February 13th, 2016

Hari Kekasih berunsur Kristian

KASIH SAYANG adalah antara anugerah Allah kepada sekalian makhluk di muka bumi ini. Dengan adanya perasaan tersebut, maka berputiklah rasa cinta di antara Nabi Adam dan Hawa. Seterusnya berkembang biaklah umat manusia dari dulu hinggalah sekarang.

Perasaan cinta adalah fitrah. Waima haiwan pun memilikinya. Sebab itu, jangan kita cuba mengusik anak-anak mereka melainkan kita bersedia menghadapi ibunya yang akan mempertahankan anak-anaknya daripada ‘ancaman’.

Bezanya, cinta manusia diikat dengan ijab dan kabul iaitu pernikahan sebelum hubungan kelamin dihalalkan kepada suami isteri. Ini bagi menjamin zuriat keturunan umat Islam terpelihara daripada terlibat perzinaan atau seks sebelum nikah yang akan melahirkan anak tidak sah taraf.

Antara ruang yang boleh menjerumuskan pasangan kekasih dalam maksiat yang berakhir dengan penzinaan adalah pergaulan bebas. Dalam istilah yang popular adalah menyambut Hari Kekasih (Valentine’s Day) pada tanggal 14 Februari.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 pada 22-24 November 2005 memutuskan amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia termasuk dalam kaum tersebut.” (Riwayat Abu Daud)

Di dalam Islam tidak ada hari tertentu bagi meraikan kekasih atau kasih sayang. Islam sangat menitikberatkan soal kasih sayang dan setiap hari di dalam Islam adalah hari kasih sayang. Cuma kasih sayang yang diajar oleh Islam akan membawa umat atau individu kepada syurga Allah, bukannya neraka.

Sebab itu, seorang suami dan ayah yang sayangkan isteri serta anak-anaknya akan berusaha menyelamatkan mereka daripada api neraka. Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu...” (al-Tahrim: 6). Caranya adalah mentaati perintah Allah dan meninggalkan larang­an-Nya.

Kepada para gadis, jika teman lelaki anda sudah menunjukkan bibit-bibit ke arah maksiat dan neraka, bertindaklah. Jangan tunggu lagi. Sebaiknya angkat kaki dan carilah calon suami lain. Panduan mencari jodoh sudah disebut oleh Nabi Muhammad SAW menerusi sabdanya yang bermaksud: “Wanita itu dinikahi kerana empat faktor. Kerana hartanya, nasabnya, kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah wanita yang mempunyai agama, engkau akan beruntung.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Wanita juga perlu memilih lelaki yang soleh sebagai calon suami. Sebabnya lelaki ialah pemimpin rumah tangga. Beliau nakhoda yang memainkan peranan penting untuk memastikan bahtera yang membawa isteri dan anak-anak selamat dan bahagia. Selamat itu bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat.

Sebagai orang Islam, janganlah mudah terpengaruh de­ngan dakyah golongan musuh Islam yang menampakkan bahawa Hari Kekasih itu sebagai trend masa kini yang mesti disambut oleh pasangan kekasih.

Lelaki yang beriman sudah tentu akan memastikan bahawa bakal isterinya juga seorang yang memelihara tingkah laku dan akhlak daripada sebarang perlakuan maksiat. Apabila ini berlaku, baharulah mudah untuk kita melahirkan keluarga yang bahagia dan disulami dengan anak-anak yang soleh dan solehah. Seterusnya merealisasikan slogan baiti jannati (rumahku syurgaku). - Mohd Radzi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana 12 Februari 2016 6:25 PM

Pengukuhan tauhid dan pendidikan

PENGUKUHAN asas tauhid amat memainkan peranan yang penting dalam membentuk akhlak Muslim. Pendekatan Islam dalam amalan dan pendidikan akhlak amat menekankan penanam­an akidah atau rohani yang mantap. Manusia ibarat sepohon pokok dengan akarnya akidah, batangnya adalah kefarduan dan daun-daunnya pula adalah amalan sunat, maka buah atau bunganya ialah yang dikatakan akhlak.

Oleh itu, membentuk jati diri manusia yang berakhlak dalam Islam bermaksud orang yang menyempurnakan agama Islam itu sendiri. Ini kerana akhlak melambangkan keindahan Islam itu sendiri.

Perilaku akhlak dapat mengukur betapa kuat dan lemahnya iman seseorang. Iman yang kuat akan menunjukkan akhlak yang mulia manakala iman yang lemah akan melahirkan akhlak yang buruk dan keji. Secara tidak langsung hubung­an ini amat berkait rapat dan mempengaruhi corak kehidupan seha­rian yang mampu membina persepsi atau paradigma yang le­bih jelas tentang makna kehidupan yang sebenar.

Pertimbangan nilai ini selari dengan kehendak pendidikan yang adalah proses membentuk diri seseorang manusia untuk menjadi seorang yang berpekerti mulia dan berkualiti serta menghambakan diri kepada Allah. Matlamat pendidikan dalam Islam dikaitkan dengan konsep keperibadian secara total dan gagasan pengabdian total kepada Allah SWT.

Ini bermakna peribadi seseorang individu Muslim mempunyai perkaitan secara langsung dengan konsep tauhid kepada Allah SWT. Apabila ia bergerak seiring dan dipupuk dengan baik, maka ia akan melorongkan manusia kembali kepada jalan kebenaran dan mencari kebaikan. Apatah lagi neraca ilmu dan timbangan hati menjadikan akhlak sebagai dukungan dan ia menjadi penting kerana meletakkan manusia dalam fitrah.

Ini bermakna penerapan nilai akhlak bermula daripada tauhid untuk melahirkan insan yang soleh dan berakhlak mulia. Oleh itu, kekuatan akidah mestilah diutamakan dan ia adalah tunjang utama dalam proses membentuk akhlak Muslim yang berpaksikan tauhid kepada Allah SWT. Akhlak mempunyai hubungan dengan akidah melalui proses pendidikan malahan boleh diibaratkan akidah sebagai kekuatan dalaman dan akhlak sebagai kecantikan luaran.

Setiap individu Muslim mestilah memelihara keindahan akhlaknya kerana ia akan menggambarkan perangai atau tingkah laku individu sama ada baik ataupun buruk. Tambahan pula, setiap perilaku atau perbuatan kita akan dinilai oleh Allah SWT yang akan melorongkan kehidupan abadi kita di akhirat sama ada di syurga atau sebaliknya.

Perincian ini adalah antara sisi pandang penulis dalam menghubungkan antara pengukuhan akidah dan keindahan akhlak Muslim yang mulia berteraskan pendidikan dalam Islam.

Justeru, fokus perbincangan penulis di sini adalah bagaimana peranan guru, ibu bapa, pegawai agama, orang dewasa dalam membantu dan mendorong pelajar, remaja, anak-anak dan masyarakat Islam untuk memiliki akhlak yang mulia. Selari dengan matlamat persekolahan iaitu mencorak dan membentuk sumber manusia yang berpotensi menjana pembangunan negara.

Dalam konteks pendidikan, proses pembentukan akhlak dapat diperkembangkan melalui proses pendidikan yang berterusan sehingga melahirkan insan yang mengamalkan sifat-sifat mahmudah. Pendidikan adalah penting untuk membangunkan potensi manusia dan seterusnya menghasilkan mo­dal insan yang memenuhi ciri-ciri Islam dan meningkatkan peradaban ummah. Tanggungjawab semua pihak amat penting untuk membentuk akhlak Muslim dan ini memerlukan kesedaran, pengetahuan dan kefahaman tentang konsep tauhid dalam pendidikan.

Pengajaran hendaklah berlaku secara berperingkat, bertahap dan pengulangan. Secara asasnya, pengajaran mesti disusun secara bertahap mengikut langkah demi langkah, dimulai dengan mengajar persoalan pokok diikuti dengan isi-isi kecil. Keterangannya harus diberikan secara umum dahulu kemudian diikuti secara terperinci.

Fokus pertama dalam memberikan pengetahuan kepada murid, guru hendaklah memahami dan memperhatikan kemampuan akal murid-murid. Tahap ini juga dinamakan tahap permulaan. Pada tahap ini ilmu diberikan secara sederhana. Murid diajarkan masalah-masalah yang dianggap utama bagi tiap-tiap bab manakala pada tahap kedua, setelah masalah-masalah yang umum dari pengetahuan tadi dibentangkan kepada murid, sete­rusnya guru membahaskan secara lebih dalam dan terperinci.

Pelajaran lebih ditingkatkan daripada tahap pertama. Huraian diperluas dan diperincikan sedang perbezaan pendapat mulai disentuh. Pada langkah terakhir, guru menyam­paikan pengetahuan kepada murid secara lebih terperinci dan menyeluruh dalam usaha membahas semua persoalan agar murid memperoleh kefahaman yang sempurna. Pada akhirnya murid menamatkan ilmu tersebut dengan mempelajari perkara asas hingga kepada perkara yang terperinci.

Tegasnya, guru hendaklah membantu murid mengulangi ilmu tersebut dan dengan memberi ulasan dan penjelasan secara menyeluruh. Pada peringkat ini, guru sudah boleh membahaskan ilmu secara terbuka kepada murid dan membuat perbincangan secara berasas.

Apa sahaja permasalahan yang ditimbulkan pada peringkat awal pengajaran bolehlah diperjelaskan pada peringkat ini manakala pada peringkat menyeluruh pula, guru dikehendaki untuk mengulangi isi pelajaran sebanyak tiga kali. Melalui proses pengulangan ini, dari permulaan pelajaran sehinggalah keseluruhannya, maka murid akan dapat memahami ilmu tersebut secara keseluruhan dan dalam masa yang sama dapat mendidik murid secara tidak langsung untuk menghayati ajaran Islam.

Pendidikan berdasarkan kepada kaedah al-Quran, adalah saranan dari Allah SWT sendiri yang menekankan tentang pentingnya pendi­dikan di mana segala potensi sedia ada dalam diri murid dapat dikembangkan dan dibangunkan dengan maksimum secara sedikit demi sedikit (tadarruj).

Pendekatan dan kaedah Qur’ani menjelaskan bahawa pengajaran dan pembelajaran yang berkesan adalah pengajaran yang menggunakan pendekatan, kaedah dan teknik secara bertahap-tahap (tadrij), beransur-ansur atau sedikit demi di samping itu mengambil kira tahap kemampuan murid.

Hasil pendidikan dan pengajar­an yang berkesan akan melahirkan generasi pelajar yang dapat mening­katkan pemahaman, pembahasan, kemampuan berdiskusi, pengamal­an dan penghayatan. Kecintaan kepada ilmu dapat dipupuk untuk dihayati dalam kalangan pelajar hasil usaha pendidikan yang dapat memecahkan masalah kebuntuan ilmu sebagai persediaan menjadi hamba Allah yang soleh dan muslih. - Mohd Aderi Che Noh Utusan Malaysia Rencan Agama 12 Februari 2016 6:20 PM

Mudahkan urusan perkahwinan

SEGALA puji bagi ALLAH SWT berfirman: "Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, Dia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi petunjuk-petunjuk bagi orang-orang yang berfikir." (Surah Al-Rom: 21)

Ketahuilah terdapat banyak maslahat di sebalik perkahwinan. Antaranya memelihara pasangan suami isteri ke kancah perzinaan. Melalui perkahwinan zuriat diperoleh bagi menambah bilangan umat dan memperkuatkannya.

Perkahwinan dapat mewujudkan kerjasama antara lelaki dan perempuan dalam hal-hal yang melibatkan kehidupan seharian. Wanita akan memperoleh melalui suami selaku penjaga nafkah hidupnya dan pengurusan hal-hal yang tidak mampu dilakukannya sendiri selaku wanita yang bersifat lemah. Lelaki pula akan memperoleh melalui isteri apa yang diperlukannya di rumah dan apa yang melibatkan penjagaan anak-anak.

TUJUAN PERKAHWINAN

Secara amnya, perkahwinan bukan bertujuan untuk memuaskan nafsu syahwat semata-mata. Matlamatnya lebih agung daripada itu. Ia adalah ikatan cinta, kasih sayang dan ketenangan jiwa. Di samping penyatuan antara dua hati bagi membina sebuah keluarga. Bahkan untuk membina sebuah masyarakat dan umat. Tujuan dan matlamat yang sangat mulia.

Berdasarkan matlamat-matlamat ini, syariat Islam menganjurkan perkahwinan dengan menggalakkan supaya dimudahkan jalannya dan menegah segala yang boleh merumitkannya. Cuma manusia dengan sikap buruk mereka ditambah dengan hasutan syaitan jin dan manusia telah meletakkan pelbagai rintangan dan halangan. Sehinggakan pada hari ini, perkahwinan menjadi antara perkara yang paling rumit untuk dilaksanakan.

MENYUSAHKAN PERKAHWINAN

Pertama: Menghalang wanita berkahwin walaupun dengan lelaki yang sekufu dengannya. Apabila seorang lelaki datang melamar, wali perempuan atau saudara-mara lain yang masuk campur dan menolak lamaran lelaki itu dengan pelbagai alasan batil seperti umur lelaki itu terlalu tua, terlalu miskin, terlalu berpegang pada agama atau si perempuan belum bersedia dan sebagainya.

Hakikatnya, calon lelaki tersebut tidak menepati selera mereka yang dangkal. Demikianlah ketika mana golongan tidak cerdik memegang sesuatu tanggungjawab, rosak jadinya.

Sebagai wali perempuan yang bertanggungjawab, sekiranya seorang lelaki yang sesuai datang meminang manakala si perempuan pula bersetuju, hendaklah si wali mengambil keputusan yang tegas dengan tidak membiarkan orang lain yang tidak bertanggungjawab masuk campur.

Sabda Nabi SAW: "Sekiranya datang seorang lelaki yang kamu redai agama dan akhlaknya maka kahwinkanlah dia; jika tidak, maka akan timbullah fitnah di atas muka bumi dan kerosakan yang besar." (Riwayat Tirmizi, hasan)

Sesungguhnya menghalang perempuan berkahwin dengan lelaki sekufu dengannya adalah perbuatan jenayah. Bahkan tiga jenayah, iaitu jenayah si wali tersebut atas dirinya dengan berlaku maksiat terhadap ALLAH dan Rasul-Nya. Jenayah atas si perempuan kerana menghalangnya daripada berkahwin dengan lelaki yang sekufu dengannya sehingga menyebabkan peluang yang datang terlepas. Ia juga jenayah atas si lelaki yang datang meminang kerana menghalangnya daripada memperoleh apa yang syarak perintahkan supaya diberi kepadanya.

Golongan wali seperti ini boleh dilucutkan hak mereka sebagai wali dengan diberikan kepada orang lain daripada kalangan saudara lelaki si perempuan. Bahkan sekiranya si wali tersebut mengulangi perbuatannya menghalang perkahwinan perempuan di bawah jagaannya, dia akan dihukum sebagai orang fasik, kurang iman dan kurang agama. Kesaksiannya tidak boleh diterima di sisi sebahagian ulama.

Kedua: Meletakkan harga mas kahwin tinggi. Sebahagian keluarga perempuan malah mungkin perempuan itu sendiri beranggapan harga mas kahwin yang tinggi mencerminkan status dan kedudukannya. Ia dijadikan sebagai kebanggaan tidak lain dan tidak bukan melainkan supaya menjadi bual bicara dan rasa kagum mereka tanpa memikirkan kesan buruknya.

Mereka tidak sedar perbuatan mereka menjadi contoh teladan yang buruk buat orang lain. Mereka membuatkan urusan perkahwinan menjadi mahal dan membebankan. Malah tingginya mas perkahwinan menyebabkan suami membenci isterinya dan banyak merungut.

Berbeza sekiranya harga mas kahwin dibiarkan rendah. Hal ini akan menyemarakkan kemesraan dan kasih sayang antara kedua pasangan suami isteri. Ia juga mengundang keberkatan dalam perkahwinan mereka.

Kata Umar Al-Khattab RA: "Janganlah kamu meninggikan mas perkahwinan; sekiranya ia adalah satu kemuliaan di dunia atau takwa di akhirat nescaya orang yang paling mendahului kalian adalah Nabi SAW."

Kata Imam Ibnu Al-Qayyim RH: "Berdasarkan keterangan hadis, sesungguhnya mas kahwin tidak ditetapkan jumlah minimumnya dan bahawasanya pemberian tepung gandum, cincin besi ataupun alas kaki sah dinamakan sebagai mas kahwin dan pernikahan menjadi halal dengannya. Ia juga mengandungi keterangan meninggikan mas perkahwinan ditegah dan ia menjadi antara sebab yang mengurangkan keberkatannya dan menjadikannya sukar."

Ketiga: Perkara tambahan yang diada-adakan masyarakat sehingga memberatkan bahu si suami untuk menyediakan kesemua permintaan tersebut.

Antaranya, berlebih-lebihan dalam membeli pakaian perkahwinan yang akan dipakai sekali sahaja. Dulang-dulang hantaran dengan bilangan-bilangan tertentu dan bahan-bahan tertentu yang tiada asasnya dalam agama Islam. Ia tidak lebih daripada agama warisan nenek moyang dengan kepercayaan khurafat yang tertentu. Pembaziran dalam penyediaan makan minum buat tetamu yang hadir dalam majlis perkahwinan. Penyediaan khemah secara berlebihan, angka bilangan tetamu yang tinggi, hiasan bilik pengantin, mengupah juru foto, juru mekap, kumpulan kompang, deejay, pelamin dan sebagainya. Ini semua langsung tidak memudahkan perkahwinan. Malah sebahagiannya jelas diambil daripada budaya dan agama lain yang bertentangan dengan agama Islam.

SURUHAN AGAMA DITINGGALKAN

Inilah akibatnya, apabila saranan agama supaya perkahwinan dimudahkan diabaikan. Akhirnya apa yang sepatutnya mudah bertukar susah didorong hawa nafsu dan kejahilan dijadikan panduan. Kesan buruknya dirasai semua pihak termasuk pengantin lelaki dan perempuan. Ketika melangkah ke alam rumah tangga, suami dikelilingi hutang menjerut.

Apabila masalah sosial seperti pergolakan rumah tangga, penceraian, zina dan kelahiran anak luar nikah bertambah, masih ada yang tertanya-tanya mengapa ia terjadi. Tiada keselamatan dan jalan keluar melainkan dengan kita kembali ke jalan agama yang benar. Semoga ALLAH memberi hidayah-Nya kita hidup beragama sejajar dengan sunnah Nabi SAW.

Jihad hati lebih besar?

"KITA telah pulang dari jihad yang kecil kepada jihad yang lebih besar." Sahabat bertanya: "Apakah jihad yang lebih besar? Nabi Muhammad SAW menjawab: "Jihad hati (memerangi hawa nafsu)."

Hadis ini dengan lafaz sebegini dinilai dan dihukum sebagai hadis mauduk (palsu) oleh sarjana hadis.

Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyah dalam Majmuat Al-Fatawa berkata: "Hadis ini tidak ada asal-usulnya, dan tidak ada seorang pun dalam kalangan ahli ilmu yang mengatakan ia daripada perkataan dan perbuatan Rasulullah."

Al-'Ajluni dalam Kashf Al-Khafa' menukilkan kata-kata Al-Hafidz Ibn Hajar: "Hadis ini terkenal dalam kalangan orang ramai, dan ia adalah perkataan Ibrahim bin 'Ablah.

Dalam hadis lain disebutkan ketika sampai kepada Nabi SAW satu kumpulan yang pulang dari perang jihad, Baginda SAW berkata: "Kamu telah kembali dengan sebaik-baik kembali dari jihad yang kecil kepada jihad yang lebih besar." Baginda SAW ditanya: "Apakah jihad yang lebih besar?" Nabi SAW menjawab: "Mujahadah seorang hamba terhadap hawa nafsunya."

Status hadis ini pula adalah daif. Imam Al-Baihaqi dalam Al-Zuhd Al-Kabir, selepas meriwayatkan hadis ini menyebut: "Terdapat kelemahan pada sanad hadis."

Ini kerana pada sanad hadis ini terdapat rawi yang bernama Laith bin Abi Sulaim. Ibn Hajar Al-'Asqalani dalam Taqrib Al-Tahzib menyebut Laith bin Abi Sulaim adalah: "'Saduq' dan telah bercampur aduk akalnya (nyanyuk) dan tidak dapat membezakan hadisnya, ia ditinggalkan."

Salah faham

Hadis ini digunakan sekelompok manusia yang memberi perhatian kepada usaha pembersihan hati, sehingga kadang-kadang mereka melupakan tanggungjawab Islam yang lain iaitu jihad fi sabilillah. Mereka tidak berminat untuk membincangkan persoalan jihad kerana apa yang penting bagi mereka ialah membersihkan hati kerana itulah jihad lebih besar. Mereka tidak berminat untuk membincangkan nasib dan malang yang menimpa umat Islam di negara-negara lain, kerana yang lebih penting bagi mereka adalah membersihkan hati.

Sebab itu, mereka lebih menumpukan kepada amalan zikir dengan tujuan membersihkan hati. Dibuatlah majlis zikir yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat Baginda SAW. Malah ada yang menyebut zikir yang tidak diketahui asal usulnya. Ada pula yang menyertai majlis zikir ini seolah-olah lupa diri dan melakukan perbuatan yang tidak dapat diterima akal yang sempurna seperti menari-menari dan melompat-lompat sambil berzikir. Ini semua mereka lakukan semata-mata dengan alasan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dan membersihkan hati.

Adakah ini yang dikehendaki dan ditunjukkan Rasulullah SAW?

Hati bersih kunci jihad

Tidak dinafikan usaha pembersihan hati adalah penting. Jihad menentang musuh memerlukan kepada pejuang yang jiwanya bersih dan sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada ALLAH. Perjuangan jihad menentang musuh akan terbantut jika ia disertai jiwa yang kotor dan jauh dari ALLAH. Namun, usaha pembersihan jiwa yang dituntut ini sama sekali tidak akan melenyapkan kemuliaan perang jihad.

Jika tidak, di manakah hendak disembunyikan kisah  perjuangan Rasulullah SAW dan sahabat yang gigih berjihad menentang musuh Islam? Bagaimana hendak dipadamkan catatan sejarah agung perjuangan jihad mereka ini?

Sesungguhnya jihad di jalan ALLAH menentang musuh Islam adalah jihad yang paling mulia dan kedudukannya tinggi dalam Islam.

Perhatikan saja beberapa peringatan ALLAH ini:

ALLAH berfirman dalam Surah At-Taubah ayat 111. Dalam ayat yang lain ALLAH berfirman: "Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dalam kalangan orang-orang yang beriman - selain daripada orang yang ada keuzuran - dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan ALLAH (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. ALLAH melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) ALLAH menjanjikan dengan balasan yang baik (syurga), dan ALLAH melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar: Iaitu beberapa darjat kelebihan daripadanya, dan keampunan serta rahmat belas kasihan. Dan (ingatlah) ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Al-Nisa': 95-96)

Jihad suci dicemari

Konsep jihad tidak pernah lenyap dalam syariat Islam. Ia tetap kekal. Jihad adalah syariat suci disediakan Islam. Ia perlu dipelajari dan difahami melalui sumber yang sahih. Apabila jihad difahami dengan konsep yang betul, kita akan dapati betapa jihad dalam Islam begitu adil, praktikal, tidak zalim dan meraikan hak semua manusia. Prinsip dan peraturannya begitu teliti. Ia bukan boleh dilakukan semberono oleh sesiapa sahaja mengikut sesuka hatinya.

Tetapi, syariat jihad yang suci ini kadang-kadang dicemari tangan-tangan mereka yang ingin berjihad, namun tidak memahaminya dengan cara betul. Tiada ilmu, hanya berbekalkan semangat semata-mata. Atau mungkin juga ia dikotori oleh mulut-mulut busuk mereka yang memfitnah dan ingin menampakkan wajah buruk Ahli Sunnah wal Jamaah. Oleh itu, fahami jihad melalui al-Quran dan hadis, bukan melalui terroris!

Apa pun, usaha jihad yang murni ini tidak akan mampu digalas kecuali mereka yang sedia berkorban demi ALLAH. Sanggup berkorban harta, masa, tenaga hingga nyawa sekali pun. Pengorbanan ini sangat berat untuk dilakukan kecuali mereka yang memiliki jiwa yang teguh, bersih dan ikhlas kepada ALLAH. Justeru, bertarung dan berjihadlah melawan hawa nafsu terlebih dahulu supaya ia mendorong kita untuk berjihad di saat perlu,

Niat & doa kunci utama hafaz Quran

AKU bertugas di sebuah klinik yang mana di hadapannya terdapat sebuah surau. Surau itu sering menjadi tempat bersolat Allahyarham ayah mertuaku setiap kali datang menjemputku pulang ke rumah kerana aku bertugas malam.

Pada Ramadan yang lepas, ayah mertuaku menunaikan solat tarawih di surau berkenaan sementara menunggu aku habis bertugas. Dan aku pula akan menunggunya dalam kereta. Hari demi hari, timbul keinginan dalam hati ini untuk turut serta bersolat tarawih di surau itu. Tetapi dek kesibukan yang tidak dapat dielakkan aku hanya menghayati dan mendengar lunaknya suara iman membaca ayat suci al-Quran dari luar.

Selang beberapa tahun, aku nekad untuk tidak lagi bertugas malam. Akhirnya, berkat kesabaran aku meminta daripada-Nya, Dia memberikan aku peluang untuk bersolat tarawih di masjid pada bulan Ramadan. Bacaan Imam Hafiz amat menyentuh perasaanku. Dalam hati aku berdoa agar anak-anakku dapat menghafaz al-Quran satu hari nanti.

Air mataku menitis kerana berasa bersyukur mendapat peluang keemasan ini yang sememangnya sudah lama aku impikan. Sungguh murah air mata ini tatkala mendengar alunan ayat ALLAH SWT, berasa malu kerana aku masih belum dapat memahami ayat-ayat yang dibacakan oleh Imam Hafiz.

Aku semakin jatuh cinta dengan ALLAH dan Rasulullah SAW. Bagi membuktikan kecintaanku kepada ALLAH, aku mengambil keputusan untuk menunaikan haji di Makkah, dan cintaku kepada Rasulullah SAW, aku mula mempelajari dan mempraktikkan sunnahnya.

Aku semakin mencintai ibadah akan tetapi aku sedar yang aku masih ada sifat malas untuk membaca al-Quran.  Aku sedar yang kecintaanku terhadap al-Quran masih belum mendalam, lantas aku memanjatkan doa agar ALLAH membantu diriku untuk mencintai kalam-Nya.

Di hadapan Kaabah, aku berdoa agar aku sekeluarga dapat mencintai, memahami, menghafaz dan mempraktikkan al-Quran dalam kehidupan kami seharian.

Sepulangnya dari Makkah, aku diberi peluang untuk mempelajari bahasa Arab al-Quran bersama Ustaz Nasaruddin dan Ustaz Rusdi Alias. Satu demi satu, aku berasakan seperti doa-doaku dimakbulkan ALLAH Yang Maha Pemurah.

Walau bagaimanapun, baru sempat sebulan menjalani kelas bahasa Arab Lanjutan bersama Ustaz Rusdi Alias, aku terpaksa mengikut suamiku bertugas ke Kuching, Sarawak. Aku pinta Ustaz Rusdi agar mendoakan aku terus istiqamah dalam mempelajari bahasa Arab. Di Kuching, aku meneruskan pengajian bahasa Arab di rumah bersama keluarga dengan menonton siri Arabic With Husna di BayyinahTV.

Sewaktu memindahkan persekolahan anak-anak ke Kuching, kami mengalami sedikit masalah. Sekolah yang diidamkan sudah penuh dan tidak dapat menerima dua anakku.

Selesai pertemuan dengan pengetua sekolah tersebut, kami meronda-ronda kawasan tanpa mengetahui mana hendak dituju. Selepas beberapa minit, kami tiba di sebuah bangunan baru yang tersergam indah bersebelahan dengan Masjid Negeri Sarawak. Ia adalah sebuah sekolah tahfiz yang baharu ditubuhkan, Maahad Tahfiz Tun Abdul Rahman Ya'kub. Dengan izin-Nya anak keduaku, Jad Haris diterima masuk.

Pada 2013, anak keduaku Jad Haris berjaya menghabiskan hafazan juzuk amma dan juz tabarak. Setakat ini dia telah berjaya menghafaz enam juzuk yang terkandung dalam al-Quran. Manakala, anak sulungku, Nur Alyssa yang bersekolah di sekolah kebangsaan berjaya menghabiskan hafazan juzuk amma hasil didikan Ustazah Fazinie dan dia berjaya mendapat tempat kedua pertandingan hafazan peringkat Kuching.

Dan  sekitar Ogos 2015, akhirnya aku sendiri berjaya menghabiskan hafazan juzuk amma pada usia 40 tahun dengan sokongan rakan-rakan dan usahaku yang tidak mudah mengalah. Sekarang aku sedang meneruskan dengan hafazan juz tabarak.

Perjalanan kami tiga beranak untuk menghafaz al-Quran tidak sama, sementelah pula dari segi teknik dan kelajuan menghafaz.

Tidak semua di antara kita yang mendapat rezeki untuk memasuki sekolah tahfiz, tetapi itu bukanlah bermakna kita tidak boleh menghafaz al-Quran. Berbekalkan niat dan doa yang ikhlas, sesiapa sahaja boleh berusaha menghafaz al-Quran dengan izin ALLAH.

Ingatlah di mana ada kemahuan, pasti ada jalan. Semoga ALLAH mengurniakan kecintaan dan kefahaman al-Quran kepada kita semua. Kita terus istiqamah bertadabur dan menghafaz al-Quran. Inilah cerita ngajiku dan doaku kisah ini menjadi inspirasi kepada semua.

Sindrom selfie

TIDAK kira tua atau muda, anda akan lihat pelbagai gelagat dan aksi manusia apabila berhadapan dengan telefon mudah alih. Walau di mana-mana tidak kira tempat tanpa mengira pagi petang siang malam ada sahaja natizen yang memuat naik gambar atau status terbaru di laman sosial Facebook, Instagram, Twitter, Aplikasi WhatsApp, Telegram dan bermacam lagi.

Tidak kiralah posting tersebut berbentuk video, artikel, atau gambar selfie. Mereka begitu asyik memeriksa berapa jumlah likes, komen dan share yang dapat dikumpulkan hasil daripada posting di dinding akaun laman sosial masing-masing. Jika ada yang mengomen, sibuk pula membalas komen yang ada, jika kurang likes atau share mereka akan memuat naik post yang baru atau gambar selfie lain pula. Macam-macam!

Inilah fenomena baru yang berlaku semenjak wujudnya laman sosial di internet. Ramai dalam kalangan pengguna laman sosial menghadapi ketagihan baru dalam kehidupan mereka iaitu suka berselfie, lantaran terlalu obses kepada laman sosial. Kebanyakannya tidak sedar mereka sebenarnya sedang mengalami gangguan personaliti kerana terlalu sibuk dengan keterampilan diri sehingga mampu membentuk sifat pentingkan diri.

Persoalannya adakah selfie dibenarkan dalam Islam? Timbul pelbagai isu sejak wujudnya sindrom selfie di laman sosial. Tambahan pula fakta penceraian di negara kita yang semakin kritikal, dengan satu pasangan untuk setiap 15 minit mewujudkan pelbagai spekulasi dan tanda tanya sejauh manakah ketagihan ini mengundang kepada keretakan hubungan suami isteri.

Dalam Islam tidak salah memperlihatkan kelebihan diri, namun tidak semua saluran adalah sesuai untuk menonjolkan diri anda. Pendakwah, Ustaz Asrulnizam Abas memberikan contoh, tidak salah seorang wanita yang ingin dilihat cantik, namun memperlihatkan kecantikan diri kepada yang bukan muhrim itulah yang mencetuskan fitnah dan hukumnya adalah haram. Lebih-lebih lagi apabila selfie di laman sosial dengan harapan mendapat pujian daripada orang lain. Lebih buruk dari itu, mereka sanggup mengubah gaya penampilan diri semata-mata untuk selfie. Begitulah juga halnya kepada lelaki.

"Kalau dahulu tak ramai orang boleh menonjolkan keterampilan diri mereka di hadapan orang lain sebab biasanya ia melibatkan individu untuk tampil di dalam sesuatu majlis atau di khalayak ramai. Tetapi sejak adanya laman sosial selfie atau mengambil gambar sendiri ni mula menjadi satu sindrom dalam kalangan masyarakat. Lebih kronik dalam tiga tahun kebelakangan ini sindrom ini mula menampakkan kesan negatif dalam kehidupan seharian.

"Selfie pada awalnya menjadi satu kata nama sahaja atas maksud berfoto secara sendiri, namun kerana ia mula diguna pakai secara meluas, maka selfie telah menjadi satu kata kerja sepertimana perkataan Google di laman carian," katanya kepada Rehal.

Walaupun sindrom selfie ini lebih didominasi oleh wanita, namun lelaki juga masih terdedah dalam sindrom ini.

Tidak semua orang berani berselfie. Cuba bayangkan, berselfie kemudian memuat naik pula di laman sosial.

"Secara positifnya selfie dapat meningkatkan keyakinan diri apabila berhadapan dengan khalayak ramai. Sudah pastinya orang yang suka selfie lebih menjaga penampilan dan personaliti mereka kerana tidak mahu mereka dihentam di media sosial nanti.

"Dari aspek bisnes pula, selfie adalah sebahagian strategi dan saluran untuk usahawan-usahawan memasarkan produk dan perkhidmatan mereka. Di zaman kontemporari ini berselfie dengan produk, dengan selebriti, dengan organisasi-organisasi tertentu untuk membina kepercayaan bakal pelanggan terhadap bisnes mereka," katanya.

MENURUT Ustaz Asrulnizam, antara lain sisi positif selfie adalah ia juga menjadi satu 'tracking' dan bahan siasatan kepada pihak berkuasa seandainya individu atau mangsa mengalami musibah atau kemalangan. Bahkan mungkin boleh menjadi bahan bukti dalam mana-mana kes perbicaraan di mahkamah.

DEDAH AURAT

Melihatkan kepada kadar penceraian yang semakin meruncing hari ini, laman sosial dan selfie dilihat menjadi faktor utama menyumbang kepada masalah ini. Di sinilah perlu ditelitikan sejauh mana selfie ini wajar dan tidak wajar berlaku.

Beliau yang juga Perunding Latihan di Inner Inspiration Training & Consultancy berkata lagi, sebagai wanita Muslimah, dalam bersosial, membuka aurat untuk individu yang bukan mahram adalah haram kerana tubuh badan wanita kehormatan yang perlu dijaga.

Hayati firman ALLAH: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) ALLAH adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Al-Ahzab: 59)

"Misalnya, media sosial hari ini sungguh pantas tersebar. Bayangkan anda memuat naik sekeping gambar selfie diumpamakan anda berjalan ke seluruh dunia. Ramai orang akan melihat dan pasti ada yang klik share, sama ada baik atau buruk ia tetap menjadi fitnah kepada orang lain," ujar lagi.

Di media sosial, orang yang melihat gambar anda berselfie tidak semuanya berniat baik. Pastinya individu yang tidak baik mempunyai pelbagai idea yang boleh merosakkan hidup anda. Inilah yang wanita Muslimah perlu fikir apabila berselfie. Mendedahkan aurat pada seorang pun dah berdosa, cuba bayangkan jika gambar selfie anda menjadi viral di laman sosial?

PELIHARA AIB

Ustaz Asrulnizam  menambah, usah bersalah sangka, apa yang dinyatakan bukan bermakna selfie itu berdosa sepenuhnya. Jika niat dan cara anda baik maka selfie anda akan memberikan kesan positif pada orang lain.

"Perkara pokok yang perlu diberikan perhatian juga ialah anda perlu menjaga sensitiviti semua pihak ketika selfie. Tidak semua situasi boleh berselfie. Adalah tidak sesuai jika menziarahi kematian pun nak berselfie, kerana ia pastinya mengaibkan keluarga si mati.

"Lebih-lebih lagi ada juga yang berselfie ketika melihat mangsa kemalangan jalan raya, atau sesiapa yang ditimpa musibah, percayalah anda sedang merakam keaiban mereka dan menyebarkannya kepada orang lain pula. Pastinya ia memalukan kepada mereka yang terlibat. Tidak kurang juga yang berselfie di tanah perkuburan kerana menziarahi perkuburan keluarga atau sahabat handai," tegasnya.

Menurutnya, perkara seumpama ini dilihat sebagai sensitiviti yang perlu dielakkan kerana kubur adalah simbol untuk menunjukkan keinsafan dan kesedaran diri kita kepada ALLAH SWT. Sudah pasti apabila sindrom selfie di perkuburan semakin meluas, orang akan melihat ia bukan lagi sesuatu yang memberikan kesedaran, bahkan mencetuskan trend yang tidak baik pula.

Dek kerana asyik selfie dan ingin dilihat popular, individu tersebut terlupa bahaya yang diundang secara tidak langsung. Perlu diingat di luar sana, ada ramai orang melihat dan membaca psikologi anda. Apa yang anda suka, di mana anda suka pergi, apa status anda, apa rutin anda setiap hari, pastinya menjadi maklumat bagi mereka yang menjadi pengikut anda di laman sosial. Tidak semua follower anda benar-benar suka kepada anda, ada juga sebahagiannya benci dan mengambil peluang untuk mengganggu ketenteraman anda.

Ada juga dalam kalangan individu yang berselfie mengikut kronologi yang memudahkan pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab menyusun strategi untuk pecah masuk ke dalam rumah, merompak atau menculik seseorang. Apa tidaknya, jika anda berselfie setiap selang masa tertentu, pastinya memudahkan orang lain mengetahui struktur susun atur di rumah dan juga mengetahui jadual peribadi anda.

Rutin hidup anda adalah rahsia dan aib. Tidak semua perlu dimaklumkan pada umum sekalipun anda mungkin seorang yang popular.

Tetapi bagaimana pula jika musibah yang datang kerana yang buka aib tersebut adalah diri sendiri? Inilah jerat yang mungkin akan mengena diri sendiri balik.  ALLAH telah memberikan amaran kepada kita agar tidak mendorong diri kita ke dalam kerosakan melalui Surah Al-Baqarah ayat 195.

SELFIE & SKANDAL

Ustaz Asrulnizam menegaskan sindrom selfie semakin kronik apabila ada sebahagian mereka yang berselfie tanpa segan silu berposing di bilik tidur, atau berselfie dengan aktiviti-aktiviti bersentuhan, berpegangan dengan bukan muhrim atau melakukan perkara yang maksiat.

"Tidak kurang juga selfie yang mencetuskan pelbagai bentuk skandal melibatkan suami dan isteri orang lain. Ramai yang berselfie, tidak sedar akan status mereka telah berkeluarga. Jika isteri, berselfie sepanjang masa tanpa orang lain sedar adakah dia isteri orang ataupun masih anak dara, begitulah juga halnya jika dia seorang lelaki.

"Situasi ini pasti membawa kepada skandal kerana ramai yang beranggapan bahawa yang berselfie masih lagi berseorangan dan tidak kisah untuk berkenalan. Lama kelamaan perkenalan bertukar menjadi skandal sulit yang akan menghancurkan bahtera rumah tangga yang  dibina bertahun-tahun," nasihat beliau lagi.

Ingatlah berselfie kini termasuk dalam perbuatan yang mudah mencetuskan dosa kepada kita. Baik dan buruk selfie adalah bergantung kepada sejauh mana fitnah yang boleh terjadi daripada aktiviti anda berselfie.

Sebelum nasi menjadi bubur, lebih baik koreksi diri!.

Info

-Selfie perkataan baru yang mula digunakan sekitar tahun 2013.
- Ia berkonsepkan aktiviti mengambil gambar sendiri untuk mendapat perhatian orang lain.
- Kajian yang dijalankan Pusat Penyelidikan PEW, disiarkan dalam www.forbes.com menunjukkan, 91 peratus aktiviti selfie didominasi golongan remaja.
- Bahkan fenomena ini mula merangsang golongan yang lebih dewasa terutamanya kaum wanita.

Penting pelajari sirah Nabawiyah

"SESUNGGUHNYA mempelajari sirah Nabi Muhammad SAW adalah kewajipan setiap Muslim, kerana ia adalah praktikal amali dan pentafsiran waqie terhadap agama ini.

Mempelajari sirah Nabi Muhammad SAW juga adalah kewajipan setiap pendakwah, ia mengajar bagaimana Nabi SAW menyeru manusia kepada ALLAH SWT, marhalah-marhalah yang dilaluinya sehingga mencapai hadaf (matlamat), wasilah yang dilaluinya pada setiap marhalah, kesesuaian setiap marhalah itu dengan wasilahnya dan bagaimana bersambungnya satu marhalah dengan marhalah yang lain.

Mempelajari sirah Nabi Muhammad SAW juga adalah kewajipan setiap jundi (tentera) perang, ia mengajarnya mengenai thabat (konsisten), berani dan sabar dan selainnya mengenai ilmu peperangan.

Mempelajari sirah Nabi SAW juga kewajipan setiap panglima, ia mengajarnya bagaimana Rasulullah SAW memimpin peperangan, menggerakkannya dan menyusun strategi sehingga berjaya, Baginda SAW memimpin umat dari suatu kemenangan kepada suatu kemenangan, dan dari suatu kemuliaan kepada suatu kemuliaan.

Mempelajari sirah Nabi SAW juga kewajipan setiap pemimpin yang inginkan kebaikan untuk umatnya, ia mengajar bagaimana Rasulullah SAW mentadbir umatnya dengan adil dan syura, tidak bersifat tirani dan tidak menutup mulut, dan tidak menyembunyikan peribadi.

Mempelajari sirah Nabi SAW juga kewajipan setiap peniaga dan hakim, ia mengajarnya bagaimana untuk berurusan dengan manusia, cara-cara untuk menghukum serta perlunya bersifat neutral, dan perlunya zuhud dan bersabar dalam keadaan senang ataupun susah.

Sesungguhnya sirah ini bersifat syumul, telah terkumpulnya pada Nabi SAW kita segala sifat dan keistimewaan yang tidak terkumpul kepada rasul-rasul sebelumnya, bahkan segala sifat yang tertonjol yang ada pada setiap rasul telah wujud pada Nabi SAW." (Petikan dari Fi Zilal As-Sirah An-Nabawiyah oleh Dr Muhammad Abdul Qadir Abu Faris)

Langkah paling praktikal untuk menunjukkan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW adalah dengan rajin membaca sirahnya, kemudian mengikuti sunnahnya dalam seluruh aspek kehidupan, sehinggalah terbukti kemuncak kecintaan itu dengan mengikuti sunnah terbesarnya iaitu dakwah dan tarbiah.

Ibrah surah kasih sayang

SURAH Al-Rahman menduduki surah yang ke-55 dari 114 surah yang terkandung dalam al-Quran. Ia adalah surah balutan kasih sayang Tuhan. Satu-satunya surah dengan nama Tuhan yang menyerlahkan 99 nama-Nya dalam al-Quran.

Al-Rahman bukan sekadar diterjemahkan sebagai Yang Maha Pengasih. Kalimah itu dituturkan begitu kerap dalam kehidupan seorang mukmin setiap hari. Dari bacaan wajib semasa solat hinggalah ketika memulakan sesuatu kerja bagi menjemput keberkatan.

SLOGAN WAJIB ANBIYA

Apa maksud al-Rahman sebenarnya sehingga orang Arab tidak mengenali nama itu dan tidak juga menyukai panggilan itu? Apa maksud al-Rahman sehingga ia dijadikan slogan wajib ketika anbiya memperkenalkan Tuhan kepada umatnya sebagaimana Ibrahim kepada ayahnya (Surah Maryam) dan tiga rasul kepada kaumnya (Surah Yaasin) ?

Al-Rahman yang mengajar al-Quran dan mencipta manusia, apa kaitan? Al-Quran bukan sekadar untuk orang-orang beriman, tetapi juga manusia secara keseluruhan meskipun mereka belum mampu melafazkan syahadatain.

Nikmat paling besar al-Rahman kepada manusia bukan pada penurunan al-Quran semata, tetapi pada pemahamannya.

Al-Rahman, Dia sudah mengumumkan kesudiannya sebagai 'guru' al-Quran, di manakah kita hamba-hamba-Nya yang sudi memasuki kelas-kelas pengajian guru Maha Hebat, Maha Bijaksana ini!

Al-Rahman, bicara mengenai api neraka hanya beberapa ayat, jika dibandingkan dengan ayat syurga. Bahkan syurga pula bagi orang beriman rupanya bukan satu, tetapi dua. Bahkan motivasi ke syurga menjadi penutup surah ini.

MESTI DIDEKATI

Surah al-Rahman mesti didekati dengan latar belakang alam. Seseorang yang jarang merenung keindahan alam, air sungai yang mengalir, buah-buahan masak ranum dan segala yang memberikan ketenangan dari flora dan fauna ini, akan mengalami kesukaran untuk memahami ayat-ayat syurga dari al-Rahman.

Al-Rahman, Dia memberikan kamu nikmat yang kamu minta dan yang tidak kamu minta. Ketika kamu membaca artikel ini sekalipun, nikmat Tuhanmu jualah yang memberikan kemampuan pada akalmu membacanya dan terus memahaminya. Tuhan tidak memberikan kepadamu gila atau buta hingga menggagalkan kamu dari meneruskan bacaan. Nikmat apa lagi dari Tuhan yang mahu didustakan? Pujuk rayu daripada Tuhan hingga diulang-ulang bukan sekali dua, bahkan

31 kali pengulangan. Pengulangan yang tepat pada masanya setiap kali habis satu pembuktian.

Surah al-Rahman, kembara dari alam nyata hingga ke alam tidak nyata, bermula dari bulan, matahari, bintang, pokok hinggalah pada kiamat, mahsyar, neraka dan syurga.

Surah al-Rahman, rupanya kita mempunyai 'rakan' dalam beribadah kepada ALLAH SWT dan menjunjung ketakwaan. Jin turut sama dihadapkan sebagai sasaran utama kesemua 78 ayat ini dari awal hingga akhir.

Surah al-Rahman, surah yang memberimu ketenangan, pulanglah semula ke pedalaman, kampung halaman yang selama ini engkau lupakan, syurga yang ayahanda bonda kita pernah berada lama di sana dekat dengan Tuhan.