February 24th, 2016

Umar tidak membunuh anak perempuannya

SIAPA Zayd bin ‘Amr bin Nufayl? Apa kaitannya dengan khalifah agung Umar bin al-Khattab? Mengapa nama beliau disebut harum oleh para ulama sejarah dan hadis? Bahkan keduanya tergolong dalam kalangan ahli syurga. Kedudukan Sayidina Umar sebagai seorang daripada 10 orang sahabat ahli syurga memang sudah kita maklum (Sunan Abu Dawud, Sunan al-Tirmizi dan Musnad Ahmad). Rupanya Zayd juga dijanjikan syurga sebagaimana sebuah riwayat yang diceritakan ‘Amir bin Rabi’ah r.a.:

“Amir bin Rabi’ah menceritakan Zayd bin ‘Amr pernah berkata kepadanya: Aku menyanggah kaumku (dalam akidah) dan mengikut agama nabi Ibrahim dan Ismail. Mereka dahulunya bersolat ke arah kiblat ini (Kaabah). Aku sedang menunggu seorang nabi daripada keturunan nabi Ismail yang bakal diutus, namun aku belum menemuinya lagi. Pun begitu aku sudah beriman dengannya, membenar dan bersaksi atas kenabiannya. Jika umurmu panjang (Wahai ‘Amir bin Rabi’ah) maka sampaikan salamku padanya. Amir menyambung: Setelah aku memeluk Islam, aku menceritakan kepada nabi perihal pesanan Zayd, baginda menjawab salamnya dan mendoakan kerahmatan untuknya sambil berkata: Aku melihatnya (Zayd bin ‘Amr) berada dalam syurga mengheret ekor bajunya (sebagai lambang kebahagiaan dan kemewahan pada orang Arab) - Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani.

Zayd adalah sepupu Sayidina Umar dan ayah kepada Sa‘id bin Zaid yang termasuk dalam 10 sahabat yang dijanjikan syurga. Beliau meninggal dunia lima tahun sebelum Rasulullah dibangkitkan menjadi Rasul. Antara keistimewaan lain Zayd adalah beliau sanggup menebus nyawa mana-mana bayi perempuan yang cuba dibunuh oleh bapanya.

Ini disebut dalam sebuah riwayat: “Asma’ Binti Abu Bakar r.a. pernah melihat Zaid bin ‘Amr bin Nufayl berdiri sambil menyandarkan belakangnya pada dinding Kaabah seraya berkata: “Wahai kaum Quraisy, demi Allah, selain aku nampaknya tiada seorang pun antara kalian yang masih berpegang dengan agama Nabi Ibrahim!” Zayd juga menebus mana-mana bayi perempuan yang mahu dibunuh oleh bapanya. Zayd akan berkata kepada si bapa yang berhasrat membunuh anaknya: “Jangan kamu bunuh bayi ini. (Serahkannya padaku kerana) Aku akan menanggung kos sara hidupnya.” Zayd akan membela bayi itu sehingga meningkat dewasa. Setelah anak perempuan itu dewasa Zayd akan menemui bapanya dan berkata: “Jika kamu mahu mengambil kembali anakmu, aku sedia menyerahkannya kepadamu. Dan jika kamu mahu aku sedia menanggung kos saraannya” - Sahih al-Bukhari.



Jika benar, pasti anaknya, Hafsah tidak sempat menjadi isteri Rasulullah

Maha Suci Allah! Sungguh mulia akhlak Zayd. Beliau dan Sayidina Umar berkongsi datuk yang sama iaitu Nufayl. Kedua-duanya berasal dari kabilah Bani ‘Adi yang berbangsa Quraysh dan antara kemuliaan bangsa Quraysh adalah mereka tidak mengamalkan tradisi jahat sesetengah orang Arab Jahiliah yang membunuh bayi perempuan. Rupanya bukan semua kabilah Arab mengamalkan budaya bunuh bayi perempuan. Bukti paling mudah adalah bagaimana adik perempuan Umar iaitu Fatimah binti al-Khattab yang berasal dari kabilah Bani ‘Adi dan berbangsa Quraysh boleh hidup dan berkahwin dengan suaminya Sa’id bin Zayd.


KELIRU

Lalu bagaimana pula kisah Umar bin al-Khattab membunuh anak perempuannya ketika kecil boleh tersebar meluas?

Ia berpunca dari riwayat ini: “Umar r.a.berkata:  “Ada dua perkara (yang aku lakukan) pada zaman jahiliah. Satunya menyebabkan aku menangis, manakala yang satu lagi menyebabkan aku ketawa. Adapun yang menyebabkan aku menangis adalah: Aku membawa anak perempuanku untuk menanamnya (hidup-hidup). Lalu aku menggali sebuah lubang untuknya sehingga habis berterabur tanah pada janggutku sedang dia tidak tahu hasratku (mahu membunuhnya). Apabila mengingatinya aku menangis. Manakala peristiwa yang menyebabkan aku ketawa adalah aku pernah membuat sebuah berhala daripada buah kurma lalu aku letakkannya pada bahagian kepalaku agar ia mampu menjagaku pada waktu malam. Apabila Subuh tiba dengan selamat, aku makan berhala tersebut. Apabila mengingatinya aku ketawa sendiri (kisah ini disebut dalam sesetengah kitab pada tafsiran ayat 8 dan 9 surah al-Takwir tanpa dibawa sanad sandaran kisahnya).

Oleh kerana kisah ini dinyatakan tanpa sandaran dalil, kita perlu hindarinya demi menjaga nama besar Umar. Pun begitu, ada yang berkeras mempertahankan kisah ini atas alasan ia adalah dosa Sayidina Umar ketika jahiliah yang tidak dihitung selepas seseorang itu memeluk Islam.

Ini disesuaikan dengan sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Islam menutup segala (dosa) yang dilakukan sebelumnya dan (begitu juga) hijrah turut menutup (dosa) yang dilakukan sebelumnya,” - Musnad Ahmad.

Saya lebih selesa menafikan kisah ini kerana ia mampu menjadi peluru bagi pihak musuh menembak wibawa khalifah agung ini. Lagipun apa gunanya mempertahankan sebuah cerita tanpa sandaran kukuh sedangkan mengabaikannya jauh lebih suci dan selamat untuk peribadi Sayidina Umar. Allah pun menegaskan umat Islam agar meneliti sumber berita agar tiada yang menjadi mangsa. Apatah lagi jika mangsanya manusia berjasa seperti Sayidina Umar.

Imam Ibn Kathir dalam kitabnya al-Bidayah Wa al-Nihayah ketika mengulas mengenai biodata Umar telah menyenaraikan semua anak, isteri dan hamba wanita Sayidina Umar sama ada yang kekal sehingga mati atau yang diceraikan. Tidak pula Imam Ibn Kathir sebagai tokoh ilmu Hadis, tafsir dan sejarah membawakan kisah Sayidina Umar menanam anaknya hidup-hidup. Secara logiknya, jika benar ada kisah Umar membunuh anaknya, Imam Ibn Kathir pasti menyebut anak beliau yang terkorban itu semasa jahiliah.

Para isteri Sayidina Umar adalah:

*Zaynab binti Maz’un (perkahwinan pertama Umar pada zaman jahiliah dan melahirkan tiga anak iaitu Abdullah, Abdul Rahman (yang tua) dan Hafsah yang menjadi antara seorang isteri Rasulullah SAW. Hafsah lahir lima tahun sebelum pelantikan Rasulullah SAW di Mekah).

* Jamilah binti ‘Asim bin Thabit bin al-Aqlah, ‘Atikah binti Zayd bin ‘Amru

* Qaribah binti Abi Umayyah (kemudiannya diceraikan oleh Umar), Malikah binti Jarwal (juga diceraikan),

* Ummu Hakim binti al-Harith, Ummu Kalthum binti Ali bin Abi Talib dan dua hamba wanita bernama Luhayyah dan Fukayhah.

Manakala anak beliau adalah Zayd yang besar, Zayd yang kecil, ‘Asim, Abdullah, Abdul Rahman yang besar, Abdul Rahman yang tengah, Abdul Rahman yang kecil, ‘Ubaydillah, ‘Iyadh, Hafsah, Ruqayyah, Zaynab dan Fatimah.

Inilah kehebatan para ulama hadis seperti Imam Ibn Kathir, beliau menyenaraikan semua anak lelaki dan anak perempuan Sayidina Umar bin al-Khattab. Jika benar ada anak perempuan beliau yang dibunuh ketika jahiliah sudah pasti ia turut disenarai sama. Juga jika benar Umar pernah membunuh anaknya, sudah pasti Hafsah adalah mangsa pertama kerana beliau adalah anak perempuan sulung Sayidina Umar.

Pesan saya kepada semua, cukuplah menyebar “kisah buruk” terhadap khalifah agung ini walaupun atas nama teladan. Kemuliaan beliau dan sepupunya Zayd bin ‘Amr bukan dikekal harum secara kebetulan oleh Allah, tetapi mempunyai pengajaran kepada kita agar kemuliaan akhlak mereka berdua diikuti oleh semua.

Jangan nama keduanya menjadi busuk hanya dengan cerita-ceriti yang tiada sandaran. Apa pun, jika masih ada yang tegar mahu mengatakan “benar Sayidina Umar pernah membunuh anak perempuannya semasa jahiliah” usahlah kita bertegang urat bergaduh mengenainya kerana ia bukanlah isu pokok dalam Islam. Cuma pesan saya, siapkan hujah anda ketika bertemu dengan manusia agung ini di akhirat kelak. Ya Allah! Selamatkanlah kami daripada menyebar berita tidak sahih berkaitan insan mulia yang sudah lama menempah tiketnya ke syurga

-

Hasad dengki bukan sifat penghuni syurga

Pernahkah kita bayangkan kisah perjalanan kehidupan kita di dunia. Pejamkan mata dan bayangkan kisah hidup di dunia.

Pasti bayangan kita hanya sementara kerana memori kita terhad untuk merakam segala apa yang terjadi di dunia. Begitulah apabila manusia berada di zon masa ketika di Mahsyar, luar dan jauh daripada zon masa di dunia.

Ketika di alam Mahsyar, barulah kita percaya dan merasakan hidup di dunia adalah singkat, sekalipun putaran siang dan malam sudah lama kita lalui di dunia ini.

Allah SWT memperincikan kisah syurga agar kita sentiasa merasakan segala cubaan yang ada di dunia ini hanya sementara untuk kita meraih syurga yang kekal selamanya.

Menerusi siaran Ibrah pada minggu lalu yang bersiaran di IKIMfm setiap Selasa, jam 5.15 petang, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman berkongsi kisah perjalanan menuju ke syurga. Saat berada di pintu gerbang.

Lalu apa ucapan ahli syurga yang dirakamkan oleh Allah SWT.

Pintu syurga sentiasa terbuka

Sifat pintu syurga, ia sedia terbuka bagi menanti kehadiran ahli syurga berbanding pintu neraka yang tertutup rapat dan hanya terbuka sehingga saat pendosa datang menghampirinya kerana bahangnya yang terlalu dahsyat yang tidak tertanggung oleh manusia.

Sebaik sahaja orang beriman berada di pintu gerbang syurga, mereka melihat sesuatu yang sangat indah dan istimewa menanti mereka. Mereka terus berdoa kepada Allah SWT dengan lafaz doa yang pertama adalah bersyukur kepada Allah SWT.

Doa ini dikongsikan beliau berpandukan sebahagian ayat al-Quran Surah al-A'raaf ayat 43 yang bermaksud: "Segala puji tertentu bagi Allah SWT yang memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat) ini, pada hal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah SWT tidak memimpin kami (dengan taufik-Nya); sesungguhnya datang rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran. Dan mereka diseru: Itulah syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu kerjakan."

Tidak ada lafaz lain yang keluar daripada mulut penghuni syurga melainkan ucapan Alhamdulillah dan bersyukur kepada Allah SWT. Maka ketika di dunia, kita disarankan agar sering melafazkan kalimah Alhamdulillah sebagai tanda syukur kita kepada Allah SWT.

Baik ketika diberi kesenangan mahupun ketika ujian datang bertandang supaya saat kita kembali bertemu Allah SWT nanti, Allah SWT permudahkan urusan kita untuk masuk ke syurga.

Kemudian, Allah SWT memperincikan apa yang bakal dilakukan oleh penghuni syurga saat berada di gerbang syurga yang sangat indah, menerusi Surah al-Hijr, ayat 45 hingga 48 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang bertakwa ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan mata air terpancar padanya. (Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta beroleh aman. Dan Kami cabut akan apa yang ada di hati mereka daripada perasaan hasad dengki sehingga mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berdepan di atas pelamin masing-masing. Mereka tidak akan disentuh susah payah dalam syurga itu dan mereka pula tidak sekali-kali akan dikeluarkan daripadanya."

Menurut ayat ini jelas gambaran bagaimana ahli syurga boleh duduk bersama dengan saling tidak mengenali antara satu dengan yang lainnya. Allah SWT sudah mencabut daripada hati mereka sifat hasad dengki yang ketika di dunia menjadi punca sengketa dan perbalahan sesama mereka.

Kemudian mereka menjadi seperti adik-beradik dan saudara-mara ketika di syurga. Ini antara perkara pertama yang dilakukan oleh Allah SWT saat penghuni syurga melangkah masuk ke syurga, Allah SWT bersihkan hati mereka.

Menurut sesetengah ulama, mengapa Allah SWT sering menggambarkan sungai dan pancutan air yang mengindahkan taman syurga? Sungai apabila diminum airnya oleh ahli syurga, akan membersihkan segala jenis penyakit fizikal termasuk juga penyakit hati.

Pengajarannya, sekiranya sifat di dunia kita penuh dengan hasad dengki, maka menjadi petanda itu bukanlah sifat penghuni syurga dan tidak layak untuk kita mendapatkan syurga Allah dengan membawa watak hasad dengki sesama manusia.

Hargai nikmat

Pastikan lafaz Alhamdulillah sentiasa meniti di bibir kita sebagai tanda penghargaan kita atas apa juga kurniaan Allah SWT kepada saudara kita yang lain.

Agar kita dapat menjauhkan hati kita daripada sifat hasad dengki. Beliau turut berkongsi dalam hadis Baginda Nabi SAW, menurut riwayat Bukhari dan Muslim, Baginda Nabi SAW memperincikan ada tujuh ciri ahli syurga antaranya tidak kencing, tidak membuang air besar, tidak akan meludah, tidak akan ada hingus, sikatnya daripada emas dan peluhnya harum seperti kasturi serta mereka dijadikan seperti fizikal Nabi Adam AS.

Tujuan Allah SWT menceritakan segala nikmat yang ada di syurga, agar ia menjadi cita-cita setiap Mukmin supaya syurga menjadi destinasi terakhir kita semua.

Fitrah manusia menginginkan yang indah hadir dalam kehidupan mereka. Maka, tidak hairanlah syurga juga dicipta indah untuk menjadi impian dan harapan kita untuk berada di dalamnya.

Namun untuk mendapatkan nikmat yang indah, pasti ada cabaran dan usaha yang bersungguh-sungguh di dunia. Pasti ada suruhan dan larangan Allah SWT yang wajib kita turuti bagi meraih syurga Allah SWT.

Pada akhir pertemuan, Muhammad Syaari turut berkongsi satu hadis Baginda Nabi SAW mengenai perihal syurga yang bermaksud: "Tidak pernah mata melihat, tidak pernah telinga mendengar bunyinya dan tidak pernah ada perasaan merasakannya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Akhirnya, semoga kita sentiasa menjadikan dunia tempat menyemai benih syurga.
Mohd Faiz Othman  Berita Harian Rencana Rabu 24 Februari 2016 @ 6:18AM