February 3rd, 2016

Kekayaan dunia hanya pinjaman

MATA si jahil mudah terpukau dengan kilauan dunia. Mereka sangka timbunan harta menjadi lambang kemuliaan manusia. Mata hati si alim pula terang menembusi alam akhirat. Mereka sedar harta adalah pinjaman dan amanah yang bakal diaudit ketat di akhirat kelak.

Ketika si jahil mabuk dengan kemilau dunia sehingga menyangka ia adalah kilauan berlian, si alim sudah tahu bahawa itu hanyalah kilauan kaca.

Kisah pengkagum harta dan manusia berilmu dalam cerita Qarun sangat bagus dijadikan pedoman setiap orang yang beriman dengan al-Quran:

Orang berilmu melihat banyak langkah di hadapan


HARTA adalah lambang kesombongan Qarun, manakala ilmu pula lambang kemuliaan para Rasul. Qarun ditelan bumi kerana hartanya, manakala nabi Musa a.s. ditinggikan darjatnya kerana ilmu. - GAMBAR HIASAN

“Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: “Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik”. Dan berkata pula “orang yang diberi ilmu (di antara mereka): “Janganlah kamu berkata demikian, pahala daripada Allah lebih baik bagi orang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang yang sabar,” (al-Qasas[28:79-80]).

Semua sedia maklum Qarun adalah manusia kaya yang sangat angkuh. Ketika dia keluar menayang segala kekayaannya, manusia jahil yang rabun akhirat lekas terpukau. Untung rugi pada mata mereka hanyalah pada timbunan harta dan pengaruh.

Lain pula mata hati orang berilmu. Mereka tahu mana kaca dan berlian. Ketika si jahil hanya melihat apa yang terhidang di hadapan mata, mata orang berilmu sudah nampak beberapa langkah ke hadapan sehingga mencecah alam akhirat. 


PIALA KEBENARAN

Soalnya, siapakah yang betul antara dua kelompok pada ayat di atas? Biar ayat ini memberikan piala kebenaran kepada yang berhak:

“Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah dia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya daripada azab Allah” dan dia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri. Dan orang yang pada masa dahulu bercita-cita mendapat kekayaan seperti Qarun - mulai sedar sambil berkata:

“Wah! Sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakinya daripada hamba-hamba-Nya, dan Dialah juga yang menyempitkannya kalau tidak kerana Allah memberi pertolongan kepada kita tentulah kita akan dibinasakan dengan tertimbus di dalam tanah (seperti Qarun). Aduhai! Sesungguhnya orang yang kufurkan nikmat Allah itu tidak akan berjaya!” (al-Qasas[28:81-82]).

Maha Suci Allah! Ayat ini bukan sekadar cerita antara dua kelompok manusia tetapi ia adalah penganugerahan ‘piala kebenaran’ kepada orang berilmu.

Manusia jahil hanya sedar kebodohan dan kejahilan mereka setelah melihat kemusnahan Qarun yang ditelan bumi. Jauh bezanya dengan orang berilmu yang sudah lama melihat betapa kekayaan Qarun hanyalah pinjaman yang boleh ditarik Allah pada bila-bila masa sahaja.

Jika Qarun musnah ditelan puluhan tahun selepas dia keluar menayang kekayaannya, bermakna orang jahil begitu jauh ketinggalan dalam melihat hakikat kebenaran berbanding orang berilmu yang sudah sedar lama sebelum ia terjadi.

Inilah caranya al-Quran mendidik kita agar menjadi manusia berilmu. Rugi sekali jika kita masih terpaku kagum melihat timbunan harta tetapi culas dan liat untuk menghadiri majlis ilmu. Ketahuilah, harta adalah lambang kesombongan Qarun, manakala ilmu pula lambang kemuliaan para Rasul.

Qarun ditelan bumi kerana hartanya, manakala Nabi Musa a.s. ditinggikan darjatnya kerana ilmu. Pilihlah mana satu idaman hati. Jika mahu kagum dengan si kaya atau si alim, ikutlah panduan sabda Rasulullah ini. Insya-Allah kita semua akan selamat:

“Tidak boleh berhasad dengki, kecuali iri hati pada dua keadaan, iaitu; seorang lelaki yang dikurniai Allah (kemahiran dan kefahaman) al-Quran, lalu dia menegakkannya (mengamal, mengajar, menghayati) sepanjang malam dan sepanjang siang, juga seorang lelaki yang dikurniai Allah harta kekayaan lalu dia membelanjakannya (pada jalan kebaikan) sepanjang siang dan malam,” - Sahih Bukhari dan Muslim.

Faham liberal dan pluralis menyimpang

Di tengah riuh dan heboh isu politik dan ekonomi di Malaysia, ramai yang memandang remeh isu fahaman libe­ralisme dan pluralisme agama yang sedang berkembang kini, yang menyentuh langsung hal akidah dan syariah. Fahaman ini difatwakan sebagai ajaran sesat.

Pada 23 Januari lalu, berlangsung pelancaran buku tokoh liberal Turki, Mustafa Akyol, Islam Tanpa Keekstreman Berhujah Untuk Kebebasan anjuran Islamic Renaissance Front (IRF), G25 dan Penang Institute.

Tidak lama dulu G25 iaitu kumpulan liberal profesional dan bekas pegawai tinggi negara membangkitkan isu hak peribadi dan hak awam berhubung isu khalwat dan melakukan kritik tajam terhadap peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pemikiran yang dibawa oleh IRF, G25 dan menariknya Penang Institute terkandung elemen politik ingin menggagaskan faham liberal di Malaysia. Pendekatan liberal sekian lama berkembang di Barat dan kini liberalisme agama berkembang di dunia Islam.

Indonesia umpamanya sedang menghadapi wabak ini yang bercanggah dengan akidah dan syariat yang diterima pakai sekian lama. Majlis Ulama Indonesia dikecam dan kini Jakim dan Majlis Agama Islam Nege­ri pula menjadi sasaran.

Mereka menganggap ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai tradisional, ortodoks, jumud dan tidak bersifat semasa serta menjadikan pendekatan hermeneutic Barat (tafsir yang pernah berlaku terhadap agama Kristian-Protestan) sebagai landasan untuk memajukan Islam berasaskan faham sekular dan pluralisme agama.

Lebih jauh kumpulan ini tidak mahu terikat dengan gaya tafsir al-Quran sedia ada, membangkitkan isu kesetaraan gender (status lelaki dan perempuan), memperjuangkan hak asasi manusia (HAM) ikut citarasa Barat dan mahu al-Quran ditafsir semula supaya selari dengan kemajuan Barat hari ini.

Kita tidak menentang Barat kerana Barat itu Barat tetapi hati-hati dengan proses pembaratan yang terjadi kerana globalisasi umpamanya mempunyai agenda. Suatu ketika dulu Islam pernah mendukung tamadun besar dan Barat terhutang ilmu dengan kehebatan sains dan teknologi Islam. Islam ada sejarah gemilangnya.

Kemunduran yang berlaku dalam kalangan warga umat hari ini bukan disebabkan Islam menjadi penghalang utama. Sebaliknya kegemaran umat Islam berpecah-belah, mening­galkan ukhuwah Islami dan gemar melabel satu sama lain dan tinggi prasangka menjadi penyebabnya. Mereka hilang fokus terhadap kepentingan ilmu dimartabatkan.

Umat Islam harus reflektif dengan faktor kemajuan Islam dulu yang wujud daripada sinergi ulama umarak, ilmu nakliah dan akliah yang disantuni, tradisi tadabbur (kaji selidik) yang hebat, keupayaan mempelajari maklumat berbanding dari tamadun lain yang bermanfaat bukannya melakukan celupan kepada tasawwur Barat yang tidak semestinya Islamik.

Langkah kerajaan suatu ketika lalu menyekat Ulilabsar Abdallah tokoh liberalis Indonesia dari datang ke Malaysia adalah suatu usaha yang baik untuk menyekat pengaruh ini, sayangnya kedatangan Mustafa Akyol dari Turki dan suatu ketika dulu Irsyad Manji pendukung tegar faham liberal ini dibiarkan begitu saja.

Pada hemat penulis, Malaysia meraikan kebebasan berbicara atas asas yang tidak bercanggah kerana Islam adalah agama rasmi negara. Majlis Fatwa sudah membuat keputusan bahawa pemikiran liberalisme dan pluralisme agama sesuatu yang menyalahi patut dihormati kerana pencegahan lebih bijaksana daripada mengubati kerana bersifat ideologikal.

Isu agama terutama berkaitan al-Quran dan hadis me­nuntut keahlian dan kepakaran melakukan tafsir dan aplikasi dalam kehidupan bersyariat supaya ketertiban terjadi dan kerukunan hidup terpelihara.

Kalau ditafsirkan oleh orang yang bukan ahli, tunggulah kehancuran berlaku. Apalagi dalam kalangan kelompok yang tidak mendalami Islam, memiliki pandangan semesta (tasawwur) Barat yang pekat akan cenderung menjadi Khawarij moden.

Harus ada kesedaran dan keinsafan tinggi dalam kala­ngan umat Islam supaya tidak mudah terperangkap dengan keghairahan untuk maju sehingga membelakangkan akidah dan syariah. Pendekatan memperkasa maqasid syariah yang sedang berjalan di Malaysia adalah suatu contoh baik ijtihad dalam kalangan ulama dan ilmuwan yang melakukan ijmak dan qiyas memberi kesan baik memperkukuh jaringan muamalah, pendidikan, perundangan dan sosial dan model kemajuan Islam. - Jendela To'Ki Utusan Malaysia Rencana Agama 02 Februari 2016 6:15 PM

Semangat kejiranan eratkan perpaduan

AJARAN Islam sangat mementingkan keharmonian dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat. Semua ini boleh dicapai melalui konsep kejiranan yang baik. Dalam kehidupan berjiran umat Islam digalakkan menghubungkan silaturahim, mengeratkan hubungan persaudaraan, menyatukan keluarga dan mengeratkan persahabatan dengan jiran tetangga.

Di peringkat sekolah lagi usaha memupuk perpaduan ini dijalankan. Melalui pelbagai kegiatan di sekolah khususnya kokurikulum murid-murid dapat bergaul dan berinteraksi dengan kawan-kawan mereka daripada pelbagai kaum.

Sememangnya sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat pelbagai etnik, setiap murid perlu dididik dan dipupuk dengan semangat perpaduan dalam jiwa mereka supaya tidak timbul pertelingkahan antara kaum pada masa akan datang.



KEJIRANAN yang baik adalah asas kepada perpaduan rakyat di negara ini. GAMBAR HIASAN

Oleh itu, masyarakat di negara ini terutamanya yang beragama Islam hendaklah menunjukkan cara hidup yang baik khususnya hidup berjiran kerana kejiranan adalah asas kepada perpaduan.

Hakikatnya, sebagai sebuah negara pelbagai bangsa, keturunan, agama, budaya dan adat resam amalan hidup berbaik-baik antara satu dengan yang lain amat dituntut dalam usaha mewujudkan suasana harmoni serta aman.

Berkaitan hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Di antara kebahagiaan seorang muslim adalah mempunyai tetangga yang soleh, rumah yang luas dan kenderaan yang meriangkan”. (Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Jelaslah kehidupan bermasyarakat bersama jiran tetangga yang baik akan memberikan ketenangan dan kedamaian dalam kehidupan. Melalui semangat kejiranan yang erat, hubungan kekeluargaan dan silaturahim juga dapat diperkukuhkan.

Sesungguhnya kita tidak dapat mengelakkan diri daripada sesebuah masyarakat yang hidup bantu-membantu. Dalam menjalani kehidupan seharian kita juga memerlukan bantuan dari orang lain. Kerjasama melalui semangat kejiranan dan perpaduan seumpama ini harus dapat dikekalkan sentiasa.

Kita juga sering mengalami kesusahan dan kesakitan. Sebagai contoh, orang akan menziarahi kita jika kita sakit. Begitu juga orang akan membantu kita jika kita ditimpa kemalangan. Islam mengajak umat Islam bersatu padu dalam hal-hal kebaikan termasuk mengukuhkan semangat kejiranan.

-