February 26th, 2016

Khutbah Jumaat ~ Hargai Kemudahan Awam Bukti Kesyukuran

Petikan Khutbah Jumaat 26 Februari 2015M/ 17 Jamadilawwal 1437H JAWI

Hargai Kemudahan Awam Bukti Kesyukuran


Hari ini, kemudahan yang tersedia di masjid-masjid di sekitar kita, jauh lebih baik berbanding puluhan tahun dahulu. Ruang solat yang selesa dengan hamparan permaidani, kemudahan elektrik, penghawa dingin atau kipas angin, kemudahan ruang wuduk, bilik air dan tandas yang dikawal selia. Malah ada masjid yang menyediakan kemudahan internet dan wifi, paparan maklumat digital dan pelbagai prasarana untuk menjamin keperluan dan keselesaan beribadah umat Islam hari ini.

Namun apa yang menyedihkan, terdapat dari kalangan ahli jemaah yang tidak menghargai kemudahan-kemudahan yang disediakan. Kemudahan-kemudahan ini bukan sahaja tidak dijaga dan digunakan dengan baik, malah ada yang tergamak mencuri dan merosakkannya.

Berulang kali kita dinasihatkan agar menjaga kemudahan awam kerana ia adalah amanah Allah yang akan dipersoalkan nanti di akhirat. Namun semua tazkirah dan peringatan ini dipandang sepi dan tidak dipedulikan.

Renungi firman Allah di dalam surah al-Mutaffifin ayat 14 :  Maksudnya : “Sebenarnya, bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran dosa, dengan sebab (perlakuan maksiat dan dosa) yang mereka kerjakan.”

Pedoman untuk kita kembali menjadi hamba Allah yang bersyukur dan beriman:

Pertama: Menghargai nikmat Allah membawa keberkatan hidup

Imam Al-Bukhari Rhm. meriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya : “Sesungguhnya harta itu ibarat tanaman hijau yang manis. Sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang benar lalu meletakkannya dengan cara yang benar, maka harta tersebut adalah sebaik-baik penolong baginya. Dan sesiapa yang mengambilnya dengan cara yang tidak benar, maka dia seperti orang yang makan tetapi tidak pernah merasa kenyang.”

Kedua : Memupuk rasa bertanggung jawab dan prihatin

Imam Ibnu Majah meriwayatkan daripada Abu Said Al-khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda: ا فِي ا ْلجَّنَ ةِ ً بَيْت ُ ى مِنَ لَه ً مَنْ َأ ْخرَ َج َأذ ُ ه الْمَ ْس ِجدِ بَنَى الل Maksudnya: “Sesiapa yang mengeluarkan apa jua kekotoran dari masjid, Allah akan bina untuknya sebuah mahligai di Syurga.”

Ketiga : Wariskan Sikap dan Budaya Yang Baik

Rasulullah telah memberi ingatan tentang perkara ini melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Juhaifah RA, sabda baginda : جورِهِ ْم أ ُ ُ ُ َص مِ ْن جورِهِ ْم مِ ْن غَيْرِ َأ ْن يَنْق أ ُ ُ ِّ وَمِثْ ُ ُ ه ُ َُأ ْجر كَانَ لَه ُ مِ َ ِّ بِهَا بَعْدَه ُ فَع ً ً َحسَنَة سَّن ة ُ مَ ْن َسَّ ن ِّ َأ ْوزَارِهِ ْم مِ ْن غَيْرِ َأ ْن ي َنْقُصَ مِنْ وَمِثْ ُ ُ ه ُ كَانَ عَلَيْهِ وِ ْزر ُ مِ َ ِّ بِهَا بَعْدَه ُ فَع ً ً َسي ِئَة سَّن ة ُ ا وَمَ ْن َسَّ ن ً َشيْئ ا ً َأ ْوزَارِهِ ْم َشيْئ Maksudnya: “Sesiapa yang mengajarkan suatu kebaikan lalu diamalkan orang selepasnya maka untuknya pahala mereka yang mengamalkannya tanpa mengurangi pahala para pelaku amalan tersebut, begitu juga sesiapa yang mengajarkan suatu kejahataan lalu diamalkan orang selepasnya maka untuknya bebanan dosa mereka yang mengamalkannya tanpa mengurangi dosa para pelaku amalan tersebut .”

Di penghujung khutbah, marilah kita kutip butiran-butiran mutiara khutbah Jumaat hari ini untuk dijadikan pedoman kehidupan, antaranya :

Pertama : Prasarana yang disediakan di masjid adalah nikmat kurniaan Allah yang sewajarnya dipelihara dan digunakan secara berhemah.

Kedua : Perlakuan merosak dan mengabaikan penjagaan kemudahan-kemudahan di masjid adalah budaya vandalisme yang mesti dijauhi. Ia petanda kelemahan iman dan akan menghilangkan keberkatan hidup pelakunya.

Ketiga : Buktikanlah kesyukuran dan raihlah ganjaran dengan membudayakan sikap prihatin dan bertanggungjawab terhadap kemudahan-kemudahan masjid mahupun awam yang tersedia.

Hayati Firman Allah di dalam surah al-Aa’raf ayat 179: Maksudnya : “Dan Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (Tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (Tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (Tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ “Fahaman Liberal Perosak Akidah”

Petikan Khutbah Jumaat 26 Februari 2016:  JAIS

“Fahaman Liberal Perosak Akidah”

Liberalisme adalah satu fahaman yang menuntut kebebasan berfikir tanpa batasan dan menolak prinsip kebenaran agama Islam serta mengambil jalan mudah dalam beragama.

Melalui fahaman liberal ini, pemikiran umat Islam diadun dengan acuan kebebasan tanpa batasan, iaitu bebas melakukan apa sahaja tanpa sekatan, kongkongan atau diskriminasi yang dianggap sebagai kebebasan asasi. Sekiranya disekat, dihalang atau didakwa, maka golongan ini dengan pantas mencanang satu dunia bahawa hak kebebasan mereka telah dicabuli.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 83: “Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari ugama Allah? padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk Yang ada di langit dan di bumi, sama ada Dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepadanya lah mereka dikembalikan”.

Statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melaporkan bahawa bermula Januari hingga Julai 2013 sebanyak 90 kes pembuangan bayi direkodkan. Daripada jumlah tersebut sebanyak 59 bayi ditemui meninggal dunia. Manakala pada tahun 2014 sebanyak 53 kes direkodkan bagi tempoh yang sama. Daripada jumlah tersebut seramai 38 bayi ditemui meninggal dunia. Adakah kebebasan ini yang dituntut?

Mimbar ingin menegaskan bahawa matlamat undang-undang kesalahan khalwat digubal adalah bertujuan mengawal dan mencegah daripada berlakunya kesalahan yang lebih besar iaitu zina. Islam juga memberi peringatan untuk mencegah sesuatu yang mungkar bagi menjamin kemaslahatan umat Islam daripada terjerumus ke lembah kebinasaan.

Oleh sebab itu Islam menetapkan supaya 5 asas objektif pensyariatan wajib dijaga dan dipelihara oleh kita semua iaitu;

1. Menjaga agama,
2. Menjaga nyawa,
3. Menjaga keturunan,
4. Menjaga akal,
5. Menjaga harta.

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 32: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan Yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan)”.

Hadis daripada Ibnu Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِني تركْت فيكُم شيئَينِ لَن تضلُّوا بعدهما؛ كتاب االلهِ وسنتي “Wahai manusia! Sesungguhnya aku tinggalkan untuk kamu dua perkara jika kamu berpegang kepadanya kamu tidak akan sesat selamanya; kitab Allah (al-Quran) dan sunnahku”. (Riwayat al-Hakim).

Melihat kepada ideologi liberalisme yang bertentangan dengan syariat Islam, maka Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25-27 Julai 2006 telah memutuskan bahawa Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam. Disamping itu, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor pada 6 Jun 2013 telah memutuskan bahawa fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai aliran sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam dan telah diwartakan pada 31 Julai 2014.

Mengakhiri khutbah ini, marilah kita renung dan ambil pengajaran serta penghayatan yang memberi manfaat dalam hidup kita iaitu;

1. Umat Islam dituntut supaya kembali kepada petunjuk al Quran dan asSunnah dengan menghayati isi kandungannya dan diaplikasikan dalam kehidupan kita seharian disamping menghormati dan merujuk kepada ulama-ilama yang muktabar.

2. Umat Islam hendaklah memastikan agar tidak terpedaya dengan pemikiran liberalisme yang boleh melemahkan iman mereka.

3. Umat Islam diwajibkan menjaga agama, nyawa, keturunan, akal dan harta disamping mengutamakan maslahah ‘ammah berbanding dengan masalah peribadi sahaja.

4. Umat Islam hendaklah menolak fahaman-fahaman yang menyesatkan dan bertentangan dengan prinsip-prinsip pegangan Ahli Sunnah walJamaah yang boleh merosakkan akidah.

“Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit serta yang ada di bumi; dan kecelakaan besar bagi orang-orang yang kufur ingkar (terhadap Al-Quran) dari azab yang amat berat (yang akan menimpa mereka kelak). Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat, dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah, serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya”. (Surah Ibrahim : 2-3).

Wallahualam

Tiada siapa terlepas daripada himpitan kubur

Selepas tiba saat kita kembali menghadap Allah SWT, perkara yang perlu diingat ialah jasad sudah tiada lagi nilainya, walaupun semasa hayat banyak masa dan wang ringgit dihabiskan demi menjaga jasad.

Hakikatnya, walaupun jasad sudah tidak mampu bergerak roh akan terus melalui perjalanan. Sekiranya berjaya melalui alam barzakh dengan berada di dalam taman syurga, maka ia satu kenikmatan kepada kita.


Tetapi sebaliknya jika kematian penuh dengan fitnah dan azab, maka kita akan menjadi manusia yang penuh kekecewaan.



Kubur rumah terakhir manusia sebelum diadili di padang Masyar. - Gambar hiasan
Menurut perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani melalui segmen Mau'izati di IKIMfm pada Khamis, jam 5.15 petang, pada malam pertama ketika berada di alam barzakh, jasad akan mulai busuk dan bahagian badan yang pertama mengalaminya ialah perut serta kemaluan.

Kemudian jasad akan mula berubah warna hijau dan cenderung menjadi lebih gelap.

Malam berikutnya, seluruh organ dalaman seperti paru-paru, hati dan limpa mula menjadi busuk.

Pada malam ketiga di alam barzakh, segala lendiran dan cecair mula keluar dari mata, telinga, malah jasad semakin berbau busuk. Sehinggalah tiba hari ketujuh hingga ke -10, tubuh membengkak dan sangat busuk serta mula didatangi ulat.

Selepas dua minggu, jasad dipenuhi ulat serta dimakan cacing. Dalam tempoh enam bulan, sudah tiada lagi isi dan daging, yang tinggal hanyalah tulang serta rangka.

Tetapi Nabi, syuhada dan orang salih termasuk dalam kalangan mereka yang menghafaz al-Quran diberi keistimewaan oleh Allah SWT.

Selepas 25 tahun meninggal dunia, nama kita sudah tidak lagi disebut-sebut dan apa yang tinggal hanyalah tulang kecil daripada bahagian punggung.

Kita akan dibangkitkan pada hari akhirat kelak daripada tulang sekecil itu. Bermula sejak diturunkan jasad ke liang lahad, setiap roh akan melalui suasana yang berbeza antara satu sama lain bergantung kepada amalannya ketika hidup di dunia.

Sebagai orang Mukmin, perkara pertama yang akan dilalui ialah himpitan kubur yang tidak akan ada sesiapa terlepas daripada mengalaminya.

Kemudian melihat malaikat yang berwarna hitam kebiru-biruan iaitu Mungkar dan Nakir berada di hujung kaki.

Jasad mula diletakkan sama dengan tanah dan akan kedengaran suara yang menyebut: "Selamat datang wahai hamba Allah, kamu akan lihat bagaimana akan aku lakukan kepada kamu sebentar lagi."

Kalimah itu benar-benar mengejutkan sehingga menyebabkan kita tercari-cari dari manakah datangnya suara itu, sedangkan ia sebenarnya datang daripada tanah tempat kita disemadikan.

Apabila jenazah mula ditutup, datang pula malaikat Roman meminta si mati menulis semua amalan baik dan buruk yang sudah dilakukan ketika hidup di dunia dengan menggunakan cebisan kain kapan, lalu segala catatan itu akan digantung pada leher si mati.

Selepas itu, datang pula malaikat Mungkar dan Nakir yang mula menghalau segala amalan solat, puasa dan zakat yang berada di sekitar si mati untuk menghalang kedua-dua malaikat daripada memulakan sesi soal jawab kepada si mati.

Hanya al-Quran sahaja yang mampu menjadi pelindung kepada kita pada saat itu.

Soal jawab Mungkar Nakir berbeza

Berdasarkan kitab karangan Imam Qurtubi dan Imam Jalaluddin al-Suyuti, soal jawab oleh malaikat Mungkar dan Nakir berbeza kepada setiap manusia berdasarkan amalan di dunia.

Ada yang disoal mengenai Rasulullah SAW sahaja dan apabila mampu menjawabnya dia akan terlepas daripada soalan lain.

Oleh itu berusahalah untuk mengenali dan mencintai Rasulullah SAW dan beriman dengan apa yang dibawa Baginda.

Selepas berjaya menjawab mengenai Rasulullah SAW, malaikat akan terus menunjukkan tempatnya di dalam neraka Allah SWT.

Oleh kerana Allah SWT tetapkan hati orang beriman dengan kata-kata yang tegas di dalam dirinya dan mampu menjawab pertanyaan daripada malaikat, lalu diperlihatkan di sebelah kirinya syurga Allah SWT dan ditukarkan tempatnya untuk berada di dalam syurga.

Ada juga dalam kalangan manusia akan disoal: "Siapakah Tuhan kamu?" Apabila dijawab: "Allah Tuhanku."

Keadaan kuburnya akan terus berubah.

Malah ada diajukan soalan yang panjang, siapakah Tuhan kamu, siapa nabimu, apakah agamamu, di manakah kiblatmu dan soalan lain yang menyebabkan dia akhirnya gagal.

Didakwa di alam kubur

Rasulullah SAW berpesan, mereka yang banyak diajukan soalan oleh malaikat nanti, pasti dia akan diazab dan didakwa di dalam kubur sebelum diadili di Padang Mahsyar kelak.

Walaupun ketika hidup si mati adalah orang yang sentiasa mengerjakan amalan salih tetapi diajukan banyak soalan oleh malaikat Mungkar dan Nakir, kerana menurut Ibn Qayyum dalam kitabnya al-Ruh, ada perkara tertentu yang pernah dilakukan.

Perkara pertama ialah cuai terhadap solat, menangguhkan waktu untuk mendirikan solat atau tidak menjaga solat dengan sempurna.

Kedua, golongan boleh membaca al-Quran tetapi tidak mengamalkannya. Ketiga, tidak memastikan diri suci daripada hadas kecil.

Golongan keempat ialah mereka yang sentiasa berbohong, kelima, tidak membayar zakat, seterusnya ialah golongan yang suka membazir, memakan riba, terbabit rasuah, memfitnah sesama Muslim dan tidak amanah terhadap tanggungjawab yang diberikan.

Bayangkan jika kita kembali menghadap Allah SWT dalam keadaan sentiasa melakukan kemaksiatan, sudah tentunya pada malam pertama ketika berada di alam barzakh, kita sudah tiada kekuatan dan kelebihan, roh berada di awang-awangan sehinggalah selesai urusan soal jawab kubur.

Beruntunglah jika kita mampu menjawab dengan lancar segala soalan diajukan, pada ketika itulah kubur akan dilapangkan dan sebagaimana disebut oleh Rasulullah SAW, Allah SWT akan memperlihatkan kepada kita keadaan terbenamnya mentari pada hari itu dan kita terpaku melihat suasana ketika itu.

Cinta suami isteri

NABI Muhammad SAW pernah bersabda: "Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi." (Riwayat Abu 'Asakir)

Dalam hidup, kita tidak boleh menjadi contoh kepada orang lain dan tidak boleh melakukan perkara tanpa merujuk kepada kaedah atau cara hidup Baginda SAW, terutama dalam bab kekeluargaan. Nabi Muhammad SAW menunjukkan teladan yang sangat baik terhadap isteri-isterinya. Bagaimana Nabi SAW mendidik anak-anaknya sehingga mereka sangat taat kepada ALLAH dan Rasul-Nya.

Anak muda kurang ilmu

Namun hari ini, kita lihat kes penceraian yang berlaku dalam negara sangat membimbangkan. Ramai yang kahwin dan ramai juga bercerai. Pada 2010, seramai 41,544 pasangan bercerai dan jumlah tersebut meningkat dari tahun ke tahun sehinggalah pada 2014 kepada 53,000 kes.



Gambar hiasan

Pendakwah, Ustaz Dr Izhar Ariff Mohd Kashim ketika menyampaikan tazkirah Maghrib - Cinta Suami Isteri di Masjid Asy-Syarif, Gombak pada 15 Februari lepas menjelaskan, mentaliti anak muda hari ini yang kekurangan ilmu mengenai hukum-hakam agama menyebabkan mereka tidak dapat memahami Islam secara sebenarnya. Mereka seperti 'main-main' dengan hukum-hakam yang ALLAH tetapkan.

"Kes yang saya ceritakan ini berlaku di tempat saya mengajar, ada dua anak muda (lelaki dan perempuan) yang perempuan menangis teresak-esak dan si lelaki pula tak habis-habis mengucapkan Allahuakbar. Saya tanya kenapa? Jawab si lelaki, dia telah mentalak wanita itu.

"Saya bagi tazkirah percuma mengenai talak kepada pasangan itu selama 30 minit. Saya jelaskan kalau awak talak tiga wanita ini maka si wanita ini perlu berkahwin lain dan melakukan persetubuhan dengan suaminya dan apabila suaminya menceraikannya, barulah awak boleh berkahwin dengannya balik. Rupa-rupanya pasangan itu belum berkahwin, cumanya mereka bergaduh dan lelaki tersebut mengatakan dia mentalak perempuan itu.

"Saya tergamam dan inilah situasinya apabila lelaki tidak ada ilmu dan wanita juga begitu. Kerana itulah, Nabi SAW akan memastikan sahabat yang tinggal di seluruh Madinah Munawarah  untuk ke masjid dan mendengar apa yang Baginda SAW sampaikan. Kita lihat masjid dimonopoli oleh golongan tua, di sesetengah masjid, terlalu sukar untuk melihat orang muda yang ramai," jelasnya.

Menurutnya, bukan golongan muda tidak mahu datang ke masjid, tetapi disebabkan beberapa masalah seperti tiada penjaga untuk anak, kalau bawa ke masjid mesti banyak masalah, macam mana kalau anak menangis, mengganggu jemaah lain dan akhirnya anak akan dimarahi.

"Masjid sepatutnya mesra jemaah dengan membiarkan ibu bapa muda ini membawa anak mereka.

"Jika di negara Arab, pada waktu malam ibu bapa akan keluar ke masjid beriringan dengan anak. Bahkan kelihatan juga anak kecil yang cuba-cuba untuk bersolat," katanya.

Dalam Mazhab Syafie, Imam Nawawi sendiri menjelaskan dalam Kitab Majmu' Syarh Al-Muhazzab, kalau anak kecil itu belum bersunat, tanggungjawab bapa perlu membasuh kemaluan anaknya dengan sebersih-bersihnya dan mewudukkan anaknya. Jika anak itu sembahyang maka solatnya sah dan kalau duduk di antara orang tua contoh kedudukan budak, orang tua, budak, orang tua, ia sah. Ramai yang tidak ada ilmu apabila bercakap perihal ini.

Kita kena teladani suasana menuntut ilmu pada zaman Nabi SAW. Panggil golongan muda dan tua untuk bersama datang ke masjid. Apabila mereka minat datang ke masjid, mereka akan dengar tazkirah dan biarkan anak-anak kecil bermain di belakang.

Fenomena gerhana matahari separa

PADA 9 Mac nanti, sebaik sahaja matahari terbit, seluruh Malaysia dapat menyaksikan fenomena gerhana matahari separa.

Fenomena gerhana matahari umumnya boleh berlaku apabila tiga jasad besar di angkasa lepas iaitu bumi, bulan dan matahari berada dalam kedudukan selari.

Hasil daripada kedudukan yang unik ini, jasad bulan berupaya menutupi jasad matahari, lalu mengakibatkan bentuk matahari di langit menjadi tidak bulat seperti biasa, dan akan kelihatan seolah-olah hilang sebahagiannya.

Pada lokasi-lokasi tertentu, jasad matahari akan hilang keseluruhannya, lalu terjadilah fenomena gerhana matahari penuh. Pada 9 Mac nanti, hanya Negara Indonesia sahaja yang bernasib baik dapat melihat fenomena ini.

Insya-ALLAH saya sendiri akan ke sana untuk cuba merakam fenomena tersebut.

Bagi anda yang berada di Malaysia, anda akan dapat melihat sebahagian besar  matahari tertutup (bukan sepenuhnya). Fenomena yang ini dikenali sebagai fenomena gerhana matahari separa.

Kali terakhir penduduk Malaysia dapat melihat fenomena gerhana matahari separa ialah pada Januari 2010.

Gerhana matahari separa yang akan berlaku pada 9 Mac ini bermula sebaik sahaja matahari terbit di ufuk timur. Bagi penduduk di utara Malaysia, anda akan dapat melihat matahari sudah pun 'hilang' sedikit sebahagian daripada sisinya ketika terbit.

Bagi penduduk arah selatan Malaysia, anda akan dapat lihat matahari dalam keadaan sempurna bulat ketika ia terbit, dan berpeluang melihat sentuhan pertama (First Contact), iaitu saat jasad bulan kali pertama mula kelihatan di salah satu sisi matahari, lebih kurang 5 hingga 6 minit selepas terbitnya matahari.

Kemuncak gerhana matahari separa ini berlaku sekitar jam 8.23 pagi. Namun, ia bergantung juga kepada kawasan dan lokasi. Selain itu peratusan matahari tertutup juga bergantung kepada lokasi. Semakin ke selatan, semakin banyak peratusan matahari akan tertutup.

Jadual dan rajah di bawah boleh digunakan sebagai panduan asas untuk waktu puncak gerhana serta peratusan matahari tertutup.

Cara melihat gerhana

Disebabkan fenomena ini gerhana matahari separa, maka sebahagian matahari masih kelihatan dan bersinar terang di langit. Walaupun peratusan matahari yang tertutup itu tinggi (sekitar 87 peratus di Kuching), namun masih berbahaya untuk dilihat dengan mata.

Amaran! Jangan sekali-kali melihat matahari, sama ada dengan mata atau peralatan astronomi tanpa menggunakan penapis khas matahari. Ia boleh mengakibatkan anda buta.

Pastikan anda mendapat nasihat dan tunjuk ajar yang betul daripada pakar astronomi tempatan, pegawai falak di jabatan mufti, dan juga organisasi seperti Planetarium Negara.

Saya syorkan agar hubungi mereka terlebih dahulu untuk mendapat tunjuk ajar yang betul cara-cara melihat gerhana matahari ini.

Penggunaan cermin mata gerhana iaitu 'cermin mata' khas yang mempunyai lapisan khas yang akan menapis segala cahaya  berbahaya yang datang daripada matahari. Ia boleh didapati daripada kedai-kedai teleskop.

Bilakah gerhana matahari seterusnya yang akan berlaku di Malaysia? Jika anda terlepas peluang menyaksikan fenomena gerhana matahari separa ini, anda perlu menunggu hingga 26 Disember 2019. Pada tarikh tersebut, sebahagian kecil di selatan Semenanjung Malaysia akan berpeluang menyaksikan gerhana matahari cincin, manakala kawasan lain di Malaysia dapat menyaksikan gerhana matahari separa.

Datangkan kebaikan, hapus kejahatan

SEGALA puji bagi ALLAH SWT mengutus rasul-Nya membawa petunjuk dan agama yang benar supaya ia dimenangkan dan ditinggikan atas segala agama yang lain dan cukuplah ALLAH sebagai saksinya.

Sewajarnya kita bertakwa kepada ALLAH dan bersyukur atas nikmat-Nya yang zahir dan batin. Sebagaimana firman ALLAH: "Dan jika kamu menghitung nikmat ALLAH nescaya kamu tidak dapat menentukan bilangannya." (Surah Ibrahim: 34)

Sebesar-besar nikmat ALLAH atas penduduk bumi secara amnya dan orang beriman secara khasnya adalah nikmat Islam serta diutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat sekalian alam.

Ternyata manusia, sebelum kedatangan Baginda SAW mereka berada dalam kegelapan dan kesesatan yang parah. Ketika itu orang Majusi penyembah api menguasai negeri timur manakala Kristian pula menguasai negeri di barat serta kebanyakan negeri Arab. Adapun orang Yahudi, mereka bertebaran di negeri di sebelah timur dan barat menyebarkan kerosakan dan kekacauan.

Golongan penyembah berhala pula menguasai semenanjung negeri Arab. Merata-ratalah orang menyembah berhala di bandar dan perkampungan. Mereka mengubah agama Nabi Ibrahim AS dengan memenuhkan kawasan Masjid Haram dan Kaabah dengan berhala-berhala. Demikianlah cahaya petunjuk agama ALLAH dipadamkan sementara syaitan pula bermain-main menyesatkan manusia.

Diutus seorang rasul

Keadaan ini menuntut supaya diutuskan rasul bagi membolehkan manusia dikeluarkan daripada kegelapan kepada cahaya. ALLAH mengutus Nabi SAW di mana dengan risalah Baginda SAW bawa, Baginda SAW dapat menyinari bumi setelah kegelapannya di samping menyatukan umat manusia.

Datanglah agama Islam yang agung ini membawa kepada manusia kebaikan dan menghapuskan kejahatan. Untuk membantu Rasulullah SAW, ALLAH telah memilih buat Baginda SAW sahabat Baginda SAW yang membantu dan mempertahankan Baginda SAW. Mereka adalah sebaik-baik manusia, yang paling memahami agama ini dan tidak berlebih-lebihan dalam urusan agama.

Mereka berjihad di jalan ALLAH dengan sebenar-benarnya. Mereka sebarkan Islam ke sebelah timur dan barat sehingga di tangan mereka ALLAH memberi kemenangan serta ditinggikan agama Islam atas sekalian agama yang lain.

Dengan itu terpadamlah api najis orang Majusi, ditundukkan sifat takabbur dan sombong orang Yahudi, disingkapkan kesesatan orang Nasrani dan dihancurkan patung berhala. Dunia ketika itu diperintah dengan keadilan sementara hati nurani manusia penuh dengan perasaan khusyuk dan iman.

Islam ketika itu berjaya melahirkan tokoh panglima yang membuka kota baru Islam dengan jihad dan menawan hati manusia dengan ilmu serta kebijaksanaan. Terpancarlah mata air ilmu al-Quran dan Sunnah sehingga ia memenuhi halaqah ulama dan perpustakaan dunia dengan ilmu dan tulisan mereka.

Keadaan ini tidak pernah dilihat oleh dunia dalam sekalian agama yang lain. Inilah dia agama Islam yang ALLAH bersaksi akan kesempurnaannya.

Syaitan tidak senang

Bagaimana pula kedudukan syaitan dan pengikutnya terhadap agama ini setelah usaha mereka tergendala dan manusia dibebaskan daripada ikatan belenggu menyembah mereka?

Ternyata mereka memusuhi agama Islam ini sejak dahulu hingga sekarang. Dan mereka menggunakan segala cara untuk menghapuskannya, menghalang perkembangannya atau memburuk-burukkannya. Tetapi, ternyata agama Islam terus diterima oleh hati yang bersih suci memandang ia adalah agama fitrah yang bersesuaian untuk sepanjang zaman dan tempat.

Mereka berusaha menyebarkan syubhah dalam agama Islam dan hukum-hakamnya tetapi betapa cepatnya tipu daya mereka tersingkap. Mereka cuba bermuslihat dengan mengangkat orang yang berpura-pura Islam sedang hati mereka kufur tetapi golongan ini sekali lagi betapa cepatnya ALLAH menyingkapkan niat dan perancangan buruk mereka melalui penjelasan ulama mengenai bahaya mereka.

Setelah segala usaha mereka gagal, mereka mengambil jalan memecahbelahkan umat Islam dengan menimbulkan permusuhan antara mereka. Timbullah pelbagai kumpulan berbeza. Bermula dengan Khawarij, Syiah, Jahmiah dan Muktazilah kemudian daripada kumpulan ini lahir berbagai-bagai anak kumpulan lain.

Hal ini menepati sabda Nabi SAW umat Islam ini akan berpecah kepada tujuh puluh tiga kumpulan, kesemuanya akan masuk neraka kecuali satu kumpulan sahaja. Kumpulan yang selamat ini adalah mereka yang mengikuti pegangan Nabi SAW dan sahabat Baginda SAW.  (Riwayat Abu Daud, sahih)

Kumpulan yang satu ini telah kekal dan wujud sepanjang zaman dan akan terus wujud sehingga tiba hari kiamat. Dengan adanya kumpulan yang selamat ini, agama Islam akan terus kekal zahir dan mereka yang berpegang dengannya akan terus diberi kemenangan. Adapun golongan yang menyelisihkan kumpulan ini, mereka tidak akan dapat merosakkan Islam mahupun penganutnya. Firman ALLAH: "Bagi ALLAH jualah kemuliaan dan kekuatan, dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan munafik tidak mengetahuinya." (Surah Al-Munafiquun: 8)

Musuh Islam hari ini

Pada hari ini, musuh terus melancarkan serangan mereka terhadap Islam melalui gerakan kuku besi Komunis, pertubuhan sulit Yahudi Freemason, organisasi Kristian yang benci Islam dan cuba memporak-perandakan orang Islam dengan segala tipu muslihat dan daya penarik. Tetapi Islam terus berdiri megah dan tinggi. Panah-panah musuh tidak sampai kepadanya dan salakan-salakan anjing tidak memberi sebarang kesan terhadapnya.

Sungguh agama Islam bukan pada sekadar nama dan dakwaan sebaliknya ia adalah dengan kata-kata, amalan dan kepercayaan. Islam agama dan negara. Ia juga kepercayaan dan tingkah laku yang berdiri atas asas rukun Islam lima;

- Mengucap dua kalimah syahadah

- Mendirikan solat

- Menunaikan zakat

- Puasa Ramadan

- Menunaikan haji

Agama seseorang itu akan menjadi sempurna dengan melaksanakan kewajipan dan ibadah sunat.

Islam apakah jika seorang itu meninggalkan solat, tidak melaksanakan hal-hal wajib dan melanggar hal-hal yang haram. Sesungguhnya agama Islam dipelihara ALLAH. Sekiranya kita tidak menjaganya maka ALLAH akan membawa kaum lain yang lebih baik daripada kita untuk menjaganya.

Kemudi rumah tangga cara Nabi

APABILA golongan muda berjinak-jinak dengan masjid dan sentiasa hadir mendengar kuliah dan tazkirah perihal agama, mereka akan melontarkan pelbagai pandangan dan persoalan sehingga ada soalan yang diutarakan itu belum pernah dibincangkan oleh ahli-ahli fatwa sebelum ini.

Dr Izhar yang mengajar bab fikah di sebuah masjid di Putrajaya, didatangi ramai anak muda yang bertanya bermacam soalan. Padanya, soalan mereka agak menarik dan sesuai dengan keadaan masa kini.

Jadi gabungan orang muda dan 'lama' mampu memberikan impak yang positif bagi melahirkan masyarakat mesra masjid.

"Jika hanya orang tua yang datang ke masjid sedangkan orang muda duduk di rumah, bagaimana mereka mahu mewujudkan rumah tangga yang membahagiakan? Akibatnya banyak hukum-hakam tidak tahu," katanya. 

Banyak perkara syubhah

Faktor pertama yang boleh dikaitkan dengan keruntuhan rumah tangga disebut oleh seorang profesor hebat bidang kekeluargaan (bab pendidikan awal kanak-kanak), Syeikh Aaidh Ibn Abdullah Al-Qarni.

Syeikh Aaidh Ibn Abdullah Al-Qarni mengatakan rumah tangga orang Islam bergolak kerana terdapat banyak perkara syubhah (maksiat) di dalam rumahnya seperti buku dan majalah lara serta gambar-gambar artis yang tidak menutup aurat.

Dr Izhar yang juga pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberitahu, malaikat rahmat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya terdapat gambar yang tidak menutup aurat, termasuk meletakkan gambar isteri yang mana ketika itu tidak memakai tudung juga tidak digalakkan.

Pengumpulan bahan bacaan tidak berfaedah juga tidak sepatutnya ada di dalam rumah.

"Perlu diingat ayat al-Quran pertama yang ALLAH SWT turunkan kepada Nabi SAW adalah Ikra' (bacalah), tetapi kita kumpul bahan bacaan yang tidak mendatangkan apa-apa faedah, sebaliknya mendatangkan fitnah. Bahan bacaan sedemikian langsung tidak bermanfaat dan membazir. Kita lihat, rumah ulama di negara kita misalnya Datuk Harun Din, Mufti Wilayah Persekutuan; Dr Zulkifly Al-Bakri terdapat banyak buku ilmiah, hampir memenuhi sebahagian rumah mereka. Itulah yang melahirkan anak generasi khaira ummah, anak semua berjaya.

"Kalau kita terlampau berkira untuk melaburkan sedikit duit dengan membeli buku-buku ilmiah, maka rumah tangga kita akan sunyi dan suram tanpa cahaya. Kalau kita rasa dalam rumah tangga terdapat banyak perkara syubhah seperti patung, gambar dan majalah serta buku yang lara, maka buanglah demi untuk mencapai rumah tangga yang mawaddah wal rahmah," kata anak kelahiran Selangor ini lagi.

Bagaimanapun katanya, bagi barang mainan kanak-kanak seperti patung Ultraman, Iron Man, patung beruang, tidak menjadi masalah untuk disimpan.

"Sebagai seorang suami, pastinya hati bahagia apabila setiap kali pulang dari mencari rezeki, isteri dan anak-anak menyambut kepulangan dengan senyuman. Itulah yang kita inginkan," katanya.

Hina syariat Islam

Punca kebahagiaan tidak ada dalam rumah tangga apabila ada suami, isteri atau anak yang menghina syariat ALLAH. Kita lihat berapa ramai orang Islam yang menjadikan Islam sebagai cara hidup. Segelintir wanita di luar sana apabila ditanya kenapa memakai tudung bukan kerana suruhan ALLAH dan Nabi SAW, sebaliknya kerana ikut fesyen.

Beliau menegaskan, nak ikut syariat perlu betul-betul, jangan main-main. Ia bukan amal yang mana rasa mahu, diamalkan dan ditinggalkan yang mana rasa payah. Syariat itu adalah arahan ALLAH.

"Saya pernah berhadapan dengan kes di mana seorang isteri mengadu kepada saya untuk memohon cerai daripada suaminya. Ceritanya begini, setiap kali dia mahu mengejutkan suaminya untuk solat Subuh, suaminya akan bangun tetapi bukan untuk bersolat, sebaliknya menamparnya. Si isteri sudah tidak tahan kerana sepanjang perkahwinan mereka jarang sekali dia lihat suaminya bangun solat Subuh.

"Terkejut saya baca kisah wanita itu. Apa yang dapat saya simpulkan rumah tangga yang ketuanya tidak menjaga solat adalah seperti menghina suruhan ALLAH. Solat itu tiang agama, jika tiangnya tidak kita tunaikan maka runtuhlah agama itu," ujarnya.

Dr Izhar berkata, alangkah cantiknya dalam sebuah rumah tangga itu, apabila keluarga itu (suami, isteri dan anak) berjalan beriringan ke masjid. Pemandangan itu terlalu sukar untuk dilihat di negara kita, sedangkan itu adalah pemandangan biasa di negara Arab, satu keluarga berjalan ke masjid untuk berjemaah.

"Ingatlah, hidayah itu adalah milik ALLAH, untuk mendapat hidayah daripada-Nya kita yang perlu berusaha. Jadi jangan tinggalkan syariat ALLAH demi mencapai syurga abadi," katanya kepada Rehal.

Tidak hormat ulama

Jika dilontarkan soalan mengenai ulama-ulama terulung Islam dan agamawan dalam negara kita, agaknya ramai tak yang berpusu-pusu angkat tangan untuk jawab soalan itu?

"Saya rasa tidak ramai, kerana antara punca pincangnya rumah tangga disebabkan kurangnya ilmu mengenai ulama ulung Islam. Sepatutnya, kita kena kenal siapakah mufti di negeri itu, siapakah tokoh dalam bidang perubatan, contohnya siapakah dia Abu Hurairah dan bermacam ilmu lagi.

"Ini tidak, perihal selebriti tersimpan kemas dalam kotak minda kita, tanya sahaja artis tu lahir kat mana, asal mana semua ada jawapan. Sedih, sungguh sedih. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka mengenali tokoh-tokoh ulung Islam ini dan bukan sebaliknya," katanya pada akhir bicara.

Kesimpulannya, tinggallah perkara yang boleh membuatkan rumah tangga yang pada awalnya dibina dengan cinta dan kasih sayang tetapi di pertengahannya suram dan sunyi tanpa syariat Islam, dan akhirnya hanya perpisahan yang berlaku. Ikutlah kaedah yang ditinggalkan Baginda SAW kerana Baginga adalah yang terbaik!

Wanita berkerjaya bukan masalah

WANITA berkerjaya bukan lagi senario pelik di abad ini terutamanya di negara kita. Pelbagai bidang kerjaya kini dikuasai golongan wanita sehinggakan ada sesetengahnya menceburi bidang mekanikal.

Persoalan yang timbul, adakah Islam membenarkan wanita bekerja di luar rumah?

Bukti wanita bekerja di luar rumah ada dijelaskan ALLAH SWT dalam firman-Nya: "Dan ketika dia sampai di telaga air Negeri Madyan, dia dapati di situ sekumpulan lelaki memberi minum (binatang ternakan) dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan sedang menahan kambingnya. Dia bertanya: "Apa hal kamu berdua?" Mereka menjawab: "Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga penggembala-penggembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya." (Surah Al-Qashash: 23)

Ummu Athiyyah menceritakan dalam satu hadis, beliau pernah bekerja di medan perang bersama Rasulullah SAW. Beliau berkata: "Aku pernah turun ke medan peperangan bersama Rasulullah SAW dalam tujuh peperangan. Aku berada di belakang rombongan mereka dan aku menyiapkan makanan dan aku merawati tentera yang tercedera dan yang sakit." (Riwayat Muslim)

Jabir RA meriwayatkan Rasulullah SAW pernah memberi motivasi kepada wanita untuk bekerja. Baginda SAW pernah bertemu Ummu Mua`ssyir Al-Ansariah, beliau seorang pekebun.

Mazhab Syafi'e berpandangan, wanita dibenarkan bekerja apabila suami tidak mampu memberi nafkah dan tertangguh nafkahnya terhadap isteri. Suami tidak boleh melarang isterinya bekerja tetapi sekiranya suami melarang isteri bekerja, maka wajib baginya menyediakan nafkah untuk si isteri.

Mazhab Hanbali pula mengatakan wanita dibenarkan bekerja akan tetapi si isteri juga boleh menuntut fasakh sekiranya suami tidak mampu memberi nafkah. Jika suami sudah melengkapi segala hajat si isteri maka suami boleh melarangnya bekerja.

Walau bagaimanapun, Prof Dr Muhammad Zuhaily menyatakan kebimbangan beliau terhadap kesan yang mungkin terjadi jika isteri bebas bekerja di luar rumah. Antara kesannya ialah:-

1) Perasaan ingin bebas daripada telunjuk wali atau suami. Segelintir mereka berasakan mereka perlu mendapat kebebasan untuk berbelanja atau segalanya.

2) Wanita (isteri) mula mengasingkan diri daripada suami dalam segenap aspek, khususnya ekonomi individu. Konsep kehidupan yang saling berkongsi dan saling melengkapi kian terhakis antara suami-isteri. Segelintir wanita (isteri) berasakan tidak lagi memerlukan lelaki dalam kehidupan mereka sebaliknya rumah yang sepatutnya dihiasi kasih sayang suami-isteri kini telah berubah umpama hotel hanya untuk mereka memuaskan nafsu seksual masing-masing.

3) Penjagaan anak berkemungkinan terabai. Terabai yang dimaksudkan bukan hanya pada makan dan minum anak-anak, akan tetapi juga melibatkan masa yang perlu diluangkan bersama anak-anak. Segelintir ibu bapa sanggup menghantar anak mereka ke pusat asuhan kanak-kanak, sebaliknya anak mereka lebih banyak meluangkan masa dengan orang lain berbanding dengan orang tuanya sendiri.

Gaji hak mutlak isteri

Setelah isteri bekerja, pasti menerima gaji dari majikan, gaji tersebut hak mutlak isteri dan tidak ada sesiapa berhak berkongsi atau gunakan tanpa kebenarannya. Pada asalnya tanggungjawab menyara keluarga bukanlah tanggungjawab isteri, tetapi isteri digalakkan membantu suami dalam menyara kehidupan keluarga.

Sungguhpun isteri sudah bekerja dan memiliki kewangan sendiri, ini bukan bermaksud hukum memberi nafkah telah gugur kepada isteri. Kewajiban suami memberi nafkah tetap wajib dan tidak akan gugur walaupun isteri bekerja kerana tanggungjawab itu adalah hak suami terhadap isteri.

Buat suami, kebenaran syariat membenarkan isteri bekerja bukan bermaksud suami bebas goyang kaki di rumah sambil memakan hasil pencarian isteri, tetapi tanggungjawab sebagai suami tidak akan gugur selagi memiliki kudrat.

Wahai isteri, jika ingin bekerja, pastikan mendapat keizinan suami dahulu. Keredaan hidup isteri terletak pada suami. Isteri yang ingin berkerja perlu memikirkan kesesuaian bidang diceburinya sesuai dengan kudrat kewanitaan dimilikinya.

Al-Quran untuk dapat pahala

AL-QURAN, kitab yang dibaca untuk mendapat pahala dan barakah, melalui interaksi untuk diamalkan. Adab-adab tilawah adalah permulaan interaksi bersama al-Quran seperti yang dinyatakan Dr Sheikh Solah Abdul Fattah Al-Khalidi.

Adab bukan sekadar etika dalam kefahaman umum. Terkandung dalam adab adalah keberkatan, kelancaran dan kemudahan mencapai matlamat.

Ulama menghimpun adab-adab ini apabila bergaul dengan al-Quran. Mereka mengetahui sebahagiannya daripada sunnah Rasulullah SAW dan sirah sahabatnya dan sebahagian yang lain mereka fahami dari pengalaman pergaulan mereka yang luas dengan al-Quran.

Sebahagian adab yang penting adalah:-

1. Memilih waktu yang sesuai untuk membaca al-Quran di mana waktu-waktu yang mempunyai kelebihan khusus yang disebut Rasulullah SAW. Waktu-waktu ini mempunyai keistimewaan tersendiri, di mana rahmat-Nya lebih dirasai. Antara waktu terbaik adalah sepertiga malam.

2.Memilih tempat yang sesuai seperti masjid atau sebuah bilik khas dalam rumah yang menjernihkan fikirannya dari gangguan, kekacauan, dan halangan-halangan serta menjauhkannya dari teriakan, bunyi bising, bualan keduniaan dan permainan kanak-kanak. Malah elok juga membaca al-Quran di taman yang cantik atau tempat-tempat menarik yang mempunyai panorama indah.

3.Memilih posisi duduk yang sesuai dan khas untuk menerima firman ALLAH SWT. Iaitu posisi di mana nampak perilaku kehambaan dan ketaatan kepada ALLAH. Sebaik-baik posisi duduk bagi pembaca al-Quran adalah duduk menghadap kiblat dengan duduk tasyahud waktu solat. Apabila dia berasa penat dia harus berubah dengan posisi lain yang sesuai tapi masih menghadap kiblat. Apa yang penting dia nampak mengagungkan firman ALLAH, merendahkan diri dan mengagungkan-Nya.

4.Menumpukan niat ikhlas sepenuhnya untuk ALLAH dan menjauhkan diri dari tujuan keduniaan. Bacaan, perbuatan dan ibadat akan diberikan pahala bergantung dari niat yang bersih dari elemen syirik kepada selain ALLAH. Ilmu, pemahaman dan renungan adalah semata-mata nikmat dan rahmat ALLAH, dan rahmat ALLAH tidak dikurniakan kepada orang yang hatinya tercampur kotoran dan kesamaran.

5.Memohon perlindungan kepada ALLAH daripada gangguan syaitan. Dalam membaca al-Quran pun syaitan dapat memperdaya manusia dengan meniupkan waswas, bangga diri atau kefahaman yang bengkok. Kita yakin dengan pertolongan ALLAH bahawa tidak ada apa yang dapat mempengaruhi ilmu, akal dan pemahaman jika ALLAH memberikan keteguhan dan menyingkapkan mesej yang sebenar.

6.Mengagungkan ALLAH yang sedang bercakap dengan kita. Yang bercakap adalah ALLAH yang Maha Tinggi dan Agung. Dia bercakap dengan hamba-hamba-Nya yang lemah. Dalam kehidupan biasa, ketika raja bertitah, rakyat biasa akan mendengar dengan patuh. Apatah pula jika yang bercakap itu adalah raja kepada seluruh raja, ALLAH. Pengagungan adalah sebab terpenting untuk mendapatkan pelajaran, hakikat dan bukti-bukti al-Quran.

7.Berhenti di depan setiap ayat untuk merenungi, memahami makna dan hakikat-hakikatnya serta memperhatikan ilmu-ilmu, pelajaran dan arahan-arahannya. Tanpa renungan dan pemahaman, tiada faedah yang besar akan diperoleh.

8.Berasakan diri sendiri sedang diajak bercakap melalui ayat-ayat yang dibaca, dan kepada diri sendirilah amanat itu ditujukan. Untuk itu pembaca mesti berhenti lama di depan suatu ayat bagi mengetahui apakah yang dia minta dari dirinya dan apakah yang menjadi larangan.

Salah satunya dengan memerhatikan setiap kali seruan "Wahai orang-orang yang beriman", "Wahai sekalian manusia", "Wahai insan". Setelah seruan-seruan tersebut pasti ada perintah yang perlu dilaksanakan, ada teguran dan peringatan yang membawa manfaat kepada kehidupan.

Hidupkan suasana imani

Adab-adab membaca al-Quran adalah langkah pertama daripada empat langkah untuk berinteraksi dengan al-Quran, iaitu menghidupkan suasana imani.

Melalui adab-adab ini seseorang memberi tumpuan terhadap suasana imani dan menghayati keadaan imani yang akan menghantarnya kepada pemahaman dan perhatian dalam membaca al-Quran. Di sini adab-adab bersama al-Quran adalah kunci pertamanya.

Seseorang harus sedar dia sedang berinteraksi dengan kitab suci yang diturunkan oleh Tuhan pemilik langit dan bumi, Tuhan yang menciptakan jiwa-jiwa manusia, yang satu masa nanti akan berdiri dirinya di depan Tuhannya, dan al-Quran akan menjadi sama ada penyokong atau penentangnya.

Layanan seseorang haruslah berbeza berbanding layanan terhadap bacaan-bacaan yang lain.

Bermula dengan adab-adab inilah, pembaca boleh meneruskan ke langkah yang seterusnya dalam bertadabur dan bertazakur dengan al-Quran.

Ahbash berselindung di sebalik ASWJ

DUNIA Islam diganggu golongan menyeleweng dari jalan lurus iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ). Kemunculan golongan seperti Syiah Rafidhah, Khawarij, Murjiah, Muktazilah, Jabariyah dan Jahmiyah merosakkan akidah yang benar.

Masih ada saki-baki pengikut golongan tersebut menyebarkan fahaman itu sehingga hari ini.

Sedihnya mereka menyebarkan ajaran menyeleweng ini dengan berselindung di sebalik nama ASWJ supaya kesesatan mereka tidak dapat dihidu masyarakat.

Artikel ini menjelaskan mengenai kumpulan jemaah takfir, Al-Ahbash yang giat menyebarkan fahaman mereka. Al-Ahbash wujud sejak dahulu lagi, mula menular dalam kalangan kita sejak kebelakangan ini melalui pelajar yang belajar di timur tengah khususnya di Lubnan.

Perihal kumpulan ini ada disebut dalam kitab 'Al-Mausu'ah Al-Muyassarah fi Adyan wal Mazahib wal Ahzab al-Mu'asirah' iaitu ensiklopedia yang menceritakan mengenai agama, mazhab dan kumpulan yang muncul dalam Islam. Al-Ahbash adalah kumpulan sesat diambil namanya sempena guru mereka, Abdullah Al-Harari Al-Habasyi.

Kumpulan ini muncul di Lubnan saat berlakunya huru-hara disebabkan perang saudara. Tatkala itu, masyarakatnya berada dalam kejahilan dan kefakiran. ketika itulah, kumpulan Ahbash ini mengambil peluang menyebarkan ajaran melalui metodologi ahli kalam, amalan kesufian dan kebatinan bertujuan merosakkan akidah dan memecahbelahkan umat Islam.

Abdullah Al-Harari dikenali sebagai Al-Fattan (pembawa fitnah), juga  Syeikhul Fitnah iaitu orang yang suka membawa fitnah. Ini disebabkan tindakannya yang bersekongkol dengan kerajaan kafir Hilasilasi di Lubnan mengakibatkan ramai ulama melarikan diri ke Mesir dan Saudi untuk menyelamatkan diri dari fitnah tersebut.

Kumpulan Ahbash ini membawa fahaman menyeleweng dari mazhab ASWJ. Antaranya mereka berfahaman Jahmiyyah iaitu kumpulan yang menafikan sifat ALLAH SWT, membawa fahaman Murjiah, Jabariah dan Rafidhah atau Syiah. Mereka mencela sahabat Nabi SAW dan menuduh Aisyah RA bermaksiat kepada ALLAH di samping fatwa mereka yang pelik.

Akhirnya Abdullah Al-Harari berjaya mengumpulkan pengikut yang taksub (mereka tidak mengiktiraf keislaman seseorang kecuali mereka mengakui akidah dibawa Abdullah Al-Harari).

Sedangkan akidah dibawa Abdullah Al-Harari ini jauh menyeleweng daripada akidah ASWJ. Pengikut yang taksub ini memaksa orang ramai mempelajari akidah Al-Habasyiah dengan ngetuk pintu rumah dan menyebarkan buku syeikh secara percuma.

Antara tokoh Ahbash ini ialah Nizar Al-Halabi digelar Samahatu Al-Syeikh gelaran bagi mufti. Pengikut taksub ini menconteng dinding dengan slogan "Katakan tidak kepada Hassan Khalid (Mufti Lubnan) yang kafir, dan katakan ya kepada mufti Nizar Al-Halabi".

Mufti Hassan Khalid dibunuh kumpulan Ahbash. Nizar Al-Halabi juga dibunuh kerana fatwa sesat dikeluarkannya. Begitulah akhlak buruk pengikutnya diajar guru mereka, Al-Harari iaitu mudah melemparkan tuduhan kafir kepada sesiapa sahaja yang tidak bersetuju mereka.

Akidah & ajaran dianuti

Ahbash mendakwa bermazhab dengan Mazhab Al-Syafi’e dalam fikah dan akidah, hakikatnya mazhab mereka jauh dari mazhab Al-Syafi’e. Semberono mentakwilkan sifat ALLAH tanpa kaedah betul, contohnya mentakwilkan (mengubah sifat ALLAH Istiwa' kepada Istila') iaitu berkuasa seperti dilakukan mazhab Muktazilah dan Jahmiyyah.

Al-Harari Al-Habasyi mendakwa al-Quran adalah lafaz Jibrail, bukan kalamullah sepertimana akidah ASWJ. Ini boleh dilihat dalam kitab ditulis Al-Harari, Izdharul Aqidati Al-Sunniyyah: halaman 51.

Ahbash dalam masalah berkaitan dengan iman seperti Murjiah dan Jahmiyyah iaitu memisahkan antara iman dan amal. Amalan seseorang tidak ada kena mengena dengan iman. Maka seorang itu dikira beriman walaupun meninggalkan solat dan juga rukun Islam lainnya. Ini bercanggah dengan akidah ASWJ yang menyatakan Islam itu ialah iman dan amal. Lihat buku Al-Harari Al-Dalil Al-Qawim halaman 7 dan kitabnya Bughyatu Al-Tolib halaman 51.

Al-Harari berkata: "Sesiapa yang tidak berhukum dengan syariat ALLAH dalam dirinya, tidak melaksanakan kefarduan ditetapkan ALLAH, tidak menjauhkan diri dari kemaksiatan, tetapi seumur hidupnya dia pernah mengucapkan La ilaha illallah walaupun sekali, dia seorang Islam beriman. Juga disebutkan sebagai orang beriman yang berdosa. Rujuk Al-Dalil Al-Qawim halaman 9-10 dan Bughyatu al-Tolib halaman 51.

Ahbash dalam masalah Al-Qadr adalah Jabariyyah. Mereka mendakwa ALLAH menolong seorang kafir atas kekufurannya, kalau tidak kerana ALLAH tidaklah seorang kafir itu menjadi kafir. Lihat kitabnya Al-Nahju Al-Salim halaman 71.

Ahbash menggalakkan pergi ke kubur dan memohon hajat kepada ahli kubur. Dakwaan mereka, ahli kubur keluar dari kubur menunaikan hajat pemohon kemudian kembali ke kubur semula.

Begitu juga mereka membenarkan memohon perlindungan dari selain ALLAH. Lihat Al-Dalil Al-Qawim halaman 173, Bughyatu Al-Tolib muka surat 8 dan Sorih Al-Bayan muka surat 57 dan 62.

Ahbash mensahihkan hadis lemah dan palsu yang menyokong mazhabnya dan sebaliknya melemahkan sesuatu hadis sekiranya bercanggah dengan mazhabnya. Boleh dilihat dengan jelas dalam kitabnya Al-Maulid Al-Nabawi.

Al-Harari mencela sahabat terutamanya Muawiyyah bin Abi Sufian RH, Aisyah RA, mengutuk Khalid bin Al-Walid dan sahabat lainnya. Dia juga berkata sesiapa yang tidak bersama pemerintahan Ali mati dalam keadaan jahil.

Al-Harari mengkafirkan ulama, dia menghukum Ibnu Taimiyyah kafir dan menjadikan kewajipan pertama bagi setiap mukalaf mengiktiraf kekufurannya. Begitu juga Imam Al-Zahabi di sisinya seorang yang keji. Mengkafirkan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani, Syeikh Sayyid Sabiq, Sayyid Qutub, Syeikh Al-Qaradhawi, Syeikh Said Ramadhan Al-Buti dan ulama yang lainnya. Tetapi Ibn Arabi seorang yang sepakat ulama mengatakan kufurnya fahaman yang dibawa iaitu wahdatul wujud, akidah hulul dan sebagainya, Al-Harari mengatakannya sebagai Syeikhul Islam.

Antara fatwa Al-Harari Al-Habasyi dalam fikah yang pelik ialah seperti bolehnya melihat kepada wanita ajnabiah (tidak menundukkan pandangan), ihktilat (percampuran lelaki dan wanita), boleh bersalam-salaman antara wanita ajnabiah, wanita boleh keluar rumah dalam keadaan tabaruj dan memakai wangian walaupun tanpa keizinan dan keredaan suami. Boleh berjual-beli anak yang merdeka, boleh makan riba dan bersolat dengan pakaian bernajis. Lihat Bughyatu Al-Tolib halaman 99.

Maka dari apa disebutkan ciri-ciri kumpulan Ahbash ini boleh disimpulkan:

Bermazhab dengan Mazhab Al-Asy'ari yang terkemudian dalam masalah sifat-sifat ALLAH yang lebih menghampiri mazhab Jahmiyyah.

Bermazhab Murjiah dan Jahmiyyah dalam masalah iman berpegang dengan tarekat kesufian yang menyeleweng seperti Tarekat Al-Rifa'ie dan Naqsyabandiah dan juga akidah golongan Al-Batiniyyah.

Mengkafirkan ulama dan umat Islam umumnya yang tidak sehaluan dengan mereka.

Mensahihkan hadis lemah atau palsu berdasarkan apa yang selari dengan kumpulan mereka dan melemahkan hadis sahih sekiranya bercanggah dengan kumpulannya.

Mengaburi masyarakat dengan gelaran ulama hadis dan sebagainya yang mereka berikan kepada Al-Harari seperti Al-Allamah Al-Muhaddis.

Antara kitab yang ditulis Abdullah Al-Harari disebarkan di Malaysia termasuk di perpustakaan universiti tempatan seperti:

Sorih Al-Bayan.

Kitab Al-Maulid Al-Nabawiy.

Al-Dalil Al-Qawim 'Ala Sirat Al-Mustaqim.

Bughyatu Al-Tolib fi Makrifati Ilmi Al-Din Al-Wajib dan lain-lain.

Ini antara pegangan mereka bawa dan seru kepadanya. Ulama terkenal seperti Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, Syeikh Wahbah Al-Zuhaili, Syeikh Said Ramadhan Al-Buthi dan majlis fatwa dunia menfatwakan kesesatan pegangan mereka dan mengingatkan umat supaya berwaspada.

Masyarakat di Malaysia harus berwaspada terhadap  pemikiran ekstrem mudahnya menghukumkan kafir dan sesat sekiranya berbeza pendapat dengan mereka. Kembalilah kepada ajaran ASWJ yang dibawa dan difahami generasi terbaik umat ini iaitu sahabat.