January 1st, 2016

Khutbah Jumaat: Kejituan Azam

Sedutan Teks Khutbah Jumaat 1 Januari 2016M/ 21 Rabiulawwal 1437H JAWI

Kejituan Azam

Setiap kali tibanya tahun baru, maka manusia di seluruh pelusuk dunia akan rasa teruja untuk meraikannya dengan pelbagai cara. Ada yang berhimpun beramai-ramai menantikan detik 12 tengah malam berlalu dan ada juga yang menyambutnya dengan menyanyi dan berpesta dari malam hingga ke pagi.

Sebahagian yang lain pula meraikan kedatangan tahun baru dengan cara yang lebih Islamik dan sederhana iaitu dengan mengadakan solat hajat, berselawat dan ceramah perdana.

Keazaman membawa maksud kemahuan, keinginan dan cita-cita yang sangat kuat untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati. Seseorang yang tidak mempunyai keazaman yang jitu, tidak mungkin akan memperolehi apa yang dia impikan.

FirmanNya dalam surah Ali Imran pada penghujung ayat 159 yang bermaksud: “Kemudian apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”

Ramai di antara kita yang berazam untuk berhenti menghisap rokok, meninggalkan perkara maksiat bekerja dengan lebih rajin dan bersungguh-sungguh dan tidak kurang yang “Seperti Melepaskan Batok di Tangga”,

Di antara sebab-sebab mengapa sesuatu azam itu tidak dapat dicapai ialah:

Pertama: Tiada kesabaran dalam diri untuk berusaha secara bersungguh-sungguh bagi mencapai azam yang telah dibuat.

Kedua: Godaan nafsu.

Firman Allah SWT dalam surah Yusuf ayat 53 untuk dijadikan peringatan kita bersama bagi menghadapi bahaya nafsu. Bermaksud: “Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku, sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Ketiga: Tiada perancangan.

Biarlah selama manapun masa yang diambil, tetapi dengan perancangan, usaha dan juga tawakal, In sya Allah apa yang diingini boleh dicapai. Marilah kita amalkan langkah-langkah berikut untuk memastikan azam yang telah dibuat itu dapat direalisasikan:

Pertama: Sabar dalam berusaha.

Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "ُاَلَّن صُْر ُ مَُعَُ ال َّ صبُْرُِ،ُوَُال ُْفَُر َُج ُ مَُعَُ ال ُْك َُرُْبُِ،ُوَُ إَّ ن مَُعَُ ال ُْع ُسُْرُِ ي ُس ُْر ُا " Bermaksud: “Kemenangan bersama kesabaran, pelepasan bersama kesusahan dan sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kesenangan.”

Kedua: Membuat perancangan yang teliti.

Ketiga: Istiqamah dalam berusaha untuk mencapai sesuatu yang diazamkan.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin mengajak sidang jemaah sekalian untuk menghayati beberapa perkara berikut sebagai panduan dan pedoman kita bersama:

Pertama: Sebagai orang yang beriman, azam yang telah dibuat dan diusahakan hendaklah diserahkan urusannya kepada Allah SWT dengan bertawakal.

Kedua: Berwaspadalah dengan nafsu yang sentiasa mengajak kepada kejahatan kerana ia mampu menggagalkan azam yang telah kita tekadkan dalam hati.

Ketiga: Sesuatu azam boleh dicapai jika disertai dengan sifat sabar, istiqamah serta perancangan yang teliti.

Firman Allah SWT dalam surah Ar-Ra’d ayat 11: Maksudnya: “Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.”.

Wallahualam.

Khutbah Jumaat: “Pengamal Rasuah Dilaknat Allah”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 01 Januari 2016: JAIS

“Pengamal Rasuah Dilaknat Allah”

Pengamal rasuah ialah pemberi dan penerima rasuah. Perbuatan rasuah adalah tingkah laku yang menyimpang dalam kehidupan bermasyarakat dan ia merupakan penyakit sosial yang amat ditegah oleh Islam.

Rasulullah SAW telah menegaskan dalam satu hadisnya bahawa Allah SWT melaknat orang yang memberi dan menerima rasuah, termasuk orang yang menjadi perantaraan.

Hadis daripada Abu Harairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: لَعن االلهُ الراشي والمُرتشي في الْحكْمِ “Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam membuat keputusan”. (Riwayat Ahmad)

Rasuah adalah satu jenayah yang keji dan dilaknat Allah yang memberi kesan yang amat buruk, kepada sistem keadilan dan pentadbiran.

Ia mengetepikan hak-hak orang lain demi untuk kepentingannya.

 Jenayah rasuah merupakan budaya jahiliah, yang menunjukkan betapa rendah dan hinanya akhlak dan perangai orang yang melakukannya. Sama ada pemberi atau penerima.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 188 : “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”.

Perbuatan rasuah meliputi amalan meminta, menawar, menerima suapan, tuntutan palsu, atau menyalah guna jawatan, untuk kepentingan diri, keluarga, dan golongan tertentu termasuk juga apa yang disebut oleh umum sebagai duit kopi, pelincir, tumbuk rusuk dan duit tepi samada berbentuk wang tunai atau manfaat berbentuk barangan seperti tukar tayar kereta, melancong, bayar bil, habuan gadis, ubah suai rumah dan sebagainya yang sukar ditangani oleh SPRM.

Hadis daripada Abu Bakar as-Siddiq RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: كُلُّ جسد نبت من سحت فَالنار أَولَى بِه “Setiap jasad yang tumbuh daripada sumber yang haram, maka api nerakalah lebih layak baginya”. (Riwayat al-Baihaqi).

Dengan rasuah pesalah terlepas daripada hukuman. Dengan rasuah juga orang yang tidak bersalah mendapat hukuman. Allah juga akan menarik semula semua nikmat yang dikurniakan, melalui pelbagai ujian kepada kita.

Pengamal rasuah adalah mereka yang bernafsu besar, atau bersifat tamak haloba, mengamalkan cara hidup mewah, ingin cepat kaya dan terikutikut dengan gaya rakan sekerja tanpa mengukur baju di badan sendiri.

Mereka tidak boleh dibiarkan bermaharajalela, kerana perbuatan mereka boleh dianggap sebagai pengkhianat kepada agama, masyarakat dan negara

Amalan rasuah meninggalkan kesan yang buruk terhadap individu yang terlibat dan pihak-pihak berkuasa, kesan terhadap masyarakat dan negara, jabatan dan organisasi dan sebagainya. Contohnya seperti berikut;

1. Kesan terhadap individu, ialah menyebabkan seseorang itu akan kehilangan pekerjaan, hilang integriti dan maruah diri, hancur keharmonian rumah tangga, serta pendidikan anak-anak akan terabai.

2. Kesan buruk terhadap sesebuah Jabatan dan organisasi pula seperti pemusatan kuasa hanya kepada individu sahaja, kuasa budi bicara melebihi peraturan dan prosedur, kehidupan pegawai dan staf amat mewah sehingga terdapat pegawai berani meminta upah secara terang-terangan bagi mempercepatkan proses permohonan.

3. Kesan buruk terhadap masyarakat dan negara seperti mengakibatkan ketidakadilan disebabkan mengetepikan hak-hak orang lain. Ia boleh menjejaskan sosial serta kestabilan politik dan keselamatan serta menjejaskan kecekapan, kelicinan dan kelicikan sesuatu pentadbiran. Rasuah juga boleh meningkatkan kadar inflasi dan jenayah kezaliman dalam masyarakat.

Dari sudut akidah pula, penerima rasuah boleh membawa kepada kekufuran. Hadis daripada Ibnu Mas’ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: اَلرشوةُ في الْحكْمِ كُفْر “Amalan rasuah yang boleh mempengaruhi dan mengubah keputusan hukum syarak adalah kufur”. (Riwayat at-Tabrani).

Rasuah adalah suatu kezaliman dan merupakan perbuatan khianat. Mereka akan dibalas oleh Allah SWT di dunia lagi dan di akhirat sebagai penghuni neraka.

Hadis daripada Abudullah Bin Umar RA Rasulullah SAW bersabda: اَلراشي والْمرتشي فى النارِ “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka”. (Riwayat at-Tabrani).

Marilah kita bersama-sama menghayati pengajaran daripada khutbah ini;

1. Mereka yang pernah dan sedang mengamalkan rasuah hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT sebelum terlambat.

2. Umat Islam hendaklah menjauhkan diri daripada terlibat dengan amalan rasuah. Sama ada sebagai pemberi atau penerima.

3. Kita hendaklah memahami bahawa amalan rasuah boleh menghilangkan keberkatan hidup serta tertolaknya ibadat dan doa kita.

4. Kita hendaklah sentiasa memberi kerjasama kepada SPRM dan mendoakan agar badan tersebut berjaya melaksanakan tugasnya dalam membasmi rasuah tidak kira dikalangan ikan kecil mahupun ikan yang besar.

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”. (Surah ali-Imran:104).

Wallahualam.