January 2nd, 2016

Al-Quran untuk apa?

SIAPA antara kita yang tidak ingin hidup bahagia? Siapa antara kita yang tidak ingin selamat? Asal nyawa dikandung badan menjalani kehidupan, tidak ada orang yang tidak ingin mulia, berakal cergas, mantap kesihatan dan tinggi budi pekertinya.

Agar semua keinginan itu tercapai, tujuan dan jalan kehidupan perlulah lurus, tidak bengkang-bengkok agar yang dicari bahagia tidak bertukar derita, gembira tidak berganti sengsara. Aturan jalan lurus yang mesti diingat dan diperhatikan oleh semua telah tersedia dalam manual Tuhan iaitu kitab al-Quran.

ALLAH SWT berfirman: "Wahai manusia! Sungguh telah datang kepada kamu pengajaran daripada Tuhan kamu dan suatu ubat bagi apa yang ada dalam dada, dan petunjuk, dan rahmat bagi orang-orang yang beriman." (Surah Yunus: 57)

Manusia tidak perlu bingung teraba-raba memikirkan hari depannya kerana Tuhan telah menunjukkan jalannya.

Dalam al-Quran mengandungi empat unsur penting menempuh kehidupan.

Empat ini yang paling utama, dengannya tercapai tujuan hidup, dengannya terhindar dukacita sengsara.

Pertama: Al-Quran berisi pengajaran dari Tuhan yang Maha Tinggi. Segala teori, kajian mahupun pendapat pengurusan, tidak membawa manusia ke mana berbanding dengan petunjuk dari langit. Dengan al-Quran dapat dibezakan baik buruk, hormat menghormati, berkasih sayang dan bersedekah. Segala pengajaran dan pendidikan agar baiklah hubungan sesama manusia dan manusia dengan ALLAH.

Kedua: Al-Quran menawarkan ubat bagi apa yang ada dalam dada. Maksudnya jantung hati yang terletaknya akal budi, ilmu pengetahuan dan perasaan. Kita biasa dengar istilah sakit otak, iaitu orang gila atau orang waras yang buat kerja gila. Apabila disebut sakit hati, itulah orang yang berhasad dengki, dendam, serta sifat-sifat buruk lainnya. Apa guna kaya-raya dengan harta-benda serta bijak-pandai kalau hati penuh penyakit. Hidup tidak tenteram.

Kita memohon petunjuk daripada ALLAH dalam Surah Al-Fatihah. ALLAH menjawabnya dalam Surah Al-Baqarah sehingga Surah An-Nas. Apabila diteliti ayat-Nya, hati akan menjadi tunduk kepada kebesaran Tuhan, bertambah tinggi keyakinan dan tawakalnya pada Tuhan, tidaklah hatinya resah gelisah, kerana sudah bulat tekad, hatinya telah digenggam Tuhan yang Maha berilmu dan bijaksana.

Ketiga: Al-Quran mengandungi petunjuk. Kita memohon diberikan petunjuk dan mengelakkan kesesatan dalam Surah Al-Fatihah. ALLAH menjawabnya melalui Surah Al-Baqarah hinggalah Surah An-Nas. Pergaulan manusia dengan al-Quran bermula dengan Al-Fatihah sebagai pembuka kitab, dan pembuka hati sanubari kita sendiri, untuk persediaan bagi kita mengenal seluruh isi al-Quran. Disusuli dengan Al-Baqarah bagi menjelaskan tanggungjawab kaum Muslimin di atas muka bumi, kemudian Ali-'Imran menjelaskan untuk teguh di atas jalan yang lurus.

Setelah teguh terisi keperibadian Muslim, surah keempat, An-Nisa' menyeru melindungi wanita dan orang yang lemah dengan prinsip keadilan. Begitu seterusnya setiap susunan surah akan ada tujuan khusus, berkait sambung menyambung sehinggalah ditamatkan al-Quran dengan Surah An-Nas (Manusia) barulah ciri-ciri kemanusiaan Qurani terhasil melalui proses 114 surah al-Quran.

Keempat: ALLAH memberikan rahmat melalui al-Quran. Kata Prof Dr Hamka, ini adalah hasil atau akibat yang wajar dari urutan tiga pertama. Bila pengajaran Tuhan dipegang teguh, bila al-Quran dijadikan pengubat hati, dan dijadikan petunjuk dalam perjalanan hidup, pasti tidak dapat tidak akan dirasailah rahmat Tuhan dalam diri, keluarga dan masyarakat. Dengan memegang pengajaran Tuhan, otak pun terang. Dengan mendapat ubat dari Tuhan, dada pun terhindar dari virus penyakit. Dengan memegang petunjuk Tuhan, terhindar diri dari kesesatan. Ketiga-tiganya menumbuhkan rahmat dalam hidup.

TADABUR TAZAKUR

Banyak teori dikeluarkan untuk manusia membina kehidupan yang sejahtera. Namun begitu kita lihat masih banyak kesengsaraan terjadi. Kehidupan makin gelisah. Tekanan semakin tinggi. Akhirnya teori tadi tidak bernilai lagi. Rupanya-rupanya pencarian kesejahteraan itu ada depan mata, dalam al-Quran yang selalu dibaca. Masalah kita bukan lagi bahan bacaan, tetapi cara baca si pembaca.

Membaca bahan yang baik memerlukan teknik yang baik dan terpimpin. Al-Quran juga ada cara bacanya, bukan sekadar mengikut tajwid, namun mengikut proses untuk mengeluarkan isi pentingnya.

Cara baca dan memahami mesej al-Quran telah dijelaskan ALLAH dalam Surah As-Shod ayat 29: "Ini adalah sebuah kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan berkat supaya mereka merenungkan (tadabur) ayatnya dan supaya mendapat pelajaran (tazakur) orang yang mempunyai fikiran."

Tiada cara lain bagi mendapatkan pengajaran, penawar, petunjuk dan rahmat ALLAH selain dengan membaca dan memahami al-Quran dengan berusaha bertadabur dan bertazakur kepada ayat-Nya yang terkandung hikmah.

Berzakat tenangkan hati

TAHUN 2015 telah berlalu, adakah zakat pendapatan dan harta-benda anda sudah dilunaskan?

Jika belum, tidak terlewat untuk anda menunaikan, kerana selain zakat fitrah yang dibayar semasa Ramadan, pendapatan dan harta benda anda juga wajib dikeluarkan sebagai zakat. Sama ada mengeluarkan (zakat) secara bulanan atau tahunan, ia adalah kewajipan setiap umat Islam yang berkemampuan.


Hidup berasa tenang dan keluarga bahagia dengan berzakat.

Dalam al-Quran terdapat puluhan ayat mengenai zakat yang disebut secara jelas, manakala masih banyak ayat al-Quran yang menggunakan kalimah sedekah atau infak juga membawa maksud zakat. ALLAH SWT merangkaikan kalimah solat dan zakat secara beriringan di 32 ayat. Ini jelas menunjukkan pentingnya ibadah zakat dalam Islam.

Wajib berzakat

Ada individu apabila diceritakan kepada mereka mengenai perlunya berzakat mengatakan: "Kami tidak boleh berzakat sebab gaji yang kami ada pun cukup-cukup makan."

Pendakwah, Ustaz Hamizul Abdul Hamid menjelaskan, individu itu perlu memahami pengertian zakat di sisi syarak iaitu mengeluarkan harta tertentu, dengan syarat tertentu, pada kadar tertentu, untuk asnaf tertentu.

"Sebab itu, jika tidak cukup syarat wajib, maka tidaklah wajib orang itu berzakat dan tidaklah dia berdosa.Namun begitu, siapakah berhak menentukan seseorang itu sudah wajib atau belum?

"Dalam hal ini, jika orang itu tidak tahu atau ragu-ragu, dia mestilah berjumpa dengan pegawai zakat. Ini kerana, pegawai zakat dilatih untuk menilai, mengira dan menaksir apakah orang itu sudah wajib atau belum berzakat.  Setelah ditaksir dan belum cukup syarat, tidaklah wajib dia membayar zakat dan baharulah kita boleh berpuas hati.

"Tetapi, jika kita memang masih belum wajib, elok asuh hati memberi sedekah. Setiap sen sedekah yang ikhlas, ALLAH akan balas dengan 700 kali ganda atau lebih lagi. Sedekah mampu menjadikan kita kaya, kaya jiwa dan kaya harta, insya-ALLAH," ulasnya kepada Rehal.

Menurutnya, ramai yang tidak sedar sedekah itu juga diguna pakai untuk zakat. Dalam al-Quran, ALLAH menggunakan kalimah 'sedekah' bagi menjelaskan lapan golongan (asnaf) layak menerima zakat dalam Surah At-Taubah ayat 60. Makanya, di sisi Islam, sedekah itu terbahagi dua, iaitu sedekah sunat dan sedekah wajib.

Jika sedekah sunat, ia bersifat tatawu' atau sukarela, misalnya memberikan derma di tabung masjid. Tetapi, jika sedekah wajib maka ia adalah zakat, haram jika diabaikan, malah boleh dikenakan hukuman oleh pemerintah.

Sudah lama dilaksanakan

Jadikan situasi ini sebagai contoh, sejak bekerja Si A memang tidak pernah mengeluarkan zakat. Setelah lebih lima tahun bekerja barulah hatinya terdetik untuk mengeluarkan zakat pendapatan.

Ramai bertanyakan bagaimanakah pengiraan zakatnya? Adakah perlu dikira sejak awal bekerja atau bagaimana? Zakat pendapatan ini memang sensitif, sebab ada yang berkata ia benda baharu. Padahal dalam sejarah, sejak zaman Khualafa Ar-Rasyidin lagi sudah dilaksanakan.

Kaedah qadak zakat pendapatan:

Kena pastikan dahulu berapa tahun bekerja dan dia tidak pernah mengeluarkan zakat pendapatan.
Kirakan setiap tahun berkenaan berapakah jumlah pendapatannya.
Buat tolakan sesuai (tolakan yang dibenarkan) bagi setiap tahun.
Baki bersih didarabkan dengan 2.5 peratus.
Bayar sekali gus jika mampu. Ansuran bulanan (ikut kemampuan). Jika ansuran, buat surat wasiat maklumkan waris mengenai jumlah qadak yang belum selesai.

Orang qadak zakat wajib bertaubat. Jika keluarganya dapat tahu masih ada qadak zakat, wajib bayar dahulu qadak zakat itu dengan harta si mati, kemudian barulah bahagikan pusaka. Bukan sekadar qadak zakat pendapatan sahaja, ia meliputi semua jenis qadak harta zakat. Jika tidak, mereka berdosa di sisi ALLAH.    

Ustaz Hamizul yang juga Eksekutif Dakwah LZS berkata, sepanjang tahun, hanya ada dua bulan yang menjadi 'musim menuai' bagi pusat zakat, iaitu bulan Ramadan dan Disember. Ramadan orang bayar zakat kerana nak kutip pahala berganda. Disember pula untuk mendapatkan resit tahun semasa dan merebatkan cukai pendapatan. Selalunya pada bulan Disember memang kutipan akan mencanak, hingga ada waktunya mencecah RM100 juta ke atas.

"Tetapi, pada bulan lain, khususnya Januari hingga Mei, kami panggil 'musim kering'. Kutipan tidak sebanyak mana, sedangkan keperluan asnaf tetap sama malah mungkin meningkat. Misalnya setiap awal tahun, seiring bermulanya sesi persekolahan bantuan pendidikan ummah sangat tinggi. Ketika itulah kami manfaatkan kembali kutipan di hujung tahun bagi menampung segala keperluan berkenaan.

"Jadi, tidak betul jika ada dakwaan pusat zakat sengaja tidak agihkan zakat sampai habis setiap tahun. Ini kerana, manalah sempat kami mengagihkan zakat pada 31 Disember, kerana kutipannya sangat tinggi. Juga tidak betul kami hanya menyimpan lebihan zakat, kerana fatwa mensyaratkan ia hendaklah segera digunakan tahun berikutnya," ulasnya lanjut.

Menurutnya lagi, di Malaysia, informasi mengenai agihan atau pengaliran wang zakat mudah diperoleh. Zaman kian canggih, ketelusan sangat penting. LZS di Selangor mempunyai pelbagai saluran untuk diakses. Ada laman sesawang, blog, Facebook, dan Twitter. Masuk surat khabar, radio, televisyen dan pasang papan iklan mengenai agihan zakat. Malah pegawai zakat turun ke ceruk desa dan kota bercerita perihal agihan zakat.

Usah mudah percaya

"Tidak patut lagi ada orang kata yang LZS atau pusat zakat tidak buat kerja menyalurkan maklumat zakat. Ini kerana, kami sedar umat Islam sekarang prihatin dengan pengagihan zakat. Kami juga sedar, keyakinan adalah asas kepada kutipan zakat. Sebab itu kami lebih menekankan mengenai pengagihan, supaya orang Islam khususnya pembayar zakat puas hati.

"Jadi, saya ada dua cadangan. Pertama, jika ada kekeliruan bertanyalah kepada kami di pusat zakat. Jangan bertanya kepada orang yang salah. Kedua, jika anda terjumpa orang miskin, jangan terus sebar di media sosial, tetapi hubungi dahulu pusat zakat. Ini kerana, boleh jadi orang itu sudah pun menerima bantuan tetapi atas sebab tertentu dia meninggalkan rumah dan menjadi gelandangan," katanya.

Beliau turut menyentuh perihal masih ramai keliru dan tertanya bilakah sebenarnya seseorang itu wajib berzakat?, Beliau mengulang jika mahu tahu adakah kita ini sudah wajib atau belum, silalah berjumpa dengan pegawai zakat dan minta mereka kirakan zakat kita. Setiap harta zakat ada kaedah kiraan yang berbeza, misalnya kiraan zakat emas, tidak sama dengan zakat pendapatan. Kiraan zakat perniagaan pula tidak sama dengan zakat ternakan. Hanya amil yang terlatih sahaja mampu mengira zakat kita dengan tepat.

Setelah dikira dan ternyata kita masih belum layak berzakat, barulah sah. Ia bukan main rasa atau agak-agak sahaja. Jika tahun ini kita tidak wajib berzakat, belum tentu tahun hadapan kita masih tidak wajib.

Ibu bapa yang menerima pemberian wang bulanan anak-anak sehingga bertambah pendapatannya dan mencapai nisab, juga wajib berzakat. Sebaiknya rujuklah kepada amil zakat untuk mengetahui status kita, sama ada sudah wajib atau belum berzakat.

Menyentuh perihal individu yang berada dalam situasi berhutang. Contohnya, hutang beli rumah, kereta, pinjaman pendidikan, hutang peribadi dan sebagainya. Semuanya itu diklasifikasikan sebagai hutang. Maka, menurut hukum asal, orang berhutang memang tidak wajib berzakat, kerana mereka wajib melangsaikan dahulu hutang piutangnya. Namun begitu, adakah semua hutang piutang itu sama syarat-syaratnya dan wajib dilangsaikan dengan segera?

Di sini ulama membahaskannya secara panjang lebar, dan hutang itu boleh dibahagikan kepada dua, iaitu:

Wajib dilunasi dengan segera
Wajib dilunasi dalam tempoh tertentu

Hutang wajib dilunasi dengan segera itulah yang menghalangi kewajipan zakat. Contoh: Si A pinjam RM10,000 dari Si B dan berjanji akan membayar hutang itu pada hujung tahun. Sampai Disember, Si A pun pergi ke pusat zakat untuk bayar zakat sebab dia ada duit sebanyak RM20,000. Tiba-tiba Si B telefon dan ingatkan dia agar segera bayar hutangnya kerana masanya tiba. Maka Si A pun membayar hutang itu dan jadilah duitnya RM10,000. Oleh kerana bakinya hanya RM10,000 maka kuranglah dari nisab (katakan nisab RM11,831). Tidak wajiblah Si A berzakat. Inilah hutang yang menghalangi zakat.

Tetapi, jenis hutang yang distrukturkan oleh pemberi hutang, misalnya pihak bank sehingga bertahun-tahun diansurkan, dan disediakan takaful sebagai perlindungan jika ada kematian dan banyak lagi ciri-cirinya, ia berbeza. Hutang seperti ini tidak menghalangi zakat. Ini kerana, dalam keadaan dia berhutang itu dia masih mampu hidup dalam kemewahan, mampu pakai kereta mewah dan rumah besar. Malah, ada individu makin besar hutang bermakna makin besar pendapatannya. Sebab itu dia mampu berhutang yang lebih besar.

Raih berkat

Zakat itu berkat. Jika hidup sering dirundung malang, musibah datang silih bertandang, hati rasa tidak tenang, rasa takut dicuri dan barang sering hilang, pendek kata sering berasa bimbang, itu sebahagian tanda tiada berkat.

Ustaz Hamizul berkata lagi, apatah lagi jika anak dan isteri sudah hilang taat, dengan pasangan tidak bahagia sering bertegang urat, dan banyak lagi simptom tidak bahagia yang membuat dada sempit bagai diundang sakarat (maut), maka itulah tanda harta masih kotor dan perlu dibersihkan. Tiada jalan lain, zakat adalah jalan keluarnya.

"Terdapat banyak alternatif  untuk bayar zakat. Jika di LZS, kami ada 28 buah cawangan seluruh Selangor, 11 ejen Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, Skim Berkat (potong gaji), Sembilan kaunter ejen bank, seluruh pejabat pos, pembayaran dalam talian termasuk bank dilantik, kad debit bank ada kredit Islami, mesin ATM di bank terpilih, kiriman wang pos, mobile banking, lapan ejen syarikat termasuk firma audit dan percukaian.

"Kami juga boleh menjemput anda untuk temu janji bayar zakat, taksiran, taklimat dan kaunter bayaran. Hubungi sahaja 1800885353," katanya.

Cabutan bertuah dalam perbankan Islam, adakah ia dibenarkan?

UMUMNYA, masyarakat Malaysia sering menganggap cabutan bertuah atau qur'ah sesuatu yang diharamkan Islam kerana melibatkan unsur perjudian (al-maisir dan al-qimar).

Kekeliruan ini timbul kerana mereka berasakan terdapat unsur ketidakpastian atau gharar dalam transaksi cabutan bertuah ditawarkan bank di Malaysia disebabkan tiada jaminan mereka mendapat hadiah tersebut. Contohnya produk al-Awfar yang ditawarkan Bank Islam Malaysia Berhad dan skim Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional.

Terdapat beberapa ayat al-Quran mengharamkan perjudian, firman ALLAH SWT: "Wahai orang beriman! Sesungguhnya arak dan judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah adalah perbuatan keji daripada perbuatan syaitan. Hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu berkehendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati ALLAH dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti?" (Surah Al-Maidah: 90-91)

ALLAH berfirman lagi: "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya. Dan mereka bertanya kepadamu:

Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: (Dermakanlah apa-apa) yang berlebih daripada keperluan (kamu). Demikianlah ALLAH menerangkan kepada kamu ayat-Nya (keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir." (Surah Al-Baqarah: 219)

Jelaslah pengharaman judi dalam Islam adalah sesuatu disepakati fuqaha’.

Akan tetapi, persoalan yang muncul dalam kalangan masyarakat adalah berkenaan dengan cabutan bertuah dalam produk simpanan perbankan Islam. Hal ini kerana Bank Islam melancarkan satu produk gabungan antara akaun simpanan dan pelaburan yang menawarkan ganjaran kepada pendeposit dalam bentuk cabutan bertuah. Adakah cabutan bertuah itu dibenarkan dalam Islam? Atau adakah transaksi itu sebenarnya mengandungi unsur perjudian yang dilarang Islam?

Apa itu judi?

Al-Qal'aji mentakrifkan judi (al-qimar) sebagai permainan yang disyaratkan pemenang akan mengaut (pertaruhan) daripada yang kalah. Seterusnya, berdasarkan ayat 219 daripada Surah Al-Baqarah, Abdullah bin Abbas RA menyatakan: Al-Maisir ialah al-Qimar. Pada zaman Jahiliah, bila mana seseorang lelaki mempertaruhkan isteri dan ahli keluarganya. Maka sesiapa antara mereka berdua yang tewas, pemenangnya akan membawa pergi isteri dan keluarganya."

Berdasarkan hujahan di atas, Imam Al-Jassas menyimpulkan al-qimar ialah pemberian pemilikan harta dengan risiko kehilangannya pada kedua-dua pihak, manakala fuqaha' yang lain tidak memberikan definisi perjudian secara jelas. Namun, terdapat dua ciri utama perjudian yang dapat disimpulkan berdasarkan penulisan mereka iaitu:

Perjudian disertai oleh dua atau lebih peserta yang mengeluarkan harta untuk ditaruhkan, sama ada taruhan itu terus diserahkan atau dijanjikan untuk diserahkan dan harta inilah akan dijadikan ganjaran bagi sesiapa yang terpilih atau menang.

Dalam transaksi ini, seseorang perlu meletakkan hartanya pada dua kebarangkalian (risiko) sama ada mendapat keuntungan ataupun kerugian untuk membolehkan dia memperoleh harta seseorang yang lain. Dia akan mendapat keuntungan apabila ia memenanginya kerana mengaut semua pertaruhan peserta lain, atau menanggung kerugian kerana kehilangan wang pertaruhan yang dikeluarkan.

Al-Awfar menyerupai judi?

Majma' Al-Fiqh Al-Duwali ( Akademi Fiqh Islam Antarabangsa) dalam Persidangan ke-14 di Doha, Qatar pada 11 hingga 16 Januari 2003, mengeluarkan Resolusi ke-127 dalam membincangkan kedudukan pertandingan yang menawarkan hadiah cabutan bertuah. Melalui perbincangan ini, beberapa garis panduan ditetapkan iaitu:-

Semua permainan dan pertandingan yang hadiahnya diambil daripada kumpulan wang penyertaan peserta haram kerana mengandungi unsur judi.

Hadiah pertandingan hanya dibenarkan jika ia disediakan pihak ketiga yang tidak memasuki pertandingan atau hadiah diambil daripada yuran sebahagian peserta sahaja.

Pertandingan yang menawarkan hadiah adalah harus jika-
     a) Tujuan dan kaedah perlaksanaannya dibenarkan oleh syariah.
      b) Hadiah tidak datang daripada sumber yuran  diperoleh daripada seluruh peserta.
      c) Pertandingan tidak membawa kepada meninggalkan perkara wajib atau melakukan perkara haram.

Secara keseluruhannya, berdasarkan perbahasan di atas, produk ini adalah satu akad mudarabah yang dijalankan antara bank dan pendeposit sebagaimana dimeterai dalam dokumen akad. Jika ada keuntungan dalam penggunaan modal yang diberikan pelanggan, ia akan dibahagikan antara bank dan pelanggan berasaskan kadar perkongsian keuntungan yang dipersetujui bersama seperti dalam perjanjian.

Cabutan bertuah berhadiah wang tunai ditawarkan pihak bank adalah insentif tambahan untuk menggalakkan  pendeposit supaya menyimpan atau melabur di bank mereka. Hadiah akan diberikan kepada pendeposit bertuah daripada wang disediakan bank dan bagi mana-mana pendeposit yang tidak berjaya mendapatkannya, mereka tidak kehilangan wang simpanan atau wang pelaburan, bahkan mendapat pula keuntungan lain hasil daripada pelaburan.

Jelaslah transaksi ini bukan perjudian kerana ia tidak termasuk dalam kategori al-maisir atau al-qimar seperti yang dibincangkan di atas kerana al-Afwar adalah transaksi yang tidak bertentangan dengan kaedah syarak dan ia melibatkan cabutan bertuah yang mana hadiahnya disediakan oleh pihak bank tanpa mengambil simpanan pendeposit atau pelaburan daripada pelabur.

Hasilnya, masyarakat awam dapat menjalankan transaksi al-Afwar dengan yakin dan menikmati hadiah wang cabutan bertuah dengan rasa selamat.