December 16th, 2015

Ambil manfaat tanpa jejas kelestarian bumi

BUMI memberikan manusia kemudahan hidup yang tidak terkira banyaknya. Bahkan, selepas meninggal dunia, bumi menjadi tempat istirahat jasad kita dan asal usul kita juga daripada tanah.

Firman Allah yang bermaksud: "Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi." (Surah Taha, ayat 55)

Malaikat pernah bertanyakan kepada Allah SWT tatkala Allah SWT hendak menciptakan Nabi Adam. Kisah itu dirakamkan dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya." (Surah al-Baqarah, ayat 30)

KEJADIAN banjir sering dikaitkan dengan sikap tamak sesetengah pihak melakukan pembangunan tanpa mengira keadaan sekeliling. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Tanggungjawab memakmurkan bumi

Allah SWT memberikan mandat kepada Nabi Adam dan keturunannya iaitu umat manusia untuk menguruskan serta memakmurkan bumi.

Dengan demikian, bumi menjadi tempat bergantung bagi umat manusia serta memakmurkannya secara baik.

Sekurang-kurangnya terdapat dua perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh manusia sewaktu memakmurkan bumi ini.

Perkara pertama adalah mengambil manfaat dari bumi yang menyediakan pelbagai kemudahan dan hasil bagi maslahah manusia seperti bercucuk tanam, menggunakan sumber air yang bersih, mengambil minyak serta batu bata daripada perut bumi.

Semua itu untuk kemaslahatan hidup umat manusia, tetapi pengambilan manfaat daripada bumi tidak boleh dilakukan berlandaskan nafsu serakah yang tamak dan secara zalim.

Oleh itu, kita perlu mengambil perhatian kepada perkara kedua iaitu menjaga atau memelihara bumi supaya tetap lestari dan terus subur dalam memenuhi keperluan umat manusia.

Selain mengambil manfaat, harus juga diperhatikan dari sudut penjagaan dan pemuliharaannya.

Pelihara alam sekitar

Itulah yang diajarkan oleh Islam, iaitu mengambil manfaat, tetapi harus juga memeliharanya supaya manfaatnya terus menerus dalam keadaan terjaga. Itulah yang dinamakan tidak melampaui batas, sedangkan perbuatan melampaui batas dilarang oleh Islam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas." (Surah al-A'raf, ayat 31)

Malangnya, ada antara kita mengambil manfaat daripada bumi secara membuta tuli, menebang pohon hutan secara liar, membakar hutan, pembalakan haram, pencemaran terhadap alam sekitar serta menggondol bukit bukau.

Akibatnya, adalah tidak menghairankan jika banyak bencana alam yang berlaku, banjir besar, tanah runtuh, asap jerebu dan sebagainya.

Justeru, penting umat Islam memakmurkan bumi dengan iman. Jika kita mengaku beriman kepada Allah SWT, kita akan mengimarahkan bumi.

Bukan sekadar mengambil manfaat daripadanya, bahkan menjaga dan memeliharanya supaya tidak berlaku kerosakan.

Justeru, marilah bersama memelihara bumi dengan iman supaya tercipta keseimbangan ekosistem dalam kehidupan dunia ini.

Bebas bersuara bukan tiket pertikai kredibiliti institusi agama

Islam agama yang syumul dan lengkap melayani semua keperluan hidup manusia, menggariskan panduan serta peraturan yang dapat menjamin kesejahteraan hidup mencakupi persoalan ibadah, muamalah, munakahat dan jenayah.

Namun, pada zaman manusia berada di puncak kemodenan ini, isu seperti hak asasi manusia makin rancak diperjuangkan. Perjuangan itu berasaskan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang diperjuangkan dunia Barat.

Deklarasi berkenaan membahagikan hak asasi manusia kepada empat aspek utama iaitu kebebasan kepercayaan, bersuara, kemahuan dan bebas daripada ketakutan.

Kebebasan ini juga diterjemahkan dalam bentuk hak asasi meliputi manusia tanpa mengambil kira apa juga latar belakang mereka.

Hakikatnya, hak asasi manusia dari perspektif Islam adalah tidak mutlak dan bermatlamat melindungi maruah serta mengangkat kemuliaan martabat manusia.

Konsep 'hak asasi' dan 'kebebasan' dikehendaki oleh Barat seolah-olah meletakkan kedudukan manusia sama seperti haiwan.

Lihatlah cara hidup haiwan yang tidak mempunyai akal, tidak mengenal hukum-hakam serta tidak boleh membezakan antara halal dan haram.



Ia melakukan apa yang dikehendaki mengikut tabi'i kejadiannya.

Menurut Dr Wahbah al-Zuhaili, Islam adalah agama yang mula-mula memperakui dan mendaulatkan hak asasi manusia.

Buktinya, di zaman jahiliah wanita dan kanak-kanak perempuan dizalimi serta dibunuh, namun Islam datang membawa perubahan dengan mengangkat kedudukan martabat wanita.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan pelbagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang telah Kami ciptakan." (Surah al-Isra', ayat 70)

Islam meletakkan penghormatan yang mulia dan tinggi kepada manusia tanpa mengira warna kulit, jantina, keturunan atau bangsa. Apa yang utama ialah komitmen seseorang memperkuatkan akidah dan takwa kepada keesaan Allah SWT.

Jika apa yang diperjuangkan oleh mana-mana pihak dilihat sebagai usaha menjatuhkan kemuliaan manusia dan menjauhkan diri daripada Allah SWT, maka tidak rasional usaha itu dilihat untuk menegakkan hak asasi manusia. Islam tidak menolak sepenuhnya hak asasi manusia sejagat.

Sebaliknya, Islam mempunyai panduan tersendiri dalam menilai isu berkaitan kebebasan manusia. Setiap muslim dibatasi hukum hakam, halal haram dan dipimpin oleh al-Quran serta sunah sebagai sumber rujukan.

Setiap individu mempunyai hak untuk hidup, makan, minum, miliki harta, belajar, bersuara, bekerja, warganegara dan sebagainya.

Tetapi apabila bertembung antara hak individu dengan hak masyarakat, maka hak masyarakat mestilah didahulukan selagi tidak melanggar hak individu yang lebih utama.

Barat utama hak individu

Namun, di negara Eropah dan Barat, mereka lebih mengutamakan hak individu. Bagi mereka, setiap individu berhak melakukan perkara yang diinginkan selagi perkara itu tidak mengganggu privasi orang lain.

Lantaran, atas 'tiket' hak individu itu, maka muncullah pelbagai kontroversi yang mencabar nilai sosial masyarakat di sana seperti membenarkan perkahwinan sejenis dalam kelompok gay dan lesbian.

Begitu juga hak untuk mempunyai anak dengan pasangan walaupun tidak berkahwin.

Renungkan firman Allah SWT yang bermaksud: "(Iaitu) orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan." (Surah al-Kahfi, ayat 104)

Atas nama kebebasan bersuara, pejuang hak asasi manusia berani mempertikaikan kredibiliti institusi agama serta undang-undang jenayah syariah.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Perkara 11 (3) yang boleh diertikan mana-mana kumpulan agama berhak menguruskan hal ehwal agamanya, menubuhkan dan menyenggarakan institusi bagi maksud agama atau khairat; memperoleh dan mempunyai harta, memegang dan mentadbir mengikut undang-undang.

Justeru, penubuhan institusi Islam sangat berperanan khusus mengurus dan mentadbirkan urusan berkaitan hal ehwal Islam serta umatnya.

Namun ada pandangan mengatakan umat Islam mempunyai hak peribadi dalam urusan kehidupan, termasuklah agama.

Sehingga apabila mereka mahu melanggar perintah Allah SWT seperti meminum arak, berjudi dan sebagainya adalah hak mereka apatah lagi jika ia dilakukan di tempat peribadi mereka.

Amat jelas mereka menentang hukum-hakam syariat Islam dan undang-undang jenayah syariah diguna pakai di negara ini.

Undang-undang negara termasuk undang-undang jenayah syariah perlu dipertahankan, dipatuhi dan dihormati oleh semua warga negara bertujuan menjaga keamanan serta mempertahankan hak setiap insan.

Tidak ada negara di dunia ini yang berdiri teguh tanpa undang-undang, termasuk Barat yang sememangnya lantang menyuarakan deklarasi hak asasi manusia.

Islam jamin hak asasi manusia

Wujudnya undang-undang adalah bertepatan dengan prinsip Islam atau maqasid syariah iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Justeru, undang-undang syariah yang ditetapkan oleh Allah SWT bermatlamat menjamin hak asasi manusia bukan menghilangkan hak mereka.

Setiap manusia tertakluk kepada syariat tidak kira mereka bangsawan, pemimpin atau rakyat biasa, dia tetap berstatus hamba di sisi Allah SWT. Sebagai hamba, manusia wajib akur dengan segala peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menjadi seperti orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh nabi Allah), dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar." (Surah Ali-Imran, ayat 105)

Mukmin bertakwa tidak akan menyekutukan Tuhan

TAKWA dihuraikan oleh Saidina Ali sebagai mempunyai empat ciri. Kalau seseorang itu mempunyai keempat-empat ciri berkenaan, maka manusia itu akan tergolong dalam kalangan orang bertakwa.

Ciri pertama yang dinyatakan Saidina Ali ialah orang itu tidak takut selain kepada Allah SWT. Seseorang itu sentiasa takut kepada Allah SWT dan meletakkan Allah SWT untuk segala-galanya.

Bagaimanapun, manusia hari ini kebanyakannya meletakkan manusia lebih tinggi daripada Allah SWT seperti rezeki yang diperoleh adalah diberikan oleh orang lain.

Sebenarnya, Allah SWT yang menentukan segala-galanya kerana Allah SWT ialah Tuhan yang menjadikan manusia. Ustaz Abdullah Khairi Haroon dalam ceramahnya ketika mengikuti Pelayaran Islamik 11. 0 anjuran IntraTama Travel Consultant & Tours Sdn Bhd berkata, seorang wali Allah SWT,

Said Ibnu Zubair, yang hidupnya hanya berzikir kepada Allah SWT adalah antara contoh individu terbaik yang meletakkan Allah SWT di atas segala-galanya.

Hajjaj pemerintah zalim

Said hidup pada zaman pemerintahan Gabenor Kufah, Hajjaj Yusuf al-Thaqafi, seorang pemerintah yang terkenal dengan kezalimannya dengan sesiapa yang melawan Hajjaj akan dibunuh.

Pada satu hari, Hajjaj bertanyakan kepada pengawalnya mengenai siapa dalam kalangan rakyatnya yang tidak takut kepadanya sebelum pengawal memaklumkan kepadanya bahawa ia adalah Said

.

"Maka kepunyaan Allah timur dan barat, maka ke mana pun kamu menghadapkan, di situlah wajah


Allah" - Surah al-Baqarah, Ayat 115
Hajjaj kemudian mengarahkan pengawal untuk membawa Said datang untuk menemuinya.

Sebaik sahaja didatangi pengawal berkenaan dan dimaklumkan mengenai permintaan Hajjaj itu, Said kemudian memasuki rumahnya, mengambil wuduk, menukarkan baju kepada jubah berwarna putih dan menunaikan solat dua rakaat.

Sebaik selesai menunaikan solat, beliau pun keluar menemui pengawal itu sebelum pengawal berkenaan bertanyakan mengapa beliau mengambil wuduk, memakai baju putih dan menunaikan solat.

Said berkata: "Hari ini, wudukku adalah wuduk yang terakhir, jubahku yang putih adalah tanda kain kafan. Hari ini, aku akan bertemu dengan kekasihku, Allah."

Said kemudian dibawa ke istana Hajjaj dan apabila dibuka pintu, Hajjaj duduk dalam keadaan sombong dan bertanya siapakah diri beliau walaupun sebenarnya mengenali Said.

Apabila Said menjawab bahawa dia adalah Said iaitu bermakna orang bahagia, anak kepada orang baik-baik, Hajjaj mengatakan kepadanya bahawa beliau sebenarnya ialah Saqi ibnu Qusir yang bermakna orang celaka, anak kepada orang pemalas.

Hajjaj menghina seorang wali Allah SWT, bukan ulama biasa. Said yang berusia 76 tahun kemudian menjawab: "Ibu aku yang melahirkan aku, ibu aku tahu siapa aku."

Said tak takut selain Allah SWT

Said yang meletakkan Allah SWT di atas segala-galanya dan tidak takut kepada sesiapa menyebabkan Hajjaj berkata: "Ibu kamu celaka sama dengan kamu."

Said kemudian menjawab lagi: "Jika kamu mengatakan ibu aku celaka, kamu juga dilahirkan oleh seorang ibu, ibu kamu juga celaka seperti ibu aku."

Itulah kehebatan wali Allah SWT yang meletakkan Allah SWT di atas segala-galanya. Hajjaj yang berang dan mengatakan mulut Said sebagai celupar kemudian memerintahkan pengawal menyediakan 'api neraka' yang menyala-nyala untuk membakar Said.

Said berkata: "Jika kamu boleh menyediakan aku api neraka, kamu belum tentu boleh terlepas api neraka yang Allah SWT sediakan untuk kamu."

Bila dijawab, Hajjaj terus sakit hati dan mengarahkan pengawal memegang muka dan memusingkan kepala Said yang bercakap tanpa melihat dirinya tetapi menghadapkan muka ke arah kiblat.

Apabila pengawal memusing kepala Said supaya menghadap Hajjaj, wali Allah ini membacakan surah al-Baqarah, ayat 115: "Maka kepunyaan Allahlah timur dan barat, maka ke mana pun kamu menghadapkan, di situlah wajah Allah."

Hajjaj semakin sakit hati dan mengarahkan pengawal mendapatkan wang yang banyak dan meletakkannya di hadapan Said tetapi tidak diindahkan Said.

Begitu juga cubaan Hajjaj dengan mengarahkan wanita cantik menari di depan Said. Said kemudian mengatakan kepada wanita itu: "Kamu sudah digunakan Hajjaj bukan pada tempatnya, kamu akan dakwa Hajjaj di akhirat."

Nasihat Said menyebabkan wanita itu menangis dan terus bertaubat kepada Allah SWT. Ia memarakkan lagi api kemarahan Hajjaj yang kemudian mengarahkan pengawal melambungkan Said sehingga jatuh luka.

Said bagaimanapun berkata: "Daripada tanah ini aku dijadikan, kepada tanah ini aku kembali. Daripada tanah inilah aku dihidupkan semula."

Apabila dibaca ayat itu, Hajjaj semakin gagal mengawal perasaan menyebabkan dirinya melompat ke atas tubuh Said, menekankan kepala Said ke tanah sebelum mengeluarkan pedangnya yang tajam lalu menyembelih kepala Said.

Kepala Said yang putus kemudian berkata: "Hajjaj kau telah membunuh aku, kau tak akan dapat membunuh sesiapa lagi selepas aku. Hari ini aku akan bertemu kekasih aku, Lailahaillah."

Dr Aaidh Abdullah al-Qarni dalam kitabnya, Sakaratul Maut mengatakan darah Said keluar daripada tengkuknya dengan darah yang jatuh ke atas pasir menuliskan kalimah Lailahaillah.

Perkasa ummah, pertahan idea pemikiran Islam

ERA baharu yang sarat dengan pembaharuan fizikal dan material, mendatangkan cabaran besar ke atas pemikiran Islam.

Pemikiran Islam perlu dijaga dan diperkasa daripada sebarang bentuk noda kerana ia adalah asas kepada pembentukan peradaban Islam.

Sekiranya kabur pemikiran Islam, maka akan malaplah peradaban Islam. Sekiranya tiada pemikiran Islam, lenyaplah hasrat membina peradaban Islam.

Secara tradisinya istilah pemikiran Islam ini bukanlah wujud secara harfiah dalam al-Quran atau pun al-Hadith, tetapi istilah ini dikenali ketika berkembangnya cabaran terhadap Islam.

Dan istilah itu dilahirkan dalam perjuangan pemikir dan ulama Islam terdahulu ketika Islam sudah sarat dalam kemunduran. Istilah ini juga diperkenal bagi mengimbangi perkembangan tamadun atau pemikiran Barat.

Ringkasnya istilah pemikiran Islam itu diperkenal bagi tujuan menjaga peradaban Islam supaya tidak tergugat dengan pembangunan peradaban lain.

Pemikiran Islam umumnya adalah pemikiran atau penilaian yang dibuat menurut pandangan atau sudut pandang Islam.

Ringkasnya juga pemikiran Islam itu mengandungi tiga unsur, iaitu fakta, hukum dan hubungan antara fakta dan hukum.

Pemikiran Islam jadi sasaran

Pemikiran Islam ini wujud dalam dua ruang lingkup yang luas, iaitu, dalam soal akidah atau hal bersifat ketuhanan dan juga amal syariah.

Dalam kata lain, pemikiran Islam membabitkan persoalan berkaitan kepercayaan Islam dan amalan kepada kepercayaan Islam.

Pemikiran Islam dalam kedua-dua aspek ini telah menjadi sasaran dalam beberapa agenda barat seperti agenda hiburan, liberalisme, kesamarataan antara agama dan agenda hak asasi yang berbentuk human rightism atau ideologi hak asasi yang mengetepikan peranan agama, terutama dalam hal-hal yang membabitkan gender atau orientasi seks.

Cabaran, bahkan ada yang menganggap sebagai ancaman kepada pemikiran Islam ini telah menjadi tajuk utama pelbagai bahan bacaan serius ketika ini.

Atas kacamata apa yang kita lihat, sama ada cabaran pemikiran ini semata-mata cabaran, atau ia juga adalah ancaman ke atas pemikiran Islam, apa yang pasti ialah, kita tidak boleh biarkan ia berterusan.

Walaupun secara umumnya cabaran sebegini bukanlah perkara baharu kerana ia telah berlangsung ketika Barat melakukan penjajahan fizikal ke atas negara-negara Islam.

Ketika era penjajahan fizikal ke atas negara-negara Islam, penerapan cara pemikiran Barat sudah dikembangkan secara sistematik menerusi sistem pendidikan.

Setelah ratusan tahun menjajah secara fizikal, cara berfikir atau pemikiran umat Islam juga berjaya diubah dan secara langsung dipengaruhi dengan kukuh sekali cara pemikiran Barat.

Sehingga kini cara berfikir dalam pemikiran Barat, menjadi sebati. Kesannya dapat dilihat dan dirasai sehingga kini.

Pelbagai cabaran, ancaman

Masyarakat negara kita juga tidak terkecuali daripada kesan itu. Kita melihat perkembangan semasa dalam negara, ia bukan mudah menanam pemikiran Islam secara total kerana kelangsungan kesan pemikiran Barat ke atas golongan yang mendapat pendidikan dalam sistem Barat itu masih lagi ketara di persada khalayak walaupun tidak semua mereka itu begitu.

Belum lagi bersih daripada kesan penjajahan fizikal dan kesan sistem pendidikan barat, umat Islam perlu menghadapi cabaran pemikiran cara baharu.

Cabaran baharu ini lebih serius kerana ia bukan sahaja membabitkan pemikiran hal-hal fizikal, malah bersifat pemikiran berkaitan ketuhanan atau bersifat akidah.

Walaupun cabaran atau ancaman ke atas akidah umat Islam juga berlaku dahulu, tetapi kini ia amat ketara kerana agenda memisahkan agama berlaku dalam pelbagai wadah.

Selain itu, mekanisme penyebaran pemikiran Barat itu juga begitu mudah berada dalam persada umum apabila jaringan internet menguasai massa.

Kelangsungan pemikiran Barat yang ditanam melalui sistem pendidikan Barat juga menjadikan cabaran baharu itu, mudah memasuki aliran pemikiran umat Islam.

Umat Islam kini sedar, bahkan amat menyedari cabaran atau ancaman pemikiran Islam. Gerakan memperkasa ummah sebagaimana seruan pimpinan hendaklah diambil peluang oleh seluruh umat Islam negara ini.

Seruan itu tidak patut dianggap sebagai seruan politik atau semata-mata agenda politik. Ia adalah seruan dan agenda perjuangan ummah.

Kesediaan pimpinan hendaklah dijadikan landasan untuk umat Islam memperkasa perjuangan untuk memelihara dan memperkasa pemikiran Islam.

Islamofobia serlah sikap perkauman rakyat Amerika

BARU-baru ini, calon Presiden bagi parti Republikan, Donald Trump mengeluarkan satu kenyataan yang sangat kontroversi, iaitu beliau akan menghalang orang Islam dari memasuki Amerika Syarikat (AS) sekiranya menjadi presiden.

Reaksi Trump adalah berkaitan dengan ancaman pejuang Negara Islam (IS) di Asia Barat dan ada usaha untuk membawa sebahagian pelarian Syria memasuki AS.

Sikap Trump ini sebenarnya bukanlah baru kerana beliau sebenarnya membawa agenda anti imigrasi sebelum ini seperti kenyataannya untuk membina tembok memisahkan AS dan Mexico bagi menghalang pendatang asing dari Mexico memasuki AS.

Trump bukanlah sebenarnya ahli politik, beliau hanyalah ahli perniagaan yang berjaya. Untuk menjadikannya calon presiden bagi parti Republikan, beliau seharusnya mendapatkan sokongan anggota parti Republikan yang terkenal membawa agenda sayap kanan yang konservatif.

Sentimen perkauman tarik sokongan

Sentimen perkauman dan keagamaan mampu menarik sokongan warga AS yang konservatif menyokong calon yang memperjuangkan agenda itu.

TERDESAK raih undi, Trump pilih isu anti-Muslim untuk jadi popular. - Foto AFP


Dengan membawa misi anti-Muslim and antiimigrasi, Trump bukan berjaya menjadikan dirinya popular, malah memperluaskan lagi sikap Islamofobia dan Xenophobia dalam kalangan warga AS.

Dalam satu kajian oleh Bloomberg, 37 peratus warga AS bersetuju dengan pandangan Trump untuk menghalang orang Islam memasuki AS.

Namun, 50 peratus pula tidak bersetuju. Dalam kalangan penyokong parti Republikan pula, 65 peratus menyokong pandangan Trump dan 22 peratus menentang.

Bagi penyokong parti Demokrat pula 75 peratus menentang saranan Trump, di samping 18 peratus menyokong.

Berdasarkan kajian ini jelas bahawa rakyat AS berbelah bahagi terhadap sokongan mereka kepada kenyataan Trump yang berasaskan juga sokongan mereka ke atas sesebuah parti politik.

Tinjauan pendapat yang dilakukan agensi berita CBS News/New York Times mendapati bahawa Trump masih mendahului lawannya dari parti Republikan dengan 35 peratus.

Cabaran terdekat ialah dari Ted Cruz dengan 15 peratus undi.

Seorang lagi calon pilihan Marco Rubio yang mendapat sokongan gerakan Tea Party hanya memperoleh sembilan peratus.

Namun, kedudukan sekarang tidak menjamin Trump akan memenangi pemilihan parti Republikan. Pemilihan hanya akan diadakan pada 9 Februari 2016.

Jejas hubungan dunia Islam, Barat

Tempoh berkempen masih panjang dan macam-macam boleh berlaku di sepanjang tempoh itu. Yang jelas, pandangan Trump tadi tidak sihat dalam memupuk kerjasama antara dunia Islam dan Barat. Malah, tidak adil dalam mengiyakan satu stereotaip menjelaskan bahawa Muslim mestilah pengganas.

Sikap Trump boleh diagak bukanlah baru kerana sikap penduduk AS sebenarnya masih tidak luput daripada sikap perkauman mereka.

Ini jelas daripada tinjauan The New York Times bertajuk 'The Rise of Hate Search' yang diterbitkan pada 12 Disember 2015 lalu mendapati bahawa sikap kebencian berasaskan kaum dan agama sedang meningkat di AS.

Misalnya, beberapa jam selepas berita jenayah tembakan rambang di San Bernardino, California pada 2 Disember lalu tersebar yang mengidentifikasikan bahawa salah seorang penembak adalah seorang yang mempunyai nama Muslim, ramai warga California menyeru melalui media sosial untuk membunuh semua Muslim.

Tiba-tiba di dalam ruang pencarian Google di AS mendapati bahawa perkataan 'kill Muslims' (bunuh Muslim) memperoleh hasil pencarian yang tertinggi.

Persoalannya di sini ialah kenapa harus mengaitkan insiden di San Bernardino sebagai jenayah keganasan yang dilakukan Muslim, walhal isu sebenar yang melanda AS kini ialah isu kawalan persenjataan.

Penjualan senjata api di AS kini berada pada tahap luar kawalan, menyebabkan banyak berlakunya kejadian jenayah tembakan rambang.

Mengikut Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS, pada tahun 2014 sebanyak 1,092 jenayah perkauman dilaporkan.

Namun, 16.3 peratus daripadanya adalah jenayah yang berkaitan dengan anti-Muslim.

Selebihnya, 58.2 peratus adalah jenayah berkaitan anti semitisme. Namun, pada November 2015 sahaja, melalui pencarian Google, 3,600 pencarian di AS yang menyebut 'I hate Muslims' (Saya benci Muslim) dan 2,400 pencarian menyebut 'kill Muslims' (bunuh Muslim).

Jenayah anti-Muslim meningkat

Pihak FBI bimbang sekiranya kecenderungan sikap benci pada Muslim dan Islam ini meningkat di AS dan ini digalakkan lagi dengan seruan daripada tokoh yang terkenal seperti Donald Trump, jenayah anti-Muslim akan meningkat juga di AS.

Yang jelas, sebelum ini orang kulit hitam dilihat sebagai simbol pemisahan kaum di AS.

Pada Perang Dingin, orang Komunis juga dilihat sebagai simbol kebencian penduduk AS.

Yang jelas, pada abad ke-21 ini, agama Islam dan Muslim dilihat sebagai ancaman dan simbol perkauman yang baru bagi penduduk AS.

Yang pasti, AS masih belum keluar daripada sikap perkauman mereka yang dipolitikkan bagi membela agenda tertentu.

Yang dibimbangi ialah peningkatan sentimen Islamofobia akan menjadikan AS tempat yang tidak selamat untuk dilawati oleh Muslim di seluruh dunia.