January 15th, 2016

Khutbah Jumaat: “Belia Beriman Pewaris Masa Depan Negara”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 15 Januari 2016: JAIS

“Belia Beriman Pewaris Masa Depan Negara”

Generasi muda hari ini adalah cerminan wajah negara akan datang.

Menurut Profesor. Dr. Yusof Al Qaradhawi, seorang sarjana dan pemikir Islam yang tersohor dan disegani masa kini, katanya ; “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur ‘baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur” tetapi jika keadaan adalah sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku”.

Seorang pemikir dan penyair terkenal Mesir, Syeikh Ahmad Syauki pernah bermadah: وإِنما الأُمم الأَخلاق ما بقيت فَإِنْ هم ذَهبت أَخلاقُهم ذَهبوا “Sesungguhnya sesuatu bangsa itu kuat dan hebat kerana akhlaknya, jika rosak akhlak mereka maka bangsa itu akan lenyap dan hilang”.

Peranan belia hari ini bukan sekadar membina kerjaya atau melakukan aktiviti-aktiviti untuk memenuhi masa lapang dan hobi sahaja tetapi warga belia sepatutnya turut sama menyumbang idea, masa dan tenaga ke arah pembangunan modal insan menjadi sebuah bangsa yang dihormati dan disegani dipersada dunia.

Gambaran suram wajah Islam hari ini semestinya diperbetulkan melalui kekuatan ilmu, iman, akhlak, kekuatan peribadi, intelek, ekonomi, pemikiran, kebudayaan generasi muda pada hari ini.

Nama-nama besar seperti Saidina Ali, Saidina Osman, Abdul Rahman bin Auf, Ibnu Zubair, Ibnu Abbas dan ramai lagi sahabat-sahabat yang menjadi pendokong utama dan jentera penggerak pembinaan ketamadunan Islam.

Sejarah juga pernah menyaksikan ketangkasan Usamah bin Zaid yang walaupun masih berusia 18 tahun tetapi mampu memimpin satu bala tentera untuk menyerang kerajaan Rom dan begitu juga kehebatan Muhammad Al Fateh telah membuka Kota Istanbul (Konstantinople) ketika usianya masih 21 tahun.

Begitu juga kisah وددالأخ ابحأَص, seorang kanak-kanak yang mempertahankan akidahnya dengan menolak paksaan ahli sihir raja, supaya mengakui bahawa raja adalah tuhan, telah dilakukan beberapa kali percubaan untuk membunuhnya dengan menolaknya dari bukit yang tinggi dan melemparkannya ke laut, semuanya tidak Berjaya, sehinggalah kanakkanak itu sendiri mencadangkan supaya dipanggil pemanah yang mahir dengan syarat melafazkan لاَمِالْغ ببِر ِاالله مِبِس, dengan nama Allah tuhan kanak-kanak itu pada ketika melepaskan anak panahnya barulah ia menemui ajalnya. Tiba-tiba orang yang berkumpul menyaksikan peristiwa tersebut ramai-ramai melaungkan “Kami beriman dengan tuhan kanak-kanak itu”

Seorang lagi pemuda yang berjasa dalam sejarah ialah Mus’ab Bin Umair. Beliau asalnya bangsawan Arab, berkedudukan tinggi, hartawan dan menjadi jejaka pujaan gadis Arab.

Firman Allah SWT dalam surah al Kahfi ayat 13–14 yang bermaksud; “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan Kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika Kami menyembah yang lainnya bermakna Kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran”.

Ringkasnya, peranan utama warga muda muslim hari ini ialah;

1. Menjadi hamba Allah yang bertaqwa di atas muka bumi ini.

2. Bertanggungjawab membina dan membangun diri dari segi intelektual, rohani, jasmani dan emosi.

3. Menjadi penyeru kepada kebaikan iaitu menjadikan gaya hidup sihat yang berteraskan Islam sebagai satu cara hidup.

4. Mencegah dan menghalang kemungkaran daripada berleluasanya perilaku dan amalan yang bertentangan dengan syariat Islam.

5. Menjadi pencetus , penggerak dan pembina tamadun Islam yang unggul, dihormati dan disegani masyarakat dunia.

Warga muda hari ini bukan sahaja terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing, tetapi mereka juga semakin diresapi budaya hedonisme yang suka berfoyafoya dan berhibur secara keterlaluan, terjebak dalam perzinaan dan amalan seks bebas, ketagihan dadah dan rokok, judi, arak, bahan porno (lucah) dan banyak lagi penyakit sosial yang cukup membimbangkan kita.

Firman Allah SWT dalam surah at-Tahrim ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan”.

Firman Allah SWT dalam surah ar-Rum ayat 43-44: “(Jika demikian keadaannya) maka hadapkanlah dirimu (Wahai Muhammad) ke arah agama yang betul, sebelum datangnya dari Allah: hari yang tak dapat ditolak; pada hari itu manusia akan berpecah (kepada dua golongan). Sesiapa yang kufur ingkar maka dia lah sahaja yang menanggung bencana kekufurannya itu, dan sesiapa yang beramal soleh (yang membuktikan imannya), maka merekalah orang-orang yang membuat persiapan untuk kesenangan diri mereka masing-masing”.

Mengakhiri khutbah hari ini, marilah sama-sama kita ambil pengajaran dan perhatian bahawa;

1. Belia Islam hendaklah meningkatkan iman, akhlak dan peribadi mulia kerana ianya merupakan asset penting dan penyelamat kepada sesebuah Negara.

2. Ibubapa dan pemimpin masyarakat hendaklah berusaha meningkatkan imej dan keperibadian para belia dengan menyediakan pendidikan dan bimbingan yang sempurna sepertimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.

3. Belia Islam hendaklah menjauhkan diri daripada aktiviti-aktiviti yang kurang sihat seperti budaya berhibur, berfoya-foya, pergaulan bebas, ajaran sesat dan gerakan ekstrim yang boleh menghancurkan aset belia masa depan.

4. Belia hari ini hendaklah mendekatkan diri dengan institusi-institusi Islam seperti masjid dan surau serta berusaha melibatkan diri dalam mengimarahkannya.

5. Masyarakat perlu mendekati belia dengan membimbing dan menaruh kepercayaan kepada belia untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang positif untuk membangunkan agama dan masyarakat.

“(ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! kurniakanlah kami rahmat dari sisimu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami”. (Surah al-Kahfi : 10).

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ Konsep Tabayyun

Sedutan Teks Khutbah Jumaat 15 Januari 2016M/ 5 Rabiulakhir 1437H JAWI

Konsep Tabayyun

Sesungguhnya Allah SWT telah mengurniakan pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya kepada manusia. Antaranya ialah nikmat pendengaran telinga, penglihatan mata dan tanggapan hati. Kesemua kurniaan tersebut akan dipersoal oleh Allah SWT. Sama ada dimanfaatkan ke arah perkara yang murni atau disiasiakan ke arah perkara yang keji.

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 36: Bermaksud: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

Pada zaman fitnah berteknologi dan dunia era globalisasi ini, pelbagai berita mudah disebarkan dengan cepat, meluas dan mudah. Perantaraan teknologi seperti WhatsApp, Telegram, Twiter, Facebook, emel, surat khabar, majalah atau sebagainya menjadikan proses limpahan maklumat tersebut mudah diperoleh sehinggakan tidak mampu ditapis dan tidak sempat dipastikan kebenarannya.

Realitinya, berita atau perkhabaran yang diperoleh tanpa asas kebenaran dan kepastian yang jitu boleh mengundang fitnah, bala, bencana, kecelakaan, permusuhan dan perselisihan. Kerana itu, Islam mensyaratkan "tabayyun" sebagai konsep penerimaan, penilaian dan penyebaran sesebuah berita.

Ada dikalangan ahli tafsir menjelaskan "tabayyun" bermaksud memeriksa dengan teliti dan ia membawa maksud "tathabbut" iaitu berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan khabar yang datang sehingga menjadi jelas dan terang.

Konsep "tabayyun" yang menjadi topik perbincangan khutbah hari ini bermaksud pengenalan, pemeriksaan, penilaian dan pertimbangan yang teliti, berhati-hati dan tidak tergesa-gesa berdasarkan asas ilmu pengetahuan yang mendalam sehingga sesebuah pengkhabaran itu jelas dan nyata kebenaran atau kepalsuannya.

Ringkasnya, "tabayyun" ialah proses pemeriksaan sesebuah berita atau pengkhabaran sebelum disebarkan.

“Tabayyun” juga bermaksud agar umat Islam sentiasa teliti dan berhati-hati dalam membuat kesimpulan.

Peribahasa Melayu, "sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa" seharusnya dihayati dan dicermati. Peribahasa ini telah menjelaskan kepada kita bahawa perkataan tanpa kewaspadaan hanya mengundang fitnah. Manakala fitnah ibarat racun dan barah yang hanya menatijahkan kecelakaan, permusuhan dan perselisihan.

Tabayyun-lah agar kita tidak menyebar dan menyemarakkan fitnah. Ingatlah, sekeji-keji manusia ialah pembuat dan penyebar fitnah. Kerana itu fitnah merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar yang dikutuk oleh Islam.

Sabda Rasulullah SAW sebagaimana riwayat Imam al-Bukhari daripada Huzaifah RA: ونَ بِالَّنم ِيمَةِ ُ الْمََّ شاء عِبَادِ الل ، الْعَنَ َت َّ هِ ُ شِرَار َ رَآء ُ ونَ الْب ُ ونَ بَيْنَ الَأ ِحَّب ةِ، الْبَاغ ُ فَرِ ق الْمُ Bermaksud: “Sekeji-keji manusia ialah mereka yang berjalan menabur fitnah, mereka yang melaga-lagakan di antara insan yang berkasih sayang dan mereka yang mencari-cari kesalahan terhadap orang yang tidak bersalah.”

Sesungguhnya Islam merupakan agama syumul yang menjaga hubungan antara manusia dengan Tuhannya, manusia sesama manusia dan manusia dengan alam raya.

Konsep tabayyun turut merealisasikan kehendak syarak atau maqasid syariah iaitu pemeliharaan akal, nyawa, keturunan, harta dan agama. Akal akan terpelihara apabila segala maklumat yang diterima diperhalusi dan diselidiki.

Agama, keturunan, nyawa dan harta akan terpelihara daripada sebarang kecelakaan apabila fitnah tidak diada-adakan dan disemarakkan. Bahkan tiada sebarang kebimbangan dan penyesalan apabila konsep "tabayyun" dipraktikkan.

Sejarah syahid dan terbunuhnya Sayidina Uthman RA seharusnya memberikan pengajaran dan peringatan besar kepada kita. Pembunuhan Sayidina Uthman RA adalah kerana fitnah yang dicanang dan disemarakkan oleh perancangan jahat golongan munafiqin.

Sayidina Uthman RA telah memerintah hampir mencukupi 12 tahun. Pemerintahannya berlangsung aman sehingga bermulanya zaman fitnah. Kebanyakan fitnah terhadap Sayidina Uthman disemarakkan oleh golongan munafiqin.

Perkara yang dicanangkan oleh golongan munafiqin ini akhirnya mendapat sokongan golongan terpedaya yang lemah imannya dan akhirnya membentuk kumpulan penentang.

Benarlah kata-kata yang menyebutkan “Penipuan yang diulang-ulang akan menjadi kebenaran”.

Kemuncak fitnah terhadap Sayidina Uthman RA ialah surat palsu atau surat layang ciptaan golongan munafiqin yang akhirnya mencetuskan kemarahan golongan terpedaya yang lemah imannya.

Akhirnya, berlaku pemberontakan sehingga terbunuh syahid Sayidina Uthman RA.

Konsep "tabayyun" mengajarkan kita beberapa perkara antaranya ialah tidak mendakwa atau memperkatakan sesuatu, kecuali yang benar sahaja.

Bahkan, mengadakan berita atau berbohong adalah salah satu daripada tanda-tanda munafiq dan berdosa. Selain itu, hanya berita yang telah diselidiki kebenaran atau kepalsuannya sahaja boleh disebarkan.

Begitu juga, perlunya sikap sering bertanya dan merujuk segala perkara yang tidak diketahui kepada ahlinya. Sikap ini mengelakkan kekeliruan, salah faham, penyelewengan dan kesesatan.

Selain itu, sikap merendah diri, bertolak ansur, saling memaafkan, hormat menghormati, bersikap adil dan saksama dapat memadamkan api fitnah seterus terjaga keharmonian serta keselamatan antara sesama kita.

Rumusan daripada khutbah yang disampaikan pada hari ini antaranya ialah:

Pertama: Mukmin sebenar ialah mereka yang menjaga hubungan dengan Tuhannya, menjaga hubungan sesama manusia dan menjaga perilakunya terhadap alam semesta.

Kedua: Fitnah adalah api, racun dan barah yang mendatangkan pelbagai kecelakaan, permusuhan dan perselisihan kepada diri, keluarga, negara dan agama.

Ketiga: Konsep “tabayyun” adalah kaedah yang perlu dipraktikkan dalam zaman fitnah berteknologi dan dunia era globalisasi ini supaya kita tidak digolongkan sebagai pembuat dan penyebar fitnah seterusnya mengundang kemurkaan Ilahi.

Firman Allah SWT di dalam surah surah al-Nur ayat 19: Bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang suka menyebarkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)."

Wallahualam. 

Seksi dan seksa

SEKSI dan seksa. Isu pramugari syarikat penerbangan berpakaian seksi bukannya perkara baharu. Mufti, politikus, orang kampung memperkatakannya, ter­baharu pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini. Hidangan minuman keras dalam pesawat juga turut tidak terkecuali menjadi kritikan umum.

Kejadian yang berlaku dalam industri penerbangan sepanjang 2014 sewajarnya diinsafi. Beberapa tokoh agama terutamanya mufti telah menasihatkan kerajaan agar mengambil iktibar daripadanya dengan melakukan transformasi seiring ajaran Islam iaitu menghentikan hidangan arak dan membenarkan pramugari menutup aurat ketika bertugas.

Kecenderungan penumpang memilih syarikat penerba­ngan tertentu bukan kerana faktor arak dan kain terbelah tetapi yang menjadi keutamaan ialah aspek perkhidmatan terbaik termasuk keselesaan serta jaminan keselamatan. Bagi syarikat penerbangan nasional, tentulah operasinya wajar selari dengan imej negara sebagai sebuah negara Islam yang dikagumi di seluruh dunia.

Sangat ironi jika imej kain tidak berjahit dan terbelah hingga ‘menyeksakan’ penumpang lelaki melihatnya yang hendak ditonjolkan dan dijaja.

Sehubungan itu, pihak berkenaan perlulah memikirkan satu model pakaian yang bersesuaian, seganlah sikit kepada status negara Islam dan hormatilah kehendak segelintir kakitangan syarikat penerbangan berkaitan - sekurang-kurang­nya berilah pilihan kepada mereka.

Difahamkan terdapat empat syarikat penerbangan di dunia yang patuh Syariah iaitu Saudi Airlines, Royal Brunei Airlines, Iran Air dan terbaharu, Rayani Air dari Malaysia.

Insya-Allah semuanya ba­kal berubah, semua pihak perlu bersangka baik kerana diyakini kerajaan sedang menuju ke arah itu selari dengan pelancaran Indeks Syariah Malaysia dan cada­ngan penubuhan Majlis Halal Malaysia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada Kabinet.

Difahamkan majlis itu bertujuan menyatukan hal-hal berkaitan industri halal negara tetapi tidak salah jika turut menjangkau hingga mencecah kepada apa yang menjadi keluh-kesah majoriti rakyat itu.

Kerajaan melalui Jakim dan pelbagai institusi keagamaan di negara ini perlu mewujudkan dan memperkasakan suasana patuh Syariah. Jika masih ramai yang tidak menutup aurat secara sempurna, be­rilah kefahaman yang sepatutnya.

Sempurna itu bermaksud pakaian yang tidak ketat, tidak jarang, tidak harum menarik perhatian, tidak gedik menggoda, tudung kepala dilabuhkan menutup dada.

Jangan hanya elok menutup aurat ketika menunaikan umrah atau haji tetapi apabila kembali ke tanah air, tudung entah ke mana, seolah-olah Allah wujud di Mekah dan Madinah sahaja!

Alhamdulillah sehingga kini terdapat banyak perkara yang menyenangkan atau mesra Syariah dilaksanakan kerajaan contohnya semasa sambutan tahun baharu di Dataran Merdeka, bukannya lagi konsert hiburan menjadi santapan rakyat sebaliknya pengisian keagamaan menjadi pilihan.

Pengunjung tetap ramai menyamai apabila acara hiburan dilangsungkan, cuma bezanya penampilan mereka betul-betul berubah, tiada lagi lelaki wanita bukan muhrim berpelukan, lelaki-lelaki berpegangan tangan sambil memakai pakaian tidak cukup ‘sifat’.

Sebaliknya khalayak berpakaian elok, siap berjubah dan berkopiah. Alunan zikir dan selawat memenuhi ruang. Kekalkan persekitaran murni ini, jangan hanya sekejap-sekejap, iaitu ketika dilanda malapetaka sahaja tetapi apabila kembali dilimpahi kesenangan, semuanya kembali kepada asal.

Merujuk kepada slogan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, ‘Simpanan Hari Tua Anda’ dan dalam pengurusan sebuah negara, kepemimpinannya juga perlu menitikberatkan kepada ‘Simpanan Hari Akhirat’ untuk rakyatnya. Malaysia Boleh! - Tarmizi Abdul Rahim Utusan Malaysia Rencana Dimensi 14 Januari 2016 6:15 PM -

Bekerja mencari keberkatan

ISLAM menggalakkan umatnya supaya berusaha dan tekun dalam pekerjaan supaya berjaya dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Prinsip kehidupan umat Islam adalah kukuh jika mereka bersandarkan kepada pe­rintah Allah dan panduan daripada para nabi dan rasul. Umat Islam sepatutnya memahami bahwa kehidupan di dunia ini satu perjalanan yang berakhir dengan kematian.

Kehidupan di dunia ini adalah terlalu pendek dan pantas sehingga manusia menjadi letih dan penat jika mereka gagal mengimbangi keperluan kehidupan di dunia dan di akhirat.

Bagi mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat, niat dan matlamat dan kehidupan seharian perlu dijuruskan kepada keberkatan dan keredaan Allah. Apabila hati dan pemikiran tertumpu kepada ganjaran dan pembalasan Ilahi maka umat Islam dapat membentuk keperibadian yang mulia bersesuaian dengan fitrah kejadian mereka. Setiap umat Islam sepatutnya mempersoalkan diri sendiri ‘kenapa’ dan ‘mengapa’ mereka melakukan sesuatu.

Jika seorang individu tekun be­kerja sehingga bertentangan de­ngan fitrah jasadnya yang memerlukan kerehatan yang mencukupi dengan tujuan menjadi seorang yang kaya, berkuasa dan bermegah maka adakah kehidupan begini kebahagiaan yang hakiki?

Jika matlamat kehidupan bermotifkan kekayaan dan kemegahan maka umat Islam sering terbabas dalam melaksanakan tugas mereka sebagai hamba Allah yang diberkati. Umat Islam yang terlalu ghairah dengan pangkat dan kekayaan sehingga terlupa bahawa semakin hari mereka kian hampir ke alam kubur sering berlumba-lumba me­ngumpul harta dengan tujuan di­sanjung, dihormati dan dipuja.

Fenomena ini melanda keba­nyak­an umat Islam kini apabila ­ingin meletakkan diri mereka sebagai orang yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat.

Peristiwa individu yang menobatkan diri sebagai sultan dan memberi anugerah kepada individu tertentu dengan mengaitkan keturunan dan salasilah keluarganya pada masa lampau walaupun kerajaan tersebut sudah tidak wujud adalah salah satu contoh umat Islam terlalu ghairah dengan kemegahan dan kekayaan tanpa melihat kepada realiti kehidupan masyarakat masa kini.

Islam menyeru umatnya supaya menyembah dan mengagungkan Allah, Tuhan semesta alam. Kekuat­an akidah dan kefahaman konsep memperhambakan diri kepada Allah adalah asas atau fundamental pengajaran Islam. Setiap individu Islam perlu gigih dan tekun bekerja untuk mendapat keberkatan dan keredaan Ilahi tanpa mengharapkan pangkat dan sanjungan daripada manusia.

Jika prinsip begini diserapkan ke dalam minda dan hati nurani umat Islam maka peristiwa memuja manusia berdasarkan kepada status dan pangkat dapat dikikis daripada pemikiran dan hati sanubari umat Islam.

Umat Islam dalam era ini perlu menilai sesuatu berdasarkan kepada realiti kehidupan masa kini. Pangkat dan kedudukan individu tertentu semakin hari kian pupus kerana di antara ciri-ciri globalisasi ialah penghapusan institusi kemasyarakatan di mana dunia semakin hari menjadi semakin kecil dan gaya hidup serta corak pemikiran manusia lebih menjurus kepada universaliti dan budaya metropolitan.

Oleh itu perkara-perkara ber­kaitan dengan kehebatan manusia berdasarkan kepada salasilah keturunan kian lupus dalam pemikiran masyarakat era globalisasi.

Islam adalah agama yang meng­anuti konsep universaliti iaitu kehebatan manusia berdasarkan kepada sejauh manakah mereka dapat memperhambakan diri kepada Allah dan ketekunan mereka mencari keredaan dan keberkatan Allah dalam kehidupan seharian.

Umat Islam yang mempunyai tahap keimanan yang tinggi tidak mengharapkan kemuliaan dan san­jungan manusia. Setiap pekerjaan dan sumbangan mereka kepada masyarakat dan negara bukan mengharapkan pengiktirafan pangkat dan kurniaan daripada manusia kerana semua manusia adalah hamba Allah yang setaraf dengan dirinya.

Konsep ketauhidan iaitu menyembah Allah Yang Maha Esa mampu menggerakkan umat Islam berfikiran tajam, meletakkan diri mereka sebagai hamba Allah yang berwibawa dan bertamadun.

Konsep ‘manusia adalah sama kecuali orang yang paling tinggi ketakwaannya kepada Allah’ mampu membentuk masyarakat Islam menjadi satu ummah yang kukuh serta berganding bahu menyahut seruan Ilahi melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Sejauh manakah konsep sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini dilaksanakan oleh umat Islam adalah persoalan yang sukar untuk dijawab masa kini. Umat Islam hilang prinsip kehidupan yang berteraskan kepada keberkatan dan keredaan Ilahi. Apabila prinsip begini lenyap dalam minda dan hati nurani umat Islam maka pelbagai kepincangan dan kerosakan wujud dalam masyarakat Islam.

Setiap individu berlumba-lumba untuk mendapatkan kedudukan dan pangkat sehingga terlupa bahawa pertarungan yang wujud adalah di antara umat Islam dengan umat Islam.

Suasana begini menjadi simbol kemusnahan umat yang amat dimurkai oleh Allah. ‘Siapa yang betul’ dan ‘siapa yang salah’ sukar untuk diperkatakan kerana ke­pincangan yang wujud boleh diibaratkan sebagai ‘telur di hujung tanduk’.

Apabila suasana begini wujud maka setiap individu Islam sepatutnya menumpukan perhatian kepada kegiatan membangunkan diri secara gigih dan melakukan sumbangan kepada masyarakat dan negara secara berhemah dan berdedikasi tanpa mengharapkan sebarang pengiktirafan dan pangkat daripada manusia kerana kekuatan dan kehebatan Allah mengatasi kehebatan manusia.

Oleh itu bekerja dan berkhidmat secara telus demi keberkatan dan keredaan Ilahi perlu dijadikan prinsip kehidupan umat Islam. Perkhidmatan begini adalah satu pelaburan yang paling tinggi nilainya di sisi Allah. Kebahagiaan kehidupan di alam akhirat adalah kebahagiaan yang hakiki dan berkekalan.

- Prof Madya Dr. Saodah Abd Rahman Utusan Malaysia Rencana 14 Januari 2016 6:20 PM

Wasatiyyah dalam kehidupan

TANGGAPAN Barat yang me­ngatakan bahawa Is­­lam adalah agama ek­strem dan melampau aki­bat beberapa insiden yang berlaku di sana telah sedikit-sebanyak mencalarkan nama baik Islam. Apakah ekstrem itu daripada ajaran Islam atau mereka yang mempromosikan ekstremisme menggunakan nama Islam bagi mencemarkan agama yang suci ini? Perkataan Islam membawa maksud keamanan dan kesejahteraan. Kerana itu, dalam ajaran Islam kita digalak memberi salam sesama kita kerana ia membawa kepada kesejahteraan.


KEGANASAN dan ekstremisme sama ada oleh individu atau sesebuah negara sebenarnya menyimpang daripada landasan ajaran Islam, justeru amalan wasatiyyah membawa keadilan dan mengenyahkan perbuatan melampau untuk kesejahteraan manusia sejagat. GAMBAR HIASAN

Menurut Profesor Mohamad Hashim Kamali, Islam menguar-uarkan pendekatan wasatiyyah melalui ayat al-Quran: “Umat Islam sebagai umat pertengahan” (ummatan wasatan) (al-Baqarah, 2:143). Secara umumnya, ayat ini sebenarnya menyuruh manusia melakukan kebenaran dan keadilan. Keadilan sebenarnya mempunyai maksud yang begitu rapat dengan wasatiyyah. Wasatiyyah tanpa keadilan seolah-olah membawa konsep yang kosong.

Ajaran Islam yang menjurus kepada jalan pertengahan (wasatiyyah) melihat juga kepada hubungan sesama manusia, iaitu mengenali antara satu sama lain yang dikenali dengan ta’aruf. Kewujudan manusia daripada pelbagai latar belakang bangsa dan agama diiktiraf dalam Islam atas dasar kebebasan beragama. Adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sekiranya seseorang bukan Islam dipaksa untuk memeluk agama Islam kerana ia menyimpang jauh daripada amalan wasatiyyah.

Manifestasi lain dalam wasatiyyah ialah agama Islam mengiktiraf perbezaan pendapat (ikhtilaf) yang berkait dengan tafsiran dan pandangan. Islam mengiktiraf kewujudan pelbagai mazhab terutama empat mazhab utama iaitu Maliki, Syafie, Hanafi dan Hambali dengan perbezaan fiqh dalam mengeluarkan hukum. Tidak ada satu pandangan yang lebih tinggi daripada yang lain dan tidak semestinya satu-satu pandangan itu wajib diikuti selagi tidak lari dari landasan yang sebenar.

Dalam hal ehwal masyarakat, tadbir urus dan kepemimpinan, Islam menyarankan konsep syura diamalkan. Ini pendekatan wasatiyyah dalam mengambil pandangan orang lain. Sekiranya, amalan syura tidak dipraktikkan, dibimbangi pemerintah akan terlibat salah guna kuasa dan pecah amanah.

Begitu juga dalam perkara menyuruh membuat kebaikan dan mencegah kemungkaran. Suruhan ‘amar makruf dan nahi mungkar’ disebut tujuh kali dalam empat surah al-Quran. Ini ditegaskan oleh Nabi Muhammad SAW mengajar umatnya supaya melakukan perkara yang baik dan menjauhi perkara jahat. Suruhan membuat baik dan mencegah kemungkaran bukan sahaja dipopularkan oleh orang Islam bahkan sarjana orientalis seperti Micheal Cook dalam bukunya, Commanding Right and Forbidding Wrong (2010), dan Forbiding Wrong in Islam: An Introduction (2003).

Inilah asas wasatiyyah kerana manusia perlu membuat perkara yang baik dan menjauhi perkara jahat dan buruk. Hakikatnya, manusia tidak boleh hanya membuat kebaikan semata-mata tanpa menjauhi dan mencegah keburukan, kemafsadan dan kemungkaran.

Atas asas inilah ajaran Islam menganjurkan pendekatan wasatiyyah daripada melakukan ibadat sehingga dalam kehidupan seharian. Sebenarnya Allah tidak mahu membebankan manusia tetapi mahu memudahkannya. Justeru, membuang kepayahan dan meringankan beban rakyat adalah menjadi salah satu tujuan utama maqasid syariah. Justeru, seseorang pemerintah, hakim atau mufti mestilah mengambil pendekatan yang memudahkan umat Islam.

Sebagai contoh, dalam bab ibadat, dikehendaki bacaan surah dalam solat tidak terlalu pendek dan tidak terlalu panjang. Bahkan Nabi Muhammad SAW mengajar kita agar bersederhana dalam ibadat solat sunat malam dan puasa sunat.

Nabi Muhammad SAW tidak berpuasa sunat yang berpanjangan meliputi berhari-hari. Malah ada hari baginda berpuasa dan ada hari baginda berbuka. Nabi Muhammad SAW tidak meninggalkan fitrah manusia seperti tidur di malam hari walaupun melakukan qiyamullail. Ada waktu bersama isteri-isterinya dan ada waktu bermunajat kepada Allah di hujung malam.

Begitu juga ajaran Islam mengajar kita supaya tidak boros dan tidak kikir. Apabila makan dan minum tidak membazir. Perspektif perbelanjaan Islam mengajar kita supaya membelanjakan keperluan diri dan keluarga mengikut keutamaan dan bukannya mengikut perasaan lebih-lebih lagi tuntun nafsu yang tiada berkesudahan. Mengamalkan perbelanjaan mengikut keutamaan maqasid dengan meletakkan keperluan Dharuriyat mengatasi Hajiyat dan Tahsiniyat. Ini kerana, amalan sesetengah pihak yang tidak meletakkan keutamaan dalam perancangan perbelanjaan harian akan menyebabkan ketidakcukupan wang walaupun menikmati gaji bulanan tinggi.

Dalam penerimaan amalan wasatiyyah, Islam mengiktiraf amalan setempat atau uruf. Justeru, dalam perundangan Islam, uruf diterima sebagai satu sumber sekunder. Melihat kepada aspek budaya dan adat setempat, hukum yang mungkin haram di satu tempat tetapi harus pada satu tempat yang lain. Sebagai contohnya, pemakaian kain sarung batik oleh lelaki di Pantai Timur adalah menjadi kebiasaan tetapi menjadi suatu yang pelik di sebelah Pantai Barat. Begitu juga dengan mengekalkan amalan adat dalam pemberian harta sepencarian sehingga satu pertiga bahagian harta bersama bagi suami/isteri yang bercerai hidup atau mati.

Pendekatan wasatiyyah dalam transaksi kewangan juga dapat dilihat apabila undang-undang Islam meletakkan keadilan sebagai kayu ukur. Justeru pertukaran dalam sesuatu transaksi mestilah tidak melibatkan riba, maysir dan gharar. Tuntutan supaya harta kekayaan tidak hanya berkisar dalam kalangan orang tertentu menunjukkan bahawa Islam mahu ia dinikmati oleh semua golongan manusia.

Dalam pengurusan harta pusaka pula, diberi kelebihan dua bahagian kepada orang lelaki bukanlah kerana faktor jantina tetapi mengambil pendekatan wasatiyyah yang meletakkan beban dan tanggungjawab ke atas bahu lelaki. Kerana itu, diberi bahagian yang lebih kepada lelaki kerana mereka memikul tanggung jawab yang besar ke atas emak, kakak atau adik perempuan bukan sekadar kelayakan sahaja. Tetapi realitinya, ramai lelaki mengambil bahagian masing-masing dan tidak mengambil tanggungjawab menjaga mereka.

Wasatiyyah menuntut kehidupan yang sederhana, tidak meninggalkan kekayaan bagi mereka yang berada dan tidak pula dalam keadaan kemiskinan. Tuntutan kepada beberapa ibadat dalam Islam memerlukan penganutnya mempunyai harta seperti pergi menunaikan haji dan berzakat. Begitu juga dalam amalan lain seperti berwakaf dan bersedekah yang memerlukan harta untuk melakukannya.

Pendekatan wasatiyyah dan menjauhkan diri daripada perbuatan ekstrem dan melampau akan membawa kehidupan manusia dalam keadaan aman, harmoni, mudah, menyenangkan dan menghapus kesusahan dan kepayahan. Keganasan dan ekstremisme sama ada oleh individu atau sesebuah negara, sebenarnya menyimpang daripada landasan ajaran Islam.

Justeru amalan wasatiyyah membawa keadilan dan mengenyahkan perbuatan melampau untuk kesejahteraan manusia sejagat. Bahkan ia membawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat seperti doa yang sering dibaca selepas solat lima waktu: “Berilah kami kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat.”

Pangkat, harta bukan sandaran bina kualiti diri

Hidup ini bukan soal senang atau susah tetapi bagaimana untuk mendapat rahmat dan bantuan Allah SWT dalam setiap sudut kehidupan.

Walau apapun keadaan kehidupan, kesabaran dan syukur adalah dua perkara yang sangat dituntut untuk kita sentiasa istiqamah melaksanakan kewajipan sebagai seorang Mukmin.

Menerusi program Islam Itu Indah yang bersiaran setiap Rabu, jam 10.15 pagi di IKIMfm, Ustaz Pahrol Muhammad Juoi mengingatkan jangan apabila sudah kaya raya dan hidup senang baru hendak berbuat baik kepada orang lain.

Katanya, senang atau susah, bahagia atau derita bukan ukuran seseorang itu menjadi manusia yang baik.

Kebaikan adalah apabila kita sentiasa membangunkan kualiti diri dengan bermuhasabah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Manusia yang taat perintah Allah SWT faham ajaran agama dan tabah dengan setiap ujian yang Allah SWT berikan.


Solat memberi ketenangan jiwa dan mendorong Mukmin sentiasa berbuat baik. - Gambar hiasan


Dugaan serta cabaran akan membangunkan kualiti hidup dan menjadikannya Mukmin yang tinggi akhlak.

Kekayaan perlu dimanfaat

Pahrol berkata, jangan sesekali menjadikan kesenangan hidup dan kekayaan sebagai ukuran untuk berbuat baik kepada orang lain.

Jangan sesekali hanya apabila kita bahagia atau mempunyai pangkat tinggi baharu mahu berbuat baik dengan orang lain.

Untuk menjadi seorang Mukmin yang baik bukan kerana pangkat atau harta banyak, tetapi kemampuan membina kualiti diri yang tinggi.

Mengambil kisah sahabat Rasulullah SAW iaitu Anas bin Malik yang juga pembantu Baginda berkata, Rasulullah SAW tidak pernah mengkritik atau memprotes terhadap sesuatu perkara kerana Baginda sentiasa meletakkan Allah SWT di dalam hatinya.

Itulah rahsia yang menjadikan Baginda SAW seorang yang amat tenang dalam apa sahaja situasi menimpa Baginda.

Diriwayatkan, berlaku perselisihan antara keluarga Anas dan keluarga Rasulullah SAW, tetapi Baginda tidak pernah memberi reaksi negatif akan perkara berkenaan, sebaliknya menyerahkan sahaja apa yang terjadi itu sebagai kehendak serta takdir daripada Allah SWT.

Sesungguhnya, apabila Allah SWT membantu seseorang Mukmin, apa sahaja halangan yang dilalui oleh manusia akan menjadi ringan dan baik sahaja.

Bahkan, setiap ujian dan dugaan Allah SWT akan diringankan dengan memberi jalan keluar.

Justeru, Allah SWT juga menganugerahkan hati yang waja dan tabah supaya iman serta kekuatan seseorang Mukmin itu lebih utuh dalam mendepani ujian seterusnya.

Sebagai insan yang lemah, tundukkan hati di hadapan Allah SWT dengan solat yang ikhlas kepada-Nya.

Seorang Mukmin yang hidupnya lengkap dengan solat lima waktu, tentunya akan sentiasa terbimbing ke jalan yang diredai Allah SWT.

Menurut Pahrol, bagi seorang Mukmin yang merasakan dirinya taat kepada perintah Allah SWT iaitu solat lima waktu tetapi hati masih tidak tenang atau masih tidak sabar dengan ujian yang Allah SWT berikan, mereka hendaklah membuat 'periksa dan pertimbang' solat atau ibadah yang dilakukan.

Barangkali solatnya cukup lima waktu tetapi solatnya tidak sempurna dari segi adab dan tertibnya sedangkan kesempurnaan atau kecemerlangan (itqan) dalam beribadah amat ditekankan.

Solat juga merendahkan hati dengan merasai sifat kehambaan terhadap Allah SWT.

Seorang yang sempurna solatnya dengan ikhlas dan itqan pasti akan dicampakkan Allah SWT dengan keikhlasan dalam hati untuk setiap amalan yang dikerjakan kerana Allah SWT.

Jaga solat

Solat adalah ibadah pertama yang dihisab di akhirat nanti, perlu disempurnakan untuk membina kualiti hidup seterusnya menambah nilai ibadah lain.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada permulaan malam." (Surah Hud, ayat 114)

Perlu juga diingatkan ibadah yang dilakukan hendaklah dimulai dengan niat kerana Allah SWT.

Setiap ibadah yang dilaksanakan termasuk solat untuk mendapat ganjaran rezeki yang banyak, kesihatan baik, pangkat besar adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT yang Maha Mencipta seluruh alam ini.

Diriwayatkan seorang sahabat bertanyakan kepada Rasulullah SAW mengenai seorang lelaki yang bersolat tetapi masih mencuri.

Lalu Baginda SAW bersabda: "Insya-Allah solat itu nanti akan menghalang dirinya daripada perbuatan mencuri."

Jika solat kita masih belum dibantu oleh Allah SWT iaitu masih ada perbuatan tidak baik yang kita lakukan, jangan sesekali berhenti melaksanakan ibadah itu, sebaliknya perbaikilah solat mudah-mudahan dengan cara itu kita akan memperoleh solat yang sempurna serta menjadi ahli syurga di akhirat kelak.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan solat) dan beribadahlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat)." (Surah al-Hajj, ayat 7)

Kejar harta lupa ibadah bekalan hadapi mati

Kita perlu sentiasa bermuhasabah setiap apa yang dilakukan di dunia kerana semakin hari semakin dekat kita dengan waktu akan kembali menghadap Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman. Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang disediakan (dari amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan." (Surah al-Hashr, ayat 18)

Rasulullah SAW bersabda, orang yang paling cerdik dalam kalangan kamu bukanlah yang memiliki rumah besar, berjawatan tinggi, mempunyai rupa paras indah, tetapi orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk saat selepas kematian nanti.


Harta benda perlu diinfak ke jalan Ilahi dengan mengeluarkan zakat. - Gambar hiasan




Orang paling bodoh dalam kalangan kamu bukan orang yang tidak berpendidikan tinggi, tetapi orang yang hidupnya mengikut dan leka dengan hawa nafsunya, kemudian dia meletakkan angan-angannya kepada Allah SWT.

Lihat kembali dosa dilakukan

Islam mengajak kita bermuhasabah dan salah satu caranya ialah dengan beriktikaf, bangun bertahajud pada malam hari atau menyendiri.

Sebelum tidur, kita digalakkan meluangkan masa bermuhasabah, melihat kembali dosa yang telah dilakukan, menilai ganjaran pahala sepanjang hari itu cukupkah dijadikan bekalan untuk dibawa menghadap Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda, ada tiga perkara yang mengiringi jenazah ke kuburan iaitu ahli keluarganya, harta bendanya dan amalan, tetapi yang kekal bersama jenazah hanyalah amalannya, manakala ahli keluarga serta segala harta bendanya akan pulang meninggalkannya berseorangan dalam kubur.

Peringatan itu disampaikan oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau'izati setiap Khamis di IKIMfm. Katanya, kehidupan manusia pada setiap detik, semakin dekat dengan kematian. Allah SWT menegaskan, pandanglah apa yang kamu hendak bawa untuk menghadap di hadapan Allah SWT nanti.

Antara perkara yang perlu kita muhasabah ialah masa yang berlalu dengan sia-sia tanpa digunakan untuk melakukan amalan terbaik untuk diri. Allah SWT bersumpah berkaitan masa dalam firman-Nya yang bermaksud: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (Surah al-Asr, ayat 1-3)

Sikap sering mensia-siakan masa menyebabkan kita tertinggal untuk melakukan tiga perkara dalam kehidupan.

Pertama, memperkukuhkan akidah dan keyakinan kepada Allah SWT kerana leka memperkukuhkan keyakinan terhadap dunia berbanding akhirat.

Pernah suatu ketika Rasulullah SAW bingkas bangun selepas mengebumikan jenazah, lalu Baginda menyampaikan ucapan: "Wahai manusia, aku melihat kamu ini seolah-olah kematian tidak tertulis di dalam hidupmu dan aku lihat kamu ini seolah-olah tidak menjadi wajib bagi Allah untuk mematikan kamu. Setiap kali kamu menghantar jenazah ke perkuburan, seolah-olah dirimu meletakkan mayat di kuburan bagaikan menghantar orang bermusafir sahaja. Kamu tinggalkan jasad mereka dalam kuburan itu, kemudian kamu kembali, kemudian kamu makan segala peninggalan mereka. Kamu lakukan semua ini seolah-olah kamu kekal hidup selepas mereka. Kamu lupa segala peringatan Allah, kamu rasa aman daripada kemarahan dan kemurkaan Allah."

Justeru, ambil kesempatan masa untuk memantapkan ibadah kepada Allah SWT. Masih ramai antara kita yang tidak menutup aurat, culas mendirikan solat dan masih bergelumang dengan maksiat serta membiarkan hawa nafsu menghalang diri daripada beribadah kepada Allah SWT.

Allah SWT mengingatkan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Berlumbalah kamu dalam melakukan perkara yang baik."

Ambillah kesempatan masa untuk memperbaiki akhlak yang masih lagi belum sempurna iaitu akhlak dengan diri, keluarga, masyarakat dan Allah SWT.

Soal cara urus harta

Perkara kedua perlu dilihat ialah harta benda yang dimiliki kerana ia pasti akan disoal oleh Allah SWT nanti. Rasulullah SAW bersabda: "Telapak kaki kamu tidak akan berganjak daripada Padang Mahsyar nanti, sehingga Allah bertanya kepadanya empat perkara. Iaitu harta benda kamu, daripada mana kamu memperolehnya, ke mana kamu membelanjakannya. Mengenai umur, ke mana telah kamu habiskannya, waktu muda di manakah kamu menghabiskannya."

Mengejar harta benda menyebabkan kita tidak menghiraukan dosa dan pahala, tidak mengeluarkan zakat serta terlupa untuk menginfakkannya ke jalan Allah SWT.

Ramai di antara kita yang cuai dalam menjaga solat sedangkan ibadah solat perkara yang paling asas dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda: "Sembahyang itu tiang agama. Siapa yang mendirikan sembahyang, maka dia sudah mendirikan agamanya. Siapa yang meninggalkan solat, maka dia menghancurkan agama dalam jasadnya."

Akhir sekali, bermuhasabah terhadap dosa yang telah dilakukan sepanjang kehidupan di dunia ini.

Dosa adalah tekanan dan bebanan kepada diri, mereka yang hidup dalam keadaan berdosa tidak pernah berasa bahagia sebaliknya hidup dalam kecelakaan serta celaan.

Usah dibiarkan hidup bergelumang dosa, tetapi hiduplah dalam ketaatan kepada Allah SWT. Oleh itu, banyakkan memohon ampun kepada-Nya selagi kita berpeluang melakukannya.

Buang air kecil: Usah pandang remeh, Bahana kencing berdiri

PERLU difahami kita bukan bahas mengenai hukum kencing secara berdiri, kerana Imam An-Nawawi juga ada menyebut dalam penjelasannya terhadap Imam Muslim, walaupun ada hadis-hadis yang menyebutkan larangan buang air kecil sambil berdiri adalah lemah, kecuali hadis 'Aisyah RA yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan ahli sunan, bahawa beliau berkata: "Siapa yang menyampaikan kepada kalian bahawa Rasulullah SAW, namun Imam Nawawi berpendapat bahawa ia tidak membawa larangan secara umum.

Keringanan yang diberikan Islam

Ustaz Asrulnizam Abas yang juga Perunding Latihan di Inner Inspiration Training & Consultancy berkata, apa yang penting ialah sejauh mana anda menitik beratkan soal penjagaan ketika membuang air kencing tadi.

Ini kerana jika anda kencing secara berdiri, kadar percikan air kencing tersebut lebih banyak berbanding jika anda kencing secara duduk.

"Jika tidak berhati-hati pula, sisa air kencing melekat pada pakaian. Bukankah Islam sentiasa memudahkan umatnya dalam setiap urusan, tetapi anda perlu melakukan perkara yang dapat mengurangkan kekotoran najis tersebut.


Islam mementingkan kesihatan umatnya dan kencing berdiri mendatangkan banyak mudarat.

"Tak dinafikan ada dalam kalangan kita yang mungkin menghadapi keuzuran tubuh badan, tidak mampu mencangkung atau mungkin yang patah kaki, sukar untuk kencing dalam keadaan duduk pada setiap masa.

Oleh kerana itulah anda perlu jelas perihal adab-adab ketika kencing dan tahu mengenai cara bagaimana untuk mengelakkan diri anda daripada menanggung najis air kencing tadi.

Sekiranya anda berhati-hati setiap kali masuk ke tandas untuk kencing, maka di sinilah keringanan diberikan terhadap percikan-percikan air kencing yang berkadar kecil dan tidak dapat dilihat tompokannya pada mata kasar," katanya.

Kencing secara berdiri jika dilihat dari perspektif kesihatan pula, menurut Pensyarah Kanan Perubatan, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Ruhi Fadzlyana Jailani, ia memberi risiko kepada masalah kencing tidak lawas yang akan membawa kepada gejala bengkak prostat.

Menurutnya, berdasarkan saringan Kempen Kesedaran Prostat Peringkat Kebangsaan, lebih 50 peratus daripada lelaki yang disaring mempunyai gejala pembengkakan prostat.

Antara tanda-tanyanya ialah pancutan air kencing tidak laju, kencing yang tersekat-sekat, air kencing yang menitis di penghujung waktu kencing dan berasa tidak puas kencing dan kerap untuk ke tandas.

Wanita kencing berdiri

ALLAH jadikan lelaki dan wanita mempunyai keistimewaan tersendiri. Keunikan tubuh badan dan fizikal kaum Adam dan Hawa adalah mengikut fungsi dan peranan mereka kepada ALLAH. ALLAH jadikan wanita mempunyai rahim untuk hamil dan menanggung bayi untuk sembilan bulan lamanya, tetapi tidak pula pada lelaki.

Kemudian ALLAH memberikan perbezaan kerangka dengan kekuatan yang berbeza untuk lelaki memandangkan peranan mereka dalam memimpin. Itu belum lagi diteliti dari aspek dalaman, kekuatan emosi wanita berbanding lelaki, dan juga kebolehan berfikir wanita dan lelaki. Itu semua menunjukkan tidak semua perlakuan lelaki boleh ditiru oleh wanita.

Ustaz Asrulnizam menambah, lebih-lebih lagi dalam konteks bersuci dan membuang air kecil, apabila dinisbahkan wanita kencing berdiri seperti lelaki ia nampak sangat tidak sopan dan berlawanan dengan kelembutan dan sifat penuh adab seorang wanita.

"Kempen yang melibatkan wanita supaya kencing berdiri ini bukanlah perkara baru di dunia Barat. Mereka telah memulakan kempen ini sejak tahun 1999 lagi dengan alasan cara buang air kecil yang diamalkan sebelum ini (cara duduk) adalah melambatkan. Ini kerana mereka beranggapan tiada salahnya jika seorang wanita juga mengamalkan cara buang air sebagaimana lelaki. Jika lelaki boleh, maka pastinya wanita juga boleh.

"Pelbagai jenama seperti Go Girl, Shewee, PiEz (Pee EZ) dan lain-lain  wujud di pasaran semata-mata untuk menggalakkan wanita sedunia mengamalkan kaedah kencing berdiri.

Sehingga hari ini aktiviti kencing berdiri dalam kalangan wanita bukan lagi sesuatu yang pelik di kebanyakan negara maju. Bagi mereka segalanya mesti pantas dan mudah. Tidak perlu difikirkan sangat kesan buruk yang bakal diterima kelak," katanya.

Menurutnya, inilah yang perlu difahami oleh umat Islam khususnya wanita, jika cara buang air kecil ini menjadi satu trend pada wanita Muslim dalam satu jangka masa nanti ia menyumbang kepada terhakisnya kesopanan dan harga diri.

Kita melihat hari ini sebahagian wanita berasakan tiada masalah mereka merokok, hisap vape atau shisha kerana dilihat sebagai budaya yang 'cool'.

Padahal inilah proses yang menghakis rasa malu wanita Muslim sehingga mereka rasa selesa terikut-ikut dengan budaya Barat yang tidak sopan.

Bayangkan, jika aktiviti kencing berdiri mula menular ke dalam budaya Islam yang sememangnya menjaga maruah seorang wanita, apa lagi adab sopan yang anda boleh lihat?


Buang air kecil: Usah pandang remeh


JAM tepat ke angka 3 pagi, si anak lelaki berusia tiga tahun lebih mengejutkan ibunya kerana mahu membuang air kecil, Bangunlah si ibu dengan mata yang mengantuk membawa anak ke bilik air.

Situasi itu jarang-jarang berlaku bukan, rata-rata ibu bapa kerana layankan mengantuk sanggup membiarkan anak menahan kencing sampai ada yang terkucil di tilam.

Kebanyakan individu terutamanya ibu bapa memandang remeh perihal pengurusan air kecil, sedangkan perkara remah itulah jika tidak diuruskan dengan baik menjadi bahana yang mengazabkan.

DUDUK LEBIH BAIK


Pendakwah, Ustaz Asrulnizam Abas berkata, kebersihan adalah perkara yang sangat dituntut dalam agama Islam. Kebersihan menentukan sejauh mana tamadun sesuatu bangsa, cara mereka berfikir serta kesantunan budi pekerti mereka.

Menurutnya, sebagai seorang Muslim, elemen kebersihan juga membawa kepada kualiti ibadah. Pakaian yang bersih, tempat ibadah yang bersih dan tubuh badan yang bersih akan membentuk suasana ibadah yang lebih khusyuk dan sempurna. Bahkan hanya Islam yang mempunyai istilah suci untuk menggambarkan ketinggian terhadap nilai kebersihan.

"Atas faktor inilah Islam menitik beratkan soal bersuci atau untuk lebih difahami ialah cara-cara membersihkan diri selepas membuang air kecil atau air besar, kerana kebanyakan daripada kita selalunya mengambil mudah mengenai perkara ini. Masing-masing beranggapan ia terlalu remeh untuk difikirkan, tanpa sedar sebenarnya ia mengganggu proses penilaian ibadah setiap hari," katanya.

Menyentuh perlakuan segelintir lelaki Muslim dan mukalaf melepas hajat kecil sambil berdiri di dalam semak atau kawasan yang agak tersorok dan membersihkan dengan menggunakan daun-daun pokok di sekitarnya, beliau berkata keadaan begitu akan menimbulkan ketidakselesaan kerana tidak disucikan dengan air bersih. Dalam keadaan bernajis bagaimana mahu menunaikan solat?

"Pertamanya di sini, saya mahu jelaskan kenapa Nabi Muhammad SAW galakkan kita duduk mencangkung apabila mahu membuang air kecil atau air besar, ini kerana fizikal manusia yang ALLAH SWT ciptakan adalah sesuai dalam keadaan mencangkung.

"Mungkin juga anda tidak terfikir mengapa ALLAH menjadikan tubuh manusia mempunyai sendi-sendi seperti leher, bahu, lengan, pinggang, lutut dan pergelangan kaki? Jawapannya sangat mudah kerana ia untuk memudahkan pergerakan termasuklah juga untuk proses pembuangan air kecil dan air besar," katanya kepada Rehal.

Beliau menambah, adab yang betul ketika kencing adalah secara duduk. Posisi ini lebih berkesan dalam membuka ruang di pundi kencing untuk mengeluarkan keseluruhan sisa-sisa air kencing.

Oleh sebab itu, kita disunatkan untuk beristibra’ (berdeham atau menekan pada pundi kencing) ketika kencing, untuk memastikan sisa air kencing tidak tertinggal dan melekat pada pakaian. Dan posisi mencangkung mampu mengeluarkan keseluruhan air kencing dan juga merehatkan otot-otot rektum untuk proses pembuangan air besar.

Membuang air kecil secara berdiri, secara zahirnya dilihat lebih mudah tetapi proses pembuangan air kencing tidak berlaku dengan sempurna. Anda akan berasakan masih ada sisa air kencing yang tertinggal di saluran uretra, terutama di pangkal kemaluan lelaki.

Di sinilah berkemungkinan air kencing tadi akan keluar semula, apabila ia melibatkan pergerakan-pergerakan tertentu seperti berjalan, tunduk, atau duduk. Dalam situasi anda tidak sedar baki air kencing telah keluar dan melekat pada pakaian dalam anda.

Nabi Muhammad SAW memang mengambil berat mengenai isu buang air kecil ini dan pernah mengingatkan kita akibatnya berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA. Rasulullah SAW pernah melalui dua buah kubur, lalu Baginda SAW bersabda: “Ingat, sesungguhnya dua mayat ini sedang diseksa, namun bukan kerana dosa besar.

Yang satu diseksa kerana dia dahulu suka mengadu domba, sedang yang lainnya diseksa kerana tidak membersihkan dirinya dari air kencingnya.” Kemudian Baginda SAW meminta pelepah daun kurma dan dipotongnya menjadi dua.

Setelah itu Baginda SAW menancapkan salah satu pada sebuah kuburan dan yang satunya lagi pada kuburan yang lain dengan bersabda: “Semoga pelepah itu dapat meringankan seksanya, selama belum kering.” (Sahih Muslim No.439)

Sedekah menolak segala bala

JIKA kita suka memberi, kita akan sering menerima. Begitulah gambaran yang terkandung dalam konsep sedekah dalam Islam. Sedekah dalam bahasa Arab disebut shadaqoh bermaksud suatu pemberian diberikan seorang Muslim kepada orang lain secara spontan dan sukarela tanpa dibatasi waktu dan jumlah tertentu.

Juga bermaksud suatu pemberian diberikan seseorang sebagai kebajikan yang mengharap reda ALLAH SWT dan pahala semata-mata. Salah satu pahala sedekah adalah menghindarkan diri kita daripada bencana atau musibah, sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW: "Bersegeralah bersedekah, sebab bala bencana tidak pernah bisa mendahului sedekah.

Belilah semua kesulitanmu dengan sedekah. Ubatilah penyakitmu dengan sedekah. Sedekah itu sesuatu yang ajaib. Sedekah menolak 70 macam bala bencana dan yang paling ringan adalah penyakit kusta dan sopak." (Riwayat Baihaqi & Thabrani)

Sedekah juga menolak bencana di akhirat, sebagaimana sabda Nabi SAW: "Bentengilah diri kalian dari seksa api neraka meskipun dengan separuh buah kurma." (Muttafaqun 'alaih). "Naungan bagi seorang mukmin pada hari kiamat adalah sedekahnya." (Riwayat Ahmad)

Beri secara ikhlas

Sedekah adalah pemberian ikhlas, sama ada benda itu sesuatu yang kita sayang atau tidak. Asas penting yang perlu ada adalah keikhlasan. Maknanya kita tidak mengharapkan sebarang pembalasan apabila bersedekah. Sedekah lebih menjurus kepada barang seperti makanan dan pakaian yang boleh dimanfaatkan orang lain.

Aisyah RA berkata, Nabi SAW bersabda: "Pemurah (dermawan) itu suatu pohon yang akarnya (asal atau pohonnya) di syurga, dan dahan–dahannya menurun ke dunia. Maka sesiapa berpegang kepadanya, akan ditarik dia ke syurga dan kikir (bakhil) itu pohon yang bibitnya asalnya di neraka. Sedang dahan–dahannya akan ditarik ke neraka."

Hakim bin Hizam RA katanya: "Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (tangan yang menerima atau meminta). Maka kerana itu mulakanlah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Sesiapa yang memohon dipelihara (agar ia tidak sampai meminta-minta) ALLAH akan memeliharanya dan sesiapa yang memohon dicukupkan (agar ia tidak bergantung selain kepada ALLAH) ALLAH akan mencukupkannya." (Riwayat Bukhari)

Daripada Abdul Rahman As–Salamani Maula Daripada Umar RA telah berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Jika datang seorang meminta–minta maka jangan kamu putuskan permintaanya sehingga selesai permintaannya, kemudian kamu jawab dengan perkataan yang sopan dan lunak, dengan memberi sedikit atau penolakan yang baik, sebab adakalanya yang datang kepadamu itu bukan manusia dan bukan jin hanya sekadar menguji kamu, bagaimana kau berbuat sedemikian terhadap nikmat yang telah dikurniakan ALLAH kepadamu."

Kelebihan bersedekah secara umum digambarkan dengan indahnya dalam al-Quran. Terdapat banyak sekali ayat suci yang menerangkan perihal kelebihan memberi sedekah.

Dalam kitab Tanbihul Ghafilin, (2012), Abul Laits RA berkata: "Bersedekahlah dengan yang sedikit atau banyak, sebab sedekah itu mengandungi sepuluh kebaikan, iaitu lima di dunia dan lima lagi di akhirat."

Adapun lima kebaikan di dunia dan di akhirat untuk orang yang bersedekah adalah:

DI DUNIA
1. Membersihkan harta kekayaan.
2. Membersihkan badan daripada dosa–dosa.
3. Menolak bala dan penyakit.
4. Menyenangkan hati golongan miskin. Sedangkan sebaik– baik amal adalah menyenangkan orang mukmin.
5. Menjadikan harta semakin berkat dan luasnya rezeki.

DI AKHIRAT
1. Sedekah itu akan menjadi naungan kepada pemberi sedekah.
2. Sedekah itu akan meringankan hisab perhitungan amalnya.
3. Memberatkan timbangan amal kebaikannya di akhirat.
4. Memudahkan menyeberangi titian (sirat).
5. Meningkatkan darjat (kedudukan) di syurga kelak.
Tujuh perkara yang dapat menumbuhkan sedekah dan membesarkan pahala:
1. Mengeluarkannya daripada harta yang halal.
2. Menginfakkan harta kita walaupun sedikit.
3. Menimbulkan kebimbangan dan khuatir dalam hati sekiranya tidak berpeluang bersedekah.
4. Memilih apa yang paling terbaik kerana bimbang jika termasuk dalam golongan bakhil.
5. Memberikan sedekah dengan cara bersembunyi kerana bimbang termasuk dalam golongan yang riyak.
6. Tidak menghina da mencela kepada yang diberi takut berdosa
7. Keajaiban bersedekah dapat tolak bala.

Ajaibnya amalan bersedekah

Terdapat kisah benar perihal keajaiban sedekah boleh menolak bala dipetik daripada buku Musthofa Syaikh Ibrohim Haggi berjudul Tolak Bala: Menepis Bencana dengan Lantunan Doa. Dalam penulisan buku tersebut penulis mengisahkan sepasang suami isteri yang berniaga kuih–muih. Pasangan itu mempunyai seorang anak yang masih bersekolah. Suatu hari, anaknya ditimpa kemalangan sehingga koma selama lima hari kerana mengalami kemalangan yang teruk. Tidak berapa lama anaknya terjaga dari koma dan boleh meneruskan sesi pembelajaran seperti sediakala di sekolah.

Selain itu, keluarga ini  juga memperoleh  wang simpanan sebanyak lima belas juta rupiah, dan kos perubatan yang telah mereka keluarkan sebanyak lapan juta, sehingga masih ada baki wang yang cukup untuk keperluan keluarga.

Ketika  mereka berdua memulakan perniagaan  kuih–muih di pasar (semenjak 35 tahun yang lalu), suami isteri itu selalu bersedekah.

Penulis membayangkan setiap cubaan dan musibah yang menimpa keluarga tersebut terselit pengajaran yang dapat diambil iaitu  mereka sekeluarga masih lagi mendapat nikmat yang masih berbaki daripada  wang simpanan  dan anak mereka masih dalam keadaan sihat walafiat tidak kurang satu apa pun seperti sedia kala.

Baca al-quran dengan terjemahannya , 5 teladan daripada Surah Al-Kahfi

Baca al-quran dengan terjemahannya

SAYA dengan al-Quran diibaratkan sebagai hubungan yang hadir tanpa perasaan. Ia umpama kewajiban yang perlu saya lunaskan sebagaimana wajibnya solat dan berpuasa ketika Ramadan.

Ketika menuntut di universiti, saya baca al-Quran setiap hari selepas solat Maghrib (sementara menanti masuknya waktu Isyak). Sejujurnya, saya tidak faham apa yang dibaca kerana membaca tanpa terjemahan.

Pada Ramadan ketika di tahun dua pengajian, saya membeli terjemahan al-Quran, alhamdulillah, saya berjaya menghabiskan bacaan namun, disebabkan membaca tanpa merujuk dengan sumber yang lain, saya tidak dapat memahami apa yang dibaca.

Namun saya terus membaca al-Quran, kerana saya ingat pesan ustazah di sekolah menengah: "Jika mahu ketenangan jiwa, bacalah al-Quran." Saya baca, dan semakin dekat dengan musim peperiksaan, makin kerap saya baca.

Sepanjang lima tahun pengajian, lima kali jugalah khatam al-Quran. Tapi, saya masih tidak faham apa yang dibaca, saya tidak dapat beramal dengan kandungan ayat suci tersebut.

Sebaik tamat pengajian dan masuk ke alam pekerjaan sehinggalah berumah tangga, al-Quran jadi semakin jauh dengan saya. Alasannya, saya sibuk. Saya hanya meluangkan masa membaca Surah Yasin pada malam Jumaat, dan surah-surah pendek yang lain bila berkelapangan.

Metodnya masih sama, membaca tanpa mengambil tahu apa makna bacaan tersebut. Membaca sekadar baca.

Penghujung 2009, saya jatuh sakit. Berbulan berulang alik ke hospital untuk rawatan. Sakit itu mengembalikan roh saya kepada Pencipta, ALLAH SWT. Saya sedar hanya Dia tempat mengadu dan memohon pertolongan.

Saya mula kembali membaca, bukan sahaja al-Quran, tetapi juga buku-buku keagamaan lain bagi menambahkan ilmu yang sekian lama telah saya pinggirkan. Saya juga mula menyertai program kerohanian dan bermula dengan penyertaan saya ke Konvensyen Bidadari 2012, saya mendapat inspirasi menjadikan al-Quran sebagai sahabat baik.

Bermula 2013, saya berazam untuk menghabiskan bacaan al-Quran berserta terjemahan sebanyak dua kali setahun. ALLAH izinkan, bukan dua tetapi tiga kali pada tahun tersebut. Saya juga berazam untuk menghafal surah-surah juzuk amma, namun hajat untuk menghafal surah-surah pada juzuk amma itu sering kali tertangguh. Sukar betul rasanya. Pada perkiraan saya, mungkin menghafal adalah sukar kerana saya tidak faham bahasa Arab. Lantas, harapan baru dalam hati adalah untuk belajar bahasa Arab al-Quran.

Saya cuba hafal 10 ayat pertama Surah Al-Kahfi dan setelah ditasmik, didapati bacaan saya agak lemah dari segi tajwid. Saya tekad, saya mesti belajar tajwid untuk melancarkan bacaan dan memudahkan saya menghafal.

Tahun 2015, saya berazam khatam al-Quran dan terjemahan sebanyak enam kali, iaitu khatam setiap dua bulan. Alhamdulillah, sehingga ke hari ini masih mengikut jadual yang ditetapkan. Saya juga mula menghafal ayat tertentu dalam al-Quran dan sekarang kembali menghafal juzuk amma.

Masalah yang saya hadapi adalah perkara tasmik. Apa yang saya lakukan untuk menghafal ialah, saya akan hafal, kemudian merekodkan bacaan saya dan mendengarkan kembali dan menyemak sama ada bacaan saya itu betul atau tidak dari segi hukumnya.

Kaedah ini mudah dan efektif, tetapi kurang memotivasikan. Saya perlukan guru untuk membantu hafal al-Quran. Setiap kali selepas bersolat, saya selitkan doa agar perjalanan saya untuk menghafal al-Quran dipermudahkan-Nya.

Sebagai seorang suri rumah, dengan tiga anak yang sedang membesar, cabaran utama saya adalah masa dan mobiliti. Dengan kemudahan internet, saya manfaatkan untuk mendekatkan diri saya dengan ALLAH dan al-Quran. Saya percaya al-Quran adalah satu-satunya sumber melembutkan hati dan membentuk sahsiah diri.

Suatu petang, saya masuk ke dapur untuk menyediakan makan malam. Tiba-tiba pintu diketuk dan terdapat seorang peminta sedekah di muka pintu. Saya beri semua wang yang berbaki dalam dompet, dan sebelum dia beredar, saya teringat akan kisah di dalam Surah Al-Insan, lantas bertanya kepadanya adakah sudah makan atau belum? Dia menjawab, belum.

Memandangkan saya baru siap memasak, saya bungkus sedikit makanan kepadanya. Dia kelihatan sangat bersyukur dan gembira, dan saya berharap anak-anak juga mengambil pelajaran daripada situasi tersebut.

Atas ibrah daripada al-Quran, saya berasakan jika tidak terdedah kepada pelajaran dalam al-Quran. Saya yakin, saya hanya akan memberi peminta sedekah itu RM2, dan baki selebihnya menyimpan untuk diri sendiri.


5 teladan daripada Surah Al-Kahfi

KISAH Nabi Musa AS dan Khidir adalah kisah menarik  dan banyak pengajaran yang boleh diambil daripadanya. Dalam hadis diriwayatkan Imam Al-Bukhari: "Semasa Musa berdiri di khalayak Bani Israel, datang seorang lelaki lalu beliau bertanya: "Adakah engkau mengetahui sesiapa yang lebih berilmu darimu?"

Jawab Nabi Musa: "Tidak." Lalu ALLAH memberi wahyu kepada Nabi Musa dengan menjawab: "Bahkan, hambaku Khidir (lebih berilmu darimu)." Lalu Musa bertanya bagaimana untuk menemuinya?

Hadis di atas bukanlah menunjukkan Nabi Musa sombong. Bahkan, Nabi Musa hanya bersangka beliaulah yang paling berilmu kerana kitab Taurat diturunkan kepada beliau.

Sambungan kepada kisah ini terdapat dalam Surah Al-Kahfi ayat 60 hingga ayat 82.

Antara lima pengajaran yang boleh diambil daripada Surah Al-Kahfi:-

1. Kesungguhan dalam menuntut ilmu
Ayat dalam Surah Al-Kahfi ayat 60 menerangkan kesungguhan Nabi Musa menempuh satu perjalanan yang jauh dan lama demi mencari seorang yang lebih alim daripadanya (Khidir) demi menuntut ilmu. Penuntut ilmu juga perlu mempunyai kesungguhan dalam menuntut ilmu. Hal ini kerana jika kita tidak bersungguh, ilmu kita tidak akan bertambah dan ia tidak akan membawa kita kepada kejayaan yang ingin dicapai.

2. Pengorbanan
Surah Al-Kahfi ayat 62 menjelaskan mengenai perjalanan untuk mencari Khidir bukanlah satu perjalanan yang mudah bagi Nabi Musa dan penemannya. Nabi Musa perlu menempuh kesusahan akibat kekurangan makanan, perjalanan yang sangat jauh dan meninggalkan keluarga demi menuntut ilmu. Begitu juga bagi penuntut ilmu, perlunya penuntut ilmu berkorban tenaga dan jiwa raga demi menuntut ilmu hingga berjaya menguasai ilmu tersebut.

3. Rendah diri
Dalam ayat 66 Surah Al-Kahfi ada menerangkan walaupun Musa mempunyai darjat yang lebih tinggi (seorang Rasul ‘ulul ‘azmi)  daripada Khidir. Namun baginda tetap merendah diri dan bertanya kepada Khidir dengan sopan untuk menimba ilmu daripadanya.  Seorang penuntut ilmu perlulah mempunyai sifat rendah diri kepada gurunya, walaupun insan yang berkongsi ilmu tersebut mungkin lebih rendah daripada kita. Al-Quran mengajar kita untuk merendah diri dan terus menghormati guru kita.

4. Taat kepada guru
Surah Al-Kahfi ayat 69 juga menerangkan Nabi Musa taat kepada syarat yang diletakkan gurunya, Khidir walaupun kedudukan Nabi Musa lebih tinggi daripadanya. Seorang penuntut ilmu perlu taat akan syarat dan memenuhi disiplin seorang penuntut ilmu untuk berjaya.

5. Bersabar
Musa berkata: "Janganlah engkau menghukum aku disebabkan aku lupa dan janganlah engkau membebani aku dengan sesuatu kesulitan dalam urusanku." (Surah Al-Kahfi: 73) Khidir melakukan tiga perkara yang pada mata Musa, ia bercanggah dengan hukum ALLAH. Apabila Musa mempersoalkan perkara tersebut, Khidir mengingatkan Musa mengenai perjanjian mereka. Nabi Musa terus bersabar dengan syarat yang diberikan oleh Khidir.

Penuntut ilmu juga perlu bersabar semasa menimba ilmu. Jangan sesekali mengalah dalam medan ilmu dan teruslah bersabar demi memetik mutiara ilmu di dada ilmuwan. Ada kalanya, guru akan melakukan perkara yang membuat kita hilang sabar semasa menuntut ilmu.

Ada juga situasi yang mana guru membuat perkara yang tidak wajar, namun penuntut ilmu haruslah "buang yang keruh, ambil yang jernih" daripada situasi tersebut.

Jangan diikuti perkara yang salah, dan terus konsisten dalam menuntut ilmu. Penuntut ilmu perlu sedar hakikat tidak semua guru sempurna, ada kalanya mereka juga melakukan kesilapan.

Demikianlah lima perkara yang dapat dipelajari daripada Surah Al-Kahfi. Semoga perkongsian ringkas ini memberi manfaat dunia dan akhirat buat pembaca. Ayuh kita terus berusaha menjadi penuntut ilmu di bawah lembayung qurani.

Berminat untuk mempelajari pengajaran daripada kehidupan Nabi Musa dengan lebih mendalam, anda dijemput untuk menghadiri seminar "Apabila Laut Terbelah: Ibrah Kisah Nabi Musa". Seminar ini mensyarahkan pengajaran daripada kehidupan Nabi Musa sejak kelahirannya hingga baginda menjadi seorang Rasul.  Maklumat lanjut, layari bit.ly/ibrahmusa atau hubungi kami di talian 03-8912 0898.

Mudarat kedua terbesar

SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang telah mengharamkan hal-hal keji dan menegah manusia daripada mendekati sebab-sebab yang membawa ke arahnya, sebagai satu rahmat buat hamba-Nya demi memelihara mereka daripada segala yang boleh memudaratkan di dunia mahupun di akhirat.

Ketahuilah, antara perkara keji yang paling besar diharamkan ALLAH dalam al-Quran dan atas lisan Rasul-Nya adalah kekejian zina. Firman-Nya: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan." (Surah Al-Israa': 32)

MUDARAT ZINA

Ternyata mudarat akibat zina adalah seburuk-buruk mudarat yang menyalahi maslahat manusia untuk menjaga nasab, maruah dan kehormatan diri di samping membawa kepada permusuhan dan kebencian dalam kalangan manusia akibat pencabulan maruah isteri, anak perempuan, adik perempuan atau kakak serta ibu mereka, mudarat yang akan membawa kerosakan atas muka bumi.

Mudarat zina adalah mudarat kedua terbesar selepas dosa membunuh. Hal ini sebagaimana ALLAH kaitkan antara jenayah zina dengan jenayah membunuh dalam al-Quran dan sunnah.

Firman-Nya: "Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain di samping ALLAH, dan tidak membunuh jiwa yang ALLAH haramkan membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak; dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya." (Surah Al-Furqaan: 68)

Lihat bagaimana ALLAH menyebutkan kesalahan zina sesudah dosa syirik dan membunuh dan dalam ayat berikutnya (ayat 69) ALLAH mengancam pelaku dosa-dosa tersebut dengan azab seksa yang dilipat gandakan sekiranya mereka tidak bertaubat dan beramal soleh.

Dalam ayat utama yang melarang zina, ALLAH berfirman: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan." (Surah Al-Israa’: 32)

ALLAH menjelaskan dalam ayat di atas, zina adalah perbuatan keji (faahisyah) yang menjurus kepada erti perbuatan yang sangat buruk dan hina. Lalu dijelaskan mengenai mudaratnya terhadap masyarakat ia adalah 'seburuk-buruk jalan'. Jalan yang membawa kepada kerosakan dan kepapaan di dunia, kehinaan dan malu di samping azab seksa di akhirat.

Buruknya perbuatan zina dapat dilihat pada beratnya hukuman hudud yang dikenakan atas pelakunya. Firman ALLAH: "Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat setiap seorang daripada keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua mereka dalam menjalankan hukum ALLAH; jika benar kamu beriman kepada ALLAH dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan atas mereka itu sekumpulan daripada orang-orang yang beriman." (Surah Al-Nuur: 2)

Ayat di atas adalah ketetapan hukuman atas penzina yang belum berkahwin. Adapun mereka yang sudah berkahwin, hukuman atas mereka adalah rejam sampai mati sebagaimana yang sabit dalam hadis yang sahih.

Daripada sudut yang lain, ALLAH menjanjikan kejayaan hamba itu dengan menjaga kemaluannya daripada terjebak dalam zina. Tiada kejayaan tanpa memenuhi syarat tersebut. Firman ALLAH: "Telah berjaya orang yang beriman. Iaitu mereka yang solat dengan khusyuk."

Sehingga ke firman-Nya: "Dan mereka yang menjaga kemaluan mereka. Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba yang mereka miliki; sesungguhnya mereka itu tidak tercela.

Kemudian, sesiapa yang mengingini selain daripada yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas." (Surah Al-Mu'minuun: 1-7)

PENGAJARAN DARIPADA AYAT

Ayat di atas mengandungi hal-hal

yang berikut:-

Kenyataan barang siapa tidak menjaga kemaluannya dia tidak akan berjaya

Barang siapa tidak menjaga kemaluannya akan tergolong dalam kalangan mereka yang tercela

Mereka yang tidak menjaga kemaluannya terdiri dalam kalangan golongan yang melampaui batas.

Ternyata orang yang berzina tidak akan berjaya, dicela dan termasuk dalam kalangan kelompok yang melampaui batas.

Sebagaimana ALLAH mencela perbuatan zina dan menjelaskan akibat buruknya di dunia dan akhirat, dalam masa yang sama ALLAH juga telah meletakkan batasan bagi mengelak manusia daripada terjebak dalam kancah dosa ini.

Dengan erti kata lain, dengan menjaga batasan sempadan ini ia akan memelihara seseorang individu itu daripada zina.

BATASAN BAGI MENGELAK ZINA

Batasan ini adalah:-

Pertama: Ditegakkan hukuman atas pesalah zina dengan disebat orang yang belum berkahwin dan dibuang daerah selama setahun sebagaimana yang ditetapkan dalam hadis sahih di samping direjam orang yang sudah berkahwin sehingga mati.

ALLAH mengingatkan agar hukuman berat ini jangan sampai membuatkan kita mengelak daripada melaksanakannya akibat belas kasihan terhadap mereka. Dan hendaklah hukuman ini dilaksanakan di hadapan khalayak ramai supaya menjadi pengajaran buat semua.

Kedua: ALLAH memerintahkan supaya menundukkan pandangan mata daripada melihat yang haram.

Diperintahkan supaya menjaga  pandangan mata kerana asas permulaan zina adalah dengan melihat.

Kerana itu ALLAH mendahulukan perintah menundukkan pandangan mata sebelum perintah menjaga kemaluan. Sebagaimana kebanyakan kebakaran api bermula dengan percikan api yang kecil, demikian juga zina yang bermula dengan pandangan 'tidak bersalah' sebelum terbit keinginan dalam hati dan kaki mengorak langkah.

Kerana itu barang siapa melepaskan pandangan matanya melihat yang haram, sungguh dia telah mendekatkan dirinya di tepian lembah kebinasaan.

Sabda Nabi SAW: "Wahai Ali, jangan kau turuti pandangan pertama dengan yang berikutnya kerana sesungguhnya yang pertama adalah bagi engkau manakala yang berikutnya tidak." (Riwayat Imam Ahmad. Sahih)

Apa yang dimaksudkan dengan pandangan pertama adalah pandangan yang berlaku secara tidak sengaja. Kerana itu pandangan pertama dimaafkan. Tetapi hendaklah orang tersebut segera mengalihkan pandangannya. Jika tidak, dia akan mendapat dosa.

Ketiga: Diperintahkan agar wanita menutup aurat mereka dengan memakai pakaian yang menepati ketetapan syarak. Di samping menutup aurat, pakaian tersebut hendaklah dipastikan tidak ketat dan tidak jarang.

Keempat: Islam melarang perbuatan khalwat lelaki dan perempuan yang bukan mahram kerana ia akan mengundang bisikan syaitan untuk mereka berdua melakukan hal-hal yang keji walau sehebat mana pun ketakwaan dan tahap pegangan agama mereka.

Sabda Nabi SAW: "Jangan seorang kamu berdua-duaan dengan seorang perempuan kecuali dengan adanya mahram." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Kelima: Dilarang wanita bermusafir tanpa mahram. Keadaannya bermusafir tanpa ada lelaki mahram di sisinya akan mengundang bahaya atas dirinya mengenangkan keadaannya yang serba lemah dan mudah terpedaya dengan pelawaan pujuk rayu serigala-serigala manusia.

Keenam: Islam menegah wanita keluar rumah dalam keadaan 'tabarruj' menzahirkan kecantikan mereka dan memakai wangi-wangian. Ini semua kerana perbuatan sedemikian akan mengundang pandangan mata liar terhadapnya dan akhirnya membawa kepada perzinaan.

Semoga kita dikurniakan ketakwaan kepada ALLAH untuk menjauhi segala sebab-sebab yang membawa kepada dosa yang keji ini.

Hidup makin mencabar, kesabaran boleh tercabar

ANTARA yang membuatkan perasaan insan menjadi resah dan gelisah ialah apabila memikirkan kesulitan untuk meneruskan kehidupan hari-hari mendatang.

Apatah lagi bagi seorang suami atau ayah yang menjadi ketua keluarga, bukan hanya perlu berfikir perihal diri sendiri, tetapi juga isteri dan anak-anak di bawah tanggungannya.

Rumah kediaman, makan minum, pakaian, kenderaan, pendidikan anak-anak dan pelbagai lagi semuanya perlu kepada wang ringgit.



Desakan hidup membuatkan ramai ibu bapa tidak dapat memenuhi permintaan anak.

Sebahagian orang tidak berhasrat pun untuk memiliki semua itu dalam bentuk yang serba mewah kerana untuk mendapatkan yang asas pun sudah terlalu perit baginya. Gaji tidak berubah, sedangkan kos hidup semakin bertambah.

Dalam masa sama, sebahagian orang pula terus mengacapi hidup senang dan mewah. Kekayaan melimpah ruah. Keresahan mereka bukan memikirkan bagaimana untuk mendapatkan wang bagi membayar sewa rumah, yuran sekolah, mengisi petrol, membayar tol, makan minum dan sebagainya.

Tetapi, mereka gelisah apabila ada jawatan yang terlepas, elaun keraian dipotong, rumah banglo kelima belum siap, kereta mewah kelapan belum sampai, nombor plat idaman disambar orang kenamaan, 'cable' kuat sudah tiada dan bermacam lagi perkara yang dirisaukan mereka.

Salahkah untuk menjadi kaya? Tentunya tidak! Kekayaan, jika dimiliki oleh insan mukmin yang bertakwa, kebaikannya juga akan dirasai oleh orang lain.

Apa yang tercela ialah apabila kekayaan yang dikecap diperoleh dengan cara yang salah, rasuah, penipuan, salah guna jawatan, merompak dan sebagainya. Lebih tercela apabila si penipu, si perasuah, si perompak berlagak suci seakan-akan tidak bersalah. Bila dipersoalkan, ada sahaja helah.

Bila dibawa bukti, dikatakan bukti itu telah diubah. Bila disuruh berhenti, diminta masa sedikit lagi. Terserahlah... segala pengaduan hanya diserah kepada ALLAH SWT.

Islam memerangi kemiskinan

Islam menyuruh kita mengeluarkan diri dari kemiskinan dan berlindung dari kefakiran. Sebab itu, antara doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW ialah: "Wahai ALLAH, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada kekufuran dan kefakiran." (Riwayat Abu Daud)

Al-Quran mengarahkan kita untuk keluar mencari rezeki yang disediakan di segenap pelosok bumi ini.

Firman ALLAH: "Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan." (Surah Al-Mulk: 15)

Bekerja, bukan  meminta

Bekerja adalah senjata pertama yang diajarkan Islam bagi memerangi kemiskinan. Bak kata pepatah: "Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang".

Begitu juga dengan wang ringgit. Ia tidak jatuh berterbangan dari langit lalu hanya ditadah oleh manusia. Kita perlu bekerja dan berusaha. Yakinlah bahawa ALLAH Maha Tahu untuk mengatur rezeki kepada hamba-hamba-Nya.

Bekerjalah lalu tawakal kepada-Nya. Jangan hanya duduk bersandar di rumah, lalu mengeluh mengapa duit tidak bertambah. Rasulullah SAW mengajar kita supaya bertindak terlebih dahulu sebelum berserah kepada ALLAH.

Baginda SAW pernah berpesan kepada seorang Arab Badwi yang membiarkan sahaja untanya tanpa diikat dengan alasan dia bertawakal kepada ALLAH. Lalu, Baginda SAW bersabda:

"Ikatlah dulu untamu itu kemudian baru engkau bertawakal." (Riwayat Al-Tirmizi, hadis hasan sahih)

Tawakal yang dilakukan sepenuh hati setelah berusaha juga sekuat diri, ia tidak akan dibiarkan sepi kerana ALLAH itu Maha Pemberi Rezeki.  Maka, usahlah dibimbangkan.

Rasulullah SAW berpesan: "Seandainya kalian bertawakal kepada ALLAH dengan sebenar-benar tawakal kepada-Nya, sungguh kalian akan diberikan rezeki oleh ALLAH sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung.

Pagi hari burung itu keluar dalam keadaan perut kosong, lalu pulang di waktu petang hari dalam keadaan kenyang." (Riwayat Al-Tirmizi, hadis hasan)

Di dalam hadis lain, Rasulullah SAW memuji mereka yang makan hasil daripada usaha sendiri. Sabda Baginda SAW:

"Tidak ada suatu makanan yang lebih baik bagi seseorang (selain) daripada apa yang dihasilkan oleh usaha tangannya sendiri." (Riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW memuji orang yang berusaha mencari rezeki sendiri berbanding dengan hanya meminta-minta daripada orang lain. Rasulullah SAW mengingatkan: "Sungguh, seseorang dari kalian mengambil tali lalu membawa seikat kayu bakar di atas belakangnya, kemudian dia menjualnya sehingga dengannya ALLAH menjaga wajahnya (kehormatannya), itu lebih baik baginya daripada ia meminta-minta kepada orang lain, mereka memberinya atau tidak memberinya." (Riwayat Muslim)

Pekerjaan yang kita pilih sekarang sebagai sumber mencari pendapatan, lakukan dengan terbaik. Sentiasa tambahkan ilmu, kemahiran dan kepakaran. Kebiasaannya, kita akan dibayar setimpal dengan kemahiran dan kepakaran yang dimiliki. Semakin meningkat kemahiran dan kepakaran, mudah-mudahan meningkat juga pendapatan.

Kos naik, gaji kekal

Namun, realiti yang berlaku kita perlu akui. Ada sebahagian orang mereka sudah bekerja, namun pendapatan mereka masih belum mampu untuk membiayai keperluan asas kehidupan kerana kos sara hidup yang meningkat.

Harga barang-barang keperluan naik, tambang bas sekolah naik, sewa rumah naik, petrol naik, tol naik, tambang kenderaan awam naik dan pelbagai lagi yang naik dan bakal naik.

Apa yang turun? Hanya hujan yang turun bersama titisan air mata kesedihan dan keresahan.

Betapa ramai ibu bapa yang hati kecil mereka menangis kerana tidak mampu memberikan sedikit keselesaan kepada anak-anak mereka seperti orang lain. Teringin juga untuk melihat anak-anak tidur dalam bilik sendiri di rumah sendiri, dibawa makan juadah lazat di restoran hebat, pergi bercuti bersama keluarga sekali sekala, pakai pakaian yang cantik dan berkualiti dan sebagainya.

Namun, apakan daya, pendapatan yang ada dalam suasana kos sara hidup yang tinggi belum memungkinkan semua itu lagi. Bagi mendapatkan keperluan asas pun kadang-kadang perlu berhutang, apatah lagi berbelanja untuk itu.

Zakat banyak, tapi...

Justeru, selain anjuran untuk bekerja, apa lagi solusi yang Islam sediakan? Banyak lagi.

Antara yang paling ketara dan sepatutnya berkesan ialah pensyariatan zakat. Zakat memang diperuntukkan khusus bagi membantu mereka yang menghadapi masalah kewangan dan kesempitan hidup.

Jumlah kutipan zakat negara kita saban tahun mencatat ratusan juta ringgit. Terbukti, betapa syariat zakat ini mampu mengumpulkan jumlah wang yang begitu banyak bagi membantu asnaf terutamanya golongan fakir dan miskin.

Namun, mengapa kita masih lagi lihat dan dengar kisah-kisah sedih kehidupan masyarakat yang dihimpit kemiskinan dan kefakiran? Persoalan ini boleh mencetuskan lagi seribu satu persoalan dan jawapan lain.

Semoga ALLAH membantu mereka yang menguruskan urusan wang zakat ini agar benar-benar dapat membantu dan menjadi solusi kepada isu-isu kemiskinan dan kefakiran di negara kita.

Tidak enak rasanya institusi yang berkaitan dengan Islam terpalit dengan kritikan-kritikan yang kuat juga asasnya.

Sudahlah sesak dada kita melihat kepincangan dalam isu pengurusan harta negara belum lagi reda, maka janganlah institusi Islam yang menguruskan harta umat juga tercemar.

Jika dalam kehidupan yang semakin mencabar ini, yang di atas turut sama berasai keperitan seperti yang di bawah, kita tidak kisah. Namun, jika yang di bawah sahaja termengah-mengah dan resah, sedangkan yang di atas semakin bermewah dan megah, itu yang kita ambil kisah.

Lalu ada pula yang menyuruh buat dua tiga kerja, ubah gaya hidup, kurangkan belanja, kurangkan makan, kurangkan itu dan ini serta banyakkan bersabar, sedangkan yang menyuruh tidak nampak pun berubah, bagaimana untuk bersabar.

Sebab itu, jika ini yang berlaku dalam suasana kehidupan yang makin mencabar, kesabaran pun boleh tercabar.