March 11th, 2016

Khutbah Jumaat ~ “Mengimarahkan Masjid Tanggungjawab Bersama"

Petikan Khutbah Jumaat 11 Mac 2016: JAIS

“Mengimarahkan Masjid Tanggungjawab Bersama"

Mengimarahkan masjid bermaksud memelihara kemudahan awam dan kebersihannya supaya sentiasa dikunjungi oleh manusia untuk menjalankan aktiviti-aktiviti bagi mendekatkan diri kepada Allah.

Allah SWT yang memerintahkan Rasul-Nya supaya membina masjid dan memberikan petunjuk bagaimana mengimarahkannya seperti ayat 36 surah an-Nur;  “(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang”.

Hakikatnya masjid dijadikan sebagai tempat berkembangnya syiar Islam dalam sesebuah kariah, tempat membina kekuatan ilmu, iman dan akhlak, menjadi pusat perpaduan yang kukuh sesama ummah dan menjadi nadi kepada pembangunan ummah. Masjid juga merupakan kawasan zon aman dan selamat.

Masjid juga merupakan satu tempat di mana Allah SWT memberi jaminan kepada manusia untuk mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan, iaitu lelaki yang hatinya sentiasa terikat untuk hadir ke masjid bagi menjalankan aktiviti solat, beriktikaf, berzikir, mentadabbur alQuran, mendengar majlis ilmu dan menyertai aktiviti-aktiviti yang lain.

Bagi melaksanakan maksud dan kehendak oleh Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003, Majlis Agama Islam Selangor telah diberi kuasa sebagai pemegang amanah tunggal keatas masjid-masjid dan surau.

Pada ketika ini terdapat 412 buah, masjid, 216 buah surau yang di berikan kebenaran mendirikan solat jumaat serta lebih 2 ribu buah surau yang berdaftar. Majlis agama Islam Selangor telah selesai melantik pegawai dan ahli jawatankuasa masjid untuk sesi januari 2016 hingga Disember 2018.

Seramai 827 orang imam, 827 orang bilal, 827 orang siak dan 5,762 orang ahli jawatankuasa, mereka dipertanggungjawabkan memikul amanah untuk mengurus pengimarahan masjid, antaranya:

1. Mengurus dan melaksana perjalanan ibadah fardhu ain dan fardhu kifayah ahli kariah agar mereka memahami dan menghayati ajaran Islam yang syumul.

2. Mengurus kewangan masjid dan harta wakaf dengan telus dan terkawal mengikut peraturan kewangan yang disediakan.

3. Mengurus kebersihan dan keceriaan masjid sesuai dengan peranannya sebagai pusat ibadah dan pusat aktiviti masyarakat

4. Mengurus dan mematuhi segala arahan yang di keluarkan oleh pihak yang berkepentingan dengan masjid seperti MAIS dan JAIS.

5. Mengurus dan menyusun program-program majlis ilmu dan memastikan setiap penceramah yang dijemput mempunyai tauliah yang sah untuk mengelakkan daripada penyebaran ajaran sesat.

Mengikut laporan Audit Dalam, Majlis Agama Islam Selangor, masih ada masjid-masjid yang gagal menyediakan penyata kewangan pada tahun 2014 seperti yang diarahkan.

Antara punca nya ialah tidak merekodkan pendapatan dan perbelanjaan kewangan masjid dengan sempurna, tidak memasukkan pendapatan ke akaun bank sebelum dibelanjakan, penyata kira-kira kewangan masjid tidak disediakan dan diperiksa dengan sempurna, pihak pengurusan masjid tidak mengikut keputusan mesyuarat, dan pelbagai bentuk kesalahan yang telah di kesan.

Sedarlah bahawa pengurusan memakmurkan masjid adalah tanggungjawab bersama. Kepada mereka yang dilantik ianya bukan suatu kebanggaan dan kemegahan. Sedarlah ia adalah suatu amanah besar yang bukan sahaja di pertanggungjawabkan didunia bahkan akan di persoalkan diakhirat kelak

Mengakhiri khutbah pada hari ini marilah kita sama-sama mengambil beberaapa pengajaran seperti berikut;

1. Islam menyeru supaya ummatnya menjadikan institusi masjid sebagai tempat untuk meningkatkan ilmu iman dan amal bagi penyucian jasmani dan rohani.

2. Islam mewajibkan agar masjid ditadbir urus dengan baik dan sempurna kerana ia adalah lambang syiar ajaran Islam yang Syumul.

3. Islam menuntut agar masjid di tadbir urus secara bersama kerana ia adalah institusi milik ummah yang apabila makmur sesebuah masjid maka akan makmur juga suasana masyarakat disekelilingnya.

4. Umat Islam hendaklah menjadikan masjid sebagai tempat terbina perpaduan dan kasih sayang ke arah pembinaan masyarakat dan negara yang mendapat keberkatan Allah SWT.

“Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. (Surah al-A’raf: 96).

Wallahualam.

Anak boleh gembirakan roh ibu bapa

Kelompok manusia yang kufur kepada Allah SWT, siang dan malam yang dilalui sepanjang kehidupannya di alam kubur adalah sangat menggerunkan.

Firman Allah SWT bermaksud: "Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada di alam barzakh) dan pada hari berikutnya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): Masukkanlah Firaun dan pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!" (Surah al-Ghafir, ayat 46)

Huzair Ibnu Abi Syaibah menyatakan, roh Firaun berserta orang kafir itu sentiasa berada di dalam perut burung berwarna hitam, berulang-alik ke neraka dan diperlihatkan keadaan kepada dirinya, setiap hari pada waktu siang dan malam.


Kunjung mengunjungi antara cara mengeratkan silaturahim. - Gambar hiasan


Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau'izati di IKIMfm setiap Khamis, jam 5.15 petang, berkata perkara kedua yang diperlihatkan ialah amalan orang yang hidup kepada roh orang Mukmin yang ketika itu sedang berada di Illiyeen melalui saat indah dalam keadaan tertentu.

Berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya amal kalian itu diperlihatkan kepada kaum kerabat dan keluarga kalian yang sudah meninggal dunia. Jika amal itu baik, mereka akan berasa gembira, dan jika sebaliknya mereka akan memohon: Ya Allah jangan kamu matikan mereka sehingga Kamu berikan petunjuk kepada mereka."

Elak khianati orang meninggal dunia

Diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dalam kitab Nawadir al-Usul, Abdul Ghafur Ibnu Abdul Aziz menuturkan bahawa ayahnya pernah menerima riwayat daripada datuknya dan menceritakan Rasulullah SAW bersabda: "Amal perbuatan itu diperlihatkan pada hari Isnin dan Khamis kepada Allah, manakala amalan nabi serta ibu bapa mereka diperlihatkan pada Jumaat."

Baginda SAW juga berpesan supaya jangan sekali-kali melakukan khianat kepada orang yang telah meninggal dunia dengan amalan buruk dan keji. Alangkah sedih dan kecewanya orang yang meninggal dunia apabila melihat tingkah laku kita yang melanggar syariat Allah SWT.

Selain itu, antara perkara yang dapat membantu kita menjaga dan menghormati mereka yang telah meninggal dunia ialah dengan menyambungkan silaturahim.

Ibnu al-Mubarak meriwayatkan daripada Uthman Ibn Abdillah Ibn Ash bahawa Said bin Jubir pernah berkata kepadanya: "Mintalah izin kepada puteri saudaraku, dia adalah isteri Uthman, puteri Amru bin Ash.

Kemudian dia berangkat dan meminta izin supaya dapat menemuinya. Setelah dia masuk, kemudian bertanya bagaimana perlakuan suaminya terhadap dirinya, sama ada baik atau tidak.

Lalu dijawab: "Ya, dia sentiasa berbuat baik kepadaku. Kemudian dia berpesan: Uthman, berbuat baiklah kepadanya (isterinya) kerana kamu tidak berbuat sesuatu kepadanya melainkan ia akan diketahui oleh Amru bin Ash."

Pada ketika itu Amru bin Ash sudah meninggal dunia. Lalu menantunya bertanya: "Apakah orang yang meninggal dunia dapat mendengar mengenai orang yang masih hidup? Dia menjawab: "Ya. Tidaklah seorang yang sudah meninggal dan memiliki keluarga terdekat melainkan akan datang pada amalnya perbuatan keluarga yang masih hidup. Jika dia berbuat baik, dia akan merasa senang. Jika melakukan keburukan, dia akan berdukacita."

Bunyi roh berterbangan seperti lebah

Rasulullah SAW menceritakan keadaan roh akan datang menziarahi sahabatnya yang telah meninggal dunia. Di dalam keadaan roh yang kesunyian ketika berada di alam kubur, pada waktu itu mula terdengar bunyi roh yang berterbangan, seumpama bunyi lebah.

Apabila disoal dari mana datangnya bunyi itu, malaikat menjawab itulah bunyi roh yang telah meninggal dunia sebelum ini. Sayup-sayup kedengaran dari jauh, roh itu berbicara sesama mereka dan menyatakan bahawa lebih baik roh yang baharu meninggal dunia itu dibiarkan beristirahat dahulu kerana dia mungkin keletihan.

Namun roh itu berkata, dia tidak letih malah dengan bangganya memperlihatkan kain kapan dipakaikan kepadanya oleh anaknya yang salih ketika menyempurnakan jenazahnya.

Sesungguhnya setiap mayat itu bergembira dengan kain kapan yang dipakaikan kepadanya. Kemudian roh yang lain akan datang bertanya keadaan anak mereka, sama ada mereka datang menziarahi ketika hidupnya.

Jika roh yang baharu meninggal dunia itu menjawab dia tidak pernah diziarahi oleh anak dan kaum keluarga setelah ketiadaan mereka, roh itu akan berasa sangat sedih kerana mungkin sahaja anaknya tidak lagi menyambung silaturahim dan dihumban ke dalam neraka Hawiyah.

Apabila timbul persoalan bagaimana ingin melakukan kebaikan kepada mereka yang telah meninggal dunia terutamanya ibu bapa, suami atau isteri, anak serta keluarga terdekat kita,

Abu Usaid al-Saidi berkata, "Ada seorang yang datang berjumpa dengan Rasulullah SAW dan berkata: "Ya Rasulullah, apakah masih mungkin saya berbuat baik kepada kedua orang tua saya yang telah meninggal dunia, kerana saya tidak tahu bagaimanakah keadaan yang dilalui mereka setiap hari.

Baginda menjawab: "Ya, ada empat cara yang boleh kamu terus lakukan walaupun mereka telah meninggal dunia.

Pertama, jangan tinggalkan di dalam doa kamu supaya sentiasa menyebut mengenai mereka.

Kedua, tunaikanlah janji yang ingin dipenuhi oleh mereka ketika hidup dahulu, tetapi tidak berkesempatan untuk melakukannya.

Pahala daripada amalan perbuatan baik yang dilakukan akan sampai pahalanya kepada mereka yang sudah meninggal dunia.

Ketiga, muliakanlah sahabat dan teman yang baik terhadap arwah sewaktu dia hidup dahulu, kerana dengan berbuat demikian, Allah akan tunjukkan amalan itu kepada arwah.

Keempat, sambung silaturahim yang menjadikan kamu dan dia tidak mendapat kasih sayang, melainkan daripada kedua-duanya."

Jadilah cermin usah jadi kanta

"RAMBUT sama hitam, tapi dalam hati lain-lain" kata-kata yang biasa kita dengar dalam kehidupan bermasyarakat. Di sebalik kata-kata ini, apakah maksud yang cuba disampaikan? Walaupun kita semua memiliki rambut yang sama warnanya, tetapi masih terdapat perbezaan yang ketara pada isi hati kita.

Sememangnya benar kita tidak mampu melihat apa yang ada dalam hati orang, akan tetapi kita boleh melihat isi hatinya itu dengan penonjolan sikapnya kepada kita.

Perumpamaan sikap kanta yang dimaksudkan ialah adanya segelintir masyarakat kita yang hobinya suka mencari kesalahan dan sering menyalahkan orang lain apabila berlakunya kesilapan. Namun, hakikatnya kesilapan yang berlaku itu sebenarnya berpunca daripada dirinya sendiri tetapi enggan mengakui kesilapan itu sebaliknya menuding jari pula kepada orang lain.

ALLAH SWT berfirman: "Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada ALLAH; sesungguhnya ALLAH Penerima taubat, lagi Maha mengasihani." (Surah Al-Hujurat: 12)



Mirror, mirror on the wall .. what's up doc ?

Contohnya filem Melayu Anak Mami yang menampilkan watak Combi yang suka membawa mulut dan menyebarkan fitnah kepada masyarakat akhirnya membawa kerosakan kepada dirinya sendiri. Sikap Combi seumpama kanta itu membawa dirinya ke dalam jerat dibinanya sendiri.

Apa yang dipaparkan dalam cerita itu adalah hakikat yang berlaku dalam sosial masyarakat Melayu. Islam menegah umatnya mengamalkan sikap sedemikian kerana sikap ini boleh membawa impak negatif dalam kehidupan masyarakat misalnya penyebaran fitnah, sikap enggan mengaku kesalahan, dan enggan meminta maaf atas kesalahannya.

Jika sikap ini terus diamalkan dalam kehidupan bermasyarakat, sudah pasti bencana perpecahan akan berlaku sekali gus tanpa disedari sifat bekerjasama semakin terhapus. ALLAH turut menjelaskannya dalam Surah Ali-Imran ayat 103.

Jadi seperti cermin

Dalam usaha kita mengekalkan kehidupan yang aman dan harmoni, seharusnya kita perlu menghakis pengamalan sikap kanta dalam diri individu, keluarga, seterusnya masyarakat agar kesejahteraan yang dibina dapat dikekalkan. Janganlah kita hancur kesejahteraan dan keamanan yang terbina ini disebabkan sikap kanta tidak berguna lagi seperti pepatah Melayu menyebut 'ibarat nasi sudah menjadi bubur.'

Sebagai Muslim yang taat kepada perintah agama, kita seharusnya memiliki sikap seperti cermin dalam diri kita. Perumpamaan sikap cermin ialah orang yang suka bermuhasabah diri, mengaku kesilapan yang dilakukan, tidak suka mencari kesalahan orang lain dan suka memaafkan kesalahan orang lain seperti firman ALLAH: " Sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh ALLAH (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim." (Surah Asy-Syura: 40)

Islam mengajar umatnya mengamalkan sikap muhasabah diri agar segala amalan yang kita terhindar daripada sikap seperti kanta. Muhasabah diri itu perlu dalam diri setiap Muslim kerana dengan sikap ini kita akan mengetahui aib dan kelemahan yang ada pada diri sendiri.

Sikap ini juga akan membentuk jiwa yang kental dan mudah memaafkan orang lain kerana kita sedar, setiap orang juga melakukan kesilapan dan dengan kesilapan itu bukan bermaksud kita perlu menghukum sebaliknya kita perlu memaafkan dirinya.

Sekiranya sikap seumpama cermin berjaya diterapkan dalam diri individu, keluarga dan masyarakat, sudah pasti sikap seumpama kanta akan terhakis secara langsung.

Daripada Syadad bin Aus RA, Baginda SAW bersabda: "Orang yang pandai adalah yang menghisab (muhasabah) dirinya sendiri dan beramal untuk kehidupan sesudah kematian. Sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya mengikuti hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap ALLAH." (Riwayat Tirmizi)

Bahagia dunia, akhirat

Ketahuilah, sikap seumpama cermin akan membawa kita kepada kebahagiaan dunia dan akhirat. Melalui pengamalan sikap ini juga terhindarnya bencana daripada sikap manusia sendiri yang rakus seperti perbuatan fitnah, perbalahan, dan perpecahan yang membawa kepada kehancuran kehidupan sosial bermasyarakat.

Demi menghargai kurniaan keamanan, umat manusia seharusnya mengelakkan diri daripada berlakunya persengketaan atau salah faham agar terus menikmati kurniaan keamanan yang diberikan ALLAH. Sesungguhnya ALLAH Maha Melihat segala apa yang kita lakukan, dan ALLAH Maha Mengetahui segala apa yang tersembunyi di lubuk hati kita.

Firman ALLAH: "Ketahuilah! Sesungguhnya ALLAH jualah yang menguasai segala yang ada di langit dan di bumi. Sesungguhnya Dia mengetahui keadaan yang kamu berada padanya (wahai umat manusia) dan pada hari umat manusia itu kembali kepada-Nya, maka Dia akan menerangkan kepada mereka segala yang mereka kerjakan, kerana sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui akan tiap tiap sesuatu." (Surah An-Nuur: 64)

Kesimpulannya, sebagai Muslim yang patuh kepada agama seharusnya menghindarkan diri daripada sikap atau perbuatan yang melalaikan dan merugikan kita. Janganlah kita suka menuding jari kepada orang lain, dan usahlah bersikap suka menuduh pada yang tiada kebenarannya.

Sentiasalah kita bermuhasabah diri agar kita tidak lupa tidak ada manusia yang sempurna di sisi ALLAH melainkan Rasulullah SAW. Akhir kata, kerana mulut badan binasa!

Tip didik anak 5 tahun hafaz juz 30

SAYA kongsikan sedikit teknik dan pengalaman saya dan isteri melatih anak-anak menghafal al-Quran pada usia muda. Kami mempunyai tiga anak berumur 6, 5 dan setahun.

Anak sulung dan kedua saya lelaki. Orang kata, anak lelaki sukar untuk fokus menghafal berbanding anak perempuan. Jawapan saya mudah. Setiap anak  sama ada lelaki atau perempuan boleh menghafal, cuma ada cepat dan ada sedikit lambat.


Tip perkongsian Syed Mohd Aizuddin Tuan Sembak dan Nafisah Abdul Latiff
Penulis adalah pembaca Rehal dari Tangkak, Johor

Antara tip yang digunakan adalah:-

Tip 1 : Mainkan audio Quran terbaik sepanjang masa di rumah dan dalam kenderaan.

Teknik ini bagi kami paling asas untuk menimbulkan minat awal anak terhadap al-Quran. Ini kerana deria manusia pertama yang memberi respons dalam pembelajaran ialah melalui pendengaran sebelum penglihatan dan sentuhan. Kami belikan pembesar suara yang baik dan CD audio Syeikh Misyari Al-Fasi ‘original’ untuk menarik minat pendengaran anak. Pernah dahulu kami hanya pasang melalui ‘handphone loudspeaker’ dan ‘burn’ CD dalam format MP3, tetapi bingit telinga bila terlalu lama mendengarnya.

Tip 2 : Abang long ‘The Trendsetter’

Teori ini kami ambil daripada buku keluaran Profazz dan digunakan dalam mendidik anak-anak khususnya ketika proses menghafaz Quran. Teori ini menceritakan segala tindak tanduk anak sulung akan diikuti adik-adiknya. Fokus utama adalah anak sulung kami, Syed Faqihuddin.

Tip 3: Latih anak menghafaz secara konsisten seawal umur 5 tahun

Sebelum 5 tahun, anak boleh didedahkan dengan sebutan makhraj huruf, kalimah ALLAH SWT, nyanyian doa, zikir secara santai. Ketika umur mereka masuk 5 tahun pada bulan Januari, ibu bapa perlu ambil serius kerana anak sudah bersedia ketika ini. Belikan muqaddam bersaiz besar, sediakan jadual surah dan beli CD. Jangan terkejut jika mereka menghafal perkara lain seperti iklan, lagu dan sebagainya jika tidak dilatih menghafal Quran ketika ini. Kami biasa lihat gelagat anak bila dia lipat baju dan bermain basikal, mulutnya membacakan ayat-ayat Quran, mungkin itu hiburannya.

Alhamdulillah, hujung Disember tahun lepas, anak sulung selesai menghafal keseluruhan juz 30 pada umur 5 tahun. Kini dia mula menyambung semula hafalan bermula dengan Surah Yasin di samping pengulangan juz 30 mengikut jadual disediakan.

Tip 4 : Kurangkan/tidak menonton televisyen/gajet elektronik

Anak kami tidak dibenarkan menonton Ultraman mahupun Frozen atau seangkatan dengannya. Hafalan anak pernah terjejas disebabkan menonton televisyen sebelum ini. Fikiran agak khayal dan kurang fokus kesan daripada peralatan elektronik tersebut. Mereka tidak kenal sangat kartun kerana tidak pernah menonton cerita ini di rumah. Jika mereka ternampak di kedai, kami segera alihkan perhatian mereka kepada perkara lain.

Orang kata, apabila berkawan di sekolah nanti, dia kenal juga. Justeru, itulah peranan ibu bapa dalam memberi kefahaman kepada mereka. Maka, anak boleh hilang minat dengan mainan yang tidak realistik ini. Jika sekali-sekala menonton mungkin tiada masalah, asalkan rancangan ilmiah. Sebaiknya, ibu bapa ada bersama-sama menonton ketika itu.

Tip 5 : Ibu bapa perlu cuba menghafal, jangan sekadar mengarahkan

Anak seronok bila mereka tahu kami turut menghafal surah yang mereka hafal. Timbul suasana pembelajaran yang menarik. Kadang-kadang kami tasmi’ (perdengarkan) bacaan kepada mereka, kami silapkan sedikit bacaan untuk mereka tegur kesalahan kami. Suasana tasmi’ ini boleh dilakukan dalam keadaan santai seperti sedang melipat pakaian, dalam kenderaan dan lain-lain.

Tip 6 : Mulakan dengan surah mudah

Mudah bukan bermaksud pendek, tetapi ayatnya mudah dilafazkan dan tidak banyak pengulangan sebutan yang hampir sama. Ini penting bagi mengelakkan anak rasa susah di peringkat awal. Juz 30 ada 37 surah. Kami pecahkan kepada dua bahagian.

Bahagian satu adalah surah versi pendek yang mudah bermula dengan Surah An-Nas dan berakhir dengan Surah Ad-Dhuha kerana sering dibaca dalam solat. Kami ikut turutan, cuma Surah Al-Bayyinah terakhir dihafal. Adapun pada bahagian kedua iaitu Surah Al-Layl hingga Surah An-Naba’, kami tidak mengikut turutan. Kami mula dengan Surah As-Syams dan berakhir dengan Surah At-Takwir.

Tip 7 : Bercerita

Gunakan teknik penceritaan supaya anak tahu dan menguatkan lagi minat mereka untuk menghafal. Contohnya, sebelum baca Surah Al-Fiil, kami ceritakan kepada anak mengenai hebatnya ALLAH dalam menewaskan gajah dan tentera Abrahah. Ini sekali gus menguatkan akidah mereka. Semua surah ini diturunkan di Makkah yang menekankan bab akidah melainkan dua surah iaitu Surah An-Nasr dan Surah Al-Bayyinah.

Inilah sempat dikongsikan, mungkin anda ada cara lebih baik. Kami usaha dengan kemampuan yang ada, niat kami supaya anak kami dekat dengan Quran, dekat dengan penciptanya. Selamat beramal dan istiqamahlah!

Pengumpulan hadis secara berperingkat

HADIS-HADIS yang dibukukan seperti yang ada sekarang sebenarnya telah melalui proses pengumpulan dan pembukuan yang berperingkat. Bermula peringkat pertama iaitu pada zaman Nabi Muhammad SAW dan sahabat sehinggalah zaman tabi' tabii'n dan zaman selepas itu. Setiap peringkat ini mempunyai ciri-cirinya tersendiri.

Secara asasnya, penulisan dan pengumpulan hadis di dalam satu catatan disebut sebagai tadwin al-hadis. Manakala pengumpulan dan pembukuan hadis secara lebih tersusun (mengikut bab) disebut sebagai tasnif al-hadis. Al-Kitabah pula bermaksud penulisan hadis secara tidak rasmi.

Adakah hadis ditulis pada zaman Nabi SAW?

Berlaku perbincangan dan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama, sama ada penulisan hadis telah bermula pada zaman Rasulullah SAW lagi atau pun tidak.

Perbezaan pendapat ini wujud disebabkan terdapat dua kategori hadis yang seolah-olah bercanggah. Tetapi, hakikatnya tidak.

Kategori pertama ialah hadis yang menyebut Rasulullah SAW melarang sahabat menulis sesuatu selain daripada al-Quran. Kategori kedua pula ialah hadis-hadis yang menunjukkan Baginda SAW mengizinkan sahabatnya untuk menulis. Bagaimana ulama hadis menyelesaikan permasalahan ini? Mari kita ikuti perbincangan berikut:

(a) Hadis-hadis yang melarang menulis:

Al-Khatib Al-Baghdadi di dalam kitabnya Taqyid al-'Ilm mengumpulkan semua hadis-hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW melarang sahabat menulis selain daripada al-Quran. Tetapi, setelah dikaji, Al-Khatib mendapati semua riwayat-riwayat tersebut tidak sahih, kecuali satu iaitu: Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudri, Rasulullah SAW  bersabda: "Jangan kamu semua menulis sesuatu daripadaku. Sesiapa yang menulis sesuatu daripadaku selain al-Quran, maka hendaklah dia memadamkannya...." (Riwayat Muslim)

(b) Hadis-hadis yang mengizinkan menulis:

Al-Khatib juga mendatangkan banyak hadis dan athar-ahtar yang sahih menunjukkan Rasulullah SAW mengizinkan sahabat untuk menulis hadis. Antaranya ialah:

(i) Riwayat Abu Hurairah, katanya: "Tidak ada seorang pun dalam kalangan sahabat yang lebih banyak daripada aku mengumpul hadis, selain Abdullah bin 'Amru. Sesungguhnya dia menulis, dan aku tidak menulis...." (Riwayat Bukhari)

(ii) Riwayat Abu Hurairah, katanya: "Semasa peristiwa fath Makkah, Rasulullah SAW bangun dan memberi khutbah. Kemudian bangun seorang lelaki daripada Yaman yang dipanggil Abu Shah, berkata: "Wahai Rasulullah, tuliskanlah untukku." Kemudian Nabi SAW mengarahkan sahabat: "Tulislah untuk Abu Shah." (Riwayat Bukhari)

(iii) Riwayat Abdullah bin 'Amru Al-'As, katanya: "Aku menulis semua yang aku dengar daripada Rasulullah, sebab aku ingin menghafalnya. Orang Quraisy telah melarang aku. Kata mereka: Engkau menulis semua yang engkau dengar daripada Rasulullah, sedangkan Rasulullah adalah manusia. Baginda bercakap pada ketika marah dan reda. Maka aku pun berhenti menulis. Kemudian aku sampaikan perkara ini kepada Rasulullah." Lalu, Baginda SAW  meletakkan jari pada mulutnya, lantas bersabda: "Tulislah, demi yang diriku berada di tangan ALLAH, tidak akan keluar daripada ini (mulutku) melainkan perkara yang benar." (Riwayat Ahmad & Al-Darimi)

Percanggahan arahan Nabi

Berdasarkan contoh riwayat yang disebutkan ini, kita dapati pada zahirnya terdapat percanggahan antara riwayat yang melarang dan mengizinkan untuk menulis hadis. Menurut kaedah ilmu hadis, jika terdapat percanggahan antara riwayat-riwayat yang sahih, maka ulama akan menggabungkan semua riwayat tersebut dan menyesuaikannya.

Kesimpulannya, seperti disebut Dr Muhammad Mustafa Al-A'dzami dalam kitabnya Dirasat fi al-Hadis al-Nabawi, riwayat-riwayat ini boleh difahami seperti berikut:

Telah berlaku nasikh dan mansukh iaitu: Hadis yang melarang menulis telah dimansuhkan dengan hadis yang mengizinkan menulis. Ini kerana, pada mulanya Rasulullah SAW melarang menulis kerana takut al-Quran akan bercampur dengan sesuatu yang lain. Ini berdasarkan pendapat Ibn Qutaibah, Al-Ramahurmuzi, Al-Khattabi dan lain-lain.

Larangan menulis hanya jika hadis ditulis dengan al-Quran dalam satu catatan yang sama. Pendapat ini dinyatakan oleh Al-Khattabi, Al-Khatib Al-Baghdadi dan selain mereka.

Larangan menulis hanya khusus kepada mereka yang kuat ingatan dan takut mereka akan bergantung kepada tulisan semata-mata tanpa berusaha menghafalnya.

Oleh itu, kita dapati ada sahabat yang menulis dan ada yang tidak menulis, berdasarkan situasi dan kemampuan masing-masing. Terdapat juga sebahagian sahabat pada mulanya berpegang kepada larangan menulis. Ini disebabkan kepada beberapa sebab seperti bimbang tulisan mereka akan bercampur dengan ayat-ayat al-Quran.

Kemudian apabila kebimbangan tersebut tidak ada lagi, mereka juga turut menulis. Maka, penulisan hadis pada zaman sahabat, iaitu selepas kewafatan Rasulullah SAW, semakin berkembang. Ia adalah langkah awal kepada perkembangan kegiatan tadwin al-sunnah. Antara usaha yang dilakukan oleh sahabat ialah:

(i)  Menggalakkan anak murid mereka supaya betul-betul menghafaz dan menjaga ketepatan hadis yang dihafaz. Kebanyakan mereka menyuruh anak murid menulis hadis-hadis untuk dihafal. Kemudian memadamnya semula, untuk mengelakkan mereka akan hanya bergantung kepada tulisan tersebut.

(ii) Menulis hadis-hadis dan diberikan kepada sahabat yang lain. Sebagai contoh, Jabir bin Samurah telah menulis hadis-hadis dan menghantarnya kepada 'Amir bin Said bin Abi Waqas. Zaid bin Arqam juga ada menulis hadis-hadis dan memberinya kepada Anas bin Malik.

(iii) Menggalakkan anak murid mereka supaya mencatat hadis-hadis yang diajar. Contohnya, Anas bin Malik menyuruh anak-anaknya supaya merekodkan ilmu yang dipelajari, katanya: "Wahai anakku, ikatlah ilmu ini dengan tulisan."

(iv) Menulis hadis-hadis di dalam satu catatan (suhuf). Antaranya seperti sahifah Abu Bakar, sahifah Ali bin Abi Talib, sahifah Abdullah bin Amru bin Al-'As, sahifah Jabir bin Abdullah, sahifah Abdullah bin Abi Aufa dan ramai lagi.

Usaha gigih sahabat

Inilah serba ringkas gambaran bagaimana sejarah penulisan hadis berlaku semasa zaman Rasulullah SAW dan sahabat. Kita dapat melihat pendirian sahabat dalam ketaatan mereka kepada setiap perintah Rasulullah SAW. Mereka takut untuk melakukan sesuatu berkaitan agama sesuka hati mereka melainkan mendapat izin dan restu daripada Rasulullah SAW.

Selain itu, kita juga dapat berasai betapa gigih dan besarnya usaha sahabat dalam memelihara ketulenan warisan sunnah Rasulullah SAW. Bayangkanlah dalam keadaan serba kekurangan fasiliti dan alatan menulis pada zaman itu, kecintaan mereka kepada sunnah Rasulullah SAW mengatasi segala kekurangan dan alasan yang ada. Usaha besar yang dilakukan oleh sahabat pada fasa awal ini adalah pembuka jalan penting yang sangat berguna kepada generasi yang berikutnya.

Kerana sepotong ayat

AL-QURAN adalah mukjizat agung yang kekal sehingga hari kiamat. Dalamnya terkandung lebih enam ribu ayat yang membicarakan kalam Tuhan Yang Maha Esa. Ayat-ayat tersebut tidak sesekali terhenti untuk dibaca dan diamalkan setelah wafatnya junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW. Bahkan al-Quran sentiasa  dirujuk dan dibahaskan sehingga ke hari ini.

Pendakwah, Ustaz Mohamed Amiro Safwan Mohd Kamil dalam pertemuan bersama Rehal menjelaskan, ayat-ayat al-Quran ini bukan hanya diturunkan untuk satu zaman dan masa sahaja. Tetapi ia unggul untuk zaman apa pun yang dilalui oleh manusia. Perubahan tamadun bangsa, budaya dan adat tidak menjadikan ayat-ayatnya ketinggalan zaman atau ia ditinggalkan begitu sahaja.

"Sememangnya ayat ini diturunkan untuk diamalkan. Bahkan jauh sekali mereka yang mengamalkannya menjadi syirik. Ini kerana ayat tersebut membicarakan perihal suruhan dan larangan ALLAH SWT terhadap sesuatu perkara. Atau menjelaskan mengenai sirah (sejarah) yang pernah berlaku dalam masyarakat yang hidup sebelum daripada kita.

"ALLAH amat suka kepada hamba-Nya yang mentaati segala suruhan dan meninggalkan segala bentuk larangan-Nya. Yang menjadi syirik adalah apabila kita tidak beriman dengan ayat-ayat-Nya dan mengingkari kebenaran-Nya. Atau juga kita memesongkan maksud sebenar ayat tersebut demi kepentingan diri atau seumpamanya sehingga makna itu bukan disandarkan pada ALLAH. Maka di sinilah akan berlakunya syirik," katanya.

Istiqamah dalam beramal

Menurut Ustaz Mohamed Amiro Safwan, beliau sendiri pun tidak mengkhususkan untuk mengamalkan mana-aman ayat tertentu dalam Quran. Beliau kongsikan satu ayat, sebagaimana firman ALLAH yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat yang dilakukan), janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH, kerana sesungguhnya ALLAH mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Al-Zumar: 53)

Beliau mengatakan ayat ini sentiasa memberi motivasi kepada dirinya sewaktu dalam kesusahan, kesulitan, kepayahan atau ditimpa sesuatu musibah. Walaupun dalam keadaan sukar tetapi ayat ini amat merangsang diri untuk berasai adanya ALLAH sebagai tempat bergantung. Segala yang ditimpakan ke atas kita semuanya datang daripada ALLAH.

Maka mengapa pula kita tidak mengadu kepada-Nya agar mengangkat kembali musibah yang ditimpakan. Di sinilah ruang untuk kita kembali bermuhasabah. Mengingati setiap dosa yang kita lakukan agar segera bertaubat. Kemudian menggantikannya pula dengan amal soleh yang bakal menjadi bekalan pahala.

Nabi Muhammad SAW dan sahabat Baginda SAW yang mulia tidak pernah meninggalkan al-Quran. Segala ayatnya diamalkan dengan penuh khusyuk dan istiqamah. Ayat-ayat Tuhan menjadi pemangkin untuk mereka kuat dalam menyebarkan dakwah serta memanjangkan risalah agama.  Ustaz Mohamed Amiro Safwan berkata, Nabi Muhammad SAW juga mengamalkan zikir daripada ayat-ayat al-Quran. Yang mana ia disebut sebagai Al-Ma'thurat. Umum mengetahui akan hal ini. Bahkan ia telah pun disusun dengan rapi dan dibukukan untuk bacaan harian kita. Sebagai umatnya, kita disarankan untuk turut mengamalkan Al-Ma'thurat setiap pagi dan petang.

Fahami ayat al-Quran

Satu daripada ayat al-Quran yang Nabi Muhammad SAW sering amalkan iaitu Firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): "Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan ugamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku." (Surah Al-Isra: 80)

Beliau memberitahu ayat tersebut sering dibaca oleh Nabi Muhammad SAW selepas selesai mengerjakan solat. Baginda SAW memohon kepada ALLAH akan kekuatan untuk memimpin ummah dan diberikan ketabahan dalam menyampaikan risalah Islam.

"Kekuatan yang dipohon Baginda SAW ini adalah kekuatan yang langsung datang daripada ALLAH Yang Maha Kuat disertai dengan pertolongan-Nya. Doa ini amat baik utk diamalkan oleh umat Islam khususnya pemimpin  yang diberi tanggungjawab untuk memikul amanah," jelas anak jati Kelantan ini. Ada yang bertanyakan Ustaz Mohamed Amiro Safwan, perlukah memahami maksud ayat yang diamalkan, jawapan beliau sememangnya kita perlu mengetahui dan memahami makna di sebalik ayat tersebut. Apakah tuntutan ayat itu? Bagaimanakah ia boleh memberikan kekuatan untuk kita?

"Mana mungkin kita ingin amalkan sesuatu sedangkan kita sendiri tidak memahaminya secara jelas. Bahkan kalau tidak difahami seolah-olah kita amalkan sesuatu yang tidak membawa apa-apa manfaat dalam kehidupan," katanya.

Bersempena dengan kempen Membaca Al-Quran (Let's read the Quran) yang bermula 1 hingga 31 Mac ini, marilah kita bersama menjadikan paling kurang sepotong ayat al-Quran sebagai amalan setiap hari. Semoga apa yang dilakukan mendapat keberkatan dan keredaan ILAHI.

Ancaman terhadap pengambil rasuah

SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang mencukupkan kita yang halal untuk menjauhi perkara dan perbuatan haram. ALLAH menjanjikan bagi mereka yang bertakwa kepada-Nya untuk memberi jalan keluar dengan mencurahkan rezeki daripada jalan yang tidak disangka-sangka.

ALLAH menganjurkan buat hamba-Nya agar mencari rezeki halal dan menegah daripada sumber haram demi kebaikan dan kerana mengasihani mereka.

Menjadi kewajipan mereka yang diberi tanggungjawab menjaga urusan orang Islam supaya melaksanakan tanggungjawab itu sebaik mungkin kerana ia adalah amanah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Kerana itu hendaklah dia menjaga waktu dan menggunakan waktu yang ditetapkan untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberikan kepadanya. Dalam melaksanakan kerja, hendaklah dia bersikap adil antara manusia dengan memberi setiap hak kepada empunya.

Hendaklah dalam melaksanakan tugas dia bersikap tegas tetapi bukan sampai jadi keras dan bersikap lemah lembut tetapi jangan sampai jadi lemah. Hendaklah dia bersikap adil saksama tidak memilih bulu dan tidak pula memandang rendah golongan yang lemah dan miskin. Bahkan hendaklah dia melihat orang yang kuat sebagai lemah agar dia dapat mengembalikan sesuatu hak kepada tuannya manakala orang yang lemah dilihat sebagai kuat supaya dia dapat mengembalikan hak kepadanya.

Kata Khalifah Umar bin Al-Khattab RA kepada salah seorang gabenornya: "Hendaklah engkau bersimpati dengan orang dalam majlismu, ketika orang menghadap kamu dan ketika kamu mengadili mereka. Jangan sampai orang yang berkedudukan menguasaimu manakala orang yang lemah berputus asa daripada keadilanmu. Berjaga-jaga jangan sampai engkau bertindak dalam keadaan marah-marah, takut-takut, tidak senang, berasa terganggu dengan manusia mahupun membuat keputusan dalam keadaan tergesa-gesa."

Tanggungjawab penjawat awam

Ketahuilah waktu kerja anda bukan untuk diri anda tetapi khas bagi rakyat kebanyakan hasil daripada gaji yang diberikan kepada anda pada setiap hujung bulan. Maka gaji yang anda terima adalah hasil daripada kerja yang dilakukan sepanjang waktu bekerja.

Oleh itu, setiap minit yang anda luangkan untuk selain kerja yang ditetapkan buat anda bererti anda mengambil hasil gaji yang tidak sah. Begitu juga dengan melakukan kerja selain daripada apa yang telah ditugaskan bagi anda bererti anda menyalahi amanah dan akan disoal di akhirat kelak. Adapun wang yang anda ambil daripada orang bagi melaksanakan suatu tugas yang telah ditetapkan gajinya bagi anda maka ia adalah rasuah wang haram yang anda ambil secara tamak dan zalim.

Menurut Ibnu Umar RA bahawasanya: "Rasulullah SAW melaknat orang yang mengambil rasuah dan orang yang menerima rasuah." (Riwayat Abu Daud, sahih)

Dalam hadis lain Baginda SAW bersabda: "Orang yang menerima rasuah dan yang memberi rasuah adalah dalam neraka."  (Riwayat At-Tabarani, sahih)

Ketahuilah rasuah adalah haram menurut kesepakatan ulama Islam. Sama ada bagi hakim, pegawai atau mana-mana penjawat awam. Islam mengharamkan rasuah kerana ia perbuatan memakan harta orang dengan cara yang batil. Tersebarnya rasuah dalam sesebuah negara akan mengundang kerosakan dan kezaliman.

Ini kerana rasuah menghalang orang yang layak dan berhak memperoleh haknya manakala orang yang tidak layak memperoleh hak tersebut. Hal ini mengakibatkan berlakunya kezaliman dan permusuhan. Rasuah mengakibatkan orang yang sepatutnya didahulukan dilewatkan manakala orang yang di belakang didepankan. Demikianlah keadaan rasuah. Tidaklah tersebarnya rasuah dalam sesuatu urusan atau kerja melainkan ia akan merosakkan kerja itu.

Rasuah yang tersebar dalam sesebuah masyarakat akan mengakibatkan sifat menipu dan berbohong berleluasa manakala sifat jujur hilang, sifat khianat akan menggantikan sifat amanah, ketakutan akan mengambil tempat keamanan, kezaliman akan menghilangkan keadilan, hak-hak orang dihalang, maslahat-maslahat umat tergendala manakala orang-orang zalim dan perosak menjadi berani.

Justeru, tidaklah rasuah itu tersebar dalam sesebuah negara melainkan ia akan mengundang kemusnahan dan kehancuran negara tersebut. Ia menggalakkan perbuatan dosa dan curang. Orang malas yang tidak cerdik didahulukan manakala mereka yang jujur dan rajin diketepikan. Perkara yang benar dan hak bertukar menjadi batil dan yang batil bertukar menjadi benar.

Betapa banyaknya hak orang dihalang gara-gara rasuah. Orang jahat dan buruk diangkat dan dijulang manakala orang yang fasik dikedepankan atas orang lain dengan diberi apa yang diingininya walaupun tanpa hak semata-mata kerana dia telah membayar rasuah. Hakikatnya dia mencemarkan masyarakat dan negara menyebabkan dia layak mendapat laknat ALLAH dan kemurkaan-Nya.

Golongan dilaknat

Sungguh Nabi Muhammad SAW  melaknat tiga golongan dalam rasuah:

1- Perasuah iaitu orang yang memberi rasuah

2- Penerima rasuah

3- Perantara iaitu orang tengah yang mengurus perbuatan rasuah tersebut.

Tidaklah ALLAH melaknat perbuatan rasuah ini melainkan kerana ia mengakibatkan kesan yang amat buruk atas masyarakat Islam. Bahkan kesan buruknya itu akan tersebar dan meluas. Kerana itu, sebahagian ulama berpandangan rasuah lebih berat hukum haramnya berbanding wang yang dibayar kepada pelacur untuk perbuatan zina.

Islam mengharamkan rasuah dalam segala bentuknya walau atas nama apa sekalipun. Sama ada ia dinamakan hadiah, ganjaran, upah dan sebagainya. Perubahan nama tidak akan mengubah hakikat rasuah itu. Kerana seseorang penjawat awam itu telah ditetapkan tugasnya  dengan dibayar gajinya.

Adapun wang rasuah yang diambil daripada orang sekiranya ia bertujuan untuk memberi orang tersebut haknya, maka adalah menjadi tugas penjawat awam itu untuk melaksanakan tugasnya tanpa mengambil sebarang imbuhan. Jika ia adalah untuk memberi seseorang itu suatu yang bukan haknya atau untuk mendahulukannya atas orang lain yang datang lebih awal, maka wang yang diambil itu adalah wang haram bagi suatu kerja yang zalim. Hal ini lebih berat dosanya.

Firman ALLAH: "Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)." (Surah Al-Baqarah: 188)

Hindarilah perbuatan rasuah memakan harta orang lain dengan cara yang batil dan haram. Semoga kita diberi petunjuk ALLAH dan dijauhkan daripada segala malapetaka dan musibah.