February 12th, 2016

Khutbah Jumaat ~ “Bila Hati Telah Bertaut, Pastikan Syurga Milikmu

Petikan Khutbah Jumaat 12 Februari 2016:JAIS

“Bila Hati Telah Bertaut, Pastikan Syurga Milikmu”


Dalam Al-Quran dan Hadis banyak terdapat arahan dan perintah serta penjelasan bahawa orang-orang yang beriman adalah bersaudara. Persaudaraan yang dibina di atas dasar aqidah dan agama ini lebih kuat dari persaudaraan yang telah terbina di atas dasar darah daging dan keturunan.

Sesungguhnya menjaga keharmonian dalam persaudaraan seaqidah dan seagama adalah antara syarat utama untuk melayakkan sesaorang itu menjadi penghuni Syurga.

Al-Quran dan Hadis Nabawi mengenai kewajipan berkasih sayang sesama Islam. antaranya; Firman Allah SWT dalam surah al Hujurat, ayat 10:  “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka oleh itu hendaklah kamu memperelokkan hubungan persaudaraan antara kamu. Dan takutlah kepada Allah semoga dengan itu kamu beroleh kerahmatan”.

Firman Allah lagi dalam surah Al Anfal ayat 46: “Dan kamu semua wajib taat kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu bertelingkah, kelak kamu akan gagal dan kehilangan kekuatanmu, dan bersabarlah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar”

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Demi diriku dalam genggaman-Nya, kamu semua tidak akan dapat memasuki syurga sehinggalah kamu beriman, dan kamu tidak dikira beriman sehinggalah kamu berkasih-sayang sesama mu. Adakah kamu ingin supaya saya tunjukkan petua apabila kamu melakukannya maka kamu akan berkasih sayang ?, iaitu sebarkanlah salam di kalanganmu”. (Riwayat Muslim)

Sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jauhilah sifat buruk sangka, kerana buruk sangka itu adalah kata-kata yang dusta. Janganlah kamu intip mengintip, janganlah kamu dengki mendengki dan janganlah kamu bermusuh-musuhan. Jadikanlah dirimu sebagai hamba Allah yang bersaudara”. (Riwayat al-Bukhari)

Bagi mereka yang telah tenang dan khusyuk hatinya menerima dan meletakkan Islam di atas pundaknya, maka sudah memadai beberapa ayat al quran dan hadis nabi untuk ia mengatakan (انأَطَعو انعمس) “kami dengar dan kami patuh”.

Kita jangan lupa bahawa mutakhir ini musuh islam semakin berani memperlekeh Islam, bahkan cuba mengungkit kedudukan Raja-Raja sebagai Ketua Agama di setiap negeri, kerana pada pandangan mereka umat Islam sudah lama kehilangan taring, bahkan mereka menganggap umat Islam hanya bagaikan harimau kertas sahaja tanpa ada apa-apa kekuatan. Mimpi ngeri itu lambat laun akan menjadi kenyataan sekiranya ummat Islam terus berpecah. Ϳبا والعیاذ.

Menginsafi betapa perlunya umat Islam bersatu padu dan betapa jeliknya perpecahan dan perbalahan, maka mimbar yang mulia ini ingin melontarkan beberapa tips atau petua bagaimana perpecahan dapat dielakkan. Maka dengar dan hayatilah perkara-perkara berikut:

Pertama: Umat Islam wajib meletakkan Allah dan Rasul mengatasi segala-galanya. Oleh itu umat Islam hendaklah mengutamakan perintah Allah supaya bersatu menjunjung serta melaksanakan perintah dan mematuhi laranganNya.

Kedua: Memelihara ( لافِت ْ خِالا ُأداب) atau adab-adab menangani perbezaan pendapat adalah menjadi suatu kemestian kepada ummat Islam, khususnya para ulama, ahli politik dan pemimpi-pemimpin disetiap lapisan masyarakat.

Al Imam As Syafi’e wajar menjadi pegangan dan panduan dalam menangani dan menyantuni perbezaan pendapat. Dalam konteks ini beliau pernah mengatakan: “Pendapat ku memang betul, tetapi boleh jadi juga salah. Sedangkan pendapat orang lain salah tetapi boleh jadi juga betul”. Kata beliau lagi: “Aku tidak pernah berbalah dengan sesaorang melainkan aku mengharap agar Allah menzahirkan kebenaran melalui lidahnya bukan lidahku”

Ketiga: Umat Islam wajib menjaga dan mengawal pertuturan agar tidak mengungkapkan kata-kata yang boleh menyemai bibit-bibit perpecahan. Mestilah cermat dan berhemah dalam menuturkan kata-kata yang membawa makna memperlekeh pandangan dan pendapat orang lain. Jauhi sifat terlalu mudah dan ghairah menghukum dan melemparkan kata-kata kasar dan kesat seperti: kafir, syirik, bid’ah, tidak syar’ei, tidak thiqah, bangang, goblok, mangkok hayun dan sebagainya

Sesungguhnya cara berdakwah atau uslub addakwah yang diajarkan oleh al-Quran adalah menyeru dengan hikmah dan nasihat yang baik ialah lebih kepada memujuk bukan mengutuk.

Cara dakwah seperti ini dapat dipelajari dari kisah Nabi Musa dan Harun السلام علیھما ketika diperintahkan berdakwah kepada Fir’aun melalui firman Allah dalam surah Taha ayat 43-44:  “Pergilah kamu berdua kepada fir’aun kerana sesunggunnya dia itu derhaka, maka berdakwahlah kepadanya dengan kata-kata yang lembut semoga dia mendapat peringatan dan merasa takut”.

Mutiara tausiah yang kita dapat kutip dalam perhimpunan yang mulia ini ialah seperti berikut:

1- Umat Islam wajib memelihara hubungan ukhuwwah atau persaudaraan dikalangan kita.

2- Umat Islam mesti mengelakkan diri dari menjana perpecahan dan perbalahan.

3- Umat Islam mesti berusaha sedaya upaya untuk mencapai keredhaan Allah dan melayakkan diri untuk memiliki Syurga yang dijanjikan.

“Wahai orang-orang yang beriman ! hendaklah kamu taat kepada Allah dan taat kepada Rasul serta ulil amri dikalangan mu. Jika kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara maka kembalikanlah kepada Allah dan Rasul sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu adalah lebih utama dan lebih baik akibatnya”. (Surah an-Nisa’ - 59).

Wallahualam.

Hari Kekasih bukan budaya Islam, Perlukah ikut budaya kafir?

Perlukah ikut budaya kafir?

TIDAK kira apa sahaja pembawaan, seakan telah sebati dalam diri segelintir masyarakat di negara ini yang suka terikut-ikut dengan sesuatu budaya mahupun kepercayaan daripada luar.

Apa yang membimbangkan, perkara yang menjadi ikutan itu adalah membabitkan kepercayaan dan akidah. Sedangkan Rasulullah SAW secara jelas melarang umatnya mengikuti kepercayaan selain ajaran Islam, sebagaimana sabda baginda: “Sesiapa meniru suatu kaum, maka ia termasuk daripada kaum tersebut.” - Riwayat At-Tirmidzi.

Memasuki bulan Februari, sambutan Hari Valentine atau Hari Kekasih adalah antara perayaan besar dikaitkan dengan agama lain yang lazim menjadi ikutan sebahagian masyarakat termasuk umat Islam di negara ini.

Islam tidak menetapkan hari tertentu untuk berkasih sayang

ISLAM tidak menghalang untuk berkasih sayang, tetapi perlu mengikut cara yang betul. - Gambar hiasan

Tanpa mengambil kira sejarah Valentine, orang Islam terutama muda-mudi turut terikut-ikut meraikan hari tersebut tanpa memikirkan kesannya terhadap akidah.

Ibnu Qayyim al-Jauziyah berkata: “Sedangkan mengucapkan selamat dalam upacara ritual agama lain telah disepakati adalah haram, apatah lagi memperingati atau menyambutnya sebagai satu perayaan. Bahkan perbuatan itu adalah lebih dimurkai Allah SWT berbanding dosa besar lain kerana cenderung menyekutukan Allah SWT.

Sementara itu, Abu Waqid meriwayatkan, ketika Rasulullah SAW keluar menuju perang Khaibar, baginda melintasi sebuah pokok milik orang musyrik dikenali Dzaatu Anwaath yang biasanya digunakan untuk menggantungkan senjata-senjata mereka di pohon tersebut. Para sahabat Rasulullah SAW berkata, “Wahai Rasulullah, buatkan untuk kami Dzaatu Anwaath, sebagaimana mereka (orang musyrik).” Maka Rasulullah bersabda, “Maha Suci Allah, ini seperti yang diucapkan kaum Nabi Musa, ‘Buatkan untuk kami tuhan sebagaimana mereka mempunyai tuhan-tuhan.’ Demi zat yang jiwaku di tangan-Nya, sungguh kalian akan mengikuti amalan golongan terdahulu daripada kalian.”- Riwayat Tirmizi

UNDANG KESAN BURUK

Terikut-ikut dengan budaya luar hanya mengundang kesan buruk terhadap Islam keseluruhannya. Ini kerana secara tidak langsung menghapuskan nilai-nilai ajaran Islam di samping membuktikan sokongan terhadap kepercayaan agama selain Islam.

Ikutan itu jelas bertentangan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Fatihah yang sering dibacakan di dalam solat bermaksud: “Tunjukkanlah kami jalan yang lurus. (Iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka. Bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.”

Hakikatnya tidak salah untuk mengungkapkan rasa cinta, tetapi perlulah bertepatan dengan syariat Islam dan tidak dikaitkan dengan mana-mana kepercayaan atau budaya luar terutamanya sambutan agama lain.

Sebaliknya nilai kasih sayang digalakkan dalam Islam jika dilakukan dengan cara yang betul seperti daripada suami kepada isteri, anak kepada ibu bapa, sanak saudara dan sahabat tanpa mengkhususkan hari tertentu.

Ini kerana Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan orang beriman yang berkasih sayang, dan saling rahmat merahmati dan di dalam kemesraan sesama mereka adalah seperti satu tubuh, apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasainya dan membantunya dengan berjaga malam dan demam.” - Riwayat Muslim


Hari Kekasih bukan budaya Islam

“SAYANG, free tak malam ni? I nak bawa you keluar. Tempat special untuk celebrate Valentine’s Day. You nak join?,” mesej Kamal kepada Mia.

Sambil tersenyum mesej Kamal terus dibalas, “Eee…bestnya. Tapi datang lewat sikit, tunggu mak dan ayah masuk tidur. I tunggu you. Jangan tak datang!.

Perlu dijauhi kerana boleh meruntuhkan akidah


MAJLIS Fatwa Kebangsaan pada 2005 memutuskan bahawa Hari Kekasih wajib dijauhi umat Islam kerana boleh meruntuhkan akidah. - GAMBAR HIASAN

Hati Mia berbunga-bunga. Tak sabar rasanya menunggu malam tiba. Terbayang di mata Mia, Kamal akan memberinya sejambak bunga ros sebagaimana tahun sebelumnya. Tapi tahun ni mungkin agak special kerana Kamal merancang sesuatu tanpa pengetahuannya.

Tepat seperti dijanjikan, Kamal muncul di depan rumah Mia dan Mia menyusup perlahan-lahan keluar daripada rumah tanpa pengetahuan ibu bapanya. Ternyata malam itu cukup membuatkan Mia gembira. Bermula dengan pemberian sejambak bunga, Mia dihadiahkan dengan rantai emas.

Puas meronda, barulah Kamal membawa Mia ke tempat yang dijanjikan. Sebaik sahaja tiba, Mia dan Kamal disambut dengan meriahnya oleh kawan-kawan Kamal yang sudah sedia dengan pasangan masing-masing. Acara pun bermula. Muzik dipasang. Masing-masing mula merangkul pasangan masing-masing sambil menari mengikut rentak lagu. Mia hanyut dalam pelukan Kamal.

Tiba-tiba pintu kondominium yang disewa diketuk. “Kami pegawai pencegah maksiat,” kata seorang lelaki sambil menunjukkan kad kuasanya. Masing-masing terkedu, semuanya dicekup dan dibawa ke pejabat agama. Di situ bermulalah episod debaran di hati Mia tatkala pegawai bertugas mula menelefon keluarganya untuk datang mengambilnya. “Aduh! Bala apa lagi selepas ini,” bisik hati Mia sambil membayangkan apa yang akan dilakukan oleh ayahnya saat sampai nanti. Muka bengis ayahnya mula membuatkan hatinya kecut.

TIP KAUNSELOR


  • Untuk menguruskan perasaan yang cenderung kepada nafsu, kekuatan dalaman bersifat keagamaan seperti keimanan dan ketakwaan amat diperlukan.

  • Bagi menangkis hasutan perasaan negatif, agama menyarankan beberapa panduan seperti istiqamah dalam amalan kewajipan seharian seperti solat berjemaah, perbanyakkan membaca al-Quran, bergaul dengan rakan yang membawa kepada kebaikan dan menghadiri majlis-majlis ilmu.

  • Pilih kawan yang akan membantu membuat pilihan betul apabila mahu melakukan sesuatu tindakan kerana mereka akan memantau pergerakan yang dilakukan berserta bimbingan dan nasihat.

  • Elakkan daripada bersendirian dalam tempoh masa yang lama kerana ia akan memudahkan fikiran dan perasaan dipengaruhi oleh hawa nafsu yang sentiasa mencari peluang mempengaruhi perasaan dan pemikiran.

  • Sibukkan diri dengan aktiviti kebajikan untuk golongan yang memerlukan seperti membuat kerja amal di rumah kebajikan dan membantu golongan yang kurang kemampuan.

  • Buang fikiran negatif apabila mendapat nasihat daripada orang lain seperti ibu bapa, rakan-rakan atau orang dewasa, sebaliknya anggapnya sebagai kasih sayang mereka kepada kita.

Elak keciciran agihan zakat, Cabaran penghantar bantuan

Cabaran penghantar bantuan

SEKALI pandang, tiada apa yang istimewa untuk dibanggakan bagi mereka ini. Tidak ternama, apatah lagi berpangkat besar dan bergaji lumayan untuk berbakti kepada masyarakat.

Sebaliknya, hanya menjalankan tugas harian membawa lori hijau sarat barangan keperluan makanan untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.


Kehadirannya sentiasa dinanti penerima


HAMPIR keseluruhan hari dihabiskan di dalam lori yang menjadi punca rezeki Huslie dan Rasyidi.

Itulah pekerjaan dilakukan oleh Huslie Hussin, 42, dan Rasyidi Sulaiman, 32, yang bertanggungjawab mengagihkan bantuan diperuntukkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) terus ke hadapan pintu rumah asnaf fakir dan miskin di seluruh daerah Gombak, Selangor.

Mungkin kecil bagi kita, namun kehadiran mereka dengan membawa beras, gula, minyak dan tepung gandum itu sentiasa dinanti-nantikan dan dianggap besar nilainya bagi golongan yang tidak berkemampuan.

Keperluan yang dihantar oleh mereka menjadi ‘talian hayat’ tempat pergantungan golongan asnaf untuk menyara kehidupan harian diri dan keluarga disebabkan kesempitan hidup.



SEBANYAK 1,009 bungkus barang bantuan perlu disiapkan oleh Huslie dan Rasyidi dalam tempoh empat hari.

Bagi Huslie, meredah kesesakan lalu lintas ibu kota dan hujan lebat di pertengahan jalan sudah menjadi rutin, malah sakit dan demam juga sering tidak diendahkan demi memastikan sasaran penghantaran yang dijadualkan pada setiap hari itu berjalan lancar.

Tugasan itu ialah mengagihkan kepada 1,009 penerima bantuan makanan LZS di daerah itu, iaitu dengan purata 65 penghantaran rumah pada setiap hari.

Walaupun mengakui agak letih pada awalnya, namun bapa kepada tiga orang anak itu berkata, peluang bertemu dan membantu saudara seagama yang memerlukan memberikan kepuasan yang tidak dapat digambarkan buat dirinya. Hanya Allah sahaja yang mengetahui.

“Melihat senyuman mereka ketika menerima barang, malah ada yang mengangkat tangan sambil berdoa mengucapkan kesyukuran cukup membakar semangat kami untuk berkhidmat dan memberikan yang terbaik.



HUSLIE Hussin (kiri) dan Rasyidi Sulaiman (kanan) perlu menyelesaikan penghantaran kepada penerima dalam tempoh yang ditetapkan.

“Siapalah saya untuk membantu orang lain, tetapi dengan kerja yang saya lakukan ini memberi peluang kepada saya untuk membantu orang yang benar-benar memerlukan. Hanya bermula daripada menghantar bantuan, keakraban yang terjalin bersama penerima seakan satu keluarga.

“Inilah sebabnya saya memilih meneruskan tugasan ini walaupun sedar terpaksa melakukan pengorbanan terutamanya dari aspek masa dan tenaga,” katanya yang merupakan pemandu lori MAIS Zakat Sdn. Bhd. (MZSB).

Huslie merupakan seorang daripada petugas agihan program pintu ke pintu yang diperkenalkan LZS untuk mengedarkan bantuan makanan bulanan secara terus kepada asnaf yang layak di kesemua lapan daerah di seluruh negeri Selangor.

Berkongsi pengalaman yang dilalui, anak jati negeri Sabah itu tidak menafikan terpaksa melaalui pelbagai cabaran semasa penghantaran bagi memastikan barang bantuan sampai ke tangan penerima dalam keadaan baik.

“Kadang kala lori tidak dapat masuk ke kerana laluan sempit atau jalan berliku menyukarkan lagi proses penghantaran. Tiada cara lain boleh dilakukan selain masuk berjalan kaki, malah kami juga pernah memanjat tangga hingga 10 tingkat sambil memikul beras kerana lif rosak.

“Jika difikirkan kemampuan, memang agak berat, tetapi bagi saya tugas ini bukan sekadar kerja untuk mengejar pendapatan di dunia semata-mata, tetapi lebih penting dijanjikan ganjaran daripada Allah SWT di akhirat,” katanya yang telah memasuki tahun keempat mencari rezeki bersama LZS.


BERAS adalah keperluan yang diagihkan dalam bantuan Door to Door.

SUNTIK KEINSAFAN

Sementara itu, bagi Rasyidi, berbeza dengan pekerjaan dilakukan sebelum ini, bertugas sebagai penolong agihan dalam program itu memberikan nilai dan pengajaran tersendiri buatnya.

Beliau berkata, walaupun memperoleh pendapatan tidak seberapa, namun menyaksikan sendiri keadaan dan keperitan hidup yang dialami penerima daripada pelbagai latar belakang menguatkan semangat untuk melakukan tugas sebagai penghantar bantuan tersebut.

Perkara itu juga tambahnya, menjadi faktor yang menyuntik motivasi untuk terus melakukan pekerjaan tersebut dalam keadaan termampu dengan sebaik mungkin.

“Jika dibandingkan dengan kerja yang saya lakukan sebelum ini, lebih memberi pendapatan lumayan, di samping tidak perlu melakukan tugas berat atau menggunakan banyak tenaga seperti pekerjaan ini.

“Tetapi, apabila saya melihat sendiri kehidupan asnaf dalam pelbagai keadaan setiap hari, mengajar erti syukur dan secara tidak langsung menanamkan lagi perasaan ingin membantu mengikut kemampuan tersendiri.

“Ia juga mengajar saya, betapa susah hidup kita, hakikatnya ada lagi orang yang menerima nasib lebih teruk, susah dan perit berbanding kita,” katanya.

Malah ujarnya, berkhidmat menerusi program itu juga berjaya merubah cara hidupnya yang sebelum ini bersifat tiada batasan dan mementingkan kebebasan sehingga mengabaikan perintah ajaran Islam.

“Bukan kata ibadah sunat, perkara wajib seperti solat, zakat dan perintah lain tidak berapa saya ambil berat. Jika ada masa buat, jika terlupa atau sibuk tinggal begitu sahaja.

“Selain itu, saya juga sering mengikuti rakan-rakan kumpulan motosikal melakukan aktiviti haram termasuk berlumba dan perbuatan melanggar undang-undang lain.

“Namun syukur, di sini saya dan kakitangan lain sering diarahkan untuk menghadiri kursus dan bengkel pemantapan akhlak dan jati diri yang dapat membangunkan diri sebagai seorang pekerja dalam masa sama menjadi Muslim yang beriman,” jelasnya.




ANTARA barangan keperluan yang diagihkan dalam bantuan Door to Door.

DAKI 17 TINGKAT ANGKAT BERAS

Terpaksa memikul beras puluhan kilogram dengan menaiki tangga setinggi 17 tingkat merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh anak kelahiran Gombak, Selangor itu sepanjang berkhidmat bersama LZS.

Katanya, selepas tiada cara lain boleh dilakukan untuk memberi bantuan makanan kepada penerima apabila lif pada pangsapuri 18 tingkat itu tidak berfungsi dan dalam proses penyelenggaraan.

“Bantuan perlu diserahkan kepada penerima kerana ini merupakan harapan mereka. Lebih-lebih lagi bagi yang uzur dan tidak mempunyai kemudahan untuk mengambil bantuan.

“Biasanya jika berlaku keadaan seperti itu, kita akan menghubungi penerima untuk mengambil sendiri di lokasi tertentu atau memberikan kepada mereka yang benar-benar dipercayai dengan persetujuan penerima.

“Malangnya, kedua-dua pilihan itu tidak berjaya dan akhirnya kami terpaksa mendaki tangga setinggi 17 tingkat untuk memberikan keperluan tersebut,” katanya.

Elak keciciran agihan zakat

MENJEJAKI dan mengetuk pintu sebanyak 13,354 rumah bagi mengagihkan bantuan secara terus ke tangan penerima di seluruh negeri Selangor bukannya tugas yang mudah.

Ditambah dengan kekangan tenaga kerja dan peruntukan masa yang terhad membataskan serta menyukarkan lagi proses agihan untuk disampaikan kepada penerima pada setiap bulan.


‘Door to door’ pastikan agihan selamat sampai

ABDUL Basith Hamid (kiri) sambil diperhatikan Muhammed Edeneen Firdaus Mazli (dua dari kiri) membantu petugas penghantaran ketika melawat stor penyimpanan bekalan makanan Door to Door, di Gombak, Selangor, baru-baru ini.

Namun, itulah cabaran yang diambil oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) apabila memperkenalkan program ‘Door to Door’ bagi memastikan agihan bantuan bulanan berupa keperluan makanan asasi sampai terus kepada penerima dalam tempoh yang ditetapkan.

Pengurus Besar Pejabat Agihan LZS, Abdul Basith Hamid berkata, program itu mengambil kira kesukaran yang dilalui oleh penerima untuk mengambil bantuan disebabkan pelbagai kekangan dihadapi penerima seperti kurang upaya, tidak berkemampuan serta tidak mempunyai kenderaan.

Beliau berkata, inisiatif terbaharu LZS itu berjaya mengurangkan tahap keciciran dan penyelewengan agihan bantuan yang diterima oleh penerima bantuan zakat sejak diperkenalkan.

“Secara tidak langsung, menerusi program ini membantu menyelesaikan masalah dan beban dihadapi penerima untuk memikirkan cara bagi mengambil bantuan tersebut pada setiap bulan yang akhirnya menjadi punca keciciran atau tidak dituntut.

“Malah, terdapat juga segelintir individu yang cuba menyembunyikan status terkini untuk menuntut bantuan zakat sedangkan tidak lagi layak memperoleh zakat



BARANGAN yang ingin diagihkan akan dikelaskan mengikut keperluan penerima.

“Oleh itu, dengan kaedah penghantaran bantuan terus ke rumah ini, membolehkan pusat zakat memastikan sumbangan itu sampai terus kepada penerima di samping mengemas kini perkembangan mereka,” katanya ketika ditemui di stor penyimpanan barangan Door to Door di Gombak, Selangor baru-baru ini.

Sebanyak sembilan stor penyimpanan yang ditempatkan di sembilan daerah di seluruh Selangor bagi mengagihkan bantuan keperluan makanan kepada asnaf.

Tambah Abdul Basith, langkah itu merupakan amalan yang dilakukan oleh Khalifah Islam kedua selepas Rasulullah SAW, Saidina Umar Al-Khattab yang menggalakkan zakat perlu dihantar kepada asnaf supaya bantuan itu sampai terus kepada mereka.

Beliau berkata, kaedah itu merupakan antara inisiatif yang diambil LZS bagi memudahkan proses agihan kepada penerima zakat mengikut kesesuaian dan keadaan menerima.

“Terdapat seramai 43,000 keluarga asnaf dikategorikan sebagai fakir miskin yang berdaftar dengan LZS di Selangor. Selain menerusi Door to Door, LZS turut memperkenalkan skim e-Taisir yang membolehkan penerima membeli barangan keperluan menggunakan kad debit di pasar raya terpilih.

“Skim ini lebih menumpukan kepada penerima yang sibuk dan tidak berada di rumah pada waktu siang bagi mendapatkan keperluan bulanan masing-masing dengan lebih mudah dan berkesan.



PENGHANTARAN secara terus dapat mengurangkan keciciran bantuan disamping mengelakkan penyelewengan.

“Kaedah bantuan ini diberikan mengikut keadaan dan kesesuaian penerima di samping mengikut keperluan penerima tersebut,” jelasnya.

Kekurangan dan kesempitan yang dilalui sering menjadi dilema bagi segelintir golongan kurang bernasib baik untuk berhadapan dengan masyarakat. Ini kerana timbul perasaan rendah diri yang membuatkan mereka beranggapan tidak setaraf dengan masyarakat lain.

Eksekutif Agihan Makanan Daerah Gombak, Muhammad Edeneen Firdaus Mazli berkata, kunjungan petugas Door to Door secara tidak langsung menunjukkan keprihatinan LZS dalam menyantuni asnaf tanpa mengira latar belakang dan keadaan mereka.

Usaha itu juga tambahnya, membuktikan masih ramai masyarakat yang mengambil perhatian terhadap keadaan golongan kurang berkemampuan yang merasakan diri mereka sering tersisih.

“Selain mengagihkan bantuan, kita juga selalu menasihatkan kepada petugas penghantaran untuk menyantuni dan menunjukkan nilai-nilai kasih sayang terhadap penerima dengan menganggap mereka itu sebahagian daripada keluarga sendiri.

“Dengan sentiasa bertanya khabar, mengambil maklumat terkini penerima apabila bertemu, ia akan membuatkan mereka berasa dihargai dan juga mendapat tempat dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau turut tidak menafikan, dengan kuantiti tenaga kerja yang terhad membataskan institusi zakat untuk mengesan semua umat Islam yang layak memperoleh bantuan zakat terutamanya di kawasan pedalaman.

Tambah Edeneen, program Door to Door merupakan antara saluran maklumat LZS untuk mengesan lebih ramai asnaf di negeri Selangor.

“Mustahil dengan jumlah petugas LZS ini kita dapat menjejaki semua asnaf di negeri ini. Penghantar bantuan inilah yang menjadi sebahagian daripada ‘mata-mata’ LZS untuk mengesan umat Islam yang memerlukan di sesuatu kawasan tersebut.

“Dalam masa sama, ia juga bagi mengelakkan salah faham masyarakat yang mendakwa pusat zakat tidak menyalurkan bantuan atau tidak buat kerja sedangkan kita tidak menerima sebarang laporan mengenai individu tersebut,” ujarnya.

Tolak-ansur, pengorbanan elak konflik berpanjangan , Hentikan debat yang tidak bawa manfaat

Hentikan debat yang tidak bawa manfaat

TIDAK dapat dinafikan per­se­li­sihan dan perbezaan pendapat mengenai pemahaman keagamaan telah mengakibatkan munculnya puak-puak dan konflik sosio agama dalam masyarakat Islam.

Justeru, pada pandangan penulis perdebatan antara Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd. Asri Zainal Abidin dan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin seharusnya tidak diadakan demi kesejahteraan umat Islam di negara ini.




Cetakan skrin menunjukkan komen orang ramai yang disiarkan dalam salah satu portal berita tempatan yang mengandungi bahasa kesat dan biadab berhubung isu perbezaan pendapat Mohd. Asri Zainul Abidin dan Zamihan Mat Zin.

Ini adalah untuk mengelak timbulnya fitnah dan mudarat kepada orang awam khususnya.

Sebab, akhirnya nanti ia akan menjadi tidak terkawal, sehingga mudah saja seseorang memberikan pendapat dalam masalah keagamaan tanpa sokongan disiplin ilmu agama sebagai prasyarat dalam berijtihad.

Keadaan ini juga menyebabkan perbalahan yang berpanjangan antara kelompok tertentu yang sememangnya berbeza pemahaman keagamaan.

Hakikatnya, majoriti penduduk Islam di negara ini telah menjadi saksi kemunculan puak Islam yang mengisytiharkan diri mereka sebagai Wahabi, IS, ajaran Azhar, Hizbut Tahrir, Mazhab Shafie tulen, Syiah, dan Ahmadiah yang masing berbeza dari segi pemahaman agama.

Ini adalah suatu tindakan yang boleh mengharu-birukan pemikiran masyarakat umum di Malaysia. Sepatutnya isu yang hendak didebatkan tersebut diselesaikan berasaskan kepada hubungan silaturahim antara kedua mereka.

Janganlah perkara-perkara ran­ting yang sekadar melibatkan sikap dan pandangan peribadi atau kelompok tertentu dalam hal-hal keagamaan dijadikan isu yang melibatkan masyarakat umum sampai boleh memecahkan perpaduan umat islam dalam negara ini.

Ini menambah lagi masalah besar kepada negara sedangkan hakikatnya kita sedang berhadapan masalah yang lebih besar dan utama seperti soal perpaduan, pengukuhan politik Melayu-Islam dan kemunduran ekonomi umat Islam.

Dalam masa sama, negara juga berdepan situasi jenayah yang kian hari membimbangkan. Penyalahgunaan dadah, penculikan, gengsterisme, kongsi gelap, pelacuran, rogol dan bunuh menjadi suatu yang semakin menghimpit keamanan negara. Permasalahan ini juga memerlukan kekuatan benar-benar ampuh dan telus untuk menghadapinya.

Kita lupa dan terus berpolemik di sekitar perdebatan yang tidak bertepi seperti membicarakan isu klasik sekitar masalah khilafiah yang ternyata dari segi sejarah telah menyebabkan berlaku perpecahan ummah.

Demikian juga rosaknya peradaban golongan ahli kitab adalah kerana perselisihan dan perpecahan. Kita tidak harus terpedaya dengan perangkap musuh Islam yang ingin melihat umat Islam terus berpecah-belah kerana masalah furuiyah (masalah ranting) dan oleh sebab itu pula mengabaikan masalah kulliyah (masalah pokok) yang sepatutnya diberi keutamaan oleh umat Islam.

Sejarah Islam telah mencatatkan satu daripada punca kemunduran peradaban Islam kerana kelekaan berpolemik tentang masalah furuiyah ini.

Perselisihan (al-Ikhtilaf) termasuk perbuatan yang harus dihindari umat Islam. Sebenarnya tidak perlu diungkapkan data sejarah tentang apa yang muncul pada umat manusia, khususnya golongan Muslim akibat daripada perselisihan dan perbezaan itu.

Perselisihan dan perbezaan pendapat lebih banyak membawa kesan negatif daripada positifnya. Apa pun jenis perbezaan dan perselisihan itu tidak baik dan akan menyebabkan terhakis serta hilangnya keupayaan intelektual seseorang.

Ikhtilaf adalah satu anugerah dan rahmat tetapi kini ia berubah menjadi bencana yang besar, sebagaimana terjadi pada kaum ahli Kitab. Kehancuran sesuatu umat dan bangsa kerana hilangnya etika ikhtilaf.

Pada ketika terjadinya ikhtilaf, golongan sahabat sering menggunakan pendekatan takwa bukan emosi. Anehnya, mereka yang terlibat dengan polemik ini bukan orang awam tetapi dalam kalangan intelektual yang menduduki tampuk kepimpinan umat.

Berbeza pendapat dalam masalah agama bukanlah ruang atau ladang luas yang diperkenankan untuk semua orang. Perbezaan hendaklah diberikan kepada orang yang mempunyai kebolehan dalam ilmu agama.

Perbezaan pendapat antara ahli mujtahid tidak harus terbawa-bawa kepada orang awam atau dimanfaatkan oleh mereka yang ada kepentingan politik.

Jika sedemikian, perbezaan pendapat sampai kepada orang awam atau maka yang akan muncul adalah perpecahan dan permusuhan.

Ibnu Khaldun berkata: Pada mulanya perselisihan antara golongan Islam hanya bidang ilmiah, dan perbezaan tidak lebih dari satu pendapat mengkritik pendapat yang lain, dan urusan mereka berjalan seperti itu.

Tetapi hal itu berubah ketika arus perpecahan meluas dan perbezaan menyentuh masyarakat kerana faktor politik yang menghendaki agar umat tidak berada pada satu pendapat. Ia juga menjadi propaganda untuk merenggangkan hubungan persaudaraan yang telah diikat dengan tali agama seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu”. (Surah Al-Hujurat: 10)

Jalan yang lebih utama adalah bagaimana untuk menjaga akidah umat Islam dan menyatukan mereka bagi menghadapi penyelewengan akidah seperti aliran-aliran fikiran bebas serta gejala kemungkaran yang bermaharajalela dalam kehidupan harian kita.

Inilah yang perlu ditangani bersama terlebih dahulu daripada perkara yang remeh-temeh.


Tolak-ansur, pengorbanan elak konflik berpanjangan

Konflik adalah perkara lumrah akibat perbezaan nilai, kehendak, pendirian dan perasaan dalam usaha memenuhi keperluan serta matlamat.

Apatah lagi jika soal pentadbiran dan pengurusan dalam sesebuah organisasi. Perselisihan faham tidak dapat dielakkan kerana setiap orang mempunyai pandangan berbeza dalam menilai sesuatu perkara.

Jika membabitkan perkara berkaitan agama, istilah perselisihan pendapat ini disebut sebagai al-Khilaf.

Tanggapan negatif jejas hubungan

Seseorang akan cenderung mentafsir tingkah laku orang lain dan ia menyebabkan wujud banyak tanggapan negatif sehingga menjejaskan perhubungan. Oleh itu, kita harus mengutamakan organisasi yang mendominasi keputusan pendapat atau pendirian diri sendiri.


Percanggahan pendapat dan pegangan yang ketara akan menyukarkan proses membuat keputusan, selain menambahkan konflik sedia ada.

Perbezaan berlaku apabila setiap individu mempunyai perspektif berbeza mengenai peranan masing-masing.

Penyelesaian konflik perlu bermula dengan tindakan, perasaan dan kesanggupan untuk berubah.

Antara tujuan syariat Islam adalah berusaha mempersatukan persepsi umat dan mencegah terjadinya perselisihan yang tercela.

Namun, berselisih pendapat adalah fitrah dan realiti yang tidak mudah dihalang. Oleh itu, perselisihan seharusnya diterima dalam konteks perlu ada usaha menyelesaikan perkara itu mengikut adat dan peraturan dibenarkan.

Dalam mengendalikan sesuatu konflik, semua pihak yang terbabit perlu mencari satu titik persamaan iaitu tujuan dan matlamat yang dapat dikongsi bersama.

Tolak-ansur dan pengorbanan perlu dalam mencapai kata sepakat, bermesyuarat adalah jalan terbaik.

Konsep bermesyuarat cara Islam

Konsep bermesyuarat meliputi proses perbincangan dan perundingan adalah budaya pengurusan cara Islam.

Syura atau musyawarah ada dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (bagi) orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan mesyuarat antara mereka; dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada mereka." (Surah asy-Syura, ayat 38)

Mengambil masa terlalu lama untuk menyelesaikannya perbezaan atau perselisihan dibimbangi akan merebak seperti api membakar hutan. Kelemahan membuat keputusan akan menambahkan lagi masalah sedia ada.

Menyelesaikan perselisihan pandangan tidak mudah, pihak yang menang sudah tentu akan rasa puas manakala yang kalah tetap menyimpan perasaan untuk mencari kemenangan jika ada ruang.

Penyelesaian terbaik ialah umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak rosak.

Sebarang perselisihan yang berlaku jangan dibiarkan berpanjangan tanpa penyelesaian kerana ia akan membawa kepada perpecahan dan pertelingkahan tidak terkawal.

Khutbah Jumaat ~ Jihad Mencegah Kemungkaran

Petikan Khutbah Jumaat  12 Februari 2016M/ 3 Jamadilawwal 1437H JAWI

~ Jihad Mencegah Kemungkaran

Telah menjadi sunnatullah, setiap sesuatu itu ada lawannya. Pertembungan antara kebaikan dan kejahatan, ma’ruf dan munkar telah berlaku sejak awal manusia diciptakan. Munkar secara umumnya adalah melibatkan semua perkara yang diingkari, dilarang, dan dicela pelakunya oleh syariat, juga termasuk di dalamnya semua bentuk maksiat, bid’ah dan kezaliman yang kemuncaknya adalah syirik kepada Allah SWT.

Kesannya sangat besar dalam kehidupan masyarakat sehingga ia diperingatkan oleh Allah SWT kepada kita umat akhir zaman. Marilah kita hayati firman Allah SWT yang dibacakan pada permulaan khutbah sebentar tadi, iaitu ayat 78 dan 79, surah al-Maidah: Bermaksud: “Orang-orang kafir dari Bani Israil telah dilaknat menerusi lisan (Nabi) Daud dan (Nabi) Isa bin Maryam. Yang demikian itu, disebabkan mereka menderhaka dan melampaui batas. Mereka satu sama lain tidak melarang tindakan mungkar (derhaka dan ceroboh) yang mereka buat.  Sesungguhnya amat buruk apa yang telah mereka lakukan.”

Menurut al-Maraghi, Allah SWT melaknat Bani Israil yang kufur terhadap kitab Zabur dan Injil. Mereka dilaknat lantaran sikap terus menerus mengerjakan perbuatan dosa dan mengingkari perintah agama.

Nahi mungkar adalah merupakan langkah untuk mempertahankan kesucian agama dan memelihara akhlak yang luhur daripada dipengaruhi unsur yang negatif.

Firman Allah SWT menerusi surah al-Anfal, ayat 25:  Bermaksud: “Dan peliharalah diri kamu daripada fitnah (siksaan) yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim dalam kalangan kamu. Ketahuilah bahawa Allah sangat dahsyat balasan siksa-Nya.”

Bani Israil telah diperintahkan oleh Allah SWT agar menjadikan hari Sabtu sebagai hari khusus untuk beribadat kepada Allah SWT. Pada hari tersebut, Allah SWT mengharamkan mereka melakukan perkara-perkara lain termasuklah menangkap ikan dan memakannya.

Akhirnya, Allah SWT mendatangkan balasan kepada mereka dengan menjadikan mereka sebagai kera. Kisah ini dirakamkan menerusi firman Allah SWT, surah Al-Baqarah, ayat 65:  Bermaksud: “Dan sesungguhnya telah kamu ketahui (perihal) orang-orang yang melanggar (perintah) dalam kalangan kamu pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: Jadilah kamu kera yang hina.”

Mimbar mengambil kesempatan untuk mengajak sidang jemaah sekalian supaya beristiqamah untuk menegakkan amar ma’ruf nahi munkar demi memastikan umat Islam di negara ini sentiasa terpelihara dari kemurkaan Allah SWT.

Kesimpulan sebagai renungan dan bekalan kita bersama.

Pertama: Masyarakat yang tidak mencegah kemungkaran yang berlaku di sekelilingnya akan mendapat laknat dan celaan daripada Allah.

Kedua: Ancaman azab dan seksa Allah SWT turut sama melibatkan golongan yang tidak mencegah kemungkaran.

Ketiga: Usaha membasmi kemungkaran bermula dengan peribadi setiap individu, keluarga, seterusnya masyarakat.

Firman Allah SWT dalam surah al-Nur, ayat 21: Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Sesiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji dan yang mungkar. Sekiranya tidak kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorangpun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Wallahualam.