February 5th, 2016

Khutbah Jumaat ~ “Tabayyun”

Petikan Khutbah Jumaat 05 Februari 2016: JAIS

“Tabayyun”

Tabayyun bermaksud proses seseorang untuk menyelidik, menyiasat dan mengkaji bagi mengesahkan sesuatu berita atau maklumat yang diterima daripada sumber yang pasti sebelum mengambil sesuatu tindakan atau membuat sesuatu keputusan sama ada ianya benar atau palsu.

Hukum tabayyun ini adalah wajib. Ia berdasarkan arahan Allah dalam ayat yang dibacakan pada awal khutbah tadi, daripada surah Al-Hujurat ayat 6 yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.

Merujuk kepada asbabunnuzul atau sebab turunnya ayat ini, Al-Imam Al-Wahidi menyatakan ayat ini diturunkan mengenai peristiwa Al-Walid bin 'Uqbah yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW pergi mengutip sedekah atau zakat daripada Bani Mustoliq. Apabila hampir sampai ke perkampungan mereka, Al-Walid mendapati Bani Mustoliq sudah riuh rendah berkumpul di pintu masuk kampung. Al-Walid yang tersalah anggap terhadap kaum tersebut berpatah balik ke Madinah dan melaporkan kepada Rasulullah SAW bahawa Bani Mustoliq enggan mengeluarkan sedekah dan sebaliknya mahu membunuhnya. Sebaik saja mendengar kata-kata Al-Walid, Baginda SAW terus mengarahkan agar qabilah tersebut diperangi. Namun datang pula rombongan Bani Mustoliq bertemu Baginda SAW dan memberitahu yang sebenarnya mereka bukannya berkumpul untuk membunuh Al-Walid, sebaliknya berkumpul dan menunggu kedatangan wakil daripada Rasulullah SAW untuk diserahkan sedekah ataupun zakat mereka.

Ayat 6 surah Al-Hujurat ini sebagai panduan kepada Baginda SAW, dan umat selepas Baginda, untuk memeriksa, menyelidik dan menyiasat setiap berita yang diterima sebelum mengambil apa-apa tindakan .

Sesungguhnya tindakan yang diambil selepas berlakunya proses tabayyun insya-Allah akan menjadi tepat dan tidak akan memudaratkan mana-mana pihak yang berkaitan.

Jika proses tabayyun atau siasatan menyeluruh tidak dijalankan, maka sudah pasti tindakan susulan yang diambil tanpa usul periksa itu akan menghasilkan keburukan, ketidakadilan, pertelingkahan, perceraian, permusuhan, malah mungkin menyebabkan peperangan.

Sejak akhir-akhir ini, terlalu banyak berita dan maklumat tidak benar tersebar terutamanya melalui internet dan telefon bimbit. Ada maklumat berupa fitnah, ada yang bersifat spekulasi atau andaian, ada yang sengaja dibuat-buat kononnya sebagai hiburan dan lawak semata-mata. Ada juga yang bersifat kecaman dan tuduhan melulu. Ada juga yang bermotifkan populariti, mahu jadi terkenal.

Sebenarnya, ada hadis yang melarang perbuatan menyebarkan semua perkara yang didengar ini. Orang seperti ini juga boleh dianggap jatuh dalam kumpulan atau kategori seorang penipu. Ianya adalah hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Cukuplah bagi seseorang itu mendapat dosa sekiranya dia menceritakan kembali semua yang didengarinya (tanpa tapisan)”. (Riwayat Muslim).

Mahukah kita dianggap penipu? Amat besar dosanya sebagai seorang penipu. Melakukan penipuan ini adalah salah satu daripada sifat orang-orang munafiq. Orang munafiq pula, tempatnya di neraka. Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Tanda orang-orang munafiq itu ada tiga: apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia memungkirinya, apabila diberi amanah dia mengkhianatinya”. (Riwayat al-Bukhari).

Sebagai pengajaran daripada khutbah hari ini, sama-samalah kita memberikan perhatian serius kepada perkara-perkara berikut:

1. Buatlah pencerahan terlebih dahulu terhadap berita-berita dan maklumat-maklumat yang kita terima dengan merujuk kepada sumbernya yang betul.

2. Berhati-hatilah dan jangan bertindak terburu-buru apabila mendapat maklumat atau aduan sehinggalah maklumat tersebut terbukti benar lagi sahih.

3. Jangan sekali-kali kita mereka-reka cerita, ataupun menyebarkan berita yang belum dipastikan kesahihannya

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”. (Surah al-Isra’ : 36).

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ Mahalnya Sebuah Keamanan

Sedutan Petikan Khutbah 5 Februari 2016M/ 26 Rabiulakhir 1437H JAWI

Mahalnya Sebuah Keamanan


Keamanan adalah satu nikmat yang amat berharga dan didambai oleh setiap manusia. Allah SWT menjadikan nikmat ini sebagai medium untuk kita berfikir dan mengambil iktibar agar dengannya iman kita kepadaNya semakin bertambah. Keamanan bererti kita bebas dari segala bentuk ancaman yang menggugat keharmonian.

Dengan keamanan, keselamatan akan terus terpelihara, keharmonian terbina dan yang paling utama Islam pasti akan terus dilindungi. Keamanan adalah asas utama dalam usaha untuk menegakkan agama Islam, memaju dan memakmurkan sesebuah negara.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 126 : Bermaksud : “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdo'a dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman: "(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan mengheretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali.”

Akidah umat islam di negara ini juga semakin sukar untuk dipertahankan. Wujudnya ajaran-ajaran sesat yang disebarkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu sehingga berjaya mempengaruhi sesetengah dari umat Islam. Selain itu, mazhab-mazhab akidah selain dari ahli sunnah wal jamaah seperti Rafidhah, Muktazilah, Qadariah dan lain-lain sedang giat disebarkan. Apabila usaha mereka itu dipersoalkan atau disekat oleh pihak berkuasa, maka hak asasi manusia digunakan oleh mereka untuk mempertahankannya.

Suasana hidup yang aman damai di negara ini juga semakin digugat oleh pelbagai bentuk keganasan dan kezaliman. Kita bukan sahaja berhadapan dengan manusiamanusia bernafsu kebinatangan yang melakukan pelbagai jenayah seperti bunuh, ragut, rompak, serangan seksual, rasuah, pecah amanah dan sebagainya malah kita juga berdepan dengan jenayah doktrin atas nama jihad mempertahankan Islam.

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah daripada Ibnu ‘Abbas RA : س ُ و فِي الد ِي ِن. ُّ يهَا الَّن ا ُُّ ل ُ َُأهْلَ َك مَ ْن كَانَ قَبْلـَكُ ْم الْغ و فِي الد ِي ِن، فَِإَّن ه لَُّ ُ يَا َأ ،ِإَّي اكُ ْم وَالْغ Bermaksud : “Wahai manusia, berhati-hatilah kalian dari sikap melampau dalam beragama, kerana sesungguhnya sikap seperti itulah yang telah menghancurkan umat sebelum kalian.”

Tanggungjawab tersebut bukan hanya terletak pada pihak berwajib semata-mata. Kitalah juga yang menjadi penyokong kebenaran, penegak undang-undang, pendokong kesatuan ummah.

Islam tidak melarang umatnya berjihad tetapi mestilah berdasarkan panduan al-Quran dan al-Hadith. Islam telah menetapkan bahawa peraturan semasa peperangan ialah antaranya tidak mencederakan orang awam, kanak-kanak, orang tua dan wanita.

Hayati firman Allah SWT di dalam surah al-Maaidah ayat 32 :Bermaksud : “Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu, Kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya, dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka rasul-rasul Kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; Kemudian, Sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.”

Mengakhiri khutbah pada hari ini, hayatilah beberapa kesimpulan sebagai pengajaran :

Pertama : Syukuri nikmat keamanan yang Allah kurniakan dengan berusaha memelihara serta mengekalkan keharmonian dan keselamatan setiap warganegara.

Kedua : Berusahalah untuk memahami dan menghayati akidah ahli sunnah wal jamaah sebagai pegangan hidup yang sebenar.

Ketiga : Islam tidak sekali-kali meredhai aktiviti keganasan yang hanya menghancurkan nikmat keamanan yang kita telah kecapi ini.

Firman Allah SWT di dalam surah an-Naml ayat 89 :  Bermaksud : “Sesiapa yang datang dengan kebajikan maka ia akan beroleh yang lebih baik daripadanya, dan mereka akan beroleh keamanan pada hari kiamat. Dan sesiapa yang datang membawa amal jahat (yang telah dikerjakannya) maka sudah tentu mereka akan mukanya ke dalam api neraka, (sambil dikatakan kepada mereka): Kamu tidak diberi melainkan balasan apa yang kamu telah lakukan.”

Wallahualam.

Cabaran saudara baharu

TELITI dan renunglah dua situasi ini: "Kamu mahu masuk Melayu ke? Kamu tahu tak, masuk Islam itu maksudnya kamu masuk Melayu!" Jerkah si bapa dari sebuah rumah yang penghuninya beragama Hindu dan Buddha. Situasi yang asalnya tenang menjadi hangat apabila si anak yang berusia 17 tahun menyatakan hasratnya untuk menukar agama dan memilih Islam sebagai agama baharunya.

"Si Ah Meng tu sekejap je masuk Islam, dia masuk Islam pun sebab nak kahwin dengan gadis Melayu. Percayalah cakap aku, nanti dibawanya isteri masuk ke agama asalnya," kedengaran kata-kata sinis daripada jiran tetangga apabila ada saudara baru memilih agama ALLAH SWT sebagai anutan.

Wajarkah begitu? Dua situasi itu kelihatan berbeza. Situasi A menyatakan betapa keluarga bukan Islam menghalang anak mereka memeluk Islam, manakala situasi B pula, yang bukan Islam itu sudah pun melafazkan syahadah tapi menerima kejian daripada tetangga yang beragama Islam.



Inilah antara situasi yang berlaku dan perlu ditempuhi golongan saudara baru dengan penuh kesabaran. Ada juga individu ataupun pihak yang bersungguh berdakwah pagi, petang, siang dan malam dengan harapan individu yang didakwahnya itu memeluk Islam, namun saudara baru itu dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang pantauan. Sedih!, ada satu kes melibatkan saudara baru yang sudah setahun memeluk Islam, kelas agama dihadirinya setiap minggu tapi apabila disuruh bersyahadah lintang pukang. Nauzubillah.

Fahamilah firman ALLAH: "Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak akan dapat memberi hidayah (petunjuk) kepada orang yang kamu kasihi, tetapi ALLAH memberi hidayah kepada orang yang Dia kehendaki, dan ALLAH lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk." (Surah Al-Qashash: 56)

Berdakwah itu kerja semua individu, bukan tertakluk kepada agamawan semata. Tapi, pendakwah perlulah ingat bahawa berdakwah kepada bukan Islam bukan dengan memaksa mereka memeluk Islam.

Pelbagai ujian

Pendakwah, Abdul Naser Tun Rahman atau  Xifu Naser berpendapat saudara baru menghadapi tekanan daripada keluarga mereka sendiri kerana rasis perkauman semakin tinggi contohnya antara Cina dan Melayu yang dimainkan oleh politik.

Dan ini ada kesannya kerana seorang anak boleh memeluk agama Kristian dan Buddha tetapi apabila memeluk agama Islam sebagai misalnya dia akan dikaitkan seolah-olah dia mengkhianati bangsanya, seolah-olah dia sudah memihak secara rasis kepada bangsa Melayu. Kalau zaman dahulu, masuk Islam masuk Melayu tetapi sekarang masuk Islam ertinya khianat bangsa.

"Tekanan yang lain pula adalah, saudara baru terpaksa buktikan kepada keluarganya mengapa dia perlu peluk Islam dan sejauh mana Islam mampu menaikkan jati dirinya, naikkan kerjaya dan naikkan dia di dunia bukan sekadar di akhirat sahaja. Kalau Islam adalah ajaran yang benar, maka Islam mestilah mampu menaikkan dia juga di dunia. Orang awam mestilah melihat kejayaan di dunia sebagai simbol kebenaran satu agama.

"Sejauh mana pula bangsa itu mampu menyediakan platform yang sesuai untuk dia supaya dia berjaya di dunia. Misalnya, kalau bangsa Melayu sendiri menghadapi masalah walaupun orang Melayu sendiri mempunyai hak keistimewaan tapi terdapat masalah-masalah yang meruncing dalam bangsa Melayu itu sendiri. Mengapa orang Melayu dari segi logiknya nak bagi keutamaan dengan menaikkan seorang Cina Muslim, Kadazan atau Iban Muslim dan tidak mahu naikkan kaumnya sendiri. Itu kerana kaumnya sendiri ada masalah," katanya kepada Rehal.

Menurutnya, lainlah jika bangsa Melayu itu sendiri sudah hebat dengan selesainya semua masalah. Orang Melayu sendiri dalam keadaan 'cedera parah', dalam keadaan itu macam mana mahu naikkan saudara baru dalam erti mahu memberikan gambaran yang baik kepada bukan Islam.

Dan cabaran yang lain adalah lahirnya ekstremisme dalam Islam. Agama ini dimonopoli oleh ustaz-ustaz tertentu, contohnya Wahabi versus Salafi dan tarekat-tarekat.

Keadaan ini akan membuatkan saudara baru semakin keliru dan ini adalah masalah kepada mereka. Apabila berdepan dengan situasi Si A kutuk Si B dan mereka yang kutuk-mengutuk itu dalam kalangan agamawan jelas menggambarkan betapa berkecamuknya agama Islam sekarang.

Sebenarnya ramai saudara baru yang memeluk Islam adalah kerana mereka gagal dalam bangsanya. Contohnya orang Cina, mereka gagal dalam masyarakatnya dan mereka tidak tahu hendak ke mana. Dan mereka harap dengan memeluk agama Islam, umat Islam akan memberi kerjaya dan peluang yang lebih baik kepada mereka.

Wujudnya Parasit

"Hakikatnya, tidak! kerana bangsa Melayu sendiri sedang membarah. Maka, tiba-tiba saudara baru mendapati dirinya dipinggirkan selepas memeluk Islam. Hanya grand masa waktu syahadah, ini pun masalah juga, majlis bukan main besar jemput orang-orang besar sana-sini tapi selepas peluk Islam sudah tidak grand lagi. Hiduplah sesuka hati mereka.

"Jadi saudara baru pun melepaklah di masjid, mengemis minta duit sana-sini. Dan orang Melayu bila masuk masjid tengok saudara baru sedemikian rupa terus membuat kesimpulan bahawa saudara baru ini hanyalah parasit dan memandang rendah kepada mereka. Peluk Islam sebab nak minta simpati orang lain.

"Tanggapan berkenaan benar-benar mencalarkan maruah muhajir (saya gelarkan kepada saudara baru), sebenarnya ramai yang ikhlas tetapi disebabkan adanya sebahagian besar yang jadi parasit, menyebabkan masyarakat Melayu ragu-ragu dengan saudara baru. Mereka berasakan saudara baru ini tidak ikhlas dalam memeluk Islam," kata Xifu Naser yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Pendakwah Perak.

Xifu Naser menambah, beliau pernah mendapat berita bahawa ada saudara baru yang tinggal bersama keluarga angkat diugut dengan pelbagai ugutan, sehingga ada yang berkata: "Kamu kena buktikan keikhlasan kamu masuk Islam. Kalau kamu tak buat ni kamu tidak ikhlas."

Ramai yang memeluk Islam mempunyai agenda dunia yang tersendiri dan bukannya benar-benar jatuh cinta pada Islam. Jika dilihat secara halus, kalau ada yang pergi kelas pun tetapi tidak dibayar mereka tidak akan datang walaupun jarak rumahnya hanya sekangkang kera. Apabila melakukan ujian bersyahadah, ada dalam kalangan saudara baru walaupun sudah setahun memeluk Islam dan hadir kelas setiap minggu tetapi ada yang tidak lancar bersyahadah. Situasi itu benar-benar menyedihkan dan membimbangkan.

Peluk Islam betul-betul

Xifu Naser mengulas lagi, ada pula yang 10, 20 tahun peluk Islam tapi alif ba ta pun tak tahu. Lafaz syahadah pun berterabur. Saudara baru tidak dapat mengenal huruf langsung, kesungguhan untuk memeluk Islam tidak ada.

Kelebihan orang Melayu, mereka menekankan pembacaan al-Quran, walaupun ibu berpakaian seksi tetapi tetap mahukan anak pandai baca al-Quran, sebab itu ramai orang Melayu yang jadi johan tilawah dan musabaqah al-Quran. Pembacaan al-Quran itu penting kerana ia dibaca dalam solat.

"Ramai saudara baru ingat agama ini hanya masalah hati sahaja, kalau hati aku sudah Islam, maka aku sudah Islam. Ada saudara baru yang bergantung kepada romanization semasa membaca al-Quran, kalau pelat saya faham tapi ini tidak huruf pun tak kenal. Saya boleh katakan keadaan ini kerana saya mengajar mereka. Masalah saudara baru adalah mereka langsung tidak ada kesungguhan untuk mentadabur al-Quran.

"Apa sebab mereka peluk Islam? kalau betul nak peluk Islam kena betul-betullah, jangan main-main. Saya tengok Cina dan India Muslim gagal untuk melahirkan ulama yang setaraf dengan ulama Melayu. Di mana yang setaraf dengan Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainal Abidin dan Dr Zaharuddin Abdur Rahman?," tegas beliau.

Islam itu syumul

Sementara itu, Rehal turut mendapatkan pandangan daripada saudara baru, Fadilah Natasya Foo Abdullah, 44, yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Dirinya membesar dalam suasana kampung dan mempunyai ramai rakan yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

"Sebelum memeluk Islam, saya melihat rakan-rakan daripada keluarga Islam membesar dengan penuh kasih sayang. Hubungan mereka dengan keluarga cukup rapat dan akrab. Saya terkesan dengan situasi itu. Dan tiba sahaja bulan puasa, saya yang teruja melihat mereka menyambut puasa.

Pada saya, orang Islam ini sungguh tekun mengerjakan ibadah, amalan berpuasa siang hari dan mengerjakan tarawih pada malamnya.

"Setelah mengucapkan syahadah saya tertarik untuk mengetahui perihal solat itu sendiri. Sujud itu bagi saya adalah satu simbol penghambaan diri kepada Tuhan. Tiada Tuhan yang Esa selain daripada ALLAH SWT. Saya juga tertarik bahawa agama Islam sentiasa mencari keseimbangan di antara kehidupan dunia dan akhirat. Ia pada saya merangkumi segala aspek kehidupan," kongsi Natasya yang memeluk Islam pada usia 17 tahun.

Menceritakan mengenai cabaran yang dihadapi dirinya, Natasha berkata, sebelum memeluk Islam, dirinya berasa macam ada sesuatu yang tidak lengkap.

Ibu bapanya dulu beragama Buddha. Ada juga Natasya mengikut mereka ke tokong untuk bersembahyang, akan tetapi Natasya tidak tahu apa yang dilakukan. Tiada penerangan daripada mereka dan dia hanya mengikut sahaja. Dan apabila Natasha memberitahu, dirinya mahu memeluk Islam keluarga sungguh marah.

"Bayangkan, saya memeluk Islam tanpa sokongan daripada keluarga. Perjalanan selepas memilih Islam sebagai cara hidup amat sukar. Masyarakat sekeliling juga banyak mencemuh terutamanya adik-beradik dan mak saudara tetapi Alhamdulillah! saya percaya saya sentiasa dilindungi oleh Yang Esa.

"Saya juga sering didampingi oleh mereka yang beragama lain yang sentiasa memujuk saya pergi ke gereja. Saya pergi juga untuk mengetahui (curios) tetapi apabila kita telah menemui sesuatu yang benar, hati ini tidak mudah goyah," ceritanya.

Menurut Natasya, sejak masuk ke sekolah berasrama, dia banyak bergaul dengan rakan-rakan Muslim. Mereka sering melakukan aktiviti bersama - makan, tidur dan membuat aktiviti harian bersama-sama setiap hari.

Apabila rakan ke majlis-majlis agama atau apa saja aktiviti berkenaan dengan agama Islam, Natasya akan turut serta. Dari situlah, timbul rasa minat untuk mengetahui Islam dengan lebih lanjut.

Bahaya sifat munafik

SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang mengingatkan kita supaya menjauhi sifat munafik dan memerintahkan supaya berakhlak mulia.

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Empat sifat barang siapa memiliki kesemuanya, dia telah menjadi orang yang benar-benar munafik. Dan barang siapa memiliki salah satunya, dia memiliki salah satu sifat munafik sehingga dia meninggalkan sifat tersebut. (Empat sifat tersebut adalah) Jika dia berbicara dia berdusta, jika diberi amanah dia khianat, jika berselisih pendapat dia melampaui batas dan jika berjanji dia mungkiri." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Ternyata sifat munafik adalah penyakit yang berbahaya yang mengundang kemurkaan ALLAH dan azab-Nya. Justeru, setiap Muslim perlu muhasabah dirinya dengan hadis ini untuk melihat sama ada dia bebas daripada sifat-sifat ini atau tidak.

Erti munafik & jenisnya 

Munafik atau nifak mengikut definisinya adalah perbuatan menampakkan yang baik dan menyembunyikan yang buruk.

Nifak terbahagi kepada dua jenis:

Jenis Nifak yang pertama adalah: Nifak besar atau nifak I'tiqadiyyah (kepercayaan) iaitu seseorang itu menzahirkan beriman kepada ALLAH, malaikat-Nya, kitab-Nya, rasul-Nya dan hari akhirat sedangkan dalam hati dia menyembunyikan kekufurannya terhadap kesemua atau sebahagian daripada perkara-perkara tersebut.

Inilah sifat munafik yang al-Quran turun dengan mencela orang-orangnya, menghukum mereka sebagai kafir dan menetapkan mereka akan ditempatkan di kerak api neraka. ALLAH menyifatkan mereka dengan semua sifat-sifat yang buruk bermula dengan kekufuran, tidak beriman, mempermainkan agama Islam dan penganutnya serta kecenderungan mereka kepada musuh-musuh agama memandangkan mereka sama-sama memusuhi Islam dan orang-orang Muslim. Mereka sentiasa berusaha mewujudkan permusuhan dalam kalangan masyarakat Islam.

Mereka bakhil kedekut, hina dan bodoh. Cuma pada zahirnya mereka tampak rupawan, sihat tubuh badan, pakaian bersih dan manis berbicara. Tetapi realitinya hati mereka busuk penuh dengan sifat takabbur, hasad, riyak dan penyakit-penyakit hati yang lain.

Firman ALLAH SWT: "Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka; dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih). (Sedangkan) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana berasa bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas curiga) menyangka setiap jeritan panggilan adalah untuk membahayakan mereka (membongkar hakikat mereka). Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. ALLAH memerangi mereka. Bagaimana mereka dipalingkan (daripada kebenaran)?." (Surah Al-Munafikuun: 4)

Ternyata ALLAH telah membongkar hakikat mereka dalam Surah Bara'ah dan surah-surah yang lain dalam al-Quran.

Jenis nifak yang kedua adalah: Nifak kecil (nifak Amaliyyah (Perbuatan)) iaitu seseorang itu menzahirkan suatu yang baik tetapi dalam masa yang sama menyimpan dalam hati apa yang sebaliknya yang berupa penipuan dan pengkhianatan. Hal ini yang disebutkan dalam hadis di awal tadi.

Walaupun jenis nifak ini tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam secara total, tetapi ia adalah jalan menuju ke arah nifak besar yang menghala ke arah kekufuran dan kejahatan.

Dasar sifat munafik

Dasar sifat munafik adalah empat sifat yang dinyatakan dalam hadis di awal tadi. Antaranya adalah berbohong: "Jika dia berbicara dia berdusta" kata Nabi SAW. Dan seburuk-buruk pembohongan adalah berbohong atas nama ALLAH dan Rasul-Nya. ALLAH berfirman dalam Surah Al-Saf ayat 7.

Dan di antara perbuatan berbohong adalah dengan mengatakan ini halal dan ini baik atau ini haram dan ini buruk tanpa dalil daripada al-Quran atau sunnah. Begitu juga dalam menyebarkan suatu berita yang diterima tanpa soal periksa.

Sabda Nabi Muhammad SAW: "Cukuplah seseorang itu dikira pembohong apabila dia menceritakan segala yang dia dengar." (Riwayat Muslim)

Wajarlah kita berhati-hati dalam soal berbohong kerana ia akan menarik kita ke arah kejahatan yang lebih besar. Firman ALLAH: "Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada ALLAH dan pastikan kamu bersama golongan yang benar." (Surah Al-Taubah; 119)

Sifat munafik yang kedua adalah: "Jika diberi amanah dia khianat." Iaitu sekiranya dia diberi amanah dalam bentuk wang, hak-hak tertentu atau rahsia, dia tidak menjaganya. Sebaliknya dia akan menggunakan wang tersebut, mengingkarinya, melanggar hak-hak atau membuka rahsia tersebut. Begitu juga sekiranya dia diberi tanggungjawab yang berkait dengan mengurus tadbir maslahat orang Islam, dia tidak menunaikan tanggungjawab tersebut dengan baik. Dia mengambil mudah tugasnya atau menerima rasuah sehingga mengganggu maslahat-maslahat orang Islam.  

Sifat munafik yang ketiga adalah: "Jika berselisih pendapat dia melampaui batas." Maksudnya dia tidak mempedulikan harta dan hak-hak orang lain sehingga sanggup berhujah dan berdebat dengan kebatilan untuk memakan harta orang lain. Dia sanggup membawa saksi palsu di hadapan hakim, bersumpah walaupun dengan menyebut nama ALLAH, mengemukakan dokumen-dokumen palsu dan sebagainya.

Dengan kepetahan berhujah, dia akan berusaha untuk menang dengan apa jua cara dan membuatkan orang yang mendengar hujahnya menyangka dia di pihak yang benar. Akhirnya dia menampakkan kebatilan dan rupa bentuk yang hak, manakala yang hak digambarkan sebagai batil. Hal ini termasuk dalam seburuk-buruk kejahatan dan sejelik sifat munafik.

Sifat munafik keempat pula adalah: "Jika berjanji dia mungkiri." Maka dia memungkiri janji-janjinya sama ada dengan ALLAH mahupun dengan manusia. Dia tidak menunaikan janji yang ALLAH perintahkan supaya ia ditunaikan. Sebagaimana firman ALLAH: "Dan tunaikanlah perjanjian (dengan ALLAH dan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya." (Surah Al-Israa’; 34)

ALLAH SWT berfirman: "Dan sempurnakanlah perintah-perintah ALLAH apabila kamu berjanji." (Surah Al-Nahl: 91)

Umat Islam dilarang memungkiri janji walaupun dengan orang kafir. Kita diperintahkan supaya sentiasa mengotakan janji. Bagaimana pula janji kita dengan sesama saudara Muslim, apatah lagi dengan pemerintah. Begitu juga perjanjian-perjanjian yang telah dicapai dalam perniagaan, sewa menyewa dan seumpamanya. Kesemuanya perlu dikotakan. Sabda Nabi Muhammad SAW: "Setiap pengkhianat akan mengibarkan bendera masing-masing yang menyatakan: Ini adalah pengkhianatan terhadap si fulan." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Penyakit hati

Sesiapa terhimpun padanya sifat-sifat buruk berbohong, khianat, melampaui batas dalam perselisihan dan memungkiri janji, tiada lagi iman dalam hatinya dan dia benar-benar menjadi orang munafik. Umpama penyakit kronik yang sekiranya menghinggapi badan seseorang maka akan binasalah orang tersebut.

Adapun sekiranya seseorang itu memiliki salah satu daripada sifat tersebut, dia dikira orang beriman yang mempunyai sifat munafik. Jika sifat munafik ini terus dibiarkan, dikhuatiri akhirnya sifat tersebut akan membarah dan memakan saki baki iman yang ada di hati. Seperti virus berbahaya apabila ia masuk ke dalam badan seseorang.

Begitulah keadaan seseorang Muslim. Maka hadis yang menyebutkan sifat orang munafik ini secara tidak langsung menganjurkan supaya kita segera bertaubat meninggalkan sifat buruk tersebut dan memastikan kita sentiasa memakai pakaian orang bertakwa agar iman di hati kita terzahir dalam, luar percakapan dan perbuatan.

Rakyat baik jika pemerintah & ulama baik

PEMERINTAH dan ulama adalah dua entiti penting yang sangat besar peranan mereka dalam mencorakkan sesebuah masyarakat. Apabila rakyat mendapat pemerintah atau pemimpin yang baik, sudah tentu rakyat akan diperintah dan dipimpin dengan cara yang baik dan adil. Tiada penindasan. Tiada kezaliman. Tiada penipuan. Tetapi jika sebaliknya, maka sebaliknya juga akan berlaku.

Demikianlah juga ulama. Sekiranya umat memiliki ulama atau 'orang agama' yang amanah dengan ilmu, mengutamakan kepentingan agama mengatasi kepentingan diri, menyampaikan kebenaran tanpa mengira kepada siapa, menasihati pemimpin supaya takutkan ALLAH SWT, maka kebaikannya akan dinikmati oleh umat.

Namun, dalam keghairahan kita bercakap soal ini, hati-hati dengan hujah dan dalil yang digunakan. Jangan sampai kita berdalilkan hujah yang palsu sekali pun pada asalnya niat kita sangat murni.

Antaranya ialah hadis palsu berikut: "Terdapat dua golongan dalam kalangan umat aku, jika mereka baik, maka akan baiklah manusia: pemerintah dan ahli fiqh – dalam riwayat lain disebut- ulama."

Menurut penilaian ulama hadis, hadis ini adalah palsu. Perkara ini dihuraikan oleh Syeikh Al-Albani dalam kitabnya Silsilah Ahadith Al-Dhaifah wa Al-Maudhua'h. Beliau menjelaskan hadis ini palsu kerana dalam rangkaian sanadnya terdapat seorang rawi bernama Muhammad bin Ziyad. Kemudian, beliau menukilkan pendapat daripada sarjana hadis mengenai Muhammad bin Ziyad.

Antaranya, menurut Imam Ahmad, beliau adalah seorang pendusta dan mencipta hadis palsu. Ibn Mai'n dan Al-Daruqutni juga menyatakan pendapat yang sama.

Ibn Hajar Al-'Asqalani di dalam kitab Tahzib Al-Tahzib juga menukilkan pendapat daripada sarjana hadis lain mengenai Muhammad bin Ziyad. Antaranya ialah pendapat daripada Abu Hatim, Al-Bukhari, Al-Nasai, Al-Tirmizi, Ibn Hibban dan sebagainya. Kesimpulannya, Muhammad bin Ziyad adalah seorang yang lemah dan tidak dipercayai dalam kalangan mereka.

Kata Al-Tirmizi, Muhammad bin Ziyad ini seorang yang sangat lemah  dalam hadis. Kata Ibn Hibban, dia adalah dalam kalangan orang yang memalsukan hadis.

Jadi, hadis ini tidak boleh digunakan sebagai hujah dalam memperkatakan perkara ini. Walaupun dari sudut maknanya ia benar. Disiplin dalam ilmu hadis mesti diraikan. Hadis palsu sama sekali tidak boleh dijadikan hujah atau pun beramal.

Pemimpin adil

Memang tidak dinafikan, pemerintah dan ulama adalah dua golongan penting dalam sesebuah masyarakat. Masyarakat sangat mengharapkan orang yang menjadi pemimpin mereka ialah pemimpin yang adil dan menjalankan pemerintahannya dengan penuh keadilan. Nasib dan hak rakyat terbela tanpa ada sebarang kezaliman. Pemimpin seperti inilah yang disenaraikan oleh Rasulullah SAW sebagai salah satu golongan yang akan mendapat naungan ALLAH di hari kiamat kelak.

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW berkata: "Tujuh golongan yang ALLAH akan menaungi mereka pada hari tidak ada naungan melainkan naungan ALLAH antaranya pemerintah yang adil... (Riwayat Bukhari & Muslim)

Justeru, seseorang yang menjadi pemimpin boleh berada di dalam dua keadaan di akhirat kelak. Sama ada jawatannya itu dapat membantunya untuk mendapat rahmat ALLAH dan dimasukkan ke dalam syurga, sekiranya ia memimpin dan memerintah dengan penuh keadilan. Jika tidak, jawatan yang dipegangnya akan menyebabkannya mendapat kemurkaan ALLAH, jika dia menjadi pemerintah yang zalim kepada rakyatnya.

Sebab itu, Rasulullah SAW telah memberi amaran dan peringatan yang keras kepada pemimpin yang tidak menjalankan pemerintahan mereka dengan adil.

Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Empat golongan yang ALLAH benci kepada mereka: (salah satu golongan tersebut ialah) pemimpin yang zalim." (Riwayat Al-Nasaie & Ibn Hibban, hadis hasan)

Anas bin Malik juga meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang bertanggungjawab menguruskan sesuatu urusan kaum Muslimin, kemudian dia menipu mereka, maka dia di dalam neraka." (Riwayat Al-Tabrani, hadis sahih)

Oleh itu, kepada mereka yang memikul tanggungjawab sebagai pemerintah atau pemimpin dalam sesuatu urusan, hendaklah dilaksanakan tanggungjawab tersebut dengan penuh adil, kerana kelak ia akan dipersoalkan. Rakyat atau orang yang dipimpin mengharapkan dan mengasihi pemerintah yang adil, bercakap benar, mengutamakan kepentingan rakyat, tidak mengambil rasuah dan sebagainya.

Mungkin, pesanan berikut boleh dijadikan renungan untuk kita bersama.

Aisyah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Sekiranya ALLAH mahukan kebaikan kepada seseorang pemerintah, ALLAH akan jadikan baginya menteri/pembantu yang benar. Jika pemerintah tersebut terlupa, menterinya akan mengingatkannya. Jika dia ingat, menteri tersebut akan membantunya. Sekiranya ALLAH mahukan kepada pemerintah itu selainnya (iaitu keburukan), maka ALLAH akan jadikan baginya menteri/pembantu yang jahat. Jika dia terlupa, menteri itu tidak akan mengingatkannya. Jika dia ingat, menteri itu tidak membantunya." (Riwayat Abu Daud & Ibn Hibban, hadis sahih li ghairihi)

Ulama jujur

Selain pemerintah, satu lagi entiti penting dalam sesebuah masyarakat ialah ulama. Sesebuah masyarakat yang mempunyai ulama, akan menjadikan kehidupan masyarakat tersebut berada di atas landasan yang betul. Ini kerana, ulama adalah golongan yang mewarisi tugas nabi terdahulu yang mengajak umatnya ke arah kebaikan dan mencegah kejahatan. Hal ini akan berlaku jika  ulama benar-benar menjalankan tugasnya tanpa ada sebarang rasa takut dan tidak menyembunyikan kebenaran.

Namun begitu, perkara sebaliknya akan berlaku kepada masyarakat jika wujud ulama yang tidak menyampaikan kebenaran. Malah lebih parah lagi jika mereka pula yang menyelewengkan fakta dan kebenaran, dikaburi dengan satu dua ayat-ayat al-Quran dan hadis sebagai alasan. Sebab itu, masyarakat mengharapkan ulama yang jujur dengan ilmu yang mereka pelajari dan mengamalkan apa yang mereka sampaikan.

Beberapa pesanan Rasulullah SAW berikut boleh dijadikan peringatan untuk kita:

Abu Hurairah meriwayatkan  Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang ditanya perihal sesuatu ilmu, lalu dia menyembunyikannya maka dia akan dikekang pada hari kiamat dengan kekangan daripada api neraka." (Riwayat Abu Daud, hadis sahih)

Dalam satu hadis lain, Usamah bin Zaid meriwayatkan yang dia pernah mendengar Rasulullah SAW menyebutkan di akhirat kelak ada seorang lelaki yang diseksa dalam neraka. Semua penghuni neraka berkumpul dan mereka bertanya kepada lelaki tersebut kenapa dia boleh diseksa? Apa yang telah dilakukannya? Mereka berkata: "Bukankah dahulu kamu yang mengajak ke arah kebaikan dan kamu mencegah kejahatan?" Lalu, lelaki itu menjawab: "Dahulu aku mengajak kamu semua ke arah kebaikan tetapi aku tidak melakukannya, dan aku melarang kamu dari melakukan kejahatan, tetapi aku melakukannya..." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Manusia akan menjadi baik selagi mana mereka berada di bawah pimpinan pemerintah yang baik, amanah dan adil dalam pemerintahan mereka. Diganding pula bersama ulama yang setia dengan kebenaran, mencegah kemungkaran, menasihati kesalahan dan mengangkat agama lebih tinggi dari segala-galanya.

Semoga kita dikurniakan nikmat ini!

Imam & muazin perlu kredibiliti, sahsiah unggul

SABDA Nabi Muhammad SAW: "Seorang imam adalah penjamin dan muazin adalah orang yang diamanahkan." Rasulullah SAW mendoakan: Ya ALLAH, berilah petunjuk kepada imam dan ampunilah orang yang melaungkan azan." (Riwayat Abu Daud & At-Tirmizi)

Peranan imam dan muazin bukan sahaja mengimarahkan institusi masjid atau surau malah lebih bertanggungjawab kepada sumber pembangunan masyarakat setempat ke arah kecemerlangan.

Menyedari pentingnya kedua-dua peranan tersebut, satu kursus imam dan muazin telah dilangsungkan di dewan seminar Pusat Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim baru-baru ini.

Kursus selama dua hari itu dianjurkan bersama Jabatan Agama Islam Slim River berjaya menarik perhatian 50 peserta dalam kalangan imam dan muazin masjid serta surau sekitar daerah Mualim.

Antara objektif kursus ini diadakan adalah untuk melahirkan imam dan muazin yang mempunyai kredibiliti dan sahsiah terunggul kepada semua komuniti Islam selain berketerampilan dan berkebolehan dalam menyelesaikan segala permasalahan dalam kalangan masyarakat setempat.

Program kursus dibahagi kepada dua slot iaitu slot ceramah dan slot praktikal yang kesemua tenaga pengajarnya terdiri daripada pensyarah UPSI sendiri.

Ceramah pertama disampaikan Ustaz Dr Mohd Noor Daud bertajuk tugas-tugas imam, dan antara slot yang ditekankan ialah ilmu fiqh semasa solat berjemaah bermula dari adab sebelum solat, dalam solat, adab dalam bacaan, adab dalam mengerjakan rukun-rukun sehingga kepada adab selepas memberi salam. Menyaringkan takbir, bacaan iktidal serta salam supaya makmum mengetahui adanya perubahan dari rukun ke rukun lainnya. Selain mengenal pasti perkara-perkara makruh dan sunat yang berkaitan dengan imam.

Manakala Ustaz Dr Ahmad Zulfiqar Shah Abdul Hadi memenuhi slot ceramah praktikal imam yang menyentuh mengenai kesalahan yang sering berlaku semasa solat terutama dalam bacaan Surah Al-Fatihah. Jumhur ulama menyatakan membaca Al-Fatihah adalah termasuk rukun solat, tidak sah solat tanpa membacanya.

Zulfiqar menggariskan 27 kesalahan biasanya berlaku dalam bacaan Surah Al-Fatihah antaranya sabdu pada kalimah ALLAH SWT tidak jelas dan nama ALLAH kadangkala disebut dengan lafzhul-jalalah (dengan taghliz). Bismillah hendaklah disebut dengan lam tarqiq'. Tidak memuncungkan bibir apabila sesuatu huruf diwaqafkan berbaris hadapan, hukum yang dipanggil isymam.

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Apabila seseorang daripada kamu mengimami orang yang ramai, hendaklah dia meringankannya kerana di antara mereka ada anak kecil, orang tua yang lemah dan sakit."

Jika solat imam terbatal, makmum yang tepat di belakang imam hendaklah seorang yang berpengetahuan dalam masalah ibadah yang sedang dilakukan. Mereka harus bertindak tepat pada saat imam batal, lupa dan sebagainya.

Manakala, Ustaz Muhammad Hasbi Abdul Rahman pula menghuraikan sifat-sifat solat Nabi SAW yang mendapat pensyariatan kerana solat adalah amalan yang pertama yang dihisab di akhirat nanti. Wartawan Sinar Harian Rehal 5 Februari 2016