January 22nd, 2016

Khutbah Jumaat ~ Putus Asa Menghancur Kehidupan

Sedutan Khutbah (22 Januari 2016 / 12 Rabiul Akhir 1437H) JAWI

"Putus Asa Menghancur Kehidupan"

Sejak merdeka, Malaysia telah mempunyai satu rekod ekonomi terbaik di Asia. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang pada kadar purata 6.5% setahun selama hampir 50 tahun. Ekonomi negara yang dahulu secara tradisinya bersumberkan kekayaan alam semulajadi tetapi kini telah berkembang dalam sektor sains, pelancongan, perdagangan dan pelancongan perubatan.

Pencapaian cemerlang ini, antara lain telah disumbangkan melalui kecekapan agensi-agensi kawalan sempadan, khususnya Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan umumnya agensi-agensi pertahanan dan keselamatan yang terlibat secara khusus dalam mengawal pergerakan keluar-masuk dagangan.

Namun dalam jendela 2016 ini, usaha untuk mengekalkan kecemerlangan ini semakin mencabar terutama wujudnya isu ancaman pengganas dan jenayah terancang oleh kumpulan militan IS atau pengganas Daesh yang semakin bertambah dan nampak sukar dibanteras.

Fenomena ini sekaligus akan melahirkan kegusaran pelabur asing dan meningkatnya penglibatan golongan muda Islam untuk turut serta di dalam peperangan yang berlaku di Syria dan Iraq atas nama “jihad” dan “syahid”.

Fahaman radikal yang dibawa oleh golongan IS dan ideologinya yang tersasar menjadi ancaman dalam negara. Kebanyakan individu yang terpengaruh dengan fahaman ini adalah golongan yang rasa kecewa dan marah terhadap situasi semasa dalam negara, mahupun dunia sehingga mendorong mereka menyertai kumpulan pengganas.

Allah SWT telah menjelaskan di dalam Surah Yusuf ayat 87, Maksudnya: “Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin) dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir"

Golongan yang tidak berputus asa membuktikan bahawa mereka mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap diri sendiri.

Islam menuntut umatnya agar mempunyai keyakinan dan kepercayaan kepada diri dan tidak putus asa dalam mencari rahmat dan hidayah Allah SWT.

Sebagai hamba Allah, adalah menjadi kewajipan kita untuk berusaha dan berikhtiar serta mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi. Inilah manifestasi orang beriman yang memiliki hubungan yang rapat dengan Allah SWT dan diberi kerahmatan.

Mereka tidak sesekali berputus asa dari rahmat Allah SWT, walaupun dilanda ujian yang sangat hebat kerana memperoleh ketenangan hati yang hanya percaya kepada Allah SWT.

Allah SWT menjelaskan di dalam surah al- Hijr ayat 52, Maksudnya: “Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi Salam dengan berkata: Selamat sejahtera kepadamu! Dia berkata: Sesungguhnya kami berasa takut kepada kamu."

‘Wajilun’ di sini adalah kegoncangan hati kerana menyangka akan berlaku sesuatu yang buruk. Apabila seseorang bersangka buruk kepada Allah SWT, maka ia telah menghina diri sendiri dan bersedia untuk menerima keburukan yang difikirkannya. Ini jelas menolak segala bentuk positif yang diinginkan oleh Islam.

Sempena sambutan HARI KASTAM SEDUNIA KALI KE-34 Tahun 2016 ini juga, mimbar menyeru sidang Jumaat dan khususnya warga Jabatan Kastam Diraja Malaysia, supaya dapat menjadikan sambutan ini sebagai salah satu wadah untuk menyemarakkan obor semangat untuk berkhidmat mengikut prinsip-prinsip yang telah ditetapkan.

Manakala kepada semua agensi yang terlibat dalam kawalan sempadan negara, marilah kita sama-sama mengukuhkan kerjasama serta meningkatkan keupayaan diri masing-masing ke arah memperteguhkan tadbir urus terbaik dengan menjunjung nilai-nilai murni, beretika, adab sopan dan saling memahami.

Semoga dengan itu, kita dapat memberikan keberhasilan yang mensejahterakan rakyat. Secara tuntas, tindakan yang bersepadu amat perlu dilaksanakan dengan memberi kesedaran kepada semua pihak akan tanggungjawab menjaga keselamatan adalah tanggungjawab bersama. Ia bukan terletak di bahu kastam atau dalam kalangan anggota-anggota pertahanan dan keselamatan sahaja tanpa didokong oleh setiap individu rakyat negara ini.

Perjuangan mempertahankan keamanan dan keselamatan adalah sebahagian daripada ibadah dan tanda jihad kita di jalan Allah SWT.

Mengakhiri khutbah hari ini, marilah bersama-sama kita menghayati iaitu :

Pertama : Sikap tidak berputus asa dengan ujian yang menimpa menuntut kita untuk menjadi yang lebih baik.

Kedua : Sentiasa bersangka baik dan memohon pertolongan Allah SWT dalam segenap hal.

Ketiga : Amalkan sikap tidak berputus asa dan bersabar serta jauhi tindakan yang mengikut emosi dan hawa nafsu.

Firman Allah SWT di dalam surah al-An’am ayat 82:Maksudnya: “Orang yang beriman dan tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman, bagi mereka itulah keamanan dan merekalah yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Anaam:82).

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ “Gejala Fitnah Meruntuhkan Ummah”

Sedutan Khutbah Jumaat 22 Januari 2016: JAIS

“Gejala Fitnah Meruntuhkan Ummah”

Fitnah atau penyebaran fitnah ialah tuduhan atau tohmahan yang diada-adakan sama ada ia berbentuk , gambar, kisah-kisah dan sebagainya yang boleh memburukkan atau memalukan seseorang individu, sesebuah institusi atau kumpulan dan seumpamanya. Mudah berlaku sama ada melalui ucapan, khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mail, laman sesawang atau blog, whatssap, facebook, instagram dan sebagainya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 6:  “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.

Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah. Budaya menabur fitnah, menyebarkannya dan berkongsi fitnah dan istilah moden hari ini disebutkan “share” dan “like” adalah sesuatu yang keji dan amat dibenci oleh Islam sehingga ianya dikategorikan sebagai dosa besar.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 19: “Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhantuduhan yang buruk dalam kalangan orang yang beriman, mereka akan beroleh azab yang amat pedih di dunia dan di akhirat dan Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui”.

Menabur fitnah dengan mengumpat dan sebagainya berlaku sama ada disedari atau tidak, termasuk dalam sikap buruk apabila seseorang menyebut atau menceritakan keburukan seseorang tanpa menyiasat terlebih dahulu. Penyebar berita biasanya menyebut "dengar khabar", "khabar angin" atau “viral”.

Antara ancaman dan dosa fitnah dan penabur fitnah yang disebutkan oleh al-Quran dan al-Sunnah ialah:

1. Penabur fitnah yang paling berbahaya dan berdosa besar bahkan tidak diterima menjadi saksi selama-lamanya ialah fitnah Qazaf (tuduhan zina tanpa saksi) sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 4:
“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka (penyebar fitnah) lapan puluh kali sebat, dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya, kerana mereka adalah orang-orang yang fasik”.

2. Penabur fitnah dan pengumpat disifatkan sebagai sekeji-keji manusia. Hadis daripada Abdul Rahman Bin Ghanmin RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sekeji-keji manusia ialah mereka yang berjalan menabur fitnah, mereka yang melaga-lagakan di antara insan yang berkasih sayang dan mereka yang mencari-cari kesalahan terhadap orang yang tidak bersalah”. (Riwayat Imam Ahmad).

3. Menabur fitnah dan mengumpat diumpamakan seperti memakan daging saudaranya sendiri.

Sesungguhnya manusia yang waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah berdosa; janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”.

4. Penghasut, pengadu domba dan batu api akan disiksa di dalam kubur. Hadis daripada Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Sesungguhnya mereka berdua (penabur fitnah dan pengumpat) di azab dan tidaklah mereka berdua di azab disebabkan dosa-dosa besar yang mereka lakukan tetapi disebabkan salah seorang mereka tidak berselindung ketika membuang air kecil dan seorang lagi memecah belahkan masyarakat dengan berjalan menabur fitnah”. (Riwayat Al-Bukhari).

Selain ancaman dan dosa fitnah serta penabur fitnah sebagaimana yang disebutkan oleh syarak, fitnah juga turut membawa keburukan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Antaranya ialah:

1. Dosa pembuat dan penyebar fitnah disifatkan sebagai dosa sesama manusia. Dosa ini tidak akan diampunkan kecuali orang yang difitnah memaafkan perbuatan tersebut.

2. Fitnah memecahbelahkan rumahtangga dan merosakkan masyarakat. Kerana fitnah, hubungan adik beradik, suami isteri, jiran tetangga dan sebagainya akan hancur dan membawa kepada permusuhan yang berkekalan. Bahkan perbuatan menyebar fitnah diumpamakan sebagai api yang marak membakar tanah gambut atau seperti api dalam sekam kerana ia cepat merebak sehingga akhirnya menjadi jerebu atau debu yang beterbangan yang menyusah dan menyakitkan orang ramai serta merugikan negara.

3. Fitnah adalah suatu perbuatan yang hina disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Ianya tidak ubah seperti kata pepatah “baling batu, sembunyi tangan”, “ibarat menggunting dalam lipatan” dan juga “ibarat duri dalam daging”.

4. Budaya membuat dan menyebar fitnah boleh menganggu gugat kestabilan dan keamanan Negara. Oleh itu, usah biarkan diri, keluarga dan masyarakat sekeliling menjadi alat atau ejen pembuat dan penyebar fitnah yang boleh menimbulkan huru-hara dan mengancam kestabilan sesebuah negara.

5. Fitnah boleh mengakibatkan jatuhnya maruah seseorang individu dan perkumpulan. Begitu juga ia boleh menyebabkan seseorang yang tidak bersalah dihukumkan sebagai bersalah.

Pengajaran dan taujihat yang dapat kita sarankan daripada khutbah hari ini adalah:

1. Umat Islam hendaklah menghindarkan diri dari budaya jahat menabur fitnah kerana ianya adalah sikap yang amat keji dan bakal meruntuhkan keharmonian rumahtangga, merosakkan masyarakat dan menjejaskan kestabilan serta keamanan Negara.

2. Setiap individu Muslim Wajib memperhalusi setiap berita yang diterima terutamanya khabar atau berita yang dilabel sebagai "khabar angin" atau "dengar khabar" supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah bahkan hendaklah memadamkannya serta-merta.

3. Umat Islam hendaklah menyedari bahawa segala persengketaan dan kekeliruan tidak akan dapat diselesaikan apabila merebaknya gejala menabur fitnah Bahkan ianya boleh meruntuhkan ummah dan negara.

“Sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. (Surah Al-Hujuraat: 10).

Wallahualam.

Suami guna gaji isteri

DI sebuah restoran, satu keluarga selesai menjamu selera. Si suami memanggil pelayan untuk mengira harga dan sebaik resit diserahkan si suami mula kenyit mata kepada isteri mengisyaratkan agar membayar. Cepat-cepat isteri menyelongkar beg tangan lalu menghulurkan sejumlah wang.

Pernahkah anda sebagai isteri berdepan situasi begini? Duit gaji, suami guna. Apakah respons anda?

Menurut pendakwah, Ustaz Khairul Naim Mansor, pendapatan atau gaji isteri tidak perlu diusik si suami dengan bertanya itu dan ini kerana ia adalah hak milik mutlak isteri dan suami tidak mempunyai sebarang hak untuk mempertikaikan apa yang dilakukan dan dibeli isterinya dengan wang gaji berkenaan.

“Keadaan sekarang sungguh berbeza dengan dahulu. Jika dahulu, ibu atau isteri tidak bekerja dan hanya duduk rumah, tetapi sekarang kerana kos hidup semakin meningkat, wanita merangkap isteri dan ibu turut diizinkan suaminya untuk bekerja dengan harapan bagi membantu meringankan beban suami.

“Tetapi tindakan suami yang mahu menjadikan gaji isteri sebagai haknya adalah berlawanan dengan fitrah seorang suami yakni ketua keluarga.

"Tugas suami dan bapa adalah memberikan nafkah zahir (termasuk semua perbelanjaan untuk isteri dan anaknya). Itu yang utama, dan jika sikit-sikit isteri, alamatnya memang berlawanan dengan fitrah yang ditetapkan syariat,” katanya kepada Rehal dalam pertemuan di pejabatnya.

Menurutnya, ada sesetengah isteri bertanyakan apakah berdosa jika suami menggunakan duit isteri dan ini jawapannya. Jika suami menggunakan duit isteri tanpa paksaan iaitu atas kerelaan dan tolak ansur sesama mereka, maka ia dibolehkan.

Namun dengan syarat suami tidak boleh mengambil kesempatan atas perkara itu untuk lalai daripada tanggungjawabnya yang utama dalam memberi nafkah, pakaian tempat tinggal dan lain-lain.

Seperti yang ditegaskan, duit gaji milik isteri adalah hak mutlaknya.Jika suami tetap menggunakan tanpa kerelaan, maka isteri berhak untuk menuntut duit itu daripada suami kerana ia dianggap sebagai hutang. Dan jika ia hutang, suami perlu melunaskan walaupun mengambil masa yang lama.

Beliau menjelaskan, apabila si suami asyik menggunakan duit isteri bimbang sekiranya suami itu akan lalai daripada menjalankan tugasnya iaitu memberi nafkah zahir kepada keluarga. Si suami perlu ingat bahawa isteri keluar bekerja bukan untuk mencari nafkah sebaliknya membantu meringankan beban suami walaupun suaminya tidak bekerja.

Renunglah firman ALLAH SWT: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

(Surah Al-Rum: 21)

Makanlah daripada sumber rezeki halal

SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang menganjurkan hamba-Nya makan daripada sumber rezeki yang halal dan menjauhi yang haram. Sebagaimana firman ALLAH yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik  (halal) yang Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada ALLAH, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya." (Surah Al-Baqarah: 172)

Sesudah menyebutkan ayat al-Quran di atas, Nabi Muhammad SAW menyebut perihal seorang lelaki yang jauh bermusafir, rambutnya kusut dan badannya berdebu, dia mengangkat kedua tangannya ke langit seraya berkata: "Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku; sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan sumber hartanya daripada yang haram, bagaimana mungkin doanya  diperkenankan." (Riwayat Muslim)

Makan minum halal

Ketahuilah baiknya sumber makan minum seseorang itu akan memberi kesan yang besar atas kesejahteraannya, kehidupan jiwanya, cahaya mata hatinya dan termakbul doanya.

Begitu juga buruknya makan minum seseorang itu akan memberi kesan yang tidak baik kepadanya. Jika keburukan itu hanya tertumpu pada tertolak doanya itu pun sudah cukup buruk. Ternyata manusia tidak boleh berdiri sendiri tanpa bergantung kepada ALLAH walau sesaat.

Sesuatu makanan itu menjadi haram sama ada kerana buruknya makanan itu sebagaimana bangkai, darah dan daging khinzir, atau ia haram kerana hak ALLAH dan hak manusia. Sebagaimana makan minum yang diambil hasil daripada sumber riba, judi, mencuri, menipu dalam jual beli atau pekerjaan, dan hasil yang diambil dengan cara rasuah serta khianat terhadap amanah yang diberi.

Hakikatnya ALLAH memberi kecukupan dalam apa yang dihalalkan-Nya. Tidaklah Dia mengharamkan sesuatu yang buruk melainkan sesudah menghalalkan apa yang lebih baik dan jauh lebih banyak daripadanya.

Sesungguhnya apa yang ditekankan Islam dalam makan minum adalah sama sebagaimana dalam urusan lain. Ditekankan aspek keselamatan rohani, jasmani dan akal dengan menghalalkan apa yang baik buat tubuh badan dan akal fikiran di samping diharamkan apa yang memudaratkan tubuh badan serta akal.

Maka ALLAH memerintahkan hamba-Nya memakan daripada sumber yang baik yang dikurniakan-Nya dan bersyukur terhadap-Nya.

Mensyukuri nikmat

Mensyukuri nikmat adalah memperakuinya dengan hati  bahawasanya ia adalah kurniaan ALLAH semata-mata, menyebut-nyebut mengenainya dengan lisan dan menggunakannya dalam hal-hal ketaatan.

Dengan bersyukur, kita akan dapat menumpaskan kedua sifat sombong dan kufur nikmat. Dan nikmat yang disyukuri itu akan menjadi asas kebahagiaan hidup yang membantu kita untuk melaksanakan ketaatan kepada ALLAH.

Berbeza pula jika kita tidak mensyukuri nikmat yang ALLAH kurniakan kepada kita. Nikmat itu akan bertukar menjadi musibah sehingga melayakkan kita mendapat kehancuran dan malapetaka.

Firman ALLAH SWT: "Adakah mereka menyangka apa yang Kami berikan kepada mereka daripada harta benda dan anak-pinak itu. (Bermakna dengan demikian) Kami menyegerakan untuk mereka pemberian kebaikan? (Tidak!) bahkan mereka tidak menyedari (hakikat yang sebenar)." (Surah Al-Mu’minuun: 55-56)

ALLAH menginginkan supaya hamba-Nya menjauhkan diri mereka daripada makan minum yang tidak baik. Kerana makanan yang tidak baik akan memberi kesan tidak baik terhadap jiwa dan tingkah laku di samping menjadi benteng penghalang antara si hamba dengan ALLAH sehingga menyebabkan doa tidak mustajab.

Jaga halal haram

Rasulullah SAW diutuskan ALLAH untuk menjelaskan kepada manusia akan segala yang perlu mereka tahu perihal yang halal dan haram.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Al-Nu’man bin Basyir RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesungguhnya yang halal jelas, yang haram juga jelas, dan di antara keduanya terdapat hal-hal samar-samar yang tidak diketahui oleh ramai orang; maka sesiapa yang memelihara dirinya daripada perkara syubhah, dia telah memelihara agama dan maruahnya. Dan sesiapa mendatangi perkara syubhah, dia telah jatuh dalam apa yang haram. Umpama penggembala yang memelihara haiwan gembalanya berhampiran kawasan larangan, dikhuatiri haiwannya akan masuk ke dalam kawasan larangan tersebut. Sesungguhnya setiap seorang raja mempunyai perkara yang dilarangnya. Dan bagi ALLAH, apa yang dilarang-Nya adalah perkara yang diharamkan-Nya. Sesungguhnya dalam tubuh badan setiap seorang manusia terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh badannya dan jika ia buruk maka akan buruklah seluruh tubuh badannya; sesungguhnya ia adalah hati (jantung)." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Maksudnya di sini, apa yang benar-benar halal sudah jelas bagi kita tanpa ragu seperti mana makanan dan minuman yang baik-baik. Begitu juga apa yang benar-benar haram adalah jelas bagi kita tanpa ragu sebagaimana makanan dan minuman yang buruk di samping sumber-sumber pendapatan yang tidak halal.

Jauhi perkara syubhah

Antara kedua perkara halal dan haram ini terdapat perkara samar-samar yang tidak diketahui oleh ramai orang sama ada ia halal atau tidak. Adapun mereka yang berilmu, perkara ini jelas bagi mereka halal atau tidak.

Apa pun bagi seorang Muslim, dia akan mengambil yang halal dan meninggalkan yang haram di samping menangguhkan dahulu perkara yang syubhah sehingga ia menjadi jelas baginya demi menjaga agama dan maruahnya.

Ini kerana mendekati perkara syubhah lambat laun akan menjerumuskan orangnya ke dalam perkara yang haram secara beransur-ansur. Bagi mereka yang mengambil mudah dosa-dosa kecil dikhuatiri mereka akhirnya akan bergelumang dalam dosa-dosa besar.

Dalam hadis di atas terdapat petunjuk jelas perihal bahaya perkara yang haram daripada dua sudut:

Sudut pertama: Perintah Nabi Muhammad SAW supaya meninggalkan perkara syubhah bagi mengelak daripada terjerumus ke dalam perkara yang haram.

Sudut kedua: Penjelasan Baginda SAW bahawasanya perkara haram adalah kawasan larangan ALLAH yang mana manusia dilarang daripada mendekatinya.

Aisyah menceritakan, pada suatu masa Abu Bakar RA memiliki seorang hamba yang bekerja untuknya dan Abu Bakar memakan daripada hasil kerja si hamba tersebut. Pada suatu hari si hamba itu membawa satu makanan lalu dijamah oleh Abu Bakar. Setelah itu si hamba itu berkata: "Tahukah kamu apa ini?" Jawab Abu Bakar: "Apakah ia?"

Kata si hamba: "Pada zaman jahiliah aku telah menilik nasib seorang lelaki sedangkan aku tidak mahir menilik nasib tetapi aku berjaya menipu si lelaki tersebut. Ketika aku menemui lelaki tersebut dia memberi kepadaku apa yang engkau makan tadi." Mendengar kata si hamba itu, Abu Bakar RA memasukkan tangannya dalam kerongkongnya dan memuntahkan segala isi perutnya. (Riwayat Bukhari)

Berbeza pula keadaan manusia pada akhir zaman di mana Nabi SAW bersabda: "Akan tiba buat manusia suatu zaman di mana seseorang itu tidak peduli sama dia ambil daripada yang halal atau dia mengambil daripada yang haram." (Riwayat Bukhari)

Wajar kita beringat hasil dan sumber yang haram adalah suatu keburukan dan malapetaka yang akan mendatangkan musibah kepada kita di dunia dan akhirat apabila makan minum yang haram itu sudah menjadi sebahagian daripada darah daging kita.

Hendaklah kita ingat akan hari di mana kita menghadap ALLAH di kala tidak akan berguna segala harta kekayaan mahupun anak pinak kita. Kecuali mereka yang menghadap ALLAH dengan jiwa yang bersih selamat.

Viralkan kebaikan

PERTARUNGAN antara kebaikan dan kejahatan sentiasa akan berterusan di dunia sehingga berlakunya kiamat. Manusia boleh memilih sama ada mahu menjadi pencetus kebaikan atau pun penyebab kejahatan. Sekiranya tidak mampu mencetuskan kebaikan sekali pun, manusia tetap boleh memilih untuk menjadi agen penyebar kebaikan atau pun penghasut kejahatan.

Pilihlah...

Jalan kebaikan telah dijelaskan oleh Tuhan. Begitu juga lorong-lorong kejahatan. Manusia pula diciptakan dengan akal fikiran yang mampu untuk membezakan mana satu kebaikan dan kejahatan. Maka, pilihlah.

Hidup ini ialah soal pilihan. Apa yang kita pilih, itulah yang akan kita dapat. Apabila kita membuat pilihan, perlu sanggup untuk menerima kesan dan akibat di atas setiap pilihan yang kita buat. Kesan tersebut mungkin berlaku dengan cepat dan mungkin lambat. Mungkin di dunia atau sudah pasti di akhirat sana.

Hidup singkat untuk buat jahat

Kata orang life is short, make it sweet. Ya, ada benarnya. Cuma, di mana mahu dicari kemanisan hidup ini? Bagaimana untuk menjadikannya indah? Tersilap mencari jawapan kepada persoalan ini akan menyebabkan pilihan yang dibuat juga mungkin tersilap.

Hidup ini akan berasa kemanisan dan keindahannya apabila ia dipenuhi dengan sesuatu yang manis dan juga indah. Justeru, percayalah pada setiap kebaikan adanya keindahan.

Cari segenap ruang dan peluang untuk lakukan kebaikan kerana hidup ini juga terlalu singkat untuk kita lakukan kejahatan.

Bersegera buat baik

Seruan ALLAH SWT dalam melakukan kebaikan bukan sekadar galakan untuk buat kebaikan. Tetapi, kita disuruh supaya bersegera, bersaing dan berlumba-lumba untuk berbuat baik.

ALLAH menyeru hamba-hamba-Nya: "Maka berlumba-lumbalah kamu dalam kebaikan." (Surah Al-Baqarah: 148)

Apabila ada peluang untuk berbuat baik, lakukanlah. Jika datangnya perasaan untuk berubah ke arah kebaikan, sahutlah segera. Usah ditangguhkan. Usah dinanti. Bimbang peluang itu hanya datang sekali. Risau jika perasaan untuk berubah itu akan terus pergi.

Cuba perhatikan kisah seorang sahabat Rasulullah SAW, bagaimana sikap beliau terhadap peluang kebaikan yang tersedia. Mungkin kita berasakan sudah bersegera dalam berbuat baik. Tetapi, lihatlah, bagaimana maksud bersegera dan berlumba-lumba yang dipraktikkan oleh sahabat ini.

Jabir berkata: "Seseorang telah bertanya kepada Nabi SAW pada hari peperangan Uhud": "Pada pandanganmu sekiranya aku terbunuh, maka di manakah aku?" Baginda SAW menjawab: "Di syurga". Lalu, lelaki itu pun melemparkan buah kurma yang ada di tangannya, kemudian dia menyertai peperangan sehinggalah dia mati terkorban." (Muttafaqun 'alaihi)

Agar mati dalam kebaikan

Jadi, berlumba-lumbalah mengejar kebaikan. Bersegeralah lakukan kebaikan. Jadilah orang baik yang sentiasa dikelilingi dengan kebaikan. Ingatlah, hidup ini terlalu singkat untuk berbuat jahat.

Amat menyedihkan, jika di saat seseorang berbuat jahat, riwayat hidupnya tamat. Detik kematian itu tidak boleh diulang lagi, walaupun penyesalan yang datang beribu kali.

Jadi, penuhilah ruang hidup ini dengan pelbagai kebaikan, moga-moga kisah perjalanan hidup kita di dunia ini berakhir dalam keadaan kita melakukan kebaikan.

Renungi peringatan berikut: Jabir meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hamba akan dibangkitkan semula (dari kuburnya) mengikut keadaan dia mati." (Riwayat Muslim)

Oleh itu, sibukkan diri dengan kebaikan. Moga-moga penghujung hayat kita di dalam kebaikan. Kemudian, kita dibangkitkan semula nanti juga di dalam kebaikan.

Usah ditangguhkan

Sebarkan kebaikan dan bersegera dalam melakukannya ketika peluang terbentang dan kemampuan dimiliki. Jika bertangguh, takut-takut masa yang dinanti sudah pun berubah. Keadaan berbeza. Peluang sudah tiada. Kemampuan lenyap belaka.

Fikirkan apa yang Rasulullah SAW ingatkan: Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Bersegeralah kamu beramal soleh sebelum datangnya tujuh perkara, tidaklah kamu menantikan melainkan kemiskinan yang akan membuat kamu lupa, atau kekayaan yang akan membuat kamu melampaui batas, atau penyakit yang membinasakan, atau masa tua yang sangat melemahkan, atau kematian yang sangat cepat, atau dajal yang ia adalah sejahat-jahat orang yang dinantikan, atau kiamat yang kiamat itu lebih memilukan dan lebih pahit." (Riwayat Tirmizi, dan dia berkata hadis ini hasan)

Yakin setiap amalan baik

Yakinlah, setiap kebaikan yang dibuat, besar atau kecil, sedikit atau banyak, ia tidak akan disia-siakan. Firman ALLAH: "Dan apa sahaja kebaikan yang kamu lakukan, sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui." (Surah Al-Baqarah: 215)

Apabila diri sudah terbiasa dengan kebaikan, kadang-kadang kita tidak sedar yang kita rupanya sedang lakukan kebaikan. Namun, ALLAH tidak pernah lalai. Apa sahaja kebaikan, pasti dibalas. "Sesiapa yang melakukan kebaikan walau sebesar zarah, pasti dia akan diperlihatkan (untuk diberi ganjaran)." (Surah Al-Zalzalah: 7)

Jadi, lihatlah sesuatu kebaikan itu sebagai suatu yang besar di sisi ALLAH. Sekali pun manusia menganggap ia adalah kecil. Rasulullah SAW berpesan: "Jangan sesekali kamu memandang remeh sesuatu perkara baik, sekali pun kamu hanya menyambut saudaramu dengan wajah yang manis dan ceria." (Riwayat Muslim)

"Iman itu sebanyak 70 cabang lebih atau 60 cabang lebih. Paling utama ialah ucapan La Ilaha illallah, dan yang paling rendah ialah menghilangkan kesulitan daripada atas jalan. Malu adalah sebahagian daripada iman." (Muttafaqun 'alaihi)

Dua hadis ini memberikan contoh kepada kita amalan biasa dan senang dilakukan, tetapi di sisi agama ia mempunyai nilai yang tinggi. Justeru, cetuskan kebaikan dan sebarkannya. Walaupun ia mungkin hanya perkara biasa, namun kebaikan tetap akan dinilai sebagai kebaikan.

Cegah kemungkaran

Kebaikan bukan hanya bermaksud melakukan perbuatan yang baik. Tetapi, meninggalkan sesuatu yang jahat dan buruk juga dikira sebagai kebaikan. Begitu juga dengan menegur, melarang dan menasihati sesuatu kemungkaran.

Jika kita hanya mengajak ke arah kebaikan, sedangkan dalam masa yang sama kemungkaran dibiarkan berlaku, maka ini adalah satu ketempangan kefahaman kepada konsep agama.

Kebaikan yang kita seru, mungkin akan terganggu dengan kemungkaran yang berlaku. Jadi, kedua-dua ini mesti berjalan seiringan. Amar makruf dan nahi mungkar. Kita mesti berganding bahu dan bersatu padu dalam menyebarkan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Apatah lagi jika kemungkaran tersebut dilakukan secara terang-terangan dan kesan buruknya pula dirasai oleh orang ramai. Jadi, berpakatlah untuk lakukan kebaikan dengan menghentikan mereka daripada terus melakukan kemungkaran. Ini juga adalah kebaikan.

Sebarkan kebaikan untuk kebaikan diri kita sendiri. Kemuliaan dan keagungan ALLAH tidak akan bertambah sedikit pun dengan kebaikan yang manusia lakukan. ALLAH itu tetap Maha Mulia dan Maha Agung walaupun seluruh manusia berpakat untuk lakukan kejahatan. Berbuat baiklah kerana kebaikan tersebut sebenarnya untuk diri kita sendiri.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Sesiapa yang melakukan amal soleh, maka ganjarannya untuk dirinya sendiri." (Surah Al-Jathiyah: 15)