pelan perniagaan lima tahun TH yang pertama. Seterusnya, kami mengkaji peruntukan aset strategik dan menyusun semula keperluan sumber manusia. Hari ini, kita sudah berada pada tahap yang sangat baik. Anda boleh bayangkan jika kita tidak membuat pelan perancangan perniagaan. Mungkin kita hanya menerima deposit tetapi tidak mencapai prestasi kewangan seperti tahap hari ini. Merancang dan mempunyai wawasan untuk sebuah organisasi itu berkembang adalah penting. Dahulu, ketika kita mempunyai deposit sebanyak RM13.3 bilion, mereka menyangka akan mempunyai deposit sebanyak RM20 bilion dalam masa lima tahun tetapi pada tahun 2011, ternyata deposit TH sudah melebihi RM30 bilion. Seperti hari ini, kita perlu mula merancang, jika tak rancang, kita mungkin tidak dapat menanggung perkembangan ini. Dahulu, kita memulakan idea dengan melabur di luar negara dengan sebelumnya hanya dilakukan dalam negara. Kita memulakan pelaburan di Arab Saudi dengan memajak bangunan di Makkah dan Madinah. TH kemudian menembusi pasaran di UK dan Australia. Alhamdulillah, kita sudah terbukti di pasaran UK. TH sudah berjaya melengkapkan satu pusingan, kita beli, sewa dan jual serta kita mendapat untung. Ia adalah perkara yang telah terbukti tepat. Setiap tahun, pengurusan TH akan duduk berbincang mengenai pencapaian pelan perniagaan lima tahun kita. Tahun depan, kita akan buat pelan perancangan perniagaan terbaharu dengan lebih terperinci. Hari ini, masyarakat sudah berubah, kehendak pihak berkepentingan semakin mencabar dan perniagaan semakin kompleks. Oleh itu, kita perlu melihat semula keseluruhan dinamik perniagaan.

S: Apa komen Tan Sri mengenai pelaburan bangunan pejabat dalam negara dan adakah mahu menambah lebih banyak lagi?

J: Segalanya bergantung detik masa yang sesuai. TH ada kelebihan melabur dalam projek hartanah terutama ruang pejabat komersial. Sekarang, ramai orang akan tanya siapa nak sewa dan kedua pasaran terlebih bekalan dan kalau beli nanti kosong dan tidak ada orang hendak sewa, tetapi TH ada kuasa pegangan. Selain itu kita boleh gerakkan pelaburan orang Islam, kerana secara individu, kita tidak boleh membeli, tetapi secara kolektif kita mampu. TH boleh beli bangunan kalau kadar sewa sama dengan kadar pulangan simpanan. Apa yang lebih penting adalah potensi peningkatan harga hartanah itu pada masa akan datang. Untuk jangka masa panjang harga hartanah akan meningkat. Di Kuala Lumpur, jika kita keluarkan bangunan milik bukan Melayu, apa yang tinggal? Maka TH ada peranan untuk dilaksanakan. Alhamdulillah di sekitar ibu kota sahaja, kita milik hartanah antaranya seperti Platinum Park, TH Selborn, KL Sentral dan TH Perdana Maju Junction antaranya. Kita ada peranan membangunkan pasaran Islam dan setakat ini bukan sahaja di UK, malah baru-baru ini di Australia. Kami melaksanakan pembiayaan kewangan Islam pertama di negara itu bila kami melakukan pembiayaan semula bangunan yang kami beli di Melbourne. Kami membuka jalan untuk beberapa negara terhadap Kewangan Islam. Kita juga memperuntukkan tanah kira-kira 57 ekar (22.8 hektar) di Bandar Enstek kepada kerajaan Negeri Sembilan untuk mereka bangunkan rumah kos rendah dan mampu milik. Itu adalah sebahagian daripada sumbangan CSR kami.

S: Adakah TH juga mengintai peluang selain daripada syarikat tersenarai, seperti projek infrastruktur atau jangka panjang. Bagaimana corak perniagaan TH?

J: Dahulu, kita pernah lakukannya seperti TH terbabit dalam projek ERL, tetapi di bawah kepimpinan saya tidak ada. Seperti saya kata, dari segi kerja pembangunan, kita lebih banyak terbabit dalam pembangunan hartanah. Ini pada asasnya dilakukan oleh sayap pembangunan hartanah kami, TH Properties. Dari segi perniagaan pula, perladangan adalah di bawah TH Plantations Bhd, dan ia di bawah peruntukan 50 peratus untuk pelaburan ekuiti. Pelaburan ekuiti terbahagi kepada dua iaitu dalam syarikat tersenarai dan tidak tersenarai dan juga terbahagi kepada dua iaitu pelaburan teras dan bukan teras. Pelaburan Teras kita pegang seperti anak syarikat dan yang bukan teras kita niagakan sahamnya.

S: Bagaimana atau apakah syarat pelaburan TH dalam pembelian ekuiti?

J: TH ada tadbir urus untuk pelaburan. Bukan mudah untuk kami mendapatkan kelulusan untuk melabur kerana kami perlu melalui panel pelaburan, lembaga pengarah dan akhirnya perlu mendapat kelulusan menteri, ini adalah mengikut akta. TH adalah satu-satunya organisasi dalam negara yang mana Ahli Panel Pelaburan dan Lembaga Pengarah terpisah sepenuhnya. Tidak ada ahli yang menduduki kedua-duanya, maka secara teknikal, setiap pelaburan yang ingin kami lakukan, perlu melalui dua panel ini. Ini adalah tadbir urus yang kami amalkan di TH. Kami menetapkan standard ini. Pengerusi dan ahli panel pelaburan tiada seorang pun dalam kalangan Ahli Lembaga Pengarah TH. Walaupun kita ada tadbir urus yang baik, dalam kita melaksanakan pelaburan, kita perlu terima realiti untung, rugi dan balik modal. Kalau tak sanggup berdepan dengan ketiga-tiga ini, jangan ceburi bidang perniagaan. Tetapi dalam konteks ini, yang paling penting ialah keseluruhannya kita mesti untung.

S:Apa rahsia TH mengurus kejayaan yang dicapai setakat ini dan adakah TH dihampiri mana-mana pihak yang ingin menubuhkan satu badan yang hampir sama seperti TH?

J: Banyak pihak hendak ikut, tapi tidak terikut kerana kejayaan TH tidak dicapai semalaman, kita sudah wujud lebih 50 tahun. Untuk menubuhkan organisasi seperti TH tidak boleh inisiatif swasta kerana ia tidak akan berjaya. Sokongan kerajaan adalah sangat penting, TH diberikan mandat untuk uruskan haji. Tiada sesiapa selain TH boleh mempromosikan atau mengurus apa-apa berkaitan haji kecuali TH. Itu penting kerana ia dikira undang-undang dan jika negara lain ingin melakukannya, mereka harus mengikut kaedah sama dan kerajaan mereka harus memberi komitmen sama ke arah inisiatif seumpama itu dan jika tidak, mereka tidak akan berupaya melakukannya. Kita juga pernah didatangi kerajaan Bosnia Herzegovina dan masih lagi berbincang dengan Kerajaan Indonesia. Saya sendiri menemui Bapak Presiden Indonesia, bagi membincangkan bagaimana kita boleh membantu untuk membentuk satu badan seperti Tabung Haji di Indonesia serta beberapa negara di Asia Barat, tetapi masih dalam perbincangan.

S: Boleh Tan Sri jelaskan pandangan orang luar terhadap Tabung Haji (TH)?

J: Alhamdulillah, di mana saja saya pergi, bukan sahaja di Makkah atau Madinah, malah, ketika saya melakukan lawatan perniagaan ke United Kingdom (UK), bila saya jumpa masyarakat Islam di UK, ramai orang Islam di sana tahu apa itu TH. Mereka cukup memandang tinggi kepada kita. TH bukan hanya terkenal di Makkah, Madinah dan negara Arab, tetapi juga di Barat. Pada saya, kita adalah satu gagasan yang menunjukkan kepada orang bukan Islam mengenai cara orang Islam berniaga. Pada saya, TH adalah proksi kepada agama kita dalam mengendalikan perniagaan. Oleh itu, saya mengatakan kepada pasukan saya supaya apabila mengendalikan perniagaan dengan orang luar, kita harus menunjukkan profesionalisme kita kerana ia bukan hanya TH tetapi ia adalah imej Islam.

S: Apa yang Tan Sri ingin lihat TH dalam tempoh lima tahun akan datang?

J: Saya selalu bangga dengan TH hari ini. Jika ada yang tanya adakah saya atau kami boleh melakukan lebih baik lagi, saya katakan saya tiada sebarang rungutan atau pun tak puas hati. Pada keadaan hari ini, pengiktirafan yang kami terima bukan sahaja dari Arab Saudi tetapi juga di Eropah. Cuma, apa yang saya lihat, dalam bab pengurusan haji ini, kita boleh perhalusi perkhidmatan kita. Ia adalah satu proses penambahbaikan yang berterusan. Selagi ada Ibadah haji, adalah TH. Sama ada perniagaan berjalan atau tidak, operasi haji akan sentiasa berjalan, tetapi kelebihannya, kejayaan perniagaan dan pelaburan kita menyebabkan perkhidmatan haji boleh jadi terbaik kerana mempunyai kemampuan kewangan untuk melaksanakan operasi haji yang terbaik.

S: Adakah TH adalah dana Islam terbesar di dunia?

J: Saya tidak rasa kita adalah terbesar. TH menerima dana daripada pendeposit dan ianya adalah secara suka rela, kita tak mendapat dana daripada kerajaan. Komitmen kerajaan dengan TH adalah jaminan kerajaan. Bagaimanapun, TH boleh dikatakan sebagai antara dana Islam yang terbesar dan dipercayai menjadi institusi kewangan Islam yang pertama di dunia. Kita wujud lebih awal sebelum Bank Islam dan kewujudan Bank Islam adalah hasil inisiatif TH.

S: Boleh jelaskan bentuk kepimpinan Tan Sri?

J: Peranan saya ialah untuk menguruskan kira-kira 2,100 personaliti dalam organisasi ini dan mengharmonikan untuk memastikan mereka menghasilkan yang terbaik. Saya selalu katakan kepada pasukan saya, apa sahaja yang kita lakukan, tak kira pada tahap mana walaupun Pengarah Negeri TH, orang akan selalu melihat perwatakan kita. Jika waktu solat, walaupun kita bukan orang agama, orang ramai mungkin meminta kita menjadi imam kerana kita adalah orang TH. Takkan kita hendak tolak. Oleh itu, kakitangan TH perlu mengasuh diri dalam hal agama. Saya kadang-kadang menemu bual calon untuk jawatan kanan dalam TH akan bertanya sama ada mereka mampu menjadi imam. Sebagai contoh, jika ke majlis tahlil di rumah rakan, saya akan diminta mengetuai majlis tahlil jika ustaz tidak datang dan bagi mereka, ia adalah satu penghormatan kalau saya melakukannya. Ia sebenarnya terjadi kepada semua pegawai TH, orang memandang mulia sebab kita dari TH. Saya percaya TH kini mempunyai tarikan untuk menarik orang kerja dan pada masa sama kakitangan TH hari ini mempunyai nilai pasaran di luar. Terbaharu, satu kaji selidik yang dilakukan oleh satu agensi ke atas pelajar universiti di luar negara dan Malaysia, TH dikatakan berada pada kedudukan kedua dari segi majikan yang paling diminati. Alhamdulillah, kita sudah buat lebih daripada apa yang kita patut lakukan.

S: Pengalaman paling manis Tan Sri sepanjang CEO TH?

J: Sebenarnya, jika awak tanya pada hari berbeza, saya pasti memberikan jawapan berbeza. Bagaimanapun, satu kepuasan saya ialah satu kejadian pada beberapa tahun lalu apabila seorang lelaki tua berkerusi roda datang berjumpa saya ketika saya meraikan jemaah yang pulang menaiki pesawat penerbangan terakhir di dewan ketibaan (KLIA). Dia katakan kepada saya: "Datuk, saya buat rayuan haji, datuk luluskan dan ini saya nak bagi tahu, saya dah balik." Dia kemudian seluk kocek dan dia memberikan saya minyak atar sebotol. Ia adalah satu saat yang paling manis, menyentuh hati saya dan kepuasan kerja di Tabung Haji.

Mentransformasi Baitulmal mantapkan ekonomi ummah

Baitulmal sebuah institusi kewangan awam terpenting dalam sejarah tamadun Islam dan wujud sejak zaman Rasulullah SAW lagi. Baitulmal ketika itu berfungsi sebagai satu tempat khusus untuk menyimpan khazanah umat Islam dan berperanan seperti Perbendaharaan Negara dalam konteks amalan masa kini.

Di Malaysia, Baitulmal ditadbir oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) selaras Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bidang kuasa agama di bawah negeri.

Baitulmal negeri beroperasi mengikut Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri dan struktur organisasinya di bawah MAIN.

Tanggungjawab Baitulmal ialah mengendalikan harta orang Islam yang terletak hak kepadanya meliputi zakat, wakaf dan harta sumber am lain seperti kutipan khairat, harta pusaka tidak berwaris, baki faraid dan lain-lainnya mengikut hukum syarak serta undang-undang yang berkuat kuasa.

Berdasarkan peredaran zaman dan perkembangan dunia hari ini, peranan Baitulmal telah diambil alih oleh perbendaharaan negara yang secara amnya memainkan peranan sama seperti Baitulmal pada suatu ketika dahulu.


Pengurusan cekap meningkatkan peranan Baitulmal dalam menjana sosioekonomi ummah. - Gambar hiasan


Sumber kekuatan umat Islam

Kewujudan Perbendaharaan Malaysia dan pada masa sama adanya Baitulmal negeri sewajarnya dilihat dalam konteks saling melengkapi antara satu sama lain dan seharusnya dijadikan sumber kekuatan bagi umat Islam di negara ini meningkatkan kedudukan sosioekonomi mereka.

Namun, satu penilaian yang komprehensif perlu dibuat bagi memperkukuh dan mentransformasikan fungsi serta peranan boleh dimainkan oleh Baitulmal supaya ia benar-benar dapat memberi impak positif terhadap kedudukan sosioekonomi umat Islam di Malaysia.

Untuk itu, kekuatan semua pihak yang berkaitan perlu digembleng dalam usaha berterusan memperkasa dan mentransformasikan peranan Baitulmal di setiap negeri.

Antara aspek yang perlu diberi penekanan dalam usaha meningkatkan keberdayaan saing institusi Baitulmal ialah modal insan.

Adalah diyakini dengan memiliki sumber manusia mempunyai kepakaran dan keupayaan tinggi terutama dari segi mempelbagaikan sumber pendapatan, Baitulmal bukan sahaja dapat terus bergerak ke hadapan, malah akan menjadi institusi disegani dalam meningkatkan kedudukan sosioekonomi umat Islam.

Sebagai tambahan kepada aspek pembangunan modal insan yang cemerlang ialah urus tadbir terbaik yang dapat mengoptimumkan penggunaan sumber manusia. Kepakaran pengurusan yang berkesan digabungkan dengan sistem pentadbiran efektif akan mewujudkan ekosistem bersesuaian dalam mencapai misi dan visi sesebuah organisasi.

Dengan terlaksananya pengurusan yang cekap, secara tidak langsung objektif ditetapkan dapat dicapai dengan lebih mudah.

Dalam konteks ini, pihak pengurusan Baitulmal sewajarnya mencontohi institusi pelaburan mahupun perbankan Islam negara serta pada peringkat antarabangsa untuk dijadikan contoh supaya sistem kerja yang cekap dapat diwujudkan.

Penerokaan sumber baharu

Selain sumber kewangan dan harta bersifat tradisional yang sering kali dikaitkan dengan Baitulmal, penerokaan terhadap sumber baharu Baitulmal perlu dipergiatkan.

Contohnya, pembangunan hartanah Baitulmal, penggunaan instrumen kewangan Islam seperti sukuk, ijarah dan banyak lagi. Inisiatif itu perlu diperbanyakkan demi memastikan dana Baitulmal terus berkembang dan mampu menjadi pemangkin pembangunan sosio ekonomi ummah.

Dalam konteks wang tidak dituntut, keputusan fatwa ia dikembalikan kepada baitulmal seharusnya direalisasikan dengan segera. Baitulmal seharusnya mewujudkan pelan komprehensif dalam merangka strategi penjanaan sumber baitulmal negeri melalui pendekatan strategi lautan biru (blue ocean strategy) yang kini menjadi salah satu teras dalam usaha pembangunan negara.

Selain mendapatkan kerjasama institusi dalam negara seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi korporat lain, Baitulmal juga boleh menjalinkan kerjasama dengan agensi antarabangsa seperti Bank Pembangunan Islam bagi mendapatkan dana untuk membangunkan harta milik Baitulmal.

Melalui sumber dana alternatif lain yang patuh syariah seperti disebutkan itu adalah diyakini kemajuan hartanah milik umat Islam di Malaysia akan menjadi model kepada pembangunan hartanah bukan sahaja di rantau ini malah pada peringkat antarabangsa secara keseluruhan.

Institusi Baitulmal perlu diberi ruang atau dimensi baru melakukan transformasi supaya terus relevan dan kekal sepanjang zaman. Kita tidak seharusnya takut melakukan perubahan jika ada ruang penambahbaikan ke arah lebih baik kerana jika bukan umat Islam yang melakukannya, siapa lagi hendak diharapkan.

Agihan lebih adil, saksama

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri." (Surah al-Ra'du, ayat 11)

Justeru, pelbagai pihak perlu berusaha mencari landasan sesuai untuk melontar serta merumuskan idea yang jitu dan bernas dalam menambah baik fungsi, struktur, perundangan, sumber dana serta meneroka produk baharu yang dapat menjana hasil pendapatan Baitulmal untuk pengagihan lebih adil dan saksama.

Cendekiawan Islam dari pelbagai lapangan perlu berganding bahu untuk bermujahadah dan menggembleng idea dalam usaha menyemarakkan lagi potensi sebenar institusi Baitulmal di Malaysia.

Perbincangan dan perbahasan diharapkan dapat menghasilkan gagasan resolusi yang praktikal untuk diaplikasikan, supaya Baitulmal dapat ditransformasikan seterusnya mampu menyumbang kepada pemantapan sosioekonomi ummah serta negara secara lebih efektif.

Enam Resolusi Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2015

Transformasi Baitulmal perlu dilaksana dengan menyusun semula struktur Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan struktur Baitulmal dari sudut perundangan dan struktur organisasi.

Struktur Baitulmal Muslimin dicadangkan menjadi entiti berasingan seperti Kementerian Kewangan. Kecekapan sumber manusia di Baitulmal juga hendaklah diperkasakan dengan menggunakan khidmat pegawai perkhidmatan gunasama yang dibekalkan oleh kerajaan persekutuan bagi memperkukuhkan organisasi Baitulmal.

Kajian Pelan Transformasi Baitulmal dari segi struktur dan perundangan perlu dilaksanakan oleh JAWHAR bersama pakar dan penyelidik tempatan yang arif dalam bidang muamalat, perundangan dan sebagainya sementara dana kajian boleh dibiayai oleh MAIN dan kerajaan persekutuan.

Transformasi pemikiran atau perubahan minda pentadbir dan pengurus Baitulmal diperlukan untuk memperkasa baitulmal supaya tidak terikat dengan keterbatasan sedia ada seperti perundangan dan sumber kewangan.

Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan pentadbiran dan pengurusan Baitulmal perlu diwujudkan dengan berkesan. Transformasi pengurusan harta Baitulmal dengan meneroka sumber baru yang wujud dalam pasaran kewangan Islam dan sumber selain daripada hasil agama.