February 9th, 2016

Riak, gemar mengungkit hapuskan pahala kebajikan

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun daripada pokok tamar (kurma) dan anggur yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, ia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang ia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar)." (Surah al-Baqarah, ayat 266)

Allah SWT memberikan perumpamaan orang yang membelanjakan hartanya diiringi ungkitan dan menyakitkan perasaan orang lain.

Dia mengharapkan faedahnya berlipat ganda pada hari kiamat tetapi pada hari itu dia tidak memperoleh seperti yang diharapkan.

Sebaliknya, amalan sedekah yang diberinya dahulu dilihat hanya bagaikan debu berterbangan lantaran pahala dermanya telah dimusnahkan oleh perbuatan mengungkit pemberian dan kata yang menyakitkan hati.

Tak berdaya baiki kesilapan

Sedangkan pada hari itu dia tidak mempunyai apa-apa kekuatan lagi, tidak ada penolong dan tidak berdaya untuk memperbaiki kesilapannya yang lalu. Itulah yang berlaku kepada mereka yang mengharapkan ganjaran daripada sedekahnya tetapi tiada yang tinggal disebabkan sikap suka mengungkit pemberian.

Pada hari kiamat nanti, sewaktu mengharapkan pahala daripada pengorbanan yang telah dilakukan, dia bertembung dengan angin berapi yang berasal daripada suara teriakan ungkit-mengungkit dan menyakiti perasaan yang menghancurkan segala kebaikan dilakukan sebelum itu.

Sememangnya berubah menjadi buih yang tidak berguna lagi. Lalu jadilah dia orang yang sangat menyesal, sedangkan pada hari itu penyesalan tidak berguna lagi. Pada hari akhirat tiada sesuatu yang berguna selain amal salih dikerjakan ikhlas dan suci hati kerana Allah SWT.

Bagaimana jika amalan yang dibawa ke akhirat itu ditolak kerana telah dirosakkan oleh riak dan menunjuk-nunjuk kepada orang, sedangkan pada hari kita sangat memerlukan faedah daripada amalan salih yang dilakukan.


MEMBANTU umat Islam yang hidup miskin di negara lain amat dituntut. - Foto hiasan



Pertanyaan al-Quran ini sungguh mendalam maknanya seolah-olah ia bertanya, siapakah yang mahukan kesudahan sebegini rupa?

Siapakah yang memikirkan masa depan anak, tetapi tidak mencari jalan bagi menjaga kebajikan mereka andainya berlaku sesuatu tidak diduga?

Manusia sering menjadi mangsa kepada amalannya yang tidak disempurnakan dengan wajar.

Mereka perlu bijak berfikir dan adil apabila membuat sesuatu keputusan.

Nabi SAW menyebutkan segolongan manusia pada hari akhirat datang membawa dosa yang dilakukan dengan mudah tanpa memikirkan akibatnya.

Amalan menjadi debu

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya aku mendapat maklum, ada beberapa kaum daripada umatku datang membawa amal kebajikan pada hari kiamat bagaikan Bukit Tihamah, lalu Allah jadikannya debu yang berterbangan.

Berkata Thawban: Wahai Rasulullah, terangkan kepada kami siapakah mereka, semoga kami tidak termasuk dalam golongan mereka.

Sabda Nabi SAW: Sesungguhnya mereka itu saudara kamu dan daripada keturunan kamu juga, mereka bersembahyang malam seperti kamu juga, tetapi mereka adalah orang yang apabila berhadapan dengan larangan Allah, mereka cerobohinya." (Riwayat Ibnu Majah)

Sheikh Muhammad Tantawi berkata, ayat itu mengingatkan kita supaya berwaspada ketika melakukan kebaikan supaya pada masa yang sama turut melakukan perkara dilarang Allah SWT.

Kesannya nanti orang itu tidak mendapat faedah pada hari kiamat sedangkan dia sangat memerlukannya. Ia adalah perbandingan betapa sengsaranya hidup seseorang yang telah dikurniakan nikmat ketika muda dengan mempunyai kampung halaman, tanah kebun yang subur dan tempat kediaman selesa.

Namun menjelang tua, tiba-tiba tempat kediaman dan kebunnya itu ditimpa bencana besar seperti ribut taufan yang disertai panah petir yang membakar kesemua kebunnya.

Tentu kejadian seperti itu amat tidak disukai oleh sesiapa pun. Demikianlah bandingannya orang yang beramal kebajikan, jika diungkit atau menyakiti hati orang yang menerima sumbangan, maka gugurlah pahala amal kebajikannya itu sehingga menjadi kosong.

Allah SWT menjelaskan kepada manusia akan dalil agama-Nya, rahsia-Nya, manfaat serta tujuannya, supaya manusia memikirkannya dan mengambil pengajaran sehingga mereka dapat mengeluarkan sedekah untuk mencari keredaan Allah SWT, bukan disebabkan riak serta menyakitkan hati orang lain.

Didik generasi muda peraturan, cara hidup Islam lengkap

MEMBICARAKAN isu pendidikan Islam di negara Islam kini, sebagai pengkaji sastera dan bahasa Arab, saya teringat kepada karya pujangga Arab ternama mengenai hal ini antaranya ialah penyair Syria, Nizar Qabbani, yang lahir pada 21 Mac 1923 dan meninggal pada 30 April 1998.

Ketika hayatnya, beliau telah dapat rasakan situasi masyarakat Syria, semasa dan selepas kematiannya iaitu ketika menulis puisi 'futuristic'nya bertajuk Hal Tasmahuna Li yang bererti Sudikah Anda Mengizinkan saya? yang bermotifkan kritikan dari segi politik, agama dan tamadunnya.

Saya berasakan sungguh pun saya tidak sefahaman dengan perspektifnya secara keseluruhan, namun pada umumnya, mesej disampaikan melalui puisinya itu adalah refleksi idea dan pemikirannya kepada masyarakat Islam seluruhnya.

Karya Nizar Qabbani boleh dijadikan pengajaran

Masyarakat dipenuhi dengan konflik jiwa, agama, peradaban dan politik yang mengkucar-kacirkan negara serta umat Islam seperti disaksikan pada masa kini.

KAEDAH pendidikan yang dinamik dan praktikal, mementingkan isi dari kulit bagi melahirkan generasi muda berakhlak. - Foto Iqmal Haqim Rosman



Saya menganggap karyanya adalah pandangan sejagat Islam dari seorang pencatat tamadun umatnya, baik untuk dijadikan pengajaran termasuk masyarakat kita.

Penyair Nizar Qabbani dapat melihat pergolakan politik negaranya terutama dari sudut pertentangan perspektif antara pemikir dan pemimpin yang berkuasa, antara ulama dan ibu bapa atau pendidik ketika beliau mengungkapkan syairnya:

"Di negara yang para pemikirnya di bunuh, para penulis di katakan murtad dan buku-buku di bakar,

Di dalam masyarakat yang 'orang lain' di singkir, di paksa menutup mulut dan mindanya, malah menyoal adalah satu dosa.

Sudikah anda mengizinkan saya untuk membesarkan anak-anak saya menurut cara saya tanpa di ganggu gugat dengan corak dan perintah anda?

Sudikah anda mengizinkan saya untuk mengajar bahawa agama itu yang terutamanya ialah untuk Tuhan, bukan untuk ketua agama, ulama dan orang lain?"

Bahagian pertama ungkapan puisi itu adalah gambaran tajam mengenai sejarah konfrontasi, polarisasi dan konflik antara ilmuwan dengan pemikir agama di satu pihak, tekanan ahli politik di satu pihak lain, juga konflik pentafsiran agama antara ahli agama dan orang awam.

Di samping itu, beliau melihat sesetengah ulama Islam amat terasing pemikiran dan pendiriannya daripada arus perdana kehidupan biasa dengan memberikan penumpuan sepenuhnya hanya kepada aspek kehidupan peribadi, mengabaikan kehidupan umum dan kemasyarakatan, sistem pemerintahan negara, pengurusan politik, ekonomi, etika, sivik, konsep syura, keadilan sosial, perpaduan dan sebagainya.

Malah dalam rangkapan di atas beliau cuba melihat kewujudan pertentangan antara ahli politik dengan pemikir, penulis dan tentunya ahli akademik sehingga berlaku tekanan seolah-olah hasil pemikiran serta karya mereka tidak seharusnya sampai kepada orang awam, yang digambarkan dengan perbuatan membakar hasil karangan, penyelidikan ilmuwan dan pemikir itu.

Dari satu sudut yang lain, seperti dijelaskan, pertentangan juga berlaku antara ulama Islam umum yang sering bertindak tanpa hikmah dan ilmu, menjadikan Islam hanya satu ritual serta tanggungjawab keperibadian Muslim.

Dengan melupakan ajaran etika, moral serta nilai kemasyarakatan, perundangan, ekonomi, pemerintahan, juga melupakan sistem penting dalam Islam seperti kesatuan, perpaduan, keadilan Islam sebagai satu agama holistik, universal dan peraturan hidup yang lengkap.

Amat menarik sekali penyair ini juga menggambarkan kefahaman dan penafsirannya yang dalam mengenai proses pendidikan agama bagi anak, umpamanya ketika beliau berpuisi:

"Sudikah anda mengizinkan saya mendidik anak kecil saya bahawa agama itu adalah untuk kebaikan, adab, akhlak mulia, jujur dan ikhlas sebelum saya mengajarnya: kaki manakah yang memulakan langkah masuk ke dalam tandas, dan tangan manakah menyuapkan makanan ke dalam mulut"

"Sudikah anda mengizinkan saya mengajar anak-anak lelaki saya bahawa mencontohi Nabi Besar haruslah di mulai dengan kebenaran, ketaatan dan keikhlasan baginda sebelum mempelajari tentang janggut, dan panjang pendeknya pakaian baginda?"

Jelas sekali penyair menekankan kaedah pendidikan agama kepada kanak-kanak secara lebih berkesan iaitu metodologi pendidikan seharusnya dimulai dengan pengajaran adab, etika dan akhlak yang dapat dicontohi daripada kehidupan Nabi Muhammad SAW.

Bukan menekankan bentuk pakaian dan janggut Baginda terutama ketika anak ini masih terlalu kecil untuk memahaminya.

Seterusnya penyair ini menambah:

"Sudikah anda mengizinkan saya untuk bersuara bahawa Tuhan melarang manusia membunuh sesama sendiri dan sesiapa yang membunuh seorang lain secara salah seolah-olah dia membunuh keseluruhan umat manusia"

Kembalikan tamadun peradaban umat Islam

Kesimpulan yang ingin saya kemukakan di sini, pada zaman moden ini ketika umat Islam sedang berhadapan krisis identiti besar untuk mengembalikan tamadun dan peradaban, kesejahteraan, kemakmuran hidupnya, maka generasi muda haruslah dididik dalam sistem memberikan keutamaan kepada Islam sebagai satu peraturan serta cara hidup yang lengkap.

Agama yang dapat diterjemahkan dalam kaedah pendidikan yang dinamik dan praktikal, mementingkan isi dari kulit, memberikan keutamaan mengikut pandangan Dr Al-Qaradhawi mengenai Feqh Al-Aulawiyyat (Feqah Keutamaan) metodologi pendidikan betul, latihan guru sempurna serta susunan buku teks terkini.

Aspek pendidikan beginilah yang seharusnya dijadikan pendekatan untuk kita memerangi salah faham anak muda kita yang terpengaruh dengan kaedah mudah agama seperti jalan pintas ke syurga iaitu jihad, mati syahid dan sebagainya dengan menyokong serta menyertai golongan ISIS, IS atau kumpulan lain.