January 6th, 2016

Tadabbur hidupkan al-Quran dalam hati

PENGHAYATAN al-Quran penting dalam kehidupan terutama untuk benar-benar memahami apa yang ingin disampaikan Allah SWT kepada setiap insan.

Tip penghayatan al-Quran menerusi kaedah 'tadabbur' dikongsikan Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman menerusi program Ibrah, Isnin lalu, jam 5.15 petang di IKIMfm.

Beliau berkongsi tip tadabbur menerusi kisah malaikat Harut dan Marut yang diperincikan oleh Allah SWT dalam al-Quran.

Lapan senarai semak tadabbur perlu dalam proses pembacaan supaya kita dapat memahami serta menghayati isi kandungan al-Quran yang dibaca.

Akhirnya, dengan tadabbur kita dapat menghidupkan al-Quran dalam hati dan kehidupan kerana taddabur itu merujuk kepada membaca al-Quran secara tartil dengan jelas sebutan hurufnya serta menjaga tajwid setiap kali membacanya.


JADIKAN amalan membaca al-Quran sejak kanak-kanak supaya melekat dalam jiwa. - Foto Ghazali Kori


Selain itu, mengambil tahu terjemahan ayat yang dibaca, mendapatkan maksud sebenar melalui asbab nuzul atau kisah ayat itu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Cara itu juga membolehkan kita memahami yang benar dan sahih, menghafal serta mengingat semula ayat yang dibaca.

Selepas selesai menghayati dan memahami al-Quran menerusi kaedah tadabbur, Muhammad Syaari menjelaskan bagaimana kita boleh memahami serta menghayati kisah malaikat Harut dan Marut yang Allah SWT sampaikan menerusi firman-Nya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran sihir yang dibacakan oleh puak syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka menasihatinya dengan berkata: Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya). Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (iaitu membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah SWT. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka (kaum Yahudi itu) telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 102)

Hasutan Yahudi Ayat itu mengisahkan bagaimana orang Yahudi dalam kalangan ahli kitab yang menafikan rasul dan mengikut apa yang diajarkan oleh syaitan ketika pemerintahan Nabi Sulaiman dengan mengamalkan sihir. Mereka menyeru manusia mengikuti ajaran mereka menggunakan sihir dan menyatakan ia ajaran Nabi Sulaiman.

Ayat itu juga menceritakan suatu lokasi, Babil atau dikenali sebagai Babylon yang hebat dengan empayar kekuasaannya dan terbukti yang menjadikan mereka hebat adalah bantuan syaitan apabila menggunakan sihir dalam kehidupan mereka.

Kita diingatkan supaya jangan sesekali memfitnah dan mendakwa malaikat dengan dakwaan yang tidak benar kerana malaikat adalah perantaraan daripada Allah SWT untuk memberikan pengajaran tertentu kepada sesuatu kaum.

Kaum Babil memfitnah malaikat Harut dan Marut dengan menyatakan mereka hadir ke bumi melakukan kerosakan mengikut hawa nafsu serta melakukan perkara tidak baik terhadap wanita yang akhirnya dihukum sehingga ke hari kiamat.

Sedangkan, kedatangan malaikat ketika itu untuk menyatakan kepada kaum Babil perbezaan antara mukjizat nabi dan sihir yang mereka lakukan. Malaikat telah membuktikan kepada kaum Babil amalan yang didakwa daripada Nabi Sulaiman adalah sihir daripada syaitan, bukan ajaran Nabi Sulaiman.

Malaikat Harut dan Marut juga hadir menjelaskan kepada masyarakat Babil bahawa ajaran agama Islam tidak memerlukan sihir untuk mengajak orang ramai memeluk Islam seperti diamalkan mereka dalam menyeru masyarakat kepada agama.

Sihir pecah belah suami isteri

Malaikat menunjukkan sihir kepada mereka secara terperinci dan menjelaskan amalan itu ternyata dusta sama sekali. Malangnya, penduduk Babil tidak dapat melihat sihir yang ditunjukkan malaikat Harut dan Marut sebagai batil, bahkan menggunakan sihir itu untuk memisahkan antara suami dan isteri dan meruntuhkan rumah tangga.

Allah SWT menerangkan mudarat sihir tidak akan boleh terjadi hanya dengan kuasa Allah SWT yang mentakdirkan seseorang terkena mudarat asbab kerana sihir, hakikatnya Allah SWT yang menimpakan mudarat itu kepada mereka.

Ayat diturunkan di Madinah itu juga menceritakan kepada Rasulullah SAW asas membentuk rumah tangga yang membentuk sebuah negara Madinah yang hebat.

Asas rumah tangga yang hebat terbentuk tanpa ada hasad dengki dan saling buruk sangka dalam hubungan suami isteri. Ia tidak seperti yang ditunjukkan oleh masyarakat Babil yang meruntuhkan rumah tangga.

Di dalam kehidupan, sesiapa yang belajar untuk tujuan jahat, dia tidak akan selamat di akhirat.

Prinsip perundangan Islam rentas budaya, agama

TRANSFORMASI perundangan adalah suatu dasar penting dalam pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Sepanjang dasar transformasi ini dilakukan, beberapa perubahan besar dilakukan ke atas perundangan negara.

Walaupun begitu, dasar atau agenda transformasi perundangan ini perlu diperkemas.

Disebabkan keadaan semasa, dari segi perkembangan teknologi, maklumat dan komplikasi masyarakat dalam pelbagai aspek, agenda transformasi undang-undang ini perlu diperkasa.

Proses penambahbaikan undang-undang ini adalah proses yang berterusan dan berpanjangan. Kita tidak akan menemui suatu titik kesudahan dalam penambahbaikan.

Hakikatnya, kita tidak akan dapat berhenti dan menyatakan bahawa tiada lagi ruang penambahbaikan yang diperlukan.

Prinsip keadilan semula jadi

Dalam melakukan proses transformasi atau penambahbaikan kepada perundangan negara, kita perlu ambil kira beberapa prinsip, terutama prinsip keadilan semula jadi.

Prinsip keadilan semula jadi ini agak subjektif. Ia bergantung kepada 'equity, fairness and reason' atau prinsip keadilan, kesaksamaan dan keseimbangan.

Prinsip ini tidak lari daripada prinsip ketakwaan dalam Islam. Oleh itu, dalam membuat transformasi kepada perundangan negara, prinsip keadilan, kesaksamaan dan keseimbangan dalam perundangan Islam perlu juga dijadikan rujukan utama.

Mengapakah prinsip perundangan mesti dijadikan rujukan utama dalam dasar transformasi perundangan? Saya cadangkan beberapa sebab.

Antara lain, prinsip undang-undang syariah tidak asing di Malaysia. Ia disebut dalam Perlembagaan.

Dengan adanya peruntukan yang meletakkan Islam sebagai agama negara, serta membenarkan pemakaian undang-undang diri dan undang-undang keluarga bagi orang Islam.

Perlembagaan membenarkan penubuhan institusi perundangan Islam dan menjadikan tanggungjawab Ketua Utama Negara, iaitu Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara agama Islam.

Prinsip perundangan Islam, jika disampaikan dan diterima secara keseluruhannya, mengandungi prinsip universal yang boleh diterima merentas budaya dan agama.

Ia universal kerana objektif prinsip perundangan Islam ialah untuk menjaga semua aspek kehidupan individu dan juga masyarakat serta negara.

Ia bertujuan menjaga kepentingan diri, termasuk maruah diri manusia, hak kepada kehidupan dan harta serta menjaga kepentingan agama dan cara hidup.

Untuk kesan yang lebih efektif, Islam meletakkan keseimbangan kepada hak dan tanggungjawab individu, serta hak dan tanggungjawab negara dalam menjaga kepentingan diri, masyarakat dan negara keseluruhannya.

Dari segi sejarah pula, prinsip perundangan Islam sudah sekian lama bertapak di negara ini. Kewujudannya juga tidak boleh dipertikaikan lagi.

Prinsip Islam diiktiraf tidak hanya dalam ruang undang-undang, bahkan juga ia ketara pada budaya dan masyarakat Malaysia.

Dengan kata lain prinsip undang-undang Islam adalah sesuatu yang sudah serasi dan sinonim dalam aspek bernegara di Malaysia sama ada dalam konteks undang-undang atau sosiologi.

Sementara itu, sifat undang-undang Islam itu sendiri yang menggalakkan kepelbagaian tafsiran kepada perkara yang tidak diputuskan secara muktamad secara maksudnya atau harfiahnya.

Sifat perundangan Islam itu sendiri boleh memberi beberapa pilihan dengan mengambil pendekatan kepelbagaian; menerima pandangan atau ijtihad yang lebih baik dan bersesuaian dengan masa dan massa, keadaan setempat dan keadaan sekitar.

Prinsip Islam yang dirujuk dalam perundangan ini bukan semata-mata bersifat atau berkaitan dengan 'aqidah tauhid' atau 'belief and faith' agama Islam.

Transformasi perundangan

Prinsip Islam yang diterima pakai ialah sifat undang-undang Islam yang universal, contemporary and realistic; sejagat, mendepani masa dan menerima realiti.

Tiga sifat undang-undang Islam ini sering kali tidak diberikan kefahaman yang jelas. Ketiga-tiga sifat perundangan inilah yang menjadikan Islam sebagai sistem perundangan yang progresif dan proaktif - bukan hanya rigid dengan pandangan atau ijtihad terdahulu semata-mata.

Transformasi perundangan di Malaysia perlu memberikan perhatian sewajarnya kepada tiga sifat perundangan Islam ini. Jika perhatian kepada tiga sifat undang-undang Islam ini dibuat sesempurna mungkin, ia akan menjadikan undang-undang Malaysia bersifat adil secara universal, bukan hanya kerana label Islam tetapi kerana label keadilan.

Bahkan ia dapat memberi lebih keadilan berbanding prinsip perundangan yang dianggap universal ketika ini.

Seterusnya, ia akan menghasilkan undang-undang yang lengkap, sempurna serta holistik dan dapat menyelesaikan masalah perundangan negara.

Hasilnya, masyarakat Malaysia tidak akan berasa takut, bimbang atau was-was dengan prinsip perundangan Islam.


Dr Shamrahayu A Aziz   Berita Harian Kolumnis 6 Januari 2016 @ 6.00AM