February 22nd, 2016

Baitulmal perlu lebih proaktif

BAITULMAL ertinya per­bendaharaan atau tempat sim­panan wang hasil ku­tipan zakat daripada umat Islam. Zakat adalah salah satu rukun Islam yang tidak boleh dinafikan oleh umat Islam. Setiap umat Islam yang mempunyai kekayaan, wajib membayar zakat kerana ini adalah salah satu cara untuk menyelesaikan permasalahan kemiskinan dalam kalangan umat Islam.

Setelah Rasulullah SAW wafat, kumpulan murtad yang diketuai Musaylamah al-Kazzab menyebarkan propaganda bahawa zakat tidak wajib. Sikap dan tindakan Musaylamah dan kumpulannya menyebabkan Sayidina Abu Bakar yang adalah pemimpin umat Islam ketika itu mengisytiharkan peperangan terhadap kumpulan tersebut.

Sebelum Sayidina Abu Bakar menyerang kumpulan berkenaan, Sayidina Umar al-Khattab menegur beliau dengan katanya bahawa Rasulullah SAW tidak membunuh orang murtad. Abu Bakar me­negaskan bahawa beliau menyerang Musaylamah bukan disebabkan murtad tetapi propagandanya mempengaruhi umat Islam menghapuskan zakat adalah kegiatan yang boleh menggugurkan salah satu rukun Islam dan memberi kesan yang paling buruk terhadap struktur kemasyarakatan Islam di mana orang miskin akan mende­rita tanpa pembelaan. Setelah mendapat penjelasan tersebut Saidina Umar bersetuju dengan keputusan Sayidina Abu Bakar.

Para pemimpin negara Islam sejak pemerintahan Khulafa’ al-Rashidun sehingga terbinanya empayar Islam yang agung amat prihatin terhadap penderitaan rakyat. Pelbagai kegiatan dilakukan untuk menjamin keperluan asas rakyat dipenuhi. Sistem pengutipan zakat dipertingkatkan oleh umat Islam sehingga terbentuknya Baitulmal yang adalah perbendaharaan negara yang mampu membangun negara dan menjana kewangan kepada rakyat yang miskin.

Baitulmal diperkembangkan sebagai institusi kewangan dalam negara Islam. Khalifah Umar al-Khattab memulakan penubuhan Baitulmal secara mantap dengan persetujuan para sahabat Rasulul­lah SAW. Beliau menubuhkan pusat perbendaharaan ini di Madinah.

Baitulmal yang berasaskan kepada kutipan zakat dan cukai diperkembangkan lagi oleh pe­mimpin Islam selepas beliau sebagai institusi kewangan negara yang mantap dan kukuh. Konsep dan peranan Baitulmal sebagai ins­titusi kewangan dan perbendaharaan negara yang prihatin terhadap ke­perluan rakyat, orang miskin, anak-anak yatim dan sebagainya menjadikan negara Islam sebagai negara kebajikan.

Berdasarkan penjelasan tersebut maka Baitulmal yang ditubuhkan dalam Malaysia sepatutnya memperkembangkan konsep dan pe­ranannya sebagai sumber kewang­an bagi umat Islam yang miskin dan golongan yang memerlukan bantuan walaupun kegiatan tersebut adalah agenda negara keseluruhannya. Baitulmal yang mendapat dana hasil daripada kutipan zakat umat Islam dalam negara ini sepatutnya mempelbagaikan kegiatan yang berbentuk bantuan kewangan kepada umat Islam seperti me­nubuhkan agensi pinjaman peribadi sepertimana dilakukan oleh bank dan agensi pinjaman peribadi lain.

Pegawai yang mempunyai kepakaran dalam soal kewangan dan pinjaman sepatutnya dilantik untuk mengendalikan kegiatan ini kerana kurang kepakaran dan pengalaman dalam urusan kewangan menyebabkan program dan kegiatan yang dilaksanakan itu gagal untuk mencapai objektif penubuhan Baitulmal.

Baitulmal sepatutnya lebih peka terhadap permasalahan masyarakat Islam yang miskin dan memerlukan bantuan kewangan terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dan harga keperluan hidup seharian semakin tinggi.

Konsep dan peranan Baitulmal perlu dikaji secara terperinci supaya individu yang layak menerima zakat tidak ketinggalan untuk mendapat bantuan daripada perbendaharaan ini. Individu yang terdesak dengan permasalahan wang sering terdorong untuk membuat pinjaman wang daripada agensi-agensi yang diharamkan oleh Islam jika permohonan mereka melalui bank dan agensi pinjaman peribadi yang diiktirafkan oleh Islam menolak permohonan mereka.

Dalam keadaan terdesak dan kebuntuan pemikiran mereka akan terperangkap dengan agensi pinjaman wang haram seperti along. Tinjauan penulis terhadap agensi pinjaman wang haram ini secara rambang menunjukkan ramai umat Islam masih menggunakan agensi ini untuk mendapat wang bagi mengatasi masalah kesulitan hidup.

Persoalannya, dengan sumber kewangan yang begitu banyak disumbangkan oleh umat Islam kepada Baitulmal untuk membantu umat Islam yang mempunyai kesempitan hidup seperti mendapat pinjaman peribadi bagi menyelesaikan permasalahan hidup adakah mereka tidak layak untuk menerimanya? Sedangkan dalam Islam, umat Islam yang terdesak untuk membayar hutang berhak mendapat bantuan zakat bagi menyelesaikan masalah hutang.

Dalam konteks masa kini penubuhan skim pinjaman peribadi amat perlu diperkenalkan Baitulmal bagi mengelak umat Islam terjebak dengan skim pinjaman haram yang diharamkan oleh Islam.

Sistem pinjaman yang ingin diperkenalkan itu tidak sepatutnya sama dengan bank dan agensi pinjaman peribadi lain kerana skim pinjaman yang diperkenalkan oleh agensi-agensi tersebut lebih mementingkan keuntungan bukan bantuan atau kebajikan.

Sedangkan konsep pinjaman Baitulmal lebih menumpukan kepada kebajikan dan bantuan. Jika tidak wujud agensi pinjaman berbentuk kebajikan dan bantuan maka semakin ramai umat Islam yang terdesak dalam kehidupan akan terjebak dengan skim pinjaman haram.

Jika Baitulmal mampu menubuhkan skim pinjaman kebajikan secara berkesan dan komprehensif maka umat Islam yang miskin dan terdesak dapat merasai Baitulmal adalah tempat yang paling baik untuk mereka membebaskan diri daripada kesempitan hidup. Skim pinjaman peribadi yang diperkenalkan perlu berdasarkan kepada kategori peminjam.

Golongan yang kurang berkemampuan membuat pinjaman memulangkan wang mengikut kadar wang dipinjamkan kepada mereka. Bagi golongan yang meminjam wang untuk urusan perniagaan secara kecil-kecilan wang yang dipulangkan itu perlu disertai dengan zakat hasil perniagaan mereka. Surat perjanjian pinjaman perlu disertai ketika membuat pinjaman supaya umat Islam tidak cuai dalam urusan membayar hutang.

Jika skim pinjaman ini ditubuhkan maka Baitulmal juga dapat menambahkan sumber dana hasil daripada sumbangan zakat daripada peniaga Islam yang meminjam daripada institusi tersebut. Ini adalah satu cara dapat membendung umat Islam terjebak dengan agensi peminjam haram yang semakin berleluasa masa kini terutama ketika ekonomi negara tidak menentu.

Individu-individu yang bertugas dengan Baitulmal perlu proaktif melaksanakan tugas mereka secara berhemah dan dedikasi supaya peranan Baitulmal dapat memenuhi konsep dan peranannya sebagai institusi kebajikan umat Islam sepertimana dituntut oleh Islam

- Saodah Abd Rahman Utusan Malaysia Rencana 19 Februari 2016 6:20 PM

Beza pendapat 
dirai, bukan taksub

UMAT Islam hari ini sebenarnya telah banyak kehilangan harga diri serta maruah disebabkan terlalu merumitkan perbezaan pendapat di sekitar hal yang mandub (bentuk keagamaan yang sifatnya hanya dianjurkan) dan mubah (harus). Sesetengah kelompok atau aliran menganggap fahaman mereka sahajalah terbaik dan menjadi pewaris Islam yang sebenar. Hakikatnya dendam antara aliran-aliran dalam Islam terus membara dan menjadi masalah dalam penyatuan Islam sehingga melahirkan konflik berdarah.

Mengenai penghargaan atas perbezaan pendapat, Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Perbezaan pendapat (dalam kalangan) umatku adalah rahmat.’’ (Riwayat al-Baihaqi). Justeru, tidak hairan dalam Islam ada beberapa mazhab dan aliran. Dalam fiqh ada beberapa mazhab yang paling tersohor iaitu Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hambali.

Selain itu, ada juga mazhab fiqh lain, meskipun tidak sebesar mazhab yang empat tersebut seperti Zahiri dan Jaafari. Islam bersikap toleransi dalam perbezaan pendapat sejauh ia tidak membawa perpecahan. Al-Quran mengingatkan, “Dan berpeganglah kamu semua dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai...’’ ( al- Imran ayat 103).

Para fukaha sepakat menyatakan fiqh adalah hasil ijtihad mereka melalui pendekatan berfikir tertentu. Kerana pendekatan yang mereka gunakan berbeza-beza, maka hasilnya pun berbeza-beza. Setiap fukaha yang melakukan ijtihad akan mendapat pahala, baik hasil ijtihadnya benar ataupun salah.

Mereka berpegang pada prinsip ijtihad yang menyatakan apabila seorang hakim melakukan ijtihad dan hasil ijtihadnya itu benar, maka ia akan mendapat dua pahala, dan apabila hasil ijtihad itu salah, maka ia akan mendapatkan satu pahala. Tidak seorang pun di antara mereka mengetahui apakah hasil ijtihadnya benar atau salah. Mereka melakukan ijtihad agar tidak terjadi kekosongan hukum tentang suatu tindakan.

Atas dasar prinsip tersebut, para fukaha menghargai perbezaan pendapat. Tidak ada seorang pun di antara mereka berani menganggap hukum yang diperolehnya melalui ijtihad adalah hukum Allah, tidak pula menyatakan hasil pemikirannya sahaja yang benar, sedangkan hasil pemikiran orang lain salah. Bahkan, para khalifah sekalipun tidak bersikap pada peringkat menyalahkan pemikiran orang lain.

Abu Bakar As-Siddiq, misalnya mengatakan apabila pendapatnya benar, maka kebenaran itu atas petunjuk Allah dan apabila salah maka kesalahan itu daripada dirinya dan syaitan. Umar bin Khattab mengatakan: “Hai manusia sesungguhnya pendapat yang benar itu hanya ada pada Rasulullah SAW kerana Allah SWT memperlihatkan kebenaran itu kepadanya. Ada pun pendapat yang kita hasilkan hanya merupakan perkiraan dan usaha sungguh-sungguh. Oleh itu, laksanakanlah apa yang disunahkan Allah SWT dan Rasul-Nya, dan janganlah menjadikan pendapat yang keliru sebagai sunah.’’

Kesedaran di atas dimiliki oleh pengasas mazhab. Mereka mengatakan apabila ada hadis atau pendapat yang lebih kuat dan lebih baik dari pendapatnya, maka itulah pendapat yang diikutinya. Kesedaran ini menunjukkan para imam mahzab menganjurkan kepada pengikutnya agar membuang hasil pemikirannya apabila mereka menemukan hasil pemikiran yang lebih kuat. Di samping itu, mereka menghendaki lahirnya rasa toleransi antara umat dan menghilangkan sikap fanatisme terhadap sesuatu pendapat.

Perselisihan pendapat tidak dapat dihindari kerana setiap fukaha mempunyai jalan pemikiran masing-masing. Namun para fukaha sepakat menyatakan al-khuruj min al-khilaf mustahabb (keluar dari perselisihan dianjurkan). Prinsip dalam perbezaan pendapat (khilafiah) baik yang bersumber dari nas al-Quran mahupun hadis berdasarkan atas prinsip umum agama, iaitu memelihara kesatuan dan sikap berhati-hati di dalam agama.

Ulama-ulama salaf memang sering berbeza pendapat, namun mereka hanya berbeza dalam cara pandangan dan fikiran yang tidak mengakibatkan perpecahan. Mereka hanya berikhtiar dan tidak bertafarruq (berpecah). Mereka memahami mempereratkan ikatan batin lebih utama dan berusaha membersih dan menghilangkan penyakit jiwa dalam diri.

Rasulullah SAW menyedari bahawa keabadian umatnya bergantung kepada keeratan ikatan hati masyarakat yang saling kasih-mengasihi kerana Allah.

Sedangkan kehancuran dan perpecahan umat Islam berkait rapat dengan keretakan ikatan batin Muslim. Untuk menghindari hal itu, baginda sangat mengharapkan agar umatnya menghindari perselisihan (ikhtilaf) di antara mereka. Dalam hal ini beliau bersabda yang bermaksud: “Kamu sekalian jangan berselisih, sebab perselisihan akan menimbulkan keretakan di dalam hati kamu’’. (Hadis riwayat Bukhari).

Nabi sendiri bersikap toleransi dan sedaya upaya mengelak daripada berlakunya perselisihan. Contohnya, pada satu masa baginda pernah berkeinginan menambah satu lagi pintu Kaabah sehingga menjadi dua pintu tetapi keinginan itu disimpan untuk menghindari kontroversi dalam kalangan para sahabat ( Riwayat Bukhari).

Demikian juga para sahabat sedapat mungkin berusaha menghindari perbezaan pendapat. Sehingga, mereka tidak terlalu banyak mempersoalkan masalah-masalah furu’. Para sahabat berusaha menentukan pendapat berdasarkan petunjuk Rasulullah SAW. Dengan itu, penyelesaian masalah yang timbul tidak harus berasaskan perselisihan, apalagi pertengkaran dan perpecahan.

Berasaskan perspektif ini, sudah sewajarnya segala bentuk perbincangan sama ada digelar dengan halaqah, debat, mujadalah, muzakarah, mabahis dan sebagainya, perlu dalam kerangka mengelakkan elemen pergaduhan dan perpecahan. Sebagai seseorang yang diberi amanah ilmu dan pengetahuan agama yang memadai oleh Allah, jangan pula sampai terlajak kepada sikap ‘kamu tak tahu ke siapa saya’. Mereka juga perlu menanggalkan ego dan unsur ananiyah dalam diri sekiranya ingin diterima oleh semua kalangan Islam di negara ini. Wallahu a’lam.

- Mohd Shauki Abd Majid Utusan Malaysia Rencana Agama 19 Februari 2016 6:25 PM

Apabila kemaksiatan sudah jadi perkara biasa

PEPATAH Melayu ada menyebut, 'alah bisa tegal biasa' yang membawa maksud perkara yang susah akan menjadi senang jika ia selalu dilakukan. Ia juga boleh diertikan sebagai sesuatu yang pada awalnya ganjil, lama kelamaan diterima sebagai perkara normal.

Bagi seorang yang beriman, maksiat, kemungkaran dan perkara membawa dosa sepatutnya dianggap sesuatu yang asing serta sukar untuk terjerumus ke dalamnya.

Sebaliknya, bagi orang yang peribadinya memang ketagih kepada maksiat dan kemungkaran, perkara maksiat dan perkara yang menyebabkan ia terpalit dengan dosa adalah biasa, bukan perkara susah baginya untuk melakukannya.

TINDAKAN tegas bendung aktiviti maksiat dalam kalangan remaja. - Foto hiasan


Rasulullah SAW menggambarkan dalam hadis riwayat Imam al Bukhari: "Sesungguhnya orang beriman itu melihat dosa yang dilakukannya itu seolah-olah ia duduk di bawah sebuah gunung yang dia sangat takut gunung itu akan runtuh menimpanya sedangkan orang yang jahat melihat dosa yang dilakukannya hanyalah seolah-olah seekor lalat yang terbang lalu di atas hidungnya."

Kita sebagai orang beriman wajib berhati-hati jangan sampai meremehkan dosa dan tidak canggung lagi melakukan dosa ataupun sudah terbiasa melakukan kemaksiatan.

Sehingga maksiat sudah normal dan formal dalam hidup. Suka kita mengingatkan masyarakat bahawa gelombang 'menormalkan' kemaksiatan dalam masyarakat sudah lama dimulakan sehingga ada beberapa bentuk maksiat dilihat semakin biasa dalam kalangan masyarakat Islam.

Akhlak pemudi peluk artis K-Pop

Ketika zaman kecil dahulu dan membesar di kampung-kampung, adalah tidak normal, bahkan dikira melakukan kesalahan besar jika ada anak kampung mengintai atau mengendap orang sedang mandi.

Hari ini menonton orang sedang mandi sudah dianggap perkara biasa khususnya di hotel mahupun acara sukan air. Pernah kita menegur akhlak segelintir pemudi bertudung yang tidak segan silu memeluk dan merelakan diri dipeluk oleh artis K-Pop suatu ketika dahulu.

AKTIVITI pelacuran perlu dikekang elak merosakkan umat Islam. - Foto hiasan


Teguran itu disambut dengan sindiran sinis sesetengah pihak, "heboh menegur perbuatan segelintir pemudi perempuan sedangkan adegan peluk cium dalam televisyen tak ditegur pun." Sebenarnya perbuatan pemudi berkenaan dan segala adegan yang disebutkan tadi tetap haram di sisi Islam, namun lihatlah betapa berjayanya proses normalisasi sehingga kemungkaran dan kemaksiatan sudah dianggap perkara biasa.

Oleh itu, sebagai umat Islam jika satu sikap perlu dizahirkan, maka wajib kita menzahirkannya sebelum terlambat dan perkara itu sudah dianggap normal oleh masyarakat.

Contohnya isu murtad. Ada pandangan dalam kalangan umat Islam sendiri, "Apa bising-bising isu seorang dua murtad sedangkan kita ada berjuta lagi umat Islam di Malaysia."

Yakinlah, jika ini sikap majoriti umat Islam dalam menanggapi isu murtad, maka dalam lima atau 10 tahun lagi umat Islam sudah menganggap fenomena murtad sebagai fenomena normal sedangkan murtad adalah satu kesalahan dan jenayah serius yang perlu dikekang kerana membawa mesej buruk kepada keindahan agama Islam.

Ajaran Syiah, fahaman pluralisme agama (menganggap semua agama adalah sama) memberi pengiktirafan undang-undang kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) adalah sesuatu yang sangat asing bagi masyarakat Islam yang berakidah Ahli Sunah wal Jamaah di negara ini.

Tegas tangani isu Islam, umat Islam

Namun atas nama hak kebebasan bersuara, hak asasi manusia, maka ia secara sedikit demi sedikit cuba diarusperdanakan dalam masyarakat sehingga sampai ketikanya ia sudah dianggap normal.

Ambil iktibar daripada apa yang berlaku di negara jiran, kahwin silang agama, rumpun Melayu bebas tukar agama sudah lumrah dan normal.

Jika kita masih tidak berusaha dan menzahirkan sikap ketegasan terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita, lebih-lebih lagi yang menyentuh isu Islam serta umat Islam, maka akhirnya generasi akan datang akan melihat fenomena yang sama berlaku di tanah air ini dengan menganggapnya satu suasana normal sahaja.

Fitnah alam maya cetus permusuhan, kehancuran

MELIHAT perkembangan sekarang merungkai persoalan masyarakat hari ini berkomunikasi. Gejala fitnah siber melalui penghantaran gambar separuh bogel, hasutan, penipuan, komen menghina dan penyuntingan fakta serta banyak lagi kontroversi disebarkan menerusi internet dan laman sosial, dilakukan dengan niat buruk mengaib dan menjatuhkan kerjaya.

Pencerobohan privasi ini memberi kesan mendalam. Ada mangsa yang mengambil pil tidur dan terpaksa dikejarkan ke hospital, mengurung diri tanpa tampil di khalayak dalam jangka masa yang lama, mengambil tindakan mahkamah dan sebagainya.

Hari ini di negara kita, pemimpin negara, artis malahan ulama pun menjadi mangsa fitnah. Golongan ini hanya akan berpuas hati sekiranya orang yang difitnah menanggung malu.


GAMBAR hiasan. Internet sering disalah guna sebagai medium menyebarkan fitnah oleh pihak tidak bertanggungjawab. - Foto Nurul Shafina Jemenon
Ini semua adalah dorongan hawa nafsu dan syaitan.

Manusia adalah makhluk yang sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain dan memerlukan antara mereka. Masyarakat primitif dan haiwan turut mempunyai cara tersendiri berkomunikasi untuk kelangsungan hidup.

Pendekatan tanpa komunikasi tidak wujud kehidupan yang bermakna. Komunikasi antara individu dan kelompok sosial melahirkan perkembangan peradaban manusia.

Kecuaian mewujudkan komunikasi yang baik antara sesama manusia akan mendapat kemurkaan Allah SWT.

Allah SWT berfirman bermaksud: "Ditimpakan kehinaan di mana saja mereka berada, melainkan mereka yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia." (Surah al-Imran, ayat 112).

Fitnah mempunyai ceritanya tersendiri di dalam sejarah tamadun manusia. Fitnah menjadi punca pergeseran di dalam masyarakat malahan berupaya meruntuhkan sesebuah negara. Al-Quran merakamkan Nabi Yusuf pernah menjadi mangsa fitnah, sirah merakamkan peristiwa fitnah hadis al-Ifki (berita bohong) terhadap Saidatina Aisyah, isteri Rasulullah SAW.

Fitnah menjadi faktor kejatuhan Khalifah Uthmaniah, empayar Islam yang unggul satu ketika dulu. Khalifah Uthman Ibn Affan dibunuh dengan kejam kerana angkara fitnah, juga kejatuhan empayar Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511 kerana fitnah dan permusuhan dalaman.

Teknologi pemangkin tamadun manusia hari ini, tanpa disedari masyarakat bergantung sepenuhnya kepada teknologi.

Teknologi membantu memudahkan kehidupan. Namun tidak semua teknologi diguna sebaiknya. Terpulang pada kebijaksanaan untuk menilai dan menggunakannya sebaik mungkin.

Melalui talian internet, jarak dan masa bukan lagi penghalang dalam perhubungan. Internet menjadi platform maklumat berjuta-juta pengguna di seluruh dunia dan turut membenarkan maklumat dan gosip disebarkan secara bebas.

Salah guna kemudahan

Ramai dalam kalangan kita yang menyalahgunakan kemudahan ini dengan menyebarkan fitnah. Inilah fitnah siber di mana teknologi memudahkan kita memuat naik, menghebahkan (share) dan mudahnya memilih suka (like) mahupun tidak suka (dislike) perkara yang belum pasti kesahihannya, secara berperingkat ia tersebar ke saluran rasmi sehingga dilaporkan secara sensasi dan viral di serata daerah.

Lebih ramai berkomunikasi, lebih besarlah kemungkinan fitnah itu tersebar secara meluas. Islam mengisyaratkan umatnya menyelidik (tabayyun) kesahihan setiap sumber agar tidak menghebahkan perkara yang boleh mendatangkan fitnah dan permusuhan kepada orang lain.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa berita, maka selidikilah (menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum perkara yang tidak diingini kerana kejahilan kamu (mengenainya) sehingga kamu menyesali apa yang kamu lakukan." (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Allah SWT mencela tindakan orang beriman yang terikut-ikut mempercayai, bahkan menyebarluaskan sesuatu desas-desus tersebut.

Seharusnya apabila mendengar sesuatu pertuduhan, kenapa secara spontan tidak mendahulukan prasangka baik kepada sesama Muslim dan menyatakan bahawa itu adalah tuduhan semata-mata.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang yang beriman lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang) mereka sendiri dan berkata: Ini ialah tuduhan dusta yang nyata." (Surah al-Nur , ayat 12).

Jika sememangnya ia benar, pihak yang menuduh harus mendatangkan empat orang saksi. Jika tidak, ia adalah tuduhan semata-mata, apatah lagi jika orang yang didakwa itu sama sekali tidak melakukannya.

Allah SWT merakamkan perkara ini dalam firman-Nya yang berikut: "Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka di sisi hukum Allah, adalah orang yang dusta." (Surah al-Nur, ayat 13).

Rasulullah SAW mengisyaratkan pembohongan dan ghibah (menyebut keburukan orang lain walaupun benar) adalah satu kesalahan. Sabda Baginda SAW bermaksud: "Rasulullah SAW ditanya, wahai Rasulullah, apakah itu ghibah? Lalu jawab Baginda: Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di belakangnya! Kemudian Baginda ditanya lagi: Bagaimana sekiranya apa yang disebutkan itu benar? Jawab Baginda: Jika sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika sekiranya perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar). (Riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tarmizi)

Maruah seseorang Islam amat tinggi dan mulia. Rasulullah SAW menerangkan balasan baik individu yang menjaga diri daripada mendedahkan keaiban Muslim yang lain. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa yang menutup keaiban saudara Islamnya, Allah SWT menutup keaibannya di dunia dan di akhirat, Allah SWT menolong hamba-Nya selagi ia menolong saudaranya. (Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW menggambarkan senario hari akhirat dalam hadis Baginda mafhumnya: "Rasulullah SAW bertanya: Adakah kamu mengetahui orang yang muflis?

Para sahabat menjawab: Orang yang muflis adalah orang yang tidak memiliki dirham dan harta benda. Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya orang yang muflis dari kalangan umatku adalah mereka yang datang pada Hari Kiamat dengan (pahala) solat, puasa, zakat dan dia juga datang dengan (dosa) mencaci maki orang, menuduh (memfitnah) orang, memakan harta orang (dengan jalan yang salah), menumpahkan darah (bukan dengan jalan syarak), memukul orang dan sebagainya.

Maka diberikan pahala-pahalanya kepada orang sekian dan pahala-pahalanya kepada orang sekian (kerana perbuatan buruknya terhadap orang lain) sebelum diselesaikan urusannya, lalu diambil dosa-dosa mereka (iaitu mereka yang diperlakukan perbuatan buruk), kemudian dosa-dosa itu dilemparkan ke atas orang tadi, lalu dia dihumban ke neraka." (Riwayat Muslim).

Fitnah akhir zaman

Senario hari ini boleh dikategorikan sebagai fitnah akhir zaman yang adalah sebesar-besar ujian yang berlaku sebagaimana dinyatakan Nabi SAW mafhumnya: "Hai sekalian manusia, sesungguhnya sejak Allah meramaikan keturunan Adam, tiada di muka bumi ini fitnah yang lebih besar dari fitnah dajal. Allah Azza wa Jalla tidak mengutus seorang Nabi kecuali ia memperingatkan kaumnya dari (bahaya) dajal. Aku adalah Nabi terakhir dan kalian umat terakhir. dajal pasti muncul di tengah-tengah kalian." (Riwayat Ibnu Majah dan al-Hakim).

Rasulullah SAW bersabda lagi: "Bergegaslah kamu melakukan amal salih sebelum datangnya fitnah seperti malam yang gelap gelita." (Riwayat Muslim).

Fitnah yang dimaksudkan ialah manusia diuji dengan sesuatu yang tidak jelas, gelap gelita. Manusia keliru dan tidak nampak apa yang benar dan apa yang salah.

Didik masyarakat benci arak

TIDAK syak lagi meminum arak atau ketagihannya adalah haram di sisi agama Islam. Islam melarang umatnya daripada melakukan sesuatu yang memudaratkan dirinya mahupun orang lain akibat sesuatu yang dimakan, diminum, diamalkannya mendatangkan mudarat atau kesan yang tidak baik kepada kesihatan seseorang.

Apa lagi sekiranya ia boleh menjangkaui musibah atau bahana kepada individu terbabit atau orang lain di sekitarnya.

Selaku Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), saya terpanggil untuk memperincikan mengenai meminum alkohol atau arak di sisi Islam. Kalau dadah atau penyalahgunaannya haram di sisi Islam, meminum arak juga haram.

Yang haram tetap haram, walaupun ada sesetengah peminum arak tidak memabukkan. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-7 pada sidang 11 dan 12 April 1984, membincangkan dengan mengambil kira pelbagai sudut, antaranya dalil al-Quran dan hadis, implikasi kesihatan, kesan sosial dan akhlak, sudut ekonomi serta kerukunan rumah tangga dan masyarakat.

Muzakarah itu memutuskan bahawa setiap minuman arak mengandungi alkohol. Bukan semua alkohol mengandungi arak. Alkohol daripada proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis.

Alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram diminum.

Selain itu, minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak, sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

Sementara itu, minuman ringan yang dibuat bukan dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses membuat arak adalah halal. Antaranya tapai dan cuka adalah halal dimakan.

Maksudnya alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan.

Ibu segala maksiat

Begitu juga dengan ubat-ubatan, alatan kecantikan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan. Lebih jelas lagi, arak atau dalam bahasa Arab 'khamar' yang bermaksud minuman yang memabukkan.

Arak menjadi kemegahan kepada mereka yang meminumnya dalam kalangan orang kafir (terlindung daripada seruan Allah SWT atau ajaran agama Islam), fasik dan munafik. Islam secara tegas mengharamkan arak sejak 14 abad lalu.

Nabi Muhammad SAW menyampaikan firman Allah SWT mengenai bahaya dan musibah meminum arak kepada orang kafir Quraish yang hidup dalam keadaan tidak bertamadun ketika itu.

Mereka adalah peminum arak tegar dan menganggap arak adalah minuman berprestij atau terbaik untuk menikmati keseronokan hidup di dunia ini tanpa mengira darjat, keturunan hatta anak sendiri dijadikan hamba seks.

Sesungguhnya, Allah SWT berfirman di dalam Surah Al-Maidah, ayat 90 - 91, mafhumnya: "Wahai orang yang beriman. Sesungguhnya minuman keras, berjudi, berkorban untuk berhala dan menenum nasib dengan anak panah adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah (perbuatan) itu agar kamu beruntung"

Dengan minuman keras dan judi itu, syaitan hanyalah bermaksud menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dan menghalang kamu mengingati Allah dan melaksanakan solat.

Maka, tidakkah kamu mahu berhenti?"

Kalau kita pergi lebih jauh, arak sebenarnya adalah ibu segala maksiat. Ia mendatang banyak keburukan kepada sesiapa sahaja yang meminumnya. Ia adalah sama dengan penyalahgunaan dadah.

Nabi Muhammad SAW bersabda; "Arak adalah ibu segala maksiat dan ia maksiat paling mengaibkan." Marilah kita sama-sama meneliti kenapa Islam mengharamkan meminum arak?

Antaranya, arak boleh merosakkan akhlak dan akidah dengan memalingkan manusia daripada beriman kepada Allah SWT kepada seorang manusia yang terjerumus kepada lembah maksiat. Ia boleh menimbulkan permusuhan dan kebencian sesama insan, meruntuhkan rumah tangga, keluarga, masyarakat dan negara.

Ketagihan arak menyebabkan penyakit hepatitis, sakit jantung, rosak buah pinggang, kanser, angin ahmar, lumpuh, keracunan dan gila.

Dorong perbuatan jenayah

Ketagihan arak juga boleh membawa perubahan metabolisme akal fikiran, organ hati dan menyebabkan otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Menurut kajian Biro Keadilan, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat pada 1996, didapati purata 2,713 kes rogol, zina, sumbang mahram dan AIDS berlaku setiap hari.

Di United Kingdom (UK), angka rasmi akibat meminum alkohol ialah 45-46 peratus kejadian jenayah, 39 peratus keganasan rumah tangga dan hampir sejuta serangan ganas berlaku pada 2007 hingga 2008 berpunca daripada mabuk atau separuh mabuk.

Justeru, jauhi minuman yang memudaratkan ini. Minuman alkohol iaitu arak adalah haram. Dosanya terlalu besar, sama dengan penyalahgunaan dadah.

Biasanya sesiapa yang ketagihan arak, memudahkan dirinya untuk digoda oleh pengedar dadah untuk terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Pihak berwajib termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memainkan peranan masing-masing untuk mendidik masyarakat membenci arak, sama dengan membenci rokok, candu, hidu gam, najis dadah, hisap vape, minum air daun ketum dan berjudi. Johari Baharom Berita Harian Kolumnis 20 Februari 2016

Suburkan program membudayakan perpaduan ummah

MENJAYAKAN perpaduan ummah adalah keutamaan setiap Muslim hari ini di Malaysia. Peranan pendakwah adalah teras dalam memandu masyarakat ke arah penghayatan dan pembudayaan pendidikan perpaduan ummah.

Pada Wacana Perpaduan Ummah di Kota Baru, Kelantan baru-baru ini yang dikelolakan oleh Majlis Dakwah Negara (MDN), sebuah badan khas yang ditubuhkan Yayasan Dakwah Islamiyyah Malaysia (YADIM), dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan, seorang peserta bertanyakan tujuan dan motif usaha perpaduan ummah ini penting dijelmakan di negara ini.

Persoalan ini dijelaskan oleh Pengerusi MDN, Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid iaitu kepentingan perpaduan ummah adalah teras kepada keutuhan kekuatan negara dan bangsa Malaysia keseluruhan.

Dalam erti kata lain, masa depan kemajuan negara bergantung kepada kekuatan umat Islam sebagai teras di negara ini.

Bela keharmonian

Umat Islam yang berpadu dan sekata dalam aspek pandangan, sikap dan tindakan akan memastikan keharmonian hidup masyarakat terbela serta gerakan bagi pembangunan bangsa dan negara pula terancang secara sempurna.

Malah, menerusi perpaduan ummah yang jitu, hak bukan Islam sebagai warganegara di negara ini terus terjamin.

Masyarakat bukan Islam memerlukan satu saf kepemimpinan ummah yang utuh, saksama dan adil bagi membolehkan menjalankan kewajipan dan tanggungjawab kewarganegaraan mereka secara aman dan positif demi kesejahteraan negara yang menyeluruh di masa depan.

Banyak punca membawa kepada perpecahan ummah dilontarkan pada wacana itu. Secara umum, ia berpunca daripada sikap dan penghayatan budaya perpaduan yang rendah dalam kalangan umat Islam.

Punca ini tertonjol dalam banyak perbuatan dan tindakan oleh pelbagai pihak sama ada individu, institusi, malah oleh sebahagian elemen penguasa. Kerendahan penghayatan budaya perpaduan ini disebabkan oleh pelbagai faktor pula.

Antaranya ialah kerana sikap sesetengah golongan yang menyukai populariti, pemikiran taksub terhadap kelompok dan kelemahan berpegang kepada ajaran akhlak perpaduan kerana didorong oleh pelbagai desakan kepentingan berbentuk peribadi dan kabilah.

Antara banyak syor menarik yang dilontarkan pada pertemuan itu ialah gesaan kepada satu usaha yang meluas bagi mewujud dan mengembangkan program pendidikan dan pembudayaan perpaduan dalam kalangan ummah.

Bagi tujuan itu, peranan pendakwah dalam menjayakan rencana mulia ini amat penting dan mustahak pada masa kini.

Pelbagaikan aktiviti dakwah

Kegiatan dakwah yang berbentuk pertemuan dan dialog antara pelbagai kelompok hendaklah disuburkan.

Umat Islam tidak lagi boleh bekerja dalam kerangka kabilah sendiri. Istilah 'ini orang kita' dan 'itu bukan orang kita' yang merujuk kepada pembatasan hubungan berasaskan perbezaan fikrah dan amalan hendaklah dihentikan.

Pemikiran mengenai konsep umat Islam sebagai sebuah ummah hendaklah disemarakkan.

Malah, tuntutan lain ialah keperluan untuk kita menggerakkan kempen 'tasamuh' atau bertoleransi kalangan umat Islam seperti menjadi begitu mendesak sekali pada masa kini.

Persoalan perbezaan fikrah dan pandangan kalangan umat Islam sama ada dalam hal ehwal keagamaan yang khusus atau dari sudut gagasan berfikir dalam aspek politik, sosial dan ekonomi suatu yang fitrah sejak zaman berzaman lagi.

Kelahiran dan tumbuhnya pelbagai kumpulan atau mazhab dalam sejarah ketamadunan Islam telah diperakui.

Keunikan dari segi sifat plural dan dinamik ketamadunan Islam adalah citra terpenting identitinya sejak dahulu lagi.

Namun, di sebalik sifat plural dan dinamik itu, perkembangan ilmu dan kebudayaan terus berkembang utuh hingga ke masa kini.

Dalam proses pembudayaan pendidikan perpaduan ummah, semua pihak hendaklah memelihara perlakuan sama ada dalam bentuk ucapan dan tulisan dari mengarah kepada tindakan yang akan membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam.

Masyarakat awam hendaklah dipelihara daripada terjebak ke dalam perbahasan dan perbincangan agama yang boleh membawa kepada pertembungan.

Budaya berdebat dalam kalangan sarjana dan pendakwah hendaklah dielakkan.

Jalan keluar bagi sebarang pertembungan dan percanggahan pendapat perlu diselesaikan menerusi rundingan yang dipandu oleh semangat silaturahim dan ukhwah Islamiyyah Dr Muhamad Razak Idris Berita Harian Kolumnis Ahad, 21 Februari 2016 @ 7:00 AM

Rasuah burukkan isu buruh asing

MINTA maaflah kalau Kunta Kinte kata, bahas pasal perantauan dan pekerja asing ni tak akan habis selagi ada bulan dan matahari. Bukan apa, tapi sebab penghijrahan adalah penentuan Tuhan dan sebahagian daripada hukum alam.

Allah berfirman, manusia dijadikan daripada berbagai kaum dan bangsa dan kita diperintah supaya berkenal-kenalan dan berbaik-baik.

Allah suruh kita bertaburan di atas muka bumi untuk cari kejayaan sambil ingat kepadaNya.

Cuma kita sahaja tak berapa ambil tahu. Bila kita tak tahu, kita tak boleh fikir dengan betul. Bila tak boleh fikir dengan betul, kita mudah jadi emosional. Mudah cakap, macam ini sajalah.

Sejak zaman berzaman bumi yang hari ini kita panggil Malaysia adalah bumi perantau dan pengembara.

Kedudukan kita sebagai sebuah semenanjung yang terletak antara dua angin jadikan kita tempat laluan, persinggahan dan perkampungan sejak zaman berzaman. Ada yang datang melalui jalan darat, tapi lebih banyak dengan jalan laut.

Tengok saja keliling kita. Macam-macam ada. Melayu, Cina, Baba dan Nyonya, India, Serani dan macam-macam lagi. Macam-macam agama dan kepercayaan ada. Begitu juga bahasa, adat resam dan budaya.

Kita terlalu terbuka

Masalah kita hari ini adalah kita terlalu terbuka dalam hal penghijrahan. Kita sendiri yang bagi gambaran bahawa semua orang dialu-alukan. Kita pemudah itu dan ini supaya orang luar boleh datang ke negara kita untuk bekerja, belajar, bercuti dan bermastautin.

Malangnya, bukan semua orang hormat dasar tangan terbuka kita.

Dah sah pun ramai yang datang dari China misalnya atas visa pelajar, tapi jadi tukang urut, GRO, pelacur, isteri dan perempuan simpanan tauke dan penanam halia di Bentung.

Ini bukan cerita Kunta Kinte, tapi laporan berita media arus perdana. Malah Pergerakan Wanita MCA pernah buat kempen cegah lelaki Cina Malaysia yang dah berumahtangga daripada berfoya-foya dengan perempuan dari China itu.

Sekarang kita dengar berita kata, peraturan visa nak dilonggarkan lagi supaya lebih ramai pelancong dari negara China boleh masuk dengan lebih mudah.

Bila ramai pelancong dibagi masuk dengan lebih mudah dan campur pula dengan penguatkuasaan yang sambil lewa serta amalan rasuah, maka tentulah ada pelancong yang akan melencong untuk menetap lebih lama di negara kita atau menyusup keluar untuk pergi ke negara-negara lain.

Tak hairanlah kita kerap dituduh sebagai pusat pemerdagangan manusia. Jadi jangan salahkan pendatang asing. Pokok pangkalnya kita. Kita yang berkuasa.

Tapi nampak-nampaknya kita suka cari jalan mudah dan jalan pintas. Macam Kunta Kinte dah selalu kata, sebagai negara membangun, ekonomi kita sebenarnya besar berbanding banyak negara yang sama taraf.

Salah satu sebabnya adalah dari zaman penjajah lagi kita bergantung kepada buruh asing. Kerana tak cukup buruh tempatan atau buruh tempatan kurang sesuai, British bawa masuk buruh dari China, India dan Jawa untuk kerja di ladang-ladang getah, kelapa dan teh, lombong-lombong emas dan timah, perhutanan dan perkhidmatan awam.

Jadi ekonomi kita lebih besar daripada yang boleh ditampung oleh tenaga buruh tempatan. Aliran ini berterusan sampailah hari ini. Yang buruknya adalah bila boleh bergantung kepada buruh asing, kita jadi malas dan cari jalan mudah. Ramai orang kita marah dengan kemasukan buruh asing.

Tapi mereka sendiri lebih suka menganggur atau buat kerja ringan yang rendah gajinya berbanding apa yang dibuat oleh buruh asing.

Cuba kita tanya, dalam rancangan FELDA misalnya, berapa ramai peneroka yang masih tinggal di rancangan dan daripada jumlah itu, berapa orang yang mengusahakan sendiri kebun getah dan sawit mereka?

Yang Kunta Kinte tahu, ramai pekerja di rancangan FELDA dan di ladang-ladang swasta ada buruh import. Kunta Kinte dengar majikan ladang lebih suka pekerja asing sebab mereka kerja kuat dan tak banyak kerenah.

Unsur salah guna kuasa

Cuma yang kita tak berapa seronok dengar adalah import pekerja asing ini dah jadi industri berbilion-bilion ringgit dan dikhuatiri sudah dijangkiti unsur salah guna kuasa dan rasuah. Ini yang kita tak mahu.

Kita takut kerana ada orang buat duit atas angin, negara kita dibanjiri orang asing yang kita sendiri tak tahu latar belakangnya.

Lebih 30 tahun lalu Kunta Kinte ingat lagi bincang hal ini dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri masa itu, Tun Musa Hitam.

Cuma masa itu masalah kita lebih tertumpu kepada pendatang asing, khususnya warga Filipina di Sabah dan Indonesia di Sarawak. Isu pekerja asing belum merebak macam sekarang.

Cerita pekedai India bawa masuk suku sakat jadi pembantu dan orang Pattani masuk Kedah dan Perlis untuk tuai padi biasalah.

Apa yang Kunta Kinte rasa kita semua patut ambil berat dan khuatir adalah masalah dulu belum selesai, masalah baharu pula bertimbun dan bertindih.

Kita tak mahu Malaysia jadi negara cacamarba atau tempat melambakkan orang asing yang negara lain tak mahu. Akhirnya kita jadi mangsa dan terpenjara di negara sendiri, kena rompak, kena samum, kena bunuh. Wallahuklam.

E-mel ke rencanabh@bh.com.my untuk berkongsi pendapat anda Kunta Kinte Berita Harian Kolumni 20 Februari 2016 @ 9:12 AM