January 29th, 2016

Khutbah Jumaat ~ “Bagai Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Betul”

Sedutan Petikan Khutbah Jumaat 29 Januari 2016:JAIS

“Bagai Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Betul”

Ibu bapa merupakan agen pembentukan peribadi mulia anak-anak. Tugas ibu bapa ialah tugas profesional yang perlu digarap dengan ilmu, kemahiran dan sikap yang baik. Seseorang tidak boleh dianggap sebagai guru sekiranya dia tidak mempunyai kelulusan dan kemahiran dalam bidang perguruan.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Anfal, ayat 27 dan 28 yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar”.

Melabelkan anak sebagai derhaka apabila si anak tidak mendengar kata, merupakan amalan negatif masyarakat berkeluarga.

Seringkali juga kita mengharapkan anak faham dengan sikap kita. Namun bagaimana dengan kita sendiri?. Sudahkah cukup kita menyelami jiwa dan tabiat anak-anak? Di manakah keharmoniaan dan kerukunan dalam rumah tangga, jika sikap ibu bapa itu sendiri yang telah menafikan hak berkasih sayang dalam institusi keluarga?.

Hadis daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:“Sesungguhnya Allah s.w.t menamakan mereka al-Abrar kerana mereka berbuat baik kepada ayah-ayah mereka dan anak-anak mereka, sebagaimana dijelaskan bahawasanya kedua-dua orang tua kamu ada hak atasmu begitu juga anak-anak kamu ada hak atas kamu (orang tua).” (Riwayat at-Tabrani).

Anak adalah cermin dan pantulan daripada perlakuan ibu bapanya. Mendidik anak-anak boleh dilihat sebagai amanah yang sangat mudah. Kita hanya perlu menjadikan diri yang baik, kemudian kebaikan itu dilihat oleh anak-anak, lalu diteladani oleh mereka. Kebanyakan kita masih mengajar, bukan mengajak anak-anak untuk melakukan satu kebaikan.

Memberi nasihat kepada orang lain, tetapi dia sendiri tidak mengamalkannya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 44 :“Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?”

Memenuhi ‘keperluan’ anak-anak merupakan aspek penting dalam memastikan mereka membesar dalam keadaan seimbang dan hak mereka tidak terabai.

1. Keperluan Fizikal

Seorang bapa harus berusaha untuk memenuhi kehendak dan keperluan utama anak-anaknya. Antaranya makan minum, pakaian, tempat tinggal, kemudahan kesihatan, kemudahan pengangkutan, mendorong anak-anak beriadah, membiasakan anak-anak dengan amalan kebersihan, mengatur jadual hariannya dan merawatnya ketika sakit.

2. Keperluan Akal

Ibu bapa mesti melengkapkan diri anak-anak dengan ilmu yang sempurna sama ada fardu ain ahupun fardu kifayah. PPakar pendidikan Islam telah merumuskan bahawa antara keperluan untuk mengisi keperluan ilmu dan pemikiran ialah, menanamkan budaya cintakan ilmu dan adab belajar, menghafaz ayat-ayat al-Quran dan Hadis, memilih guru dan sekolah yang terbaik dan lain-lain lagi.

3. Keperluan Emosi

Perasaan anak-anak perlu dibelai, dihargai dan didengari. Ahli psikologi berpendapat, anak-anak yang tidak dibelai, dihargai dan didengari akan membesar dalam emosi yang tertekan. Untuk itu, ibu bapa mesti menjadi pendengar yang baik, bersifat simpati dan empati agar mereka akan membesar sebagai individu yang cerdas emosinya.

4. Keperluan Rohani

Anak-anak wajib di didik dengan soal-soal keimanan, kepercayaan yang mantap kepada Allah, hari akhirat, syurga dan neraka. Tutur kata, perbuatan dan tindakan ibu bapa sehari-hari amat berkesan untuk mendidik anak-anak dalam soal keimanan dan akhlak.

Ibu bapa perlu sedar, anak-anak yang dalam jagaan kita pada hari ini adalah aset kepada diri kita sendiri di akhirat kelak.Harta dan segala kemewahan tidak berguna lagi kepada kita yang sedang terbaring di alam kubur, melainkan hanya amal jariah, ilmu yang bermanfaat yang dimanfaatkan dan doa anak yang soleh sahaja.

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda:“Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang mendoakannya." (Riwayat Muslim).

Kepada suami isteri yang beriman, peraturan Allah (syariat) perlu ditaati dan dilaksanakan dalam rumah tangganya. Sebagai ibubapa kita hendaklah :

1. Mempunyai ilmu, khususnya dengan menyemai akidah Islam yang sebenar ke dalam jiwa anak-anak. Benih yang terbaik akan menjadikan anak terdidik dengan akhlak al-quran dan menjadikan nabi sebagai contoh tauladan terbaik dalam melayari kehidupan di dunia ini. Bukan hanya semata-mata mengejar dan berbangga dengan kejayaan anak-anak dalam akademik dengan memperoleh sijil kecemerlangan sahaja.

2. Menguasai emosi diri, agar sentiasa tenang, lemah lembut dan tidak kasar melayan karenah anak-anak. Berkatalah dengan kata-kata yang baik dan berhikmah agar maksud yang baik itu sampai kepada keperluan akal dan emosi mereka.

3. Jauhi sifat marah dengan melontar leteran yang tiada kesan dan impak yang positif terhadap anak-anak. Gantikan dengan sikap tegas, khususnya dalam mengendalikan hasrat emosi dan jiwa anak-anak.

4. Bijaksana mendengar dan menerima pandangan anak-anak jika benar ada kesilapan di pihak kita. Sesungguhnya tidak ada manusia itu yang benar-benar sempurna, kadang-kadang kita sebagai ibu bapa juga melakukan kesilapan yang boleh diperbetulkan oleh insan yang lebih muda daripada kita.

“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku! janganlah kamu mempersekutukan (Allah) sesungguhnya mempersekutukan (Allah) itu adalah benar-benar melakukan kezaliman yang besar”. (Surah Luqman: 13)

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ Wilayah Ceria Rakyat Sejahtera

Sedutan Petikan Teks Khutbah Jumaat 29 Januari 2016M/ 19 Rabiulakhir 1437H JAWI

Wilayah Ceria Rakyat Sejahtera

Tarikh 1 Februari 1974 telah mencatatkan peristiwa yang penting dalam pembentukan Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia dan Wilayah Persekutuan yang pertama sebelum turut disertai oleh Labuan pada 16 April 1984 dan Putrajaya pada 1 Februari 2001.

Kehidupan bandar yang diasaskan oleh mereka pada era itu, telah berjaya mencorakkan tamadun Islam yang berpaksikan alQuran dan al-Sunnah. Umat Islam berjaya melahirkan berbagai institusi berbentuk sosial, politik, ekonomi dan kebudayaan yang membentuk mereka menjadi masyarakat madani, seterusnya bersinar menjadi rujukan dunia, malah jauh mengatasi tamadun-tamadun lain yang mundur ke belakang.

Apakah kita hanya memerhati, berkecuali tanpa bertindak apa-apa? Apakah erti kemodenan bandaraya yang sebenarnya? Apakah penyelesaiannya menurut Islam? Apakah sikap dan peranan yang perlu kita lakukan?

Bandar Madinah al-Munawwarah merupakan manifestasi secara langsung daripada konsep tauhid dalam Islam dan mempengaruhi setiap tindak warganya. Ia tertegak atas prinsip akidah, pemikiran dan disiplin berasaskan syariat. Wilayah Persekutuan terkenal sebagai pusat mencari rezeki dalam kalangan warganya. Pelbagai pekerjaan, perkhidmatan dan perniagaan rancak beroperasi sepanjang masa.

Firman Allah SWT menerusi potongan ayat 2, surah al-Maidah.Bermaksud: “...Dan hendaklah kamu saling membantu untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu saling membantu untuk melakukan dosa dan permusuhan. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, kerana sesungguhnya azab Allah sangat berat.”

Pelbagai usaha telah dan sedang diusahakan bagi memastikan kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan terjamin.Program Task Force Kebersihan telah diwujudkan untuk menambahbaik kebersihan persekitaran dan kawasan kediaman. Justeru, komitmen daripada semua pihak terutamanya warga wilayah adalah diperlukan. Setiap warga bertanggungjawab dalam memastikan bandar ini terus dalam keadaan sejahtera.

Pengorbanan tenaga, masa dan harta dengan hanya mengharapkan balasan daripada Allah SWT semata-mata adalah faktor utama kejayaan mereka. Hayatilah firman Allah SWT dalam surah al-An’am, ayat 90:Bermaksud: “Mereka (Nabi-nabi) itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutilah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka. Katakanlah: Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (al-Quran yang aku sampaikan) itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi sekalian alam.”

Antara ruang terpenting bagi membangun dan mencorakkan bandaraya menurut Islam adalah dengan mengoptimumkan peranan dan institusi masjid.

Institusi masjid adalah pusat ibadat dan kebudayaan Islam yang paling berpotensi. Ia mampu melahirkan tokoh yang berwibawa dalam semua bidang kehidupan masyarakat. Dengan kewibawaan Islam, kemakmuran masjid berupaya membina semula bandaraya dan membangunkan masyarakatnya menjadi maju, sejahtera, aman, dan berakhlak mulia.

Perkara pokok dalam urusan ibadah ialah solat. Berapa ramai dalam kalangan warga kota hari ini yang telinganya sensitif dan peka terhadap seruan azan? Berapa ramaikah dalam kalangan warga kota hari ini yang membuat tindakan proaktif untuk ke masjid bagi menunaikan solat fardu? Sesebuah masjid tidak dikategorikan sebagai makmur sekali pun pelbagai program telah dianjurkannya, namun bilangan jemaah solat fardunya amat menyedihkan.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin merumuskan beberapa perkara untuk renungan kita bersama.

Pertama: Sejarah kemakmuran Makkah dan Madinah adalah model unggul dalam pembentukan bandaraya Islam yang sewajarnya dijadikan rujukan dalam pembentukan bandaraya-bandaraya Islam.

Kedua: Asas kecemerlangan warga kota adalah membudayakan ajaran Islam dalam kehidupan seharian, yang menuntut penglibatan semua pihak dalam pembangunan modal insan.

Ketiga: Warga kota hendaklah mendokong usaha-usaha yang telah dan sedang diusahakan bagi melahirkan Wilayah yang ceria dan rakyat yang sejahtera.

Firman Allah SWT dalam surah Saba’, ayat 15: Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, suatu tanda (yang membuktikan Pemurahnya Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka (iaitu); terdapatnya dua kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan sebelah kiri (mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya. (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun.”

Wallahualam.