February 28th, 2016

Bila orang Islam hedonistik

Kunta Kinte nak mula dengan minta banyak-banyak maaf kalau apa yang Kunta Kinte tulis kali ini menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Maklumlah, bila kita cakap hal agama, mesti ada yang setuju dan tak setuju. Tapi Islam ajar kita berfikiran terbuka, dengar semua pandangan dan guna akal fikiran yang waras untuk buat pertimbangan.

Ramai orang Islam tak baca al-Quran. Kalau baca pun tak faham sebab tak faham bahasa Arab.

Tak ramai yang baca terjemahan. Bila ada orang nak baca terjemahan, ada orang kata itu bukan al-Quran.

Yang baca dan faham al-Quran pula ramai tak amalkan ajarannya.

Kalau amal pun mereka ambil sana sini yang sesuai untuk mereka saja. Kunta Kinte pun bukanlah dalam sangat pengetahuan agama dan al-Quran.

Tapi daripada apa yang Kunta Kinte baca dan faham, Kunta Kinte berani kata ramai orang Islam tak amalkan semangat ajaran al-Quran.

Gaya hidup melampau

Allah SWT suruh baca, orang Islam malas baca.



Allah SWT ajar, orang Islam malas belajar.

Al-Quran ajar kita sederhana dalam semua hal tapi ramai yang melampau.

Tapi hari ini dengan adanya saluran maklumat baharu yang berasaskan internet, kita boleh tengok dan baca gaya hidup mewah sesetengah orang Islam dan sikap fanatik sesetengah yang lain.

Kunta Kinte berani kata gaya hidup mewah sesetengah orang Islam lebih teruk dan melampau berbanding bukan Islam. Islam kata jangan menunjuk-nunjuk, jangan sombong dan jangan riak.

Tapi kalau kita baca surat khabar, tengok televisyen, dengar radio dan layari internet, yang kita dapati adalah sebaliknya.

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata Kunta Kinte jijik tengok laman Facebook sesetengah orang, termasuk wartawan, pensyarah dan orang politik yang pagi-pagi buta lagi dah pamer gaya hidup mewah.

Coffee latte, espresso dan cappuccino yang berbelas-belas ringgit secawan dan tayang kenderaan pacuan empat roda serta motosikal besar mereka sedangkan kita tahu di Malaysia masih ramai orang miskin.

Rancangan Makanan Dunia (World Food Programme), sebuah badan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, kata 795 juta penduduk dunia atau seorang dalam sembilan tak cukup makanan untuk hidup sihat dan cergas.

Kemudian kita tengok pembesar Islam di seluruh dunia yang sana-sini cakap pasal agama dan guna agama tapi cara serta gaya hidup mereka lebih teruk daripada orang yang tak ada agama.

Minta maaflah kalau Kunta Kinte kata lebih hedonistik, lebih mewah dan lebih menunjuk-nunjuk daripada pembesar zaman Firaun atau orang kafir hari ini.

Baru-baru ini Kunta Kinte tengok dalam laman video YouTube, iaitu tiga daripada lima pemilik pesawat persendirian (private jet) paling mahal di dunia adalah orang Islam - seorang ahli perniagaan dan dua pemerintah.

Tapi kita tengok Bill Gates, orang paling berjaya dan kaya di dunia dia tak pakai kapal terbang macam itu. Kalau dia pakai pun kita tak boleh kata apa-apa pasal duit titik peluh dia.

Sebaliknya dia dan isteri, Melinda buat yayasan kebajikan. Sejak yayasan itu ditubuhkan pada 2000 hingga 2014, mereka sudah derma AS$44.3 bilion (kira-kira RM193 bilion) untuk kebajikan, khususnya dalam bidang perubatan, di seluruh dunia.

Tayang kemewahan

Sepatutnya pembesar Islam yang jadi kaya-raya kerana hasil bumi pemberian Allah SWT lebih bersyukur dan tunjuk sifat sederhana.

Mereka sepatutnya lebih bersyukur kerana kekayaan yang mereka nikmati itu bukan kekayaan yang macam Bill Gates cipta, tapi semata-mata dengan menggali hasil bumi pemberian Allah SWT.

Kunta Kinte tak mahu ungkit pasal ujian dan balasan Allah SWT. Tapi kalau kita tengok apa yang berlaku kepada negara orang Islam hari ini, suka tak suka kita kena balik kepada aspek pemberian, ujian dan pembalasan Tuhan.

Negara Islam kucar-kacir

Banyak negara orang Islam kucar-kacir, dilanda perang dan kemiskinan sampai rakyat jelata terpaksa lari macam haiwan ke negara orang kafir.

Orang kafir pula yang bagi perlindungan kepada orang Islam yang lari daripada perang sesama sendiri. Sekarang negara Islam yang kaya dengan hasil bumi, khususnya petroleum dan gas, dilanda pula oleh kejatuhan harga yang mereka sendiri cetuskan bila berlumba-lumba pam minyak dari perut bumi.

Pasal itulah bila Kunta Kinte ingat balik pesan Allahyarham ayah Kunta Kinte, Kunta Kinte rasa kita jangan taksub sangat atau cepat percaya kepada orang yang bila cakap guna nama Allah SWT, tak putus-putus pergi umrah dan asyik tadah tangan ke langit tapi lain yang Tuhan suruh, lain yang dia buat. Wallahuaklam.

Toleransi acuan hidup harmoni

Alhamdulillah kita ditakdirkan oleh Allah SWT untuk hidup dalam sebuah negara yang aman damai, dilimpahi rezeki melimpah ruah serta penuh keamanan.

Semenjak tarikh kemerdekaan sehingga hari ini secara umumnya kita berjaya mempertahankan kerukunan hidup bermasyarakat dan bernegara.

Sangat unik negara ini yang rakyatnya berbilang agama, kaum, budaya dan kepercayaan. Sedikit insiden yang berlaku boleh dianggap terpencil dan tidak mewakili kehendak majoriti.

Ramuan utama keenakan hidup bermasyarakat ialah setiap pihak menghormati undang-undang dan tidak melangkau sempadan ditetapkan.

Dalam sebuah negara yang sifatnya berbilang-bilang agama serta bangsa, sudah tentu setiap bangsa dan agama mempunyai kehendak masing-masing yang jika tidak dikawal atau diletakkan sempadan, maka sudah tentu akan berlaku pertembungan kehendak atau tuntutan sesama penduduk yang berbeza.

Kestabilan negara dan keharmonian masyarakat dapat dipupuk sekiranya setiap kaum dapat menghormati antara satu sama lain. - Gambar hiasan


Maka dalam situasi ini dan demi mengelakkan pertembungan kepentingan terus berlaku, amat penting perlembagaan negara terus dipelihara dan dihormati.

Mempertahankan hidup penuh keharmonian ini perlu disebut dan diadakan kempen secara berterusan supaya sentiasa segar dalam minda rakyat negara ini.

Galakan supaya umat Islam hidup harmoni dengan penganut agama lain tidak pernah gagal dipromosikan sepanjang masa, sehingga dalam majlis keagamaan seperti sambutan Maulidur Rasul ada kalangan penganut agama tidak mengakui kenabian Nabi Muhammad SAW tetap diberi pengiktirafan tokoh tertentu.

Hatta dalam khutbah Jumaat, kempen menjaga keharmonian sesama penduduk negara ini tidak ketinggalan dijadikan sebagai peringatan untuk sekalian hadirin.

Ayat al-Quran yang menjadi dalil dan sandaran ialah firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil." (Surah al-Mumtahanah, ayat 8)

Peka sensitiviti kaum lain

Atas sifat kepatuhan umat Islam kepada agama masih menebal, maka keharmonian menjaga sensitiviti penganut agama lain masih dijaga dan tindakan provokasi segelintir pihak terhadap Islam sangat cermat disantuni.

Namun, harapan kita supaya kesungguhan umat Islam menghormati penganut agama lain dibalas juga dengan kesungguhan penganut agama selain Islam. Pada pihak umat Islam, segenap medan digunakan, termasuk mimbar masjid untuk menyampaikan mesej keamanan.

Tidak cukup dengan peruntukan perlembagaan yang ada, pesanan ini disulami dalil al-Quran dan al-Sunah. Kita sebagai umat Islam sangat mengharapkan penganut agama selain Islam juga secara serius berkempen supaya kerukunan hidup bernegara dapat dipelihara.

Mereka boleh mengulang-ulang dalam ucapan pemimpin mereka supaya Islam dihormati sebagai agama Persekutuan.

Sentiasa menjaga sensitiviti orang Islam, menjauhi daripada melakukan provokasi terhadap umat Islam. Kita sangat berharap mesej keamanan ini diucapkan di tempat ibadat mereka.

Apabila berlaku tindakan provokasi kepada Islam dan umat Islam, maka pemimpin mereka perlu menegaskan bahawa perbuatan berkenaan tidak mewakili pendirian penganut agama berkenaan.

Nasihatkan mereka supaya menghormati kepercayaan hak penduduk yang mewakili majoriti rakyat negara ini iaitu umat Islam.

Kita percaya tindakan mempromosi keamanan ini tidak akan berjaya jika tidak diusahakan oleh kedua-dua pihak yang berkepentingan, ibarat bertepuk sebelah tangan.

Ia juga tidak akan berjaya jika dilakukan setakat melepaskan batok di tangga.

Justeru, usaha bersungguh pihak Islam wajar disambut untuk mengajak masyarakat memahami hak toleransi mengikut acuan tempatan yang ada latar belakang sejarah tersendiri berbanding toleransi mengikut acuan standard barat mahupun antarabangsa.

Impian kita ialah suasana yang saling mengukuhkan semangat menghormati sesama warganegara dan kempennya berkumandang dari atas mimbar masjid yang bersungguh mengajak masyarakat bukan Islam menghormati beberapa peruntukan undang-undang perlembagaan negara.

Antaranya perkara 3(1) berkaitan Islam sebagai agama Persekutuan, 11(4) (larangan penyebaran diayah agama lain kepada orang Islam), 12(2) berkaitan hak institusi Islam untuk mendapat bantuan kerajaan , 121(1A) berkaitan kuasa Mahkamamah Syariah dan lain-lain peruntukan yang jika dihormati akan memanjangkan nyawa keharmonian di negara ini.

Kanta kehidupan menentukan sistem kepercayaan

Benarkah masa hadapan kita ditentukan oleh tangan kita sendiri, dengan berpandukan akal? Yang membezakan manusia dengan makhluk yang lain ialah akal.

“Kalau lalang suburnya kerana akar, rentaplah akarnya, lalang bakal kering terkapar. Kalau manusia, mulianya kerana akal, jagalah akalnya, hati menjadi cekal minda menjadi segar.”

Jika kita pandai menggunakan ‘mata akal’ dan ‘mata hati’ yang dianugerahkan Allah kepada kita, kita akan menjadi seorang yang hebat, “umpama minyak setitik, di laut sekalipun timbul jua.”

Maksudnya orang yang hebat, di mana sekalipun dia berada orang akan nampak kehebatannya dan kehidupan ini ada empat jenis manusia.

Pertama, manusia yang tidak tahu apa yang dia tidak tahu. Iaitu manusia yang keliru dengan dirinya dan dia tidak tahu tujuan dan matlamat hidupnya. Orang yang seperti ini biasanya tidak merancang hidupnya dan membiarkan kehidupan ‘berlaku ke atas dirinya.’

Kedua, manusia yang tahu apa yang dia tidak tahu. Orang yang begini akan hidup dengan penuh kesedaran bahawa dirinya banyak kekurangan serta perlu berusaha mencari ilmu dan meluaskan pengalaman untuk memperbaiki kekurangannya.

Orang yang begini biasanya ‘kesedaran ketuhanannya’ tinggi, berkecenderungan untuk menambahkan ilmu bagi meningkatkan keimanan.

Ketiga, manusia yang tahu apa yang dia tahu. Orang yang begini biasanya hidup dengan penuh keyakinan diri. Tetapi, kalau tidak dikawal keyakinannya itu, mungkin dia boleh menjadi seorang yang hidup dengan ‘kesedaran keegoan’ yang tinggi.

Keempat, manusia yang dia tidak tahu apa yang dia tahu. Orang yang begini tidak tahu dan sedar kebolehan dan bakatnya. Tetapi kebolehannya itu dapat dikesan oleh orang lain, dan setelah orang lain menyerlahkan kehebatannya barulah dia tahu kebolehannya.

Dengan empat jenis manusia ini cuba audit diri kita, siapakah kita? Siapa pun diri kita; baik atau buruk, positif atau negatif kita akan dapat mengubah kehidupan masa hadapan kita dengan menggunakan ‘mata akal’ dan ‘mata hati’.

Sistem kepercayaan

Cara kita memandang sesuatu menentukan “FIKIRAN – EMOSI – TINDAKAN – HASIL KEHIDUPAN”. Dalam mata kita ada kanta. Kalau kanta kita jernih kita nampak dengan jelas apa yang kita pandang, dan kalau kanta kita kelabu kita tidak nampak jelas apa yang kita pandang (rabun).

Kalau kita pakai kanta merah semua nampak merah. Kalau kita pakai kanta biru semua nampak biru. Kalau orang memakai kanta merah akan mengatakan dengan pandangan semua merah itulah yang cantik dan terbaik buat dirinya.

Dia tidak percaya dengan keindahan dan keistimewaan kanta biru, malah tidak percaya apabila orang yang memakai kanta biru mengata kanta birulah yang paling indah dan istimewa.

Hal ini kerana "sistem kepercayaan’ yang mereka pegang. Yang hendak ditekankan dalam hal ini adalah cara kita melihat sesuatu akan mengubah apa-apa yang kita lihat.

Kanta yang kita lihat itulah yang menentukan ‘sistem kepercayaan’ dan sistem nilai kita dan cara kita melihat dunia luar bergantung pada cara kita menggunakan kanta.

Siapa pun kita (jenis manusia apa pun kita) kita boleh mengubah keperibadian kita daripada negatif kepada positif dengan menggunakan formula dalam ‘Reset Minda’ yang sangat penting iaitu, ‘ADA – BERI – DAPAT’.

Untuk kita dapat baik, kita mesti beri baik – baru dapat baik. Untuk mendapat semua kebaikan ini, bergantung kepada ‘hati’ yang menjadi ‘raja’ yang mengawal nafsu manusia.

Boleh atau tidak kita beri baik kalau kita tidak ada perasaan baik dalam hati kita? Jom auditlah diri. Setiap saat kita perlu membersihkan hati sebab kita akan bertemu dengan Allah dengan hati dan jiwa yang tenang.

Jika kita tidak tenang di hati maka kanta kita akan nampak semua kelabu. Sebab itu kalau jiwa kita kotor, kita akan beranggapan semua orang jahat.

Dalam kehidupan masyarakat, kerap kita dapati antara ibu dengan anak, suami dengan isteri, pekerja dengan majikan/ketua bertentangan pendapat dan kadang berlaku krisis.

Semua perkara itu terjadi kerana masing-masing melihat dengan kanta mereka sendiri, iaitu dengan ‘sistem kepercayaan' yang berbeza. Anak melihat dengan kanta yang berlainan dan ibu bapa pula melihat dengan kanta yang berlainan.

Ibu atau bapa yang sudah lama hidup dan pengalaman sudah banyak, nampak apa-apa yang anak-anak tidak nampak melalui kanta mereka yang masih mentah dan cetek pengalaman.

Bagi mengatasi masalah ini ubah cara kita memandang kehidupan ini dengan menggunakan kanta yang betul. Ubah sistem kepercayaan yang kita gunakan selama ini dengan cara melihat dunia menggunakan kanta yang sangat jelas, yang betul dan sama.

Jika kita mengubah cara kita melihat kehidupan dengan menggunakan kanta yang baharu dan betul, kesan kepada diri dan keluarga dalam kehidupan kita juga akan berubah.

Dengan menggunakan kanta yang baharu, betul dan sama, barulah kita dapat seiring mengejar matlamat dan tujuan hidup kita dalam satu keluarga, baik antara anak dengan ibu bapa atau antara suami dengan isteri.

Demikian jugalah dalam sesebuah organisasi, demi kejayaan bersama dengan menggunakan kanta atau ‘sistem kepercayaan' yang sama, sangat mudah organisasi itu mencapai tujuan, matlamat, visi dan misi mereka.

Gunakanlah ‘mata akal’ dan ‘mata hati’ kita untuk menapis kebaikan sahaja yang masuk dalam minda kita dan menepis segala keburukan yang cuba menceroboh minda kita.

Dengan ‘mata hati’ kita akan dapat menyaksikan ‘bilik minda’. ‘Bilik minda’ ialah satu imaginasi minda yang boleh dimiliki oleh setiap individu dengan cara memejamkan mata dan membayangkan satu bilik yang indah.

Kita akan tenang dan bayangkan kita menjadi pemerhati diri kita dan binakan imej diri yang positif yang kita mahukan. Kalau kita daripada jenis manusia yang negatif binalah imej diri yang positif. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”. - Utusan Malaysia Rencana Jom Audit Dr Muhaya Muhamad 28 Februari 2016 6:21AM

Contohi Nabi Ayub 
hadapi musibah

DALAM hidup ini, manusia sentiasa diuji untuk menge­tahui tahap iman seseorang. Ujian itu pula datang dalam pelbagai bentuk. Ada individu yang diuji de­ngan kesenangan, ada yang diuji dengan musibah, kesulitan, penyakit, kehilangan anak, isteri dan sebagainya.

Terbaharu, pendakwah kesayangan ramai, Datuk Mohd. Kazim Elias turut diuji kesihatannya apabila beliau disahkan menghadapi masalah jantung. Ini menyebabkan tokoh yang dikenali dengan Ustaz Kazim itu tidak boleh bertutur dengan baik, tersekat-sekat dan mudah penat. Sekali gus menyebabkan beliau terpaksa membatalkan program-prog­ram ceramah untuk tempoh sekurang-kurangnya enam minggu.

Semasa mendapat pelbagai rahmat dan kesenangan, rata-rata kita mudah melafazkan kesyukuran iaitu Alhamdulillah. Malangnya apabila dilanda musibah dan kesempitan ramai tidak mampu mengucapkan Alhamdulillah ‘ala kulli hal yang ertinya segala puji bagi Allah dalam setiap keadaan. Sebabnya semua kebaikan dan ujian dalam bentuk musibah itu juga datang daripada Allah SWT.

Antara kisah yang harus menjadi pengajaran adalah ketabahan dan ketaatan Nabi Ayub. Diceritakan baginda ialah usahawan yang kaya-raya dengan banyaknya binatang ternakan, luasnya kebun tanaman gandum dan memiliki gedung perusahaan perniagaan.

Diringkaskan cerita, binatang ternakan dan ladang gan­dumnya musnah dalam kebakaran manakala anak-anak ba­ginda pula terkorban dalam tragedi runtuhan bangunan perusahaan Nabi Ayub.

Allah menguji baginda dengan anaknya, keluarganya dan hartanya, kemudian dengan tubuhnya. Ujian Allah SWT ke atas baginda tidak pernah ditimpakan kepada sesiapa pun. Namun, Nabi Ayub tetap sabar dalam menunaikan perintah Allah dan terus-menerus bertaubat kepada-Nya.

Satu lagi ujian ke atas baginda adalah menderita penyakit kulit bertahun-tahun lamanya. Ia adalah antara ujian paling berat sehinggakan baginda terpaksa memencilkan diri bersama isteri, Rahmah selepas masyarakat bertindak memulaukan baginda ekoran bimbang penularan penyakit tersebut.

Hal ini dirakam oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani. (al-Anbiya: 83)

Dikhabarkan bahawa isterinya berkata: “Hai Ayub, seandainya engkau berdoa kepada Tuhanmu, nescaya Dia akan membebaskanmu.” Namun, Nabi Ayub AS menjawab: “Aku telah hidup selama 70 tahun dalam keadaan sihat, dan Allah baru mengujiku dalam keadaan sakit selama tujuh tahun. Ketahuilah, itu amat sedikit dibandingkan masa 70 tahun.” Demikianlah, Nabi Ayub menerima ujian Allah SWT dengan sabar dan ikhlas.

Bagaimana dengan kita hari ini? Baru demam selesema, ramai daripada kita yang ‘tewas’ dan tidak mampu lagi solat jemaah di masjid atau surau. Apabila hujan, masjid dan surau jadi sepi walhal masing-masing ada kenderaan dan sepatutnya tiada alasan tidak solat berjemaah.

Jika dibandingkan ujian yang kita hadapi, tidaklah seberat mana berbanding apa yang menimpa umat Islam terdahulu. Ada yang digergaji kepalanya hingga terbelah dua, disikat badannya dengan sikat besi sehingga nampak tulangnya, Sumayyah pula disula oleh Abu Jahal dan banyak lagi.

Hendaklah kita bersyukur selama mana ujian itu tidak menimpa agama dan tidak membuat kita berburuk sangka kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ja­nganlah kamu mati kecuali dalam keadaan berbaik sangka kepada Allah.” (Riwayat Muslim)

- Utusan Malaysia Rencana Al Bayan Mohd Radzi Mohd Zin 26 Februari 2016 6:15 PM

Halaqah kongsi kronologi peristiwa, tanda-tanda kiamat

ALAM ghaib dan apa yang akan berlaku di masa hadapan adalah rahsia Allah SWT kerana Dia yang menciptakan alam ini serta makhluknya, maka hanya Dia berkuasa menentukan segala-galanya.

Namun, sifat rahmat Allah SWT membolehkan manusia mengetahui sedikit sebanyak apa yang bakal dihadapi.

Ia melalui petanda dan bukti yang didatangkan supaya makhluk dapat memahami serta bersedia menghadapi situasi itu berbekalkan ilmu pengetahuan diperoleh, termasuk dalam perkara berkaitan hari kiamat yang diimani umat Islam yang beriman kepada Allah SWT.

Hakikatnya, banyak ayat al-Quran dan hadis yang menjelaskan mengenai hari kiamat, malah kebanyakan umat Islam jika ditanya mengenai tanda kecil atau tanda besar berlakunya kiamat, masing-masing dapat memberi gambaran berdasarkan pembacaan serta maklumat dikongsi mengenainya.

Antaranya, fakta mengenai turunnya Nabi Isa, keluarnya Dajal, kisah Yakjuj dan Makjuj serta banyak lagi tanda-tanda berdasarkan dalil sahih.

Cuma, mungkin tidak ramai mengetahui kronologi atau peristiwa menunjukkan kiamat makin menghampiri secara tepat.

Bantu beri kefahaman

Justeru, program bual bicara keagamaan Halaqah yang bersiaran setiap Sabtu, jam 6.30 petang di TV9, yang membincangkan mengenai kiamat bertujuan memberi kefahaman kepada masyarakat dari segi urutan sehingga terlihat tanda-tanda besar berkaitan pengakhiran dunia ini.

Penerbit dan hos Halaqah, Ahmad Noor Sulaiman berkata, program sebanyak 30 episod itu akan meningkatkan pengetahuan masyarakat yang ingin tahu mengenai hari kiamat, bermula daripada peristiwa alam dijadikan hingga kemusnahannya.

Katanya, berdasarkan kajian dilakukan terhadap dalil al-Quran dan hadis sahih, banyak maklumat baharu yang menarik untuk diketahui mengenai hari kiamat yang secara tidak langsung membantu umat Islam, khususnya istiqamah melakukan ibadah bagi mencapai kejayaan di akhirat nanti.

"Ramai ingin mengetahui lebih mendalam mengenai kiamat khususnya golongan muda yang tahu serba sedikit mengenainya. Jadi, kita ambil inisiatif untuk mengangkat topik ini dalam perbincangan program Halaqah secara lebih terperinci.

"Bukan untuk menakutkan tetapi lebih kepada memberi kesedaran dan sebagai motivasi. Semua yang dipersembahkan berpandukan wahyu Allah SWT dan hadis sahih disahkan pakar hadis yang masyhur.

Malah, semua fakta disemak kerana ada yang tidak betul dan ditokok tambah," katanya. Antaranya, sesetengah kitab menyatakan Imam Mahadi akan turun di Menara Putih di Damsyik dan bakal berdepan tentangan daripada kerajaan ketika itu.

Sebenarnya, banyak hadis menceritakan mengenai Imam Mahadi tetapi tidak selengkap itu. Program Halaqah kali ini menampilkan dua ahli panel iaitu doktor perubatan, penulis buku dan pendakwah, Dr Danial Zainal Abidin dan Pensyarah Kanan Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Roslan Mohamed.

Fakta yang ditekankan ialah supaya umat Islam berpegang dengan kepercayaan kepada hari kiamat yang juga Rukun Iman keenam kerana kisah berkaitan dengannya dinukilkan dalam wahyu Allah SWT dan sunah Rasulullah SAW.

Justeru, menolak hakikat turunnya Nabi Isa boleh merosakkan akidah, manakala Imam Mahadi walaupun tidak disebut dalam al-Quran tetapi hendaklah berpegang kepada hadis Rasulullah SAW yang menceritakan mengenainya.

Begitu juga dengan dabbah, sejenis binatang yang keluar dari bumi ialah binatang merayap dan boleh bercakap. Mungkin ramai tidak mengetahui mengenainya tetapi perkara itu diceritakan dalam al-Quran serta hadis.

Dabbah disebut dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Antara tanda-tanda (kekuasaan-Nya) ialah penciptaan langit dan bumi serta segala makhluk yang melata yang bertebaran pada kedua-duanya. Dia Maha Berkuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Dia kehendaki." (Surah al-Sura, ayat 29)

Kongsi maklumat baharu

Sementara fakta matahari naik di sebelah barat, ada ulama mengkiaskan Amerika yang menguasai dunia, manakala ada juga mengatakan memang matahari akan naik di sebelah barat untuk satu hari sahaja kemudian apabila matahari turun maka pintu taubat akan tertutup.

Ahmad Noor berkata, banyak lagi tanda-tanda kiamat yang akan dikongsikan dalam program Halaqah berserta maklumat baharu yang perlu diketahui supaya manusia tidak lagi leka kerana tanda kecil sudah kelihatan dan sekarang menjurus kepada tanda-tanda besar yang juga semakin dekat.

Tanda-tanda besar kiamat yang akan berlaku menandakan permulaan kehancuran sistem peredaran alam dan mengetahui apakah tanda itu boleh menjadi satu kelebihan. Halaqah bersiaran setiap Sabtu, jam 6.30 petang dan siri ulangan dapat ditonton pada Isnin, jam 9 pagi.


Oleh Hasliza Hassan Berita Harian Rencana Ahad , 28 Februari 2016 @ 9:51 AM