January 27th, 2016

Abai hak syariah punca rumah tangga pincang

Membina rumah tangga bukan seperti membina istana pasir di tepi pantai. Sekali ombak melanda, istana roboh berderai.

Sebaik-baiknya jadikanlah binaannya kukuh, sekukuh istana konkrit, biar dilanda ombak dan taufan, ia tetap utuh dan teguh.

Namun kekukuhan dalam perkahwinan itu memerlukan ramuan yang padat, bukan sahaja dari segi kekuatan fizikal, mental, spiritual malah kemantapan ekonomi dan sosial.

Perkahwinan adalah manifestasi cinta antara pasangan kekasih. Namun ironinya cinta di alam rumahtangga bukan sandaran yang kukuh untuk satu hubungan yang kekal hingga ke hujung nyawa. Ia menagih begitu banyak pengorbanan, pengertian serta yang paling utama ialah kejujuran.

Dalam usaha memberi kefahaman itu kepada pasangan suami isteri seharusnya sikap kerjasama dan tolak ansur adalah penting dalam melayari hubungan rumah tangga.


Selain aspek kasih sayang, tanggungjawab dan kewangan, hubungan seksual juga amat mempengaruhi kebahagiaan hidup rumah tangga.

Kerjasama hidup berkekalan

Setiap perhubungan mesti ada kerjasama, baru hidup berkekalan.

Yang paling utama kita sebagai pasangan perlulah berkongsi hidup sama ada dari segi intelektual, sosial, emosional, kerohanian dan kebatinan serta fizikal.

Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin dalam rancangan Pesona D'Zahra yang bersiaran di IKIMfm pada Isnin minggu lalu, jam 10.15 pagi berkata, dalam setiap institusi rumah tangga, setiap pasangan suami isteri perlu menyedari bahawa masing-masing mempunyai hak tersendiri.

Dalam Islam, setiap suami wajib melayani isterinya dengan baik dan setiap isteri juga wajib taat dan melayani suami dengan sebaiknya.

Islam adalah agama yang sempurna, setiap hukum dan peraturan yang terdapat bukan hanya memihak kepada lelaki, tetapi juga kepada isteri dan semua pihak.

Islam menetapkan suami bertanggungjawab memimpin rumah tangganya dan memenuhi hak isterinya serta memerintahkan supaya mereka berlaku baik terhadap isteri mereka sesuai dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Oleh itu, apabila hak isteri tidak ditunaikan dengan baik oleh suami sedangkan ia menyedari dan mampu melaksanakannya, maka dia dianggap sudah menderhakai Allah dan Rasul-Nya, juga menderhakai isterinya.

Umumnya, masyarakat kita pada hari ini jarang menghayati perkara ini mengikut tuntutan syariat bahkan lebih cenderung untuk mengikuti tradisi yang berlaku dalam masyarakat.

Tatacara kehidupan dalam rumah tangga diperoleh daripada amalan tradisi masyarakat atau pengalaman yang diperoleh daripada keluarga tanpa berpedoman kepada ketentuan Allah dan Rasul-Nya.

Sedangkan apa yang ditimba dari masyarakat dan keluarga kemungkinan besar jauh daripada ketentuan Allah dan Rasul-Nya, sehingga suami sering melakukan pelanggaran terhadap hak isteri dan menganggapnya suatu yang lumrah dalam masyarakat.

Perkahwinan sangat digalakkan dalam konteks agama. Pelbagai bentuk kebaikan boleh diperoleh melalui ikatan perkahwinan.

Ustaz Muhamad turut menjelaskan mengenai tauhid dalam memperbaiki hidup berumahtangga iaitu menerusi konsep tauhid.

Kita sering mendengar, seseorang mengucapkan tauhid atau 'jadilah seorang yang bertauhid', 'mari menegakkan tauhid' dan 'orang yang tidak bertauhid maka akan kekal di neraka'.

Namun tahukah kita apa makna tauhid itu? Bagaimana seseorang dikatakan bertauhid. Ustaz Muhamad ada menyebut bahawa suami isteri perlu saling membantu dalam menguruskan hal rumah tangga.

Rumah tangga pada hari ini rata-ratanya dibina suami dan isteri yang masing-masing mempunyai kerjaya tersendiri. Setelah seharian di tempat kerja, kepenatan adalah sama.

Maka tidak sesuai jika hanya isteri yang bertungkus-lumus seorang diri di rumah. Andai si isteri menjawat status suri rumah sepenuh masa sekali pun, bukan bererti si isteri tidak berhak dibantu si suami.

Dalam kepenatan menguruskan rumah tangga sebenarnya lebih penat berbanding kerja harian di pejabat. Malangnya, tidak ramai suami yang bersedia membantu membuat kerja rumah.

Perkara paling utama adalah dengan meminta bantuan suami sejak awal perkahwinan. Jika sejak mula anda telah membiasakan suami untuk membantu anda, tidak akan ada masalah lagi di kemudian hari.

Masalahnya, ramai isteri yang hendak tunjuk hebat pada awal perkahwinan. Semua dia hendak buat hinggakan suami mahu menolong pun tidak dibenarkan.

Pemimpin dalam rumah tangga

Tanggungjawab suami sebagai pemimpin dalam sebuah rumah tangga adalah satu amanah Allah yang wajib ditunaikan.

Ini bermakna menjadi tanggungjawab suami menanggung perbelanjaan keluarga mengikut kemampuannya.

Kewajipan ini termasuk juga sama ada isteri mempunyai harta atau pendapatan sendiri. Bagaimanapun, isteri boleh menyumbang untuk perbelanjaan keluarga dan dikategorikan sebagai satu sedekah.

Oleh itu, sebagai suami, mestilah sedaya upaya berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab menyediakan perbelanjaan keluarga seperti tempat tinggal, pakaian, makan dan minum.

Menurut Islam, seorang isteri berhak mendapat keperluan hidup dan nafkah yang mencukupi daripada suaminya, dan bukan sebaliknya.

Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Cuai dalam memberikan nafkah zahir adalah satu dosa.

Suami isteri perlu memahami peranan masing-masing dalam perkahwinan, jika mahu melihat ia terus utuh.

Suami wajib memberi nafkah zahir pada isteri dalam tiga perkara iaitu makan minum, pakaian, dan tempat tinggal.

Termasuk juga dalam nafkah adalah barang-barang keperluan lain seperti alat berhias, bersuci dan ubat-ubatan.

Nafkah makan, minum, pakaian, tempat tinggal yang wajib itu semua adalah hak isteri.

Tetapi jika isteri tidak berkata demikian dan suami pula mengabaikannya, maka haram dan berdosa besarlah suami dan itu juga mengakibatkan solat dan segala amalannya yang lain tidak diterima.

Jika isteri derhaka kepada suami pula, segala amalan isteri ditolak, jika suami abaikan tanggungjawabnya pada isteri, segala amalan suami ditolak.

Dakwah dan bukan Islam

DAKWAH sering kali dikaitkan dengan usaha untuk mendampingi golongan bukan Islam supaya mereka dapat menerima mesej Islam.

Namun pemahaman dan sesetengah cara berdakwah kadangkala menimbulkan tanggapan bahawa ada yang tidak kena atau tidak betul dengan yang selain daripada kita yang sudah Islam dan mereka mesti diperbetulkan tentang pegangan, cara dan tamadun hidup atau mereka akan dilihat sebagai kekurangan dari segi kemanusiaan dan kehidupan mereka.

Semua manusia dilahirkan dalam keadaan fitrah yang cenderung kepada kebaikan dan kemuliaan diri tidak kira apa jua jalan hidup yang diikuti. Setiap daripada kita yang bergelar insan tahu yang kebaikan adalah sifat jati diri walaupun ia adalah anak kecil yang belum mumaiyiz. Seorang yang mencuri umpamanya tidak akan mengatakan mencuri itu suatu perbuatan yang betul walaupun dia terpaksa mencuri untuk menyara keluarganya.

Sehubungan itu, mendekati mereka yang selain daripada kita perlu mengambil kira bahawa dalam diri setiap peribadi memang terdapat unsur-unsur positif yang menjadikannya bergelar manusia. Selain itu, kita perlu mengambil kira bahawa yang selain daripada kita juga mampu memiliki nilai-nilai diri yang lebih murni dan tinggi daripada apa yang ada pada kita.

Satu ketika dahulu kerajaan memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur untuk melihat etika kerja Jepun dan Korea supaya dapat mempelajari nilai-nilai yang dikatakan berupaya menghasilkan pekerja yang berdisiplin dan berdedikasi serta mempunyai swadaya dan daya saing yang tinggi. Namun ada pihak yang mempersoal langkah ini dan bertanya kenapa kerajaan tidak sahaja pandang kepada Islam yang juga boleh memberikan nilai-nilai yang serupa, malah lebih murni dari itu.

Di sini kita dapat melihat bahawa Islam dilihat sebagai tidak mempunyai kaitan dengan sesuatu kaum yang rata-ratanya bukan penganut Islam. Nilai-nilai kehidupan mereka dianggap sebagai asing kepada Islam selain daripada dianggap sebagai ‘inferior’ atau kurang murni berbanding dengan Islam.

Pandangan Islam sedemikian tidak melihat bahawa nilai-nilai etika kerja kedua bangsa ini adalah nilai-nilai Islam itu sendiri cuma ia mengambil rupa bentuk Jepun dan Korea.

Orang Jepun dan Korea dikenali dengan kerajinan serta taat setia mereka kepada majikan, pekerjaan dan produktiviti. Namun bekerja bagi orang Jepun dan Korea bukan semata tentang gaji. Ia bukan semata tentang periuk nasi. Ia bukan semata tentang ekonomi. Bagi mereka, bekerja adalah segala-galanya tentang erti wujud sebagai manusia. Bekerja adalah cara menjadi manusia.

Majikan, pekerja, pekerjaan dan produktiviti dikatakan berjaya apabila kesemua mereka mengamalkan falsafah dan cara bekerja yang melihat satu sama lain bagaikan sebuah keluarga besar yang perlu dijaga kesejahteraan bersama.

Justeru, nilai-nilai yang diamalkan dalam keluarga antara ibu bapa dan anak-anak seperti taat setia, tidak melakukan perkara yang mendatangkan malu serta melindungi ahli keluarga dari sebarang perkara yang boleh menggugat keharmonian bersama dipanjangkan kepada pekerjaan di mana majikan bagaikan ketua keluarga dan pekerja bagaikan ahli keluarga dan kedua-duanya mesti menjaga kesejahteraan bersama dengan mengamalkan nilai-nilai hidup sepertimana diamalkan antara ibu bapa dengan anak-anak.

Melakukan perkara seperti curi tulang dan curi waktu walaupun dianggap sebagai remeh oleh sesetengah pihak tetapi ia adalah sesuatu yang besar kepada majikan dan rakan sekerja malah adalah sesuatu yang memalukan kepada negara, bangsa dan keluarga dalam sistem kehidupan Jepun dan Korea. Tetapi lebih dari itu, ia adalah tanda-tanda kegagalan menjadi seorang manusia.

Dakwah pada hakikatnya adalah hubungan sesama manusia untuk bersama-sama menelaah tentang erti menjadi manusia dan cara menjadi manusia. Sehubungan itu, dakwah boleh bertindak untuk memperlihatkan kepada selain daripada kita yang mereka memiliki nilai-nilai yang sudah pun serasi dengan aspirasi Islam itu sendiri.

Pendirian lima golongan mengenai ibadah solat

MENUNAIKAN solat lima waktu dengan penuh rasa insaf dan ketakwaan menandakan kita ingat kepada Allah Yang Maha Pencipta dan solat penuh ikhlas serta khusyuk mampu menghalang daripada perbuatan keji atau mungkar.

Menurut Muhammad Abdul Malik az-Zaghabi dalam bukunya Malang Kita Tidak Solat telah menjelaskan mengenai lima golongan yang menunaikan solat.

Pertama, mu'aqab bermaksud golongan yang diazab iaitu yang menunaikan solat, tetapi tidak melaksanakannya dengan sempurna.

Kumpulan atau individu daripada kelompok ini banyak mengabaikan perkara berkait rapat aspek syarat sah solat serta perkara berhubung rukun solat.

Selain itu, aspek taharah, wuduk dan penyucian diri tidak dipelihara dengan baik. Mereka hanya sekadar menunaikan solat dan sering melambat-lambatkan solat, ada kala tidak melaksanakannya.

Golongan itu termasuk apa yang disebut dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka kecelakaan besar bagi orang ahli sembahyang (iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya, (Juga bagi) orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadah dan bawaannya)." (Surah al-Maun, ayat 4-6)

Jemaah menunaikan solat fardu Magrib pada Majlis Doa Selamat dan Kesyukuran bagi meraikan sambutan Jubli Emas 50 tahun Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. NSTP/ Asyraf Hamzah


Muhasab ialah golongan yang dihisab yang rajin melaksanakan solat, menjaga atau menunaikan solat pada waktunya, menyempurnakan segala syarat, rukun dan aspek zahir solat dengan sempurna.

Aspek kebersihan diri, pakaian, tempat dan waktu cukup sempurna.

Gagal khusyuk

Satu aspek yang mencacatkan ibadah solat mereka ialah dari segi kekhusyukan atau kehadiran hatinya.

Gagal khusyuk dan fokus terhadap ibadah solat yang dilakukan, sebaliknya hati, perasaan dan tumpuan hilang entah ke mana menyebabkan hilang khusyuk.

Tahap ketiga ialah mukaffar anhu yang bermaksud diampunkan dosanya. Mereka ini lebih baik kerana sentiasa menjaga segala aspek berkaitan solat, melaksanakan segala yang wajib, rukun, sunat serta bersungguh-sungguh menjaga kesempurnaan solatnya.

Mereka sentiasa berwaspada menjaga kesempurnaan solat dengan memastikan hati, perasaan dan jiwa khusyuk supaya dapat mengatasi gangguan syaitan yang sekali gus boleh merosakkan solat mereka.

Keempat, mutsab iaitu orang yang diberi pahala kerana menunaikan solat serta diampuni oleh Allah SWT terhadap dosa mereka kerana golongan itu menunaikan solat dengan erti kata yang sebenar-benarnya, bukan sekadar menunaikan solat secara zahir sahaja.

Golongan bersolat dengan sempurna, menjaga segala syarat, rukun serta menjaga hati dalam solat.

Pada tahap ini seluruh anggota tubuh, fikiran dan hatinya berzikir kepada Allah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku." (Surah Taha, ayat 14)

Kelima, muqarrib min rabbi yang bermaksud golongan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Tahap ini adalah tahap paling sempurna dalam menunaikan solat. Mereka pada tahap ini menunaikan solat seolah-olah mereka bertemu atau berhadapan dengan Allah SWT.

Bersih daripada sifat was-was

Mereka meletakkan hati di hadapan Allah SWT penuh keikhlasan dan khusyuk. Hati mereka bersih dan jauh daripada sifat was-was atau gangguan syaitan.

Mereka adalah golongan yang disebut oleh Nabi SAW sebagai golongan muhsinin. Menjadi harapan kita untuk meningkatkan kualiti solat sebagai tanda kepatuhan, kesyukuran dan keimanan terhadap Allah SWT.

Dalam keadaan usia kian meningkat, maka menjadi kualiti solat juga semakin meningkat. Oleh itu, rugi dan malanglah bagi yang bersolat, tetapi solatnya tidak berkualiti disebabkan kelalaian serta tiada ilmu.

Sewajarnya kita memperbaiki kualiti solat serta menghayati firman Allah SWT yang bermaksud: "Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal salih serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." (Surah al-Asr, ayat 1-5)

Bertemu dan berpisah kerana ALLAH

SAYA tidak dapat menahan sebak membaca coretan beberapa rakan lama yang saya ziarah minggu lepas bersama sekumpulan sahabat. Semua mereka yang kami ziarah meluahkan perasaan terharu dengan lawatan itu melalui ucapan ringkas, yang kemudian diikuti dengan mesej melalui telefon.
Seorang daripada sahabat yang kami temui melalui Kembara Selatan meliputi tiga negeri - Negeri Sembilan, Melaka dan Johor - itu menghantar mesej begini:
“Terima kasih atas lawatan rakan-rakan semua. Ia meninggalkan banyak kenangan. Perjumpaan penuh kasih sayang, lillahi taala. Bukan antara dua insan, tapi antara sembilan sahabat yang terpisah selama 30 tahun.
Kemesraan yang tak terjangkau imaginasi sebelum ini. Begitu indah, tak dapat dibayangkan. Masya-ALLAH, Subhanallah, Alhamdulillah.
Ribuan terima kasih kerana rakan-rakan sudi masukkan diri saya ini dalam senarai sahabat-sahabat yang anda ziarah. Semoga ALLAH curahkan seluas-luas rahmatNya kepada kita semua. Semoga ALLAH kumpulkan kita berserta keluarga di syurga nanti. Aamiin. Insya-ALLAH.”
Sahabat saya itu berhenti kerja dan balik ke selatan sekitar 1983 untuk berniaga. Dia rakan serumah saya, seorang yang suka berseloroh, sedia membantu dan menjaga kepentingan rakan-rakan.
Tapi dalam menegakkan prinsip, sahabat saya itu tidak pernah mengaku kalah. Kalau anda jenis yang cakap besar dan berlagak, anda lebih baik jarakkan diri daripadanya. Dengan badannya yang tegap dan ketegasannya itu, saya kira dia akan lebih berjaya dan terkenal kalau dia jadikan tinju sebagai kerjaya. Wallahualam!
Sebenarnya jelajah yang kami lakukan itu berputik daripada majlis perjumpaan semula pada 2 Ogos lalu dihadiri oleh 160 rakan yang pernah bertugas di Jabatan Keselamatan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) sejak 1970.
Lawatan minggu lepas adalah yang kedua. Yang pertama adalah ke utara tiga bulan lalu. Tujuan kami membuat jelajah itu hanya satu, iaitu menemui rakan-rakan yang kami sudah tidak bertemu begitu lama, sesetengahnya 40 tahun atau lebih.
Niat kami adalah bertemu kerana ALLAH dan berpisah kerana ALLAH. Mudahmudahan usaha kami diredai ALLAH.
Pertemuan seperti itu sebenarnya menimbulkan kesedaran. Dahulu semuanya muda-muda belaka, rambut hitam, kulit tegang, sihat dan pergerakan cergas.
Setelah 40 tahun berlalu, anda sedari bahawa semuanya berubah, kulit sudah kendur, mata semakin kabur dan satu demi satu gigi mulai goyang dan gugur!
Tetapi itulah hakikat hidup; yang muda menjadi tua, yang sihat menjadi lemah dan jatuh sakit dan yang hidup akan mati.
Ramai dalam kalangan kami - yang menziarahi dan diziarahi - mengalirkan air mata ketika bertemu rakan-rakan lama yang kebanyakan sudah berubah; jauh berbeza daripada yang kami kenali empat dekad yang lalu ketika sama-sama bekerja dan berjiran.
Seperti biasa, wajah, kesihatan, pergerakan dan susuk badan sudah jauh berubah, walaupun antara satu sama lain terus cuba meluahkan kata-kata manis untuk menyedapkan hati kawan-kawan dengan mengatakan anda seolah-olah masih cergas dan tampan seperti 30 atau 40 tahun lalu.
Masakan boleh sama ketika anda berusia 20 tahun dan apabila anda sudah memasuki zon umur bonus. Ia hanya sebuah impian.
Saya difahamkan, daripada lebih 300 orang kawan yang berkhidmat di Jabatan Keselamatan LPK sejak 1970, lebih 50 orang sudah kembali ke rahmatullah, setengahnya sebelum umur persaraan lagi. Moga ALLAH cucuri rahmat dan kumpulkan mereka bersama hamba-Nya yang solih. Aamiin!
Maka, lawatan seperti itu pasti memberi kesedaran juga tentang hakikat bahawa setinggi mana pencapaian anda di dunia, tiadalah yang akan mampu menongkat langit.
Suka atau tidak, bersedia atau tidak, anda mesti menemuiNya. Mati itu satu kepastian. Saya selalu ingatkan diri sendiri, bahawa saya tidak berkecuali. Tiba masanya, saya pun akan pergi menemuiNya. Apakah amalan yang mampu saya bawa untuk saya bentangkan di hadapan ALLAH? Farush Khan Sinar Harian Kolumnis 27 Januari 2016

Hindari kesibukan yang sia-sia

DALAM kita sibuk memenuhi tuntutan pelbagai perkara, urusan dan tugas, sedarkah kita bahawa dunia semakin hampir ke penghujungnya sepertimana yang banyak digambarkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis-hadis Baginda?

Melihat keadaan pada hari ini, manusia semakin sibuk dengan urusan dunia dan mengejar masa yang begitu pantas berlalu, sehingga 24 jam sehari dirasakan tidak cukup untuk melunaskan segala tuntutan, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Tidak akan berlaku kiamat sehingga semakin berdekatan waktu (semakin singkat), masa setahun seperti sebulan, masa sebulan seperti seminggu, masa seminggu seperti sehari, dan masa sehari seperti sejam, dan masa sejam seperti seketika”. Hadis sahih riwayat at-Tirmizi.

Kesibukan sedia ada menjadi semakin meruncing apabila manusia terlalu sibuk melayan pelbagai fitnah yang disebarkan dengan hanya berbekalkan perkara tidak jelas yang boleh menimbulkan pelbagai persepsi serta tanggapan yang salah dan akhirnya membawa mereka kepada kekacauan, huru-hara, ketidakstabilan sehinggalah kepada permusuhan, dendam, perbalahan, pembunuhan hatta peperangan sesama umat Islam. Inilah fitnah-fitnah akhir zaman yang diibaratkan oleh Baginda SAW sebagai

kepingan-kepingan malam yang gelap gelita. Kesibukan manusia mencari harta dunia semata-mata, sehingga melupakan akhirat juga jelas digambarkan oleh Rasulullah SAW dalam sabda Baginda: “Kalaulah anak Adam (manusia) itu mempunyai dua lembah emas, pasti dia akan mencari lembah yang ketiga, dan tidak akan memenuhi tembolok anak Adam kecuali tanah, dan ALLAH menerima taubat sesiapa yang bertaubat.”
Inilah antara perkara yang dibimbangi oleh Nabi SAW terhadap umatnya, sesuai dengan sabda Baginda: “Demi ALLAH, bukanlah kefakiran yang aku bimbangkan ke atas kamu, tetapi aku bimbangkan ke atas kamu apabila dibentangkan dunia ke atas kamu, sebagaimana dibentangkan ke atas mereka (umat-umat terdahulu) sebelum kamu, kemudiannya kamu saling berlumba-lumba merebutnya sebagaimana mereka berlumba-lumba merebutnya, dan harta itu akan menyebabkan kamu binasa, sebagaimana harta itu telah menyebabkan mereka binasa”. Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.
Tidak cukup dengan itu, Rasulullah SAW turut menggambarkan bahawa akan terjadinya banyak tipu daya, sehingga orang yang jujur dianggap pembohong dan pembohong dianggap sebagai orang yang jujur.
Ilmu agama dan orang-orang yang benar-benar memahami agama juga semakin berkurang, sehingga ramai orang awam yang mengulas sesuatu perkara berkaitan urusan agama yang sebenarnya tidak layak untuknya. Sabda Nabi SAW: “Akan datang kepada manusia (umat akhir zaman) tahun-tahun yang penuh tipu daya, pembohong dianggap jujur dan orang yang jujur dianggap pembohong.
Pengkhianat diberikan amanah, dan orang yang amanah dianggap sebagai pengkhianat, dan Ruwaibidhoh bebas berkata-kata (urusan agama). Para sahabat bertanya: “Siapakah Ruwaibidhoh itu?” Baginda menjawab: “Orang yang bodoh berbicara tentang urusan masyarakat umum”. Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.
Dalam konteks ini, apakah yang patut kita lakukan? Atau apakah jalan keluar yang boleh kita lalui dalam menghadapi semua ‘kesibukan’ ini? Baginda juga berpesan supaya mereka menjauhi perkara yang tidak mereka
ketahui kebenarannya dengan menahan lidah sama ada kata-kata atau tulisan dari terus terjerumus ke lembah fitnah.
Sabda Rasulullah SAW: “Kekallah dalam rumahmu (dan tidak terlibat dengan fitnah), dan tahanlah lidahmu (dari berkata-kata apa yang tidak kamu ketahui kebenarannya), dan berpeganglah pada apa yang kamu (benarbenar) ketahuinya, dan hendaklah kamu fokuskan urusan dirimu, dan tinggalkanlah urusan awam (yang tidak berkaitan denganmu).
Hadis hasan riwayat Abu Daud. Sabda-sabda Baginda ini jelas menunjukkan bahawa pada zaman yang penuh dengan fitnah ini, jalan keluarnya adalah tidak melibatkan diri dalam fitnah yang melanda dan lebih menumpukan kepada amalan kebaikan yang boleh menambah bekalan kita di akhirat. Justeru, sibuklah mengejar dan menyeru kepada kebaikan demi reda ALLAH. Dr Asyraf Wajdi Dusuki Sinar Harian Kolumnis 27 Januari 2016