February 19th, 2016

“Bersihkan Hati mu"

Petikan Khutbah Jumaat 19 Februari 2016: JAIS

“Bersihkan Hati mu"

Kata pepatah Melayu ‘ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut nafsu lesu’. Kenapa mati dikaitkan dengan hati? Kerana hati merupakan punca setiap perlakuan dan sesuatu tindakan. Hadis daripada Nu’man Bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: أَلا إِنَّ في الْجسد مضغةً إِذَا صلُحت صلُح الْجسد كُلُّه ، وإِذَا فَسدت فَسد الْجسد كُلَّه أَلا وهي الْقَلْب “Dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, jika baik daging itu, maka baiklah seluruh jasad, Jika buruk daging tersebut maka buruklah seluruh jasad, itulah dia hati”.(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Manakala sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِنَّ اللَّه لا ينظُر إِلَى صورِكُم وأَموالكُم وإِنما ينظُر إِلَى قُلُوبِكُم وأَعمالكُم “Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa dan harta kamu, tetapi Allah melihat hati dan amalan kamu”

Hati yang sejahtera namanya Qalbun Salim. Hati sejahtera sentiasa bertunjangkan akidah yang teguh. Akidah yang tidak mampu dirasuk dengan mainan harta dan pangkat. Malah sentiasa membuahkan hasil pada perbuatan yang terdorong untuk melakukan ibadat. Itulah perjuangan yang menentukan nasib kita di akhirat.

Bijak pandai berkata; buah iman pada amal, buah amal pada ihsan. Ertinya, perjuangan mencari hati yang sejahtera merupakan jihad menuju ke syurga. Kerana yang dinilai di akhirat pastinya amalan yang lahir daripada hati yang sentiasa tunduk dan patuh kepada arahan Allah.

Maka tepatlah firman Allah SWT dalam surah asy-Syuara’ ayat 88-89: “Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anakpinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)”.

Bagaimanakah sifat hati yang sejahtera itu? Hati yang sejahtera itu akan mudah terdorong untuk melakukan kebaikan. Itulah hati yang mengenal Allah dan jatuh cinta dengan segala sifat keagungan-Nya. Hati yang tenang itu melihat musibah sebagai dugaan dan ujian tanpa menyoal ketentuan Allah.

Hati yang bahagia itu tidak membesarkan masalah tetapi menyedari ia suatu proses latihan daripada Allah. Hati yang bahagia juga sifatnya mudah memaafkan kesalahan orang lain malah tidak suka berdendam. Untuk mendapatkan hati yang sejahtera, maka ikhlaskan diri dalam setiap amalan malah belajar untuk menghilangkan sifat-sifat keji yang menyelaputi hati. Buang segala hasad dan dengki serta dendam kesumat yang tidak berkesudahan.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 69: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan Sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya”.

Mujahadah itu didikan kepada hati. Ia merupakan didikan untuk menjadikan hati kita tidak dididik dengan kaya harta tetapi miskin jiwa. Imam Ibnu al-Qayyim menjelaskan bencana yang menimpa jutawan dunia pada hari ini adalah akibat mereka berpaling tadah daripada Allah.

hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Kaya bukanlah diukur dengan banyaknya kemewahan dunia, namun kaya yang sebenar ialah kaya hati”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Untuk membersihkan hati, marilah kita melaksanakan perkara-perkara berikut:

1. Perbanyakkanlah membaca al-Qur’an kerana ia kunci mengingati Allah.
2. Basahkanlah lidah dengan zikir memuji kebesaran Allah. Mudahmudahan dengan apa yang dilafaz meresap ke dalam hati.
3. Berkawan dan bersahabatlah dengan alim ulama’. Semoga dibimbing ke jalan yang benar.
4. Sentiasalah menghadirkan diri ke majlis-majlis ilmu, agar mendapat petunjuk dan hidayah Allah yang sebenarnya.
5. Sentiasalah membaca جِيمالر طَانيالش نم ِبِاالله وذُأَع moga terhindar daripada gangguan bisikan syaitan.

“(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)! Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hamba-Ku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam Syurga-Ku!”. (Surah al-Fajr : 27-30).

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ Sayangi Diri, Jauhi Dadah

Petikan Khutbah Jumaat  19 Februari 2016M/ 10 Jamadilawwal 1437H JAWI

Khas Sempena Hari Anti-dadah kebangsaan 19 Februari 2016

Gejala pengedaran dan penyalahgunaan dadah perlu diberi perhatian serius kerana ia merupakan masalah ummah sejagat samada di peringkat nasional mahupun global, sekalipun Kerajaan telah mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara sejak tahun 1983 lagi.

Berdasarkan statistik yang telah direkodkan oleh Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) bermula pada tahun 2010 hingga 2014, purata bagi keseluruhan kes penagih baru adalah 68,308 dan penagih tegar 32,630 kes. Ini menjadikan jumlah keseluruhan penagih adalah sebanyak 100,938 kes.

Penagihan dadah merupakan fenomena sejagat yang kini dilihat sebagai ancaman kepada kesejahteraan individu, keluarga, masyarakat dan negara.

Penagihan dadah merupakan penyakit psiko-bio-sosial yang boleh menyebabkan seseorang individu yang terlibat akan mengalami masalah pergantungan fizikal dan psikologi terhadap dadah.

Selain itu, gejala penagihan dan pengedaran dadah boleh mengundang pelbagai tingkah laku anti sosial, anti undang-undang Negara, anti agama dan menjadikan seseorang individu itu tidak bertanggungjawab.

Dadah merupakan satu istilah khas yang merujuk kepada sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan dan kesejahteraan seseorang dari segi fizikal, mental dan emosi serta tingkah laku apabila disalahgunakan.

Kesan penyalahgunaan dadah berbeza mengikut jenisnya. Ia merangkumi dadah jenis bukan sintetik seperti heroin, morfin, candu dan ganja boleh menyebabkan penggunanya merasa khayal dan mengalami sindrom penarikan (gian).

Pengambilan dadah jenis ini melalui jarum suntikan boleh menyebabkan jangkitan penyakit bawaan darah seperti AIDS dan Hepatitis B.

Di samping itu, penagih juga akan mengalami kecelaruan mental dan menjejaskan fungsi kehidupan seharian seperti pembelajaran, pekerjaan, rumah tangga dan hubungan sosial. Manakala dadah jenis sintetik seperti syabu, pil ecstasy dan amphetamine adalah dadah jenis perangsang.

Penyalahgunaan dadah jenis ini akan mengakibatkan kesan yang lebih buruk seperti gangguan mental, hilang kawalan diri, bertindak agresif dan tingkahlaku ganas akibat daripada emosi yang terjejas.

firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 195 sepertimana yang telah dibacakan pada permulaan khutbah tadi sebagaimana maksudNya : “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang kali Ke-76 telah mengeluarkan fatwa pengharaman terhadap sebarang kegiatan dan penyalahgunaan segala jenis dadah adalah haram kerana ianya boleh membawa kemudaratan dan kerosakkan pada diri.

Hadis Nabi T SAW yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari Rahimahullah daripada Abu Musa AlAsy’ari R.HU : نْيَا ِن ُ ؤْمِ ِن كَالْب ُ ن لِلْم ؤْمِ ُ ا

Adapun langkah-langkah bagi mengatasi gejala pengedaran dan penyalahgunaan dadah adalah seperti berikut :

Pertama : Memberi kesedaran didikkan agama terhadap masyarakat
Kedua : Mengenakan hukuman berat terhadap pengedar dan penagih
Ketiga : Mewujudkan kerjasama di antara orang awam dan badan bukan kerajaan (NGO)
Keempat : Hentikan sikap suka mencemuh dan menyisih terhadap bekas penagih

Mengakhiri khutbah pada hari ini, beberapa pengajaran penting yang dapat diambil adalah :

Pertama : Hukum penyalahgunaan dadah adalah HARAM di sisi agama Islam. Semua pihak perlu menggembleng tenaga dan bersatu padu dalam membanteras segala usaha pengedaran dadah di Negara kita.
Kedua : Penagihan dadah akan menyebabkan seseorang itu lupa diri dan mengabaikan tanggungjawab sebagai insan muslim. Ketiga : Didikan agama yang mantap adalah mekanisme terbaik untuk membentengi diri dari terjebak dengan najis dadah.

Akhirnya marilah kita sama-sama merenungi firman Allah SWT dalam Surah AtTahrim ayat 6:Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan.”

Wallahualam.

Rapatkan saf, kerja kerana Allah

KONFLIK politik Kedah telah berakhir. Jemaah Pemangku Sultan Kedah memperkenankan Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah, Ahli Dewan Undangan Negeri Bakar Bata dilantik sebagai Menteri Besar baharu.

Kini bukan lagi masanya untuk berpolemik dan berkonfrontasi, tetapi merupakan masa untuk merapatkan saf dan barisan kepimpinan. Semua pihak perlu memilih untuk berjiwa besar mengutamakan perpaduan dan kepentingan rakyat. Pucuk pimpinan mesti terus mempertahankan integriti sebagai pemimpin yang sentiasa berdiri teguh bersama rakyat serta terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka, walaupun tanpa jawatan besar.

Islam sangat menekankan kepentingan hak-hak persaudaraan sesama Islam. Perpaduan umpama “gunung yang tinggi dapat dirobohkan dan lautan yang dalam dapat ditimbus, yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul“. Begitu juga Islam menekankan perpaduan dalam kalangan umat Islam sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan berpegang teguhlah kamu semua kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu berpecah belah.”

Perpaduan adalah kunci kejayaan. Umat Islam digesa supaya memupuk rasa muhibah dan persaudaraan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara,” (Surah al-Hujurat : 10)

Rasulullah SAW merakamkan satu perumpamaan yang amat cantik berkenaan kesatuan umat yang beriman dalam sabda baginda :

“Bandingan orang mukmin yang saling menyayangi dan berlemah lembut sesama mereka seperti tubuh badan yang satu, apabila satu anggota merasa sakit menyebabkan seluruh badan berjaga malam dan merasa demam,” - Riwayat Ahmad.

Begitu juga baginda memberikan beberapa garis panduan dalam memperkuatkan perpaduan dalam kalangan umat Islam sebagaimana sabda baginda yang bermaksud :

“Hubungan orang mukmin dengan mukmin yang lain seperti sebuah binaan yang saling kait mengait di antara satu sama lain,”- Riwayat Muttaq ‘Alaih).

Rasulullah SAW turut menambah : “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia kasih terhadap dirinya sendiri,” - Riwayat Ahmad, Tirmizi dan al-Nasa’i.

IKON SEJAGAT

Rasulullah SAW merupakan ikon pemimpin sejagat yang turut diakui oleh dunia Barat, begitu juga para sahabat r.a. yang menjadi ikutan ummah sepanjang zaman. Sirah merakamkan semasa pelantikan Sayidina Abu Bakar sebagai khalifah pertama, beliau menyatakan dasar kepimpinannya dalam ucapan sulungnya seperti berikut:

“Wahai manusia, sekarang aku telah dilantik untuk menjaga urusan kamu, tetapi aku bukanlah orang yang lebih baik daripada kamu. Orang yang kuat di antara kamu, pada sisiku adalah lemah, sehingga hak si lemah aku tarik daripadanya. Orang yang lemah di antara kamu, pada sisiku adalah kuat, sebab aku ambil daripada si kuat haknya….. jika aku berlaku adil dalam urusanku, sokonglah aku. Tetapi jika aku berlaku salah, betulkanlah aku kembali ….. Taatlah kepadaku selama aku taat kepada Allah dan Rasulnya. Tetapi kalau aku melanggar perintah-Nya janganlah mengikuti aku lagi…..”.

Inilah akhlak yang dirakamkan oleh para sahabat r.a. di mana pemimpin adalah wakil kepada rakyat, tidak mungkin seseorang pemimpin boleh berdiri jika tidak disokong oleh rakyat dan tanpa keyakinan serta kepercayaan daripada rakyat, tidak mungkin seseorang pemimpin itu terus berkuasa. Rakyatlah yang menjadi hakimnya.

Sirah turut merakamkan peristiwa perlucutan jawatan Khalid al-Walid sebagai panglima perang yang digantikan dengan Abu Ubaidah. Namun sebagai seorang panglima yang berintegriti tinggi beliau mengatakan “aku berperang kerana Allah, bukan kerana Umar. Panggillah Panglima Abu Ubaidah dan sampaikan berita ini kepadanya.”

Oleh itu, pemimpin Islam semestinya berlapang dada, mengamalkan keterbukaan, berunding secara objektif dan berusaha menimbulkan suasana pemikiran yang bebas, bertukar-tukar pandangan secara membina sehingga orang ramai merasa selesa ketika membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan bersama.

Pemimpin boleh datang dan pergi tetapi perjuangan untuk terus memberi khidmat kepada rakyat dan masyarakat akan tetap berlangsung. Apa yang penting adalah bersama menjalankan tugas yang diamanahkan kerana Allah. Setelah negara merdeka, perjuangan kita adalah untuk membangunkan negara, memodenkan negara dan seterusnya untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 serta membawa kehidupan yang lebih baik bagi semua.

Semua jawatan berbentuk sementara, seseorang pemimpin mengakhiri masa tugasnya dan pemimpin baharu akan hadir untuk melanjutkan tugas serta tanggungjawab tersebut. Pemimpin yang mengakhiri tugasnya pada masa yang sama mesti terus membantu rakyat walaupun tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan.

Negara akan menjadi lebih baik jika semua pihak berfungsi sebagai sebuah pasukan, saling lengkap melengkapi antara satu sama lain untuk mencapai kekuatan secara kolektif untuk manfaat bersama. Buat Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sekalung penghargaan dan jasamu dikenang. Untuk Ahmad Bashah, selamat menjalankan tugas dan semoga negeri Kedah maju jaya. - Utusan Malaysia Rencana Agama 17 Februari 2016 4:00PM

Makam para nabi , Jordan bumi anbia terakhir?

Jordan bumi anbia terakhir?

MUNGKINKAH Jordan menjadi satu-satunya bumi anbia terakhir? Apakah yang dimaksudkan bumi anbia terakhir? Kenapa begitu?

Tempoh 14 hari pada penghujung 2015 berada di sebahagian daripada tanah terkenal dalam sejarah dan tamadun Islam yang dahulunya dikenali sebagai Syam seolah-olah dirasakan begitu cepat berlalu. Kenapa begitu? Ia kerana wujudnya begitu banyak kesan peninggalan nabi dan rasul seperti makam, masjid, tempat kelahiran, tempat ibadat dan sebagainya yang mahu dilawati.

Perlu dipelihara elak musnah seperti di negara lain


TERSERGAM indah Kota Salahuddin Al-Ayubbi di Ajloun.

Dua minggu bukanlah tempoh masa yang mencukupi untuk berziarah ke tempat-tempat berkenaan kerana kebanyakan tempat berkenaan mengambil masa yang lama untuk sampai. Faktor ini disebabkan lokasinya yang terpencil, terletak di atas puncak bukit dan gunung selain kesukaran untuk mencari lantaran kurangnya maklumat dan kurang diketahui penduduk tempatan.

WARISAN 
SEMAKIN HILANG



MAKAM Nabi Daud a.s. yang telah diambil alih oleh Israel.

Jordan dilihat satu-satunya benteng warisan anbia terakhir. Negara berkenaan mesti memelihara, memulihara dan mempromosi kesan-kesan peninggalan anbia ini. Jordan bertuah kerana masih memiliki banyak warisan Islam berharga ketika banyak khazanah Islam di negara-negara Islam yang lain satu persatu musnah dek kerana angkara perang, pemusnahan secara sengaja atas alasan menghindari perkara khurafat mahupun terbiar tanpa dipelihara.

Makam, rumah, masjid dan pelbagai sisa warisan milik para anbia sedang dan telah lenyap satu persatu sama ada disedari ataupun tidak sepertimana yang berlaku di bumi Anbia di Syria, Iraq, Yemen , Palestin dan Arab Saudi.

Di Palestin suasananya mungkin sedikit berbeza. Jika tidak lenyap kerana perang atau dimusnahkan, ia bakal lenyap diambil alih oleh pihak Yahudi Israel atas alasan kononnya warisan para anbia ini milik mereka lantaran ramainya nabi dan rasul dalam kalangan Bani Israel. Sebenarnya antara Bani Isarel dengan kaum Yahudi yang ada sekarang ini bukanlah daripada keturunan yang sama. Di Palestin, Makam Nabi Daud a.s., Nabi Yaakob a.s. dan sebahagian Makam Nabi Ibrahim a.s. di Hebron serta beberapa makam yang lain telah dikuasai Yahudi Israel dan umat Islam dilarang ke sini. Terkini pihak Yahudi Israel sedang giat mempertingkatkan usaha untuk menguasai al-Aqsa, masjid ketiga suci bagi umat Islam.




KOTA ARKEOLOGI PETRA

Maka, sekiranya makam para nabi dan rasul di Jordan lenyap, ada kemungkinan dunia Islam akan kehilangan warisan dan tamadun paling berharga iaitu bukti kehadiran nabi serta rasul utusan Allah menyampaikan risalah kebenaran kepada manusia. Lantas, apa yang tinggal di Jordan ini sewajarnya menjadi benteng terakhir warisan para nabi dan rasul yang perlu dipertahankan.



BERHENTI seketika sambil menikmati teh panas dihidangkan oleh penjaga makam, Mohamad Ismail (kanan sekali) semasa dalam perjalanan ke Makam Nabi Harun a.s.

Antara makam yang masih terdapat di Jordan ialah Makam Nabi Yushak a.s., Nabi Yahya a.s., Nabi Sulaiman a.s., Nabi Ilyas a.s., Nabi Luth a.s., Nabi Khidir a.s., Nabi Hud a.s., Nabi Musa a.s. (mengikut kepercayaan penganut Kristian) dan ramai lagi. Makam yang dimaksudkan di sini bukanlah kubur yang menempatkan jenazah tetapi lebih merupakan tempat persinggahan mahupun tempat yang dipercayai ada kaitan dengan para nabi dan rasul semasa hayat mereka.

Perjalanan mencabar

Paling menarik ialah menjejaki Makam Nabi Harun a.s. yang terletak di dalam kawasan pelancongan terkenal di Petra, sejauh 320 kilometer dari bandar Amman. Makam baginda terletak tinggi di puncak gunung yang terpaksa mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan dari bawah iaitu melalui tiga peringkat perjalanan.

Pertama dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda dan sepanjang perjalanan pada peringat ini dapat disaksikan makam di puncak gunung, pemandangan di kiri kanan jalan yang mengasyikkan dengan panorama perkampungan suku Badwi di sekitarnya selain kesan-kesan peninggalan sejarah.

Peringkat kedua ialah dengan berjalan kaki mendaki teres gunung berbahaya. Pada peringkat ini kami dibantu oleh dua ekor keldai dan seorang pembantu dari suku Badwi untuk memikul peralatan sehingga sampai ke kawasan seterusnya iaitu selepas kira-kira sejam perjalanan. Kekuatan fizikal dan semangat, kesesuaian kasut dan pakaian serta sedikit kemahiran mendaki sangat membantu.

Diri terasa kerdil melihat keldai berjalan, memanjat, meniti sambil sesekali melompat laluan berbatu tanpa menunjukkan rasa sukar, sakit dan letih tanpa henti sedangkan kami berhenti beberapa kali untuk melepaskan lelah, minum air dan mengambil nafas. Begitulah anugerah Allah Tuhan Maha Besar lagi Maha Pencipta kepada haiwan seperti keldai. Kami tiba di bahagian terakhir yang lebih mencabar untuk naik ke puncak. Kedinginan persekitaran dengan cuaca antara 5 hingga 10 darjah Celsius hilang seketika sewaktu menghirup teh yang dihidangkan Penjaga Makam, Mohamad Ismail, 55, yang tinggal di kaki gunung.

Di peringkat ketiga, kami akhirnya tiba di puncak seterusnya menziarahi Makam Nabi Harun a.s. selepas memanjat anak-anak tangga melalui celah-celah gunung iaitu selepas kira-kira 20 minit mendaki. Makamnya terletak di dalam sebuah bangunan batu sepertimana yang disaksikan dari bawah. Baginda adalah saudara Nabi Musa a.s. yang menjadi pembantu kepada Nabi Musa a.s. sewaktu menyampaikan dakwah kepada kaumnya. Nabi Harun a.s. wafat ketika berusia 122 tahun.


Makam para nabi

MAKAM Nabi Yahya a.s. pula terletak di Mukawer iaitu kira-kira dua jam perjalanan dari Amman dengan kenderaan melalui jalan raya. Panorama indah boleh dinikmati sepanjang perjalanan sama ada padang pasir mahupun ladang zaitun, selain pekan-pekan kecil masyarakat Arab Jordan.


Umat Islam perlu mengambil kesempatan melawat


MAKAM Nabi Sulaiman a.s. terletak di sebuah lembah di antara gunung-gunung tandus. Sebelum ini terdapat tanda makam di dalam bangunan berbatu ini namun ia sudah diruntuhkan.

Makam Nabi Yahya a.s. juga terletak di atas gunung iaitu kira-kira 1,300 meter dari paras laut. Mendaki merentasi teres jalan yang disediakan walaupun nampak mudah mampu menghadirkan kesukaran buat mereka yang kurang cergas ditambah pula dengan cuaca di bawah 10 darjah Celsius. Tidak ada sebarang tanda makam mahupun kuburan di puncaknya melainkan sisa runtuhan Rom. Baginda dikatakan dipenggal kepala di atas puncak gunung ini oleh kaumnya sendiri lantaran melarang perkahwinan sesama ahli keluarga rapat sepertimana yang ditegah oleh Islam.



PAPAN tanda menuju Makam Nabi Sulaiman a.s. di Sarfah, berdekatan Kerak, Jordan.

Makam Nabi Sulaiman a.s. pula terletak di sebuah lembah di antara gunung-gunung tandus. Panorama di sini sememangnya indah dan memukau saujana mata memandang. Dahulu ada tanda makam di dalam bangunan berbatu ini namun ia sudah diruntuhkan. Nabi Sulaiman a.s. adalah anak kepada Nabi Daud a.s. dan dikenali kerana kehebatan baginda berkomunikasi dengan jin dan haiwan. Baginda wafat dalam keadaan duduk sambil memegang tongkat tanpa disedari rakyatnya buat beberapa ketika sehinggalah tongkat berkenaan patah dimakan anai-anai.

Selain makam, di Jordan juga terdapat Kota Salahuddin Al-Ayubbi, pahlawan Islam yang berjaya mengambil semula Jerusalem daripada pihak Tentera Salib di Adjloun; kota kaum Nabi Luth, sisa-sia runtuhan Empayar Rom dan Byzantine serta pelbagai lagi tanda dan sisa perjuangan para nabi dan rasul terdahulu.

INISIATIF

Tahniah kepada kerajaan Jordan yang mempunyai Jabatan Antikuitinya yang bertanggungjawab menguruskan warisan-warisan ini. Walau bagaimanapun, masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan terutamanya dari segi kebersihan. Pembinaan tandas dan surau, meletak papan tanda arah, meletak papan keterangan dan sebagainya dirasakan sangat perlu kerana membantu pelawat terutama umat Islam sedunia untuk mengenali dan menghayati perjuangan para nabi serta rasul terdahulu.



PENULIS bergambar di hadapan Kota Salahuddin Al-Ayubbi di Ajloun

Dari puncak Gunung Nebo jelas kelihatan Laut Mati yang bersempadanan dengan Palestin dan Israel. Sesekali kedengaran bunyi senjata Yahudi membadai bumi dan rakyat Palestin. Cukuplah Palestin dibadai dan jangan sampai ia membadai Jordan, mudah-mudahan teguhlah Jordan sebagai benteng warisan anbia terakhir!

Membina generasi khairo ummah

BEBERAPA hari lepas tersebar di media sosial kisah seorang murid tahun satu yang belajar di Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail 1, Muhammad Haziq Amsyar Ahmad Mustamam, 7, yang bersolat duha setiap hari pada waktu rehat.

Anak kecil ini juga turut mengajak kawannya untuk bersolat bersama-sama. Amsyar adalah anak kepada seorang guru dan doktor yang mementingkan didikan akhlak berbanding akademik.

Bapanya, Ahmad Mustamam Alang Ahmad menceritakan, beliau dan isterinya amat mementingkan akhlak anak-anak. Amsyar sejak usia lima tahun lagi sudah bersolat lima waktu.

Amsyar yang juga anak sulung daripada empat beradik ini juga boleh membaca 15 juzuk al-Quran dengan baik.

Media sosial terutamanya Facebook tidak pernah sunyi dengan kisah-kisah anak yang berjaya dibentuk dengan didikan Islam sebagai cara hidup. Walaupun masih kecil, namun sudah mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran dan juga berupaya mengalunkan ayat-ayat suci dengan betul tajwidnya sehingga ada yang mampu menjadi imam.

Ada yang mengatakan apabila seseorang itu menjaga hubungannya dengan ALLAH SWT, mudahlah baginya untuk menuju kejayaan.

Pastinya apa yang dilakukan Amsyar menjadi impian ramai ibu bapa di luar sana, kerana itulah generasi khairo ummah yang didambakan.

Ummah terbaik

Perkataan khairo ummah bukan sembarangan perkataan, ia adalah perkataan daripada tujuh petala langit kerana datang daripada ALLAH, ia bukan sembarangan gelaran sebaliknya label daripada ALLAH kepada umat Islam yang memenuhi ciri-ciri khairo ummah. Ertinya ia bukan panggilan daripada Rasulullah SAW, ini bukan kata-kata islamik.

Pendakwah, Ustaz Syaari Abdul Rahman dalam ceramahnya bertajuk Konsep Generasi Khairo Ummah dan Proses Pembinaannya mengulas, antara perkataan yang sangat popular dalam masyarakat Melayu di Malaysia adalah khairo ummah.

Dalam al-Quran terdapat banyak tempat ALLAH menyebut perkataan ummah dan ALLAH menyebut perkataan khairo ummatan hanya sekali sahaja iaitu dalam Surah Ali-Imran ayat 110. Khairo ummah atau dalam bahasa Melayu dimaksudkan sebagai umat terbaik.

"Sahabat seperti Umar Al-Khatab RA dan Ibnu Abbas RAH mengatakan, khairo ummah adalah umat yang suka tengok kebaikan pada orang lain. Saya suka tengok kebaikan sampai kepada peserta. Bila saya gemar tengok kebaikan menimpa seramai mungkin manusia sama ada Islam atau bukan Islam, kerana itulah ALLAH memuji golongan ini sebagai khairo ummah, ertinya satu umat yang suka sebar kebaikan ke seluruh dunia.

Hari ini, umat Islam digambarkan sebagai umat yang suka meletupkan rumah-rumah, restoran-restoran seolah-olah Islam ini menyebarkan keganasan. Itu bukan Islam!. Islam yang sebenar menyebarkan kebaikan meskipun kepada mereka yang belum mukmin, belum Islam.

"Apabila kita katakan mahu generasi khairo ummah, ALLAH bagi tahu ada tiga konsep yang boleh diaplikasikan. Pertamanya- Amar makruf, kedua- Nahi mungkar dan ketiga- Beriman kepada ALLAH. Apabila kita mahu lahirkan generasi khairo ummah, mesti berlandaskan kepada tiga KPI ini, amar makruf bermaksud memerintahkan kepada perkara kebaikan.

Makruf menjadi sebutan ramai tetapi sebenarnya makruf bererti sesuatu yang akal kata molek dan syarak kata baik, bukan ALLAH sahaja kata molek malah logik pun kata bagus. Contohnya puasa di bulan Ramadan, semua doktor memang mengharapkan Ramadan datang supaya kita semua mengamalkan budaya hidup sihat.

Puasa adalah perkara makruf di mana syarak, akal dan sains perubatan mengatakan puasa itu bagus untuk pesakit dan mengelakkan penyakit," terang Ustaz Syaari dalam Konvensyen Muslimah Serantau 2016 pada 30 Januari lalu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor.

Menurut beliau, ALLAH puji generasi terdahulu yakni sahabat kerana mereka berjaya mengaplikasikan dan menyempurnakan tiga konsep tersebut.

Perintah perlu ada kekuatan, apabila kita mengeluarkan perintahkan kepada sesuatu kita perlu ada kuasa, sebagai contoh jika kita seorang majikan kita boleh mengeluarkan pekeliling kepada kakitangan untuk ikut arahan yang dikeluarkan.

Apabila sebut al-amru, perlu ada kekuatan. Sebab itu Nabi SAW berjuang sampai ke Madinah, Nabi SAW  perintahkan sahabat jangan mati syahid di Makkah, "Jaga tubuh badan kamu teruskan perjuangan walaupun terpaksa pindah ke negeri lain," sebab di Madinah ada kuasa yang menyebabkan kita boleh mengeluarkan perintah dan orang boleh memberikan ketaatan.

Tapi manusia ini nalurinya tidak suka kena perintah, sama ada nak buat boleh, tak nak buat pun boleh.

Usah berlebih hidup bermewah

SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang melimpahkan nikmat-Nya dan menjanjikan buat mereka yang bersyukur untuk menambahnya. Mereka yang mengkufuri nikmat-Nya pula diancam dengan azab yang pedih.

Ketahuilah nikmat ALLAH atas hamba-Nya tak terkira banyaknya. Antaranya adalah apa yang ALLAH kurniakan buat kita pada zaman sekarang dalam bentuk harta, kesenangan, keamanan dan pelbagai bentuk kemudahan. Tidak dinafikan nikmat-nikmat ini adalah ujian ALLAH atas hamba-Nya dan mereka akan ditanya perihal apa yang mereka telah lakukan dengannya.

Ramai yang kini hidup senang, cukup makan minum, tempat tinggal, pakaian dan pekerjaan. Barangkali sampai mempunyai lebihan wang dan harta dalam pelbagai bentuk untuk simpanan dan pelaburan.

Hakikatnya nikmat kekayaan adalah satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul tetapi amat sedikit mereka yang berjaya.

Menyalahgunakan kekayaan

Antara penyalahgunaan pengurusan harta kekayaan sehingga berlaku pembaziran terbahagi kepada dua bentuk:

Pertama: Berlebihan dalam perbelanjaan atau membazir. Firman ALLAH: "Dan berikanlah kepada saudara kaum kerabatmu dan orang-orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros dan berlebihan. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." (Surah Al-Israa’: 26-27)

Kata Ibnu Mas’ud RA: "Membazir adalah perbuatan berbelanja dalam apa yang tidak sepatutnya. Adapun membelanjakan harta dalam apa yang hak, ia tidak dikira membazir."

Kata Mujahid RH: "Sekiranya seseorang itu membelanjakan seluruh hartanya dalam apa yang hak, maka itu tidak dikira membazir. Berbanding kalau dia membelanjakan hartanya walaupun sedikit dalam apa yang tidak sepatutnya, ia dikira membazir."

Kedua: Berlebihan dalam penggunaan. Seperti berlebihan dalam makan minum.

Firman ALLAH: "Dan makan minumlah dan jangan pula kamu berlebihan; sesungguhnya ALLAH tidak suka akan orang-orang yang berlebih-lebihan." (Surah Al-A'raaf: 31)

ALLAH menghalalkan buat hamba-Nya makan minum yang halal tetapi dalam masa yang sama ALLAH menegah perbuatan berlebih-lebihan dan melampaui batas. Ini kerana ia akan mengundang mudarat pada jasmani dan rohani.

Kekenyangan yang melampau akan menjejaskan kesihatan, menyebabkan malas bekerja di samping menimbulkan sifat angkuh dan sombong. Sabda Nabi SAW: "Tidak ada bejana yang diisi oleh anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah buat anak Adam beberapa suapan untuk tubuh badannya berdiri. Sekiranya dia enggan juga, maka sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk nafasnya." (Riwayat Tirmizi, sahih)

Sebahagian doktor kesihatan mengatakan: "Sekiranya manusia mengamalkan hadis ini nescaya mereka akan selamat daripada pelbagai masalah dan penyakit, dan farmasi-farmasi akan tidak laku." 

Mereka berkata demikian kerana asal segala penyakit adalah akibat lebihan lemak dan perut yang buncit.

Ternyata makan secara berlebihan juga akan menyebabkan hati menjadi keras dan mudah marah serta beremosi. 

Termasuk dalam erti pembaziran adalah perbuatan berlebih-lebihan dalam memuaskan selera makan minum dan menjamah segala yang diidamkan. ALLAH mencela golongan yang mengikuti hawa nafsu mereka dalam firman-Nya: "Setelah itu datanglah kaum-kaum yang mencuaikan solat dan menurut hawa nafsu; maka mereka akan berdepan dengan azab. Kecuali orang-orang yang bertaubat." (Surah Maryam: 59-60)

Telah sabit dalam sebuah hadis sabda Nabi SAW: "Sebaik-baik manusia adalah kurunku. Lalu mereka yang datang kemudian; lalu mereka yang datang kemudian. Setelah itu akan datang kaum yang memberi kesaksian tanpa diminta. Mereka berjanji tetapi tidak menunaikannya. Dan mereka kelihatan gemuk-gemuk." (Riwayat Tirmizi, sahih)

Sabdanya lagi: "Sesungguhnya apa yang aku paling khuatir atas kamu adalah nafsu syahwat perut dan kemaluan kamu dan kesesatan hawa nafsu." (Riwayat Imam Ahmad, sahih)

Imam Ahmad meriwayatkan dalam kitabnya Al-Zuhud, Nabi SAW bersabda: "Seburuk-buruk umatku adalah mereka yang diberi pelbagai nikmat; mereka makan pelbagai jenis makanan dan memakai pelbagai jenis pakaian, serta memfasihkan bicara mereka." 

Syarak cela hidup mewah

Termasuk dalam erti berlebih-lebihan yang dicela adalah bermegah-megah dengan pakaian mahal, kereta dan rumah mewah di samping boros dalam mengadakan majlis kenduri-kendara sehingga terpaksa menampung kos yang tinggi.

Semua ini termasuk dalam erti membazir membelanjakan wang dalam apa yang tidak diizinkan ALLAH. Kerana itu mereka akan disoal pada hari kiamat soalan penghisaban dan azab. Ini ditambah dengan mudarat yang disegerakan di dunia.

Maka perbuatan berlebih-lebihan dan bermewah-mewah dalam kesenangan dan kehendak dunia, banyak berehat, menggunakan pakaian cantik dan mahal, perabot dan segala perkakas berjenama yang menjadi idaman ramai manusia pada hari ini, kesemuanya termasuk dalam sifat kemewahan yang dicela.

ALLAH mencela orang yang bermewah dengan menjelaskan keburukannya dalam al-Quran. Maka disebutkan golongan yang hidup mewah adalah penentang rasul.

Firman ALLAH: "Dan Kami tidak mengutus kepada sesebuah negeri seorang rasul melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: "Sesungguhnya kami tetap mengingkari perutusan yang kamu bawa." (Surah Saba’: 34)

Juga disebutkan kehidupan mewah menjadi sebab kemusnahan umat. Firman ALLAH: "Kalaulah ada antara umat yang telah dibinasakan dahulu sebelum kamu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya daripada melakukan perbuatan-perbuatan jahat di atas muka bumi; tetapi sayangnya tidak ada yang melarang melainkan sedikit sahaja, iaitu orang-orang yang Kami telah selamatkan di antara mereka; dan orang-orang yang tidak melarang itu telah menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka lalu mereka menjadi orang-orang yang berdosa." (Surah Hud: 116)

Kata Ibnu Kathir RH: "Golongan yang menitik beratkan segala kemewahan" mereka terus menerus melakukan kemaksiatan dan kemungkaran tanpa mengambil peduli teguran dan nasihat yang diberikan kepada mereka sehingga azab menimpa mereka dengan mengejut.

Ternyata berlebih-lebihan juga termasuk di antara sebab yang melayakkan seseorang itu masuk neraka. Firman ALLAH: "Dan golongan kiri; alangkah seksanya keadaan golongan kiri itu. Mereka diseksa dengan angin yang membakar dan air yang menggelegak. Mereka diselubungi asap hitam. Yang tidak sejuk dan tidak pula memberi kesenangan. Sesungguhnya mereka sebelum itu dilalaikan oleh kemewahan." (Surah Al-Waqi'ah: 41-45)

Kesan hidup mewah

Ternyata tidaklah al-Quran menyebut apa jua bentuk kemewahan di dunia melainkan dalam bentuk celaan dan ancaman. Ini tidak lain kerana ia mengandungi mudarat dan bahaya.

Antaranya ia menghilangkan sifat kelelakian dan tahan lasak yang menjadi asas kekuatan dalam jihad dan ketika berdepan dengan keadaan yang sukar. Ia diganti dengan sifat lembut, malas, bersantai serta kecenderungan untuk banyak berehat dan tidak bekerja. Dengan sifat-sifat buruk ini hilanglah kekuatan umat Islam sehingga musuh dapat menguasainya.

Pepatah Arab mengatakan: "Kemewahan adalah penyakit kronik umat."

Kita memohon daripada ALLAH agar Dia membangkitkan hati kita daripada lamunan dan supaya kita dapat kembali ke pangkal jalan serta memperbaiki amal perbuatan kita.

ALLAH Maha Mengetahui keperluan hamba-Nya

PERINTAH yang dimaksudkan ini bukan perintah daripada manusia sebaliknya ia adalah perintah daripada ALLAH yang menciptakan kita, adakah kita lebih pandai daripada ALLAH? ALLAH Maha Mengetahui kelemahan kita, ALLAH memerintahkan kita menunaikan solat, ALLAH mengharamkan daripada mendekati perzinaan. ALLAH lebih tahu hikmahnya di sebalik perintah itu.

Tegur ada caranya

Ustaz Syaari yang juga Master Trainer dari Ibrah Paradigm Training & Consultancy menyambung lagi, maka generasi sahabat melakukan yanhauna anil mungkar. Nahar itu bukan yasuddu na anil mungkar diibaratkan seperti seseorang itu sedang berjalan menuju kepada kemaksiatan dan baru kita halang, semuanya sudah terlambat, tetapi yanhau (mencegah) maknanya kita sudah cegah sebelum dia keluar dari rumah untuk menuju perzinaan.

"Ini bukan merawat masalah tetapi mencegah masalah daripada berlaku. Tidak mudah untuk memerintahkan orang melakukan kebaikan, kena bersembang dan menjadi kawan terlebih dahulu sebab itu ayat sebelum ayat ini, ALLAH menyebut yad'u na ila khair barulah ya'muru na bil makruf wal yanhauna anil mungkar.

"Seseorang pendakwah itu kena sopan santun, kena bercakap atas dasar kawan. Kerana itu anda perlu ada daya tarikan, mana-mana manusia suka jika individu yang menyuruh dan menegurnya dengan wajah yang manis dan lemah lembut. Tetapi kalau menuturkan kata suruhan dengan sergahan dan bermuka bengis seperti: "Sembahyanglah," ada ke orang nak dengar?, tetapi individu yang menegur itu telah melakukan kebaikan, namun mana ada manusia suka apabila ditegur secara marah-marah," ulas beliau lagi.

Menurutnya, orang tidak ambil kisah berapa banyak ilmu yang kamu tahu mengenai halal dan haram, sebaliknya orang mengambil kisah sejauh mana kamu mengambil berat, peka dan sensitif kepada golongan yang didakwah. Ingatlah, perkataan pertama yang perlu ada dalam diri pendakwah adalah perasaan berkasih sayang dan yang keduanya barulah berdakwah.

Lihat, kepada Firaun yang paling ganas pun ALLAH perintahkan Nabi Musa AS bercakap secara elok dan lembut, sedangkan ALLAH isytiharkan Firaun adalah musuh utama sebabnya ALLAH mahu didik kita yad'u ila khair. Khair adalah penyebab kepada khair ummah (umat terbaik).

Apabila kita mahu menarik orang kepada kebaikan (khair). Perkataan khair jika kita tanya orang bukan Islam pun mereka akan kata ini adalah benda baik. Contohnya, menghormati ibu bapa, ia bukan dari ajaran Islam sahaja, ajaran sekular pun kata kena hormat ibu bapa, cuma bezanya dapat ganjaran pahala atau tidak.

ALLAH bantu kita, jika mahu perintah orang mendekati kebaikan, menjauhkan daripada kemungkaran, kita kena ada budaya tawasaubil hakki wa tawasaubilsabr (Surah Al-Ashr), rupa-rupanya ALLAH mahu kita menjadi individu yang sentiasa meninggalkan pesanan supaya sentiasa beriman dan berada dalam amal soleh.

Renunglah firman ALLAH: "Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran."  (Surah Al-Ashr: 1 hingga 3)

Lelaki berkuasa daripada wanita

Sementara itu, Ustaz Asmak Husin dalam pembentangannya bertajuk Peranan Muslimah Menjayakan Agenda Khair Ummah menjelaskan peranan wanita dalam Islam secara asasnya tetap sama. Pertamanya, kita kena membetulkan kembali pandangan semesta yang sahih mengenai wanita. Sesetengah pihak di luar sana yang memperjuangkan hak asasi wanita, mereka menuntut supaya wanita diberikan hak yang sama seperti lelaki. Sehinggakan kuasa talak itu turut diberikan sama rata kepada lelaki dan wanita. Keduanya, ramai yang anggap wanita Islam ini lemah dan dikongkong, kerana apa dikongkong sebab biasanya isteri berada di tapak kaki suami. Orang perempuan dikongkong juga sebab kena menutup aurat dan bermacam lagi.

"Ini menunjukkan tidak ada kebebasan asasi bagi wanita dalam Islam, sebab itu untuk membentuk khair ummah yang paling penting adalah kena faham apakah kedudukan wanita dalam Islam. Faham firman ALLAH dalam Surah At-Taubah ayat 71. Menjelaskan bahawa mukminin dan mukminat adalah sama dari segi mata ALLAH. Kita nampak tidak adil kerana ada pihak yang melihat Islam secara salah. Lelaki dan wanita memimpin antara satu sama lain.

"Lelaki dan wanita dalam Islam mempunyai tanggungjawab yang sama iaitu dalam melahirkan khaira ummah. Namun, kita kena lihat ayat yang bermaksud lelaki lebih berkuasa daripada wanita menyebabkan golongan orientalis memutar belitkan ayat ini. ALLAH menerangkan dalam ayat ini bahawa lelaki lebih berkuasa daripada wanita kerana kelebihan yang mereka (lelaki) miliki bukan maksud dari segi kedudukan. Perbezaan yang berlaku dalam Islam adalah kerana perbezaan fitrah," ulas Ustazah Asmak lagi.

Menurutnya, bekerja dalam agama, sama ada wanita atau lelaki, dua jantina ini dituntut. Lihatlah sahaja kisah sahabiah dan isteri Nabi SAW yang giat mendukung perjuangan dakwah Baginda SAW. Kalau wanita itu perlu duduk di rumah sahaja, kenapa isteri Nabi SAW tidak duduk di rumah?. Maknanya di sini, yang bertanggungjawab menjaga rumah tangga selayaknya adalah wanita kerana kelebihannya dari segi emosi, lebih prihatin dan detil. Tetapi, orang lelaki juga mempunyai tanggungjawab dalam rumah tangga iaitu membentuk hala tuju keluarga kerana mereka berupaya menggalas tanggungjawab yang lebih besar.

Ustaz Asmak berpesan, anak lelaki Islam dari kecil lagi perlu dilatih dengan tanggungjawab yang banyak. Berdasarkan gurunya, jika anak perempuan semasa kecil disuruh membasuh pinggan, sebaliknya anak lelaki perlu diberikan dua kerja dengan tujuan untuk melatihnya supaya apabila besar nanti mereka tidak akan rasa terbeban dengan kehadiran ibu dan isteri.

cabaran wanita

Banyak cabaran perlu dihadapi wanita hari ini, terutama imej. Maksud Ustaz Asmak, kita tidak ada wanita yang mempunyai ketokohan islamik seperti Siti Aisyah, Siti Khadijah, Ratu Balqis, Siti Zubaidah dan golongan sahabiah zaman Baginda SAW. Kebanyakan wanita hari ini dibayangi dengan lambang wanita bagus mengikut imej Barat.

"Dalam kehidupan hari ini, berapa banyak keluarga yang isteri menjadi suri rumah sepenuh masa. Kita lihat imej wanita zaman sahabat iaitu Asma yakni isteri kepada Zubir, adalah seorang wanita yang sangat taat kepada suami, bekerja dengan menjaga kebun milik suaminya tetapi mampu melahirkan anak yang soleh. Inilah imej yang patut dibawa oleh wanita Islam hari ini.

"Wanita juga turut dicabar dengan perihal keagamaan kerana teknologi yang hebat yang membawa masuk pelbagai anasir tidak elok, seperti baru-baru ini, viral di Facebook yang mengatakan sebenarnya pemakaian tudung tidak wajib kerana tidak dijelaskan dalam Quran perkataan tutup kepala hanya kata labuhkan tudung. Apa kita nak jawab? Kata mereka, cukuplah pakai selendang. Saya jelaskan kepada pelajar, ALLAH kata labuhkan jilbab (tudung), sebab itu kita kena belajar dan bukannya ambil sikit-sikit," tegas beliau lagi.

Menurut Ustaz Asmak,  wanita perlu diberi ruang melakukan rutin sebenar seorang wanita, contohnya jika wanita itu seorang ibu menyusu, bagi ruang padanya untuk menyusukan anak.

Menyentuh pembangunan khair ummah, wanita perlu tampil dengan imej ketokohan wanita yang islamik (Muslimah), pelihara apa yang ALLAH suruh baru terbentuknya generasi umat terbaik.

Satu ayat yang mengubah hidupku

ADA seorang lelaki telah membaca satu ayat al-Quran dan daripada situ keseluruhan hidupnya mula berubah. Tiga tahun sebelum itu hidupnya dalam kemaksiatan. Walaupun dia tidak rela dan tidak mahu hidup seperti itu dan sudah berusaha meninggalkan dosa namun dirinya tidak berupaya.

Sehinggalah satu hari dia duduk termenung lalu terbaca satu ayat dalam Surah An-Nisa ayat 108 yang bermaksud: "Mereka bersembunyi daripada manusia, tetapi mereka tidak bersembunyi daripada ALLAH, padahal ALLAH berserta mereka ketika pada satu malam mereka menetapkan keputusan yang ALLAH tidak redai.

Ketika dia merenungi lebih dalam ayat itu hati lelaki itu menjadi lapang dan dia berasa malu kepada ALLAH. Dari lubuk hati dia bertanya jujur kepada dirinya sendiri: "Apakah aku akan diterima oleh ayah, ibu atau siapa pun yang mengenaliku jika mereka tahu maksiat yang aku lakukan?"

Soalan dirinya dijawab oleh dirinya sendiri: "Tidak. Mungkin sekali tidak."

Dia lantas merenung dan bermonolog: "Jika aku malu kepada manusia, bagaimana dengan Tuhan manusia? Padahal Dia Maha Melihat segala sesuatu." Lelaki itu jadi malu kepada ALLAH. Dia terus memutuskan untuk meninggalkan kesemua maksiat yang dilakukan.

Berkat kurnia dan kemurahan ALLAH, dia diberi nikmat kebahagiaan fikiran dan juga perasaan. Bahkan dia menjadi yakin, sesiapa yang meninggalkan keburukan kerana ALLAH, nanti ALLAH menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

Yakini al-Quran

Dalam al-Quran ada 114 surah dengan 6,000 lebih ayat. Yang manakah membuat anda terpana dengan berasakan seperti ayat ini benar-benar ALLAH sampaikan untuk aku? Jika anggaran kita membaca al-Quran sejak umur tujuh tahun sehingga umur kita hari ini, dengan kelaziman membaca Al-Fatihah dan surah lazim dalam solat, budaya Yasinan malam Jumaat, dan pelbagai upacara keagamaan, bagaimana kesan ayat-ayat yang didengar sepanjang hidup kita itu?

Sedang kita meyakini kemukjizatan al-Quran sebagai peringatan, penawar, petunjuk dan rahmah, dari mana sisi mukjizat yang disebut ini terhasil dalam diri anda? Tepuk dada tanyalah iman.

Bayangkan anda ingin menjadi saintis, lalu anda ambil buku yang ditulis oleh ahli sains, Isaac Newton yang memformulakan hukum graviti sebagai rujukan. Buku itu ditulis pada kurun ke-17, dalam bahasa Latin. Walaupun buku itu hebat, terkenal dalam kalangan ilmuwan, namun jika anda tidak mempunyai kunci memahaminya, kehebatan buku itu tetap tidak anda rasai walau anda teramat sangat ingin mengambil manfaat darinya untuk menjadi saintis.

Lantas bagaimana pula dengan al-Quran? Keyakinan seorang Muslim tanpa ragu meyakini al-Quran sebagai kitab terhebat dari Pencipta, sebab itu kita bacanya dari kecil sehingga dewasa. Persoalannya, sudahkah manfaatnya anda peroleh? Walau dengan satu ayat.

Aktiviti bertadabur

Dalam kehidupan, al-Quran tidak mungkin berfungsi sebagai mukjizat yang mempengaruhi hati, jiwa dan anggota badan manusia kecuali dengan menerapkannya dan mempraktikkan dalam kehidupan. Penerapan tidak mungkin dilakukan kecuali dengan memahaminya. Pemahaman itu dibina melalui aktiviti tadabur dan tazakur.

Sheikh Al-Utsaimin mengatakan: "Seseorang tidak mungkin dapat mengambil nasihat al-Quran tanpa memahami makna-maknanya. Setelah tadabur ayat-ayat-Nya, tugas kita seterusnya adalah mengambil ibrah atau pelajaran untuk diamalkan.

Tadabur secara umum ayat-ayat al-Quran akan memberitahukan kepada pembaca perihal:-

(i) ALLAH

(ii) Ibadah

(iii) Sirat yakni jalan hidup.

Kami singkatkan sebagai AIS. Manusia datang dari ALLAH dan  kembali kepada ALLAH. Kehidupan fitrah berorientasikan kehambaan dengan setiap aktiviti hidup adalah ibadah. ALLAH telah menetapkan cara-cara mencapai kebahagiaan melalui cara hidup yang ditetapkan syariat.

Setiap 6,000 lebih ayat al-Quran yang dibaca dengan tadabur AIS di atas, lalu dilaksanakan tuntutannya, insya-ALLAH akan terlihat pengaruh luar biasa dalam perlakuan dan karakter diri.

Menyedari akan besarnya manfaat pemahaman dan tadabur, selain mendapat pahala yang dijanjikan atas setiap huruf dibaca akan memberi faedah, untuk kita memfokuskan hati ketika apa yang dibaca lisan.

Dengan demikian keduanya bersatu dalam tilawah. Seakan lisan mengumpul pahala dari jumlah huruf yang dibaca, dan hati mengumpul pahala dari renungan tadabur. Maka setiap ayat dan surah yang dibaca akan sentiasa memberikan makna baru, dengan izin, ilham dan rahmat yang diberikan ALLAH.

Hak beri nafkah tugas suami

KEHADIRAN Saidatina Khadijah Khuwailid sebagai suri dalam hidup Nabi Muhammad SAW memberi satu kekuatan dan tenaga pendorong untuk menghadapi tugas yang amat berat.

Beliau menjadi teman hidup yang dapat menghilangkan kesepian, memberi kehidupan pada kala duka, malah rela berkorban demi suami tercinta, Rasulullah SAW.

Beliau adalah seorang wanita yang dihormati dan dipandang tinggi serta suka membantu mereka yang lemah dan memerlukan.

Baginda yang digelar 'al-Amin' memperdagangkan barangan Khadijah serta mendapat keuntungan. Khadijah melamar Rasulullah SAW kerana tertarik dengan peribadi Baginda.

Usia Khadijah ketika itu ialah 40 tahun dan Rasulullah SAW pula 25 tahun. Namun demikian, persoalannya mengapakah Khadijah begitu terkesima dan kagum sehingga ingin melamar Rasulullah SAW sebagai pasangan hidup?

Bagi merungkaikan persoalan itu, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin ketika bersiaran dalam rancangan Pesona D'Zahra pada minggu lalu menjelaskan bahawa sifat amanah yang dipamerkan oleh Baginda dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat sedikit sebanyak menjadi faktor daya penarik untuk Khadijah melamar Baginda.

Sejarah membuktikan dengan sifat tanggungjawab yang ada pada Nabi Muhammad SAW membawa Baginda memperoleh keuntungan yang besar dan berlipat kali ganda ketika menjalankan menguruskan perniagaan Khadijah.

Justeru, dalam hal ini, sebagai umat Islam kita juga dituntut untuk mengikut jejak langkah Baginda SAW. Misalnya sebagai pekerja Muslim yang diberikan amanah, kepercayaan dan tanggungjawab yang besar seharusnya kita berusaha mencapainya dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, apatah lagi kita menyedari bahawa hasil daripada pendapatan itulah akan menjadi sumber rezeki yang halal dan punca kepada kebahagiaan untuk diri dan kesejahteraan keluarga.

Seorang pekerja yang diberi amanah besar mestilah sanggup bersedia melaksanakan tugas dengan cekap, pantas, teliti dan sempurna dan tidak berkira dalam melaksanakan tanggungjawab serta sentiasa melakukan kerja yang terbaik.

Ringkasnya, setiap individu memiliki tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya.

Hadis daripada Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu adalah bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang ketua negara adalah penjaga dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya, seorang suami adalah penjaga keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap keluarganya, seorang isteri adalah penjaga rumah tangga suaminya dan dia bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya, seorang khadam (pembantu) adalah penjaga terhadap harta tuannya dan dia bertanggungjawab terhadap dipimpinnya." (Riwayat al-Bukhari).

Bina keluarga bahagia

Tidak dapat disangkal lagi bahawa segala apa yang dialami oleh Rasulullah SAW adalah contoh panduan kepada seluruh umat Islam. Kehidupan dan keperibadian Baginda umpama manual panduan untuk dilihat dan dijadikan contoh oleh seluruh manusia dan seharusnya kita fahami bahawa Baginda adalah sebaik-baik contoh dan ikutan.

Dalam aspek membina keluarga bahagia, keperibadian Rasulullah SAW terhadap isteri dan anak-anak wajar dicontohi pasangan pada zaman kini.

Rasulullah SAW adalah seorang suami dan ayah yang sangat mengambil berat terhadap kebajikan keluarga. Walaupun Baginda seorang pemimpin masyarakat, kewibawaannya sebagai suami dan ayah tidak dapat ditandingi.

Nabi Muhammad SAW juga seorang suami yang ringan tulang, sering membantu isteri dalam urusan rumah tangga tanpa disuruh.

Sewaktu hayat Baginda, keprihatinan terhadap segala permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat ditangani dengan sebaik mungkin dalam usaha membentuk dan membina satu tamadun yang sangat gemilang dan dihormati seantero dunia.

Misalnya, Rasulullah SAW telah dijadikan sebagai tempat rujukan oleh masyarakat pada ketika itu dalam menangani peristiwa peletakan semula Hajar Aswad.

Menerusi tajuk perbincangan 'Kenapa Saidatina Khadijah Melamar Rasulullah SAW?' Ustaz Muhammad turut menekankan bahawa bagi memastikan kerukunan sesebuah rumah tangga dan keluarga, Islam menggariskan peraturan tertentu yang menjadi tanggungjawab suami iaitu pemberian nafkah kepada isteri.

Hukum atau peruntukan bagi suami menunaikan tanggungjawab itu jelas melalui firman Allah SWT: "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah mengikut kemampuannya . Dan orang yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah daripada apa yang diberikan Allah kepada (sekadar yang mampu) ..." (Surah at -Talaq, ayat 7).

Sumbangan isteri sedekah

Oleh itu, suami wajib memberi nafkah kepada keluarga mengikut kemampuannya. Dalam erti kata lain, berdosalah bagi suami yang menahan nafkah ke atas orang yang di bawah tanggungannya.

Kewajipan itu turut ditegaskan sebagaimana Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang memberi nafkah kepada isterinya, anaknya dan ahli keluarganya, maka ia (iaitu nafkah) yang diberikan adalah sedekah." (Hadith Riwayat Ibn Majah)

Dalam masyarakat hari ini, meskipun didapati suami isteri sama-sama bekerja, tanggungjawab memberi nafkah masih tetap terpikul di bahu suami. Bagaimanapun, isteri boleh membantu di mana yang sesuai.

Sumbangan isteri kepada keluarga ini dikira sebagai sedekah yang akan dibalas dengan ganjaran yang besar oleh Allah SWT.

Selaku umat Islam, kita hendaklah mencontohi rumah tangga Rasulullah SAW ke arah menjadikan keluarga sebagai syurga dunia.

Untuk itu, perjalanan hidup berumah tangga mestilah berpandukan ajaran Islam dan dijadikan tempat merealisasikan ajaran itu secara menyeluruh.

Selain itu, dalam isu pemberian nafkah, suami juga perlu memahami walaupun dalam situasi isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, tanggungan suami bagi memberikan nafkah zahir itu tidak hilang secara automatik meskipun dalam situasi di mana pendapatan isteri adalah jauh lebih besar daripada suami.

Islam mensyaratkan setiap lelaki sentiasa menjadi pelindung dan berbuat baik terhadap kaum wanita.

Sebagai pemimpin, suami dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan, kebajikan dan menyediakan keperluan hidup untuk isteri dan anak mereka.

Bagaimanapun, kita dapat melihat pada hari ini, sesetengah suami semakin jauh daripada menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka yang sebenar.

Mungkin kerana itulah mahligai indah yang dibina selama ini akhirnya runtuh akibat kurangnya kefahaman dan penghayatan suami terhadap nilai murni yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Malaikat Roman selidiki keburukan ahli kubur

AHLI kubur dibahagikan kepada dua kelompok iaitu mereka yang beriman dan sebaliknya. Bagi mereka yang beriman, Allah SWT akan menyediakan tempat yang tenang, tetapi sebaliknya bagi orang yang tidak beriman akan berada dalam kesengsaraan, sebagaimana perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani dalam slot Mau'izati di IKIMfm yang ke udara pada setiap Khamis, jam 5.15 petang.

Ibn Mas'ud meriwayatkan apabila dia berjumpa dengan Rasulullah SAW dan bertanya kepada Baginda apakah perkara pertama yang ditemui oleh penghuni kubur sejurus mereka dikebumikan.

Baginda menjawab: "Wahai Ibn Mas'ud, tidak ada seorang pun yang bertanyakan soalan ini kepadaku kecuali kamu.


Pertama sekali dia akan dipanggil oleh malaikat Roman yang bertugas menyelidiki keburukan ahli kubur.

Malaikat akan memintanya menulis segala amalan yang dilakukan ketika hidup di dunia dahulu.

Lalu apabila mayat memberitahu bahawa dia tidak memiliki kertas mahupun pen untuk menulis amalannya, kemudian disuruh oleh malaikat untuk menggunakan kain kapannya bagi menggantikan kertas, air liur sebagai dakwat, manakala jari sebagai alat untuk menulis.

Menulis amalan baik ketika hidup

Setelah malaikat mengoyak sebahagian daripada kain kapan, si mati akan mula menulis segala amalannya walaupun ketika hidup di dunia dahulu, dia adalah seorang yang tidak tahu menulis dan mengingati semua amalan baik mahupun yang buruk yang telah dilakukannya.

Kemudian malaikat akan mengambil dan melipat potongan kain kapan itu, lalu digantung pada leher si mati."

Sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Isra', ayat 13: "Dan tiap-tiap seorang manusia Kami kalungkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada Hari Kiamat kelak Kami akan keluarkan kepadanya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk ditatapnya)".

Selepas dikunjungi malaikat Roman, seterusnya si mati akan didatangi malaikat Mungkar dan Nakir.

Hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: "Seseorang ini, apabila jenazah mula diletakkan dalam kuburnya yang menyebabkan semua orang yang menghantarnya itu pulang, ketika itu dia mula mendengar bunyi tapak-tapak kaki mereka mula bergerak meninggalkan kuburnya.

Datanglah dua malaikat lalu diletakkannya bersandar pada kubur itu. Masing-masing akan mula bercakap dan berkata, "Apa yang ingin kamu sebutkan tentang lelaki ini (sambil menunjuk ke arah Rasulullah SAW)".

Lalu jenazah Mukmin itu menyebut, "Bersaksilah sesungguhnya dia hamba Allah dan juga Rasul-Nya."

Kemudian kedua-dua malaikat berkata: "Cuba kamu lihat tempatmu yang asalnya dalam neraka, sekarang Allah tukarkan tempat kamu ke dalam syurga Allah SWT".

Masing-masing akan memandang tempat yang akan diduduki bila berada dalam kubur nanti. Tetapi bagi mayat orang kafir apabila ditujukan soalan yang sama iaitu siapakah lelaki ini dalam hidupmu?, dia akan menjawab: "Aku tidak tahu".

Malaikat pula berkata: "Memang kamu tidak tahu, walaupun orang lain memberitahu, tetapi tiba-tiba kamu tidak pernah mengambil tahu mengenai Nabi Muhammad SAW."

Kemudian mayat itu dipukul kuat dengan besi di antara dua telinganya, sehingga jeritannya didengari oleh seluruh makhluk yang berada di sekitarnya kecuali jin dan manusia.

Menerusi hadis riwayat oleh Ibnu Mas'ud, Rasulullah menggambarkan dua malaikat itu berwarna hitam, taringnya mencecah ke bumi, rambutnya panjang sampai ke tanah, manakala suaranya ibarat bunyi petir yang dahsyat dan matanya bersinar ibarat kilat yang menyambar. Nafasnya bagaikan angin taufan.

Kedua-dua malaikat itu memegang palu besi yang seandainya dikumpulkan seluruh jin dan manusia pun tidak mampu mengangkatnya dan jika dipukul dengan palu itu ke arah gunung yang besar, nescaya gunung itu menjadi rata.

Jika ada orang yang memandang malaikat itu, mereka akan rasa gementar dan akan melarikan diri.

Malaikat akan memasuki mayat melalui hidungnya sampai ke bahagian dada dan pada ketika itu jenazah seolah-olah berada dalam keadaan nazak semula, tidak mampu bergerak dan berkata-kata sedangkan pada ketika itu sudah mampu mendengar dan melihat.

Kemudian malaikat akan meletakkan si mati dalam keadaan duduk sambil membentak dengan suara yang keras dan kasar sehinggakan tanah kubur bergerak bagaikan air mengalir masuk ke lubang.

Kemudian Baginda menceritakan, malaikat akan bertanya, siapa Tuhan kamu, apa agamamu, siapa Nabi kamu dan di mana kiblat kamu. Mayat orang yang beriman dan terdiri daripada ulama pilihan akan bertanya semula kepada malaikat, "Siapakah kamu berdua dan siapakah yang telah mengutuskan kamu?".

Sehinggakan malaikat berkata, "Dia benar, sudah cukuplah kita melakukan kekasaran terhadapnya, kerana dia sudah bersedia untuk kembali menghadap Allah."

Kubur diterangi cahaya

Setelah itu malaikat akan mula memasang sesuatu seperti sebuah kubah besar di atas kuburnya dan dibukakan baginya pintu syurga daripada arah kanan, diberi hamparan tempat tidur daripada syurga dan berbau sangat harum.

Lalu datang amalan kepadanya menyerupai wajah orang yang sangat disayanginya dan berbual-bual dengannya.

Kuburnya akan sentiasa diterangi cahaya dan berada dalam keadaan yang penuh ketenangan dan kegembiraan sehingga tibanya Hari Kiamat. Ini adalah gambaran keadaan yang dihadapi oleh mayat orang Mukmin yang diberi kelebihan oleh Allah SWT dan darjatnya ditentukan oleh banyaknya amalan yang telah dilakukan ketika hidup di dunia.

Rasulullah menjelaskan mereka ini melakukan amalan salih tanpa mempedulikan pandangan dan celaan orang lain terhadap perlakuan mereka itu sedangkan mereka tidak banyak menimba ilmu, tetapi banyak mengerjakan amalan.

Kepada mereka yang teragak-agak menjawab persoalan daripada malaikat Mungkar dan Nakir, dia akan mula dipukul dengan pukulan yang menyebabkan menyala api dari kuburnya.

Kadang-kadang api itu akan terpadam setelah beberapa hari dan ada kalanya terus menyala sehingga Hari Kiamat kelak.

Menurut Imam Qurtubi, antara punca tidak dapat menjawab soalan dalam kubur kerana timbulnya sifat ragu-ragu dalam dirinya terhadap agama Allah.

Oleh itu apabila dikurniakan nikmat agama, kita seharusnya memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT.

Tuntutan hak asasi abai batas agama bawa kehancuran

SERUAN kepada hak asasi manusia yang tidak terbatas sedang menular di Barat. Salah satu daripada tuntutan hak asasi manusia yang bertunjangkan kepada hak asasi manusia semata-mata tanpa garis panduan agama ialah tuntutan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

LGBT merujuk kepada satu kumpulan yang mempunyai orientasi seks sesama jenis. Lesbian ialah golongan wanita yang tertarik dengan wanita lain dari segi kecenderungan seks, manakala gay pula ialah mereka yang tertarik seks sesama lelaki.

Biseksual pula ialah mereka mempunyai kecenderungan seks kepada lelaki dan wanita. Transgender mempunyai perwatakan dan menyerupai gender yang berbeza dari asal-usul.


LGBT diamalkan Barat bertentangan Islam dan perundangan di Malaysia menolak budaya songsang. - Foto hiasan
Contohnya, seorang lelaki berperwatakan serta berpakaian seperti wanita.

Terdapat sesetengah transgender melakukan pembedahan pertukaran jantina.

Asalnya, hubungan sesama jenis tidak diterima langsung oleh masyarakat, tetapi atas desakan dan tuntutan hak asasi manusia, Barat melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menerima serta mengiktiraf golongan itu.

Negara Islam bantah tuntutan SOGI

Artikel 1 Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR 1948) telah ditafsir begitu longgar oleh Barat di mana ia meliputi segenap hubungan manusia.

Desakan itu dilihat dalam kebebasan manusia meliputi hak asasi manusia, orientasi seks dan identiti gender (SOGI) yang didasarkan oleh satu deklarasi tajaan Perancis-Belanda yang dikemukakan oleh Argentina pada perhimpunan PBB pada 19 Disember 2008.

Tuntutan supaya manusia dapat menikmati kehidupan tanpa perbezaan dari segi bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, agama, politik, pandangan, asal usul, harta, kelahiran dan status lain seperti yang dijamin dalam Artikel 2 Kovenan Antarabangsa Hak-Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (ICESCR) 1966 dan Artikel 26 Kovenan Antarabangsa Hak-Hak Sivil dan Politik (ICCPR) 1966.

Desakan mereka termasuk memastikan supaya prinsip tiada diskriminasi terpakai secara saksama kepada setiap insan tanpa mengira latar belakang orientasi seks dan identiti gender.

Tuntutan SOGI ini telah dibantah oleh negara Islam di bawah Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC). Satu kenyataan alternatif yang dibaca oleh Syria mewakili 57 negara Islam mempersoalkan tuntutan itu yang dianggap tidak mempunyai asas undang-undang dalam mana-mana instrumen hak asasi manusia antarabangsa.

Tuntutan SOGI ini juga ditolak oleh Malaysia bersama negara Islam lain yang membabitkan hak LGBT di Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva pada 14 Februari 2012. Malaysia mengambil pendekatan sama apabila ada tuntutan LGBT dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN pada 17-18 November 2012 kerana sepuluh negara ASEAN mempunyai perlembagaan berbeza dan kebebasan mutlak tidak boleh tercapai mengambil kira latar belakang agama serta etnik berbeza.

Walaupun tidak semua negara Barat menghalalkan perkahwinan sejenis, tetapi amalan seks sejenis tanpa mengira antara lelaki dengan lelaki atau wanita dengan wanita tanpa unsur paksaan dengan umur minimum 16 tahun adalah tidak menjadi kesalahan, malah dianggap perkara biasa.

Disebabkan terlalu melayan desakan hak asasi manusia tanpa batasan agama, negara dan masyarakat, Barat telah mengiktiraf golongan jantina ketiga dikenali sebagai LGBT.

Pengajaran kisah kaum Lut

Tuntutan hak asasi manusia secara mutlak tanpa ikatan agama akan membawa kepada kehancuran kerana sebagai manusia yang bersifat makhluk kejadian Allah SWT, hak asasi manusia tidak bersifat mutlak.

Dalam Islam hak terbahagi kepada tiga bahagian: hak Allah; hak manusia dan hak Allah dan manusia. Justeru, jika hak diberi secara mutlak kepada manusia, ia akan disalahgunakan dan lari daripada landasan yang betul.

Hanya manusia yang tiada pegangan agama sahaja melaungkan hak asasi manusia secara mutlak tanpa mengaitkan dengan pencipta-Nya Allah SWT. Kisah kaum Lut yang suka kepada aktiviti songsang diceritakan dalam al-Quran: "Dan (ingatlah kisah) Lut, ketika ia berkata kepada kaumnya: Mengapa kamu mengerjakan perbuatan keji itu sedang kamu mengetahui kekejiannya?" (Surah al-Naml, ayat 54)

Dalam konteks perundangan Malaysia, kesalahan liwat boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun. Seksyen 377A Kanun Keseksaan memperuntukkan persetubuhan bertentangan aturan tabi'i sama ada melalui mulut atau dubur akan dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, sesiapa yang melakukan hubungan seks luar tabii secara sukarela, akan dihukum penjara maksimum 20 tahun, termasuk sebatan.

Hukuman bagi kesalahan liwat mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri-negeri yang terpakai ke atas orang Islam sahaja boleh didenda tidak melebihi RM5,000, penjara tidak melebihi tiga tahun, enam sebatan atau kombinasi hukuman itu.

Bagi kesalahan mushaqah (perempuan dengan perempuan) seksyen 26 Akta sama turut memperuntukkan hukuman serupa.

Golongan transgender yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di tempat awam atas tujuan tidak bermoral jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Hukuman elak keburukan Tujuan sebenar hukuman dikenakan ke atas golongan LGT supaya gejala buruk yang tidak bermoral ini dapat dijauhi oleh orang Islam khususnya dan manusia amnya.

Ini bagi mengelak keburukan akibat daripada perbuatan tidak elok itu. Memandangkan amalan LGBT menyimpang jauh daripada ajaran agama Islam dan agama lain serta tidak sesuai dengan budaya hidup ketimuran, Barat tidak wajar memaksa kita menerima budaya songsang itu.

Keutamaan dalam konsep maqasid syariah untuk memelihara agama dan keturunan dengan penekanan kepada maslahah ummah hendaklah menjadi tunjang dalam melaungkan hak asasi manusia yang bersifat kolektif berbanding tuntutan bersifat individu yang boleh mengancam akidah Islam.

Al-QURAN: "Dan (ingatlah kisah) Lut, ketika ia berkata kepada kaumnya: Mengapa kamu mengerjakan perbuatan keji itu sedang kamu mengetahui kekejiannya?" - Surah al-Naml, ayat 54

Sukuk perkukuh penyebaran hukum Islam di Barat

TIDAK dinafikan bahawa Islam mampu disebarkan dalam pelbagai bentuk dan cara. Persoalannya, bagaimana kebijaksanaan dalam mengembangkan syiar Islam.

Undang undang Islam bukan hanya berkisar kepada jenayah hudud atau qisas semata-mata malah pelbagai aspek meliputi politik (Ahkam al-siyasiyyah), komersial (muamalat), ibadat (fiqh ibadat), perundangan keadilan (Ahkam al-Qadha) serta jenayah (fiqh al-jinayat).

Kewangan Islam menyebarkan undang-undang Islam dengan prinsipnya seperti diharamkan bermuamalat dengan riba, dilarang menyewakan premis yang melakukan amalan ditegah al-Quran seperti berjudi, pelacuran, menilik nasib atau minum arak.


Dengan memperkenalkan produk kewangan Islam seperti sukuk, musyarakah, mudharabaha, ijarah, tawarruq, murabahah dan sebagainya, ini bererti pihak terbabit dalam kontrak bersetuju mengikat kontrak menurut lunas syariah.

Kewangan Islam ubah cara hidup

Menariknya, kewangan Islam pada hari ini mampu mengubah cara hidup sesebuah komuniti, apatah lagi sebuah negara.

Kewangan Islam bukan hanya dipandang sebagai alternatif perbankan konvensional, malah ia mampu menjadi aras pandu sesebuah komuniti.

Ini terbukti apabila Canselor Kewangan Britain, George Osborne dalam usaha menjadikan UK sebagai Hab Kewangan Islam pada Jun 2014, tiga bangunan kerajaan di Whitehall ditukar kepada Bon Islam yang menjana sebanyak STG200 juta (RM1.19 bilion).

Rencana ini mengupas bagaimana sebuah negara bukan Islam terkesan dengan tempias muamalat Islam.

Dilaporkan pada 2010, satu sukuk boleh ubah (convertible) yang bertempoh empat tahun telah diterbitkan di UK bagi membiayai sebuah projek penghasilan tenaga bersih dilanggan penuh oleh Millenium Private Equity, sebuah syarikat kerjasama Kerajaan Dubai.

Pada November 2013, Perdana Menteri Britain, David Cameron mengisytiharkan bahawa London akan berdiri sama megah seiring dengan Kuala Lumpur dan Dubai sebagai hab kewangan Islam dunia.

Terbaharu, pada 2014, UK berhasrat menjadi hub kewangan Islam dunia. UK menjadi negara Eropah pertama menerbitkan Sukuk Berdaulat yang menggunakan kontrak Ijarah bernilai STG200 juta.

Sukuk Ijarah ini membabitkan tiga aset hartanah kerajaan UK sebagai aset sewaan dan struktur ini menepati kehendak piawaian syariah antarabangsa seperti kehendak Basel III mahu pun AAIOFI Standards.

Richmond House adalah antara contoh undang-undang Islam mampu bertapak menerusi sistem kewangan Islam.

Richmond House adalah antara tiga bangunan Whitehall yang ditukar kepada 200 juta nilai sukuk Islam.

Dengan pembabitan sukuk ijarah ini, Perbendaharaan UK tekal memberi komitmen patuh syariah seperti menghalang jualan minuman keras dalam premis tersebut.

Berasaskan undang-undang syariah, sukuk mengharamkan pemberian faedah serta perkara ditegah syarak seperti sewaan kepada premis menjual arak, aktiviti pelacuran, perjudian dan sebagainya.

Perbendaharaan UK bersetuju mengeluarkan sukuk patuh syariah bagi memastikan pelabur kekal dengan pelaburan tersebut serta terma kontrak dipatuhi. Ini bererti, tiga bangunan sebagai aset yang menggunakan sukuk sebagai medium transaksi, wajib melaraskan transaksi menurut syariat Islam seperti tidak dibenarkan membuka restoran berasaskan alkohol.

Sekiranya terma ini dilanggar, maka ia bermaksud pelanggaran kontrak. Dilaporkan oleh Daily Mail, bahawa Jabatan Kesihatan dan Wellington House berada di bawah undang-undang Islam sejak 2014.

Sukuk adalah sijil yang memiliki nilai hak milik yang tidak boleh dibahagi atau dipecahkan dalam aset, manfaat dan perkhidmatan sesuatu pelaburan. Ia sekuriti pelaburan tetap bagi pelabur.

Seperti dicatat Imam Malik dalam Al-Muwatta, penggunaan sukuk terawal bermula pada zaman Khalifah Umaiyyah pada abad pertama hijrah di bawah pemerintahan Khalifah al-Marwan ibn al-Hakam.

Sukuk adalah instrumen hutang yang dikeluarkan oleh sesuatu kerajaan atau badan korporat untuk mendapatkan dana tambahan bagi tujuan pembiayaan projek.

Istilah sukuk berasal dari bentuk jamak bahasa Arab iaitu 'sakk' yang bermaksud dokumen atau sijil.

Sukuk adalah sijil atau dokumen bukti pemilikan pro-rata ke atas sesuatu aset pendasar dan sukuk bebas diniagakan pada kadar par, premium atau diskaun.

Sukuk berkembang cepat, inovatif

Sukuk adalah sijil bernilai sama yang mewakili pemilikan yang tidak boleh dibahagikan atau pelaburan dalam sesuatu aset, mengikut prinsip dan konsep syariah dan disahkan oleh Badan Penasihat Syariah.

Aset pendasar atau pelaburan portfolio ekuiti dalam sekuriti patuh syariah yang boleh digunakan adalah tanah, bangunan, jentera dan peralatan yang tidak terbabit dalam aktiviti yang ditegah.

Sukuk berkembang dengan cepat dan inovatif. Terbaru, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mengeluarkan garis panduan sukuk berasaskan tanggungjawab sosial.

Berdasarkan garis panduan tersebut, Khazanah Nasional Bhd, menerusi syarikat terbitan khas, Ikhsan Sukuk Bhd, berjaya menerbitkan sukuk pelaburan mapan dan bertanggungjawab berdenominasi ringgit berjumlah RM100 juta bagi tujuan pendidikan.

Hasil penerbitan sukuk tersebut disalurkan kepada Yayasan Amir, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan bagi menguruskan pengaliran tunai untuk pelaksanaan Sekolah Amanah.

Ini tamparan hebat kepada Bon Impak Sosial (Sosial Impact Bond) hasil keluaran konvensional.