December 18th, 2015

Khutbah Jumaat ~ Ujian Kesenangan Dan Kemewahan

Sedutan Teks Khutbah Jumaat 18 Disember 2015M/ 29 Safar 1437H JAWI

Ujian Kesenangan Dan Kemewahan

Sedarkah kita kekayaan dan kemewahan yang diimpikan oleh setiap manusia ini hakikatnya merupakan sebuah ujian. Manusia bukan hanya diuji dengan musibah dan kekurangan, bahkan dengan nikmat dan kemewahan.

Ujian kekayaan boleh dilihat dari beberapa sudut, antaranya:

Pertama: mereka diuji daripada mana kekayaan tersebut diperolehi. Allah SWT menggariskan syariatnya dalam mencari kekayaan.

Kedua: mereka diuji bagaimana nikmat kekayaan harta yang dikecapi telah disyukuri.

Ketiga: mereka diuji dengan sedikit kemewahan yang menyebabkan mereka menjadi hamba kepada harta.

Keempat: mereka diuji dengan hakikat harta dunia.

Kemewahan bukanlah menandakan keimanan seseorang. Hakikatnya mereka yang kufur dan ingkar kepada Allah SWT juga diberi kesenangan serta kemewahan.

Firaun, Qarun dan Haman antara yang menjadi sebutan di dalam Al-Quran yang menunjukkan kemewahan mereka membawa kepada kekufuran. Kemewahan yang dikecapi oleh mereka tidak lain hanyalah Istidraj daripada Allah SWT.

Istidraj merupakan pemberian nikmat Allah SWT kepada manusia yang mana pemberian itu sebenarnya tidak diredai olehNya.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-An’am, ayat 44 hingga 45 sebagaimana yang dibacakan di awal khutbah tadi, yang bermaksud : “Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan). Lalu kaum yang zalim itu dibinasakan sehingga terputus keturunannya. Dan (dengan itu bersyukurlah kerana musnahnya kezaliman, dengan menyebut): Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian Alam.”

Islam tidak menghalang umatnya untuk mencapai kemewahan dan kesenangan hidup. Bahkan Islam memberi panduan kepada kita bagaimana menguruskan kemewahan yang kita miliki.

Pertama : Syukuri nikmat kemewahan yang diberi. Lafazkan kalimah Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang mengurniakan nikmat tersebut.

Firman Allah SWT di dalam Surah Ibrahim ayat 7 : Bermaksud : Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengkufuri (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih."

Kedua : Gunakanlah nikmat tersebut ke arah kebaikan dan taqwa kerana setiap nikmat yang kita miliki akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Junjungan besar Rasulullah SAW telah memperingatkan hal ini di dalam sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi daripada Abi Barzah Al-Aslami RA: Bermaksud : “Tidak berganjak dua tapak kaki seorang hamba iaitu pada hari kiamat sehingga ia ditanya tentang umurnya ke mana dihabiskan? Tentang ilmunya adakah digunakan? Tentang hartanya dari mana dan ke manadibelanjakan? Tentang tubuhnya bagaimana ia manfaatkan?”

Ketiga : Infaqkanlah sebahagian harta yang kita miliki demi melihat insan lain bahagia atau sekurang-kurangnya meringankan bebanan kesusahan yang mereka tanggung. Apa yang kita infaqkan, itulah yang akan menjadi milik kita di akhirat. Sedangkan apa yang dibakhilkan, itulah yang akan menjadi milik orang lain setelah kita meninggal dunia.

Mengakhiri khutbah ini, mimbar ingin menyimpulkan khutbah kepada beberapa perkara penting.

Pertama : Kemewahan di dunia hakikatnya merupakan sebuah ujian, bukan kemuliaan sebagaimana yang difahami oleh sesetengah orang.

Kedua : Seandainya mereka yang melakukan maksiat kepada Allah SWT terusmenerus mendapat nikmat, nikmat tersebut merupakan istidraj yang akan terus menghanyutkan pelaku maksiat jauh daripada rahmatNya

Ketiga : Gunakan nikmat kemewahan dalam kerangka yang diredhai Allah SWT kerana ia akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Firman Allah SWT di dalam Surah Ibrahim ayat 31 sebagai pedoman agar kita menyedari pentingnya mengurus kemewahan menurut acuan Allah SWT : Bermaksud : Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang telah beriman: "Hendaklah mereka mendirikan shalat, menafkahkan sebahagian rezki yang Kami berikan kepada mereka secara sembunyi ataupun terang-terangan sebelum datang hari (kiamat) yang pada hari itu tidak ada jual beli dan persahabatan.

Wallahualam.

Al-Quran 
dorongan bangunkan sains

INTERAKSI erat antara al-Quran dengan ilmu sains seolah-olah menjadi renggang atau terputus sebaik sahaja runtuhnya tamadun Islam.

Mungkin dasar pecah dan perintah yang dibawa oleh penjajah Barat semasa misi mereka menakluk dunia menyebabkan dua ilmu itu membawa haluan masing-masing.

Sarjana Islam perlu jadikan al-Quran sebagai dorongan untuk membangunkan sains dan teknologi


AL-QURAN turut meliputi kisah-kisah luar biasa yang berlaku sebelum ini. - Gambar Hiasan -

Ini ditambahkan lagi dengan sebilangan ahli sains Muslim menerima pendekatan sekular yang memisahkan antara agama dengan aktiviti sains dan teknologi.

Mohd. Yusof menyatakan terdapat beberapa tanggapan atau pendapat tentang hubungan antara al-Quran dan ilmu Sains pada masa kini. Malah terdapat ahli Sains Muslim masa kini yang melihat ilmu berkenaan agak selari dengan pandangan rakan mereka daripada sarjana Barat.

“Justeru, mereka berasa selesa dengan amal ibadat yang mereka lakukan setiap hari. Mereka solat, puasa dan melaksanakan perkara lain dalam Rukun Islam dan Iman.

“Jadi, timbul di fikiran mereka, apa lagi yang dimahukan dalam hidup ini? Mereka selesa melaksanakan amal ibadat yang mereka pelajari sejak di bangku sekolah lagi,” katanya.

Golongan kedua merupakan kalangan ahli agama yang amat sensitif dengan isu maksiat dan permasalahan sosial lain yang muncul pada hari ini.



Teori Big Bang turut dinyatakan dalam Al-Quran.

Perasaan sensitif itu menyebabkan mereka menolak kemajuan sains dan teknologi walaupun ia dilihat mampu membawa manfaat kepada kehidupan dunia dan akhirat seseorang Muslim.

“Pada saya, golongan ini sayang kepada masyarakat. Oleh itu mereka bertindak untuk menyelamatkan akidah masyarakat, tetapi masalah utama golongan itu adalah mereka tidak begitu arif tentang ilmu sains dan teknologi. Mereka hanya pengguna kepada kedua-duanya,” katanya.

Bagi golongan ketiga pula, Mohd. Yusof berkata, adalah kalangan ahli sains yang begitu sensitif dengan agama Islam tetapi jumlahnya tidak seramai golongan pertama dan kedua.

Dengan perasaan sensitif itulah mendorong mereka meneroka al-Quran. Mereka mahu mencari keserasian antara fenomena sains dengan fakta dalam kitab suci Islam yang dikatakan mempunyai persamaan.

“Minat mendalam itu tidak hanya membabitkan saintis Islam tetapi juga bukan Islam. Ada kalangan mereka yang kekal dengan kepercayaan lama walaupun menemui bukti persamaan itu dan ada pula yang mendapat hidayat Allah SWT,” katanya.

Antara mereka adalah pakar perubatan Dr. Maurice Bucaille, bekas Presiden Persatuan Perubatan Perancis yang dikatakan cukup sensitif dengan agama sehingga mendorong beliau mengkaji kitab Injil untuk mencari keserasian tentang kejadian manusia antara kitab itu dengan kajian sains.

Beliau mengalihkan minat itu kepada al-Quran ketika beliau dilantik menjadi doktor perubatan dengan keluarga Diraja Arab Saudi. Semasa berada di Riyadh, beliau membeli al-Quran terjemahan (dalam bahasa Perancis) dan meneliti kandungan kitab suci Islam itu.

“Setelah sekian lama membuat perbandingan, akhirnya beliau mendapati hujah al-Quran lebih serasi dengan hujah sains tentang kejadian manusia tetapi Bucaille tetap berpegang kepada agama asalnya,” kata Mohd. Yusof.

PERANAN SAINTIS ISLAM

Berlainan dengan seorang profesor dari Universiti Toronto, Kanada, Prof. Keith Moore. Pakar dalam bidang embriologi itu mengagumi al-Quran bermula ketika menghadiri satu persidangan tentang isu embriologi di Jeddah, Arab Saudi dalam tahun 1980.

Selepas membentangkan kertas kerjanya, Moore ditanya oleh seorang peserta tentang satu petikan surah al-Hajj, ayat 5 yang berkenaan kejadian manusia.

“Moore terkejut bila peserta itu membaca terjemahan ayat tersebut dan beliau bertanya bilakah kitab suci Islam itu dihasilkan. Peserta itu menjawab, kira-kira 1,400 tahun lalu dan beliau menyatakan ia sesuatu yang mustahil kerana ilmu embriologi hanya berkembang selepas mikroskop diciptakan sekitar 200 tahun yang lalu.

“Hasilnya, beliau akur dengan kehebatan al-Quran. Akhirnya, Moore memeluk Islam,” kata Mohd. Yusof.

Namun bagi beliau, apa yang lebih penting adalah sarjana sains Islam seharusnya melihat kitab al-Quran sebagai dorongan utama mereka membangunkan sains dan teknologi.

Dorongan sedemikian, beliau menambah, akan menjadikan matlamat sesuatu kajian saintifik itu bukan hanya untuk kepentingan manusia sejagat tetapi juga mencari keredaan Ilahi.

Meminggirkan al-Quran akan menjadikan pemikiran kita selari dengan golongan sekular walaupun masih beriman kepada Allah SWT. Peminggiran sedemikian akan memberikan implikasi yang buruk kepada al-Quran, iaitu sekadar bahan bacaan semata-mata.

Sedangkan sejarah menunjukkan sarjana sains Islam bukan hanya menjadi penyumbang kepada pembangunan sains dan teknologi tetapi pencetus kepada penemuan baharu.

Khutbah Jumaat : “Zakat Dekat Dihati; Ummah Diberkati”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 18 Disember 2015: JAIS

“Zakat Dekat Dihati; Ummah Diberkati”

Zakat merupakan perintah Allah SWT yang wajib  dan kita tunaikan dan yakini  setelah cukup syarat-syaratnya.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 110; “Dan dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk dirimu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu kerjakan”

Zakat berperanan penting dalam menjana kekuatan ekonomi umat Islam. Ini dapat dibuktikan dengan empat (4) faktor utama iaitu;

1. Zakat dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang melalui agihan semula kekayaan kepada golongan asnaf disamping ia merupakan bentuk penyucian harta dan jiwa bagi insan yang menunaikannya.

Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah, ayat 103; “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui”.

2. Zakat juga dapat membebaskan manusia dari belenggu kemiskinan melalui penyediaan saraan hidup atau modal yang mencukupi bagi golongan yang berhajat.

3. Zakat berperanan untuk mengelakkan daripada berlakunya penumpuan harta di kalangan golongan tertentu sahaja dalam masyarakat.

Hadis daripada Ali Bin Abi Talib RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Sesungguhnya Allah SWT mewajibkan (zakat) atas orang-orang kaya dari umat Islam pada harta mereka dengan batas (had) yang sesuai dengan kecukupan (keperluan) fuqara’ di antara mereka. Orang-orang fakir tidak akan kekurangan pada saat mereka lapar atau tidak berbaju kecuali kerana perilaku (buruk) orang-orang kaya di antara mereka. Ingatlah bahawa Allah akan menghisab mereka dengan keras dan mengazab mereka dengan pedih.” (Riwayat at-Tabrani)

4. Zakat merupakan satu kaedah yang menyelamatkan manusia dari kelaparan dan menjamin keadilan sosio-ekonomi dalam masyarakat.

Ibnu Abbas RA beliau berkata, Baginda Rasulullah SAW bersabda kepada Muadz : “Ajaklah mereka supaya mengakui bahawa tiada tuhan selain Allah, dan sesungguhnya aku Pesuruh Allah. Jika mereka telah mematuhi yang demikian, terangkanlah kepada mereka bahawa Allah SWT mewajibkan kepada mereka solat lima kali sehari semalam. Sekiranya mereka telah mentaatinya, ajarkanlah bahawa Allah SWT memerintahkan kepada mereka supaya membayar zakat harta mereka, diambil dari orang kaya antara mereka dan diberikan kepada orang-orang miskin. Jika itu telah dipatuhi, jagalah supaya kamu jangan mengambil harta mereka yang paling berharga. Takutilah doa orang yang teraniaya, kerana sesungguhnya antara dia dengan Allah tiada hijab.” (Riwayat al-Bukhari).

Untuk pengetahuan para jemaah sekalian, pada tahun 2014, pihak Lembaga Zakat Selangor yang diamanahkan untuk menguruskan zakat ini telah mengagihkan sebanyak RM595.1 juta kepada seluruh 8 golongan asnaf di negeri ini. Daripada jumlah agihan tersebut, sebanyak RM232.9 juta telah diagihkan kepada seramai 43,661 keluarga fakir dan miskin dalam pelbagai bentuk bantuan termasuklah bantuan sara hidup, modal perniagaan, makanan bulanan, pembinaan dan baik pulih rumah secara percuma, bantuan pendidikan dan lain-lain lagi.

Pada tahun 2014 juga, sejumlah RM22.2 juta telah diagihkan dibawah Program Pembangunan Ekonomi. Daripada jumlah tersebut sebanyak RM10.1 juta diagihkan kepada seramai 1,900 peniaga-peniaga baru yang terdiri daripada asnaf fakir, miskin dan saudara-saudara baru.

Kesimpulan yang boleh diambil daripada khutbah ini ialah umat Islam hendaklah memahami bahawa:

1. Pensyariatan zakat kepada manusia adalah semata-mata untuk menyuburkan keadilan dalam kehidupan manusia dan membela golongan yang diuji dengan kemiskinan dan kesusahan.

2. Melalui pengagihan zakat yang sempurna, akan mampu meningkatkan ekonomi umat Islam melalui keupayaan mereka menjana ekonomi keluarga melalui perniagaan dan perusahaan.

3. Usaha untuk membebaskan manusia dari kemiskinan bukanlah suatu tugas yang mudah. Ia tidak akan dapat dicapai sekiranya agihan zakat ini dilakukan secara individu atau orang perseorangan

4. Menjadi kewajipan dan tanggungjawab kita untuk menunaikan zakat. Mudah-mudahan amalan berzakat akan dekat dihati, dapat meraih keberkatan, rezeki, bahkan memperoleh ketenangan hati serta hidup bahagia di dunia hingga ke akhirat.

“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.”. (Surah at-Taubah: 18).

والله أعلمُ بالـصـواب

Sains tanpa al-Quran, tiada nilai

BANYAK kisah luar biasa diceritakan dalam al-Quran. Sesetengah daripadanya berjaya dirungkai secara saintifik tetapi ada juga sehingga kini sukar dijangkau dan difahami oleh akal manusia.

Antara kisah luar biasa itu ialah tentang Nabi Musa a.s. membelah dan menyeberangi lautan luas dengan menunggang kuda. Nabi Ibrahim a.s. dibakar hidup-hidup dalam unggun api yang marak, tetapi langsung tidak memberikan sebarang kesan.

Al-Quran bantu sains berkembang

BUKU sains dan teknologi tidak akan tebal tanpa bantuan Al-Quran..

Begitu juga peristiwa sekumpulan manusia yang tertidur dalam gua dan dibangunkan semula selepas lebih 300 tahun,  peristiwa Israk Mikraj Rasulullah SAW, Nabi Sulaiman a.s. boleh berkomunikasi dengan makhluk selain manusia, alam kubur, akhirat, syurga, neraka dan banyak lagi kisah yang tidak mampu dijangkau oleh akal manusia.

Kisah-kisah luar biasa itu bukanlah suatu perkara yang mustahil untuk terjadi walaupun ia tidak boleh dirungkai dari sudut kajian saintifik atau logik akal manusia.

Kisah atau peristiwa luar biasa tersebut menepati peranan al-Quran sebagai petunjuk bagi umat manusia dalam mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Kebahagiaan hidup bukan hanya dengan cara mentaati setiap perintah Allah SWT tetapi juga berusaha menepati ciri-ciri seorang khalifah Allah di muka bumi ini.

Bagi Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusof Othman, kisah atau peristiwa luar biasa itu sememangnya tidak boleh dikaji secara saintifik.

Jelas beliau, pendekatan saintifik terbatas, tidak mutlak dan tidak diwarnai oleh nilai budaya serta agama seseorang.



HASIL ujikaji di makmal bukan hanya untuk kepuasan diri seorang saintis tetapi juga memberi manfaat kepada umat manusia.

“Dalam Islam terdapat empat kategori peristiwa berlaku yang tidak dapat difikirkan secara saintifik atau logik akal. Peristiwa ini berhubung kait dengan sihir, pertolongan Allah SWT, karamah dan mukjizat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di UKM, Bangi, Selangor baru-baru ini.

Sebaliknya, ahli fizik itu menegaskan, pendekatan saintifik sesuai untuk memahami tabii alam bagi membolehkan kita mengurus dan mentadbir alam ini dengan lebih berkesan.

Pemahaman tentang alam tabii ini bukan hanya membolehkan kita beramal bakti, menyuburkan kelestarian insan dan memastikan kebenaran dapat mengalahkan kebatilan.

“Malah, kita juga boleh menjadikan dunia sebagai landasan untuk membina kehidupan yang lebih baik di akhirat nanti,” katanya yang juga penulis buku: Pengenalan Sains Tauhidik, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sains bermula dengan al-quran



SAINTIS tidak harus berpaksikan kepada perasaan ingin tahu. Gambar hiasan.

“Sains tanpa agama, buta. Agama tanpa sains, tempang,” (Albert Einstein). Kefahaman terhadap tabii alam yang dinyatakan dalam al-Quran membuktikan kepada kita, selaku umat Islam, bahawa ilmu Sains bermula dengan fenomena yang dinyatakan dalam al-Quran.

Dalam Islam tiada pemisahan antara al-Quran dengan ilmu sains. Hubungan manusia dengan alam tercetus atas dasar untuk melaksanakan perintah dan tuntutan Allah SWT kepada makhluk ciptaan-Nya.

“Al-Quran suruh kita berfikir kenapa Allah SWT lantik kita sebagai khalifah. Allah bekalkan kita dengan kemampuan berfikir dan ini membezakan kita dengan makhluk lain atas muka bumi ini.

“Malah, suruhan itu juga menjadikan kita berbeza dengan kefahaman masyarakat Barat bahawa sains itu bermula dengan perasaan ingin tahu,” katanya.

Secara asasnya, Mohd. Yusof berkata, sains dalam Islam bermula kerana ingin melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim di alam fana ini. Keinginan tersebut boleh dilihat dari aspek melaksanakan hubungan dengan Allah SWT melalui pelaksanaan Rukun Islam dan Rukun Iman.

Contohnya adalah untuk melaksanakan ibadah solat. Dalam menyempurnakan ibadat itu, seseorang Muslim perlu menentukan arah kiblat kerana ia adalah rukun sah solat.

“Inilah yang dilakukan oleh ilmuwan Islam iaitu Abu al-Rayhan Muhammad ibn Ahmad al-Biruni (Al Biruni) dan akhirnya beliau berjaya meyakinkan umat Islam dan juga pemerintah masa itu tentang usahanya tersebut,” katanya.

Begitu juga dengan usaha untuk mencari maksud tergelincir matahari bagi menunaikan solat Zohor.  Keadaan yang sama berlaku untuk menentukan permulaan puasa serta perayaan Aidilfitri atau Aidiladha.

Seorang lagi ilmuwan Islam, Muhammad ibn Musa al-Khawarizmi yang memperkenalkan ilmu Matematik sebagai satu usaha untuk menyelesaikan masalah pembahagian harta, zakat dan wakaf.

“Banyak kisah luar biasa atau fenomena saintifik yang diceritakan dalam al-Quran tetapi ia tidak diceritakan secara terperinci.

“Untuk mengetahui perinciannya, manusia yang diberikan akal itu perlu berusaha mencari jawapannya. Kita kena akui tidak semua kisah luar biasa atau fenomena saintifik boleh diselesaikan dengan ilmu Sains,” kata Mohd. Yusof.

Masjid daripada anyaman buluh

MASJID merupakan seni bina Islam yang sering mendapat perhatian di seluruh dunia kerana ia merupakan satu tanda fizikal penting bagi umat Islam terutamanya sebagai tempat beribadat dan penyatuan masyarakat Islam.

Lazimnya masjid dibina menggunakan bahan bata, batu dan kayu. Namun begitu, di negara ini terdapat sebuah masjid yang menggunakan bahan yang amat istimewa iaitu buluh sebagai bahan binaan utama. Buluh merupakan sejenis tumbuhan yang boleh didapati dengan mudah di negara ini. Tumbuhan itu merupakan bahan binaan yang tidak asing lagi dalam seni bina rumah Melayu pada zaman dahulu, namun penggunaannya sebagai bahan binaan yang dijadikan dinding masjid telah mendapat perhatian ramai.

Masjid Ihsaniah Iskandariah guna anyaman buluh sebagai dinding

Masjid Ihsaniah Iskandariah di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Perak menggunakan buluh sebagai bahan utama untuk dinding yang menjadikannya unik.

Masjid lama ini dikenali dengan nama masjid Ihsaniah Iskandariah yang terletak di Kuala Dal, Padang Rengas, Perak. Menurut rekod, masjid ini dibina pada tahun 1936 dan dirasmikan oleh Sultan Perak ke-30 pada tahun 1938. Pada hari ini masjid Ihsaniah telah berusia 77 tahun masih lagi mengekalkan seni binanya yang unik selepas menjalani kerja pemuliharaan oleh Jabatan Warisan pada akhir tahun 2008.

Struktur utama masjid dan beberapa bahagian kecil masjid ini seperti daun tingkap, daun pintu, kepala tingkap dan pintu diperbuat menggunakan kayu. Ini merupakan sebuah bangunan masjid dua tingkat yang berbentuk segi empat tepat. Dewan sembahyang terletak di bahagian atas manakala bahagian bawah pula digunakan sebagai tempat serba guna pada hari ini.

Terdapat tiga buah pintu masuk dan pintu masuk ke dewan sembahyang terletak di bahagian tengah yang dibezakan sebagai pintu utama dengan kehadiran tangga batu di hadapannya. Sejurus selepas melangkah masuk ke dalam pintu ini pengunjung akan melihat tangga ke bahagian dewan sembahyang di sebelah atas.

Terdapat empat set tingkap di sebelah kanan dan kiri di setiap tingkat. Tingkap di bahagian atas turut dihiasi dengan ukiran kekisi sebagai elemen ciri-ciri keselamatan. Rekaan bangunan masjid ini menyediakan ruang dengan peredaran udara dan pencahayaan yang amat baik.

Bahagian menara masjid disatukan dalam binaan masjid di bahagian depan bersebelahan dengan bahagian mihrab iaitu tempat yang menandakan arah kiblat. Tidak seperti seni bina Melayu yang rata-rata menggunakan bumbung tinggi, masjid ini menggunakan rekaan bumbung rata yang dihiasi dengan ukiran papan cantik di sekelilingnya. Ciri ini juga merupakan satu keunikan dalam seni bina masjid Ihsaniah Iskandariah.

Sebelum kerja pemuliharaan, bangunan masjid yang menggunakan anyaman buluh sebagai dindingnya ini hanya menggunakan warna asal buluh yang dinamakan buluh minyak. Namun selepas kerja-kerja itu dijalankan ia telah diperindahkan dengan penggunaan cat berwarna kuning, putih dan hitam yang membentuk motif bunga potong berlian di mana dalam seni Islam ia turut dikenali sebagai corak geometri.

Seni anyaman buluh ini dikenali sebagai tepas dalam budaya masyarakat Melayu Perak. Ia dikatakan dianyam oleh masyarakat tempatan di Kampung Kuala Dal sewaktu pembinaan bangunan asal, tetapi pada tahun 2008 sewaktu kerja pemuliharaan dijalankan, tiada masyarakat tempatan yang mahir menganyam kelarai.

Kelarai yang digunakan pada hari ini dihasilkan di Perlis. Selain daripada itu, ukiran yang digunakan sebagai hiasan di dalam masjid ini semuanya merupakan motif foliate atau tumbuhan tempatan seperti motif pokok kacang, bunga tikan seladang, bulan dan bintang pecah lima. Motif ini diukir menggunakan teknik ukiran tebuk tembus pola lengkap. Plak perasmian masjid yang asal mempunyai ukiran tulisan Jawi yang merekodkan nama sultan dan tarikh perasmian masjid.

Hasil ukiran asal memperlihatkan kualiti dan kehalusan kemahiran para tukang pada waktu itu. Dihasilkan 100 peratus menggunakan bahan dan kemahiran tempatan, masjid ini merupakan satu bukti kehalusan dan kualiti warisan kesenian Islam tempatan di Perak khususnya dan di Malaysia amnya. Lawati dan hargai warisan kesenian Islam tempatan.

-

Mengarusperdanakan syariah

UJIAN forensik sebenarnya tidak asing dalam dunia Islam kerana pernah dilaporkan bahawa Saidina Ali k.w. pernah menggunakan air panas semasa membuktikan kesan pada pakaian wanita di dalam kes rogol. Setelah air panas dicurahkan didapati kesan yang terdapat di pakaian adalah daripada telur bukannya air mani lelaki yang sekali gus membuktikan kejadian rogol tidak berlaku.

Pembuktian nasab di Mahkamah Syariah umpamanya sudah pasti akan lebih mudah sekiranya kaedah forensik diaplikasikan seperti ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Manfaatkan ilmu pengetahuan melalui Lancer IV

DELEGASI PPMM bergambar bersama Ahmad Sohaimi Lazim (duduk, enam dari kiri) dan pimpinan KPMJ di Universiti Al-Bayt, Jordan, baru-baru ini.

Dengan perkembangan teknologi moden sekarang, pelbagai cara pembuktian kes boleh dibuat di mahkamah termasuklah kaedah forensik. Kaedah itu tidak lagi terhad kepada kes-kes pembunuhan mahupun yang melibatkan kecederaan malah turut boleh melibatkan aspek penulisan komputer, Internet, DNA dan sebagainya yang diterima di Mahkamah Syariah dan Sivil.

Justeru, baru-baru ini Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) dengan kerjasama Kelab Peguam Muda Jordan (KPMJ) seliaan PPMM dan Education Malaysia Jordan (EMJ) mengadakan seminar Lancer IV dengan mengangkat tema Dunia Forensik: Mitos, Perundangan & Syariah di Universiti Al-Bayt, Jordan.

Acara tahunan itu disertai oleh lebih 300 orang pelajar Malaysia dari lima universiti utama di Jordan yang terdiri daripada pelajar Jurusan Syariah, Bahasa Arab, Perubatan, Pergigian dan Ekonomi.

Antara lain, program itu menyentuh tiga bidang utama iaitu pembentukan karier berkaitan penerokaan kepeguaman syarie, perbincangan ilmiah pengkhususan dan penerangan isu-isu semasa yang berlaku di Malaysia. Kesemuanya amat penting untuk difahami secara mendalam oleh para peserta semasa sedang menyambung pengajian, sekali gus membolehkan mereka membuat pertimbangan yang sewajarnya apabila menamatkan pengajian kelak.

PENGISIAN

Bagi pengembangan kepeguaman syarie Lancer IV menampilkan seperti biasa isu peranan peguam syarie di Malaysia dan mooting (perbicaraan olok-olok). Isu semasa pula menampilkan forum isu perundangan dan penjelasan tentang kecelaruan identiti jantina yang juga mempunyai kaitan dengan forensik yang menjadi arena ilmu pengkhususan.

Tema forensik yang diangkat selari dengan penerimaan Mahkamah Syariah terhadap ‘dunia sains forensik’ dalam sesuatu pembuktian kes. Ia dapat merungkai realiti atau mitos dunia forensik, penerimaan dunia forensik di dalam sistem perundangan Malaysia dan perspektif hukum syarak berkaitan forensik ini.

Saya diberi kesempatan memberikan ucaptama yang antara lain menyentuh tentang tanggungjawab peguam sebagai pegawai mahkamah yang mempunyai pelbagai tanggungjawab bersifat vertikal dan horizontal.

Tanggungjawab vertikal seperti kebertanggungjawaban kepada Allah SWT dan mahkamah, manakala yang bersifat horizontal pula adalah tanggungjawab sesama peguam dan anak guam.

PPMM sentiasa ingin menerapkan kesedaran ini agar para peguam yang lahir daripada tarbiah ini akan sentiasa sedar dan insaf mengenai tanggungjawab yang diamanahkan terhadap mereka.

HAKIKAT SEMASA

Meskipun sudah lebih 50 tahun negara mengecapi kemerdekaan, namun asas kemerdekaan yang dipersetujui bersama suatu ketika dahulu masih dipersoalkan. Tidak salah mempersoalkan tetapi menuntut pemansuhan keistimewaan kedudukan Islam, orang Melayu dan Raja-Raja Melayu adalah salah kerana suatu kontrak itu tertakluk kepada terma serta syarat yang dipersetujui bersama.

Malah terdapat juga persoalan tentang tuntutan hak-hak yang didakwa selari dengan terma-terma konvensyen antarabangsa. Budaya norma dan nilai antarabangsa ini mahu ditanamkan di tanah air kita walaupun ia begitu asing dan mampu menghakis jati diri kita.

Persoalan yang sering timbul di benak fikiran, kenapa pada ketika ini kita sering memperjuangkan apa yang dikatakan sebagai hak kita tetapi pada masa sama tidak pula peka apabila tidak menjalankan tanggungjawab kita? Hak mahu dinikmati sepenuhnya tetapi tanggungjawab seringkali dipinggirkan.

Pengaruh hak asasi manusia yang kini dilihat sebagai sebuah ‘agama’ baharu amat memberi kesan kepada kehidupan rakyat bermasyarakat di negara ini. Walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak menggunakan istilah ‘hak asasi manusia’ tetapi menggunakan istilah ‘kebebasan asasi’ namun neraca hak asasi manusia masih menjadi parameter bagi mengukur kemajuan negara.

Adalah amat tidak munasabah mempunyai hak yang tidak terhad kerana ia sebenarnya akan mengehadkan hak orang lain pula. Sebagaimana yang lazim diketahui bahawa kepentingan umum hendaklah lebih diutamakan apabila bertembung dengan kepentingan khusus atau persendirian.

Dalam banyak konteks kepentingan umum ini selalu diketepikan kerana mengutamakan kepentingan diri. Natijahnya masyarakat akan menjadi tidak teratur dan kucar kacir. Menjaga maqasid al-syariah hendaklah menjadi agenda utama tetapi dalam menggarap piawaian maqasid ini ia hendaklah secara dasarnya tidak bertentangan dengan nas-nas yang qatie

PERINTIS

Pengarah EMJ, Prof. Madya Dr. Ahmad Sohaimi Lazim ketika menutup seminar ini menganggapnya telah mencatat sejarahnya yang tersendiri kerana pelbagai pendedahan isu forensik tidak pernah diadakan secara ilmiah di Jordan.

Sementara itu, Pengerusi KPMJ, Ahmad Shauqie Zainal Abidin menyarankan agar isu ilmiah seperti itu dapat dikupas dengan lebih lanjut dan berharap pada tahun-tahun akan datang isu yang lebih kompleks boleh dibincangkan.

“Seperti isu sihir yang dibincangkan semasa Lancer III tahun lalu yang membicarakan tentang keperluan akta mengekang amalan sihir, pembuktian dan hukuman tentang ilmu sihir,” katanya.

Masjid Tokyo kebanggaan warga Jepun

UMAT Islam sering menghadapi masalah mendapatkan makanan halal dan mencari tempat bersolat apabila berada di negara yang majoriti penduduknya bukan beragama  Islam.

Masalah ini turut dirasai rombongan pegawai dan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia yang mengadakan lawatan sambil belajar ke Tokyo, Jepun baru-baru ini.

IPT yang terbabit sama dalam rombongan ini ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHO). Turut serta ialah Universiti Malaysia Perlis (UMP), Universiti Malaysia Pahang (UMPH), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Industri Selangor (Unisel) dan Universiti Kuala Lumpur (UNIKL).

Antara pegawai yang terbabit dalam rombongan berkenaan ialah  Ketua Rombongan daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Fazlisyah Muslim, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar, UKM, Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal, Pegawai UKM, Prof Dato Ir Othman Abd Karim UKM, Naib Canselor, Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad, Pegawai Unisel,  Latifah Abd Latif, Pegawai KPT, Faudziah M Din  dan pegawai USM, Mohd Norzulhairie Othman dan Hafiz Assad Zakaria.


Masjid Jamii Tokyo juga dikenali sebagai Masjid Tokyo terletak bersebelahan Pusat Kebudayaan Turki di Oyamacho, Shibuya, Tokyo

Mereka bernasib baik kerana berjaya menemui sebuah restoran masakan Melayu kampung yang dikenali sebagai Malay Asian Cuisine di Tokyo.

Menara masjid yang terletak di tengah Bandaraya Tokyo itu melapangkan dada kumpulan berkenaan kerana dapat menunaikan solat di situ. Berdasarkan sejarah yang dicatatkan, Masjid Jamii Tokyo yang juga dikenali sebagai Masjid Tokyo terletak bersebelahan Pusat Kebudayaan Turki di Oyamacho, Shibuya, Tokyo, Jepun.

Selepas Revolusi Oktober,  Bashkir dan imigran Tatar dari Rusia membina masjid terbesar di Jepun itu bersebelahan sebuah sekolah pada Mei 1938. Masjid berkenaan dibina atas arahan imam masjid iaitu Abdrresid Ibrahim dan Abdulhay Kurban Ali. Pada tahun 1986 masjid berkenaan diruntuhkan kerana beberapa struktur bangunannya sudah rosak. Atas arahan dan sokongan Diyanet Isleri Baskanligi, bangunan baru dibina semula pada 1998.

Seorang arkitek dikenali sebagai Muharrem Hilmi Senalp diberi tanggungjawab melukis pelan reka bentuk bangunan berasaskan ukiran kerajaan Islam Othman di Turki.

Kebanyakan bahan batu marmarnya diimport dari Turki. Pembinaan bangunan masjid itu siap sepenuhnya pada tahun 2000 dengan kos binaannya bernilai lebih kurang 1.5 bilion yen. Masjid Tokyo mempunai keluasan 734 meter persegi dan mempunyai satu tingkat bawah tanah dan tiga tingkat di atasnya menjadikan keluasan keseluruhannya mencecah 1,477 meter persegi.

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni UKM, Noor Aziah berkata, pada mulanya rombongan kami berasa  bimbang kerana tidak tahu di mana tempat mahu menunaikan solat.

"Tiba-tiba kami ternampak sebuah  masjid dan  terus singgah di situ sambil menangguhkan makan tengah hari.

"Masjid di situ diuruskan masyarakat Islam keturunan Turki," katanya.

Menurutnya, di sekitar masjid tersebut terdapat beberapa orang Turki yang juga penjual makanan halal menjual kebab. Reka bentuk hiasan dalamannya kelihatan sangat menarik sepertimana yang terdapat di negara Turki.

Ketika berada di dalam masjid itu kebanyakan pengunjung akan berasa tenang. Noor Aziah berkata lagi, rombongan berkenaan menunaikan solat jamak qasar untuk  Zohor dan Asar.

"Dalam perjalanan menuju  ke Akademi Bomba Jepun di Tokyo kami ternampak menara masjid.

"Selesai lawatan kami terus ke sana. Terdapat kemudahan dengan adanya tempat wuduk, solat, dewan dan kafe," katanya.

Noor Aziah berkata, muazin baru selesai melaungkan azan dengan menggunakan pembesar suara.

Katanya kebanyakan rakyat Jepun bangga dengan bangunan masjid yang mempunyai reka bentuk dan ukiran yang cantik.

Dasyatnya azab kubur

DALAM sebuah peristiwa, sahabat Nabi SAW bernama Al-Baraa' bin Aazib RA berkata: "Kami keluar bersama Rasulullah membawa jenazah lelaki Ansar, kami tiba di perkuburan yang sedang digali.

Rasulullah duduk dan kami pun ikut duduk di sekeliling Baginda seolah-olah di atas kepala kami terdapat seekor burung. Baginda memegang sebatang kayu dan menusuk-nusuk tanah. Baginda mengangkat kepalanya lalu bersabda: "Berlindunglah dengan ALLAH daripada azab kubur (sebanyak dua atau tiga kali)." Lalu Baginda SAW berkata lagi:

"Sesungguhnya hamba yang beriman ketika hampir berakhir kehidupan dunianya dan bermulanya kehidupan akhiratnya, turunlah kepadanya malaikat yang putih wajahnya bagaikan matahari. Mereka datang membawa kain kapan dan wangian dari syurga. Mereka kemudian duduk di depan orang itu sejauh mata memandang. Lalu datang Malaikat Maut AS duduk di kepalanya seraya berkata: "Wahai roh yang baik, keluarlah menuju keampunan dan keredaan ALLAH."

Lalu roh itu keluar mengalir bagaikan mengalirnya titisan air dari muncung bekas air dan malaikat maut pun mengambilnya.

Ketika malaikat maut mengambil roh itu, malaikat lain memerhatikannya tanpa melepaskan pandangan walaupun sekelip mata sehingga mereka mengambilnya dan meletakkannya dalam kain kapan serta wangian yang dibawa itu.

Itulah firman ALLAH: "Dia diwafatkan oleh malaikat Kami, dan mereka tidak lalai." (Surah Al-Anaam: 61)

Dia keluar dari situ dalam keadaan bau aroma kasturi terharum yang ada di atas muka bumi. Mereka naik membawa roh itu dan setiap kali mereka melewati sekumpulan malaikat, mereka akan berkata: "Roh siapakah yang baik ini?" Malaikat menjawab: "Ini adalah Fulan bin Fulan." Sehingga tiba di langit dunia dan pintu pun dibuka buat mereka. Roh berkenaan diiringi semua penghuni langit sehingga tiba di langit berikutnya, sehinggalah sampai ke langit tujuh. ALLAH pun bertitah: "Tulislah kitab hamba-Ku ini dalam Illiyyin."

"Tahukah kamu apakah itu Illiyyin? Ia kitab yang bertulis, yang disaksikan malaikat pendamping." (Surah Al-Mutaffifin: 19-21)

Ditulis kitabnya dalam Illiyyin dan dikatakan: "Kembalikan dia ke bumi, kerana Aku sudah berjanji kepada mereka Aku menciptakan mereka daripadanya, kepadanya Aku kembalikan dan daripadanya Aku akan bangkitkan mereka semula."

Lalu dia dikembalikan ke bumi dan dimasukkan semula rohnya ke dalam jasadnya. Dia mendengar bunyi derapan kasut sahabatnya tatkala mereka meninggalkan perkuburannya.

Setelah itu dua malaikat yang kasar bentakannya menyergah dan mendudukkannya seraya berkata: "Siapa Tuhanmu?."

Dia menjawab: "Tuhanku ALLAH."

Mereka bertanya lagi: "Apa agamamu?"

Dia menjawab: "Agamaku Islam."

Mereka bertanya lagi: "Siapa orang yang diutus untuk kalian?"

Dia menjawab: "Dia adalah Rasulullah SAW."

Tanya mereka lagi, "Apa amalanmu?" Jawabnya, "Aku membaca kitab ALLAH, beriman dengannya dan membenarkannya."

Lalu kedengaran suara panggilan dari langit yang berkata: "Hambaku ini telah berkata benar, maka bentangkan tilam daripada syurga, pakaikan dia pakaian syurga dan bukakan untuknya pintu menuju ke syurga!." Sehingga dia dapat mencium keharuman bau syurga dan diperluaskan kuburnya sejauh mata memandang.

Lalu datanglah lelaki yang kacak wajahnya, bagus pakaiannya dan berbau harum yang berkata: "Bergembiralah dengan apa yang membuatmu senang. Inilah hari yang dijanjikan untukmu."

Dia berkata: "Kamu siapa? Wajahmu adalah wajah yang datang membawa kebaikan."

Orang itu menjawab: "Aku adalah amal solehmu. Demi ALLAH, aku tidak mengetahui mengenaimu kecuali engkau cepat melaksanakan perintah ALLAH dan lambat mengerjakan kemaksiatan terhadap ALLAH, maka ALLAH membalasmu dengan kebaikan."

Kemudian diperlihatkan syurga kepadanya sehingga dia berkata: "Tuhanku, percepatkanlah hari kiamat, agar aku dapat kembali kepada keluargaku dan hartaku."

Dikatakan kepadanya: "Bertenanglah."

Rasulullah SAW berkata lagi: "Kalau yang mati itu orang kafir, ketika hampir berakhir hidupnya, akan datang malaikat yang kasar lagi bengis. Berwajah hitam dan membawa pakaian daripada neraka. Mereka duduk di hadapan orang kafir itu sejauh mata memandang. Lalu datanglah malaikat maut duduk di kepalanya dan berkata: "Wahai jiwa yang buruk, keluarlah menuju kemurkaan ALLAH."

Lalu rohnya keluar dari jasad dan disentap umpama sabut yang berserat banyak daripada bulu domba yang basah sehingga banyak keringat dan urat-urat terputus.

Dia lalu dilaknat sekalian malaikat di langit dan bumi. Pintu langit ditutup buatnya. Tidak ada pintu kecuali penjaganya berdoa agar roh itu tidak naik melewatinya.

Ketika malaikat maut mengambil roh itu, malaikat yang lain tidak membiarkannya walaupun sekelip mata sehingga mengambilnya dan meletakkan dalam pakaian neraka itu. Ketika itu keluar bau bangkai paling busuk yang pernah ada atas muka bumi. Mereka membawanya naik dan setiap kali melewati sekumpulan malaikat akan berkata: "Roh siapakah yang buruk ini?"  Jawab mereka: "Fulan bin Fulan."

Disebutkan nama yang paling buruk yang pernah diberikan kepadanya ketika di dunia. Tiba di langit dunia dan mereka minta dibukakan pintu untuk roh yang mereka bawa tetapi tidak diperkenankan.

Lalu Rasulullah SAW membaca firman ALLAH: "Tidak dibuka buat mereka pintu langit dan mereka tidak akan masuk syurga sehingga unta masuk ke dalam lubang jarum." (Surah Al-A'raaf: 40)

ALLAH kemudian berfirman: "Tulislah buku hamba-Ku ini dalam Sijjin (perut bumi yang paling bawah)!."

Kemudian dikatakan: "Kembalikan dia ke bumi, kerana Aku sudah berjanji kepada mereka, aku menciptakan mereka daripadanya, kepadanya Aku kembalikan dan daripadanya Aku akan bangkitkan mereka semula."

Roh itu dilemparkan dari langit sampai menimpa tubuhnya dan dia mendengar derapan kasut temannya tatkala mereka berpaling meninggalkan kuburnya.

Setelah itu dia didatangi dua malaikat membentak dan mendudukkannya, dan berkata: "Siapa Tuhanmu?"

Dia menjawab: "Aah..aah... aku tidak tahu."

Malaikat itu bertanya lagi: "Apa agamamu?"

Dia menjawab: "Aah..aah... aku tidak tahu."

Malaikat bertanya lagi: "Apa pendapatmu perihal orang yang diutus kepada kalian ini?" Dia tidak mengetahui nama itu.

Maka dikatakan kepadanya: "Muhammad!"

Dia menjawab: "Aah..aah... aku tidak tahu. Aku hanya mendengar manusia mengatakan sesuatu lalu aku mengatakan hal yang sama."

Lalu dikatakan: "Kamu memang tidak tahu dan tidak membaca."

Setelah itu kedengaran panggilan dari langit mengatakan: "Dia berdusta! Bentangkan buatnya tilam dari neraka dan bukakan pintu neraka untuknya." Maka ketika itu dia berasai bahang neraka dan disempitkan kuburnya sampai tulang sendinya bersilang-silang.

Kemudian datanglah kepadanya seorang lelaki buruk rupanya, berpakaian hodoh dan berbau busuk. Dia berkata kepadanya: "Dengarlah khabar yang memburukkanmu, inilah hari yang dijanjikan untukmu."

Dia berkata: "Siapa kamu?"

Orang itu menjawab: "Aku adalah amal burukmu. Demi ALLAH, aku tidak tahu kecuali engkau lambat dalam mengerjakan ketaatan kepada ALLAH tetapi cepat dalam bermaksiat terhadap ALLAH.

Kemudian didatangkan kepadanya orang bisu, tuli dan di tangannya cemeti besi! (gunung dipukul dengannya nescaya ia akan hancur menjadi tanah). Orang itu lalu memukulnya dengan satu pukulan sampai dia menjadi tanah. Kemudian dia dikembalikan semula seperti sebelumnya dan dipukul lagi. Dia menjerit dengan jeritan yang akan didengari semua makhluk kecuali jin dan manusia. Lalu dibukakan buatnya pintu neraka dan dia pun berkata: "Tuhanku, jangan Engkau datangkan hari kiamat."
(Riwayat Abu Daud, Al-Hakim &  Ahmad, sahih)


Demi anak aku gigih belajar ngaji

SAYA Puan M. Sebelum berkahwin, saya cuba mengenali sikap dan latar belakang bakal suami. Saya tanya dia adakah dia sembahyang, adakah dia pandai mengaji dan bagaimana hubungannya dengan ibu bapa.

Saya bukan memilih tapi saya mahu suami ada sedikit pengetahuan perihal agama memandangkan saya sendiri kurang mahir dalam bab ini.

Alhamdulillah, tidak sampai setahun bertunang kami bernikah dan boleh dikatakan setiap waktu solat, suami saya mengajak saya berjemaah dengannya.

Di hujung minggu atau ada sahaja waktu luang, kami sering ke kuliah agama di masjid berdekatan kediaman dan semasa saya mengandung suami ada membelikan hadiah pemain cakera padat video (VCD) set al-Quran lengkap dengan tajwid dalamnya.

Anak sulung saya lahir secara pembedahan. Doktor mengesahkan akibat komplikasi masa kelahiran dan demam panas serta kuning yang tinggi anak saya dikategorikan sebagai anak istimewa (hyperactive dan penghidap penyakit autisme).

Memang tidak ada pengalaman mengenai penyakit itu tapi apabila teringat kata doktor akan perkembangan anak saya yang lambat saya mula belajar menerima dan membuat persediaan dari segi mental dan ilmu pengetahuan.

Saya beli buku ilmiah dan buku perkembangan anak. Selain itu, saya juga melihat rancangan di televisyen mengenai perkembangan kanak-kanak dan anak istimewa.

Waktu  itu tidak ada talian internet untuk dapatkan segala info. Hanya televisyen, majalah dan surat khabar menjadi sumber maklumat. Perihal anak saya langsung tidak diketahui ahli keluarga.

Masuk tadika anak saya belum boleh bercakap seperti anak lain tetapi sangat hyperactive dan tidak mahu duduk diam malah mengacau murid lain sehingga ustazahnya bertanya kenapa dengan anak saya ini. Ustazah meminta saya mencari tadika lain kerana dia sering mengganggu kawan-kawan untuk belajar.

Sejak hari itu saya tekad, saya membeli bahan bacaan dan buku yang mengandungi tulisan jawi, buku iqrak untuk saya ajar sendiri anak saya. Saya juga belajar kembali apa yang pernah saya pelajari semasa sekolah dahulu.

Saya juga ajar dan latih anak saya untuk bercakap, belajar kenal huruf jawi dan rumi serta saya ajarkan anak saya matematik.

Pada waktu petang pula saya hantar anak saya ke kelas pengajian al-Quran di tadikanya. Guru yang mengajar di situ terperanjat besar kerana anak saya lebih mahir menguasai iqrak berbanding pelajar lain.

Ustazahnya hairan bagaimana anak saya yang perangai suka mengganggu orang boleh terus lancar ke iqrak dua.

Saya kata saya mengajar sendiri dalam keadaan yang serba tidak mencukupi. Saya mengajar berpandukan buku tadikanya. Malahan saya mengajar menggunakan kad imbas dan buku nota bergambar yang kecil.

Hingga kini rumah saya sudah seperti tadika. Dinding rumah penuh dengan stiker macam gambar ilustrasi, alif ba ta dan banyak lagi untuk pembelajaran anak saya.

Saya kini umpama guru yang bertauliah saya perlu celik jawi dan kembali belajar mengaji. Saya dan jiran berpakat untuk belajar mengaji dengan seorang ustaz dari Indonesia yang tinggal di kawasan apartmen saya. Beliau adalah penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kami belajar kelas tajwid waktu malam bermula jam 8.30 malam.

Saya terpaksa mendukung anak bongsu saya yang berumur 2 tahun ketika itu untuk pergi belajar mengaji dan tajwid al-Quran. Kami bayar ustaz itu RM 15 sebulan setiap orang

Kini saya mahir membaca al-Quran dan tahu sedikit mengenai tajwid al-Quran. semua ini saya lakukan demi mengajar anak khususnya anak istimewa ini mengaji al-Quran.

Anak istimewa saya kini berusia 7 tahun dan mampu membaca surah juzuk amma.

Tidak lama selepas itu, kami masukkannya ke sekolah tahfiz swasta dengan bayaran RM 300 sebulan di Cheras.

Memang perit rasanya kerana terpaksa habis banyak wang untuk anak saya yang istimewa ini.

Memandangkan suami saya sahaja yang bekerja, macam-macam ikhtiar saya lakukan demi anak saya ini. Dari segi pemakanan, saya beli ubat minda dan susu serta kismis yang dibacakan doa agar anak saya tidak menjadi pelupa.

Tapi anak saya ini istimewa dia selalu mendapat kedudukan terakhir dalam kelas tetapi dalam pelajaran agama alhamdulillah keputusan yang diperoleh di luar jangkaan. Dia juga seorang yang pandai dalam hafazan.

Alhamdulillah anak saya sudah boleh menjadi imam. Saya sangka panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari. Tahun ke-tiga ekonomi kami sekeluarga gawat, saya terpaksa keluarkan anak saya dari sekolah tahfiz dan masukkannya ke sekolah kebangsaan biasa.

Di sekolah baru ini anak saya tidak pandai hendak menyesuaikan diri. Dia tidak makan di waktu rehat kerana tidak tahu hendak beli di mana kerana semasa di sekolah lama cikgu yang akan menyediakan makanan.

Ya ALLAH ketika ini saya terus diuji. Bermulalah episod mencabar saya apabila anak saya tidak mahu sekolah. Saya paksa anak saya untuk teruskan persekolahan hingga tamat darjah Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Walaupun anak saya tidak pandai mana tetapi dia pandai membaca jawi dan mengaji al-Quran. Anak saya sering mendapat kedudukan terakhir dalam kelas bagi aliran akademik tetapi tidak pernah mendapat kedudukan terakhir dalam kelas agama.

Pada bulan Ramadan, gurunya acap kali menyuruh anak saya bertadarus. Anak saya ini jenis yang sukar dan lambat untuk faham sesuatu pelajaran dan dia seolah-olah celaru dengan keadaan di sekelilingnya.

Ada hikmahnya saya dikurniakan anak istimewa. ALLAH mahu saya celik al-Quran. Semua anak saya mendapat pendidikan al-Quran dari saya sendiri. Saya sendiri yang ajar mereka mengaji al-Quran.

Petua saya jangan lupa baca doa belajar. Alhamdulillah semua anak saya celik al-Quran dan belajar di sekolah rendah agama.

Kewajipan memelihara keamanan

ISLAM, agama yang sentiasa memelihara dan menjamin keamanan sejagat. Perkataan Islam diambil daripada perkataan al-Salam. Al-Salam adalah satu daripada nama ALLAH SWT yang indah.

Tidaklah lahir daripada perkataan tersebut melainkan ia melambangkan keamanan dan keselamatan. Nabi Muhammad SAW tidaklah diutuskan melainkan untuk merealisasikan keamanan di dunia dan seterusnya keselamatan di akhirat.

Firman ALLAH: "Kami tidak mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam." (Surah Al-Anbiya: 107)

Lihatlah kepada sejarah Arab itu sendiri sebelum kedatangan Islam. Pergaduhan dan peperangan antara kabilah berlaku hanya disebabkan perkara kecil.

Peperangan Basus berlarutan selama 40 tahun hanya kerana seekor unta.

Peperangan Dahis antara kabilah Dahis dan Ghubara' juga berlarutan selama 40 tahun hanya kerana masalah perlumbaan kuda.

(Lihat Al-Sirah Al-Nabawiyyah Abu Syahbah hlmn 93)

Keamanan mula muncul setelah kelahiran Nabi Muhammad SAW. Ketika Baginda SAW berumur 35 tahun dan saat diutuskan sebagai seorang rasul, berlaku banjir yang menyebabkan binaan Kaabah itu perlu dibaiki.

Setelah itu berlaku perselisihan siapakah yang layak untuk meletakkan Hajarulaswad di tempatnya.

Berlalu sehingga empat atau lima hari perselisihan mereka sehingga hampir-hampir menjadi perang. Akhirnya semua setuju dengan cadangan Abu Umaiyyah bin Al-Mughirah iaitu orang pertama yang masuk melalui pintu masjid ini dialah akan menjadi hakim.

Ternyata Baginda SAW insan yang dipersetujui oleh semua untuk menjadi hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan. (Al-Rahiq Al-Makhtum hlm 67-68)

Berterusanlah keamanan dan keselamatan yang dibawa oleh Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Salam penuh kebaikan

Ketika Nabi SAW sampai ke Madinah, Abdullah bin Salam menceritakan orang ramai berpusu-pusu menuju kepada Baginda SAW sambil melaung-laungkan: "Rasulullah SAW dah sampai." Maka beliau menuju ke sana untuk melihat. Terpandang sahaja wajah Rasulullah

SAW terus beliau berasakan wajah ini bukanlah wajah pembohong. Kemudian kata Abdullah bin Salam lagi perkara pertama yang beliau dengar daripada mulut Rasulullah SAW ialah: "Wahai sekalian manusia! Sebarkanlah salam, berilah makan, sambungkan perhubungan, solatlah kamu semua pada malam hari sedang manusia tidur nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahtera." (Riwayat Tirmizi, sahih)

Sesungguhnya ucapan salam (selamat dan sejahtera) adalah ciri agama yang indah. Suatu ucapan penuh kebaikan menyebabkan Yahudi dengki kepada Islam seperti disebut dalam hadis: "Tidaklah Yahudi itu berasa dengki kepada sesuatu lebih dari perasaan dengki mereka terhadap salam dan amin." (Riwayat Al-Bukhari, Al-Adab al-Mufrad 988, sahih)

Keamanan dan keselamatan adalah perkara dasar yang amat penting dalam pembinaan masyarakat dan negara.

Tanpanya negara tidak dapat dibangunkan bahkan menuju kehancuran. Lihat sahaja sekarang, kehancuran yang berlaku di Iraq dan Syria sebagai contoh yang tidak diketahui bilakah akan pulih seperti sebelumnya.

Oleh sebab tidak mahu berlaku seperti ini, Islam sejak kemunculannya mengajarkan dan menggariskan prinsip keamanan dan keselamatan yang wajib dipelajari dan diamalkan setiap individu yang beriman kepada ALLAH dan rasul-Nya.

Islam menjamin keamanan dan keselamatan dengan meletakkan prinsip asas yang wajib dipelihara setiap Muslim bermula daripada hubungannya dengan Penciptanya sehinggalah hubungannya sesama makhluk.

Hubungan dengan ALLAH

Hubungan inilah yang dinamakan aqidah dan keimanan kepada ALLAH. Seorang yang beriman kepada ALLAH dengan sebenar-benar keimanan dijamin ALLAH dengan ketenangan melalui firman-Nya: "(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati ALLAH. Ingatlah, hanya dengan mengingati ALLAH hati menjadi tenang." (Surah Al-Ra'd: 28)
ALLAH juga berfirman dalam Surah Al-An'am ayat 82. Kedua-dua ayat di atas menggambarkan kepada kita, dengan iman dan mengingati ALLAH menjadi punca keamanan dalam hati seseorang.

Apabila sesebuah masyarakat itu terbina daripada individu yang beriman kepada ALLAH, lahirlah keamanan dan daripada keamanan tersebut meningkatkan lagi kualiti hidup masyarakat. Sebaliknya jika masyarakat itu dibina daripada individu yang jauh daripada keimanan dan mengingati ALLAH maka tiadalah berasa aman lagi.

Hubungan sesama makhluk

Islam mengajar prinsip keamanan dan keselamatan dalam hubungan sesama manusia tidak kira sama ada sesama Muslim atau tidak. Islam mengajar supaya mewujudkan perhubungan yang baik yang akan mencapai reda ALLAH seterusnya mencapai kehidupan yang aman dan sejahtera.

Antara prinsip umum yang digariskan Islam dalam memelihara keharmonian dan menutup pintu yang boleh menimbulkan sebarang masalah, kegelisahan, ketakutan atau kebimbangan. Contohnya seperti hadis diriwayatkan dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW melarang daripada mengisyaratkan pedang atau besi tajam kepada saudaranya, sabdanya: "Sesiapa yang mengisyaratkan kepada saudaranya dengan besi yang tajam, malaikat akan melaknatnya." (Riwayat Tirmizi, hasan, sahih)

Jabir meriwayatkan dalam hadis: "Nabi SAW melarang membiarkan pedang terhunus." (Riwayat Tirmizi, hasan, gharib)

Hadis ini menjelaskan tidak dibenarkan bawa pedang atau parang tanpa memasukkannya ke dalam sarungnya. Bahkan Nabi SAW melarang menakut-nakutkan seseorang sama ada dalam keadaan bergurau atau tidak melalui sabdanya: "Jangan seseorang kamu mengambil tongkat saudaranya untuk bergurau atau bersungguh-sungguh, sesiapa yang mengambilnya hendaklah memulangkannya semula" (Riwayat Tirmizi, hasan)

Larangan ini kerana dengan melakukan perbuatan tersebut akan menimbulkan ketakutan atau kegelisahan kepada saudaranya yang kehilangan tongkat tersebut.

Dari sudut memelihara perhubungan antara agama ALLAH memerintahkan nabi-Nya untuk bersetuju atas sesuatu prinsip seperti firman ALLAH: "Katakanlah (Muhammad) wahai ahli kitab! Marilah kita menuju kepada satu kalimah (pegangan) yang sama antara kami dan kamu." (Surah Ali Imran: 64)

Menariknya, Islam tidak hanya mementingkan keamanan kepada manusia sahaja tetapi lebih daripada itu. Apabila Nabi SAW juga mengajarkan sahabat untuk tidak menakut-nakutkan haiwan dan menjamin keamanannya. Ketika mana Nabi SAW dan sahabat dalam perjalanan menuju ke Makkah dalam keadaan ihram ketika melintasi suatu kawasan 'Utsayah' terdapat seekor rusa yang cedera sedang berteduh di bawah sepohon pokok.

Nabi SAW perintahkan seorang sahabat supaya berdiri mengawal supaya semua jemaah melepasi kawasan itu dalam keadaan tidak menimbulkan ketakutan atau mengganggu rusa yang cedera tersebut. (Riwayat An-Nasaie, sahih)

Begitulah indahnya Islam, suatu agama yang sangat menginginkan keamanan dan keselamatan terhadap seluruh makhluk ALLAH. Apa yang dapat dinyatakan di sini hanya contoh yang masih sedikit untuk menggambarkan prinsip yang mulia ini.

Tetapi malang bagi umat ini apabila munculnya mereka yang mendakwa berjihad tetapi perilaku dan tindakan sedikit pun tidak menggambarkan akhlak dan keindahan Islam. Ini semua berlaku apabila hukum dan disiplin dalam berjihad tidak dipelajari dari sunnah Rasulullah SAW lalu terpalitlah keburukan itu kepada syariat yang indah ini.