February 1st, 2016

Kesederhanaan modul depani ekstrem

MENDEPANI cabaran semasa yang kelihatan agak ekstrem kebelakangan ini, pendekatan wasatiyyah bukanlah suatu modul yang baru diperkenalkan, tetapi pendekatan itu adalah pendekatan yang telah diamalkan oleh Rasulullah SAW ketika memimpin negara Islam Madinah dalam menangani isu masyarakat pelbagai kepercayaan dan puak pada masa itu.

Ternyata pendekatan wasatiyyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW berjaya menyatukan masyarakat di Mekah dan Madinah di samping mampu menjalani kehidupan penuh harmoni bersama penganut agama lain.


Pendekatan wasatiyyah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW berjaya menyatukan masyarakat Mekah dan Madinah di samping mampu menjalani kehidupan penuh harmoni bersama penganut agama lain. GAMBAR HIASAN

Kedatangan Rasulullah SAW sebagai pemimpin negara baharu Madinah yang dikelilingi oleh musuh daripada pelbagai pihak dan agama termasuk bangsa Yahudi serta Nasrani tidak menghalang baginda daripada membangunkan negara itu sehingga digelar sebagai ‘ bandar yang bergemerlapan ‘.

Kedatangan Islam juga telah menyeimbangkan antara dua ideologi ekstrem pada masa itu iaitu golongan pelampau dalam beragama yang terlalu taksub dengan kepercayaan sehingga meninggalkan urusan duniawi serta pelampau materialisme.

Pendekatan wasatiyyah dalam Islam mengajak kesemua manusia mentauhidkan Allah SWT manakala pada masa sama menguasai ilmu pengetahuan dan mengambil manfaat dunia. Inilah contoh daripada sunnah dan kepimpinan Rasulullah SAW.

Dalam Piagam Madinah, termaktub nilai toleransi (al-samahah) baginda sebagai dasar pemerintahan negara. Dalam konteks yang sama, Rasulullah SAW jelas mendoakan supaya Allah SWT memberi rahmat ke atas orang yang mengamalkan sifat toleransi dengan sabda baginda yang bermaksud :

“Semoga Allah memberi rahmat kepada seseorang yang bertoleransi apabila ia menjual, membeli, apabila ia memberi hak dan apabila ia menuntut hak”. (Riwayat Bukhari).

Oleh itu, sifat toleransi tidak sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam, malah adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang menggalakkan amalan sifat ini dalam kehidupan masyarakat Islam di mana jua mereka berada.

Perkara ini menjadi dasar kerajaan bagi memelihara masyarakat majmuk yang berbilang agama dan kepercayaan supaya terus hidup aman dan harmoni di negara ini.

Pendekatan wasatiyyah turut berlandaskan kepada kepentingan maqasid syariah; siyasah al-syar’iyyah (undang-undang yang diperlukan dalam urusan sesebuah negara yang bertepatan dengan asas-asas agama) ; fiqh al-aulawiyyat (fiqh keutamaan) dan hikmah dalam pemerintahan berdasarkan keadaan serta kepentingan awam.

Dasar kesederhanaan yang diamalkan menerusi pendekatan wasatiyyah adalah selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal 
Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini. 
Berbeza dengan fahaman lain termasuklah fahaman Zahiriah 
dan Muktazilah yang terlalu ekstrem dengan pegangan 
masing-masing.

Pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bersifat sederhana dengan menyeimbangkan kombinasi antara dalil naqli (rujukan al-Quran dan hadis) dan dalil aqli (rujukan akal) dalam mengamalkan gaya hidup Islam serta menetapkan sesuatu hukum bersesuaian dengan peredaran semasa. Berbeza dengan fahaman Zahiriah yang terlalu ekstrem dalam mentafsir hukum naqli manakala Muktazilah yang juga pelampau mengikut aqli.

Maka dapat ditegaskan di sini bahawa nilai-nilai yang ada dalam pendekatan wasatiyyah sangat dituntut oleh Islam supaya diamalkan. Pendekatan wasatiyyah ini bersifat komprehensif dan bersepadu yang mampu menyelesaikan permasalahan ummah. Inilah indahnya Islam.

Sabar penawar selesai masalah

IMAM al-Ghazali dalam kitab al-Arba'in fi Usul al-Din menyatakan "Bermula hakikat sabar itu keteguhan yang membangkitkan agama ketika melawan keinginan hawa nafsu."

Sabar adalah menahan diri daripada marah kepada perkara yang tidak disukai dan menahan lidah daripada mengadu kepada selain Allah.

Perkataan sabar sering diungkap dalam pelbagai situasi kurang menyenangkan menimpa seseorang.

Menutur sabar itu mudah, tetapi tidak semudah itu ia mampu melunturkan perasaan gundah dan negatif seseorang pada situasi yang dihadapinya terutama kepada yang masih buntu penyelesaian.

Memandangkan senario masa kini memerlukan kesabaran yang tinggi bagi kebanyakan orang, maka Usrah Nurani yang bersiaran pada jam 5.15 petang Jumaat lalu berkongsi pandangan tentang sifat sabar ini.

Ustaz Shahrizan Daud at-Turabi yang bertindak selaku naqib menyifatkan perkataan sabar terlalu mudah untuk diluahkan.




IBU bapa perlu bersabar mendidik anak mematuhi syariat Islam. - Foto hiasan

Ketahanan aras tinggi

Ia mudah disebut di bibir tanpa menghadirkan rasa simpati yang tinggi dalam hati.

Tanpa disedari, sabar sebenarnya suatu sifat yang menuntut kepada mujahadah dan ketahanan pada aras tinggi.

Bukan mudah untuk bersabar dan jauh lebih sukar untuk mempertahankan kesabaran.

Jika dapat melepasi tahap sabar, maka sabar itu bisa menjadi penawar paling mujarab dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi.

Dalam mengadun resipi untuk istiqamah dalam bersabar, rakan usrah di konti iaitu Dr Ahmad Faudzi Muharriri dan Farah Asyikin juga berkongsi pengalaman dan idea mereka.

Ketika berjaya melepasi cabaran sabar untuk bersabar, ia akan melahirkan kepuasan kepada diri, di samping mampu menjadi inspirasi kepada yang lain bahawa tiada sesuatu perkara yang mustahil untuk ditempuhi.

Sabar sangat hampir dengan keimanan seperti firman Allah yang bermaksud: "Dan orang yang bersabar dalam musibah, penderitaan dan peperangan, mereka itulah orang yang benar imannya dan mereka itulah orang yang bertakwa." (Surah Al-Baqarah, ayat 177).

Sesungguhnya, sabar itu akan membawa diri mendekati Allah SWT. Tidak dinafikan, majoriti manusia mampu bersabar pada peringkat awal berlaku sesuatu musibah.

Ada juga golongan yang tidak sabar pada permulaan, tetapi selepas diingat-ingatkan berkenaan sabar akhirnya individu itu menzahirkan perasaan sabarnya.

Namun, ada segelintir yang bersabar dari permulaan, tetapi gagal untuk mengekalkan sabar hingga ke penghujung.

Konsep sabar terbahagi kepada beberapa konsep.

Pertama adalah sabar dalam menjalankan perintah dan ketaatan kepada Allah SWT seperti firman-Nya mafhumnya, "Dan perintahkanlah kepada keluargamu untuk mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya, kami tidak meminta rezeki kepadamu kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan akibat yang baik itu adalah bagi orang yang takwa." (Surah Toha, ayat 132).

Menahan diri agar tetap istiqamah dalam menjalankan perintah Allah SWT adalah sebahagian daripada suruhan Allah SWT.

Belajar untuk kekal bersabar kerana Allah telah menjanjikan syurga bagi hamba-Nya yang mentaati perintah-Nya dengan baik sesuai syariat yang telah Allah SWT turunkan.

Ibadah seperti solat, zakat, puasa, dakwah, dan lain-lain perlu dilaksanakan dengan sabar jika berkeinginan untuk mengecapi kejayaan seperti yang telah termaktub dalam al-Quran maksudnya: "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang yang khusyuk." (Surah Al-Baqarah, ayat 45).

Selain itu, perlu juga sabar kepada perkara yang dilarang oleh Allah SWT. Bukan mudah untuk bersabar dalam meninggalkan kemaksiatan.

Sabda Nabi SAW bermaksud, "Sesungguhnya syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang tidak disukai, manakala neraka pula dikelilingi oleh perkara-perkara yang memuaskan syahwat" (Riwayat Imam al-Tirmizi).

Sabar dalam meninggalkan kemaksiatan kebiasaannya berdepan dengan dugaan dan cabaran yang besar.

Sering kali individu yang cuba berubah kepada kebaikan akan menerima kata-kata sinis, cemuhan dan fitnah yang boleh menggoyahkan kesabaran untuk kekal dalam kebaikan dan perubahan dilakukan.

Sesungguhnya, semua itu adalah godaan dan mainan syaitan untuk mematahkan semangat berjuang dalam meninggalkan kemaksiatan.

Sebagai umat Islam harus bersabar pada setiap larangan yang digariskan oleh Allah SWT. Perlu wujudkan keyakinan bahawa semua larangan itu ada hikmah tersembunyi.

Iman tinggi kawal diri buat, ulangi dosa

Menerusi keimanan yang tinggi kepada Allah maka akan lahir sifat sabar yang akan mengawal diri daripada berbuat atau mengulangi dosa.

Akhir sekali adalah bersabar terhadap perkara yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT. Contohnya, jika ditentukan lahir dalam keadaan fizikal yang berbeza daripada yang sepatutnya, maka bersabarlah.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT berfirman: jika hambaku diuji dengan kedua-dua matanya dan dia bersabar, maka Aku akan mengganti kedua matanya dengan syurga" (HR Bukhari).

Selain itu, Allah SWT juga berfirman, "Sesungguhnya harta benda dan anak kamu adalah ujian dan pada Allah juga pahala yang besar." (Surah al-Taghabun, ayat 15).

Justeru, harta benda dan anak-pinak juga adalah ujian. Jika tidak hadir sabar, maka akan lahir sifat bakhil terhadap harta dimiliki.

Ujian anak pula datang saat mereka jauh daripada syariat Islam. Ia akan mencabar kesabaran untuk mengatur dan membentuk keluarga dan anak untuk kembali kepada-Nya.

Sesungguhnya Allah berserta dengan orang yang sabar. Allah SWT menyebut bahawa orang yang bersabar akan mendapat kegembiraan, petunjuk, keberkatan dan rahmat daripadanya.

Oleh itu, setiap orang mesti bersabar dalam menghadapi segala cabaran hidup. Janji dan jaminan Allah SWT kepada orang yang bersabar adalah bukti kebaikan yang tidak ada tolok-banding dan tidak akan dipersiakan.

Perceraian berpunca perkara remeh-temeh membimbangkan

Beberapa minggu lalu sebuah akhbar harian melaporkan satu dapatan tidak menggembirakan berkenaan statistik perceraian dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Dengan tajuk 'Negara Malaysia - negara janda dan duda' adalah satu kenyataan sinis dan satu tamparan untuk menyedarkan kita supaya mengambil berat perkara ini.

Dilaporkan hampir 156 pasangan Islam bercerai setiap hari dan lebih 274,000 pasangan bercerai dalam tempoh enam tahun.

Jika statistik itu benar, maka boleh dikatakan dalam sehari sahaja ada 156 orang perempuan menjadi janda, 156 lelaki menjadi duda dan berapa ramai anak hilang nikmat dibesarkan dalam sebuah rumah tangga bersama ayah dan ibu.

Akhbar itu turut mendedahkan punca remeh-temeh dan ada yang tidak masuk akal menyebabkan berlakunya perceraian seperti suami menceraikan isteri kerana rupa bentuk badan isteri tidak cantik dan kurang menyenangkan suami dan punggung isteri menggerutu.





Sebab lain, isteri suka makan dalam kereta dan ia menimbulkan kemarahan suami, isteri suka membasuh baju pada waktu malam yang mungkin menyebabkan suami ingin tidur bersamanya menjadi marah dan tidak dapat bersabar.

Berlaku perceraian kerana isteri lambat menyediakan makanan hingga menimbulkan kemarahan suami.

Isteri suka membeli-belah dan mengikuti rombongan golongan ibu menyebabkan timbul ketegangan serta tidak disukai suami, berebut siaran televisyen dan pelbagai alasan lain yang dianggap remeh.

Cerai seperti perkara mainan

Apakah yang terjadi dalam masyarakat sehingga perceraian menjadi seperti perkara mainan sahaja. Apabila berlaku perceraian, sama ada kita ingin akui atau tidak, anak yang paling kuat menerima kesannya.

Anak mangsa cerai terpaksa tinggal dengan ibu atau bapa.

Keadaan menjadi lebih menyedihkan jika ayah tidak mengambil tanggungjawab berjumpa, memberi kasih sayang dan menyara mereka dengan sebaiknya.

Banyak kajian menunjukkan anak yang kehilangan kasih sayang ini terjerumus ke lembah negatif, bersikap pemarah dan jiwa bercelaru.

Jika tiada sokongan psikologi, bayangkan apa yang bakal terjadi kepada negara pada masa akan datang.

Kajian menegaskan ramai dalam kalangan mereka akan mengambil pendekatan hampir sama dengan ibu bapa mereka iaitu tidak berusaha menjaga rumah tangga dan amat senang mencari jalan untuk bercerai.

Perkembangan ini harus dipandang serius.

Apabila perceraian menjadi pilihan pertama walaupun kerana sebab kecil, ia menunjukkan kedudukan perkahwinan yang lemah.

Perkembangan ini seharusnya menyentak kita untuk berusaha memperbaiki keadaan masyarakat yang semakin membimbangkan.

Kerajaan seharusnya meletakkan perkahwinan rakyat dan keutuhan kekeluargaan sebagai agenda negara.

Peruntukan kewangan harus diberikan dengan menjadikan keluarga penyayang dan utuh sebagai agenda pembangunan insan.

Membina Pusat Hubungan Keluarga (Family Relation Centre) sebagai tempat pasangan yang tidak mempunyai skil perhubungan dalam rumah tangga mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan psikologi.

Kempen menjaga rumah tangga demi kesejahteraan generasi anak haruslah dilancarkan.

Program TV harus ditapis

Program televisyen seperti drama yang melebihkan keruntuhan rumah tangga, suami ganas dan pendera serta isteri jahat harus ditapis.

Kajian mengesahkan apabila semakin banyak program seperti itu ditonton maka ia menjadi perkara biasa dalam pemikiran penonton.

Ilmuwan Islam sewajarnya menjadikan isu keutuhan rumah tangga dalam program dakwah menerusi khutbah Jumaat, ceramah maghrib dan tazkirah di masjid untuk menyedarkan masyarakat.

Perhubungan adil dan saksama serta penyayang antara suami isteri serta ibu bapa dengan anak wajar ditekankan.

Suami seharusnya belajar bersabar dalam menghadapi kesilapan isteri mesti dipertingkatkan.

Isteri seharusnya ditegur supaya bersabar dengan masalah yang berlaku dalam rumah tangga juga digiatkan dalam kuliah wanita.

Tanpa menafikan telah ada usaha dilakukan, perkembangan perce-raian yang membimbangkan wajar diambil perhatian khususnya oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam supaya ditangani sebaiknya.

Kempen keluarga berkasih sayang dan cemerlang hendaklah digerakkan selain dianjurkan seminar dan ceramah di sekolah atau pusat kemasyarakatan dengan lebih kerap.

Apabila ia menjadi agenda besar, kita berharap masyarakat umum akan melihat perkahwinan adalah ikatan murni yang dalamnya sudah pasti ada masalah, tetapi kesabaran serta kesungguhan mempertahankan keutuhan rumah tangga hendaklah menjadi keutamaan semua.

Adun bahasa kitab, realiti jawab permasalahan

DALAM satu rancangan lintas langsung di Radio Perak pada hari Jumaat, baru-baru ini, ada seorang bertanya hukum makan ikan rebus yang diproses oleh bukan Islam tanpa membuang najis ikan berkenaan.

Menjawab dalam ruang batas masa yang singkat sangat memerlukan kemahiran yang penuh kebijaksanaan.

Teringat ketika berkursus di Rumah Fatwa Mesir, ada seorang syeikh berpesan supaya jangan sekadar berfatwa (bagi tahap saya - bukan berfatwa tetapi sekadar menaqalkan dan memberi panduan hukum) tetapi gabungkan ia dengan dorongan yang bertanya itu untuk beramal di samping mengetahui hukumnya.

Tergambar dalam minda perbahasan ulama dalam isu ini.



MUKMIN harus memilih makanan yang dihasilkan oleh orang Islam kerana dijamin halal. - Foto Rosela Ismail

Imam mazhab yang empat tidak berselisih mengenai najis ada pada ikan yang kecil itu dimaafkan.

Tetapi jika ikan itu bersaiz besar, ada perbincangan dalam kalangan ulama mazhab yang empat dan belum lagi dibuka perbincangan standard saiz yang dikira besar ataupun kecil.

Sejenak saya menjenguk keluar minda daripada dikelilingi dengan bahasa kitab kepada bahasa kehidupan realiti.

Rupa-rupanya saya menemukan jawapan untuk penanya bahawa sudah ada pada hari ini ikan rebus yang diproses oleh tangan yang bersyahadah kepada Allah SWT dan siap dibuang tahi sebelum diproses.

Itulah penyelesaian dan jawapan terbaik kepada yang menyoal untuk masa ini.

Belilah barangan yang diusahakan oleh saudaramu seakidah dan sedarilah saudara seakidahmu sangat memerlukan sokongan padu saudaranya yang lain.

Faedah membantu saudara seakidah akan kembali juga kepada kita secara individu dan begitu juga faedah dapat dikecapi sebagai satu ummah.

Umat Islam hari ini mesti mengutamakan sifat tolong-menolong sesama saudara seakidah dan itulah yang diajar dalam al-Quran.

Bantu saudara seakidah

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan." (Surah al-Maidah, ayat 2)

Rupa-rupanya sangat benar peringatan syeikh berkenaan perlunya bahasa kitab diadun dengan bahasa realiti dalam menjawab persoalan semasa hari ini.

Begitu juga pernah dalam satu forum saya ditanya mengenai hukum menjual tanah kepada orang kafir di Malaysia. Jika membaca laras bahasa kitab, kita mendapati Nabi SAW biasa berinteraksi dengan orang Yahudi.

Bahkan ketika Baginda SAW wafat, baju perangnya masih tergadai kepada seorang Yahudi seperti yang direkodkan dalam hadis sahih al-Bukhari.

Sekilas faham maka hukum berinteraksi dengan orang kafir itu harus saja hukumnya selama mana tiada berniaga yang haram, mahupun menjual senjata kepada golongan kafir yang memerangi orang Islam ataupun selama mana kita menjauhi riba serta senarai bentuk perniagaan yang diharamkan Islam.

Tetapi apabila laras bahasa kitab itu saya tinggalkan sebentar, lantas menumpukan perhatian kepada laras bahasa realiti yang berlaku kepada tanah umat Islam.

Sesungguhnya salah satu daripada tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang terungkap sebagai berikut: "Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, tanah-tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama kaum lain"

Wasiat itu kita abaikan. Tanah rizab orang Melayu sekarang kurang daripada 12 peratus, bahkan ada negeri yang langsung tiada lagi tanah rizab Melayu.

Sedangkan bumi Allah SWT ini adalah lebih berhak untuk diimarahkan dan dibangunkan oleh tangan-tangan yang beriman. Firman Allah SWT: "Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah daripada perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepada-Nya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hamba-Nya." (Surah Hud, ayat 61)

Walaupun bahasa kitab secara umum mengharuskan jual beli tanah kepada orang bukan Islam, namun bahasa semasa dan realiti mungkin memberi jawapan yang berbeza daripada bahasa kitab.

Jaga-jaga biayai kegiatan agama

ELOKLAH kita jadi tuan rumah sidang antarabangsa berkenaan keganasan dan pulihkan balik orang yang kena indoktrinasi sampai jadi pelampau dan pengganas.

Tak salah kita bertukar-tukar maklumat dan belajar daripada satu sama lain. Tapi yang lebih penting kita laksanakan apa yang kita pelajari.

Jangan setakat seronok bersidang dan hangat-hangat tahi ayam saja. Kunta Kinte setuju sangat-sangat dengan titah Sultan Perak yang kata, agama boleh cetus kacau-bilau apabila disalahgunakan untuk tujuan politik.

Ia boleh jadi asas perpaduan atau bom jangka. Kita dah tengok dengan mata kepala kita sendiri macam mana agama digunakan sewenang-wenangnya untuk tujuan politik sampai sanggup tuduh sesama Islam kafir.

Kita pun dah tengok macam mana hasutan dan indoktrinasi agama di negara kita buatkan orang Islam jadi sesat sampai sanggup derhaka kepada raja, merompak dan membunuh.

Itu ajaran sesat yang bersifat tempatan. Sekarang kita hadapi masalah indoktrinasi ajaran sesat peringkat antarabangsa.

Hal ini dipermudah dan diperluaskan oleh teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Dalam keadaan sekarang, kita kenalah lebih berhati-hati bila nak buat baik untuk agama sebab takut apa yang kita buat jadi punca keganasan dan sikap melampau.

Niat baik berubah jadi buruk

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, kadang-kadang kita sendiri yang ambil sikap sambil lewa bila buat amal jariah. Kita sangka bila niat kita baik hasilnya pun baik juga.

Tak semestinya macam itu. Tujuan kita baik bagi derma dan sedekah.

Tapi oleh sebab kita tak pantau, niat baik kita berubah jadi keburukan. Kunta Kinte tahu sejak 20-30 tahun lalu ramai orang Islam yang berjaya buat macam-macam amal jariah.

Ada yang bagi zakat sampai berjuta-juta ringgit. Ada yang bagi derma kepada madrasah, masjid dan surau. Ada yang bagi sedekah kepada rumah anak yatim dan pusat tahfiz.

Tapi pasal kurang pemantauan dan percaya bulat-bulat kepada pengerusi rumah anak yatim, masjid, madrasah, surau dan pusat tahfiz, banyak sedekah tak menjadi, sebaliknya bawa keburukan.

Kita dah dengar cerita ada orang berebut nak jadi pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid bila tahu sesebuah masjid itu dapat banyak derma, sedekah dan wakaf.

Kita kena ingat bukan semua orang yang berkhidmat dengan masjid, surau, ma- drasah, rumah anak yatim dan pusat tahfiz niat mereka bersih. Jadi kita kenalah berhati-hati.

Yang Kunta Kinte susah hati adalah institusi-institusi agama dan kebajikan Islam disalah guna untuk tujuan menghasut dan seterusnya melatih orang Islam yang cetek pengetahuan agama, khususnya remaja, jadi pelampau dan pengganas.

Benda ini dah banyak kali berlaku di negara kita. Ada yang serang balai polis dan kem tentera, rompak bank dan bunuh orang tak berdosa.

Tapi nampaknya kita mudah lupa dan lebih banyak bercakap daripada bertindak. Oleh sebab sekarang ini sikap melampau dan keganasan dah jadi aliran global akibat ICT, kita kenalah lebih berhati-hati, cekap dan cepat bertindak.

Masalah kita bila kena timpa bala baru terhegeh-hegeh nak belajar dan ambil tahu sedangkan benda yang berlaku itu dah jadi berulang kali.

Serangan ke atas Masjidilharam

Kunta Kinte nak ambil contoh serangan oleh fanatik agama ke atas Masjidilharam pada tahun 1979. Kalau Masjidilharam pun mereka sanggup serang, apatah lagi tempat-tempat lain.

Berapa orang dalam kalangan kita agaknya tahu atau ingat kejadian itu?

Kunta Kinte ingat sebab masa itu dah 10 tahun jadi pemberita dan bekerja di The New Straits Times Press, Jalan Riong.

Ikut laporan media massa antarabangsa dan Arab Saudi, antara 400 dan 500 fanatik, termasuk wanita dan kanak-kanak, langgar dan takluki Masjidilharam pada 20 November 1979 bersamaan 1 Muharam 1400.

Mereka tuntut pemerintahan Keluarga Saud ditumbangkan tapi pada masa sama, mereka dakwa salah seorang daripada mereka adalah Imam Mahdi.

Ketua mereka seorang bekas anggota tentera Arab Saudi dan daripada keluarga ternama di wilayah Najad. Nama dia Juhayman al-Otaybi.

Dia seorang mubaligh, koperal dalam Pengawal Kebangsaan Arab Saudi dan pelajar kepada Sheikh Abdel Aziz al-Baaz, Mufti Besar Saudi.

Dia isytihar yang abang iparnya, Mohammed Abdullah al-Qahtani adalah Imam Mahdi. Mereka dipercayai dapat bantuan anasir dalam pasukan Pengawal Kebangsaan Arab Saudi yang telah dipesongkan.

Jadi persenjataan mereka lengkap.

Pada waktu Subuh 20 November itu, ketika Imam Sheikh Mohammed al-Subayil bersedia pimpin 50,000 jemaah untuk sembahyang Subuh, mereka langgar dan bunuh dua orang polis tak bersenjata.

Mereka kuasai Masjidilharam selama dua minggu. Angka rasmi kata, seramai 255 jemaah, anggota tentera dan pengganas terbunuh, manakala 560 lagi cedera dalam pertempuran.

Lepas mereka dikalahkan, Raja Arab Saudi minta fatwa daripada ulama kanan Arab Saudi. Mereka gariskan tujuh kesalahan, iaitu langgar kesucian Masjidilharam, langgar kesucian bulan Muharam, bunuh saudara Islam, ingkar kepada pemerintah yang sah, menghalang solat di Masjidilharam, kesilapan mengenal pasti Mahdi dan mengeksploitasi orang awam untuk tujuan jenayah.

Al-Qahtani terbunuh. Juhayman dan 67 orang pengikutnya ditawan.

Mereka dibicarakan dan dijatuhkan hukuman pancung. Pada 9 Januari 1980, 63 pemberontak jalani hukuman pancung di khalayak ramai di lapan buah bandar di Arab Saudi iaitu Buraidah, Dammam, Makkah, Madinah, Riyadh, Abha, Ha'il dan Tabuk.

Sedihnya, ramai dalam kalangan fanatik yang terbabit itu diasuh dan dibiayai oleh institusi-institusi Kerajaan Arab Saudi sendiri dan ditokok tambah oleh derma orang kaya negara itu. Wallahuaklam.

Telaah objek di angkasa, Fenomena jujukan lima planet serentak

Fenomena jujukan lima planet serentak

BERMULA Rabu lalu dan akhir Februari depan, kita berpeluang melihat satu susunan planet-planet yang indah sekitar waktu Subuh. Walaupun sebelum ini pernah berlaku himpunan antara planet Zuhrah dan Musytari, kali ini ia agak istimewa, kerana kita akan dapat menyaksikan sehingga lima buah planet kesemuanya!

Kali terakhir fenomena ini berlaku ialah hampir sedekad yang lalu.

Planet mana yang  terlibat?

Kelima-lima planet tersebut ialah Utarid, Zuhrah, Zuhal, Marikh dan Musytari. Kebetulan pula inilah planet-planet yang dapat dilihat dengan mata kasar dengan mudah, dan telah dicatatkan dalam pemerhatian tamadun manusia sejak ribuan tahun dahulu.

Selain daripada kelima-lima planet ini, bulan juga akan turut mengiringi dan melintasi satu persatu planet tersebut.

Seperkara yang menarik mengenai planet-planet ini ialah jaraknya dari bumi dan cahayanya sampai kepada kita berbeza-beza.

Utarid  – Ia adalah cahaya 7.2 minit dahulu.

Zuhrah – Cahayanya ialah 11 minit dahulu.

Zuhal    – Kedudukan jauh sedikit berbanding lain, cahaya untuk sampai mengambil masa 87.5 minit dahulu.

Marikh – Cahayanya ialah 11.5 minit dahulu.

Bulan   – Paling hampir dengan kita, 1.3 saat dahulu.

Musytari – Cahayanya ialah 39 minit dahulu.

Bila dan pada jam berapakah ia boleh dilihat?

Fenomena jujukan lima planet ini boleh dilihat lebih kurang sebulan bermula berkumandangnya azan Subuh, dari  27 atau 28 Januari 2016 hinggalah 27 hingga 28 Februari 2016!

Tiada bezanya anda yang berada di kawasan lain di sekitar Asia Tenggara. Bila dengar azan Subuh, lepas solat terus perhatikan langit!

Adakah ia boleh dilihat dengan mata kasar?

Ya, fenomena jujukan lima planet ini boleh dilihat dan sesuai untuk dilihat menggunakan mata kasar sahaja. Anda tidak perlu menggunakan teleskop untuk melihat fenomena jujukan.

Tidak ada masalah jika anda mahu gunakan teleskop, tetapi anda hanya boleh lihat satu planet sahaja dalam satu-satu waktu. Medan pandangan sebuah teleskop kecil. Susunan planet-planet ini merangkumi keluasan separuh daripada langit.

Apa yang dimaksudkan keluasan separuh langit?

Maksudnya di sini ialah, kedudukan planet-planet ini akan bermula  hampir dengan ufuk timur, iaitu planet Utarid, kemudian diikuti dengan planet yang paling cerah, iaitu Zuhrah. Ke atas sikit dari Zuhrah, akan kelihatan planet Zuhal, dan tegak di atas kepala ialah Marikh. Selepas itu, ke arah barat sikit daripada Marikh, kita akan nampak planet Musytari.

Berdasarkan kiraan menggunakan Sky Safari Pro 4, jarak antara dua planet yang menandakan awal dan hujung jujukan planet-planet ini (iaitu bermula dari Utarid hinggalah ke Musytari), merangkumi antara 112º hingga 145º. Maknanya luaslah tu!

Bila Bulan akan melintasi planet-planet itu?

Jika anda masih keliru untuk kenal pasti yang mana satu planet-planet yang disebut di atas, anda boleh gunakan bulan sebagai panduan.

28 Januari – Bulan berada bersebelahan Musytari.

1 dan 2 Februari – Bulan berada hampir dengan Marikh.

4 Februari – Bulan berada hampir dengan Zuhal.

6 hingga 7 Februari – Bulan berada hampir dengan Zuhrah dan Utarid.

Maklumat kedudukan planet-planet ini dan bulan akan turut  dikemas kini menerusi laman sosial Facebook FalakOnline dan Twitter FalakOnline.

Planet yang mana satu paling susah untuk dilihat?

Utarid! Planet ini selalunya akan berada pada kedudukan rendah di ufuk. Ia tidak akan berada tinggi di langit. Cahayanya pun tidak selalunya terang dan cerah.

Kali ini mungkin peluang anda mencarinya lebih mudah. Gunakan planet yang paling cerah, iaitu Zuhrah, sebagai panduan. Sepanjang bulan 'jujukan planet-planet' ini, Utarid akan berada di bawah kedudukan Zuhrah.

lokasi sesuai untuk melihat

Disebabkan kesemua planet ini cerah dan mudah dilihat dengan mata kasar,  fenomena ini boleh dilihat di mana-mana sahaja, sama ada di bandar, kawasan perumahan dan lebih comel dari kawasan luar bandar.

Anda hanya perlukan pandangan arah ufuk timur yang bebas dari sebarang halangan seperti bangunan atau pokok (atau bukit!), untuk memudahkan mencari planet Utarid. Planet-planet yang lain mudah dilihat kerana berada tinggi di langit.

Bolehkah ia dirakam menggunakan kamera?

Boleh, namun jika anda ingin merakam kesemua planet ini serentak, anda perlu gunakan kamera DSLR bersama dengan kanta jenis fish-eye atau wide-angle.

Kenapa planet-planet ini tersusun seperti dalam satu garisan?

'Garisan' itulah yang dipanggil ecliptic, garisan satah laluan orbit-orbit planet ketika ia mengelilingi matahari. Di situ jugalah terletaknya 12 buruj zodiak, yang mana ia juga adalah laluan matahari sepanjang tahun.

Adakah fenomena ini memberi sebarang kesan terhadap cuaca bumi?

Tidak sama sekali. Kesemua planet ini berada amat jauh dari bumi, dan tidak berupaya memberi sebarang kesan kepada kita di bumi.

ALLAH SWT berfirman: "Dialah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan ALLAH Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandanganmu. Dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?" (Surah Al-Mulk: 3)

www.falakonline.net


Telaah objek di angkasa

BAPANYA seorang pegawai kerajaan, mereka sekeluarga mendiami kuarters kerajaan di Pulau Pinang dan lokasinya berdepan dengan laut yang membentang luas.

Usai makan malam, sementara menunggu makanan di perut hadam, beliau akan mendongak ke langit melihat kerlipan bintang, indahnya bulan purnama direnung sesekali kelihatan buruj di kala hitam pekat malam. Ketika itu beliau dalam lingkungan usia tujuh, lapan tahun.

Beliau dilahirkan dalam tahun 50an dan ketika itu tidak ada televisyen untuk ditonton. Pemandangan bulan dan bintanglah yang menemani Syed Kamarulzaman Syed Kabeer di waktu malam.

Sementelah pula, bapanya mempunyai minat yang mendalam terhadap ilmu falak, juga memiliki banyak buku-buku perihal falak dan berkeupayaan untuk menjelaskan mengenai buruj-buruj yang kelihatan di langit ciptaan ALLAH SWT.



Buat kiraan arah kiblat

Syed Kamarulzaman menceritakan, beliau mendapat biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

"Awal 70 an saya menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan eletrik di England. Saya berasai kesusahan berada di negara bukan Islam. Kalau adapun tidak ramai. Nak jumpa Muslim sampai berselisih bahu memang payah, susah untuk mendapatkan makanan halal, waktu dan tempat untuk bersolat tak tahu dan nak menentukan arah kiblat juga cukup rumit.

"Saya mula buat kiraan (hisab) untuk tentukan arah kiblat dan waktu solat. Memandangkan saya adalah pelajar sains, melakukan pengiraan adalah perkara mudah bagi saya lagi pun kaedah matematik yang digunakan sama seperti yang dipelajari," kata beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Falak Syarie Malaysia (PFSM).

Menurutnya, setiap kali mencari arah kiblat atau menentukan waktu solat beliau akan menggunakan kaedah hisab dan juga berdasarkan pemahaman yang diperoleh daripada pembacaan artikel-artikel dalam majalah mengenai bidang falak dan astronomi hasil tulisan penulis, Prof Muhamamd Ilyas yang berasal daripada India.

Syed Kamarulzaman selalu mendapatkan tulisan penulis berkenaan, membacanya dan sering mengutarakan pelbagai  persoalan, isu dan pandangan perihal bidang falak melalui kiriman surat dan akhirnya kolaborasi itu berpanjangan sehingga mereka bersua dan sekembalinya Syed Kamarulzaman ke tanah air, perhubungan beliau dan Prof Muhammad Ilyas menjadi akrab berikutan Prof Muhammad Ilyas ditugaskan untuk mengajar di Universiti Sains Malaysia (USM)

Minat yang mendalam dalam diri Syed Kamarulzaman terhadap bidang falak ini mendorong beliau untuk mengikuti kursus falak dalam tempoh enam bulan, dua kali seminggu setiap Khamis dan Jumaat.

Beliau juga melanjutkan pengajian di peringkat diploma pengajian Islam selama dua tahun di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau menghasilkan kertas kerja bertajuk ilmu falak satu pendekatan moden dan individu yang meluluskan kertas kerja itu adalah Datuk Dr Haron Din.

Peranan ulama: Mudahkan pemahaman tauhid

SATU daripada perkara utama dalam pembelajaran akidah ialah tauhid. Berbicara perihal tauhid kepada ALLAH SWT mestilah berpijak di atas nas (al-Quran dan as-Sunnah) bukan di atas dasar akal semata, rasa mahupun emosi seseorang. Pentingnya tauhid dalam ilmu akidah kerana ia membahaskan mengenai keesaan ALLAH.

Tauhid berasal dari perkataan Arab bermaksud menjadikan sesuatu itu satu. Maka tauhid bermakna menjadikan ALLAH itu satu, atau mengesakan ALLAH. Lawan kepada perkataan ini ialah syirik iaitu menjadikan sesuatu yang lain sama ada malaikat, nabi, pokok, batu dan seumpamanya sekutu bagi ALLAH dalam menyembah-Nya.

Mudahnya perkara berkaitan tauhid ini,  jika dibaca dan diteliti keseluruhan ayat al-Quran yang membicarakan mengenai tauhid mahupun dari sunnah Nabi Muhammad SAW. Kita akan dapati penggesaan kepada ALLAH berlaku dalam tiga perkara iaitu tauhid Al-Rububiyyah, tauhid Al-Uluhiyyah dan Al-Asma' wa Al-Sifat.

Ketiga-tiga pembahagian ini dilakukan ulama bertujuan memudahkan masyarakat memahami konsep tauhid yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah. Tiada sesiapapun yang boleh menyangkal hakikat tiga bahagian ini.

Antara ulama awal yang mengisyaratkan kepada pembahagian ini ialah Al-Imam Abu Abdillah Ubaidillah bin Muhammad bin Batthah al-‘Akbari. Beliau menyatakan dalam kitabnya Al-Ibanah 'An Syari'ati Al-Firqati Al-Najiyah: Asas keimanan kepada ALLAH yang wajib diimani oleh seorang hamba ALLAH ialah menetapkan tiga perkara.

Pertama: Hendaklah seorang hamba itu berakidah dengan rabbaniyyah ALLAH iaitu beriman ALLAH itu pencipta, pemilik dan pentadbir alam ini, supaya dia dapat mengetahui di sana terdapat satu kumpulan yang dipanggil ahli Ta'thil yang mana mereka ini adalah kumpulan yang menafikan kewujudan Pencipta kepada alam ini seperti atheis yang tidak mempercayai Tuhan.

Kedua: Hendaklah hamba itu berakidah dengan Wahdaniyyah (keesaan) ALLAH. Iaitu hanya kepada ALLAHlah tempat diberikan segala bentuk ibadah, supaya dia dapat mengetahui adanya ahli syirik yang mengiktiraf kewujudan ALLAH tetapi dalam masa yang sama mereka mempersekutukan ALLAH dalam beribadah.

Ketiga: Hendaklah seorang hamba itu berakidah ALLAH itu tidak disifatkan dengan apa sahaja sifat-sifat kecuali sifat-sifat yang telah ditentukan kepada-Nya, seperti ilmu, kudrat, hikmah dan kesemua sifat yang ditetapkan ALLAH sendiri dalam kitab-Nya (al-Quran).

Beriman dengan Rububiyah ALLAH

Berdasarkan apa yang dijelaskan oleh Al-Imam Ibn Batthah, kewajipan pertama setiap Muslim ialah beriman bahawa ALLAH sebagai pencipta sekalian alam, pentadbir, pemberi rezeki, menghidupkan dan mematikan. Inilah yang dinamakan sebagai Tauhid Rububiyyah. ALLAH menjelaskan dalam Surah Al-Mukminun ayat 84 hingga 89.

Ayat berkenaan menjelaskan jika ditanya kepada mereka yang tidak beriman kepada ALLAH itu siapakah yang menciptakan segalanya, sudah pasti mereka menjawab ALLAH. Tidak ada dalam kalangan penyembah patung-patung itu yang menyatakan patung itulah yang menciptakan mereka. Sebaliknya fitrah mereka sendiri menjawab ALLAH.

Tetapi perlu difahami hanya percaya perkara ini tidak membuatkan seseorang itu masuk ke dalam agama Islam. Seseorang dikira beriman dan mentauhidkan ALLAH secara benar melalui tauhid Uluhiyah.

Beriman dengan Uluhiyah ALLAH

Perkara kedua yang dijelaskan oleh Ibn Batthah ialah mengesakan ALLAH dalam Uluhiyahnya. Penggesaan ini bermaksud ALLAH sahajalah tempat yang selayaknya disembah dalam semua jenis ibadah dan tidak menyembah selain dari-Nya sama ada rasul, nabi, wali, pokok, batu, matahari, bulan atau sesiapa sahaja. Inilah yang dinamakan Tauhid Uluhiyyah.

Uluhiyyah berasal dari perkataan Ilah. Ilah bermaksud yang berhak disembah, diagungkan dan didaulat. Makna inilah yang terkandung dalam kalimah syahadah yang bermaksud: "Tiada tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan ALLAH".

Ibadah tidak hanya solat, zakat, puasa dan haji sahaja bahkan segala perbuatan yang membawa makna ibadah. Antara contoh lain yang bersangkutan dengan ibadah ialah doa dan ia adalah kepala segala ibadah. Maka tidak boleh seorang Muslim berdoa memohon hajat kepada selain ALLAH.

Selain itu al-Hub (kecintaan), al-Ta'zim (pengagungan), al-Khauf (perasaan takut), al-Raja' (mengharap). Begitu juga penyembelihan dan nazar. Kesemua perkara-perkara ini adalah hak ALLAH ke atas hamba-Nya dan hanya boleh dilakukan hanya kerana-Nya. Sebahagian perkara inilah atau kesemuanya sekali ramai dalam kalangan orang Islam yang melakukannya kepada selain ALLAH.

Inilah tauhid yang dibawa oleh golongan rasul, juga dinamakan sebagai tauhid ibadah. Firman ALLAH: "Sembahlah ALLAH dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun." (Surah Al-Nisa': 36)

Juga disebabkan tauhid inilah musyrikin Quraisy menentang dakwah Nabi SAW ini kerana mereka memahami tuntutan daripada kalimah syahadah itu ialah tidak ada sembahan yang berhak disembah melainkan ALLAH, dan keseluruhan pengabdian hanya untuk mendaulatkan ALLAH semata. Sesungguhnya penciptaan jin dan manusia hanyalah untuk menyembah ALLAH seperti dalam Surah Al-Zariyat ayat 56.

Beriman dengan nama dan sifat bagi ALLAH

Perkara Ketiga pula ialah mengesakan ALLAH dalam nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang disebut sebagai Tauhid Asma' wa Al-Sifat. Maksud tauhid ini ialah beriman dengan sifat ALLAH berserta nama-Nya dengan cara mengisbatkan atau menetapkan apa yang ALLAH tetapkan bagi diri-Nya dengan sifat-sifat dan nama-Nya dalam al-Quran dan melalui lidah rasul-Nya tanpa mengubah dan menafikannya serta tanpa menetapkan cara tertentu dan tanpa menyerupakan dengan makhluk.

ALLAH menyifatkan diri-Nya dalam al-Quran melalui ayat-ayat yang sangat banyak. Juga diterangkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang sahih. Adalah menjadi kewajipan umat Islam untuk membenarkan dan beriman dengannya.

Sesiapa yang beriman kepada ALLAH dalam tiga perkara ini, dia adalah seorang mukmin yang jelas tauhidnya kepada ALLAH. Sebaliknya berleluasa perkara yang bercanggah dengan akidah pada masa kini ialah akibat tidak mengenali ALLAH dalam tiga jenis tauhid ini.

Kebelakangan ini ada segelintir masyarakat yang mula mempertikaikan pembahagian tauhid ini. Kata mereka ia suatu perkara yang tidak wujud pada zaman awal Islam. Sebahagian yang amat jahil pula berkata pembahagian tiga ini sama seperti akidah 'triniti' yang ada pada Kristian. Semua ini berlaku akibat kedunguan akal yang tidak mampu berfikir dengan waras didorong pula oleh kejahilan dalam agama.

Kesemua ini tidaklah bermaksud menambah ajaran agama tetapi semuanya dalam rangka memudahkan pembelajaran masyarakat awam untuk memahami topik yang dibincangkan dalam mata pelajaran tauhid. Ini samalah seperti ilmu bahasa Arab yang dibahagikan menjadi tiga iaitu Ismun (kata nama), Fi'lun (kata kerja) dan Harf (huruf) yang sebelumnya tidak terdapat pembahagian tersebut.

Waspada terhadap sumber yang haram

DALAM era globalisasi melalui pelbagai aspek, khususnya ekonomi kian merudum memberikan satu cabaran kepada kita untuk berusaha menjana sumber pendapatan bagi menampung kos sara hidup yang meningkat.

Jika kita tidak berwaspada terhadap sumber yang haram, maka kita mudah terjebak dengan instrumen pembiayaan pinjaman berasaskan riba, kita juga mungkin akan terjebak dengan skim pelaburan tidak patuh syariah. Ini semua terjadi apabila kita meletakkan keuntungan melebihi syariat yang digariskan ALLAH SWT.

Kini, skim pelaburan tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan dengan motif menjerat mangsa. Masalah yang timbul ialah, sikap masyarakat kita sendiri yang meletakkan keuntungan sebagai neraca pertimbangan dalam membuat keputusan. Seharusnya apabila mendengar perihal pelaburan yang ditawarkan kepada kita, perkara pertama yang perlu selidiki ialah adakah ia patuh syariah, adakah produk ataupun instrumen pelaburan itu diperakui oleh badan berautoriti seperti Suruhanjaya Sekuriti Syariah.

Dewasa kini masyarakat kita perlu  peka dan berhati-hati terhadap skim pelaburan sedia ada, kerana strategi pemasaran yang dijalankan cukup berkesan untuk menarik pelanggan, ada yang sanggup mengaburi pengguna Muslim dengan taktik menggunakan jenama patuh syariah dan mengaku mempunyai penasihat syariah yang memberikan perakuan terhadap operasi syarikat yang dijalankan.

Berbalik kepada topik di atas, penulis ingin membawakan kisah teladan sahabat Baginda SAW, Abu Bakar As-Siddiq. Beliau di antara sahabat yang termasuk dalam golongan As Sabiqunal Awwalun. Abu Bakar digambarkan sebagai seorang yang memiliki tahap keimanan yang tinggi. Disebutkan dalam satu riwayat di mana Umar bin Al-Khattab RA memuji Abu Bakar dengan mengatakan: "Sekiranya keimanan Abu Bakar ditimbang dengan keimanan penduduk bumi (selain  Rasulullah SAW), sungguh keimanan Abu Bakar lebih berat daripada keimanan penduduk bumi." (Diriwayatkan dengan sanad yang sahih Al-Baihaqi dalam Syu'abul Iman)

Kisah ini memaparkan sikap berhati-hati Abu Bakar ketika mana berdepan dengan perkara yang halal dan haram. Abu Bakar mempunyai seorang hamba, suatu hari hamba tersebut membawa makanan kepadanya, lantas Abu Bakar memakan makanan tersebut. Hamba tersebut kemudian bertanya kepada Abu Bakar: "Adakah anda mengetahui apa yang dimakan ini?" Lantas Abu Bakar bertanya semula dari mana asalnya makanan tersebut. Hamba itu kemudian menceritakan ketika zaman jahiliahnya melakukan amalan perdukunan, sedangkan dia tidak mempunyai kemahiran tersebut malah melakukan penipuan. Kemudian datang seseorang untuk menjalani pengubatan melalui amalan perdukunan itu, orang tersebut memberikan hadiah berupa makanan, dan makanan itulah yang dihidangkan kepada Abu Bakar.

Setelah mendengar penjelasan itu, Abu Bakar memasukkan jari tangan ke dalam mulut, lalu memuntahkan semua makanan yang ada dalam perut beliau." (Riwayat Bukhari)

Berdasarkan kisah itu dapatlah kita mengambil beberapa pengajaran untuk diaplikasikan dalam kehidupan ini.

Tingginya iman sahabat

Seperti yang dijelaskan pada awal tadi ketinggian iman Saidina Abu Bakar dipuji sendiri oleh Umar. Ketakwaan mereka kepada ALLAH juga dizahir bukan sahaja pada amalan anggota badan tetapi kekukuhan ketakwaan dalam hati beliau.

Imam Abu Bakar bin Ayyasy salah seorang ulama tabi’in mengatakan: "Tidaklah Abu Bakar mendahului kalian dalam aspek kebaikan seperti banyak berpuasa dan solat, akan tetapi kerana sesuatu kesempurnaan iman dan takwa dalam hati beliau." (Mifta Daris Sa'adah, Ibnul Qayim)

Sikap berhati-hati yang ditunjukkan  Abu Bakar adalah satu teladan kepada kita, ketinggian  keimanan dalam hatinya ditamsilkan melalui perbuatan zahirnya. Seseorang yang mempunyai keimanan dan sifat ketakwaan yang tinggi akan terus dipelihara ALLAH.

Salah satu penerapan sikap warak ialah menjauhi perkara-perkara syubhah dalam semua hal. Dalam sebuah hadis riwayat Tirmizi, Rasulullah SAW menyebutkan salah satu tanda keislaman seseorang ialah jika dia meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat baginya.

Al-Imam Ibnu Qayyim RHM dalam kitab Madarijus Salikin ketika menjelaskan pengertian warak berdasarkan hadis ini berkata: "Di antara yang termasuk dalam meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat itu meliputi pendengaran, perkataan, penglihatan, pemikiran dan lain-lain hal sama ada zahir mahupun batin. Dalam kitab yang sama - Madarijus Salikin, Ibrahim bin Adham memberikan pengertian warak sebagai meninggalkan perkara syubhah termasuk juga hal-hal yang tidak bermanfaat.

Amalan bomoh dilarang Islam

Apa yang diertikan sebagai amalan perdukunan dalam kisah ini merujuk kepada ramalan kejadian yang bakal berlaku pada masa akan datang tanpa bukti yang mampu mengesahkan ramalan tersebut. Hal ini jelas membawa kepada kekufuran, ramalan terhadap hal-hal bersifat ghaib, apatah lagi dengan bantuan jin yang kadang kala 'dijenamakan' dalam masyarakat kita sebagai bantuan jin Islam, pendamping, dan lain-lain nama yang membawa kepada maksud yang sama.

Amalan perdukunan dalam segala bentuk adalah satu bentuk amalan tercela. Tegahan untuk mendatangi dukun dan tukang tilik sudah jelas apatah lagi mempercayainya, kerana ini semua termasuk dalam kelompok dosa besar.

Sabda Nabi SAW: "Sesiapa yang datang kepada tukang tilik (orang yang mengaku mengetahui perkara ghaib, mencakupi dukun/bomoh dan ahli sihir), kemudian menanyakan sesuatu perkara kepadanya, maka tidak akan diterima solat seseorang itu selama empat puluh malam (hari)." (Riwayat Muslim)

Begitu dahsyat ancaman Baginda SAW mengenai hal ini. Akhir sekali, semoga kita sama-sama berusaha meningkatkan ketakwaan dan nilai keimanan kepada ALLAH. Dialah sang pemilik dan pemberi rezeki Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.