February 11th, 2016

Pencetus trend tudung cetus fenomena luar biasa 10 juta wanita

Fesyen tudung cetus fenomena luar biasa


KUALA LUMPUR 8 Feb. – Fesyen tudung kini berkembang dengan begitu luas. Bukan sahaja menggayakan tudung rekaan tempatan, malah wa­nita Malaysia mampu bergaya dengan rekaan tudung dari negara-negara lain.

Penggunaan selendang masih cukup terhad ketika itu kerana sukar diperoleh. Jika ada pun, lazimnya jika mereka berkunjung ke negara-negara Arab yang cukup terkenal dengan pemakaian selendang.



Tudung Amy Mastura.

Hari ini, lambakan pelbagai jenis tudung di kedai sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman di ibu negara mudah ditemui. Pelbagai trend tudung terkini mampu dimiliki de­ngan mudah.

Aspek kreativiti juga terbit dalam kalangan pencetus trend yang menyaksikan mereka tampil unik de­ngan fesyen tudung masing-masing.




Tudung empat segi.

Walau bagaimanapun, menye­dari sikap sesetengah wanita yang tidak pandai menggayakan tudung mereka mengikut cara tersendiri, usahawan dan pereka fesyen tudung bijak mencari peluang dengan menampilkan ‘tudung instant’ iaitu rekaan fesyen tudung yang mudah dipakai dan siap digayakan.

Koleksi jenama tudung Ariani dan Fareeda antara usahawan terawal yang mencipta tudung ‘segera’ itu.

Memenuhi citarasa kehendak wanita masa kini, maka tidak hai­ranlah mereka sanggup berbe­lanja besar walaupun harganya mencecah ratusan ringgit.

Ini tidak termasuk mereka yang sanggup beratur dan ‘berkhemah’ di luar kedai semata-mata untuk mendapatkan tudung keluaran terkini pengeluar jenama tudung tersohor itu.

Namun demikian, fenomena fesyen tudung Ariani dan Fareeda agak tenggelam ketika ini ekoran kegilaan masyarakat Malaysia yang gemar mengikut trend semasa.

Lima tahun kebelakangan ini, pemakaian selendang pula menjadi pilihan yang digayakan secara instant.

Bertitik tolak daripada itu, muncul usahawan tudung yang mempelbagaikan fesyen tudung mengikut selera orang muda.

Selebriti dan artis turut mempunyai jenama tudung mereka sendiri seperti tudung Naelofar oleh artis Neelofa dan tudung dUCk daripada blogger dan usahawan online terkenal, Vivy Yusof kini menjadi kegilaan.

Strategi perniagaan dan pemasaran yang digunakan turut melonjakkan penjualan tudung mereka apabila konsep penjualan secara online diguna pakai selain melantik ejen dan stokis seperti kaedah pemasaran jualan langsung (MLM).

Mempertaruhkan model cantik atau artis itu sendiri yang menggayakan tudung jenamanya, maka tidak hairanlah penjualannya men­cecah jutaan ringgit.

Namun, ia secara tidak langsung telah mengubah persepsi wanita bertudung yang dulunya dianggap tidak menarik. Islam tidak melarang berfesyen asalkan tidak terpesong daripada tujuan asal perintah menutup aurat.


Pencetus trend stylista wanita bertudung

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Imej wanita bertudung perlu ditransformasikan agar tampak lebih anggun dan bergaya selari dengan tuntutan syariat Islam agar dilabelkan lebih baik oleh masyarakat terhadap golongan itu.

Kemunculan usahawan tudung yang ingin menampilkan sisi feminin serta daya inovasi si pemakai hijab atau ‘fashionista’ berhijab.

Ketika mengenakan tudung, tiada kekangan dalam keingin­an bergaya dalam konteks kontemporari urban, namun masih bertu­dung litup.

Maka tidak hairanlah, industri fesyen hijab Malaysia semakin berkembang sehingga mampu me­nembusi ke pasaran antarabangsa.


Farah Haryani Muhammad

Tudung keluaran Ariani misal­nya, antara pencetus fenome­na wanita bertudung hampir sedekad lalu yang pada permulaannya mereka tidak menjangka sambutan yang diberikan cukup hebat sehingga mencipta trend pada waktu itu.

Menurut Pengarah Pemasaran Pengeluar Tekstil Ariani, Datin Farah Haryani Muhammad Philip, formulasi tudung sarung untuk gaya wanita pada waktu itu ternya­ta berhasil kerana rekaan tudung awning menepati citarasa wanita Malaysia yang mahukan tudung mudah dipakai dengan kombinasi warna yang pelbagai dan jalinan fabrik yang cukup selesa.

“Sehingga hari ini, kami sentiasa menghasilkan rekaan tudung yang menepati permintaan pelanggan, memberi variasi pilih­an hijab untuk kesemua peringkat usia.

“Ariani memberi tumpuan kepada gabungan pelbagai warna, tekstur dan cetakan ke atas setiap helaian hijab dan disesuaikan de­­­ngan persekitaran dan iklim Malaysia. Kami menitikberatkan praktikal, keselesaan dan kualiti fabrik untuk koleksi yang dihasilkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Selain Ariani, tudung Fareeda antara pencetus fenomena wanita bertudung sekitar tahun 2007 apabila rekaan tudung ‘bertingkat-tingkat’ dan berwarna-warni menarik minat ramai golongan itu.

Peminat fanatik tudung berke­naan sanggup beratur panjang di luar butik semata-mata mahu mendapatkan koleksi terbaharu yang dikeluarkan secara terhad.

Pengarah Fareeda Global Resources Sdn. Bhd., Mawar Abdul Karim berkata, setiap keluaran baharu tudung Fareeda sentiasa tampil kelainan dan amat terhad.

“Kami tidak akan mengulang cetak rekaan yang sama, jadi sebab itu peminat fanatik sanggup beratur panjang untuk mendapatkannya,” katanya.


Mawar Abdul Karim

Dalam pada itu, Mawar berkata, kejayaan Fareeda yang membawa fenomena baharu kepada imej wanita bertudung diharap dapat memberi inspirasi kepa­da usahawan lain untuk turut menceburkan diri dalam industri perniagaan itu.

Katanya, ia sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada wanita untuk menutup aurat apabila lebih ramai usahawan yang kreatif membuat rekaan tudung menarik.

“Kami amat berbangga dan menganggap ini satu perkembangan sihat selain menjadi pembakar semangat untuk menjadi le­bih kreatif dalam mencipta rekaan tudung yang memenuhi citarasa wanita,” katanya.


Neelofa

Menyokong pendapat sama, selebriti terkenal, Neelofa berkata, transformasi dirinya yang kini berhijab yang mahu kelihatan trendy dan moden antara sebab mengapa beliau menceburkan di­ri dalam bidang perniagaan tudung.

Biarpun tidak pernah meletakkan apa-apa jangkaan setiap kali mengeluarkan rekaan terbaharu, Neelofa melalui jenama Naelofar Hijab yang hanya bermula tahun 2014 mahu wanita lain di luar sana turut nampak anggun dan bergaya.

“Saya buat rekaan tudung ini bukan semata-mata untuk keuntungan, tetapi mahu si pemakai nampak bergaya. Apabila mereka menggayakan sama seperti cara saya memakai tudung, saya amat terharu bila mereka juga nampak menarik.

“Dahulu, rekaan tudung sa­ngat terhad, nampak macam ‘makcik’, jadi saya cuba teroka dan kaji rekaan yang lebih cantik apabila berhijab sekali gus membuka hati ramai untuk berhijrah mengenakan tudung. Ini satu per­kembangan baik walaupun ni­at mereka pada asalnya untuk nampak cantik,” katanya.

Beliau percaya, strategi pemasaran perniagaan secara online dan promosi melalui platform media sosial berjaya meningkatkan jualan dan dikenali di seluruh dunia.

“Satu kebanggaan apabila pro­duk saya sampai ke Turki, Iran, Jepun, Amerika Syarikat dan 30 negara lain, satu pencapaian sa­ngat besar kepada saya dan saya tidak pernah menjangka sejauh itu,” katanya.


Wanita Islam berhijab cecah 10 juta tahun ini

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Terdapat seramai 8.48 juta wanita Islam daripada 17.3 juta penganut Islam yang meliputi majoriti penduduk di negara ini, mengikut bancian yang dijalankan lima tahun lalu.


Harga bukan menjadi faktor yang menentukan pilihan golongan wanita semasa membeli tudung tetapi trend dan fesyen semasa lebih banyak mempengaruhi citarasa mereka. – Gambar hiasan

Jumlah itu berkemungkinan meningkat sehingga 10 juta pada tahun ini jika melihat kepada trend pertambahan jumlah penduduk sebanyak 5 juta iaitu 23 juta pada tahun 2000 kepada 28.3 juta pada tahun 2010 mengikut bancian penduduk.

Angka berkenaan jelas menunjukkan potensi pasaran perniagaan untuk wanita Islam amat besar di negara ini terutama dari segi pemakaian tudung.

Jika diukur daripada kecenderungan wanita untuk membeli-belah pula, seramai 3.75 juta berkemungkinan besar akan memenuhi keperluan mereka itu mengikut nisbah umur daripada 15 hingga 49 tahun.

Ini bermakna, jika mereka membeli sehelai tudung, sebanyak 3.75 juta tudung perlu ada di pasaran sekali gus membuktikan industri perniagaan berkaitan amat besar.

Sekiranya harga sehelai tudung bernilai sekurang-kurangnya RM10, nilai pendapatan dalam industri itu boleh mencecah sehingga RM37.5 juta dalam pasaran negara ini sahaja.

Maka tidak hairanlah ramai usahawan fesyen tudung tumbuh bagaikan cendawan sejak lima tahun kebelakangan ini, apatah lagi golongan wanita bertudung kini semakin obses untuk memakai hijab mengikut fesyen dan trend terkini.

Trend penggayaan fesyen hijab semakin popular apabila ia diviralkan menerusi laman-laman sosial selain kemudahan untuk membeli-belah yang disediakan para peniaga menerusi dalam talian.

Melihat kepada persaingan pasaran itu, ramai pereka fesyen tudung mendaftarkan rekaan tudung mereka untuk menjadikannya sebagai hak eksklusif sehingga memberi impak besar dalam industri fesyen tudung tanah air.

Ia sekali gus membuktikan fesyen bertudung telah mencetuskan senario sekali gus memberi pendapatan berganda kepada para usahawan berkenaan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Menurut statistik yang dikeluarkan Perbadanan Harta Intelek (MyIPO), sebanyak 115 permohonan dite­rima untuk rekaan tudung di bawah Akta Reka Bentuk Perindustrian sejak tahun 2010 hingga tahun lalu.

Peningkatan tersebut paling ketara berlaku antara tahun 2013 dan 2014 apabila sebanyak 50 peratus permohonan meningkat kepada 46 permohonan berbanding 22 pada tahun 2013.

Statistik itu menjelaskan, walaupun hanya empat rekaan tudung didaftarkan pada tahun 2010, namun ia meningkat sehingga 46 rekaan dalam tempoh lima tahun berikutnya.

-

Malaysiakini bersikap lepas tangan, Suka mengadu domba, tidak bertanggungjawab ke atas laporan

BUKAN kali pertama malah sudah banyak kali namun Malaysiakini tetap tidak dikenakan sebarang tindakan walaupun beberapa kali melaporkan berita palsu dan fitnah terhadap pemimpin negara dan agensi kerajaan. Mereka seolah-olah ‘kebal’ untuk me-lakukan perbuatan itu.

Terbaharu, Malaysiakini terus menunjukkan kebiadabannya apabila menyiarkan komen-komen yang menghina Islam dan para ulama melalui berita perdebatan antara Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd.Asri Zainal Abidin dan Pengerusi Ahli Sunnah Wal Jamaah, Zamihan Mat Zin.

Mungkin Malaysiakini boleh memberi alasan mereka tidak akan bertanggungjawab terhadap komen-komen itu tetapi adakah ini bermakna portal berita tersebut boleh ‘lepas tangan’ dan terlibat secara langsung bagi memporak-perandakan umat Islam?

Oleh itu, Awang berharap, pihak berkuasa akan memandang serius corak pemberitaan oleh Malaysiakini. Sudah sampai masanya tindakan tegas diambil bagi mengelakkan portal berita tersebut menjadikan ruangan komen pembacanya untuk melaksanakan agenda mereka.

Awang tidak mahu mengulas apa agenda Malaysiakini, biarlah rakyat menilai sendiri melalui komen-komen yang disiarkan terutamanya apabila menyentuh soal kerajaan dan umat Islam. Dalam hal ini, Awang fikir perlu ada keberanian pihak berkuasa untuk bertindak bagi mengelakkan Malaysiakini terus menjadi sebuah media yang bebas melakukan apa sahaja sehingga boleh menjejaskan perpaduan masyarakat di negara ini.

- Awang Selamat Utusan Malaysia Rencana 10 Februari 2016 6:20 PM


Suka mengadu domba, tidak bertanggungjawab ke atas laporan

KUALA LUMPUR 9 Feb. – Portal propembangkang Malaysiakini disifatkan sebagai suka mengadu domba dan tidak bertanggungjawab terhadap setiap laporan yang dikeluarkannya.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Muammar Gadafi Jamaluddin berkata, perkara tersebut terbukti apabila portal itu kerap mengeluarkan laporan isu perdebatan antara Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin dengan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin, sejak Jumaat lalu.

“Malaysiakini sepatutnya berpegang teguh pada etika kewartawanan dan penerbitan dalam setiap berita yang dikeluarkan kerana tugas organisasi dan pengamal media bukan sekadar mendapatkan berita terkini atau sensasi semata-mata, sebaliknya turut bertanggungjawab memastikan kesan serta akibat laporan yang akan dikeluarkan itu.

“Lebih menyedihkan apabila Malaysiakini mengeluarkan kenya­taan pelbagai pihak tetapi tidak mahu bertanggungjawab atas be­rita tersebut. Ini jelas menunjukkan portal itu tidak memiliki integriti dalam setiap laporan yang dibuat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menasihatkan Malaysiakini supaya lebih berhati-hati dalam melaporkan sebarang berita yang berkaitan dengan sensitiviti agama dan ke­selamatan negara.

Siar komen menghina, biadab tanpa tapisan


CETAKAN skrin menunjukkan komen-komen pembaca yang mengandungi bahasa kesat dan biadab berhubung isu perbezaan pendapat antara Mohd. Asri Zainul Abidin dan Zamihan Mat Zin disiarkan Malaysiakini tanpa tapisan.

Katanya, Perkasa memang menyokong kebebasan media, amalan demokrasi dan hak asasi manusia tetapi apabila berkaitan dengan isu agama dan keselamatan, pengamal media perlu bersikap lebih bertanggungjawab.

“Tindakan Malaysiakini mengeluarkan kenyataan balas antara Zamihan dan Mohd. Asri itu secara jelas menunjukkan portal itu sengaja mahu membesarkan isu tersebut supaya menjadi perhatian ramai tetapi dalam masa yang sama bersikap ibarat ‘baling batu sembunyi tangan’.

“Pengamal media di Malaysiakini perlu menyedari kenyataan yang dikeluarkan itu berkaitan dengan nama dan imej Islam kerana melibatkan tokoh agama. Justeru, pihak berkuasa perlu memantau portal tersebut supaya tidak melampaui batas undang-undang,” katanya.



Malaysiakini bersikap lepas tangan

KUALA LUMPUR 9 Feb. - Portal berita propembangkang, Malaysiakini, menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab apabila menyiarkan komen pembaca terhadap isu perbezaan pendapat antara Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin tanpa sebarang tapisan.

Komen-komen yang disiarkan itu antaranya berunsur penghinaan terhadap keperibadian kedua-dua tokoh itu malah ada yang tergamak melemparkan kata-kata ke­sat terhadap mufti, ulama dan ustaz.

Selain itu, timbul tuduhan-tuduhan yang tidak diketahuinya kebenarannya seperti ‘syiah’, ‘wahabi’ dan ‘ahli bidaah’.

Lebih dikesali, hampir semua komen yang boleh mengakibatkan pandangan serong terhadap Islam dan ulama serta institusi mufti itu dipercayai ditulis oleh pembaca-pembaca Malaysiakini yang beragama Islam.

Semua penghinaan dan kebiadaban itu dapat dibaca dalam ruangan komen dua artikel bertajuk Zamihan mahu debat tertutup dengan Asri dan Asri nasihat Zamihan henti gelar ulama ‘anjing’ yang disiarkan Malaysiakini semalam.

Malangnya, Malaysiakini seolah-olah bersikap lepas tangan apabila membiarkan sahaja para pembacanya melemparkan kata-kata kesat terhadap dua tokoh tersebut.

Memang benar Malaysiakini memaparkan peringatan pada ruangan komen pembaca yang berbunyi seperti berikut:

“Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.”

Namun, timbul persoalan sama ada peringatan tersebut memadai bagi memastikan setiap komen pembaca Malaysiakini khususnya dalam isu melibatkan Mohd. Asri dan Zamihan tidak bercanggah dengan prinsip kesopanan dan kesusilaan yang terkandung dalam Rukun Negara.

Debat perlu dilaksanakan secara tertutup, Mudahnya umat Islam berbalah

Mudahnya umat Islam berbalah

SEGALANYA bermula apabila tercetus isu Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin mahu berdebat dengan Pengerusi Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJ), Zamihan Mat. Zin berhubung isu Wahabi.

Lanjutan itu kedua-dua mereka berbalas kenyataan, Dr. Mohd.Asri menegaskan Zamihan mempunyai masa sehingga 17 Februari untuk berdebat dengan beliau manakala Zamihan pula mahu ia diadakan secara tertutup.




Zamihan

Kenyataan kedua-dua mereka disiarkan oleh portal berita propembangkang, Malaysiakini. Penulis tidak kisah soal kenyataan mereka tetapi apa yang dipersoalkan bagaimana tindakan Malaysiakini yang membenarkan komen-komen terhadap berita tersebut yang ada antaranya melampau.

Tindakan Malaysiakini melepaskan komen-komen tanpa tapisan telah membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk ‘berdebat’, paling malang ia mencetuskan perbalahan antara umat Islam. Masing-masing mahu mempertahankan pendirian masing-masing. Kesudahannya berlaku perkara yang mendukacitakan, apabila ada antara komen-komen itu menghina pemimpin, mencaci ulama, mengecam mufti dan memaki para ustaz.

Berdasarkan ratusan komen berkaitan kenyataan Dr. Mohd. Asri dan Zamihan itu, ternyata segelintir umat Islam sudah terperangkap dengan mainan pihak tertentu untuk memecah belahkan mereka. Malah apa yang paling malang, ada juga yang mengambil kesempatan untuk memperlekehkan agama Islam.

Sebab itulah sejak awal lagi penulis sentiasa berpendapat, percanggahan pendapat atau khilaf antara ulama tidak harus dilakukan secara terbuka kerana ia tidak akan mendatangkan sebarang keuntungan kepada umat Islam.

Begitu juga apabila seorang ahli agama membuat kenyataan berkaitan ulama lain, ia hanya akan membuka ruang kepada ‘musuh-musuh Islam’ untuk mengambil kesempatan. Malangnya, segelintir umat Islam di negara ini masih belum sedar atau sengaja buat-buat tidak sedar. Perbincangan yang sepatutnya berteraskan kepada perbezaan pendapat dan dilakukan secara berhemah, sebaliknya dihiasi dengan kata-kata nista dan maki hamun.



Asri Zainul

Perbuatan itu terbukti jika kita mengkaji satu demi satu komen yang dimuatkan oleh portal berita tersebut. Semuanya dilepaskan tanpa tapisan biarpun mengetahui ia boleh memecah belah umat Islam.

Atas sebab itulah, dalam apa juga situasi dan berhadapan dengan apa juga isu, umat Islam sepatutnya rasional, bukannya emosional. Isu ber-kaitan hal ehwal Islam seharusnya diperbincangkan dengan penuh kesopanan dan kebijaksanaan.

Ia kerana musuh Islam hanya menanti masa sahaja untuk melemahkan umat Islam dengan mencetuskan perbalahan sesama mereka. Itulah yang berlaku dalam isu perdebatan antara Dr. Mohd. Asri dan Zamihan tersebut.

Persoalannya sampai bilakah umat Islam akan begitu mudah dihasut untuk bersengketa sesama sendiri? Tidak cukupkah selama ini mereka bertelingkah kerana berbeza fahaman politik? Kenapakah perlu dibiarkan isu fahaman pula mewujudkan ketegangan kepada mereka?

Pihak berkuasa perlu memandang serius perkembangan ini termasuklah menyiasat motif di sebalik tindakan Malaysiakini menyiarkan komen-komen berkenaan tanpa tapisan. Kalau betul Malaysiakini sebuah portal berita yang bertanggungjawab sudah tentulah mereka akan memahami bahaya komen seumpama itu.

Bagaimanapun hendak menya-lahkan portal berita itu sepenuhnya pun tidak boleh juga. Ia kerana segalanya berpunca daripada sikap umat Islam sendiri. Dalam kalangan kita masih’ jahil’ untuk berbincang atau berhujah secara berhemah. Kalau seseorang itu tidak bersetuju dengan pandangan kita, maka dia akan’ diserang’ habis-habisan sehingga sampai ke tahap mengkafirkan antara satu sama lain.

Mereka lupa kepada peringatan Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 19 yang bermaksud: “Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. Tidaklah berselisih orang yang telah diberi kitab kecuali setelah mereka memperoleh ilmu, kerana kedengkian di antara mereka. Barangsiapa ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sungguh, Allah sangat cepat perhitungan-Nya.”

Oleh itu, kalau benar, semua umat Islam memegang teguh ajaran Islam, sudah pasti setiap perbezaan akan diraikan dengan penuh kebijaksanaan termasuk-
lah dalam berpolitik. Tetapi itu tidak berlaku. Apa yang sering kita saksikan adalah umat Islam mencerca sesama sendiri dan mahu menegakkan pendirian masing-
masing sehingga mencetuskan permusuhan.

Kalau benar masing-masing berasa hebat sangat dalam ilmu agama kenapakah tidak mencontohi ulama-ulama besar walaupun mempunyai ilmu tinggi tetapi sentiasa sahaja menunjukkan kematangan dalam berhadapan dengan perbezaan pendapat.

Mereka sentiasa berpandu kepada al-Quran dan hadis serta tidak memaksa orang lain menerima hujah mereka dan sentiasa bersedia menerima perkara yang benar daripada sesiapa juga. Mereka tidak pernah menganggap pendapat yang dilontarkan sebagai paling tepat sehingga wajib untuk diikuti, dan menolak pendapat lain sehingga menganggapnya sebagai sesuatu yang bertentangan dengan agama.

Imam Syafi’i pernah mengungkapkan, ‘’Pendapatku benar, tapi memiliki kemungkinan untuk salah. Sedangkan pendapat orang lain salah, tapi memiliki kemungkinan untuk benar.”

Namun semua tela-dan yang baik tidak diikuti oleh sebahagian umat Islam di negara ini. Bagi mereka, kalau sesiapa yang tidak mengikuti pandangan mereka atau tidak berada dalam kelompok mereka, maka orang itu akan dilihat sebagai ‘musuh’. Keadaan itulah yang melemahkan umat Islam dan memungkinkan orang Melayu tidak mampu bersatu.

Sepatutnya mereka mengingati firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 48 yang bermaksud;

‘Dan Kami telah turunkan kepadamu al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, yaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang.

Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu.’’


Debat perlu dilaksanakan secara tertutup – Mufti Pahang

KUALA LUMPUR 9 Feb. – Debat antara Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin perlu dilaksanakan secara tertutup supaya tidak timbul fitnah sehingga memperlihatkan bahawa ulama di negara ini tidak sepakat.


Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman (gambar) berkata, jika mahu melaksanakan debat tersebut, ia mestilah bertujuan mendapatkan satu pandangan yang lebih baik dan tidak mengelirukan masyarakat.

“Kita tidak mahu debat itu memperlihatkan bahawa para ulama di negara ini bergaduh dan tidak sepakat antara satu sama lain. Itu yang perlu dielakkan dan perlu dilaksanakan secara tertutup,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Asri dan Zamihan dikatakan bakal berdepan antara satu sama lain menerusi satu wacana yang dianjurkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, esok.

Menurut Shahidan, sebagai penganjur wacana itu, surat undangan sebagai ahli panel program berkenaan telah dihantar kepada kedua-dua pihak dan dicadangkan diadakan di Auditorium Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Abdul Rahman berkata, debat yang hendak dilaksanakan juga mestilah mengikut tertib dan ilmiah serta tidak akan menimbulkan fitnah dalam kalangan ulama pada masa depan.

“Kita bukan berdebat untuk mencari kemenangan tetapi bagi mencari kejernihan serta kefahaman sesama kita.

“Justeru, dengan debat ini, kita dapat ingatkan antara satu sama lain dan mencari sesuatu yang lebih baik. Dalam agama Islam ini memang tidak lari daripada perbezaan pandangan,” katanya.

Menurut beliau, walaupun Islam membenarkan perbezaan pendapat serta pandangan, semua pihak mestilah mengikut apa yang telah diputuskan oleh pihak berkuasa agama.

“Setiap orang Islam boleh memberi pandangan namun yang memutuskan sesuatu keputusan itu adalah pihak berkuasa agama. Setiap negeri ada fatwa masing-masing. Sebab itu, jangan membawa fahaman kita jika ingin ma­suk ke negeri orang.

“Kita kena ikut fahaman di negeri tersebut, tidak boleh langgar adab dan adat, itu akan menyebabkan perpecahan. Contohnya jika sampai di sesebuah masjid, kita tidak boleh pandai-pandai untuk menjadi imam di situ,” katanya.

Rapatkan saf, bekerja kerana Allah, rakyat

KONFLIK politik Kedah yang berlanjutan hampir dua minggu berakhir apabila Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berundur sebagai Menteri Besar negeri tersebut.

Jemaah Pemangku Sultan Kedah kemudian memperkenankan Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu.

Kini bukan lagi masanya untuk berpolemik dan berkonfrontasi tetapi adalah masa untuk merapatkan saf dan barisan kepimpinan. Semua pihak perlu memilih untuk berjiwa besar mengutamakan perpaduan dan kepentingan rakyat.

Pucuk pimpinan mesti terus mempertahankan integriti sebagai pemimpin yang sentiasa berdiri teguh bersama rakyat serta terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka, walaupun tanpa jawatan besar.

Semua pihak mesti terus bersama dalam membantu parti bagi mengekalkan UMNO untuk terus berkuasa di Kedah.

Islam sangat menekankan kepentingan hak-hak persaudaraan sesama Islam. Perpaduan umpama ‘gunung yang tinggi dapat diroboh dan lautan yang dalam dapat ditimbus’ atau ‘yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul’ memperjelaskan kepada kita akan kepentingannya.

Begitu juga Islam amat menekankan perpaduan dalam kalangan umatnya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud; “Dan berpegang teguhlah kamu semua kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu berpecah belah.” (Surah Ali-Imran ayat 103)

Perpaduan adalah kunci kejayaan dan umat Islam juga digesa supaya memupuk rasa muhibah dan persaudaraan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud; “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara.” (Surah al-Hujurat ayat 10)

Rasulullah SAW merakamkan satu perumpamaan yang amat indah berkenaan kesatuan umat yang beriman dalam sabda baginda; “Bandingan orang mukmin yang saling menyayangi dan berlemah lembut sesama mereka seperti tubuh badan yang satu. Apabila satu anggota merasa sakit menyebabkan seluruh badan berjaga malam dan merasa demam.” ( Riwayat Ahmad)

Rasulullah SAW ialah ikon pemimpin sejagat yang turut diakui oleh dunia Barat, begitu juga para sahabat RA yang menjadi ikutan ummah sepanjang zaman. Sirah merakamkan semasa pelantikan Saidina Abu Bakar sebagai khalifah yang pertama, beliau mahu ketaatan diberikan kepadanya selama mana beliau taat kepada Allah dan RasulNya. (Khutbah sulung selepas pelantikan)

Sirah turut merakamkan peristiwa perlucutan jawatan Khalid al-Walid sebagai panglima perang yang digantikan dengan Abu Ubaidah. Namun sebagai seorang panglima yang berintegriti tinggi beliau mengatakan, “Aku berperang kerana Allah, bukan kerana Umar’.

Oleh itu, pemimpin Islam semestinya berlapang dada, mengamalkan keterbukaan, berunding secara objektif dan berusaha menimbulkan suasana pemikiran yang bebas, bertukar-tukar pandangan secara membina sehingga orang ramai merasa selesa ketika membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan bersama.

Pemimpin boleh datang dan pergi tapi tetapi perjuangan untuk terus memberi khidmat kepada rakyat dan masyarakat akan tetap berlangsung.

Buat Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sekalung penghargaan dan jasa mu dikenang. Untuk Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah, selamat menjalankan tugas dan semoga negeri Kedah maju jaya.   Tan Sri Dr Abdullah Md Zin Utusan Malaysia Rencana 11 Februari 2016 12:09 AM

Integriti menangani konflik rumahtangga

UMUM mengetahui bahawa Tekad Keempat Pelan Integriti Nasional (PIN) yang dilancarkan pada 23 April 2004 ialah “Memantapkan Institusi Keluarga Dan Komuniti”. Keluarga adalah komponen terpenting dalam PIN dan lantaran itu seorang ahli falsafah Cina yang terkenal iaitu Confucious mengatakan bahawa “integriti itu bermula dari rumah”. Walau bagaimanapun, suatu realiti yang amat menyedihkan bila mana kita mendapati kadar penceraian dalam kalangan masyarakat di Malaysia khususnya masyarakat Islam berada pada tahap yang membimbangkan.

Pengalaman penulis mengendalikan beberapa ceramah kursus pra perkahwinan menunjukkan kefahaman pasangan muda terhadap hukum hakam perkahwinan berada pada tahap yang sangat rendah. Kehadiran ke kursus perkahwinan hanyalah sebagai tiket memboleh-kan mereka menyempurnakan hasrat hidup berumahtangga.

Dengan ilmu yang terbatas, apabila rumahtangga mereka dipukul gelombang, mereka kurang memahami ketetapan hukum hakam agama. Justeru, berlakulah perkara-perkara yang mendukacitakan seperti cerai melalui SMS, aplikasi WhatsApp dan sebagainya. Malah jika ditanya kepada golongan muda, majoriti langsung tidak memahami bahawa lafaz talak itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu Talak Sarih dan Talak Kinayah.

Talak Sarih membawa maksud terang dan jelas iaitu talak yang diucapkan oleh suami kepada isteri-nya dengan kalimah yang jelas dan terang. Menurut fuqaha Islam,lafaz seperti kalimah “Talak” atau” Cerai” membawa makna Talak Sarih. Antara contohnya adalah apabila suami berkata:

* Aku ceraikan kau dengan talak satu;

* Aku telah melepaskan (menjatuhkan) talak untuk engkau; atau

* Hari ini aku ceraikan engkau.

Apabila ungkapan seumpama ini dilafazkan maka talak itu adalah sah dan ikatan perkahwinannya itu serta merta berakhir. Sementara itu, talak Kinayah pula bermaksud penceraian dengan menggunakan kalimah yang secara tidak langsung atau sindiran yang boleh difahami lebih dari satu maknanya. Sebagai contohnya, apabila suami mengucapkan kepada isterinya ungkapan-ungkapan berikut:

* Aku tak ingin kau lagi,kau boleh pulang ke rumah orang tuamu;

* Berambus engkau dari rumah-ku ini. Pergilah kau ke mana-mana yang kau suka; atau

* Hubungan antara kita berdua sudah berakhir di sini.

Penghakiman ke atas talak Kinayah adalah berdasarkan niat suami. Jika suami ketika melafazkan ungkapan di atas tidak disertai niat menceraikan isterinya, maka perkahwinan itu masih sah. Walau bagaimanapun, jika suami mempunyai niat menceraikan isterinya ketika melafazkan talak Kinayah ini maka terjadilah perceraian antara mereka. Dalam konteks inilah tahap integriti suami amat penting untuk secara jujur mengesahkan apa yang terkan-dung di hatinya ketika memberi ke-terangan di Mahkamah Syariah.

Apabila berlaku perceraian, maka bagi seseorang perempuan yang telah diceraikan berhak untuk membuat tuntutan terhadap bekas suaminya. Pemberian mutaah adalah wajib diberikan oleh seorang suami sekiranya percerai-an yang berlaku berpunca dengan kehendak suami dan bukan atas kemahuan isteri. Kadar pemberian itu adalah berdasarkan kepada persetujuan kedua-dua pihak berdasarkan kedudukan kewangan kedua-dua pihak. Allah berfirman dalam Al Quran yang bermaksud “Kepada wanita-wanita yang dice-raikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) mutaah menurut yang makruf sebagai satu kewajipan bagi orang-orang yang bertakwa” (al-Baqarah: 241).

Kesemua empat mahzab sependapat bahawa wajib bagi seseorang suami bagi menyediakan nafkah dan tempat tinggal kepada bekas isteri-nya sewaktu dalam tempoh iddah. Seseorang isteri itu juga berhak mendapat nafkah iddah dengan syarat:

* Isteri itu diceraikan dengan Talak Raj’i (talak yang boleh dirujuk). Ini berdasarkan hadis Nabi SAW di mana baginda bersabda: “Hanya nafkah dan tempat kediaman untuk perempuan yang boleh dirujuk oleh suaminya”. (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

* Isteri yang hamil yang diceraikan dengan talak Bain (talak yang tidak boleh dirujuk), berhak juga mendapat nafkah sehingga anak dalam kandungannya dilahirkan. Ini adalah berdasarkan Firman Allah yang bermaksud: “Kalau mereka itu hamil, maka berilah nafkah kepada mereka hingga mereka melahirkan anaknya”. (al-Talaq: 6). Kelayakan mendapatkan nafkah iddah ini tidak terpakai kepada isteri yang telah dihakimi melakukan perbuatan yang nyusuz terhadap suaminya.

Soal integriti dalam menangani konflik rumahtangga ini lebih kronik lagi dalam soal perebutan hak penjagaan anak atau hadhanah. Seringkali berlaku insiden, pasangan yang bercerai berebutkan hak penjagaan hingga membawa kepada kejadian membawa lari dan menyorokkan anak-anak hingga membawa kesan emosi yang teruk kepada anak-anak berkenaan.

Pada dasarnya Islam meletakkan kewajipan mendidik anak-anak ini kepada kedua ibu bapa kerana ibu bapalah yang bertanggungjawab terhadap mereka. Walau bagaima-napun sekiranya berlaku percerai-an siapakah yang lebih layak untuk menjaga anak-anak ini? Menurut Islam ibu adalah orang yang paling layak untuk menjaga kerana ibu adalah orang yang paling hampir dan lebih menyayangi anak-anak berbanding ayah.

Hak penjagaan anak akan diberikan keutamaan kepada ibu selagi dia masih belum berkahwin lain dan anak tersebut belum mencapai umur mumaiyyiz (sekitar usia tujuh tahun). Selepas usia tersebut, maka anak akan diberikan pilihan dengan siapa dia mahu tinggal bersama. Ini diperkuatkan dengan hadis Nabi SAW di mana baginda telah menyuruh seorang anak yang sudah mumaiyyiz supaya memilih sama ada dia lebih suka tinggal bersama ibu atau bapanya. (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Begitulah indahnya Islam menetapkan jalan penyelesaian bagi ibu bapa menangani konflik rumah tangga secara berintegriti tanpa ada perasaan tamak dan meletakkan kepentingan kebajikan anak-anak mengatasi kepentingan diri bagi menentukan agar anak-anak mendapat yang terbaik agar mereka dapat dibentuk menjadi generasi yang berakhlak mulia. Anuar Ahmad Utusan Malaysia Rencana 10 Februari 2016 6:15 PM

Berusaha jadi insan baik

Hakikatnya manusia dijadikan Allah SWT dengan dua potensi iaitu manusia yang mempunyai nilai positif dan negatif. Manusia yang positif adalah mereka yang mempunyai nilai murni yang tinggi dalam dirinya seperti taat kepada perintah Tuhan, berbuat baik kepada manusia lain dan baik terhadap diri sendiri, manakala manusia yang negatif adalah manusia yang merosakkan diri dengan perkara yang bercanggah dengan nilai baik.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang disiarkan setiap Rabu, jam 10.15 pagi di radio IKIMfm, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menjelaskan, dalam mencari kebaikan diri, seseorang Mukmin haruslah sentiasa bermuhasabah untuk memperbaiki diri dengan akhlak mulia seperti yang dipamerkan oleh Nabi junjungan Muhammad SAW.

Beliau berkata, dalam kehidupan ini kita mempunyai peranan tersendiri termasuk sebagai ayah, adik, pemimpin, guru, suami dan isteri atau apa saja.

Mukmin meningkatkan amal ibadah dan membina hubungan dengan Allah melalui solat. - Gambar hiasan




Sekiranya kita seorang guru, adakah kita seorang guru yang benar-benar memberi manfaat kepada pendidikan ummah atau sekadar seorang guru yang mengajar dalam kelas dan setiap bulan mendapat gaji.

Manusia sukakan kebaikan

Manusia di alam ini secara fitrahnya sukakan kebaikan.

Bahkan seseorang yang pengotor sekalipun akan sukakan kepada orang yang pembersih, orang yang suka bercakap bohong akan sukakan kepada manusia yang jujur.

Namun, sikap manusia sendiri ada kalanya lebih gemar kepada perkara yang buruk dan merosakkan.

Seorang Mukmin yang ingin menjadi baik iaitu menjadi manusia yang bermanfaat kepada manusia lain dan menjadi hamba yang taat kepada Allah SWT hendaklah tahu akan perkara yang boleh membina kebaikan dalam diri seseorang manusia.

Ramai manusia yang ingin menjadi baik, tetapi tidak dapat membina kebaikan diri kerana tidak tahu akan formula untuk menjadi insan yang benar-benar baik pada pandangan Allah SWT dan baik dalam kalangan manusia.

Pahrol menyebut tiga kriteria yang perlu ditanam untuk membina kebaikan dalam diri seseorang manusia iaitu mengetahui apakah ciri-ciri seseorang manusia yang baik.

Kedua, mencari kaedah menjadi manusia yang baik dan ketiga ialah untuk menjadi manusia yang baik, seseorang itu harus bersedia untuk 'membayar' nilai kebaikan tersebut.

Sudah pasti ada harga yang perlu 'dibayar' kepada sesuatu nilai kebaikan. Dalam hidup ini, semakin tinggi harga sesuatu perkara, semakin tinggi pula nilainya.

Dalam memperkatakan siapa manusia yang baik, Pahrol menjelaskan bahawa seseorang Mukmin yang baik harus mempunyai dua kriteria iaitu seseorang yang taat kepada perintah Allah dengan menuruti perintah-Nya seperti yang terkandung dalam al-Quran dan hadis.

Kedua adalah sedar akan dirinya sebagai khalifah Allah dan menjalankan peranan dengan sebaik mungkin di muka bumi Allah SWT ini.

Sungguhpun ada sesetengah pandangan yang berpendapat definisi baik itu bersifat subjektif dan relatif, namun sebagai Mukmin, manusia yang baik adalah mereka yang menjalankan peranannya sebagai hamba yang taat kepada perintah Allah SWT dan patuh kepada seruan Rasulullah SAW.

Tingkat amal ibadah

Seorang yang taat kepada Allah SWT akan sentiasa meningkatkan amal ibadahnya di sisi Allah dan selalu membina hubungan dengan Allah melalui solat, zikir, membaca al-Quran sehingga mencapai ketakwaan di sisi Allah SWT.

Begitu juga peranan manusia yang baik akan menjalani peranannya sebagai khalifah dengan sentiasa memperbaiki diri untuk berbuat kebaikan kepada diri dan seluruh makhluk di alam ini.

Seorang khalifah juga memahami inti pati yang diajar oleh al-Quran dan menuruti ajaran Nabi Muhammad SAW. Rasulullah disebut sebagai seorang yang bercakap berdasarkan wahyu Allah SWT dan bukan nafsunya.

Tugas menjadi khalifah tidak diserahkan kepada malaikat kerana manusia yang mempunyai nilai yang dinamik untuk memakmurkan alam ini dengan sempurna.

Jika menjadi manusia yang taat sentiasa membina diri dengan amal ibadah seperti solat dan zikir, menjadi khalifah hendaklah melaksanakan tugas dengan banyak berfikir.

Seorang khalifah yang memberi kebaikan dan memperbaiki keadaan hendaklah sentiasa membaiki diri dan sentiasa berfikir untuk menyumbang kepada masyarakat agar bumi ini menjadi lebih bermakna kepada setiap manusia.

Berfikir untuk majukan ummah

Seorang Mukmin yang menjalani peranan sebagai khalifah hendaklah sentiasa meningkatkan daya fikir untuk memajukan ummah dan membantu kemaslahatan ummah supaya umat Islam akan terus berdiri kukuh dengan nilai kualiti diri yang tinggi di muka bumi ini.

Justeru, seseorang yang sentiasa berdoa yang berusaha menjadi baik secara ikhlas kerana Allah SWT sudah pastinya Allah SWT akan meletakkannya dalam kalangan orang yang baik dan menjauhi dirinya daripada perkara yang membawa kepada kemaksiatan.

Begitu juga Mukmin yang Allah SWT berikan kebaikan kepada dirinya, Allah SWT juga akan memberikan kefahaman ilmu kepadanya untuk memahami inti pati al-Quran dan seterusnya mengamalkannya dalam kehidupan.

Manusia yang sentiasa berusaha mencari kebaikan tidak akan rugi kerana walaupun berdepan dengan ujian dan musibah yang barangkali mencederakan perasaan manusia, tetapi hatinya akan sentiasa terbimbing dengan ilmu Allah SWT dan kasih sayangnya akan sentiasa menyelimuti manusia yang berusaha untuk mentaati Allah dan menjadi khalifah yang baik di bumi Allah ini.

Oleh itu, rajinkan diri mencari ilmu untuk menjadi manusia baik di sisi Allah dan dalam kalangan manusia. Manusia yang baik akan sentiasa mendapat kebaikan dan disayang manusia lain.

Seseorang yang membahagiakan akan mendapat bahagia, begitu juga manusia yang sering memberi akan menjadi manusia yang akan banyak menerima.

Justeru, Mukmin hendaklah sentiasa berusaha membina kebaikan dalam diri agar menjadi insan yang diredai di dunia dan akhirat.