December 28th, 2015

Sifat terpuji Rasulullah sebagai rujukan

MAULIDUR Rasul atau hari keputeraan Nabi Muhammad SAW pada Khamis lalu bersamaan 12 Zulhijjah 1437 Hijrah bukanlah satu acara tahunan yang biasanya akan dilupakan sehinggalah tarikh yang sama muncul pada tahun seterusnya. Acara sambutan dengan perarakan yang gilang-gemilang tidak salah diadakan, tetapi perkara yang penting daripada Maulidur Rasul adalah bagaimana untuk membawa tumpuan khalayak menghayati keperibadian Nabi junjungan sekalian umat Islam.

Dalam keadaan krisis untuk mencari tokoh atau ikon, amat tepat sekali Nabi Muhammad SAW dijadikan rujukan untuk melahirkan generasi yang bertanggungjawab terhadap agama melalui sifat-sifat yang dimiliki oleh baginda. Nabi Muhammad bukanlah Man of the Year tetapi pemimpin unggul sepanjang zaman.

Tiada tokoh dalam kalangan manusia yang sehebat Nabi Muhammad SAW daripada segala sudut; pemikiran, kepimpinan dan tingkah laku yang terpuji waima ketika berdepan dengan musuh yang mahu menghapuskan baginda. Dalam keadaan mutakhir ini di mana kita sering berhadapan dengan krisis lunturnya sifat-sifat terpuji dalam kalangan sesetengah pemimpin dunia Islam, Nabi Muhammad wajib ditonjolkan sebagai petunjuk dan rujukan untuk memandu ke jalan yang diredai Allah.

Wujudnya Islamofobia dalam kalangan masyarakat dan pemimpin Barat membuktikan pemimpin-pemimpin di dunia Islam gagal menonjolkan pemikiran dan sifat-sifat menjunjung keamanan dan kedamaian yang dipelopori oleh Nabi Muhammad SAW. Walhal Islam mempunyai pemimpin yang bukan sahaja hebat tetapi berpekerti mulia, sifat yang tidak ada pada pemimpin Barat yang sentiasa memusuhi Islam.

Justeru, antara tugas pemimpin Islam semasa sepatutnya mengalih tumpuan Barat yang sering merujuk Islam daripada perspektif pemimpin ekstrem kumpulan militan Negara Islam (IS). Malangnya, sesetengah pemimpin Islam sendiri tidak menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai ikutan.

Sifat dan sikap sesetengah pemimpin Islam seperti bekas Presiden Mesir Hosni Mubarak, Presiden Tunisia, Zainal Abidin Ali atau Presiden Syria, Bashar Al Assad yang menindas rakyat demi kelangsungan kuasa sangat jauh menyimpang daripada ajaran Nabi Muhammad SAW.

Oleh kerana wujud sesetengah pemimpin Islam sendiri yang tidak mengikut lunas kepimpinan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW, sudah tentulah wujud pandangan serong dalam kalangan bukan Islam terhadap pemimpin Islam. Hal-hal yang seperti inilah yang membuktikan bahawa memahami dan menghayati sifat-sifat terpuji Nabi Muhammad SAW sebenarnya jauh lebih penting berbanding hanya sambutan besar-besaran pada setiap kali ulang tahun keputeraan baginda.

Ini kerana rahsia mewujudkan keamanan dunia ada terkandung dalam sifat-sifat Nabi Muhammad SAW. Dengan memiliki kualiti umat Islam yang menghayati peribadi mulia junjungan Islam itu serta dalam kalangan pemimpin yang mencontohi ketegasan, keberanian dan tanggungjawab Nabi Muhammad SAW, Islam mampu muncul sebagai pencetus keamanan sejagat.

Pada masa sama, Barat tidak boleh lagi dengan sengaja berselindung di sebalik kenaifan memahami Islam sebagai prasyarat untuk melabelkan Islam dan pemimpinnya sebagai pengganas dan bukan pendamai. Barat perlu mengakui bahawa mereka sengaja memilih untuk menjadikan segelintir umat Islam yang tidak mengikut sifat terpuji Nabi Muhammad SAW sebagai rujukan menyeluruh terhadap Islam.

Cendekiawan dan pemimpin Islam wajib bangun menangkis persepsi Barat yang serong dan salah sama sekali terhadap Islam dengan kembali menonjolkan sifat-sifat terpuji dalam kepimpinan mereka, yakni menjunjung tinggi sifat amanah dalam semua aspek sama ada kehidupan seharian atau kepimpinan.

Biarpun ramai daripada mereka sudah jauh daripada kriteria pemimpin Islam, sebagai umat Islam yang sentiasa positif, kita perlu yakin bahawa masih ada pemimpin berjiwa Islam yang belum muncul membela Islam yang sedang diperkotak-katikkan dewasa ini. Tidak mustahil pemimpin berperibadi mulia seperti Sultan Muhammad al-Fateh pada era Empayar Uthmanniyyah akan lahir sekiranya sifat kepimpinan terutamanya amanah (integriti) Rasullullah SAW diamalkan para pemimpin.

Ini bertepatan dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bahawa sifat amanah adalah penentu kepada kesejahteraan sesuatu ummah dan kemakmuran sesebuah negara. Sebaliknya, sifat berlawanannya pula boleh mencetuskan kerosakan dalaman yang melemahkan sesuatu pemerintahan sehingga memudahkan kerja-kerja musuh dari luar.

Titah baginda lagi pada majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di Ipoh, amanah bererti boleh dipercayai, bermakna jika sesuatu urusan itu dipertanggungjawabkan kepada seseorang, wajib dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Titah baginda yang membawa khalayak menoleh kebesaran Islam dan Nabi Muhammad SAW seharusnya dihayati, difahami dan diamalkan dalam konteks sebesar-besarnya hinggalah sekecil-kecilnya sebagai pemimpin di unit atau bahagian dalam organisasi.

Amanah dan bertanggungjawab melaksanakan tugas adalah antara sifat terpuji Nabi Muhammad SAW yang semestinya menjadi pegangan setiap pemimpin Islam kerana amanah adalah penanda aras dalam sesebuah kepimpinan, apa lagi dalam masyarakat Islam.

Nabi Muhammad SAW juga ialah contoh pemimpin unggul yang telah berjaya membina tamadun agung, memperkenalkan wawasan dan visi kehidupan yang tidak berakhir di alam yang fana ini tetapi memperingatkan umat manusia akan kewujudan kuasa yang lebih agung di alam akhirat.

- Rokiah Ismail Utusan Malaysia Rencana Agama 27 Disember 2015 6:25 PM -

Tugas kurangkan peminta sedekah

Sekarang waktu operasi kerja peminta sedekah sudah ke tahap lewat malam. Waktu siang kita boleh lihat ope­rasi meminta sedekah ataupun derma dilakukan di kaki lima ke­dai, restoran dan di hadapan bank. Malam pula operasi go­longan kurang upaya (OKU) di restoran mamak dan gerai makan.

Jauh di sudut hati ini tiada niat untuk menghina golongan yang menjadikan minta sedekah sebagai pekerjaan me­re­ka. Ini kerana operasi mereka dan kegiatan mereka mem­bu­atkan saya sendiri kadang-kadang berfikir dua tiga kali sama ada hendak bersedekah atau tidak.

Kalau bersedekah atau menderma, takut-takut kita ditipu dengan perwatakan peminta sedekah yang buat ‘muka ka­sihan.’

Pada bulan November lalu ketika keluarga saya menjamu sele­ra nasi Arab di Shah Alam, kami didatangi seorang wani­ta tua berketurunan India tersengih-sengih merapatkan diri dengan kami sambil menghulur tangan minta sedekah.

Melihat dirinya yang tak terurus memang kasihan, tapi be­be­rapa kisah penipuan dan sindiket peminta sedekah me­nyebabkan saya tak jadi menderma. Bukan tak ada duit kecil atau kedekut, tapi tak mahu mengayakan orang yang saya tak kenal.

Saya tak mahu layan permintaannya, tapi isteri saya pula bermurah hati. Sebungkus nasi Arab berlauk ayam diminta pak Arab berikan kepada wanita India itu. Harap kenyanglah dia.

Cerita yang selalu saya baca, banyak peminta sedekah tak mahu diberi makanan sebaliknya mahu wang. Jangan di­la­yan golongan ini.

Sebab, kebiasaannya golongan peminta sedekah baik ka­­nak-kanak atau orang dewasa – mereka selalu akan ba­wa beg. Begitu juga dengan golongan OKU yang berjalan beriringan dengan wanita dari satu meja ke satu meja di restoran mamak pada dini hari. Mereka pun ada beg galas.

Kalau satu pusingan, satu pelanggan yang baik hati men­derma satu atau dua ringgit, jika sepuluh meja yang dikunjunginya menderma sudah dapat RM10 hingga RM20. Perhatilah ba­hawa dalam setengah jam, mereka akan buat satu lagi pu­singan dengan mengharapkan ada pelanggan baharu. Dengan kerja mudah dan sanggup tidak tidur ma­lam, mereka mampu mengutip derma ratusan ringgit da­lam satu malam.

Sebab itu jika kita perhatikan golongan OKU yang menjadi 'peminta sedekah' pada waktu malam di restoran semakin bertambah. Dalam satu kawasan tempat menjamu selera waktu malam yang popular, boleh jumpa bukan satu tetapi beberapa pasangan OKU yang minta derma.

Begitu juga dengan operasi dan kegiatan meminta sede­kah dengan menyediakan tabung yang ditulis ‘sedekah amal jariah’. Dengan sifat yang sempurna tanpa kecacatan, du­duk­lah lelaki berkupiah tan­pa malu dan segan di depan tabung mereka.

Semua ini tanpa kita sedar memalukan umat Islam. Ka­dang-kadang saya tertanya-tanya apakah pihak pusat zakat, baitulmal atau majlis aga­ma Islam tidak membantu golongan asnaf ini?

Bukankah saban tahun pihak pusat zakat menerima be­gi­tu banyak wang zakat ser­ta wang derma. Mana per­un­tu­kan untuk golongan pe­minta sedekah ini? Atau mereka tidak layak sebab tidak berdaftar?

Bukan niat saya minta orang ramai jangan lagi ber­se­dekah kepa­da golongan yang memerlukan bantuan ini. Kerana da­lam Islam, kita amat ditun­tut membantu golongan yang me­merlukan bantuan. Tetapi betulkah golongan itu benar-benar layak mendapat manfaat daripada sedekah kita itu?

Sebab itu adalah lebih baik kita memberi sedekah berupa bara­ngan makanan dan minu­man daripada sedekah wang. Sekurang-kurangnya mereka tidak kelaparan. Jangan biarkan mereka terus jadi malas. Senang sangat mahu wang orang ramai.

Apa yang saya khuatir, sikap pemurah kita itu boleh mem­biakkan penyakit sosial yang memalukan umat Islam ini. Tanpa sedar kita meng­galakkan tumbuh lebih banyak go­longan peminta sedekah.

Sebab itu sekarang semakin banyak peminta sedekah rak­yat negara lain datang ke Malaysia semata-mata untuk min­ta sedekah. Baru-baru ini di Selangor sahaja, pihak polis menahan 36 peminta sedekah warga asing dari Myanmar, Pakistan, China, Kemboja, Filipina dan Bangladesh dan 14 rakyat tempatan dalam operasi yang dijalankan selama dua minggu di negeri ini. Kawasan tumpuan mereka meminta sedekah ialah pusat beli-belah, kedai makan serta hentian bas dan teksi.

Kadangkala kita berasa serba salah untuk membantu golo­ngan yang meminta sedekah dan derma ini. Kita tidak mahu timbul isu kontroversi seperti golongan ini akhirnya menerima bantuan daripada pihak gereja dan bukan Islam pula.

Tetapi jika pihak kerajaan benar-benar berusaha men­jalankan tanggungjawab untuk menyampaikan bantuan sama­ ada dalam bentuk kewangan ataupun kemudahan harian, saya yakin masalah ini boleh diselesaikan melalui wang zakat.

Zakat adalah hak untuk asnafnya. Peminta sedekah juga salah satu golongan asnaf. Hulurkanlah bantuan kepada golo­ngan ini. Tidak akan luak kantung pusat zakat jika mengeluarkan bantuan kepada mereka.

Sebab menjadi tanggungjawab semua umat Islam yang mampu untuk mengeluarkan zakat. Begitu juga dengan sektor korporat berlandaskan syariah Islam. Mereka akan keluarkan zakat dan derma.

Kita memahami banyak peranan dan sumbangan yang diberikan oleh pihak jabatan agama Islam negeri dalam membantu dan membangunkan ekonomi umat Islam. Pada saya menjadi tugas pemimpin di jabatan agama Islam dan pusat zakat untuk mengurangkan golongan peminta sedekah di negara ini. Malulah umat Islam di negara maju seperti Malaysia minta sedekah.

- Azman Anuar Utusan Malaysia Rencana 27 Disember 2015 6:18 PM

Al-Quran dan Bible mengajar keamanan, bukan keganasan

Islam tidak pernah mengajarkan keganasan. Dalam aja­ran Is­lam hanya ada fiqh jihad yang jauh sama sekali daripada pengertiaan keganasan. Keganasan dilakukan se­sua­tu kum­pulan atau seorang bagi memenuhi agenda politik mereka.

Orang awam yang tidak berdosa sentiasa di­ja­dikan korban bagi mencapai matlamat mereka. Jihad pula adalah untuk mengekalkan keadilan dan keimanan di atas muka bumi. Jihad dilakukan semata-mata untuk men­cari keredaan Allah SWT, bukan untuk agenda atau ke­pentingan tertentu.

Allah memerintah hamba-Nya supaya mengamalkan tole­ran­si, keamanan, cinta dan belas kasihan se­sama manusia. Allah melarang manusia mengikut langkah-langkah syaitan kerana syaitan itu musuh yang nyata bagi manusia (Surah al-Baqarah: 208).




KEGANASAN yang dilakukan kumpulan IS tiada kena-mengena dengan ajaran Islam. - Gambar hiasan

Mana-mana kumpulan atau individu yang melakukan kerosakan di atas muka bumi ini maka mereka adalah orang yang zalim. Maksud firman Allah SWT,

“Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan. (Surah al-Qasas: 77). Menceroboh dan mem­bunuh sesuka hati seperti yang dilakukan oleh kumpulan pengganas Negara Islam (IS) pada abad ini atau mana-mana kumpulan pengganas sekali pun merupakan satu contoh ke­ro­sakan dan kezaliman.

Demikian juga dengan tindakan membunuh manusia be­ra­mai-ramai dengan cara meletupkan diri (suicide attacks) di tengah-tengah masyarakat awam adalah satu jenayah yang bukan daripada ajaran Islam. Membunuh tanpa hak adalah ibarat membunuh manusia seluruh alam.

"Barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya.” (Surah al-Maidah: 32).

Justeru, tiada kena-mengena keganasan dengan Islam. Ha­kikatnya, punca keganasan bukanlah sebab agama te­ta­pi daripada faktor fenomena sosial akibat berlakunya ke­tidakadilan dan penindasan dalam masyarakat.

Kejahatan yang dilakukan oleh kumpulan IS pada hari ini dilakukan oleh orang Islam yang menyeleweng. Ia seperti yang pernah berlaku da­lam sejarah Kristian ke­tika zaman kegelapan du­lu.

Ketika Islam mula ber­kembang di Mekah, ramai yang memeluk Is­lam ter­masuk orang Bad­wi yang tinggal di pedalaman ­gu­run.

Oleh kerana Badwi yang tinggal di pedalaman gurun adalah mereka yang mundur dari segi ketamadunan dan intelektual maka mereka ga­­­gal memahami dan men­dalami Islam dalam erti kata yang sebenar. Allah me­nya­takan hal ini di da­lam al-Quran:

"Orang-orang Arab Badwi itu, lebih banyak kekafiran dan kemunafikannya, dan le­bih wajar tidak mengetahui hu­kum-hukum yang di­tu­run­kan Allah kepada Ra­sul-Nya. Dan Allah Maha Me­ngetahui lagi Maha Bijaksana”. (Surah at-Taubah: 97).

Justeru, golongan yang terpengaruh dengan IS itu boleh dium­pamakan seperti a orang badwi itu - terdiri dari orang yang jahil, kufur dan munafiq dan akhirnya menjadi 'duri dalam daging’ atau petulang kepada Islam.

Golongan fanatik dan ekstrem ini mendakwa diri mereka memahami Islam walaupun pada hakikatnya mereka ti­dak memahami Islam sepenuhnya sehingga tindakannya me­nye­leweng daripada al-Quran. Golongan fanatik dan ekstrem seperti ini sanggup mem­bu­nuh sesiapa sahaja seperti mana yang berlaku ke atas Saidina Ali yang dibunuh oleh aktivitis ektremis golongan kharijiyyah daripada puak Syiah.

Penyakit yang ada pada dunia Barat pula ialah meng­ambil kesempatan atas sifat permusuhan dan kejahilan de­ngan menubuh atau memprotretkan Islam mengajar dan mendukung keganasan.

Persepsi ini perlu diubah wa­laupun terpaksa mengambil jang­ka masa panjang untuk mem­betulkannya. Dunia Barat sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memburukkan Islam dan umatnya.

Sering kali juga mereka meng­gunakan kuasa untuk me­merangi ne­gara umat Islam atas nama meme­rangi keganasan. Mereka cuba menghidupkan atau menye­marakkan per­tem­bungan agama atau budaya seolah-olah mahu mem­benarkan teori clash of civili­zation, iaitu satu doktrin yang dicipta oleh Samuel Huntington pada 1990-an.

Sepatutnya Barat yang didominasi oleh Kristian berusaha merapatkan hubungan dengan dunia Islam kerana Allah menyatakan bahawa penganut Kristian sebagai paling dekat persabahatannya de­ngan orang yang beriman (Surah al-Maidah: 82).

Justeru, dialog peradababan mes­ti terus disemarakkan, te­r­uta­manya an­tar­a penganut Kristian dengan umat Islam su­pa­ya dapat duduk semeja untuk saling ber­musyawarah dan memastikan agama tidak dikaitkan dengan sebarang ke­ganasan.