February 4th, 2016

Dalami ilmu penyembelihan haiwan

BAYANGKAN jika anda berada di negara bukan Islam atau kawasan majoriti penduduknya tidak beragama Islam seperti di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Dalam keadaan itu, anda hendak mencari bekalan ayam mentah untuk dimasak tetapi ayam yang sudah siap disembelih tidak dijual atau tidak terdapat di kawasan itu dan hanya ayam hidup sahaja yang tersedia.

“Saya sendiri pernah mengalami situasi begini semasa berada di kawasan pedalaman Sabah suatu ketika dahulu dan bagi mereka yang berada di luar negara atau mengembara ke mana-mana pun, situasi begini boleh terjadi.


Persediaan hadapi keadaan mendesak


DUA pelajar lelaki diberi bimbingan mengenai teknik penyembelihan betul oleh Abdullah Qurtubi (kanan sekali) semasa kursus menyembelih di Surau Al-Hidayah MMU, Cyberjaya, baru-baru ini. -

“Dalam situasi begini, barulah kita sedar betapa pentingnya mengetahui ilmu sembelihan yang menjadi antara satu ibadah yang dituntut dalam Islam,” kata Pegawai Agama Universiti Multimedia (MMU), Mohd. Toha Mohamad Hasan baru-baru ini.

Tambah beliau, hukumnya adalah sunat bagi setiap Muslim mengetahui dan mempelajari ibadat sembelihan iaitu satu kaedah tertentu untuk mengorbankan atau mematikan haiwan ternakan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah, ayat 3: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) , dan darah (yang keluar mengalir) , dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana selain Allah dan yang mati dimakan binatang buas kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya) dan yang disembelih atas nama berhala.”

Disebabkan itu, Mohd. Toha berkata, ibadat sembelihan memerlukan kaedah, rukun dan cara yang betul untuk mengendalikannya supaya hasil daripada sembelihan itu adalah halal dan tidak menjadi sebaliknya.




DUA kakitangan wanita MMU tidak melepaskan peluang mencuba proses penyembelihan di Surau Al-Hidayah MMU, Cyberjaya, baru-baru ini.

Sebenarnya ilmu tentang sembelihan amat penting sehinggakan ibadat itu sinonim dengan perayaan Hari Raya Aidiladha ataupun dikenali Hari Raya Korban bersempena memperingati peristiwa kisah Nabi Ibrahim a.s. mengorbankan anaknya, Nabi Ismail a.s. demi menurut perintah Allah SWT.

Adalah menjadi sunat muakkad bagi menyembelih haiwan seperti unta, lembu, kerbau, biri-biri dan kambing selama empat hari bermula 10 Zulhijjah, iaitu pada Hari Nahar atau Hari Raya Haji (10 Zulhijah) dan pada hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijah) kerana mendekatkan diri kepada Allah.

Justeru, Mohd. Toha berkata, sebagai usaha untuk memberi pencerahan kepada masyarakat umum khususnya warga universiti terhadap ilmu penyembelihan, maka Bahagian Hal Ehwal Pelajar MMU, Surau Al-Hidayah dan Institusi Usrah Pelajar MMU menganjurkan kursus sembelihan di Surau Al-Hidayah, MMU Cyberjaya, baru-baru ini.

Ia bertujuan memberi pendedahan mengenai kaedah sembelihan secara teori dan praktikal termasuk menerangkan mengenai salah faham sembelihan serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat MMU terhadap ilmu berkenaan.

Kursus itu dihadiri kira-kira 80 peserta terdiri daripada para pelajar, kakitangan universiti dan ahli jemaah. Kursus yang pertama kali diadakan itu, dibimbing oleh ustaz jemputan, Abdullah Qurtubi.

Jangan biar ketaksuban hancurkan ummah

Masyarakat Islam mutakhir ini mendepani cabaran getir. Umat Islam ketinggalan dalam banyak bidang kemajuan dunia, bahkan sekarang ketara dengan pertelingkahan sesama sendiri.

Umat Islam seolah-olah berprasangka, menuduh dan menempelak satu sama lain. Di pentas antarabangsa, bumi Syria dan Yaman terus menumpahkan darah.

Terbaru, pertelingkahan di antara Iran dan Arab Saudi. Hal seperti ini membuatkan kita tertanya-tanya, di manakah persaudaraan, nilai kasih sayang dan kedamaian yang dianjurkan Islam?

Sebelumnya pertelingkahan di Mesir, Libya, Tunisia, Afghanistan dan Somalia. Ini adalah ujian getir sebagai natijah daripada pergeseran itu. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan kira-kira 400,000 orang kebuluran di luar Kota Damsyik.

Kumpulan bersenjata terus berusaha menggempur Damsyik, tetapi yang jadi mangsa adalah orang awam. Dianggarkan lebih 2.5 juta kanak-kanak di Syria tidak bersekolah, manakala di Yaman dianggarkan 1.5 juta. Ini malapetaka besar.

Masyarakat Islam umumnya cukup kesal, bimbang dan sedih dengan hal ini.


Iran menuduh Turki memanjangkan perang saudara di Syria. - Foto ihsan http://www.iran-daily.com/

Amat dikhuatiri semua pihak yang bersengketa termasuk pihak membunuh dan terbunuh kedua-duanya akan masuk neraka seperti disabdakan Nabi SAW yang bermaksud:

Apabila dua orang Muslim berbunuh-bunuhan dengan pedang, maka pihak yang membunuh dan yang terbunuh kedua-duanya masuk neraka.

Abu Bakrah bertanya: Wahai Rasulullah, orang yang membunuh memanglah masuk neraka, tetapi bagaimana orang yang terbunuh pun masuk neraka?

Jawab Baginda: kerana ia berniat bersungguh-sungguh hendak membunuh lawannya." (Riwayat Bukhari).

Usah salahkan pihak lain

Banyak faktor menyebabkan pergeseran dan sengketa serta tidak perlu menyalahkan pihak lain terlebih dulu.

Pertama, taksub membuta tuli terhadap pendapat masing-masing. Sesetengah pihak anggap diri mereka betul.

Disebabkan taksub, mereka berdebat bahawa akidah mereka sahaja betul dan membawa kepada isu mengkafirkan orang lain (jadaliyyatul aqidah).

Dalam interaksi perbezaan pendapat sama ada mazhab atau ideologi politik, apa yang sangat penting ialah sikap terbuka. Biasa disebut di mana-mana seperti dinyatakan Imam Syafie, perbezaan pendapat dibolehkan dalam ruang yang mempunyai ijtihad bukan yang bersifat 'qati'e' (sudah tetap).

Imam Syafie menegaskan, pendapat kita betul, tetapi boleh jadi salah, begitu juga pendapat mereka salah, tetapi boleh jadi betul. Kedua-dua pihak sepatutnya meraikan adab perbezaan pendapat.

Allah berfirman SWT yang bermaksud: "Sebenarnya orang beriman itu adalah bersaudara..." (Surah al-Hujurat: 10)

Tidak sepatutnya mengatakan salah kepada pihak yang berbeza pendapat, tetapi sepatutnya menghormati pendapat berkenaan.

Sikap ini untuk mengelak cepat menghukum kafir terhadap orang lain. Nabi SAW bersabda mafhumnya: "Barangsiapa yang mengucapkan 'La Ilaha Illallah' (tidak ada sembahan yang berhak disembah kecuali Allah) maka dia masuk syurga." (Riwayat Ahmad)

Semua pihak seolah-olah terlalu melihat keburukan tanpa kebaikan. Dewasa ini masyarakat kita seolah-olah tidak menghayati manhaj (kaedah) ini, sehingga sesetengah daripada kita lantang apabila bercakap seperti segelintir pendakwah siber melalui sebaran laman sosial WhatsApp, Telegram, Twitter dan Facebook.

Masyarakat Islam diadu domba

Persengketaan juga disebabkan musuh Islam atau dalang dari luar negara melalui percaturan antarabangsa. Mereka melariskan penjualan senjata. Mereka tidak berperang, sebaliknya orang Islam berperang sesama sendiri.

Pendekatan ini sangat mudah. Masyarakat Islam diadu domba oleh mereka yang ingin lihat kemusnahan Islam. Alhamdulillah.

Walaupun kesengsaraan umat Islam berlaku pada peringkat antarabangsa, percikannya belum terkena kepada kita di Malaysia. Inilah yang perlu dielakkan.

Keindahan dan kelembutan yang ada pada Islam perlu dijelaskan. Jangan dipertikaikan keluwesan atau fleksibiliti yang ada pada Islam. Melihat kepada persekitaran kemasyarakatan hari ini, ukhuwah atau perpaduan sesama muslim perlu diperkuatkan.

Tekankan kepada perkara prinsip secara bersama. Perpaduan dan kesatuan inilah yang ditunggu umat Islam dewasa ini. Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolong membuat kebajikan dan takwa." (Surah al-Maidah: 2)

Al-Quran menganjurkan kita berbicara dan berinteraksi dengan lembut. Allah SWT apabila memerintahkan Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS berdakwah kepada Firaun yang mengaku dirinya Tuhan, mereka diminta mengucapkan perkataan dengan lembut.

Rasulullah SAW sendiri ketika berdakwah di Taif, sekalipun dilontar dengan batu, Baginda SAW masih berdoa agar mereka diberikan petunjuk kerana mereka adalah kaum yang tidak mengetahui.

Baginda SAW merakamkan situasi ini mafhumnya: "Ya Allah, berilah petunjuk atas kaumku kerana sesungguhnya mereka belum mengetahui." (Riwayat Bukhari)

Ukhuwah perlu dikekalkan dan disebarkan oleh semua pihak. Usah terlalu fanatik. Kita perlu membudayakan panggilan antara satu sama lain sebagai 'ini saudara saya' dan 'ini orang kita' sebab mereka orang Islam dan Melayu tanpa mengira fahaman, mahu pun ideologi politik. Inilah pilihan yang signifikan untuk mendekatkan jurang sesama.

Dalam isu agama khususnya, semua pihak sesama Muslim boleh berpakat. Kita hendak lihat ukhuwah umat Islam ini seperti ukhuwah Muhajirin dan Ansar, Aus dan Khazraj di Madinah pada zaman Nabi SAW. Inilah Muslim.