December 11th, 2015

Orang malas 
haram dapat zakat?

Baru-baru ini ada seorang ustaz menyatakan bahawa orang miskin yang malas tidak layak dan haram diberikan zakat. Ini kerana, ia akan menjadikan mereka lebih malas untuk berusaha dan seterusnya akan terus bergantung dengan zakat selama-lamanya. Jadi, adakah benar orang miskin yang malas ditegah daripada memakan harta zakat? Mohon pencerahan.


Harus jika telah berusaha
PEMBERIAAN zakat bukan menyuruh umat Islam bersifat malas dan meminta-minta.

Jawapan

Soalan ini memang sering ditanya, namun atas dasar menjaga hati sesama Muslim, ada yang cuba memejamkan mata dengan isu orang malas ini. Justeru, semoga jawapan ini mampu membuka suatu horizon baharu dalam pemikiran umat Islam, sama ada di pihak pembayar mahu pun penerima zakat, bahawa Islam mempunyai sisi pandang khusus kepada pemalas dan apakah sikap Islam kepada mereka.

Rasulullah SAW bersabda: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada perasaan risau dan sedih, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat takut dan lokek (bakhil), aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia,” - Riwayat Abu Dawud.

Doa ini dirangkumkan oleh Imam Hassan al-Banna dan dijadikan wirid harian yang disebut sebagai al-Ma’thurat. Antara perkara yang sangat ditakuti oleh nabi ialah sifat malas iaitu musuh kepada kemajuan, sekali gus menjadikan Islam itu lemah, jumud dan mundur. Pemalas akan menconteng arang ke wajah Islam. Nabi SAW dan para sahabatnya merupakan golongan yang rajin dan kerajinan mereka terbukti dengan gemilangnya Islam sehingga mampu menaungi dua pertiga dunia.

Cuba bayangkan jika generasi awal Islam ini dahulunya bersifat malas, mana mungkin Islam akan tersebar hingga seluruh pelosok dunia. Al-Imam Abu Zur’ah ar-Razi, seorang ulama hadis yang merupakan guru Imam Muslim menyatakan, semasa Nabi Muhammad SAW wafat di Madinah, jumlah sahabat di Jazirah Arab ada lebih daripada 100,000 orang. Namun begitu, seandainya hari ini kita ke Mekah dan Madinah serta mengunjungi perkuburan di Ma’la dan Baqi’, maka apa yang kita dapati jumlah kuburan para sahabat hanya ada kira-kira 20,000 buah sahaja.

Di manakah kuburan sahabat yang lain? Itu menunjukkan, ramai daripada kalangan sahabat bertebaran di seluruh dunia untuk menyebarkan Islam. Itu juga menjadi dalil betapa mereka orang yang rajin, dan tidak hairanlah sehingga ke era Khilafah Uthmaniyyah, umat Islam zaman dahulu telah berjaya memberikan citra yang sangat positif kepada Islam. Semuanya bermula dengan sifat rajin dan tekun.

NASIB PEMALAS

Berbalik kita kepada persoalan di atas, bagaimanakah Islam mendepani golongan miskin yang malas? Adakah Islam mengharamkan zakat kepada pemalas? Bukankah fakir dan miskin itu sememangnya mempunyai hak ke atas zakat, tanpa mengira sama ada mereka malas atau rajin?

Dalam menjawab persoalan ini, mari kita lihat apakah Nabi Muhammad SAW sendiri pernah berhadapan dengan situasi sama di zaman baginda.

Ternyata, memang ada. Disebutkan di dalam kitab ‘Anasirul quwwati fil Islam’ (Elemen Kekuatan Dalam Islam) oleh Syed Sabiq, tentang satu hadis yang sangat panjang. Hadis berkenaan diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. iaitu suatu hari telah datang seorang lelaki daripada kaum Ansar menemui baginda di masjid. Lelaki berkenaan meminta sedikit makanan untuk diri dan keluarganya.

Nabi sebaliknya tidak memberikan dia makanan, melainkan nabi bertanya apakah dia mempunyai sesuatu di rumahnya untuk dijual. Lelaki berkenaan mengaku ada, iaitu sehelai kain dan sebuah mangkuk. Nabi meminta dia pulang mengambil barangan itu. Kemudian nabi menolong menjual barangan berkenaan dan laku dengan harga dua dirham. Nabi membahagikan wang dua dirham dan mengarahkan lelaki itu membeli makanan untuk keluarganya dan satu dirham lagi untuk dibeli sebilah kapak dan tali.

Lelaki berkenaan mengikuti arahan nabi. Kemudian nabi memberikan arahan kepadanya, hendaklah dia mencari kayu dan hendaklah datang lagi berjumpa dengan nabi setelah berlalu 14 hari berikutnya. Ternyata, setelah berlalu 15 hari lelaki berkenaan datang kembali dengan senyuman. Daripada asal satu dirham sebagai modal, kini dia sudah ada 10 dirham, keuntungan hasil jualan kayu apinya. Ternyata, Nabi telah memberikan dia satu didikan halus, iaitu mesti rajin berusaha dan jangan cepat meminta-minta.

Hakikatnya, hadis di atas menjadi isyarat betapa Nabi Muhammad SAW sendiri tidak meraikan pemalas, jika lelaki tersebut sakit, pastilah dia tidak mampu bekerja dan nabi tidak akan memaksanya mencari kayu api. Ingatlah, mencari kayu api di Madinah (kawasan padang pasir) bukanlah mudah, namun ternyata berkat ketekunan dan kerajinan, lelaki berkenaan mampu melakukannya.

Di dalam hadis yang lain, Nabi SAW menyatakan: “Tidak ada hak zakat untuk orang kaya, mahu pun orang yang masih kuat bekerja.” - Riwayat an-Nasa’i dan Abu Daud.

Mengulas mengenai hadis di atas, Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan di dalam kitabnya: “Sesungguhnya diharamkan zakat bagi orang yang sihat dan kuat, kerana dia masih mampu bekerja untuk mencukupkan keperluan dirinya sendiri, tanpa harus menunggu dan menggantungkan harapannya pada sedekah.” (Hukum Zakat, hal. 678)

Dalam nada yang lebih keras, Yusuf al-Qaradhawi memetik pandangan Syafie dan Hanbali: “Apakah orang yang hidup menganggur (tanpa pekerjaan) diberi bahagian zakat, padahal dengan begitu hanya akan menjadi beban masyarakat, di mana dia hanya akan menggantungkan dirinya kepada sedekah dan pertolongan, sedangkan dia berbadan kuat dan sanggup berusaha menghidupi dirinya? Menurut pendapat yang tegas daripada golongan Syafie dan Hanbali, zakat daripada bahagian fakir dan miskin tidak boleh diberikan kepada orang kaya, juga kepada orang yang mampu berusaha secara layak sehingga mampu mencukupi diri dan keluarganya.” (ibid, hal. 521)

Maka, dari sinilah sebahagian besar fuqaha (termasuk sebahagian pengikut Maliki) menyatakan, haram disalurkan zakat kepada pemalas yang bertujuan untuk mendidik mereka agar menjadi rajin dan tidak menjadi ‘parasit’ yang hidup menumpang di atas usaha orang lain.

KELONGGARAN

Namun begitu, Nabi Muhammad SAW masih ada pertimbangan sekiranya orang yang kuat dan sihat tubuh badan itu memohon zakat, dalam keadaan mereka sebenarnya sudah berusaha. Di dalam sebuah hadis diceritakan bagaimana dua orang lelaki telah datang meminta zakat sehingga Nabi bersabda kepada mereka: “Jika kalian menghendaki akan aku beri, tetapi zakat bukan bahagian orang kaya dan orang yang kuat bekerja.” - Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Nasaie.

Di dalam kes di atas, Nabi SAW telah memberikan harta zakat kepada kedua-dua lelaki berkenaan. Namun ulama membahaskan, punca Nabi menyerahkan juga zakat kepada mereka kerana baginda tidak mengetahui dengan tepat keadaan diri mereka. Boleh jadi mereka sudah bekerja namun penghasilannya masih tidak cukup, atau mereka sudah mencari pekerjaan namun belum mendapatkannya (ibid, hal. 524).

Penulis sendiri melihat, nabi tetap memberikan zakat itu lantaran nabi yakin mereka memerlukannya. Para sahabat zaman nabi dididik secara langsung oleh Rasulullah SAW. Sekiranya mereka tidak memerlukan zakat, pastilah mereka malu untuk meminta langsung kepada nabi. Mereka juga sudah pasti sedar implikasi memakan harta zakat dengan cara yang salah. Tentulah mereka takut untuk mengambilnya melainkan mereka benar-benar dalam keadaan yang sangat memerlukan.

Malah Allah SWT juga pasti akan menegur perbuatan nabi itu jika ternyata ia suatu keputusan yang salah.

Maka, berdasarkan hadis di atas fuqaha merumuskan, orang yang sihat tubuh badannya masih layak mendapat zakat, sekiranya pekerjaan yang mereka lakukan masih tidak mampu memenuhi keperluan diri dan tanggungannya. Ini kerana, mereka bukanlah orang yang malas berusaha, tetapi kerana memang tidak mempunyai kecukupan harta biar pun setelah berusaha. Inilah antara pandangan yang muktabar termasuklah yang pernah dikemukakan oleh Imam Nawawi sendiri.

Oleh itu, suka ditegaskan kembali bahawa jumhur fuqaha memang menyatakan, zakat adalah haram bagi orang yang sengaja malas untuk berusaha dan bekerja, walhal kesempatan bekerja terbuka luas di depan matanya.

Khutbah Jumaat : "Bencana Alam: Kewajipan Bermuhasabah"

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat : 11.12.2015 JAIP

"Bencana Alam: Kewajipan Bermuhasabah"


Allah Subhanahu wa-Taala menciptakan alam ini untuk manfaat manusia dan semua makhluk ciptaan-Nya yang mengandungi pelbagai rahsia serta hikmah yang perlu dihayati.

Sebagai seorang Islam kita dituntut untuk berfikir dan mencari jawapan disebalik rahsia alam sebagaimana firman Allah Subhanahu wa-Taala dalam surah Yunus ayat 101: Yang bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Perhatikan dan fikirkanlah apa yang terdapat di langit dan di bumi." Namun begitu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah) dan segala rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran) tidak akan memberi faedah kepada orang yang tidak mahu beriman.

Sejak akhir-akhir ini, kita sering dikejutkan dengan peristiwa bencana alam seperti gempa bumi, tsunami, banjir besar, tanah runtuh, jerebu dan lain lain lagi. Peristiwa sebegini sebenarnya mungkin merupakan peringatan daripada Allah Subhanahu wa-Taala kepada makhluk-Nya agar sentiasa bermuhasabah.

Allah Subhanahu wa-Taala menceritakan dalam al-Quran tentang tamaduntamadun manusia yang dimusnahkan oleh Allah Subhanahu wa-Taala melalui bencana alam, antaranya kaum Nabi Nuh dimusnahkan dengan banjir, kaum Nabi Luth dimusnahkan dengan gempa bumi dan kaum 'Aad dimusnahkan dengan ribut taufan tujuh hari tujuh malam.

Jelasnya, bencana alam yang memusnahkan kaum-kaum tersebut adalah kerana hukuman Allah Subhanahu wa-Taala atas kekufuran dan kemungkaran mereka. Firman Allah Subhanahu wa-Taala dalam surah al-Ankabut ayat 40: Yang bermaksud: Maka masing-masing (daripada kaum itu) Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu, ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang kuat (yang menggegarkan bumi), ada yang Kami benamkan di bumi dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri

Musibah yang berlaku ke atas manusia, ada kalanya merupakan ujian Allah kepada orang mukmin sepertimana firman-Nya dalam surah al-Anbiya’ ayat 35: Yang bermaksud: Setiap diri akan merasai mati. Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, sedangkan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.

Setiap muslim dan mukmin tidak terlepas daripada musibah ke atas diri mereka, maka wajiblah redha dan bersabar kerana kesabaran itu akan dibalas dengan sebaik-baik ganjaran oleh Allah Subhanahu wa-Taala sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi: Yang bermaksud: Sesungguhnya sebesar-besar ganjaran yang dikurniakan ganjaran kerana besarnya musibah yang menimpanya, sesungguhnya jika Allah menyayangi sesuatu kaum itu, Allah uji mereka (dengan musibah). Maka sesiapa yang redha, Allah meredhainya dan sesiapa yang marah maka Allah memurkainya.

Bagi orang mukmin yang menerima musibah, ianya akan dihapuskan dosanya dan diberikan sebesar-besar ganjaran kepadanya di atas kesabaran mereka serta merupakan kasih sayang Allah kepada mereka.

Bagi orang yang tidak beriman, maka bencana yang menimpa mereka merupakan azab dan siksaan daripada Allah disebabkan kekufuran dan kederhakaan terhadap perintah Allah dan rasul-Nya.

Dengan bencana juga, Allah Subhanahu wa-Taala ingin menunjukkan kepada manusia antara orang yang benar imannya dan sebaliknya

Bencana alam juga boleh berlaku disebabkan daripada kesilapan dan kerakusan manusia kerana mengejar kemewahan dunia. Akibatnya sistem keseimbangan alam semesta tergugat.

Insafilah peringatan Allah dalam surah al-Rum ayat 41: Yang bermaksud: Telah timbul pelbagai kerosakan di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Marilah kita bersama-sama bersatu hati di bawah satu lambang perpaduan, menyemai sikap kasih sayang dan bermuafakat demi agama, bangsa dan negara dengan memelihara alam sekitar.

Ingatlah anugerah Allah Subhanahu wa-Taala ini akan menjadi rahmat kepada kita dan dalam masa yang sama juga boleh mengundang kemurkaan-Nya. Firman Allah dalam surah al-Nisa' ayat 79: Yang bermaksud: Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau peroleh adalah daripada Allah dan apa jua keburukan (atau bencana) yang menimpa engkau maka adalah daripada (sebab) diri engkau sendiri. Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini).

Wallahualam.

Perlu ada matlamat jelas dalam perkahwinan

KEBEJATAN akhlak remaja Islam tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya ke atas bahu mereka, sebaliknya sebagai langkah penyelesaian ibu bapa perlu mempersiapkan diri mereka dengan ilmu dan kemahiran berkaitan.

Pendakwah bebas, Isfadiah Mohd. Dasuki menegaskan bahawa ibu bapa perlu mempunyai matlamat jelas tujuan perkahwinan, keinginan berkeluarga serta corak pendidikan terbaik yang ingin diberikan kepada anak-anak mereka.

“Contohnya saya pernah bertemu seorang ibu yang mempunyai 10 orang anak dan kesemua mereka berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran. Kuncinya, dia mempunyai sasaran untuk dicapai oleh kesemua anak-anaknya sebelum berumur tujuh tahun iaitu mereka perlu pandai membaca al-Quran dan setiap hari menghafal 10 perbendaharaan kata Bahasa Arab.

“Berbeza dengan pasangan yang tidak mempunyai tujuan jelas dalam hidup. Kesannya adalah mereka akan membesarkan anak-anak berdasarkan kepada kehendak dan keseronokan hati semata-mata,” katanya.


Ibu bapa bertanggungjawab mencorakkannya
DIDIKAN agama perlu diberikan kepada anak-anak sejak mereka masih kecil.

ENGGAN AKUI KELEMAHAN

Tambah Isfadiah, rata-rata ibu bapa tidak akan menyalahkan anak mereka jika menonjolkan perangai tidak baik atau kurang sopan sebaliknya ia dianggap berlaku sedemikian rupa akibat terpengaruh dengan rakan sebaya.

“Contohnya seorang ibu mengeluh anaknya ketika kecil rajin menunaikan solat, puasa dan taat kepada ibu bapa, tetapi apabila meningkat remaja dan mula bergaul dengan ramai orang anaknya itu menunjukkan akhlak kurang sopan.

“Ibu bapa perlu menyediakan ilmu pergaulan kepada anak-anak sebelum mereka memasuki alam tersebut. Mereka juga perlu bersedia melayan anak mereka seperti kawan, namun dalam masa yang sama bersifat tegas,” katanya.

Jelas Isfadiah, Islam mengajar format dan kaedah terbaik untuk membentuk peribadi anak-anak mengikut akhlak Islam.

“Lengkapkan diri mereka dengan asas pendidikan akidah, ibadah, akhlak, membina reputasi, pendidikan seks dan pendidikan sosial. Sebaik-baiknya kesemua unsur ini diterapkan dalam diri mereka sebelum mencapai usia baligh,” katanya.



TERAPKAN SEMASA KECIL

Pendidikan akidah adalah perkara pertama yang perlu diberikan kepada anak-anak sejak usia mereka masih kecil, jangan terlalu berat tetapi sesuaikannya dengan keupayaan mereka. “Jangan terlalu berat seperti apa yang orang dewasa perlu tahu, tetapi cukup sekadar anak tersebut boleh merasa dan mengetahui Allah wujud dan sayang kepada dirinya. “

BERZINA penyebab kepada keruntuhan akhlak remaja Muslim.


Contohnya terangkan kepada mereka Allah suruh menutup aurat bagi wanita kerana Allah sayang dan ingin kita menjaga maruah diri. Kena solat kerana Allah sayang kita dan ingin mengajar hamba-Nya menghargai serta menjaga masa,” katanya.

Tambah Isfadiah, ibadah berperanan menghubungkan jiwa seorang Muslim dengan Penciptanya. Ibadah yang perlu ditekankan pada usia ini cukup sekadar memberi kesedaran kepada mereka bahawa ia adalah jalan untuk menghubungkan mereka dengan Tuhan.

“Apabila anak-anak mulai faham fungsi pelaksanaan ibadah, ia turut meningkatkan perasaan mereka untuk mengadu kepada Allah sama ada ketika gembira atau berduka.

“Kesedaran yang wujud dalam diri itu akan menjadikan mereka hamba yang pandai mengucapkan terima kasih kepada Allah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ibu bapa juga perlu membina reputasi dan kepercayaan anak-anak kepada mereka, sekali gus memudahkan mereka mematuhi apa sahaja perkara yang disampaikan walaupun tanpa pemantauan daripada kedua ibu bapa.

Katanya, sebelum kanak-kanak mencapai usia baligh dedahkan mereka tentang pendidikan seks seperti rangsangan seksual kanak-kanak berkembang mengikut faktor biologi.

“Pendidikan ini bukan disampaikan secara formal seperti kaedah pencegahan dan perancangan keluarga, tetapi jelaskan kepada mereka fungsi baligh bagi lelaki dan perempuan serta tanamkan perasaan malu dalam diri.

“Dedahkan juga kepada anak-anak perempuan bahawa manusia adalah spesies bermaruah. Oleh sebab itu mereka perlu menutup aurat dan menjaga batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan,” katanya.

Isfadiah berkata, budayakan amalan meminta izin untuk memasuki bilik tidur ibu bapa terutamanya pada tiga waktu penting iaitu Subuh, Zohor dan Isyak. “Anak-anak sekarang bukan sahaja berpotensi untuk melihat aurat ibu atau bapa mereka di dalam bilik sahaja, malahan situasi itu dengan mudah ditonton di internet dan media sosial selagi mana gajet seperti telefon sentiasa bersama-sama dengan mereka,” katanya.

Jelasnya, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membimbing dan menerangkan perihal kebaikan dan keburukan penggunaan gajet kepada anak-anak mereka supaya mereka dapat menjadikan ia sebagai rujukan ketika sedang berada di dalam talian.

“Bimbingan bukan sekadar cara untuk mereka memilih aktiviti dan permainan, malahan ajar mereka cara-cara untuk menundukkan pandangan apabila melihat iklan atau video yang memaparkan gambar tidak senonoh.

“Budaya ini perlu dilakukan berulang kali supaya ia menjadi penanda aras untuk mereka lakukan walau tanpa pemantauan dan ketika berseorangan,” jelasnya.


TERDEDAH

Apa yang merisaukan pada masa ini, anak-anak remaja sekarang lebih awal mengenali pelbagai aplikasi media sosial berbanding elemen akidah, akhlak dan ibadah mantap dalam diri mereka.

“Bukan menjadi satu kehairanan jika hari ini kanak-kanak yang berusia 11 tahun sudah mempunyai akaun Facebook dan Twitter kerana teknologi berkembang dengan begitu pantas.

“Padahal usia seperti ini jiwa anak kita belum menjadi matang tetapi kebanyakan ibu bapa sudah memberikan mereka gajet sekali gus mendedahkan mereka dengan media sosial seperti Facebook, Instagram, Youtube dan lain-lain,” katanya.

Akhlak 
remaja Melayu makin parah

PROSES mendidik dan membentuk anak-anak mengikut acuan ajaran Islam bukanlah perkara mudah. Ini menuntut komitmen serta kesabaran tertinggi daripada ibu bapa.

Terdapat ulama yang berpandangan untuk membangunkan peribadi solehah anak-anak perempuan adalah melalui penghayatan dan pemahaman intipati yang terkandung dalam surah an-Nur.

Surah ini sangat sesuai untuk membangunkan jiwa dan rohani remaja wanita kerana di dalamnya banyak menyebut tentang penjagaan maruah dan hukum-hukum penting tentang kekeluargaan.

Manakala, bagi anak lelaki pula pasakkan jiwa mereka dengan kefahaman daripada surah al-Maidah. Dalam surah itu Allah banyak menjelaskan tentang peranan dan tanggungjawab lelaki, kepimpinan, hubungan dengan orang bukan Islam atau ahli kitab serta perkara berkaitan dengan nafkah.

Realitinya, walaupun dalam al-Quran Allah telah meletakkan garis panduan untuk diambil teladan bagi mendidik generasi soleh seperti pesanan Lukman al-Hakim, tetapi kes penzinaan dan pembuangan bayi yang dilakukan oleh remaja Muslim di negara ini semakin bertambah saban hari.

Tambah menyedihkan, terdapat remaja lelaki dan wanita yang baru berusia belasan tahun tanpa segan silu memaparkan aksi panas dan mesra mereka kepada khalayak ramai.

Persoalannya, di manakah hilang sifat malu seorang wanita dan sensitiviti sebagai lelaki yang berfungsi untuk menjaga kaum hawa yang bersifat lemah lembut?

Sedangkan dalam Islam, sejak kanak-kanak perempuan belum mencapai usia baligh, mereka telah diasuh agar menjaga maruah dan kehormatan diri. Tidak cukup dengan itu, Islam turut memberi saranan agar dipisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan.

Namun, teladan itu seumpama mencurahkan air di daun keladi lantaran jiwa mereka yang kosong dan tidak mempunyai hala tuju jelas dalam hidup.


AMAT SERIUS


Perlu tawan hati mereka dengan kasih sayang
HUBUNGAN mesra antara lelaki dan perempuan tanpa ikatan perkahwinan dilarang dalam Islam.

Perkara ini diakui oleh Kaunselor Berdaftar, Hushim Salleh, dari firma Hushim Motivational & Counselling ketika ditemui di pejabatnya di Klang, Selangor baru-baru ini.

Tegas Hushim, kes keruntuhan moral remaja Melayu seperti penzinaan, mengandung anak luar nikah dan membuang anak kini berada pada tahap yang serius.

“Secara purata lapan daripada 10 orang yang datang berjumpa saya untuk mendapatkan nasihat mengaku pernah berzina dan ada di antara mereka sudah hilang dara.


REMAJA mengandung anak luar nikah sanggup membuang bayi mereka kerana malu.

“Tambahan baru-baru ini Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan kenyataan seramai 50 orang anak luar nikah dilahirkan setiap hari. Statistik ini tidak mengambil kira anak luar nikah kaum lain seperti Cina dan India.

“Kita sekarang ingin menjadi seperti negara Barat dan berbangga dengan cara hidup mereka. Seolah-olah tidak akan maju jika tidak mengikuti mereka.

“Sedangkan malu itu adalah sifat orang beriman. Jika dahulu Melayu Islam menjadi kuat dengan pegangan akidah, agama, sopan santun, dan berbudi bahasa, tetapi remaja sekarang sudah hilang sifat-sifat tersebut dalam diri mereka,” katanya.

Kewujudan rumah urut, pusat judi dan arak yang semakin bercambah di dalam negara menjadi penyumbang kepada pertambahan jumlah kerosakan akhlak remaja Melayu, gejala sosial dan budaya hedonisme.

“Kerajaan dan pihak bertanggungjawab perlu menjalankan tugas mereka dengan telus serta tidak melihat kepada keuntungan semata-mata. Tempat seperti ini perlu digempur habis-habisan tidak kira sama ada halal atau haram.

“Tambahan, sekarang ada pula hotel bajet di seluruh negara yang menawarkan harga murah dengan hanya RM9.80 untuk satu jam. Sudah tentu sasarannya adalah golongan remaja yang menjadikannya sebagai tempat untuk melampiaskan nafsu.


BERJUDI merosakkan akhlak anak Melayu.

“Pencegahan ini bukan hanya terletak kepada ibu bapa sahaja tetapi turut melibatkan semua pihak termasuk orang agama dan ahli politik. Jangan hanya tahu bercakap sahaja tetapi tiada tindakan dilakukan untuk mencegahnya.

Kita tidak mahu suatu masa nanti orang Islam sudah tidak kenal nasab mereka sendiri sehingga menyebabkan adik-beradik berkahwin sesama sendiri,” jelasnya.

Ramai remaja perempuan hari ini sanggup menyerahkan tubuh kepada lelaki asing kerana suara dan emosi mereka tidak didengari oleh ibu bapa dan kekosongan itu diisi oleh teman lelaki.



IBU BAPA perlu memberikan kasih sayang kepada anak-anak mereka.

“Proses mendengar luahan emosi dan perasaan anak-anak amat penting. Terdapat ibu bapa enggan berbuat demikian kerana beranggapan anak-anak yang meningkat remaja dan masuk universiti sudah besar dan mampu menyelesaikan masalah sendiri.

“Sebab itu tidak hairan hari ini ada remaja pandai dari segi akademik tetapi sanggup melakukan perkara tidak bermoral. Ibu bapa hanya mengambil berat kecerdasan mental anak-anak mereka (IQ) seperti menjadi risau jika anak mendapat markah rendah dalam peperiksaan, tetapi berapa ramai ibu bapa memberi perhatian kepada masalah emosi anak-anak (EQ)? Oleh kerana perhatian dari segi emosi tidak ada maka anak-anak akan mudah merasa sedih, kurang perhatian dan keseorangan.

“Ibu bapa juga turut mengabaikan kecerdasan rohani dan pembangunan jiwa anak-anak mereka seperti solat dan hubungan dengan Pencipta. Apabila ilmu ini tiada mereka mudah dirasuk dengan pujukan syaitan untuk melakukan penzinaan,” kata Kaunselor Berdaftar, Hushim Salleh, dari firma Hushim Motivational & Counselling.

Seiring dengan kecanggihan teknologi, ibu bapa perlu mengubah corak dan cara didikan anak-anak terutamanya dalam aspek pendidikan seks dengan menekankan mengenai bahaya seks bebas dan elakkan daripada melihat gambar ‘kotor’ kerana akan menyebabkan pemikiran dan jiwa menjadi rosak.

“Apabila anak-anak meningkat usia 13 hingga 15 tahun, masa ini adalah sesuai untuk jelaskan kepada mereka. Sekarang kita tidak boleh mengelak lagi untuk menerangkan tentang pendidikan seks berikutan gambar dan video itu boleh dilihat dengan mudah di dalam media sosial seperti telefon dan komputer.

“Tidak dinafikan ada ibu bapa merasa malu untuk bercakap tentang seks kepada anak-anak. Mereka ini jika tidak tahu perlu mencari ilmu dan membawa anak berjumpa dengan kaunselor,” kata Hushim Salleh.

Tambahnya, berdasarkan kes-kes yang pernah dikendalikan, kanak-kanak berusia lapan tahun antara yang termuda mengalami ketagihan menonton video lucah.

Tambah Hushim, dalam membesarkan anak-anak, ibu bapa bertanggungjawab memberi didikan terbaik, tetapi sebaliknya yang berlaku apabila anak-anak tidak mendapat kasih sayang dan perhatian sewajarnya kerana mereka terlalu sibuk dengan pekerjaan.

“Ada ibu bapa yang bekerja dari pagi sehingga lewat malam atau bekerja secara shif kerana kos sara hidup di bandar semakin meningkat. Golongan seperti ini perlu korbankan masa berkualiti dengan anak-anak demi mencari wang. Kesannya apabila pulang ke rumah mereka sudah penat dan tiada masa untuk anak-anak,” katanya.

Katanya, kesibukan ibu bapa menyebabkan mereka tertinggal elemen penting iaitu model keibubapaan dalam mencorak peribadi dan akhlak Islam kepada anak-anak.

“Walaupun didikan dan penerangan ilmu agama menjadi subjek wajib diajar di sekolah tetapi persoalannya kenapa kes penzinaan, mengandung anak luar nikah, liwat dan gejala sosial semakin meningkat? Jawapannya adalah kerana kasih sayang sudah tiada.

“Contohnya, amalan solat berjemaah, makan bersama-sama sudah tidak diamalkan. Sedangkan dua waktu itu adalah masa paling sesuai untuk bercakap dan memberi nasihat supaya tidak bergaul bebas antara lelaki dan perempuan.

“Ukuran kasih sayang yang diberikan oleh ibu bapa zaman sekarang berbeza berbanding dahulu kerana nilai itu dilihat melalui material seperti pemberian makanan, wang ringgit serta memanjakan anak-anak dengan gajet. Sebaliknya kasih sayang yang diperlukan oleh anak-anak adalah komunikasi dan sentuhan mereka,” katanya.

Hushim berkata: “Ibu bapa perlu bijak menguruskan masa dengan anak-anak. Mereka tidak boleh berkata penat. Jadikan hari cuti sebagai masa terbaik untuk merancang aktiviti bersama-sama.

“Senjata untuk mengelakkan penzinaan dan gejala sosial adalah melalui kasih sayang. Orang yang mempunyai kasih sayang susah untuk menyerahkan dirinya kepada orang lain.

“Biasanya orang yang tidak memiliki kasih sayang akan mudah dipujuk, dibelai kerana jati diri mereka tidak kuat. Buktinya berapa ramai yang datang jumpa dengan saya sedang mengandung anak luar nikah dan ada yang mengaku sudah hilang dara,” katanya.

Tunai umrah dengan tenang

Setiap tahun, kira-kira enam juta jemaah umrah dari seluruh dunia termasuk Malaysia berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah Umrah. Selain khusyuk mengerjakan ibadah, jemaah juga harus memberikan sepenuh tumpuan terhadap kesihatan mereka.

Walaupun vaksinasi merupakan sebahagian daripada syarat wajib untuk menunaikan umrah, ramai yang masih tidak sedar akan bahaya mengambil mudah tentang perkara ini.

Jemaah perlu ambil vaksin 
untuk elak Meningococcal Meningitis

JEMAAH umrah yang datang dari seluruh pelosok dunia, turut membawa pelbagai jenis penyakit. -Gambar hiasan -

Penyakit Meningococcal Meningitis merupakan satu penyakit berbahaya berpunca daripada jangkitan bakteria ‘Neisseria meningitidis’ yang boleh mengancam nyawa serta merebak dengan cepat, khususnya di tempat yang padat dan sesak seperti di Mekah.

Tambahan pula, penyakit ini juga 
boleh mengancam nyawa dalam masa hanya kurang 24 jam jika rawatan ditangguhkan.

Oleh itu,vaksinasi terhadap penyakit ini dikira wajib.


Pengurus Kanan Kesihatan Lembaga Tabung Haji, Abdullah Talib dalam satu temu bual dengan Utusan Malaysia pernah mengatakan ibadah haji dan umrah bukan sahaja perhimpunan ibadah tetapi boleh dianggap sebagai perhimpunan penyakit.

“Umat Islam seluruh dunia akan berhimpun serentak dalam satu masa dalam jumlah yang terlalu besar. Jemaah dari negara ini bukan senang untuk dipilih menjadi tetamu Allah, jadi kena bersiap sedia sepenuhnya terutama daripada segi kesihatan.


SETIAP jemaah umrah perlu mendapatkan suntikan vaksin bagi mengelakkan dijangkiti penyakit Meningococcal Meningitis. - Gambar hiasan

“Syarat Arab Saudi amat jelas, visa dan permit haji serta umrah hanya akan diberikan apabila jemaah itu telah mendapat suntikan vaksin,” katanya.

Cuaca musim umrah yang pelbagai juga turut mempengaruhi penyebaran penyakit, sebab itu para jemaah semasa menghadiri kursus-kursus haji dan umrah diingatkan supaya jangan mendedahkan diri terlalu lama kepada cuaca panas.

Jemaah dinasihatkan untuk mendapatkan vaksinasi dalam masa empat minggu sebelum tarikh perjalanan, mengikut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) untuk perlindungan yang optimum.

Kumpulan berisiko tinggi seperti warga tua, wanita mengandung, kanak-kanak dan mereka yang menghidap penyakit kronik dan berbahaya turut perlu mengambil lebih langkah berjaga-jaga.

Dua jenis vaksinasi yang memberi perlindungan terhadap penyakit meningococcal adalah conjugate dan polysaccharide.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), vaksin conjugate mengurangkan risiko seseorang menjadi pembawa penyakit tersebut.

Di Malaysia, vaksin-vaksin ini boleh didapati di Tabung Haji, hospital kerajaan, Klinik Kesihatan, serta pusat-pusat perubatan dan klinik swasta.

Etika kebersihan semasa Umrah


  • Selalu amalkan rutin membasuh tangan menggunakan sabun anti-bakteria.

  • Berhati-hati jika berkongsi perkakas dapur, sudu dan garfu termasuk penyedut minuman.

  • Elakkan berkongsi pisau cukur dan gunakan pisau cukur pakai buang.

  • Elakkan menggunakan tangan untuk tujuan berkongsi makanan.

Pendidik mesti hidupkan budaya Islam di sekolah

Dakwah itu mengajak kepada kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Ia suatu tugas yang harus dipikul oleh seluruh ahli masyarakat.

Apa pun, proses menyediakan suasana beragama (iklim dini) juga sebenarnya menyediakan persekitaran yang menyokong usaha dakwah.

Maka, sekolah adalah institusi pendidikan yang sangat memerlukan suasana beragama, khususnya bagi menyediakan anak dengan persekitaran kondusif untuk menyebarkan kebaikan.

Ahmad Zabidi Abdul Razak melalui artikel jurnalnya bertajuk Ciri Iklim Sekolah Berkesan: Implikasinya Terhadap Motivasi Pembelajaran memberikan suatu analisis yang menarik.

Analisis kajiannya menunjukkan, ciri sekolah agama menengah berkesan antaranya disebabkan pelaksanaan amalan hidup Islam dalam setiap pembelajaran dan pekerjaan, manakala pengamalan sifat muraqabah (merasakan Allah SWT sentiasa memerhati) dinyatakan menyokong ciri keberkesanan sekolah.


Guru berperanan menghidupkan suasana beragama di kalangan pelajaranya. - Gambar hiasan


Dapatan itu menerangkan perlunya hubung kait antara pelaksanaan amalan hidup Islam dalam menentukan keberkesanan dan kejayaan dalam hidup.

Mewujudkan amalan cara hidup Islam harus bermula dengan penerapan nilai agama pada persekitaran sekolah.

Kesedaran kewujudan Allah SWT yang memerhatikan setiap tindakan akan memberi kesan kepada amalan seharian.

Merasai konsep ihsan memungkinkan pelajar menyedari gerak lakunya diperhatikan Allah SWT.

Dakwah di sekolah

Usaha berdakwah di sekolah adalah usaha yang murni. Pengajaran dalam kelas semata-mata belum mampu untuk menerapkan nilai murni hidup beragama secara menyeluruh.

Justeru, program dakwah sama ada secara rasmi atau tidak tetap memainkan peranan. Selain itu, persekitaran yang baik juga penting dalam usaha menjana akhlak yang baik dalam kalangan murid sebagai memenuhi perintah Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar, merekalah orang yang beruntung." (Surah Ali-Imran, ayat 104)

Dakwah dilaksanakan bagi memastikan Islam tersebar luas di seluruh muka bumi. Semoga usaha dakwah dapat melimpahkan rahmat-Nya, keamanan, kedamaian serta kemakmuran.

Ini bertepatan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui." (Surah Saba', ayat 28)

Menurut Zakiah Ariffin menerusi kajian ilmiah sarjananya bertajuk Pembudayaan Iklim Dini di sebuah sekolah di Perak, pengetua dan guru berperanan penting membentuk serta menjana pelaksanaan iklim dini.

Ini bermakna kepemimpinan pengetua mempunyai hubung kait dengan kesungguhan melaksanakan iklim dini di sekolah atau institusi pendidikan, manakala guru berperanan merancang dan melaksanakan pengisian dalam mengimplimentasikan iklim dini di sekolah.

Zakiah juga menambah, rendahnya penghayatan agama dan nilai murni dalam kalangan pelajar berpunca daripada kurangnya penekanan kepada suasana persekitaran yang Islami, termasuk program budaya ilmu, kesedaran ukhuwah Islamiah, keceriaan kawasan fizikal sekolah serta penghayatan Islam bersepadu.

Mahi Din melalui artikelnya bertajuk Iklim Dini di Sekolah dalam Jurnal Dakwah Kementerian Pelajaran Malaysia menyatakan, iklim dini merujuk kepada amalan dan kebiasaan seseorang atau masyarakat yang mengamalkan dan mempraktikkan ajaran Islam dalam kehidupan harian.

Ia termasuk menghayati akhlak mulia melalui suasana persekitaran. Mohd Kamal Hassan dalam bukunya Pendidikan dan Pembangunan: Satu Perspektif Bersepadu, menyatakan matlamat pendidikan Islam tidak terkeluar daripada tujuan asal manusia dijadikan untuk mendapatkan kebaikan di dunia dan akhirat.

Suasana dan kesedaran beragama dapat diwujudkan melalui proses pengajaran dan pembelajaran, oleh itu iklim dini secara tidak langsung dapat diwujudkan melalui penganjuran program dakwah seperti Israk Mikraj, Maulidur Rasul, Ihya' Ramadan dan lain-lain.

Poster dan papan tanda doa, tazkirah, selawat dan adab Muslim mampu memberikan kesan terhadap amalan hidup beragama di sekolah. Kempen kesedaran menutup aurat, senyum dan salam bakal mewujudkan suasana harmoni dan Islami.

Selain itu, pengajaran merentas kurikulum juga boleh diamalkan seperti menghubungkan kejadian alam dan atmosfera dengan kekuasaan Allah SWT sebagai pencipta dalam pengajaran sains untuk meningkatkan kesedaran aspek tauhid kepada pelajar.

Malah, banyak lagi aspek pengajaran yang boleh mewujudkan kesedaran beragama seperti pengajaran nilai dalam mata pelajaran sivik, kajian tempatan, Bahasa Malaysia dan lain-lain.

Peranan ini dipikul oleh semua guru dan pendidik, bukan hanya dipertangungjawabkan kepada guru Pendidikan Islam semata.

Gaya hidup Islam di sekolah

Ustaz dan ustazah harus mengambil inisiatif untuk menerajui usaha membentuk persekitaran serta gaya hidup Islami di sekolah.

Budaya hidup Islami juga boleh diterapkan di rumah oleh ibu bapa membina budaya positif dan diterapkan terhadap pembinaan jati diri serta akhlak anak.

Budaya positif ini akan diteruskan kesinambungannya dengan kewujudan suasana Islami di sekolah.

Usaha ini juga perlu dibantu oleh masyarakat serta media untuk mewujudkan persekitaran dan gaya hidup beragama kerana pembinaan modal insan yang kental akidah dan jati diri harus dijadikan keutamaan demi mencipta kelompok pemimpin negara pada masa akan datang.

Kita perlu menyokong usaha membina suasana beragama di sekolah untuk menyemai benih kebaikan dalam hati anak.

Baik guru mahupun pegawai di kementerian perlu berjiwa besar dalam mengangkasakan Islam sebagai agama yang unggul.

Had subsidi TH bantu percepat jemaah naik haji

Unik dan hanya satu-satunya di dunia. Kata-kata ini menyambut semua pengunjung laman web Tabung Haji (TH) yang kini berusia 52 tahun sejak ditubuhkan pada tahun 1963.





Sehingga kini, saiz dana TH mencecah RM60 bilion membolehkannya merangka rancangan untuk memperkasakan ekonomi umat Islam di Malaysia terutama dalam perkhidmatan haji.

TH turut mengukuhkan kedudukannya sama ada di pasaran dalam negara mahu pun arena antarabangsa dengan melakukan pelaburan di sektor perladangan, pembangunan hartanah dan pembinaan, kewangan Islam, teknologi maklumat, minyak dan gas dan hospitaliti.

Keuntungan bersih yang diperolehi membenarkan TH memberi pulangan yang kompetitif kepada pemegang kepentingannya setiap tahun. Kemajuan dan pencapaian TH turut mendapat perhatian negara luar termasuk jiran terdekat.





Mereka menyatakan minat untuk mencontohinya tetapi belum ada lagi yang berjaya membangunkan model operasi sama seperti TH.

Apapun, sejajar dengan keperluan semasa, mungkin sudah sampai masanya bagi TH untuk menilai semula objektif penubuhannya bagi memastikan organisasi itu tidak menyimpang daripada matlamat asal, kata Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail.

Matlamat asal ialah membantu memudahkan masyarakat Islam di negara ini menunaikan ibadat haji.

Semakan semula perlu dilakukan kerana TH juga terbabit dalam aktiviti pelaburan hingga ada pendeposit didapati lebih cenderung melabur daripada menunaikan Rukun Islam kelima itu dan sejauh mana membantu lebih tujuh juta pendeposit yang belum cukup simpanan untuk ke Tanah Suci.

Kita menyokong langkah TH membuat kajian semula hala tuju atau fokus operasi terutama berhubung penyimpan yang menunaikan haji.

Bilangan pendeposit meningkat daripada lima juta pada tahun 2005, kini mencapai 8.6 juta. Lebih utama lagi ialah tempoh menunggu terkini untuk menunaikan ibadah haji adalah 77 tahun.

Jelas, majoriti pendeposit TH, seramai 7.5 juta, memerlukan bantuan untuk menunaikan haji kerana simpanan mereka kurang daripada RM10,000, tanpa mengambil kira 1.9 juta lagi yang sudah mendaftar tetapi masih menunggu giliran naik haji.

Perlu diakui bahawa peningkatan kos menunaikan haji menjadi antara faktor utama apabila dalam tempoh enam tahun, ia meningkat daripada RM14,340 setiap jemaah kepada RM18,890, pada masa ini.

Dari segi ini, TH menunjukkan kemampuan menyelesaikan sebahagian permasalahan dengan memberi subsidi yang turut meningkat bagi setiap jemaah daripada RM4,360 pada 2011 hingga RM8,910, anggaran kos tahun depan.

Satu lagi instrumen penyelesaian diperkenal TH ialah menambah dua peratus dividen kepada pendeposit bertujuan mencukupkan simpanan untuk menunaikan haji.

Pemberian subsidi yang meningkat sejak beberapa tahun lalu dan dividen juga adalah bukti kejayaan pelaburan TH.

Pun begitu, TH mungkin perlu menetapkan had subsidi jemaah mengikut kes bagi mengawal kadar bantuan dalam jangka panjang dengan mengambil kira bilangan pendeposit dan kadar menunggu giliran menunaikan haji yang semakin ramai.

Malaysia diberkati sekiranya...

DAN sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (rasul), maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya.

Apakah penduduk negeri itu berasa aman dari kedatangan seksaan Kami kepada mereka di malam hari di waktu mereka sedang tidur?

Atau apakah penduduk negeri itu berasa aman dari kedatangan seksaan Kami kepada mereka di waktu matahari naik ketika mereka leka bermain? Apakah mereka berasa aman dari perancangan buruk diatur ALLAH SWT (ketika mereka lalai dengan nikmat ALLAH berikan kepada mereka sebagai bentuk istidraj kemudian ALLAH datangkan azab yang tidak terduga-duga)? Tiada yang berasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur ALLAH kecuali orang yang merugi." (Surah Al-A'raaf: ayat 96-99)

Imam Ibn Kathir ketika menghuraikan ayat 96 Surah Al-A'raaf ini menyebut: "Jikalau penduduk negeri beriman dan bertakwa,". Maksudnya, hati mereka beriman dan membenarkan terhadap apa yang dibawa rasul, lalu mereka mengikuti rasul dan bertakwa dengan melakukan ketaatan dan meninggalkan larangan, "Pastilah Kami (ALLAH) akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi,". Maksudnya hujan dari langit dan tumbuh-tumbuhan dari bumi."

Selanjutnya ALLAH berfirman: "Tetapi mereka mendustakan (ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya,". Maksudnya, tetapi mereka mendustakan rasul yang diutus kepada mereka, maka Kami timpakan kepada mereka kebinasaan akibat berbagai dosa dan pelanggaran yang mereka lakukan." (Tafsir Ibn Kathir, Dimasyq: Dar al-Faiha’, 2/312)

Syeikh Abdul Rahman bin Nasir Al-Sa'di pula menjelaskan ayat ini dengan menyebut: "Ketika ALLAH menyebutkan orang yang mendustakan rasul diuji dengan penderitaan, (musibah) itu adalah nasihat sekali gus peringatan; mereka diuji dengan kesenangan sebagai istidraj dan makar (rancangan buruk sebagai azab dari ALLAH).

Disebutkan, seandainya penduduk negeri tersebut mempunyai iman dalam hati mereka dengan penuh kejujuran, nescaya amal perbuatan mereka akan membenarkan (membuktikan) kejujuran tersebut. Mereka juga akan beramal dengan sifat takwa kepada ALLAH secara zahir dan batin dengan meninggalkan segala diharamkan ALLAH. Pastilah dibuka untuk mereka keberkatan dari langit dan bumi.

Lalu, ALLAH turunkan (hujan) dari langit, tumbuhkan dari bumi tumbuhan yang menjadi sumber kehidupan mereka dan haiwan ternakan. Dalam tanah yang subur terdapat mata pencarian, dalam limpahan rezeki, tanpa perlu berasakan kesusahan dan keletihan, tanpa perlu bekerja keras dan tanpa mengalami kepayahan.

Meski demikian, mereka tidak beriman dan tidak bertakwa, "Maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya." (Surah Al-A'raf: 96), dengan hukuman, bala bencana, dicabut segala keberkatan dan terjadinya kemusnahan. Ia adalah sebahagian daripada balasan kepada perbuatan mereka, jika tidak, sekiranya dibalas secara keseluruhan terhadap apa yang mereka lakukan, pasti tidak akan tertinggal di atasnya sesuatu apa pun daripada binatang tunggangan." (Al-Sa'di, Abdul Rahman, Taysir Al-Karim Al-Rahman,  m/s 298)

Membaca, memahami, merenung huraian ayat ini, membuatkan akal kita terfikir sejenak. Adakah kampung, bandar, negeri dan negara kita termasuk dalam tempat yang mendapat keberkatan?

Dalam ayat ini, ALLAH kaitkan nilai iman dan takwa sebagai syarat utama untuk sesebuah negara dilimpahkan keberkatan. Hujan turun mencurah, bumi subur tumbuhlah tanaman dinikmati manusia dan haiwan. Ia adalah satu simbolik kepada nilai keberkatan.

Rakyat Beriman & Bertakwa

Apabila disebut prasyarat untuk sesebuah negara diberkati ialah penduduknya berpegang teguh dengan nilai iman dan takwa, nilai ini mesti dijadikan paksi dalam masyarakat.

Pemimpin yang membaca ayat ini semestinya menjadikan ia sebagai formula utama dalam membentuk keperibadian rakyat yang diperintah. Dasar pemerintahan dan pentadbiran, polisi yang digubal, peraturan yang dilaksanakan, program dianjurkan dan apa sahaja yang dikenakan kepada rakyat, mestilah didasari nilai iman dan takwa.

Ini semua tidak akan wujud, melainkan pemimpin tersebut membina dan memupuk nilai dirinya dengan iman dan takwa. Pemimpin yang bertakwa, fokusnya juga ingin melahirkan rakyat bertakwa. Pemimpin bertakwa, tidak tergamak menzalimi rakyatnya.

Pemimpin bertakwa tidak berani menindas dan menafikan hak rakyat. Pemimpin bertakwa takut menyeleweng harta rakyat. Pemimpin bertakwa takut mengkhianati amanah. Ringkasnya, pemimpin bertakwa menjalankan pemerintahan dan pentadbiran dengan rasa takut kepada ALLAH. Amanah, keadilan, kejujuran dan keikhlasan terpancar dalam pentadbirannya.

Harapan rakyat

Umar Abd Al-Aziz apabila dilantik menjadi khalifah. Ketika pembesar menanti kemunculannya setelah dilantik, mereka berbisik bertanya anaknya, mengapa ayahnya belum keluar. Kata anaknya: "Ayahku sejak dilantik, beliau bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, air matanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila ditanya, dia berkata: "Wahai Fatimah! Aku dikalungkan urusan umat Muhammad yang berbagai bangsa.

Aku terfikir perihal orang fakir, lapar, sakit lagi derita, orang biasa susah, dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga ramai sedangkan wangnya sedikit dan seumpama mereka berada di segala tempat dan penjuru negara.

Aku tahu Tuhanku akan bertanya mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis." (Lihat: Mahmud Al-Baji, Muthul 'Ulya min Qada Al-Islam, 144)

Kita dambakan pemimpin seperti Umar bin Abd Al-Aziz. Begitu juga contoh teladan ditunjukkan khalifah didikan Rasulullah SAW. Kita harapkan pemimpin yang menangis ketakutan kerana bimbang amanah kepimpinan yang ditanggung tidak mampu mereka tunaikan seperti ALLAH mahukan.

Bukan hanya menangis untuk meraih undi dan sokongan. Selepas menang, ketawa penuh keriangan. Rakyat pula yang menangis menanggung kesusahan dan bebanan kehidupan.

Kita mengharapkan negara ini, sentiasa dilimpahkan keberkatan. Hasil bumi yang tidak kering. Tanaman yang subur. Bersama kita menjadi rakyat yang memelihara nilai iman dan takwa. Rakyat yang beriman dan bertakwa tidak akan memilih melainkan pemimpin yang juga beriman dan bertakwa.

Apabila bergabungnya antara rakyat dan pemimpin yang mengutamakan nilai iman dan takwa, mudah-mudahan limpahan keberkatan akan terus mencurah-curah ke atas negara kita yang tercinta.

Isteri memuja yang lain

ISTERI memuja lelaki selain suaminya pernah diceritakan dalam al-Quran secara khusus ketika peristiwa Nabi Yusuf AS digoda isteri Al-'Aziz, Ra'il binti Ra'ail atau lebih dikenali sebagai Zulaikha dalam kitab tafsir seperti Tafsir Al-Qurthubi.

Keinginan dimaksudkan adalah kemuncak kepada pemujaan dengan melaksanakan hubungan intim antara lelaki dan perempuan. Bermula dengan melihat, meminati, berangan dapat dimiliki walaupun dalam mimpi, kemudian cari peluang bertembung mata dan jasad adalah tindakan menjurus kepada perbuatan maksiat.

PUJI LELAKI LAIN, MIMPIKANNYA

Pendakwah, Ustazah Shadiya Abbas berpendapat, sentiasalah menyebut Subhanallah saat melihat sesuatu mengagumkan. Manakala bagi mereka yang dipuji, ucapkanlah Bismillahi Masya-ALLAH, La Haula wa La Quwwata Illa Billahil 'Aliyyil 'Azhim.

"Maknanya sama ada kita memuji atau dipuji, hendaklah dikembalikan rasa kegembiraan atas nikmat tadi kepada ALLAH. Harus bagi isteri memuji lelaki lain dengan tujuan mengambil pengajaran, mendamaikan pertelingkahan atau mengajak orang lain memikirkan kebaikan individu dipuji.

"Bahkan memperoleh pahala jika dengan sebab pujian yang benar menyebabkan ukhuwah terjalin dan orang lain bersemangat meniru kebaikannya. Misalnya kita memuji Rasulullah SAW di hadapan suami dengan tujuan mengajak suami melakukan kebaikan atau memuji lelaki lain atas tujuan yang sama.

"Berdosa besar apabila kita memuji lelaki lain dengan tujuan menyindir suami, mogok atau bertujuan menyakiti suami. Apatah lagi jika kita memuji bekas kekasih hatta bekas suami terdahulu," katanya kepada Rehal.

Menurutnya, jika sekadar memuji lelaki lain dalam hati, tidak mengapa. Cuma ada baiknya rasa itu dipandu dengan perasaan takutkan ALLAH. Perlu diingatkan, disebabkan rasa minat Zulaikha kepada Nabi Yusuf AS dalam diam akhirnya memakan dirinya. Antara perbuatan perlu dielakkan:

Berangan-angan memilikinya hatta dalam mimpi.

Menyimpan gambarnya sebagai cara melepaskan rindu.

Berimaginasi dapat bermesra-mesra dengan lelaki pujaannya.

Sekiranya isteri atau suami melakukan perbuatan tersebut, dia melakukan kekejian terhadap jiwanya, menyukai hal yang haram sekali gus mendorong kepada perlakuan zina. Paling membimbangkan, dia sedang menulis namanya sebagai ahli neraka. Jika kita pernah melakukan perbuatan di atas, mohonlah ampun daripada ALLAH dengan bertaubat dan bermujahadahlah.

PANDANGAN ALLAH CINTAI

Islam bukanlah agama yang melarang sahaja. Apabila kita benar-benar memahami tatacara hidup orang beriman, larangan ALLAH sedikit berbanding dengan ALLAH benarkan. Contohnya larangan memakan bangkai dan daging babi atau haiwan bertaring amatlah sedikit berbanding pelbagai jenis makanan halal di sisi ALLAH. Begitulah dalam hal pergaulan lelaki dan wanita ajnabi. Ruang larangan amatlah sedikit berbanding ruang dibolehkan.

Beliau yang juga Perunding Motivasi di Emkays Future Traning & Consultancy berkata, ALLAH memerintahkan wanita menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan mereka selepas perintah yang sama juga dikenakan kepada kaum lelaki sepertimana dalam Surah An-Nur ayat 31.

"Seruan ALLAH ini hanya kepada wanita dan lelaki beriman. Syeikh Abi Abdillah atau Ibnu Qosim Al-Ghozi dalam kitabnya Fathul Qarib bab Hukum-Hukum Pernikahan menjelaskan harus hukumnya bagi wanita dan lelaki memandang satu sama lain dalam tujuh hal iaitu;

Melihat tanpa syahwat

Ketika memandang pasangan masing-masing

Memandang ahli keluarga yang berkait nasab dan susuan

Memandang untuk tujuan bernikah

Memandang untuk tujuan perubatan

Ketika menjadi saksi (sesi soal jawab)

Memandang bagi tujuan muamalah

"Ahli fiqh menyatakan haram memandang seseorang dengan pandangan syahwat. Rasulullah SAW memalingkan kepala 'Ali semasa 'Ali memandang lama ke arah seorang perempuan dan Nabi SAW bersabda: "Wahai 'Ali, janganlah kamu ikuti pandangan pertama itu dengan pandangan berikutnya. Pandangan pertama boleh buat kamu tetapi tidak pandangan selepasnya. Kerana pandangan pertama untukmu dimaafkan dan pandangan kedua untukmu tidak dimaafkan." (Riwayat Abu Daud)," jelasnya.

Menurut Ustazah Shadiya lagi, hadis berkenaan tidak dikhususkan kepada lelaki sahaja. Disebut lelaki kerana sifat lelaki yang begitu, manakala wanita juga mempunyai rasa yang sama seperti lelaki. Namun wanita dilindungi dengan sifat malu. Dalam hal memandang pun sudah diingatkan Nabi SAW akan bahayanya, bayangkanlah kesan buruknya apabila seseorang itu mengintai, merenung hingga berhasrat pula untuk bertemu dalam mimpi.

SUAMIKU BUKAN IDAMANKU

Hakikatnya punca seorang isteri mengangan-angankan lelaki lain selain suaminya disebabkan nikmat penglihatan, kagum pada penampilan khasnya pada wajah dan tubuh badan yang tidak dimiliki suami sendiri. Rasa kagum ini lahir kerana terlalu merenung dan melayan gejolak nafsunya.

"Gelombang keinginan kepada lelaki yang berbadan sasa, berwajah cantik dan mulus, bersifat romantik, bergaya metro seksual semakin merebak apabila baru-baru ini pendengar wanita memberikan respons berbaur tarikan seksual terhadap seorang tetamu yang hadir dalam rancangan radio swasta di Malaysia. Lelaki seperti ini digelar sebagai lelaki amrod atau bahasa masyarakat moden sebagai lelaki jambu.

"Hal ini juga terbukti apabila masyarakat kita digemparkan dengan perlakuan remaja perempuan memeluk artis lelaki K-Pop di atas pentas disaksikan oleh ramai remaja disertai sorakan dan tepukan.

"Tidaklah menjadi kesalahan jika isteri mahu suaminya kelihatan indah seperti lelaki yang diminatinya. Kerana suami juga wajib berdandan untuk isteri sama seperti isteri berdandan untuk suami.

"Tetapi isteri hanya boleh memberi cadangan penampilan yang sesuai untuk suami. Makruh memaksa suami berkelakuan seperti lelaki pujaannya bahkan haram jika suami enggan dan pakaian yang dipakaikan memalukan suami serta melanggar syariat. Berbeza dengan mendorong suami berpenampilan menarik bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW yang suka berdandan untuk isteri Baginda SAW," tambahnya lagi.

Beliau menjelaskan mengenai kisah yang disebut ALLAH dalam al-Quran yang tidak menyebutkan nama isteri Al-'Aziz kerana isu yang diangkat bukan semata-mata mengenai Zulaikha, tetapi ia menjurus kepada status seorang isteri yang dilimpahi dengan kemewahan namun malangnya tidak bahagia dalam perkahwinan.

ALLAH berfirman: "Dan perempuan-perempuan di kota berkata; Isteri Al-'Aziz menggoda dan merayu pelayannya untuk menundukkan dirinya, pelayannya benar-benar membuatnya mabuk cinta. Kami pasti memandangnya dengan kesesatan yang nyata." (Surah Yusuf: 30)

"Berdasarkan ayat di atas saya mahu menghubungkan dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang panjang mengenai godaan wanita.

"Diriwayatkan daripada Jabr RAH, Nabi SAW melihat seorang perempuan maka Baginda datang kepada isterinya Zainab yang ketika itu sedang menggosok kulit binatang miliknya untuk disamak, lalu Baginda SAW menunaikan haknya ke atas Zainab (menggauli isterinya itu).

"Kemudian Rasulullah SAW pergi kepada sahabatnya lalu bersabda: "Sesungguhnya wanita itu menghadap ke muka dalam bentuk syaitan dan menghadap ke belakang dalam bentuk syaitan..." (Riwayat Muslim)," katanya.

Ustazah Shadiya berkata lagi, Imam Al-Qurthubi menghuraikan hadis yang panjang ini dengan  menyebut maksud Nabi SAW ialah apabila seorang wanita itu ke khalayak ramai, syaitan akan duduk di atas kepalanya dan memperindah pandangan orang melihatnya dan syaitan juga akan duduk di belakangnya semasa dia pulang serta menghiasnya hingga mata-mata yang memandangnya akan terpana. Alangkah bahayanya jika yang melihat isteri kita mempunyai niat jahat.

KATA KUNCI SUAMI ISTERI

Itulah sebabnya Rasulullah SAW menyebutkan mengenai bahaya tipu daya wanita dan perintah menjaga kaum wanita dalam khutbah wida’ Baginda SAW. Bahkan Al-Quran turut menceritakan kata-kata Al-'Aziz dalam akhir ayat 28 Surah Yusuf dengan mengatakan: "Sesungguhnya kejadian itu adalah tipu daya kamu. Sesungguhnya tipu daya kamu benar-benar hebat."

Rasulullah SAW sendiri mengingatkan isteri Baginda SAW melalui satu peristiwa ketika Ibnu Maktum RAH datang bertemu dengan Nabi SAW. Nabi SAW memerintahkan isterinya iaitu Ummu Salamah dan Maimunah masuk ke dalam kamar. Lantas Ummu Salamah bertanya; bukankah orang itu tidak boleh melihat kami? Lalu Rasulullah SAW menjawab: "Bukankah kalian dapat melihatnya?." (Riwayat Abu Daud & Tirmizi)

Hebatnya Rasulullah SAW mendidik isterinya bermula daripada mendidik apa yang isteri lihat hinggalah mendidik akidah isteri.

Isteri yang memuja lelaki selain suaminya tidak nampak kemuliaan suami sendiri. Maka, suami sekalian  perlu bermuhasabah diri apabila isteri mengidamkan lelaki lain hingga berangan ke dalam mimpi.

Kuncinya mudah sahaja untuk mengembalikan isteri agar mengikut perintah ALLAH dan menjadikan rumah tangga penuh rasa cinta yang subur iaitu; kembali menjaga ALLAH dalam hidupmu dengan baik, maka ALLAH akan menjaga urusanmu baik-baik.