March 3rd, 2016

Integriti, rasuah dan kronisme

LAPORAN Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa 2015 (CPI) yang dikeluarkan oleh Transparencies International (TI) iaitu badan bebas yang berpangkalan di Berlin baru-baru ini menyaksikan Malaysia mengalami penurunan ranking dari tangga 50/175 ke tangga 54/168 dengan skor yang dicapai merudum sebanyak dua peratus daripada 52% kepada 50%.

Penurunan kedudukan seba­nyak empat anak tangga ke bawah ini walaupun telah dijangkakan, sedikit sebanyak dijangka memberikan impak negatif kepada persepsi pelabur luar terhadap negara kita dan usaha-usaha yang berterusan perlu dilakukan untuk kita melipatgandakan kempen anti rasuah agar persepsi masyarakat antarabangsa ini dapat dipulihkan kembali.

Tagline yang dipublisitikan oleh TI sewaktu mengumumkan keputusan CPI 2015 ialah more than 6 billion people live in countries with a serious corruption problem. Jika diambil kira jumlah penduduk dunia kini yang berjumlah 7.3 bilion, maka jumlah penduduk yang hidup dalam suasana sistem yang korup ialah 82 peratus. Salah sebuah negara yang paling dicemari rasuah ialah Angola yang berada pada posisi enam tangga terakhir iaitu di kedudukan 163/168 dengan skor sebanyak 15%.

Angola adalah satu-satunya negara bekas jajahan Portugal yang telah menimbulkan kemarahan umat Islam di dunia apabila rejim pemerintahan diktator Jose Equardo dos Santos yang mula menerajui negara sejak 1979 hingga ke hari ini mengambil langkah drastik de­ngan mengharamkan pengamalan agama Islam dengan meruntuhkan masjid di negara itu. Pemerintahan yang korup dan juga penuh dengan amalan kronisme menyebabkan Bank Dunia melaporkan bahawa 70 peratus daripada 23.4 juta penduduk negara berkenaan hidup dalam penderitaan dengan pendapatan AS$2 sehari.

Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) pula dalam laporannya menyebut AS$32 bilion hasil minyak negara berkenaan telah hilang dari khazanah negara kerana amalan rasuah kepimpinan negara itu. Meskipun demikian, penentangan terhadap sistem yang korup itu dipelopori oleh seorang wartawan terkenal Rafael Marques de Morais yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Integriti Dunia oleh TI pada 2013 kerana usaha kerasnya mendedahkan amalan rasuah melibatkan minyak dan gas negara serta perihal kekejaman rejim tentera Anggola biar pun kelantangannya itu telah menyebabkan beliau dihumban ke penjara pada 1999.

Cronyism atau kronisme mengikut Collins English Dictionary bermaksud “the practice of appointing friends to high level positions”. Amalan melantik rakan rapat dan sanak saudara ke jawatan penting adalah salah satu punca berleluasanya ra­suah dan amalan salah guna kuasa.

Justeru, Islam amat mela­rang amalan kronisme dan juga perlu bagi seorang pemimpin melantik orang yang benar-benar berkelayak­an ke setiap jawatan penting sebagaimana disebut Rasulullah dalam sepotong hadis yang maksudnya; “Jika Allah mengkehendaki kebaik­an kepada seseorang Amir, dia akan jadikan baginya seorang menteri yang benar, jika lupa diingatkannya dan jika ingat ditolonginya, dan jika Allah menghendaki keburukan kepadanya, dijadikan baginya menteri yang jahat, jika lupa tidak diingatkannya dan jika ingat tidak ditolongnya.” (Riwayat Abu Dawood dan Al-Nasa’i)

Khalifah Abu Bakar As-Siddik sewaktu melantik Yazid bin Abi Sufyan sebagai Gabenor di Syria berpesan; “Wahai Yazid, engkau mempunyai ramai keluarga di Sy­ria. Jangan cuba memberi faedah kepada yang tidak mengikut undang-undang kepada keluargamu, kerana inilah yang paling aku takuti berlaku dalam kalangan pegawaiku.”

Sebab itulah di zaman dua pemerintah pertama Khulafa Arrasyidin, para pembesar dan penjawat jawatan penting dilantik oleh Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar Ibn Khattab melalui konsep meritokrasi dan bukan berdasarkan kronisme.

Sewaktu zaman pemerintah­an Saidina Umar Al-Khattab, beliau pernah dibicarakan dalam kes peribadi melawan Ubai bin Ka’ab dan dibicarakan di hadapan Hakim Zaid bin Thabit. Sewaktu Umar masuk ke mahkamah, Zaid telah berdiri sebagai tanda hormatnya kepada Khalifah dan ketika itu Umar telah menegurnya dengan kata-kata; “Inilah kesilapan kamu yang pertama. Kamu tidak akan menjadi Hakim yang adil sehinggalah seorang awam adalah sama di sisi kamu dengan Khalifah.” Khalifah Umar ialah seorang yang cukup tegas dalam menangani soal rasuah, salah guna kuasa dan kronisme.

Pengamal kronisme yang mencatatkan sejarah sebagai pemimpin yang paling banyak melantik sanak saudara dan sahabat handai ke jawatan-jawatan penting ialah bekas Presiden ke enam Sri Lanka, Mahindra Rajapaksa yang menerajui negara itu mulai 19 November 2005 hingga 9 Januari 2015. Sewaktu menerajui tampuk pemerintah­an Sri Lanka selama dua penggal, beliau melantik sanak saudaranya untuk menjawat jawatan penting dalam kerajaan.

Beliau melantik adik-adiknya, Gothabaya Rajapaksa sebagai Setiausaha Pertahanan dan Basil sebagai Menteri Pembangunan Ekonomi serta abangnya Chamal Rajapaksa sebagai Speaker Parlimen Sri Lanka yang ke-14. Sementara itu, seorang anak saudaranya Shashindra dilantik sebagai Ketua Menteri bagi wilayah Uva.

Antara amalan kronisme dan salah guna kuasa yang difailkan terhadap beliau termasuklah kes berprofil tinggi iaitu penyeleweng­an dana kerajaan AS$830,000 bagi membantu mangsa Boxing Day Tsunami di Hambantota yang adalah kampung halamannya sendiri.

Penyalahgunaan dana ini dijadikan modal politik pembangkang sehingga akhirnya Mahindra tewas dalam pemilihan Presiden kepada bekas anak didiknya iaitu Maithripala Sirisena pada Januari 2015 lalu.

Sebagai penutup bicara, dapatlah disimpulkan bahawa pemimpin yang berintegriti tinggi akan membawa sesebuah negara itu ke mercu kemakmuran. Lantaran itu, ahli sufi dan penyair Sumatera yang terkenal iaitu Hamzah Fansuri yang meninggal dunia pada 1590 telah melakarkan tentang nilai murni seorang pemimpin itu dalam enam rangkap pantun yang berbunyi se­perti berikut:-

“ Menjadi benteng dusun dan kampung,

Menjadi pagar teluk dan tanjung’

Karam di laut jadi pelampung,

Panas di darat jadi pelindung,

Basah di hilir jadi penudung,

Patah di hulu jadi penyambung.” - Anuar Ahmad Utusan Malaysia Rencana 02 Mac 2016 6:05 PM

Integrasi moral dalam undang-undang

ACAPKALI kebelakangan ini kalangan yang menghujahkan dosa peribadi tidak boleh diganggu oleh pihak kerajaan. Sekiranya sesuatu dosa atau perbuatan tidak bermoral dilakukan di tempat tertutup, pihak berkuasa tidak boleh mengambil sebarang tindakan ataupun mengadakan kawalan terhadapnya.

Persoalan mengenai sama ada undang-undang boleh mencampuri hal ehwal moral dicetuskan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mereka melihat undang-undang daripada lensa Barat semata-mata dan tidak diadunkan dengan budaya masyarakat tempatan yang disulami dengan sulaman agama. Mereka menolak penggunaan undang-undang dalam menjaga moral individu. Undang-undang tidak boleh mengawal salahlaku moral, jika seseorang itu berdosa hanya Tuhan sahaja yang layak menghukum mereka.

Manusia tidak bermoral mudah terjerumus jenayah

SEGELINTIR NGO menolak penggunaan undang-undang dalam menjaga moral individu kerana terlalu mengagungkan pendirian hak asasi Barat sedangkan tiada agama yang berkompromi terhadap isu-isu moral. - GAMBAR HIASAN

Menelusuri undang-undang Islam, pandangan ini jelas tidak mengambil kira perspektif Islam apabila meletakkan hak asasi manusia di atas agama itu sendiri. Sebenarnya budi pekerti dan moral mulia adalah asas paling kuat untuk melahirkan masyarakat yang ikhlas dan amanah. Orang tidak bermoral akan mudah terjerumus di dalam aktiviti jenayah.

JUSTIFIKASI MORAL

Apa yang dimaksudkan dengan moral individu oleh NGO berkenaan juga tidak jelas. Apakah ia secara keseluruhannya atau sekadar merujuk kepada akhlak Islam? Jika merujuk kepada moral secara keseluruhannya maka ia adalah amat berbahaya kerana semua undang-undang digubal bagi menegakkan sistem moral yang jitu. Pembunuhan secara tidak sah, umpamanya adalah suatu perbuatan yang tidak bermoral, oleh itu ada undang-undang menangani kesalahan ini. Adakah kesalahan jenis ini juga hendak ditiadakan di dalam perundangan kita?

Sekiranya yang dimaksudkan itu hanya merujuk kepada kesalahan akhlak dan ibadat sebagaimana yang terdapat di dalam ajaran Islam. Hal demikian amatlah berbahaya kerana bersikap prejudis terhadap hikmah agama Islam itu sendiri dan agama-agama lain. Tiada agama yang berkompromi terhadap isu-isu moral. Sebagai contoh, sami-sami Buddha di Thailand pernah berdemonstrasi membantah penjualan arak secara berleluasa dalam masyarakat mereka sehingga menyebabkan keruntuhan moral dalam kalangan generasi muda.

Undang-undang sebenarnya bersandarkan kepada moral dan moral adalah bersandarkan kepada agama. Walaupun antara intipati Rukun Negara adalah Kesopanan dan Kesusilaan, namun permasalahan moral ini seringkali diketepikan. Keruntuhan akhlak inilah yang kita hadapi pada hari ini.

KEMBALILAH
KEPADA ISLAM

Sepatutnya di dalam membuat sesuatu keputusan kita merujuk kembali kepada Islam. Sebagaimana yang pernah diriwayatkan ketika ditanya kepada Saidatina Aishah “Apakah akhlak Rasullulah SAW, Aishah menjawab: Akhlak Rasulullah ialah al-Quran.”

Oleh itu apabila al-Quran melarang orang Islam meminum arak, adakah salah kerajaan membuat perundangan bagi mengharamkan orang Islam minum arak? Apabila terdapat di dalam al-Quran larangan berzina, adakah silap kerajaan membuat perundangan mengharamkan penzinaan dan pelacuran?

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya Rasulullah SAW itu diutus untuk menyempurnakan akhlak yang terpuji.” Pada masa sekarang kita tidak dapat lari daripada mengkordinasikan ajaran Islam kerana masyarakat Islam itu sendiri telah renggang daripada Islam. Kalau dulu apabila turunnya ayat al-Quran tentang pengharaman arak maka para sahabat berduyun-duyun membuang arak tanpa mempersoalkannya. Tetapi sekarang setelah 1,400 tahun berlalu, penghayatan terhadap al-Quran adalah amat rendah.

Akhlak manusia tidak akan terdidik tanpa panduan daripada undang-undang. Pada masa ini dengan perundangan yang wujud sekalipun, akhlak masyarakat adalah amat menyedihkan, apa akan jadi jika kesemua perundangan ini dihapuskan?

BAHANA MORAL RUNTUH

Sekiranya undang-undang ini dihapuskan, apa akan jadi jika dua orang melakukan perbuatan tidak sopan di hadapan kita atau keluarga kita. Biarkan sahaja kerana ia hak asasi mereka? Biarkan remaja kita menonton aksi tidak bermoral itu? Apa yang hendak kita lakukan? Bagaimana pula dengan hak asasi kita yang berasa jijik melihat perbuatan seperti itu?

Jika kita meneliti kaedah-kaedah hukum syarak, maka tidak timbul andaian bahawa suatu hari nanti mungkin ada undang-undang yang membenarkan pegawai penguatkuasa masuk ke rumah dan periksa sama ada seseorang itu sembahyang lima kali sehari atau tidak? Andaian ini adalah andaian yang melampau dan tidak diasaskan kepada kaedah-kaedah fikah dan syariah Islam sebenar kerana Khalifah Umar r.a. yang terkenal dengan kegarangannya pun pernah ditegur kerana mengintip rakyatnya melakukan kesalahan.

Sebenarnya pendekatan yang lebih baik kita lakukan ialah membuktikan bahawa undang-undang seperti itu sudah tidak lagi diperlukan dan lapuk. Sama-samalah kita menjauhi kesalahan-kesalahan yang diperundangkan itu supaya seluruh masyarakat tahu bahawa undang-undang itu tidak relevan lagi kerana masyarakat telah terdidik dan tidak memerlukan perundangan moral ini. Ketika itulah masa yang sesuai untuk menghapuskan perundangan itu dan bukan sekarang.

Selagi seseorang itu beragama Islam maka ia berada di dalam suatu sistem yang lengkap. Islam tidak sekadar rutin ritual harian tetapi suatu cara hidup yang merangkumi semua aspek kehidupan termasuklah kawalan moral ataupun akhlak Islamiah.

Ekstremis bukan ajaran Islam

NEGARA pernah digemparkan dengan pembunuhan seorang rakyat Malaysia yang tidak bersalah di selatan Filipina, manakala hampir ribuan orang awam di seluruh dunia terkorban terutamanya di negara Timur Tengah berikutan serangan nekad yang dilancarkan.

Tidak dipastikan dengan jelas dalang di sebalik kejadian, namun kumpulan yang bertopengkan imej Islam itu bersifat kejam dan tidak berperikemanusiaan dengan menganggap nyawa orang lain tiada nilai semata-mata kerana ingin mencapai matlamat mereka.

Salah erti makna jihad punca lahir pelampau Islam

KEGANASAN dan perbuatan kejam bukan daripada ajaran Islam. - Gambar hiasan

Apa yang jelas, masalah ekstremis yang kian melebarkan pengaruhnya ke seluruh dunia itu dilihat tidak mampu ditumpaskan dengan kekuatan fizikal, justeru melakukan sekatan ideologi yang diperjuangkan oleh pengganas itu merupakan langkah yang boleh diambil bagi mengawal penyebarannya.

Tidak terkecuali, umat Islam termasuk rakyat di negara ini juga dilaporkan telah terpengaruh dengan doktrin yang dibawakan oleh golongan tersebut dengan berselindung di sebalik kalimah jihad selain dijanjikan syahid.

Hakikatnya, Islam sama sekali tidak menggalakkan perkara berunsur kejahatan, apatah lagi sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dengan cara yang salah.

Ia sebagaimana firman Allah SWT maksudnya: “Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.” - (an-Nisa’ ayat 93)


KANAK-KANAK tidak terkecuali daripada kezaliman golongan khawarij moden. - Gambar hiasan

Berdasarkan ayat ini, jelas menunjukkan tindakan membunuh orang lain tanpa sebarang kesalahan dengan sengaja adalah dosa besar. Ini kerana Islam sangat menitikberatkan nilai nyawa supaya dipelihara dan dilindungi.

Firman Allah SWT itu juga sekali gus menafikan tanggapan negatif segelintir pihak yang mendakwa Islam adalah agama keganasan.

ISLAM BAWA KEAMANAN

Tidak perlu menonjolkan dengan cara ekstrem, umat Islam yang sentiasa berpegang teguh dengan ajaran Islam akan memancarkan kehebatan umat Islam itu dengan sendirinya, malah masyarakat seluruh dunia akan dapat menyaksikan sifat keamanan dan kasih sayang agama Islam.

Dalam menyelesaikan konflik keganasan, Islam menyediakan penyelesaian kepada segala aspek dan permasalahan yang membawa kepada ketenangan dan kebahagiaan kepada manusia menerusi konsep kesederhanaan atau wasatiyyah.

Justeru, fahaman dan tindakan ekstremis ini perlu segera dibendung bagi mengelak pengikutnya pergi terlalu jauh sehingga hilang rasa simpati serta gagal memandu kebijaksanaan akalnya dalam memutuskan mana yang baik atau sebaliknya.

Selain pihak berkuasa, penglibatan semua pihak juga diperlukan dalam membendung penularan golongan ekstremis. Masyarakat diingatkan, tidak melindungi golongan ini daripada tindakan undang-undang kerana boleh didakwa atas kesalahan bersubahat.

Ibu bapa juga boleh memastikan langkah proaktif diambil dalam melindungi anak-anak daripada terpengaruh dengan ideologi yang menyesatkan ini.

Manakala golongan belia lelaki dan perempuan pula disarankan untuk sentiasa mematuhi pedoman agama dan bersikap anti-radikal terhadap golongan yang cuba menyebarkan ideologi mereka, terutamanya menerusi rangkaian media sosial.

Slogan dan janji manis yang ditawarkan oleh rangkaian organisasi pengganas perlu dielakkan agar tidak terpengaruh dengan doktrin yang cuba disebarkan.