March 8th, 2016

Elak sindrom sedih memanjang

Kehidupan ini tidak selamanya indah, senang dan duka datang silih berganti. Mereka yang menyedari hakikat itu, memantapkan hati untuk menilai kehidupan di dunia ini. Allah SWT berfirman bermaksud: "Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan." (Surah al-Anbiya, ayat 35)

Senang dan duka adalah sunatullah yang pasti mewarnai kehidupan ini. Tidak ada seorang manusia pun yang terus berasa senang dan tidak pula terus berada dalam duka serta kesedihan.

Semuanya merasakan senang dan duka datang silih berganti. Jangankan kita, generasi terbaik umat ini, wali Allah SWT, sahabat Nabi SAW pun pernah dirundung kesedihan.

Ingatlah firman Allah SWT bermaksud: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita." (Surah at-Taubah, ayat 40)

Sewaktu membicarakan tajuk 'Jangan Bawa ke Esok' dalam program Pesona D' Zahra, Isnin minggu lalu, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin, berkata setiap manusia yang berpijak di bumi nyata akan berhadapan perasaan sedih dalam dua keadaan iaitu diri sendiri dan orang di sekeliling.


Bermunajat dan berserah diri kepada Allah membantu umat Islam mengelak mengalami kesedihan berpanjangan. - Gambar hiasan




Bersedih tunjuk kelemahan diri

Bersedih yang dilarang adalah kesedihan akibat tidak memiliki sifat sabar yang tinggi, tidak menerima takdir serta menunjukkan kelemahan diri.

Kata-kata seperti 'kalau' atau 'seandainya' apabila berdepan kesedihan dan kecewa terhadap takdir adalah ditegah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Hai orang beriman, janganlah kamu seperti orang kafir (orang munafik) itu, yang mengatakan kepada saudara mereka apabila mereka mengadakan perjalanan di muka bumi atau mereka berperang: Jika mereka tetap bersama-sama kita tentulah mereka tidak mati dan tidak dibunuh. Akibat (dari perkataan dan keyakinan mereka) yang demikian itu, Allah menimbulkan rasa penyesalan yang sangat di dalam di hati mereka." (Surah Ali-Imran, ayat 156)

Sesungguhnya tiada tempat mengelak takdir yang telah ditentukan. Satu-satunya jalan adalah beriman kepada takdir Allah SWT kerana takdir pasti akan berlaku.

Kita sebagai makhluk Allah SWT yang kerdil harus percaya dan meyakini setiap takdir yang ditentukan pastinya ada sebab. Contohilah liku kehidupan dan keperitan dialami Nabi Muhammad SAW.

Baginda juga bersedih saat ditinggalkan orang dicintai. Namun, Baginda SAW tidak berlebihan ketika bersedih, sebaliknya Baginda bangkit dan kembali berjuang.

Malangnya, ada antara kita mengalami sindrom suka memanjangkan kesedihan, seakan-akan Allah SWT yang menjadi tempat untuk kita memohon rahmat daripada-Nya, tidak wujud.

Belajar maafkan diri sendiri

Cabaran dan dugaan sepatutnya mendewasakan kita. Ada waktu, memang manusia akan merasakan kesedihan ketika dimarahi, dikeji atau difitnah, tetapi pada masa lain kita perlu insaf dan memohon kemaafan atas kesilapan yang dilakukan.

Sedih adalah emosi yang dianugerahkan kepada manusia. Islam mempunyai penawar yang mujarab bagi mengubati segala penyakit manusia sama ada rohani atau jasmani. Antaranya, belajar memaafkan diri sendiri dan jangan membazirkan masa serta usia menanggung kesedihan.

Kesedihan tidak akan menjadi penyelesaian kepada sesuatu masalah. Maka perhatikan masalah dan berusaha menyelesaikannya. Jika masalah itu bukan datang dengan penyelesaian, hendaklah tabah dan pandang apa yang masih ada pada kita.

Langkah seterusnya dalam memadamkan rasa pilu ialah dengan belajar memaafkan kesalahan orang lain.

Sebagai umat Islam, kita tidak boleh terasa atau tersinggung dengan orang lain terlalu lama apatah lagi menyimpan dendam.

Allah SWT berfirman bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah juga Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah az- Zumar, ayat 53)

Al-Quran penawar kesedihan


Ada manusia yang bersedih dengan rupa parasnya, kejadiannya, nasibnya atau cara hidupnya. Tidak kurang yang sedih dengan dirinya yang lemah, keimanannya rendah, ibadah sedikit dan sebagainya.

Sebagai cinta dan kasih Allah SWT, dianugerahkan kitab al-Quran penawar menghilangkan kesedihan.

Saat manusia diulit rasa kesedihan, bermunajatlah kepada Allah SWT mudah-mudahan segala ibadah yang dilakukan dapat meningkatkan keimanan kita kepada-Nya dan menjadikan kita seorang hamba yang baik dan salih.

Penerimaan doa Nabi Yunus

JANGAN bermusim dalam mengingati Allah! Itu adalah ‘rukun hidup’ yang wajib difahami oleh semua Muslim yang bertuhankan Allah. Ada sesetengah manusia hanya mencari Allah ketika susah. Apabila hidup dilanda resah, solatnya menjadi khusyuk luar biasa mengalahkan para wali. Apabila masalahnya hilang, solatnya langsung hanyut ke laut. Ini sikap manusia yang tidak mengenang budi dan jasa Allah.

Kewajipan mengingati Allah secara konsisten terangkum dalam arahan solat lima waktu. Dalam kewajipan ini, Muslim mengatur munajat kepada Allah dalam setiap lafaz bacaan solat.

Tambah menarik jarak yang sedikit jauh antara solat Subuh dan Zohor ditampung oleh solat Dhuha, manakala jarak panjang antara Isyak dan Subuh juga dipendekkan dengan saranan solat Tahajud. Dengan kitaran ini, hubungan dan ingatan seorang hamba kepada Allah berlangsung hampir 24 jam.

Nabi Yunus a.s. adalah contoh terbaik manusia yang segera mendapat bantuan Allah kerana baginda sentiasa mengingati Allah ketika senang.

Ramai yang beranggapan rahsia bantuan Allah kepadanya berpunca hanya daripada doa ini: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka dia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolonglah daku)! Sesungguhnya aku adalah daripada orang yang menganiaya diri sendiri”. Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia daripada kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami),” (al-Anbiya’ [21:87-88]).

Memang tidak dinafikan, lafaz yang indah memainkan peranannya tersendiri dalam menjamin penerimaan sesuatu doa.

Bagi lafaz di atas Rasulullah SAW mengakuinya: “Doa Nabi Yunus yang dibacanya ketika dalam perut ikan iaitu “Tiada Tuhan Melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku tergolong dalam orang yang berlaku zalim” (adalah lafaz doa yang sangat istimewa), tiada seorang pun Muslim yang menggunakan lafaz doa ini melainkan akan dimakbulkan Allah baginya,” - Sunan al-Tirmizi dan Musnad Ahmad

Pun begitu, kisah nabi Yunus dan doanya ‘ada sejarah awal yang jarang diketahui’ iaitu baginda ketika waktu senangnya sentiasa mengingati Allah secara konsisten dan agresif. Rupanya inilah punca utama mengapa doa baginda tatkala kesusahan dalam perut ikan senang dimakbulkan Allah.

Perhatikan firman Allah ini:“Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari para Rasul (Kami) yang diutus. (Ingatkanlah peristiwa) ketika dia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat. (Dengan satu keadaan yang terpaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu jadilah dia daripada orang yang kalah yang digelongsorkan (ke laut). Setelah itu dia ditelan oleh ikan besar, sedang dia berhak ditegur. Maka kalaulah dia (dahulunya ketika senang) bukan daripada orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih), sudah pasti dia akan tinggal (berkubur) dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur,” (al-Saffat[37:139-144]).

Kisah baginda ini direkod kekal oleh Allah dalam al-Quran agar menjadi panduan umat Islam sehingga kiamat. Kunci penerimaan doa seseorang hamba adalah sejauh mana kesungguhan dan konsistennya dia mengingati Allah ketika senang. Abdullah Ibn ‘Abbas menceritakan

Rasulullah SAW pernah berpesan kepadanya dalam sabda baginda: “Kenalilah (ingatilah) Allah ketika senang, pastinya Dia akan mengenalimu ketika sukar,” (al-Mu’jam al-Kabir Li Imam al-Tabrani).
Kisah doa nabi Yunus boleh dianalogikan dengan tabiat suka menyimpan ketika senang oleh seorang yang bijak. Apabila tiba waktu genting atau zaman kemelesetan ekonomi, dia tak risaukan kemiskinan atau kesusahan kerana simpanan hartanya selalu ada.

Pengajaran utama bagi kita, isilah waktu tenang dan senang kita dengan beribadat serta berdoa kepada Allah kerana ia akan mengundang kasih Allah kepada kita. Apabila Tuhan Pemilik semesta alam sukakan kita, maka semua masalah akan diuruskan-Nya sebaik mungkin.