January 8th, 2016

Khutbah Jumaat ~ Vape; Alat Yang Membinasakan”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 08 Januari 2016: JAIS

“Vape; Alat Yang Membinasakan”


Vape adalah sejenis alat yang dihisap dan akan mengeluarkan wap daripada cecair nikotin yang disimpan didalamnya. Terdapat empat komponen utama dalam vape iaitu pertama; tank atau tanki iaiatu tempat penyimpanan cecair (liquid) yang akan menghasilkan wap apabila disedut dan dihembus. Kedua; atomizer berfungsi seperti “dapur” yang akan memanaskan e-liquid sehingga ia menghasilkan wap. Ketiga; liquid atau cecair yang akan menghasilkan wap yang disedut dan dihembus oleh penghisap vape iaitu vapour dan keempat; mod yang merupakan tempat simpanan bateri dan sumber tenaga vape.

Sebelum kemunculan vape, rokok merupakan pilihan utama pelbagai lapisan masyarakat sehingga ke hari ini. Kemudian muncul pula Shisha, sejenis alat yang digunakan untuk mengeluarkan asap menggunakan penuras air dan haba secara tidak langsung.

Rokok dan Shisha telah difatwakan haram oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan kebanyakan negeri di Malaysia.

Setiap hari ramai pesakit ke hospital untuk mendapatkan rawatan bagi 3 jenis penyakit utama yang berpunca daripada tabiat merokok iaitu jantung, kanser paru-paru dan paru-paru kronik. Pada tahgun 2010 sahaja kos rawatan bagi menangani penyakit-penyakit tersebut sebanyak RM2.9 bilion, berbanding hasil cukai rokok sebanyak RM2 bilion sahaja.

Menurut Pakar Perubatan dan Pernafasan di Pusat Perubatan Prince Court, dakwaan yang mengatakan asap yang terhasil dari rokok elektronik adalah cecair biasa dan bukannya nikotin adalah salah sama sekali. Hakikatnya, rokok elektronik mempunyai nikotin yang boleh meningkatkan kadar denyutan nadi dan pengaliran hormone ‘adrenalin’ serta melembapkan system urat saraf. Selain itu, nikotin juga mengakibatkan denyutan nadi yang luar biasa, penyempitan sauran nadi, peningkatan tekanan darah, serangan jantung, angin ahmar, ulser perut dan usus serta mati pucuk.

Pendedahan terbaru di beberapa buah akhbar tempatan susulan penemuan bahan kimia dalam cecair perisa dikenali sebagai Diacetyl yang boleh menyebabkan pengguna vape mengalami masalah pernafasan yang serius dan penyakit “Popcorn Lung” atau “paru-paru Bertih Jagung”. Melalui kajian, Diacetyl didapati lebih 75% dalam e-rokok berperisa yang kerap digunakan golongan muda. Ternyata ia perisa yang membinasa.

Vape tidak sekali-kali membantu perokok tegar untuk berhenti merokok, bahkan dibimbangi penggunaannya akan menimbulkan masalah yang lebih serius seperti penagihan dadah. Disebabkan warna dan kepelbagaian rasa yang ditawarkan, vape juga boleh membuka ruang serta menarik golongan bukan perokok khususnya anak-anak untuk mencubanya.

Justeru ingatlah bahawa Allah telah memberikan amaran dalam alQuran sepertimana firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 195:  “… dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaikbaiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”.

Hadis daripada Amru Bin Yahya RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak boleh memudaratkan (diri sendiri) dan memberi kemudaratan (kepada orang lain). (Riwayat Imam Ahmad).

Mengakhiri khutbah ini, mimbar Jumaat ingin menyeru dan merayu bahawa;

1. Marilah kita menjaga dan memelihara diri daripada kebinasaan dan kehancuran yang dipengaruhi oleh nafsu yang pada zahirnya mempamerkan gaya hidup moden, padahal ia didorongi oleh bisikan syaitan yang menyesatkan sehingga dilalaikan hati kita daripada mengingati Allah.

2. Ibubapa hendaklah melarang anak-anak supaya tidak mengambil vape, rokok, dadah dan lain-lain yang seumpamanya kerana kemudaratannya mendatangkan penyakit yang lebih buruk.

3. Pengusaha vape hendaklah meninggalkan perniagaan tersebut walaupun ianya mendatangkan keuntungan yang lumayan.

4. Pihak berkuasa hendaklah bertegas dengan tidak memberikan lessen perniagaan dan mencegah serta mengharamkan sepenuhnya penggunaan vape walaupun ianya memberikan keuntungan kepada sesetengah pihak.


Mudah-mudahan Allah SWT sentiasa memberi perlindungan dan penjagaan dengan limpah rahmatnya serta berkat syafaat Nabi Muhammad SAW.  “Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan”. (Surah al-Baqarah : 86).

Wallahualam.

Khutbah Jumaat: Islam Tunjang Perpaduan

Sedutan Petikan Teks Khutbah Jumaat 8 Januari 2016M/ 27 Rabiulawwal 1437H JAWI

Islam Tunjang Perpaduan


Keamanan dan kesejahteraan adalah dua perkara yang cukup bermakna dan tidak mampu dinilai dengan wang ringgit.

Sesungguhnya Islam bukanlah Agama yang berteraskan keganasan dan Islam adalah agama yang membawa rahmat ke seluruh alam. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam Surah Al-Anbiyaa’ ayat 107 : Bermaksud : “dan tiadalah Kami mengutuskan Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.

Sebelum kedatangan Islam, dunia berada dalam kegelapan. Penyembahan berhala, sifat-sifat kebinatangan, penindasan terhadap golongan yang lemah dan wanita dijadikan tempat melepaskan nafsu, menjadi amalan hidup mereka. Bangsa Arab jugaberpecah belah. Perpecahan dan permusuhan di antara mereka berlarutan hingga ratusan tahun.
Setelah kehadiran rahmat Islam di bawah kepimpinan Nabi Muhammad SAW, bangsa Arab akhirnya telah disatukan.

Kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dalam Perlembagaan mula dipertikaikan secara terang-terangan tanpa merasa bersalah.

Hak kebebasan bersuara yang
kononnya menjadi asas kebenaran tindakan tersebut digunakan hanya untuk kepentingan peribadi, bukan lagi berteraskan roh perundangan yang sebenar.

Ingatlah akan pesanan Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 10 :Bermaksud : “Sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”.

Sifat sombong dan bangga diri sering menjadi penghalang utama bagi seseorang untuk menerima pendapat atau buah fikiran orang lain.

Sikap ini akan mendorong berlakunya keretakan dan perpecahan baik di peringkat rumah tangga, keluarga, masyarakat dan negara.

Sikap ini juga sering
membawa individu atau kumpulan melakukan keganasan dan kekerasan kepada orang lain.
Perpecahan dan permusuhan merupakan perbuatan atau gejala masyarakat yang sangat dibenci oleh Islam.

Perpecahan juga dikutuk kerana ia boleh melemahkan umat Islam dalam pelbagai keadaan serta menjadikan mereka lemah dan tidak mampu menghadapi cabaran yang semakin meruncing.

Perpecahan juga akan menyebabkan hilangnya rahmat dan nikmat dari Allah.

Perpecahan juga boleh menyebabkan umat Islam hilang kehebatan di mata musuh iaitu tidak lagi menggerunkan mereka.

Penyebaran akidah yang salah di kalangan umat Islam juga merupakan salah satu faktor yang boleh memecahbelahkan perpaduan kita.

Marilah kita kembali menghayati peringatan Allah SWT dalam surah Al-Anfal ayat 1: Bermaksud: “ Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang. katakanlah: "Harta rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan bagi
RasulNya (untuk menentukan pembahagiannya). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta Taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang Yang beriman".

Mengakhiri khutbah, marilah kita menghayati kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah pada hari yang mulia ini:

Pertama : Islam adalah Agama yang membawa rahmat ke seluruh alam tanpa mengira agama, bangsa, darjat mahupun keturunan;

Kedua : Perpecahan di kalangan umat Islam hanya memberi keuntungan dan peluang kepada musuh-musuh Islam untuk melemahkan umat Islam;

Ketiga : Ayuh kita bangkit semula untuk membina kembali kekuatan umat Islam melalui semangat perpaduan dan penyatuan yang merupakan nadi kegemilangan Islam dari dulu hingga kini dengan berpegang teguh pada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Firman Allah SWT dalam Surah Asy-Syuraa ayat 13 : Bermaksud : “Allah telah menerangkan kepada kamu di antara perkara-perkara agama Yang ia tetapkan hukumNya apa Yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh, dan Yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad), dan juga Yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: "Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya". berat bagi orang-orang musyrik (untuk menerima agama tauhid) Yang Engkau seru mereka kepadaNya. Allah memilih serta melorongkan sesiapa Yang dikehendakiNya untuk menerima agama Tauhid itu, dan memberi hidayah petunjuk kepada agamanya itu sesiapa Yang rujuk kembali kepadanya (dengan taat)”.

Wallahualam.

Tabah hadapi ujian tanda takwa

DUNIA ini umpama dewan peperiksaan yang ada pelbagai kertas ujian. Kehidupan ini tidak akan lari daripada ujian dan dugaan. Apapun, bagi manusia yang ada iman dalam dirinya, mereka menerima ujian kehidupan sebagai sebahagian dari resam hidup yang perlu dilalui dengan hati tabah.

Melalui rancangan Islam Itu Indah yang disiarkan di radio IKIMfm pada 10.15 pagi setiap Rabu, ustaz Pahrol Mohd Juoi menekankan bahawa dalam menempuh pelbagai ujian hidup, sebagai seorang manusia yang waras dan matang, mohonlah kepada Allah SWT dengan doa yang ikhlas agar diberi ketabahan dalam melalui ujian.

Liku hidup ini bukan soal senang dan susah semata-mata, tetapi bagaimana Allah membantu meringankan kesusahan seseorang Mukmin itu dalam setiap kali ia berdepan dengan kesukaran ujian-Nya.

Bagaimana sukar atau berat sekalipun sesuatu ujian itu, jika Allah berikan kemudahan, pastinya ujian yang berat itu akan menjadi mudah, namun sebagai manusia yang beriman kepada Allah SWT, sentiasalah bermohon untuk diberi ketabahan dalam menempuh ujian hidup.



MUKMIN perlu bersabar hadapi musibah. - Foto Omar Osman




Berdoa mohon bantuan

Bagi seseorang Mukmin, tidak salah untuk bermohon hidup yang mudah, namun jauh lebih penting dari itu mohonlah untuk mendapat hati yang tabah.

Hakikatnya, Allah tidak mengurniakan sesuatu ujian itu tanpa tersirat hikmah kebaikan di sebaliknya.

Justeru, setiap ujian yang datang dari Allah SWT, kepada-Nya juga ujian itu dikembalikan dengan cara berdoa memohon bantuan dari-Nya.

Hidup yang mendapat pertolongan dari Allah akan menjadi mudah untuk diharungi walau apapun bentuk kesulitan dalam kehidupan itu.

Oleh itu, sebagai seorang Mukmin yang beriman kepada-Nya hendaklah sentiasa sabar dan syukur dalam menempuh setiap ujian dari Allah. Sabar dan syukur adalah dua perkara yang sangat perlu dan baik bagi seseorang Mukmin tatkala berdepan dengan dugaan Allah.

Barangkali bagi seseorang Mukmin yang diuji dengan kemiskinan, tetapi sentiasa sabar dan syukur, Allah membantu mereka dengan kekayaan hati yang bahagia, kekayaan dalam ketenangan, kehidupan yang lapang dan hidup yang mudah dalam apa sahaja dilalui walaupun dari segi material dilihat serba kekurangan.

Bahkan, mereka yang kaya-raya, senang-lenang dan berharta sekalipun, namun jika tidak mendapat pertolongan daripada Allah, kekayaan itu tidak memberi erti sebenar sebuah kehidupan.

Apalah ertinya sebuah hidup yang mewah, tetapi hidup tidak bahagia, berselisih faham sesama ahli keluarga, tidak lapang, tidak tenang, murung dan sebagainya.

Menyedarkan manusia

Menurut Ustaz Pahrol, apabila menerima ujian dari Allah, seseorang Mukmin hendaklah kembali bermuhasabah diri kerana ujian itu adalah teguran Allah SWT kepada seseorang hamba.

Seperti kata cerdik pandai, teguran itu umpama batu-batu kecil yang dilemparkan agar manusia itu kembali kepada Tuhannya, dan jika manusia tetap tidak mengingati Tuhannya dibimbangi akan dibaling dengan batu-batu yang lebih besar.

Setiap kali ujian diberikan, manusia akan kembali kepada Allah dan ini tentunya akan memberi kelapangan kepada hati-hati manusia yang gelisah dengan dugaan-Nya.

Bagi seseorang Mukmin yang terus-terusan menerima ujian Allah, setiap doa dalam kehidupan tidak dimakbulkan atau dengan kata lain tidak mendapat bantuan Allah SWT dalam kehidupannya, itu bukan bererti Allah tidak menyayangi setiap hamba-Nya.

Mukmin itu harus bermuhasabah diri terhadap lima perkara mengenai kehidupannya iaitu sejauh mana keikhlasan seseorang Mukmin itu akan setiap amalan yang dilakukan.

Kedua, berkaitan ibadah yang dilaksanakan apakah ia benar-benar telah melaksanakan setiap perintah Allah SWT.

Ketiga, kegigihan seseorang Mukmin dalam melaksanakan syariat Allah SWT iaitu melaksanakan yang halal dan meninggalkan segala yang haram.

Keempat, usaha dan ikhtiar yang dilakukan dan yang kelima solat taubat yang didirikan benar-benar atas rasa insaf dan takut akan pembalasan Allah SWT.

Amalan tidak berpaksi keikhlasan Barangkali banyak amalan yang telah dilakukan oleh seseorang Mukmin, tetapi ia tidak berpaksikan kepada keikhlasan kerana Allah, sebaliknya dilakukan kerana mengharapkan penghargaan daripada manusia, membuatkan manusia akan berasa kecewa dan terluka.

Justeru, inilah perkara yang tidak memberi ketenangan kepada hati manusia.

Oleh itu, manusia yang mahu tenang dan lapang, mahu dipandang oleh Allah dalam setiap permintaan dan pengharapan, hendaklah segala permohonan itu digantung hanya kepada bantuan Allah semata-mata.

Setiap perbuatan dan amalan dilaksanakan hanya terikat dengan Allah semata-mata.

Jika tidak berjaya atau doa tidak termakbul sekalipun, mereka tidak dibelenggu dengan rasa kecewa kerana percaya hidup ini adalah kemahuan dari Allah SWT.

Dia yang lebih tahu apa yang terbaik buat hamba-Nya. Seseorang Mukmin juga harus faham bahawa kebaikan itu bukan satu jasa, tetapi kebaikan itu adalah satu tanggungjawab.

Sebagai manusia yang lemah, kita tidak dapat mengawal semua yang ada dalam alam ini. Ujian dan dugaan adalah sebahagian kehidupan yang perlu dilalui.

Sebagai seorang manusia yang dikurniakan akal, carilah ilmu untuk membina hati yang diperkukuhkan dengan iman dan taqwa kepada Allah, kerana inilah ramuan yang akan menjadikan manusia tetap lapang dan tenang walau apapun cabaran yang mendatangi dirinya.

Perbalahan mazhab cetus kebimbangan dunia Islam

SEBELUM ini banyak diperkatakan bahawa politik Asia Barat banyak dicorakkan melalui pertembungan dua kuasa serantau, iaitu Arab Saudi yang berfahaman Sunni dan Iran yang berfahaman Syiah.

Ramai tahu konflik sebelum ini sedikit sebanyak didalangi oleh dua kuasa hegemoni serantau ini bagi mendominasi Asia Barat.

Namun, hubungan kedua-dua negara berjalan seperti biasa sehinggalah baru-baru ini apabila Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatiknya dengan Iran.

Tindakan itu adalah reaksi kepada bantahan umum di Iran, termasuk pembakaran dilakukan ke atas kedutaan Arab Saudi di Tehran, Sabtu lalu dan beberapa negara seperti Bahrain dan Iraq terhadap tindakan Arab Saudi menjatuhkan hukuman bunuh ke atas 47 orang, termasuk Sheikh Nimr al-Nimr, ulama Syiah yang dituduh terbabit dengan aktiviti keganasan.

Disusuli reaksi Arab Saudi, Menteri Luarnya, Adel al-Jubeir, bahawa Riyadh terpaksa memanggil pulang dutanya dari Tehran dan menghentikan hubungan diplomatik. Malah, Arab Saudi memutuskan jaringan trafik udara, termasuk penerbangan komersial di antara Arab Saudi dan Iran.

Pengharaman juga dikuatkuasakan ke atas sebarang perjalanan dan lawatan dari Arab Saudi ke Iran.

Namun, Arab Saudi masih membenarkan warga Iran mengerjakan haji. Keadaan persengketaan Arab Saudi dan Iran ini menjadi lebih buruk apabila Sudan, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga menghentikan hubungan diplomatik dengan Iran.

Kemungkinan banyak negara lain lagi akan menyertai Arab Saudi memulau Iran.

Al-Jubeir juga menyebut seperti dinyatakan agensi berita RT bahawa tindakan Arab Saudi ini adalah tindakan reaktif terhadap usaha Iran sebelum ini, termasuk memasuki Lubnan membantu perjuangan kumpulan Hizbullah serta menghantar tentera al-Quds dan tentera revolusi ke Syria untuk membantu rejim Bashar al-Assad.

Beliau menuntut Iran berkelakuan sebagai negara biasa sebelum sebarang perbincangan boleh dilakukan bagi memulihkan semula hubungan diplomatik.

Persaingan dua kuasa besar

Yang jelas, apa yang berlaku membabitkan persaingan hegemoni secara terbuka antara dua kuasa serantau.

Sebenarnya punca utama pertelingkahan ini menjadi terbuka ialah faktor berjayanya proses rundingan nuklear Iran dengan Barat khususnya Amerika Syarikat (AS).

Tahun 2016 ini akan menyaksikan proses normalisasi hubungan akan berlaku di antara Iran dan Barat serta sekatan ekonomi Iran akan dilonggarkan.

Iran dikatakan dibenarkan menjual 500,000 tong minyak mentah sehari yang dilihat berkemungkinan boleh menyebabkan harga pasaran minyak dunia terus jatuh.

Arab Saudi mendesak supaya AS terus melakukan sekatan ekonomi ke atas Iran bagi membendung pengaruh politik Tehran.

Russia pula secara terbuka menyebelahi Iran dan menyokong kerajaan Assad di dalam konflik di Syria. Arab Saudi juga masih gagal menangani sepenuhnya pemberontakan Houthi yang mendapat sokongan Iran di Yaman dan menjatuhkan rejim Assad.

Gerakan IS juga semakin menular dan di luar kawalan pihak Arab Saudi. Kegagalan Arab Saudi menghalang pengaruh Iran memasuki Iraq dan mempengaruhi kerajaan Syiah Iraq adalah kegagalan paling utama Riyadh yang sering mengikut telunjuk Barat khususnya AS yang kini dilihat semakin cenderung berbaik-baik dengan Iran.

Tindakan memulau

Iran Semua faktor tadi menyebabkan Arab Saudi dan negara Arab Sunni lain bertindak memulaukan Iran dan pihak yang bersekutu dengannya. Ini bertujuan untuk mendapatkan semula reaksi Barat untuk terus bersama kuasa hegemoni Arab Saudi dan menangani kekuatan Iran.

Tidak dapat dipastikan sejauh mana strategi ini akan berkesan membatasi pengaruh Iran di Asia Barat kerana Barat harus melindungi kerajaan Iraq khususnya walaupun mengetahui Baghdad kini banyak dipengaruhi Tehran.

Malah, tumpuan Barat kini lebih kepada usaha menangani ancaman IS dan melindungi Israel.

Yang dibimbangi ialah konflik dan perbalahan mazhab di Asia Barat akan meluas membabitkan pertumpahan darah sesama Islam. Ini menyebabkan krisis pelarian Asia Barat menjadi semakin teruk.

Lagi menyedihkan, Israel sebagai musuh Islam di Asia Barat terus selesa menjalankan dasar perluasan wilayah mereka dan menindas warga Palestin yang tidak dibela.

Tiada kaitan dengan Malaysia

Yang nyata, apa yang berlaku ini adalah konflik Asia Barat yang tiada kaitan dengan Malaysia.

Oleh itu, kita tidak terbabit secara langsung dengan konflik ini yang dilihat boleh memecahbelahkan dan melemahkan umat Islam keseluruhannya.

Malaysia seharusnya tidak menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak. Malaysia terkenal sebagai orang tengah yang dapat membantu menyelesaikan konflik di Selatan Filipina dan Aceh.

Mungkin Malaysia sebagai negara yang dihormati oleh Arab Saudi dan Iran dapat membantu menyelesaikan kemelut ini.

Pastinya, Malaysia harus terus menjalankan aktiviti kemanusiaannya untuk membantu warga Palestin, Syria dan Yaman yang menjadi mangsa peperangan.


Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani Berita HArian Kolumnis KHAMIS, 7 JANUARI 2016 @ 6:12 AM

Ancaman terhadap mereka yang menyakiti Muslim

SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang menjadikan kita umat bersaudara saling mengasihi antara satu sama lain. Kita dilarang menyakiti sesama saudara Muslim.

Firman ALLAH: "Dan orang yang mengganggu dan menyakiti orang-orang lelaki dan perempuan yang beriman dengan sesuatu yang mereka tidak lakukan, sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa nyata." (Surah Al-Ahzaab: 58)

Dalam ayat di atas terdapat larangan mengganggu orang Islam dan ancaman terhadap orang yang melakukannya. Kehormatan orang Islam bernilai tinggi di sisi ALLAH. Kerana itu mengganggu orang Islam dengan kata-kata atau perbuatan seperti melemparkan tuduhan palsu terhadap mereka atau apa jua bentuk gangguan yang lain adalah suatu dosa besar.

SIKAP MUSUH ISLAM

Adalah menjadi sikap orang kafir, munafik dan orang fasik untuk mengganggu orang Islam sepanjang zaman tak kira di mana jua. Memandangkan mereka memusuhi orang Islam. Pelbagai bentuk gangguan dan muslihat yang mereka lakukan terhadap orang yang beriman.

Tetapi ALLAH SWT memberi jaminan untuk melindungi orang yang beriman dan membalas perbuatan orang yang mengganggu mereka.

Dalam sebuah hadis Qudsi, ALLAH berkata:

"Barang siapa mengganggu wali-Ku, aku izinkan peperangan terhadap mereka." (Riwayat Bukhari)

Sabda Nabi SAW: "Seorang Muslim adalah saudara Muslim yang lain. Dia tidak menzaliminya, menyerahkannya (kepada musuh), memperlekehkannya, mahupun menghampakannya. Cukuplah kejahatan seseorang itu untuk menghina saudara Muslimnya. Setiap seorang

Muslim dengan Muslim yang lain adalah haram; darahnya, hartanya dan maruahnya." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Demikian ALLAH melarang perbuatan mengganggu orang-orang Islam dan menyakiti mereka sama ada di jalan raya, di rumah, dalam muamalah dan sebagainya.

AKHLAK DI JALAN RAYA

Atas dasar ini, syarak menganjurkan supaya kotoran di atas jalan raya diangkat dan dibuang supaya tidak mengganggu orang Islam yang melintasinya.

Sabda Nabi SAW: "Iman itu adalah 70 lebih atau 60 lebih cabang; afdalnya adalah ucapan La ilaha illa ALLAH dan yang paling rendah adalah mengangkat kotoran di atas jalan; dan sifat malu adalah sebahagian daripada iman." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Sabda Nabi SAW lagi: "Aku melihat seorang lelaki bersiar-siar di syurga kerana dia memotong sedahan pokok yang mengganggu lalu lintas orang-orang Islam." (Riwayat Muslim)

Sabda Baginda SAW lagi: "Barang siapa melewati masjid-masjid atau pasar-pasar kami dengan membawa anak panah, maka hendaklah dia memegang kepala anak panahnya dengan kedua tangannya supaya jangan sampai mencederakan sesiapa dalam kalangan orang Islam." (Riwayat Bukhari & Muslim)
Jalan raya adalah laluan yang dikongsi secara bersama, hindari kesesakan dan jangan dihalang lalu-lintas. Sebarang kotoran yang boleh mengganggu pengguna jalan raya hendaklah dibuang.

Dukacitanya kita lihat pada hari ini, jalan raya menjadi tempat orang membuang sampah merata-rata. Masing-masing membuang sampah tanpa menghiraukan orang lain. Tisu, plastik bungkusan, tin dan kotak minuman, kertas dan sampah sering menjadi sajian mata yang memandang keadaan jalan raya kita. Ada kalanya longgokan sampah lebihan makanan dengan baunya yang busuk dilihat dibuang tak mengira tempat.

Lumrah kita melihat puntung-puntung rokok yang bertebaran, khususnya di lampu-lampu isyarat oleh pengguna-pengguna jalan raya ketika menanti lampu isyarat bertukar hijau. Jalan raya menjadi satu-satunya tempat pembuangan sampah besar dan luas buat sebahagian orang.

Mereka menyangka perbuatan mereka ini kecil dan tidak mengapa. Mereka lupa hak-hak pengguna jalan raya yang lain bahawa perbuatan mereka ini menyakiti saudara Islam mereka. Sedangkan doa orang yang dizalimi adalah mustajab di sisi ALLAH.

Demikian juga perbuatan segelintir pengguna jalan raya yang meletakkan kenderaan mereka tak mengira tempat sehingga menghalang laluan kenderaan yang lain. Pengguna motosikal pula lebih-lebih lagi golongan remaja, sebahagian mereka sengaja membuat bising dengan ekzos motosikal di kawasan-kawasan perumahan pada waktu malam tatkala penduduk sedang nyenyak tidur. Perbuatan sebegini adalah perbuatan orang jahil yang pentingkan diri sendiri dan tidak bertimbang rasa.

Sewajarnya tindakan patut dikenakan terhadap pengganggu-pengganggu ini supaya mereka sedar akan perbuatan buruk mereka. Mereka perlu tahu  saudara-saudara Islam mereka yang lain turut mempunyai hak seperti mereka dan masing-masing perlu saling hormat-menghormati.

MENIPU DALAM JUAL BELI

Termasuk dalam perbuatan mengganggu orang Islam adalah amalan menipu, tidak jujur dalam bermuamalah dan dalam urusan jual beli. Adalah menjadi hak atas saudara Muslim untuk bersikap jujur dan berterus terang serta mengasihinya sebagaimana seseorang itu mengasihi dirinya sendiri. Agama Islam itu berlepas diri daripada sebarang perbuatan menipu dan khianat.

Sabda Nabi SAW: "Barang siapa menipu kami, dia bukan sebahagian kami." (Riwayat Muslim)

Malangnya, pada hari ini sebahagian peniaga menganggap menipu adalah cara untuk meraih keuntungan yang cepat dan perbuatan tersebut tidak mengapa. Sebahagian mereka ada yang berasakan tindakan menipu adalah satu kepakaran yang perlu dipelajari dan seorang yang tidak pandai menipu tidak akan berjaya dalam perniagaannya.

Golongan ini telah menjadikan jual beli sebagai satu cara untuk mencuri dan merompak harta wang ringgit orang lain. Daripada mereka merompak secara paksa dan terang-terangan, mereka merompak secara muslihat atas nama jual beli. Barangan rosak dijual sebagai barangan yang elok, yang murah dijual dengan harga mahal dan yang tidak berkualiti dijual dengan harga tinggi.

Penjual ini tanpa segan silu mendakwa barangannya asli dan berkualiti. Segala helah dalam bentuk dokumentasi dan testimoni palsu digunakan sebagai pelaris barangan. Ditambah pula dengan janji-janji manis dan kata-kata penguat bagi meyakinkan pembeli.

Demikianlah sikap buruk sebahagian masyarakat yang perlu ditegur dan diperbetulkan. Firman ALLAH: "Dan sesiapa yang menghormati hukum-hakam ALLAH maka yang demikian adalah baik baginya di sisi Tuhannya." (Surah Al-Hajj: 30)

Bertadabur Quran, alasan kukuh seluruh Umat Islam bersatu

JIKA kita hanya memerlukan satu sebab untuk seluruh umat Islam Malaysia bersatu, sebab itu adalah al-Quran. ALLAH SWT menjadikan hati kita sebagai tempat untuk cinta, akhlak dan budi pekerti.

Manakala al-Quran diturunkan ALLAH bagi menyuburkan hati tersebut dengan nilai-nilai kebaikan, kasih sayang bagi melahirkan tindakan sopan santun kebaikan dalam kalangan manusia. Al-Quran memberi petunjuk kepada sesiapa sahaja yang berinteraksi dengannya.

Negara dibentuk masyarakat sosial. Masyarakat dibentuk keluarga. Keluarga diikat dari ikatan individu-individu. Negara hanya mendapat rahmat apabila semua mengambil langkah pro aktif berinteraksi dengan al-Quran, bukan hanya pemimpin atasan, malah harus turun ke segenap golongan rakyat.

Kita harus menyedari al-Quran itu adalah kitab yang penuh berkat dan mengandungi mutiara-mutiara yang sangat bermanfaat bagi kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Tetapi untuk meraih mutiara dalam al-Quran itu hanya dapat dilakukan dengan cara bertadabur.

Kerana tadabur itulah cara berinteraksi dengan al-Quran yang diinginkan oleh al-Quran sebagaimana yang dinyatakan oleh ALLAH.

Orang yang ingin meraih mutiara al-Quran, tapi tidak mahu mentadaburi ayat-ayatnya maka dia seperti orang yang ingin mendapatkan mutiara dari dasar lautan, tetapi dia hanya berdiri di tepi pantai menikmati pasir putih, debur ombak, terbit dan tenggelamnya matahari.

Kalau itu yang dia lakukan tentu dia tidak akan pernah sampai mendapatkan mutiara yang tersimpan di dasar lautan.

Malaysia tidak akan hebat hanya dengan penganjuran majlis-majlis tilawah al-Quran. Masyarakat juga belum menjadi baik jika diukur pada banyaknya sekolah-sekolah tahfiz. ALLAH bukan mahu manusia leka menikmati kemerduan bacaan ayat-ayat al-Quran, tetapi mahu manusia aktif memahami dan mengkaji sehingga memperoleh isi kandungan yang paling berharga.

BACA AL-QURAN DENGAN AKAL YANG SIHAT

Secara bahasa, tadabur bererti melihat dan memperhatikan kesudahan segala urusan dan bagaimana akhirnya.

Ibnu Al-Qayyim menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan mentadabur suatu perkataan adalah melihat dan memperhatikan perkataan itu dari awal dan akhir perkataan kemudian mengulang-ulangi hal itu.

Adapun yang dimaksudkan dengan tadabur al-Quran adalah menggunakan ketajaman mata hati melalui proses perenungan mendalam secara berulang-ulang agar dapat menangkap pesan-pesan al-Quran yang terdalam dan mencapai tujuan maknanya yang terjauh.

Manfaat al-Quran tidak terserlah dengan bacaan sekali lalu sahaja.

Ibnu Al-Qayimm dalam kitabnya Al-Fawaid mengatakan: "Jika engkau ingin mengambil manfaat dari al-Quran maka pusatkanlah hatimu ketika membaca dan mendengarkannya, fokuskanlah pendengaranmu dan hadirlah seperti seseorang yang sedang diajak bicara oleh

ALLAH dengan al-Quran itu kerana ia adalah perkataan ALLAH kepadamu melalui lisan Rasul-Nya."

Tadabur al-Quran itu haruslah mengandung tujuan untuk mengambil manfaat dan mengikuti apa yang terkandung dalam al-Quran, kerana tujuan dari membaca dan mentadaburi ayat-ayat al-Quran itu adalah untuk mengamalkan dan berpegang pada isi kandungannya.

MANFAATKAN  AL-QURAN

Membaca dan bertadabur tidak boleh dipisahkan dalam interaksi orang beriman dengan al-Quran. Sama halnya jika negara ingin dibentuk dengan nilai-nilai keimanan kepada al-Quran, ia bermaksud bukan sahaja majlis tilawah perlu dibanyakkan, majlis-majlis penerangan al-Quran juga perlu digiatkan. Pakej bersama al-Quran itu perlu dilengkapkan dalam negara, bermula dengan berinteraksi secara membaca, menghafal dan mendengar. Kemudiannya interaksi secara pemahaman dan tadabur. Seterusnya berinteraksi dengan al-Quran dengan cara mengikuti, mengamalkan dan mengajarkan.

Apa sahaja yang kita bayangkan dengan hasil Malaysia bertadabur al-Quran, ia tetap bermula dengan langkah pertama dalam diri dan keluarga, kerana inilah entiti terpenting pembentukan sebuah negara.

Melalui bengkel Berinteraksi Dengan Al-Quran di Batu Pahat pada 16 dan 17 Januari dan di Shah Alam pada 30 dan 31 Januari ini, peserta akan dibimbing bagaimana kaedah bertadabur al-Quran dengan efektif. Kami menjemput setiap individu, keluarga dan organisasi yang sayangkan al-Quran dan menginginkan perubahan ke arah kebaikan untuk bersama dalam bengkel ini.

Ibu ayah, apa ditinggalkan buat anakmu?

"ADAKAH kamu hadir ketika Nabi Ya'kob sedang menghadapi kematian, ketika dia berkata kepada anak-anaknya: "Apakah yang akan kamu sembah selepas kematianku?".

Mereka menjawab: "Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail dan Ishaq (iaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya." ( Surah Al-Baqarah: 133)

Syed Qutb ketika mengulas ayat ini menyebutkan: "Sesungguhnya situasi antara Nabi Ya'kob dan anaknya ketika dia menghadapi detik kematian adalah situasi yang besar petunjuk dan mendalam kesannya. Kematian hampir mendatang. Apakah persoalan yang mengusik fikirannya pada saat menghadapi kematian? Apakah gerangan yang menyibukkan jiwanya sedangkan dia di ambang sakaratul maut? Apakah urusan besar yang mahu diselesaikannya sehingga mampu menjadikan dirinya tenang dan penuh kepercayaan?

Pusaka apakah yang ingin ditinggalkan kepada anak-anaknya dan ia dapat sampai kepada mereka dengan selamat. Boleh diserahkan kepada mereka pada saat maut menghampiri, untuk dicatat perinciannya?

Akidah... itulah pusaka yang ditinggalkan. Itulah simpanan yang mahu diberikan. Itulah persoalan besar yang difikirkannya. Itulah kesibukan yang menyibukkan hatinya. Itulah urusan besar yang tidak dapat dia abaikan meskipun sakaratul maut sedang menjemput.

"Apakah yang kalian akan sembah selepas peninggalanku?."

Inilah urusan yang kerananya aku kumpulkan kalian. Inilah persoalan yang aku ingin rasai ketenangan dengannya. Inilah amanah, modal dan warisan yang hendak aku sampaikan kepadamu.

Mereka menjawab: "Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail dan Ishak (iaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya."

Mereka mengerti agama mereka dan menyebutkannya (di hadapan Nabi Ya'kob). Mereka menerima warisan itu dan memeliharanya. Mereka menenangkan jiwa ayah dan menyenangkan hatinya yang sedang menghadapi detik kematian." (Syed Qutb, Tafsir fi Dhilal al-Quran (Beirut: Dar al-Syuruq, 1412H), 1/109)

Cerita sama, watak berbeza

Kisah ini kisah lama. Kisah yang kita hanya mampu membaca, mendengar dan membayangkannya sahaja. Al-Quran mencatatnya bukan untuk ditatap sepi. Tetapi, untuk dicari erti, pedoman buat diri kerana watak di dalam cerita ini terus kekal hingga ke hari ini. Ia cerita di antara ayah dan anak. Sudah pasti ia juga boleh menjadi cerita kita. Cerita kita sebagai seorang ayah, ibu atau anak.

Walaupun watak sebenar dalam kisah tersebut telah lama pergi bertemu Sang Pencipta, namun Nabi Ya'kob dan anak-anaknya meninggalkan kepada kita pedoman yang amat bermakna. Semua kita adalah anak. Sudah dan bakal menjadi ibu dan ayah.

Bayangkan, jika kita bertanya soalan yang sama seperti yang ditanya Nabi Ya'kob kepada anak-anaknya, adakah kita akan mendapat jawapan yang seakan-akan sama dengan jawapan yang didengar olehnya?

Anak sebagai amanah

Anak-anak adalah amanah buat kita. Ya... amanah daripada ALLAH SWT buat kita hamba-Nya. Mereka bukan milik mutlak pasangan ibu dan bapa. Justeru, amanah perlu dijaga sebagaimana kehendak pemberinya. Tatap dan renungi wajah anak-anak kita. Tanyakan pada diri sendiri, adakah mereka dididik dan dibesarkan seperti mana yang ALLAH dan Rasul mahukan?

Kita sering mendengar pesanan Rasulullah SAW: "Apabila matinya seorang anak Adam, terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Riwayat Muslim)

Salah satu perkara yang mampu membantu kita selepas mati nanti ialah doa anak soleh. Anak yang soleh tidak akan terjadi begitu sahaja dan dengan sekelip mata. Ia perlu kepada proses didikan yang berpanjangan bermula dari kecil lagi. Proses ini memerlukan pengisian yang betul dengan pendekatan yang betul.

Apakah yang akan menjamin anak-anak membesar sebagai anak soleh? Bukan harta benda, kemewahan, barang permainan, gajet, tempat percutian dan sebagainya. Tetapi, teras utamanya ialah pegangan agama mereka. Inilah 'open secret' yang menjadi kunci ketenangan hati Nabi Ya'kob tatkala maut menghampiri. Dapat berpisah dengan anak-anak tanpa rasa gelisah kerana mereka ditinggalkan dengan kekuatan akidah.

Jiwa mana yang tidak tenang dan tenteram, apabila anak-anak yang ingin ditinggalkan buat selama-lamanya memberikan jawapan penuh keyakinan. Tiada lagi kebimbangan dan kegusaran kerana anak-anak yang ditinggalkan akan selamat terpelihara. Terpelihara bukan dengan kemewahan harta atau kemasyhuran jawatan, tetapi dengan akidah dan nilai agama yang dipasakkan.

Kemewahan, jawatan dan kemasyhuran boleh membinasakan diri sekiranya agama tidak menjadi pendinding. Kita biasa mendengar ibu bapa sanggup berlapar asalkan anak-anak kenyang. Ibu bapa tidak kisah tidak berpakaian baharu, asalkan anak-anak gembira dengan pakaian mereka. Ibu bapa sanggup berkorban demi mengutamakan anak-anak. Ibu bapa juga perlu sanggup lakukan apa sahaja demi memastikan anak-anak membesar dengan pegangan agama yang kuat.

Jangan tersalah faham. Apabila mendidik anak memahami agama, tidak semestinya untuk menjadikan mereka ustaz atau ustazah. Tetapi untuk menjadikan mereka seorang Muslim. Muslim dengan pengertian yang sebenar. Muslim pada kefahaman, amalan, pekerjaan dan cara kehidupan. Bukan hanya Muslim tercatat dalam kad pengenalan.

Bermula dengan ibu bapa

Mendidik anak untuk menjadi soleh dan solehah bermula dengan ibu dan ayah sendiri yang perlu menjadi soleh dan solehah. Sifirnya mudah. Jika ibu keluar dengan tidak menutup aurat, bagaimana dia ingin arahkan anaknya supaya menutup aurat?

Jika si ayah tidak solat, bagaimana dia ingin menyuruh anaknya untuk solat? Mungkin ada ibu ayah yang tanpa segan silu berpesan kepada anak-anak dengan perintah agama yang mereka sendiri tidak melakukannya. Tetapi, tidakkah mereka berasa canggung bercakap sedemikian?

Bagaimana untuk menjawab kekeliruan dalam fikiran anak-anak yang bertanya: "Ibu dan ayah pun tak buat, nak suruh anak-anak pula buat?."

Bagaimana dengan kita?
Pada saat nyawa ingin berpisah dengan jasad, tiada yang lain difikirkan Nabi Ya'kob melainkan akidah dan agama anak-anaknya. Sudah pasti hal yang sama juga menjadi fokus utama beliau semasa hidup.

Bagaimana dengan kita?
Mendengar soalan yang penting dari ayah mereka, anak-anak Nabi Ya'kob penuh yakin membalas dengan jawapan yang menenangkan hati siapa sahaja mendengarnya, apatah lagi ayah mereka. Bagaimana pula dengan anak kita?

Jika hanya makanan, pakaian dan kesihatan kita pentingkan untuk anak-anak, orang bukan Islam juga melakukan hal yang sama. Apa beza antara kita dan mereka? Jadikan nilai akidah dan agama sebagai pembeza. Didik anak untuk kenali Pencipta dan mengabdikan diri hanya pada-Nya. Jika ditanya apa yang akan ditinggalkan kepada anak-anak nanti? Mudah-mudahan kita ada jawapan yang menenangkan hati.