February 14th, 2016

Jangan ikut budaya bercanggah Islam

AGAK buntu jugalah ketika diminta menulis pasal Valentine’s Day. Maklumlah, sepanjang usia yang sudah masuk empat siri ini, tidak pernah pula menyambutnya, justeru ‘feel’ untuk membayangkan kegembiraan meraikan­nya memang tiada, cuma berdasarkan pengamatan dan pembacaan.

Bagi saya, tidak perlulah kita terikut-ikut budaya yang langsung tidak ada kena-mengena dengan umat Islam, apatah lagi hukum menyambutnya adalah haram! Adat manusia, makin ditegah, makin suka pula me­lakukannya, biarpun tanpa menge­tahui di sebalik sejarah sambutan hari berkenaan.

Sedar atau tidak, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya “To be my Valentine?”, itu bermakna dia meminta seseorang menjadi ‘Sang Maha Kuasa’, dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali semangat budaya pemujaan berhala bagi kaum Rom kuno.

Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian dinamakan Lupercalia iaitu upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno bernama Juno Februata.


Kira -kira 2000 penuntut universiti awam dan swasta mempamerkan kad 'Awas Jerat Valentine's Day' pada satu program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Putrajaya, pada 2011. – UTUSAN

Valentine’s Day untuk orang Kristian pula demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine yang telah dibunuh pada 14 Februari. St. Valentine dikatakan sempat menulis sepucuk surat cinta kepada seorang gadis yang bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Va­lentinemu).

Jelas sekali meraikan sambutan Valentine’s Day atau Hari Kekasih bertentangan dengan syarak, malah Panel Kajian Akidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memutuskan amalan itu haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang dari 22 hingga 24 November 2005 juga memutuskan bahawa amalan meraikan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan Islam, apatah lagi roh perayaan itu bercampur dengan perbuatan maksiat!

Kebiasaannya pada hari berke­naan, pasangan bercinta saling bertukar hadiah, menghadiri upacara tari-menari, mengadakan acara makan malam dengan disinari cahaya lilin, bertukar-tukar perasaan dan melafaz ikrar cinta di tempat-tempat privasi sehingga berkucupan dan akhirnya sanggup menggadaikan kehormatan diri sendiri demi membuktikan kesetiaan cinta kepada pasangan masing-masing.

Masyarakat tentunya tahu akibat merayakan Valentine’s Day iaitu salah satunya kecenderungan melahirkan anak luar nikah akibat hubung­an intim pada hari istimewa itu, namun persoalan besar timbul ialah apakah yang menyebabkan gejala negatif itu terus berlaku?

Menurut Presiden Persatuan Pegawai Psikologi Perkhidmatan Awam, Dr. Abdul Jalil Hassan, faktor-faktor keseronokan dan kesa­kitan mendorong masyarakat khususnya remaja untuk menyambut Valentine’s Day yang telah dikomersialkan sebagai ‘jenama’ melahirkan rasa kasih sayang.

“Dalam diri manusia ada naluri untuk disayangi dan menyayangi, justeru ini menjadi satu tarikan kuat untuk masyarakat khususnya remaja menyambut Valentine’s Day, apatah lagi hari tersebut dikomersialkan sebagai hari istimewa buat pasangan kekasih,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, tidak salah untuk seseorang menyatakan rasa kasih terhadap insan lain, malah dalam Islam juga menuntut umatnya menyemai sifat-sifat pengasih dan penya­yang, namun yang menjadi masalah ialah masyarakat kita kerap menyambut sesuatu hari itu dengan niat bersempena sambutan tertentu. Malang­nya, kita ‘malas’ membuat penyelidikan dan gemar terikut-ikut budaya Barat.

“Sebagai contoh, kita merayakan Hari Ibu. Biarpun dalam Islam, sepatutnya menyayangi ibu bukan pada hari tertentu, namun Hari Ibu diraikan khusus untuk meraikan ibu kita pada hari berkenaan dengan lebih istimewa.

“Begitu juga kasih sayang. Tak salah mengingati seseorang yang kita sayang dengan meraikan hari istimewa bersamanya tetapi yang salahnya kita turut sama meraikannya pada hari yang sudah dikhususkan bagi memperingati peristiwa atau figura yang bertentangan dengan agama Islam,” katanya.

Kecenderungan mengagung-agungkan budaya asing menyebabkan ramai dalam kalangan kita terutama remaja terpengaruh dengan sambutan yang bercanggah dengan agama dan adat malah jati diri.

“Jati diri terbentuk ketika remaja berusia lingkungan 15 hingga 16 tahun. Dalam tempoh itu, mereka le­bih dekat rakan sebaya dan apa jua pengaruh daripada kumpulan akan membentuk jati diri dan identiti.

“Sebagai remaja, rasa keterpu­nyaan atau keterikatan dalam satu-satu kumpulan mendorong mereka mengikut apa yang dilakukan ahli lain, dan sambutan Valentine’s Day juga tidak terkecuali sebagai ‘jenama’ yang perlu diraikan walaupun adakalanya mereka sedar amalan itu bukan budaya kita,” jelasnya.

Debat menurut perspektif Islam

ADA saatnya ketika menghindari debat dan berhenti darinya itu diganjari pahala sangat besar, iaitu apabila debat mengarah kepada perpecahan (mira’)..

Menghindari perdebatan yang seperti ini, walaupun kita berada di pihak yang benar, besar pahalanya iaitu balasan syurga.

Mendiskusikan ilmu itu baik dan penuh manfaat. Tapi memperdebatkannya amatlah buruk. Diskusi membukakan minda dan fikiran serta mendekatkan hati sesama penuntut ilmu. Adapun memperdebatkan ilmu, Imam Malik berkata: “Perdebatan tentang ilmu itu membuat hati keras dan menimbulkan kedengkian.”

Imam Syafi’i juga mengingatkan kita: “Perdebatan dalam agama itu mengeraskan hati dan menanamkan kedengkian yang sangat.”

Renungkanlah sejenak hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah suatu kaum menjadi sesat setelah mereka dahulunya berada di atas hidayah kecuali yang suka berdebat. Lalu Baginda membaca (ayat): “Mereka tidak memberikan perumpamaan itu kepadamu melainkan dengan maksud membantah sahaja.” (Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah).

Salah satu bekal menuntut ilmu adalah menahan diri dari berdebat untuk maksud berbantah-bantahan dan menjatuhkan lawan bicara. Jika diskusi telah mengarah kepada perpecahan, sedapat mungkin kita mengingatkannya.

Tetapi jika tetap dalam perdebatan yang mengarah kepada sikap saling menjatuhkan, maka memilih untuk tidak meneruskan perpecahan itu jauh lebih utama walaupun berisiko disangka tak berani.

Sangat berbeza penakut dengan menahan diri dari perkara-perkara yang membawa kerosakan (mafsadat).

Imam Al-Auza’i berkata: “Jika ALLAH menghendaki keburukan pada suatu kaum maka ALLAH menetapkan jidal pada diri mereka dan menghalangi mereka dari amal.”

Sebuah hadis riwayat Imam Baihaqi berkenaan Nabi Sulaiman AS berkata kepada anaknya: “Wahai anakku, tinggalkanlah mira’ (mendebat kerana ragu dan menentang, debat untuk menjatuhkan) itu, kerana manfaatnya sedikit, dan ia membangkitkan permusuhan di antara orang-orang yang bersaudara.” (Riwayat Baihaqi).

Imam Syafii seorang imam bermazhab empat. Ulama yang lahir di Gaza 150 H dan wafat di Mesir 204 H dikenali sebagai mujtahid mutlak. Beliau terkenal dengan beberapa karyanya seperti Al-Umm (fekah), Ar-Risalah (usul fekah) dan lain-lain.

Tidak diragukan lagi bahawa Imam Syafi’i amat akrab dengan perdebatan, beberapa ulama besar pun pernah terlibat perdebatan dengannya, seperti Muhammad bin al- Hasan, Syeikh ahlu ra’yi, sahabat, sekali gus pernah berdebat dengan Imam Malik di Mesir, pernah berdebat dengan Imam Ahmad bin Hanbal tentang kekufuran mereka yang meninggalkan solat.

Tetapi setiap dia berdebat dengan ulama lain dia selalu menggunakan adab dan sopan santun serta tidak mencela lawannya.

Adapun Abu Usman, anaknya pernah mengatakan: “Aku sekali-kali tidak pernah mendengar ayahku mendebat seseorang dengan meninggikan suaranya.” (Tahzibul Asma wal Lughah, hal 66, jld 1)

Garis panduan debat dalam Islam, antara lainnya ialah:

1. Debat dilakukan dalam memberikan argumen yang jitu dan benar, berdasarkan kajian hingga sampai pada suatu kebenaran.

2. Debat dilakukan dengan cara yang baik (ahsan) sebagaimana diperintahkan ALLAH. Maksudnya dilakukan dengan menggunakan dan berdasarkan al-Quran dan al-hadis. Kalau menggunakan akal, maka hendaklah menggunakan pemikiran yang rasional, bukan persangkaan ataupun filsafat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barang siapa yang beriman dengan ALLAH dan hari kiamat maka hendaklah berkata baik atau lebih baik diam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

3. Menghindari berkata yang buruk, keji, mencaci atau memaki individu. Apabila berdebat hendaklah benar-benar beringat bahawa yang kita debat adalah idea yang disampaikan, bukan individu yang menyampaikan, sehingga kita tidak boleh menyerang secara individual dan guna kata-kata yang tidak mencerminkan keimanan kepada ALLAH. Sabda Rasulullah SAW berrmaksud : “Bukanlah seorang mukmin jika suka mencela, melaknat dan berkata-kata keji.” (Riwayat Tirmizi).

4. Tidak mencari-cari perdebatan atau suka dengan perdebatan. Al-Quran telah menjadikan debat sebagai salah satu cara dalam menyampaikan kebenaran Islam, sebaliknya al-Quran tidak memerintahkan umatnya untuk suka dalam berdebat atau mencari-cari perdebatan. Seorang mukmin hendaklah memahami bahawa perdebatan adalah salah satu bahagian dari dakwah dan jalan terakhir dalam dakwah, bukan malah mengawali dakwah dengan perdebatan.

5. Perhatikan siapa yang menjadi partner debat/diskusi. Mula-mula perhatikan siapakah partner debat atau diskusi itu, kerana partner debat/diskusi hendaklah seorang yang memang menginginkan dan mencari kebenaran, bukan hanya menyenangi debat atau menjadikan debat untuk memperolok-olok agama Islam.

6. Perhatikan apa yang akan diperdebatkan/diskusikan. Seorang mukmin tidak akan menceburkan dirinya dalam perkara-perkara yang seharusnya tidak didiskusikan, dalam perkara yang tidak bermanfaat, dan juga dalam perkara yang tidak meningkatkan keimanan.