March 4th, 2016

Khutbah Jumaat ~ Runtuhnya Tembok Khaibar Kebanggaan Yahudi

Petikan Khutbah Jumaat 4 Mac 2016M/ 24 Jamadilawwal 1437H JAWI

Runtuhnya Tembok Khaibar Kebanggaan Yahudi


Firman Allah SWT didalam surah Yusuf ayat 111 : Maksudnya: Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (kisah Nabinabi yang terkandung Dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.

Pada akhir muharam tahun ke 7 Hijrah, Rasulullah SAW membawa ribuan tentera untuk menyerang Kota Khaibar. Menurut Syeikh Dr Mustafa As-Sibaie di dalam Sirah Nabawiyah; “Peperangan Khaibar tidak didorong oleh keghairahan melulu bahkan tindakan ini diambil setelah golongan Yahudi Khaibar menghasut Yahudi Bani Quraizah untuk membelot dan mengkhianati perjanjian bersama Rasulullah SAW malah merancang membunuh Baginda”.

Khaibar, dikenali sebagai sebuah kawasan lembah yang besar dan subur didiami oleh penduduk Yahudi. Khaibar juga adalah pusat ketenteraan dan provokasi untuk membangkitkan semangat permusuhan kepada Islam. Ia juga digelar syurga bagi kaum Yahudi. Dari sudut geografinya, Khaibar terbahagi kepada dua bahagian, lima kubu berada di bahagian pertama dan tiga kubu berada di bahagian kedua. Kedudukan kubu ini sangat strategik kerana berada di atas bukit. Seramai kira-kira 1400 orang sahabat RAnhum keluar untuk menyertai misi ini. Semua yang mengikuti Nabi SAW hanya mereka yang benar-benar ingin berjihad sahaja.

Berkata Ibnu Khaldun dalam Muqaddimah; “Melalui pengamatan sejarah kita dapat mempelajari perihal sunnatullah”.

Beberapa perkara yang dapat diteladani melalui sejarah Khaibar diantaranya:

Pertama: Dakwah adalah matlamat utama Islam

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Sahl bin Saad Al-Saidi RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda: ب عَلَْيهِْم ُ ْم بِمَا َيجِ ُ ِإ ْسلَا ِم وََأخْبِرْه ُ ْمِإلَى اْل فَوَالََّّ هِ ُ ُ َُّم ا ْدع ُ ْذ عَلَى رِ ْسلِ َك َحَّت ى تَنْزِ َل بِسَا َحتِهِْم ث انْف ا خَ ً ل ُ بِ َك رَج ُ الَّن عَِم َّ ه ُ و َن لَ َك حُمْر لَ َك مِ ْن َأ ْن يَكُ ٌ لََأ ْن يَهْدِ َي الل يْر Maksudnya: “Jalankan tugasmu, teruskan perjalanan. Sehingga berada di halaman mereka, kemudian ajak mereka kepada Islam. Sampaikan kepada mereka kewajipan yang perlu mereka tunaikan kepada Allah. Demi Allah, sesungguhnya kejayaanmu menjadikan seseorang itu mendapat petunjuk sehingga menjadi Islam adalah lebih baik daripada binatang unta yang berwarna merah (binatang yang paling mahal harganya).”

Kedua: Memelihara kebenaran dengan kekuatan

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Anfal ayat 58: Maksudnya: “Dan jika Engkau mengetahui adanya perbuatan khianat dari sesuatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu) maka campakkanlah (perjanjian itu) kepada mereka dengan cara terus terang dan adil. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang khianat.”

Ketiga: Sikap Yahudi

Sejarah telah membuktikan Yahudi terkenal dengan sikap sering melakukan kerosakan di atas muka bumi ini. Semuanya kerana hasad, dengki dan kebencian melampau terhadap Islam. Perancangan demi perancangan dilakukan untuk memastikan umat Islam mengikuti jejak mereka dan terus lenyap daripada muka bumi Allah ini.

Pada hari ini, mereka merencana pelbagai gagasan dan slogan sebagai usaha memisahkan agama daripada umat Islam seperti hedonisme iaitu pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan, LGBT iaitu Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transgender, Islamophobia iaitu menanam rasa takut orang bukan Islam pada Islam dan lain-lain lagi.

Segala kejadian yang berlaku ini telah diberitakan oleh Rasulullah SAW sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Said Al Khudri RA: ٍ ب لَسَل َ جحْرَ َض ُ وا َحَّت ى لَوْ َسل َكُ ٍ ا بِذِرَاع كْت ُمُوهُ . ق ُلْن َا: ً وَذِرَاع ٍ ا بِِشبْر ً َُّ ن َسنَنَ مَ ْن قَبْل َكُ ْم ِشبْر لَتََّت بِع ودَ وَالَّن َصارَى؟ ق َالَ : ف َم َنْ ؟ َّ هِ ُ سو َل الل ، الْيَه يَا رَ ُ Maksudnya: “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nashrani yang kau maksudkan?”. Nabi SAW menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka”.

Allah SWT telah mengurniakan kepada kita Al-Quran sebagai panduan lengkap kehidupan. Carilah hikmah di dalamnya melalui ilmu dan amal soleh. Selagimana kita jauh daripada roh Islam kita akan berpecah dan mudah dipermainkan oleh musuh-musuh Islam.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengingatkan para Jemaah sekalian kepada beberapa perkara:

Pertama: Dengan mengamati setiap perjalanan kehidupan Rasulullah SAW, akan menambahkan rasa kecintaan kepada Baginda dan meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

Kedua: Penaklukan kota Khaibar adalah bertujuan memelihara dakwah Islam, menjaga kesejahteraan dan menunaikan tanggungjawab yang lebih besar iaitu membimbing manusia ke arah jalan yang benar.

Ketiga: Golongan Yahudi akan sentiasa mencari peluang untuk menyesatkan umat Islam. Hasilnya, segala maruah, akhlak dan kepentingan kita tergadai jika kita mengikutinya. Al-Quran adalah penyelamat kita daripada tipu daya Yahudi dan musuh-musuh Islam. Carilah hikmah di dalamnya melalui ilmu dan amal soleh.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Zukhruf ayat 43-44:  Maksudnya: “Dengan yang demikian, berpegang teguhlah engkau kepada Al-Quran yang telah diwahyukan kepadamu; kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus. Dan sesungguhnya al-Quran itu memberikan kemuliaan dan peringatan kepadamu (Wahai Muhammad) dan kepada kaummu; dan kamu akan ditanya kelak (tentang isi kandungannya yang kamu telah amalkan).

Wallahualam.

Hayati tanggungjawab perkahwinan

PADA masa ini ramai yang mengambil kesempatan untuk mengadakan majlis kenduri perkahwinan kerana percaya ramai yang mempunyai kelapangan berkunjung untuk memeriahkan hari bersejarah bagi pasangan mempelai itu. Maka sibuklah naib-naib kadi lantaran permintaan yang tinggi bagi musim cuti ini. Memang hasrat ini amatlah baik kerana Islam juga menggalakkan kita meraikan pasangan-pasangan yang baru berkahwin. Malah adalah menjadi syiar Islam mengumumkan sesuatu perkahwinan itu.

Dalam sesuatu majlis perkahwinan perlulah kita membezakan yang mana adat dan ibadat. Dari kaca mata Islam upacara akad nikah itu sebenarnya lebih penting dari kenduri itu sendiri kerana saat menjadi suami isteri itu ialah tatkala lafaz ijab dan qabul itu sempurna. Tatkala itulah bermulanya layar bahtera perkahwinan suami isteri tersebut dan keluarga ini perlu diacu mengikut acuan yang telah ditetapkan oleh hukum syarak. Berapa ramaikan pasangan pengantin baharu dan ahli keluarga yang menghantar pengantin itu memberi tumpuan kepada khutbah nikah yang disampaikan oleh jurunikah? Sebenarnya inti pati khutbah nikah itu amat bermakna bagi dijadikan teladan dan sempadan dalam setiap perkahwinan.

Walaupun kenduri majlis perkahwinan itu dituntut dalam Islam, namun apalah gunalah jika wang dihabiskan untuk majlis tersebut di tempat-tempat mewah tetapi apabila hendak memulakan kehidupan seharian kelak, raja sehari ini terpaksa meminjam dan meminta-minta daripada orang lain. Ia sebenarnya membawa implikasi besar kerana tanggungjawab menyara keluarga pada ketika itu adalah tanggungjawab si suami sepenuhnya. Tiada guna bermegah-megah dengan majlis yang mewah tetapi perkahwinan tidak dapat bertahan kerana masalah kewangan dan kemungkiran tanggungjawab.

Di samping itu juga, penulis mengambil kesempatan di ruangan ini untuk menasihati pasangan pengantin baharu agar memperdalami ilmu agama, tanggungjawab dan peranan masing-masing. Kerukunan rumah tangga hendaklah sentiasa disemai dan dibajai agar ia mekar dan mencapai matlamat rumah tangga yang sebenar iaitu ‘mawaddah wa rahmah’ (kasih dan sayang). Memanglah tidak dinafikan sesebuah rumah tangga itu mesti akan diuji, anggaplah ujian itu sebagai pemangkin menambah kasih sayang antara suami isteri itu. Oleh yang demikian ketepikan ego dan dendam bagi memastikan bahtera rumah tangga itu dapat dilayari dengan baik. Dengan cara ini, segala masalah rumah tangga dapat diselesaikan dengan baik. Maaf-memaafi amatlah penting bagi memastikan kasih sayang sentiasa dipupuk.

Sepertimana pernikahan, perceraian membawa implikasi yang amat besar kepada pasangan dan keluarga. Malah perceraian adalah perkara halal yang amat dibenci oleh ALAH. Apabila perceraian berlaku penyesalan sudah tidak bermakna lagi.

Perkara yang sering dilupakan oleh pasangan pengantin baharu ialah belajar ilmu agama walaupun sepatutnya tatkala bergelar suami atau isteri persoalan ini tidak perlu diungkitkan lagi. Namun bagi peringatan kita yang sering lupa, suami wajib mengajar sekurang-kurangnya ilmu fardu ain kepada isterinya. Jika suami itu tidak mampu mengajar isterinya maka hendaklah si suami mencari pengajar-pengajar agama bagi mengajar isteri. Juga amat baik sekiranya si suami juga meluangkan masa sama-sama mendalami ilmu agama itu kerana sekiranya terdapat sebarang masalah di dalam keluarga suami isteri ini boleh kembali kepada agama bagi mencari formula penyelesaiannya. Lantaran itu risiko perceraian akan dapat dikurangkan.

Bagi orang Islam di Malaysia, terdapat undang-undang khusus berhubung dengan perkahwinan dan perceraian. Undang-undang ini digubal bagi memelihara hak-hak sebagaimana yang dianjurkan oleh agama Islam. Undang-undang ini dinamakan Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Akta/Enakmen ini telah digubal dan diluluskan oleh Parlimen dan Dewan-Dewan Undangan Negeri seluruh Malaysia. Amatlah penting bagi suami isteri mengetahui hak dan tanggungjawab mereka sebagai suami atau isteri menurut undang-undang yang berkuat kuasa.

Apa pun keadaannya, terpulanglah kepada kedua pasangan bagaimana mencorakkan rumah tangga mereka ini. Tanyalah diri masing-masing, rancanglah perbelanjaan dan pendidikan bagi diri dan keluarga. Sentiasalah berbincang antara satu sama lain sesuatu perkara sama ada dianggap sebagai remeh-temeh ataupun tidak. Hormatilah pasangan masing-masing. Semakin hari tanggungjawab yang dipikul itu semakin berat dan sekiranya kita tidak mendekatkan diri kepada ALLAH, sudah pasti ALLAH tidak akan membantu kita meringankan beban tersebut.

Jangan sampai lalai kumpul harta

SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang mengurniakan kepada hamba-Nya harta benda untuk mereka gunakan bagi maslahat agama dan dunia mereka. Ditetapkan juga cara-cara memperoleh harta tersebut dan saluran untuk membelanjakannya.

Ketahuilah harta benda dunia yang ada di tangan-tangan kita adalah ujian ALLAH untuk dikenal pasti orang baik dan orang yang buruk di samping orang yang pandai mengurus harta tersebut dan mereka yang tidak. Firman ALLAH: "Dan ketahuilah harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian, dan sesungguhnya di sisi ALLAH jualah pahala yang besar." (Surah Al-Anfaal: 28)

Firman-Nya: "Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengah yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-An'aam: 165)

MANA IA DATANG & PERGI

ALLAH menjelaskan harta benda dunia adalah ujian buat manusia. Bagaimana mereka memperolehnya, bagaimana mereka melaburkannya dan bagaimana mereka membelanjakannya.

Adapun ujian memperoleh harta, ALLAH menjelaskan terdapat garis panduan yang ditetapkan dalam hal ini, bertujuan untuk menjaga keadilan antara manusia agar proses mencari kekayaan dunia dilakukan dengan cara yang baik tanpa berlaku zalim atau menyakiti manusia yang lain.

Dengan itu sebahagian manusia yang bertakwa kepada ALLAH ketika mereka mencari kekayaan dunia dengan melalui jalan-jalan yang halal menyebabkan kekayaan dunia mereka diberkati ALLAH ketika mereka membelanjakannya, diterima-Nya ketika bersedekah dan menjadi sebahagian pahala mereka apabila tinggalkan untuk waris mereka.

Sebahagian manusia yang lain pula tidak bertakwa kepada ALLAH dan tidak mencari kekayaan dunia melalui jalan-jalan yang baik. Akhirnya mereka mengumpul kekayaan mereka tanpa mengira jalannya; yang halal dan yang haram, dengan cara yang adil dan yang zalim. Mereka tidak peduli daripada mana mereka memperoleh kekayaan mereka. Apa yang halal bagi mereka adalah apa sahaja cara yang mereka dapat gunakan untuk mengumpul harta kekayaan.

Buat mereka ini, kekayaan dunia mereka adalah bala musibah. Harta semacam ini yang mereka simpan tidak diberkati, jika mereka sedekahkan ia tidak akan dimakbulkan dan jika mereka tinggalkan buat waris mereka ia akan menjadi bekalan mereka di neraka. Demikian fitnah ujian dalam mencari harta kekayaan dunia.

HARTA DUNIA JADI SEGALA-GALANYA

Ujian melaburkan harta kekayaan pula, sebahagian manusia harta kekayaan dunia menjadi segalanya buat mereka. Apabila mereka bangun itulah yang mereka fikirkan dan apabila mereka duduk itu juga yang mereka fikirkan. Sehingga dibawa ke dalam mimpi. Malah ketika beribadah, urusan harta mereka terus berlegar-legar dalam kotak fikiran. Ketika solat dan ketika membaca al-Quran serta berzikir, itu yang mereka fikirkan. Seolah-olah mereka diciptakan untuknya.

Demikianlah ujian harta dunia. Keinginan untuk terus menambahnya tidak akan pernah hilang. Orang yang terpedaya dengannya sukar untuk membebaskan dirinya.

Ternyata walaupun seseorang itu bersusah payah mencari dan mengumpul harta kekayaan dunia tanpa rasa penat dan jemu, akhirnya tiadalah rezeki yang datang kepadanya melainkan apa yang tertulis buatnya dalam suratan takdir. Sebagaimana sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan sesudah dia memperoleh rezeki ditetapkan buatnya.

Sebahagian manusia lain pula, mereka memahami hakikat erti sebenar kekayaan dunia. Bagi mereka, kekayaan dunia bukan segala-galanya. Ia bukan matlamat hidup mahupun puncak keinginan mereka di dunia ini. Mereka memastikan harta dunia kekal hanya di tangan jangan sampai ia menambat hati mereka.

Dengan itu, kekayaan yang mereka ada tidak sampai mengganggu kekhusyukan dalam solat ataupun dalam melaksanakan tuntutan agama yang lain. Merekalah golongan yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati ALLAH di samping mendirikan solat dan menunaikan zakat.

Golongan ini menjadikan kekayaan dunia mereka sebagai jalan untuk mengerjakan amal kebaikan, memberi manfaat kepada orang di sekeliling dan membantu yang memerlukan. Golongan inilah yang berjaya menguasai harta kekayaan dan bukan sebaliknya (harta kekayaan sampai menguasai mereka). Mereka terus kekal menjadi hamba ALLAH dan bukan hamba kekayaan dunia. Mereka memperolehnya daripada sumber yang halal, membelanjakannya pada jalannya dan kekal selamat daripada musibahnya.

Adapun ujian membelanjakan harta pula, sebahagian daripada golongan yang berharta mereka bersikap bakhil kedekut yang tidak menunaikan hak ALLAH dan hak manusia pada harta mereka. Mereka tidak menunaikan zakat mahupun menginfakkan harta kepada orang yang di bawah tanggungjawab mereka.

Sebahagian yang lain pula, membelanjakan harta pada jalan yang tidak sepatutnya yang tidak direstui syarak mahupun uruf. Mereka bersikap boros dan membazir dan menjadi saudara mara syaitan. Ada yang membelanjakan harta mereka untuk riak menunjuk-nunjuk kepada orang di sekeliling tanpa ada perasaan iman kepada ALLAH mahupun hari akhirat. Golongan ini mengundang azab api neraka ke atas mereka.

GOLONGAN BERJAYA

Akhirnya, tidak ada yang selamat daripada keburukan harta dunia kecuali mereka yang bertakwa kepada ALLAH ketika mereka mengumpul harta dan ketika membelanjakannya. Mereka memperolehnya daripada sumber yang halal dan membelanjakannya secara tidak boros ataupun kedekut.

Mereka melaksanakan apa yang wajib dalam harta mereka dan menyempurnakannya dengan hal-hal sunat. Mereka bersikap pemurah dan dermawan menyebabkan mereka diredai ALLAH dan manusia. Merekalah yang ALLAH sebutkan dalam firman-Nya: "Dan mereka (yang diredai ALLAH itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, mereka tidak melampaui batas dan tidak pula bakhil kedekut; dan (sebaliknya) mereka bersikap sederhana antara kedua-dua cara itu." (Surah Al-Anfaal: 67)

Ketahuilah harta dunia tidak akan terus kekal bersama kita. Ia hanya harta yang dipinjamkan kepada kita dalam perjalanan menuju ke akhirat. Sebagaimana kita sampai ke dunia ini tanpa membawa sebarang harta, kita juga akan meninggalkannya begitu.

Apa yang akan kita akan bawa bersama hanyalah amalan.

Justeru, jangan kita disibukkan oleh sesuatu yang tidak kekal berbanding apa yang akan kekal. Kelak kita akan tergolong dalam kalangan mereka yang terpedaya dengan kehidupan dunia serta perhiasannya.

Qarun mati, siapa pewaris kesombongannya?

"SESUNGGUHNYA Qarun adalah dari kaum Nabi Musa, kemudian dia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Dia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu).

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan ALLAH kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba ALLAH) sebagaimana ALLAH berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan."

Qarun menjawab (dengan sombongnya): "Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku." (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah dia mengetahui dan pandai memahami, bahawa ALLAH telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya perihal dosa mereka, (kerana ALLAH sedia mengetahuinya).

Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: "Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik."

Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): "Janganlah kamu berkata demikian, pahala daripada ALLAH lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar."

Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah dia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab ALLAH dan  dia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri." (Surah Al-Qasas: 76-81)
Qarun mati, kesombongannya masih hidup

Demikian sebahagian kisah Qarun yang dirakamkan oleh al-Quran. Nama Qarun terus segar hingga ke hari ini. Namun, ia segar dalam konotasi yang negatif. Kisahnya diulang sebut bukan untuk diteladani tetapi untuk dijauhi. Kisah manusia yang tidak sedar diri. Dikurniakan harta kekayaan yang melimpah ruah, lalu terus lupa kepada Sang Pemberi. Terus sombong sesama insani.

Walaupun berulang kali diperingatkan, Qarun tetap tidak berubah. Bahkan semakin takabbur dan sombong, bukan sahaja sesama manusia tetapi juga kepada ALLAH. Dia mendakwa segala harta kekayaan yang dimiliki adalah hasil kebijaksanaan dan titik peluh beliau sendiri.

Kekayaan yang dimiliki menjadikannya semakin jauh dengan Pencipta. Bukan sahaja tidak bersyukur, bahkan dia berada di tahap kebongkakan dan kesombongan yang sangat dahsyat. Lalu, harta yang dibangga-banggakannya bukan menjadi pembela dan penyelamat. Tetapi, menjadi asbab untuk Qarun diazab. Musnah dan tenggelamlah Qarun bersama harta-hartanya.

Dua jenis manusia takabbur

Qarun sudah tiada lagi. Ceritanya menjadi sejarah. Hartanya hilang entah ke mana. Namun, kesombongan, kebongkakan dan takabbur terus kekal diwarisi oleh sebahagian manusia hingga hari ini.

Sombong dan takabbur adalah sifat terkeji yang boleh membinasakan diri sendiri. Ia boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu takabbur ke atas kebenaran dan takabbur sesama manusia.

Rasulullah SAW menjelaskan: "Takabbur ialah menolak kebenaran dan menghina orang lain." (Riwayat Muslim)

Bagaimana? Manusia yang berasakan dirinya serba tahu dan sentiasa betul tidak akan senang-senang untuk mengakui dirinya salah dan menerima kebenaran yang bertentangan dengan pendapatnya. Sekali pun dibentangkan hujah yang sahih dari al-Quran dan sunnah, namun diri yang bongkak tidak akan menarik balik pendapat atau pegangannya. Ketika itu, jadilah dia seorang yang bongkak dengan kebenaran.

Mungkin jauh di sudut hatinya akur dan sedar kebenaran yang ada tidak berpihak kepadanya. Namun demi menjaga air muka, maruah, kedudukan dan sokongan, dia tetap menolaknya. Apatah lagi jika dia seorang yang ternama, dikenali ramai, berjawatan tinggi dan punyai populariti. Kesombongan dan ketakburannya menjadikan dia seorang yang menafikan kebenaran dengan seribu satu alasan.

Kedua, sombong dan takabbur sesama manusia. Mengapa manusia boleh jadi sombong dan takabbur dengan manusia lain? Antara faktornya kerana dia berasa mempunyai kelebihan berbanding orang lain. Orang yang berasakan dia lebih banyak harta, lebih cantik, lebih pandai, lebih berpangkat, lebih tua, lebih berpengalaman termasuk lebih 'beragama' boleh menjerumuskan dirinya menjadi sombong dan takabbur.

Kesombongan itu boleh menjadikannya memandang rendah dan hina kepada orang lain. Jika dia dalam kalangan orang berada, berasa tidak selesa bergaul dengan orang miskin. Jika dia orang ternama, tidak suka berada di kelompok orang-orang biasa.

Takwa sebagai penyelamat

Hanya takwa yang boleh menjadi penyelamat. Manusia yang banyak harta, tinggi jawatan, ada kedudukan dan punyai segala kelebihan boleh sahaja menjadi insan tawaduk dan merendah diri sekiranya takwa menjadi perhiasan diri.

Ketika terlintas perasaan sombong dan membangga diri, lantas dia teringat pesanan ALLAH SWT: "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri." (Surah Luqman: 18)

Dalam ayat lain, ALLAH berfirman: "Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang." (Surah Al-Israa: 37)

Apa untungnya menjadi orang yang sombong? Siapa yang menyukai orang-orang yang sombong? Tidak ada untungnya langsung. Manusia yang sombong mungkin berasa puas dan megah apabila dia kelihatan lebih dari orang lain. Hakikatnya dia hanya tertipu dengan nafsunya sendiri.

Di dunia si takabbur boleh memandang orang lain dengan pandangan yang hina. Sewenang-wenangnya memperlekehkan orang lain. Sentiasa berasa dirinya besar, mulia, berharta dan berkuasa. Namun, di akhirat, orang takabbur bakal dihinakan pula oleh ALLAH sekiranya taubat tidak mengiringi. Ini kerana, kemuliaan dan kenikmatan negeri akhirat hanya disediakan bagi orang bertakwa.

Firman-Nya: "Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa." (Surah Al-Qasas: 84)

Indahnya bersujud

SUJUD adalah satu ibadah yang sangat istimewa. Manakan tidak, apabila seseorang bersujud dia berbisik ke bumi, tetapi suaranya sampai sehingga ke langit. Sabda Nabi Muhammad SAW: "Suasana yang paling hampir antara seseorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika dia bersujud, kerana itu hendaklah kamu memperbanyakkan doa di dalamnya."

Tiada apa yang menjarakkan hubungan sang hamba dengan Tuhan. Kita boleh memohon kepada-Nya tanpa perantara. Doa kita didengari setiap masa. Kita memohon hajat kepada-Nya tanpa Dia meletakkan syarat.

Ketika kehambaan kita bertambah, hubungan dekat kita dengan Tuhan juga semakin erat. Tuhan cinta kepada hamba-Nya yang merendah dan menghinakan diri di depan-Nya. Sujud itu adalah langkah untuk meningkatkan kehambaan dalam diri.

Rasulullah SAW bersabda lagi: "Hendaklah kamu memperbanyak sujud! Tidaklah kamu melakukan satu sujud melainkan ALLAH mengangkat darjatmu dan menghapuskan kesalahanmu."

Besarnya fadilat sujud sehingga sebuah surah dinamakan dengan nama As-Sajdah. Surah ini diturunkan di Makkah untuk mengenalkan ALLAH SWT sebagai Tuhan yang paling layak untuk disembah dan tunduk pada-Nya.

Pada ayat ke-15 dalam Surah As-Sajdah: "Orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami hanyalah orang-orang yang apabila diperingatkan dengannya mereka menyungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhannya, dan mereka tidak menyombongkan diri."

Menariknya dalam Surah As-Sajdah selepas ayat orang yang tunduk sujud, ayat ke-16 seterusnya disambung dengan orang beriman yang bangun dari tidur mengerjakan solat malam dalam keadaan takut dan harap. Waktu sepertiga malam adalah waktu mustajab doa.

"Pada malam hari terdapat suatu waktu yang tidaklah seorang Muslim memanjatkan doa pada ALLAH berkaitan dengan dunia dan akhiratnya bertepatan dengan waktu tersebut melainkan ALLAH akan memberikan apa yang dia minta. Hal ini berlaku setiap malamnya."

Percantuman sujud dan solat di sepertiga malam, adalah saat dekat yang bertambah dekat dengan Tuhan.

MANIFESTASI SEBUAH KETUNDUKAN

Di alam semesta ini bukan sahaja manusia yang bersujud, hidupan lain juga bersujud kepada ALLAH melalui cara yang telah ditetapkan-Nya. ALLAH berfirman: "Tidakkah engkau tahu bahawa kepada ALLAH bersujud setiap yang ada di langit dan di bumi, juga matahari, bulan, bintang, gunung-gunung, pohon-pohon, haiwan yang melata dan kebanyakan manusia? Tetapi banyak manusia yang layak mendapat azab." (Surah Al-Hajj: 18)

Ayat ini menerangkan ramai manusia yang bersujud bersama ciptaan ALLAH yang gah dan indah. Orang ini dapat melihat segalanya bersujud kerana dia sendiri berada dalam suasana sujud dan menikmatinya. Sebab pada saat itu dia bukan lagi melihat dengan mata kasar, tetapi melihat juga dengan mata hati dan mata fikiran yang cerah.

Tetapi banyak juga manusia tidak melihat matahari, bulan, pohon dan pokok, burung serta haiwan bersujud. Kerana seperti kata Buya Hamka, jangankan melihat kesemua itu bersujud, melihat orang sujud pun dia jarang atau tidak pernah sama sekali. Dan dia sendiri pun jarang sujud atau tidak pernah.

Walaupun semua makhluk bersujud kepada-Nya, sujud yang dilaksanakan manusia itu lebih istimewa di sisi Tuhan. Makhluk lain tiada pilihan melainkan untuk tunduk dengan ketentuan yang diberikan. Manusia boleh sahaja memilih untuk tidak bersujud.

Pilihan manusia untuk bersujud berbanding tidak bersujud itulah yang membuatkan sujud manusia lebih mulia berbanding sujud makhluk yang tiada upaya untuk ingkar.

Kenikmatan sujud bukan sahaja dalam solat. Suasana sujud turut akan dirasai dalam kehidupan. Orang yang hatinya sentiasa sujud akan menjaga adab-adab hubungannya sesama manusia juga kepada alam. Tidak layak dalam kebersamaan kita bersujud untuk kita saling bergaduh. Tidak patut juga alam persekitaran dirosakkan kerana alam dan kita telah bersatu dalam ketaatan. Merosakkan hubungan ini bererti merosakkan hubungan sujud kita pada Pencipta.

ALLAH telah membeli kehidupan kita untuk Dia. Bayarannya adalah syurga. Semakin baik nilai ketundukan, semakin tinggi bayaran-Nya. Firman-Nya: "Maka tidak ada seorang pun mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu bermacam-macam nikmat yang menyenangkan hati sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan." (Surah As-Sajadah: 17)

Khutbah Jumaat ~ “Apa Khabar Jiran Anda”

Petikan Khutbah Jumaat 04 Mac 2016:  JAIS

“Apa Khabar Jiran Anda”

Lumrah kehidupan manusia saling memerlukan pertolongan antara satu sama lain. Sudah tentu pertolongan dan bantuan itu diperlukan dari insan yang terdekat dari kita. Selain sahabat handai dan kaum kerabat, insan yang paling dekat dengan kita dan memainkan peranan penting memberi bantuan adalah jiran. Kita berkewajipan mengekalkan hubungan baik dan mesra sesama mereka kerana ia memainkan peranan penting dalam memastikan satu kehidupan setempat yang aman dan harmoni.

Hadis daripada Jabir Bin Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: الجيرانُ ثَلاثَةٌ، جار له حق واحد، وهو أَدنى الجيران حقا، وجار لَه حقَّان، وجار له ثلاثةُ حقُوقٍ، وهو أفضلُ الجيران حقا. “Bermula jiran itu ada tiga martabat. Pertama, jiran yang mempunyai satu hak, jiran yang mempunyai dua hak dan jiran yang mempunyai tiga hak seafdal-afdhalnya” (Riwayat al-Bazzar)

Tiga kategori hak-hak jiran melalui hadis yang disebutkan tadi adalah:

1. Jiran yang mendapat satu hak iaitu hak jiran sahaja yang terdiri daripada bukan Islam dan bukan saudara kerabat keturunan.

2. Jiran yang memperoleh dua hak, hak jiran dan hak Islam iaitu mereka yang di kalangan sesama Islam.

3. Jiran yang memiliki keistimewaan tiga hak iaitu hak jiran, hak Islam dan hak kerabat iaitu mereka sesama Islam dan saudara kerabat keturunan.

Islam melengkapkan kedudukan jiran itu dengan menyatakan bahawa jiran kita adalah 40 buah rumah di hadapan kita, 40 di belakang kita dan 40 buah rumah jiran di kiri dan kanan kita sebagaimana ditegaskan oleh Nabi Muhammad SAW.

Memiliki jiran yang baik bermula daripada kita. Kita bertegur sapa, tolong menolong, bertanya khabar tentang kesihatannya, berkongsi rasa dan rezeki apabila berlebihan, menghulur bantuan ketika kesusahan.

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: من كَانَ يؤمن بِاللَّه والْيومِ الآخرِ فَلْيكْرِم جاره. “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan jirannya”. (Muttafaqun ‘Alaih).

Dalam suasana negara kita Malaysia yang diduduki oleh masyarakat majmuk berbilang bangsa dan agama, mungkin jiran sebelah kita merupakan seorang yang bukan Islam. Maka inilah masanya kita menunjukkan keindahan Islam dengan sikap toleransi, bekerjasama dan ciri-ciri keperibadian sebagai seorang muslim yang tunduk dan taat akan agamanya. Perlakuan yang berlawanan dengan syarak haruslah dihindarkan agar imej Islam tidak tercalar di kaca mata mereka.

Oleh itu, kekangan masa dan kerjaya bukanlah satu alasan untuk kita tidak saling bertegur sapa dalam mengeratkan ukhuwah. Buanglah sifat ego dan mementingkan diri sendiri kerana sesungguhnya jiran merupakan insan yang amat diperlukan ketika kita ditimpa sesuatu musibah.

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: وااللهِ لاَيؤمن وااللهِ لاَيؤمن وااللهِ لاَيؤمن. قيلَ ومن يا رسولَ االله؟ قَالَ الَّذي لاَ يأْمن جاره بوائقَه

“Demi Allah, dia tidak beriman! Demi Allah, dia tidak beriman! Demi Allah, dia tidak beriman! Lalu baginda ditanya, “Siapakah dia wahai Rasulullah?” Baginda menjawab; “Orang yang menyebabkan jiran tetangganya berasa tidak aman dari kejahatannya”. (Riwayat al-Bukhari).

Sikap prihatin kepada jiran merupakan satu budaya terpuji.Tingkah laku terpuji seperti bertolak ansur, hormat menghormati, ucapan yang indah seperti bertanya khabar apabila bersua muka adalah unsur-unsur yang perlu ada dalam mewujudkan suasana keharmonian antara jiran.

Oleh itu, marilah kita sama-sama menghayati dan mengamalkan sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling faham memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar-tukar pendapat, mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan yang renggang dengan penuh hikmah dan mahabbah.

Pendek kata, ciri-ciri jiran yang baik adalah saling bertegur sapa, ziarah menziarahi, menghulurkan bantuan dan tolong menolong antara satu dengan yang lain. Sebaliknya, jauhi sikap berprasangka, irihati, dengki, fitnah dan sebagainya yang akan menyemarakkan api kebencian dan persengketaan.

Hadis daripada Abu Zar al-Ghiffari RA memberitahu bahawa Rasulullah SAW telah berpesan yang bermaksud: “Jika engkau memasak daging atau seumpamanya yang berkuah, banyakkanlah kuahnya, kemudian perhatikan jiran tetanggamu dan berikanlah sebahagiannya kepada mereka dengan baik.” (Riwayat at-Tirmizi).

Dalam sebuah hadis lain, daripada Ibnu Abbas RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah disebut mukmin, orang yang kenyang sedangkan jirannya kelaparan”. (Riwayat al-Bukhari).

Pentingnya jiran dalam kehidupan kita seolah-olah dia akan mewarisi hak dan harta kita sebagaimana hadis daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: ما زالَ جِبرِيلُ يوصينِي بِالْجارِ حتى ظَننت أَنه سيورثُه “Malaikat Jibrail tidak berhenti-henti berpesan kepadaku supaya aku bersifat baik terhadap jiran sehingga aku mengira atau berkeyakinan bahawa tetangga akan menerima hak waris”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Kerana Pulut Santan Binasa, Kerana Mulut Badan Binasa”.

Malah Rasulullah SAW juga memberi penjelasan dalam perkara ini kepada seorang lelaki yang bertanya: Ya Rasulullah; ada seorang wanita yang terkenal sebagai ahli ibadah, sembahyangnya, sedekahnya dan puasanya baik, tetapi dia suka menyakiti jiran dengan lidahnya”. Nabi SAW menjawab; “Dia akan dimasukkan ke dalam neraka”. (Riwayat Ibnu Hibban, al-Bazzar dan al-Hakim).

Kesimpulan dari khutbah ini iaitu:

1. Umat Islam hendaklah memperkukuh silaturrahim dan melebarkan persaudaraan terhadap sesama insan termasuk jiran tetangga.

2. Umat Islam dilarang sama sekali menyakiti hati jiran dan hendaklah menjauhi sifat-sifat buruk.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa menampilkan diri dan mencerminkan imej kemuliaan Islam pada pandangan penganut agama lain.

“Dan beribadahlah kepada Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu pun; dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang kesusahan dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang takbur dan membangga-banggakan diri;”. (Surah an-Nisa: 36).

Wallahualam.