March 12th, 2016

Mutiara hiasan pemerintah dinasti Islam

MUTIARA merupakan satu ungkapan yang menggambarkan keindahan dan kemewahan. Ciri fizikal mutiara yang sering dilihat ialah berbentuk bulat dan berwarna putih. Tidak seperti permata lain yang tersimpan jauh di dalam tanah, mutiara merupakan permata yang tersimpan di dalam air. Ia dijadikan perhiasan oleh manusia sejak zaman sebelum Masihi. Mutiara mempunyai dua nama panggilan di dalam bahasa Arab iaitu lu’lu’ dan al-durr. Menurut Encyclopedia of Islam, istilah lu’lu’ digunakan untuk mutiara yang telah ditebuk dan al-durr adalah mutiara besar yang belum ditebuk.

Mutiara merupakan satu-satunya perhiasan berharga yang dihasilkan daripada benda hidup atau dikenali sebagai hidupan organik iaitu sejenis tiram yang dipanggil indung mutiara. Tiram yang menghasilkan mutiara boleh hidup di dalam air tawar atau air masin. Kebolehan tiram hidup dalam air masin dan air tawar telah diberitakan di dalam al-Quran, Surah Ar-Rahman ayat 22 yang bermaksud “Daripada keduanya keluar mutiara dan marjan”. Mutiara juga tidak boleh berada di dalam tiram untuk jangka masa yang panjang kerana sebagai bahan organik ia akan pudar dan lupus.

Alternatif kepada larangan pemakaian perhiasan emas

RANTAI mutiara dalam pelbagai warna semula jadi. - GAMBAR HIASAN

Kehebatan mutiara sebagai barangan perhiasan yang berharga turut mendapat perhatian beberapa penulis dan pengembara Islam terkenal seperti Al-Mas’udi, Ibn Masawayh, Al-Biruni dan Ibn Batuta. Mas’udi mencatatkan tentang lokasi pengumpulan mutiara pada zaman beliau iaitu sekitar abad ke-9 dan ke-10 Masihi. Lokasi yang beliau nyatakan ialah di sebuah perkampungan pesisiran pantai di Teluk Parsi. Apa yang menarik tentang catatan beliau ialah tentang penyelam mutiara yang boleh bernafas di dalam air untuk jangka masa lama tanpa menggunakan alat pernafasan seperti hari ini tetapi mereka mempunyai teknik tersendiri dengan mengelar bahagian leher di bawah telinga yang membolehkan mereka bernafas di dalam air ketika menyelam mencari mutiara.

LARANGAN PAKAI EMAS

Perhiasan mutiara banyak digunakan oleh pemerintah Islam di Turki, Iran, India serta di kepulauan Melayu sebagai hiasan serban, rantai, kerongsang dan sebagainya. Daripada lukisan miniatur dinasti Uthmaniyah, Parsi dan Mughal serta catatan hikayat kesusasteraan tempatan didapati mutiara juga turut digunakan sebagai perhiasan lain seperti pakaian, kasut, payung, senjata dan sebagainya. Kebanyakan rekaan mutiara yang dapat dilihat daripada lukisan miniatur dinasti Islam, penggunaan mutiara dan permata lain seperti berlian, zamrud dan delima menyerlahkan lagi rekaan mewah dinasti Islam bagi golongan pemerintah lelaki seperti Sultan dan Khalifah. Penggunaan mutiara dan permata adalah alternatif kepada larangan memakai perhiasan emas bagi golongan lelaki Islam.

Mutiara dikategorikan sebagai barangan perhiasan pertama yang paling berharga oleh Ibn Masawayh daripada 27 jenis permata yang disenaraikan oleh beliau. Mutiara di tempat pertama dengan diikuti oleh zamrud, delima dan berlian. Terdapat pelbagai saiz dan warna mutiara yang dijadikan oleh Allah SWT mengikut lokasi lautan di dunia ini.

Sebagai contoh, mutiara yang ditemui di China dan Jepun adalah lebih putih manakala mutiara yang ditemui di Lautan Hindi atau Laut Selatan lebih besar berwarna kekuningan hingga warna keemasan, manakala mutiara di kawasan kepulauan Cook atau Tahiti berwarna hitam metalik atau hijau gelap metalik dan biru gelap metalik. Namun pada hari ini terdapat pelbagai teknik menghasilkan mutiara termasuk mutiara saduran yang lebih murah berbanding mutiara yang hidup liar di dalam lautan. Mutiara sebegini lebih mahal dan amat jarang ditemui pada hari ini.

Penyelamat kehidupan umat

UMAT Islam sepatutnya me­ngelakkan diri dari­pa­da terperangkap de­ngan agensi pinjaman wang secara haram. Pel­bagai kisah kekejaman agensi ini sering dipaparkan oleh akhbar, majalah dan Internet. Mereka cu­kup aktif menarik perhatian mangsa dengan melekatkan iklan-iklan di ba­ngunan dan pokok-pokok di kawasan perumahan. Iklan-ik­lan yang dipaparkan itu boleh mem­pe­ngaruhi individu yang terdesak untuk mendapat wang.

Keadaan ekonomi yang tidak menentu dan harga barang yang tinggi memberi peluang yang baik kepada agensi pinjaman haram ini untuk mendapat mangsa kerana orang yang berada dalam keadaan terdesak akan berusaha untuk mendapatkan wang bagi keperluan kehidupan mereka. Ketika ini persoalan halal atau haram bukan dijadikan kayu ukur­an dalam minda mereka.


Penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menurunkan iklan haram berhubung pinjaman dalam satu operasi di bandar raya itu, baru-baru ini. utusan/ABDUL RAZAK IDRIS

Umat Islam dididik supaya mengimbangi akal fikiran dalam apa jua keadaan dengan berdasarkan hukum-hakam dalam Islam. Setiap perundangan Islam sama ada halal atau haram perlu dilihat sebagai corak kehidupan umat Islam. Perkara atau kegiatan yang halal dan digalakkan oleh Islam adalah satu nilai kehidupan yang boleh menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. Perkara atau aktiviti yang diharamkan oleh Islam pula adalah unsur yang boleh mendatang­kan kemudaratan dan kecelakaan dalam kehidupan.

Umat Islam yang berpandukan kepada konsep hidup begini sentiasa berada dalam suasana tenang walaupun menghadapi kesukaran hidup.

Allah adalah Pencipta manusia dan alam. Setiap perkara berkaitan kehidupan manusia dan pergerakan alam adalah dalam kawalan Allah. Umat Islam diberi panduan oleh Allah dan Rasul bagaimana hendak mengendalikan kehidupan di dunia ini supaya menjadi umat yang mulia dan berjaya. Setiap perkara yang haram perlu dianggap sebagai unsur yang boleh mengakibatkan kecelakaan dan kesukaran dalam kehidupan.

Undang-undang Islam merangkumi setiap aspek kehidupan manusia termasuk ekonomi, sosial dan politik. Perkara berkaitan kewangan dan ekonomi atau muamalah, cara pengurusannya perlu berasaskan kepada kejujuran, ketelusan dan kemanusiaan. Penipuan, penindasan dan tidak berperikemanusiaan adalah diharamkan sama sekali.

Jika aktiviti perniagaan, pinjaman dan urusan kewangan melampaui batasan hukum-hakam Allah sehingga berlaku penindasan dan kekejam­an maka kegiatan tersebut akan dilaknati oleh Allah dan keuntungan yang diperoleh tidak akan berkekal­an kerana tidak diberkati oleh-Nya.

Umat Islam dicegah meminjam wang daripada individu yang gemar menerima riba kerana kegiatan tersebut memberi kecelakaan kepada kehidupan manusia. Dalam urusan pinjaman di antara orang yang memberi pinjaman dan memohon pinjaman perlu berdasarkan kepada peraturan pinjaman yang digariskan oleh Allah supaya kedua-dua pihak berpuas hati dan tidak menganiayai di antara satu sama lain.

Orang yang memberi pinjaman tidak boleh mengenakan riba kepada rakan yang meminjam wang. Orang yang meminjam wang perlu berusaha untuk membayar hutang apabila tempoh berhutang sudah tamat. Jika terdapat kesulitan untuk membayarnya dalam tempoh yang ditentukan maka kedua-dua pihak perlu berbincang secara baik supaya orang yang memberi pinjaman dapat memahami kesulitan yang dihadapi.

Orang yang berhutang digalakkan memberi hadiah kepada orang yang memberi hutang jika hutang yang dilakukan itu memberi keuntungan dalam perniagaan dan seumpama­nya. Sikap begini boleh menyuburkan perasaan persahabatan sesama umat Islam dalam melaksanakan konsep al-ta’awwun ‘ala al-bir (tolong-menolong dalam kebaikan).

Orang yang kaya dan mewah jika menghulurkan pinjaman kepada rakan yang amat memerlukan kewangan adalah satu amalan yang paling mulia di sisi Allah. Kerelaan untuk membantu orang yang berada dalam kesukaran dan desakan hidup itu dianggap sebagai sedekah yang paling tinggi nilainya di hari akhirat.

Perkara ini disebut oleh Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 276 yang bermaksud: “Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran dan selalu berbuat dosa.”

Mengenakan riba dalam pinjam­an kewangan seperti dilakukan oleh agensi pinjaman wang haram adalah dosa besar dan diharamkan oleh Allah kepada manusia. Perbuatan mengenakan riba berlipat kali ganda sehingga melebihi jumlah wang yang dipinjam oleh peminjam adalah perbuatan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Orang yang memberi pinjaman wang yang me­ngaut keuntungan secara mengenakan riba adalah orang yang menindas manusia demi keuntungan diri.

Setiap orang yang bekerjasama dengan pemberi pinjaman begini dianggap sebagai orang yang mendapat wang secara batil atau haram. Mereka tidak terlepas daripada seksaan Allah.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran, Surah an-Nisa’ ayat 161 yang bermaksud; “Dan disebabkan kerana mereka memakan riba, pada hal sesungguhnya mereka telah dilarang daripadanya, dan kerana mereka memakan harta orang de­ngan jalan yang batil Kami telah menyediakan untuk orang-orang kafir di antara mereka itu seksa yang pedih.”

Orang yang meminjam wang adalah orang yang berada dalam keadaan terdesak dan kesukaran hidup maka ketika ini orang yang diberi rezeki oleh Allah sepatutnya menghulurkan pertolongan bukannya menindas dan menganiayai sesama insan.

Kutukan Allah terhadap kegiat­an sebegini dijelaskan di dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud; “Orang yang memakan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran tekanan penyakit jiwa (gila). Keadaan mereka yang demikian itu disebabkan mereka berkata (berpendapat) sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba padahal Allah SWT telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.”

Apabila Allah mengharamkan sistem pinjaman wang seperti ini maka umat Islam terselamat daripada kancah kehancuran. Allah menyeru umat Islam supaya berurusan dengan kewangan secara halal dan diberkati sepertimana firman-Nya dalam Surah al-Imran ayat 130 yang bermaksud; “Wahai orang beriman janganlah kamu memakan riba de­ngan berlipat ganda dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu mendapat keuntungan.’’

-

Banyak gempa tanda hampir kiamat

SEDAR atau tidak, dalam tempoh seminggu pertama bulan Mac, negara merasai tujuh gegaran akibat gempa bumi yang berlaku. Kebanyakannya berlaku di Suma­tera, Indonesia dan Laut Bismarck, 204 kilometer barat daya Kavieng, Papua New Guinea. Kejadian-kejadian tersebut berlaku antara tarikh 1 hingga 5 Mac.

Menurut laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, satu daripada gempa bumi itu berlaku di Lahad Datu, Sabah pada 1 Mac lalu. Bagaimanapun, gempa yang berlaku pada 5.04 petang itu berskala lemah iaitu 3.5 pada skala Richter. Daripada enam gegaran, gempa bumi yang berlaku di Barat Daya Sumatera pada 2 Mac 2016 adalah yang terkuat dirasai apabila mencatatkan bacaan 7.9 skala Richter. Gegarannya turut dirasai oleh mereka yang berada di Port Dickson, Negeri Sembilan dan Johor.

Memanglah semua itu kita sebut sebagai bencana atau fenomena alam. Namun, banyaknya berlaku gempa itu juga adalah tanda-tanda kiamat makin hampir. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak akan tiba hari kiamat hingga dicabutnya ilmu, banyak terjadi gempa bumi dan masa dirasakan berdekatan.” (Riwayat Bukhari)

Nabi Muhammad SAW menyebut kejadian gempa bumi adalah salah satu tanda kiamat dan kebanyakan gempa bumi berlaku kerana letusan gunung berapi. Kejadian letusan gunung berapi dan gempa bumi makin kerap berlaku.

Statistik sebuah agensi di bawah Jabatan Geologi Amerika Syarikat (USGS), National Earthquake Information Centre menunjukkan kejadian gempa bumi yang berlaku sekitar tahun 2010 dalam magnitud 6 hingga 9.9 skala Richter adalah 73 kes di seluruh dunia. Ini mengakibatkan 226,729 kematian. Dalam tempoh 1 Januari hingga 15 Mac 2011, sebanyak 81 kejadian gempa bumi direkodkan.

Bagi orang mukmin, berlaku gempa bumi juga adalah sebagai peringatan Allah kepada manusia tentang usia dunia yang semakin tua. Untuk itu, memerlukan kita sentiasa dalam keada­an bersedia dengan melipatgandakan amal ibadat.

Dalam peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah SAW diperlihatkan gambaran dunia seperti wanita tua yang sedang memakai perhiasan. Wanita tua ini masih cantik dengan solekan, dandanan dan perhiasannya. Namun, di dalam tubuhnya sudah bersarang pelbagai penyakit sejak lama.

Mengenai masa pula, memang berlalu begitu pantas. Belum sempat berbuat sesuatu, tiba-tiba masa sudah terlalu suntuk. Sehingga banyak perkara belum dapat diselesaikan. Kita seakan-akan sibuk, tetapi kita tidak faham apa yang di­sibukkan. Kita diburu masa yang berlalu dengan tidak ada perkara yang dapat kita selesaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan singkatnya masa.

Menurut Imam al-Karmani, maksud singkatnya masa ini adalah dicabut keberkatan daripada­nya. Dahulu dalam sehari banyak perkara yang dapat kita laksanakan, tetapi sekarang dalam sehari yang sama hanya sedikit perkara yang dapat kita buat. Ini juga satu petanda hampirnya kiamat.

Oleh yang demikian, ayuh kita memanfaatkan saki-baki masa dan umur untuk meningkatkan amalan kebajikan dan menghindar melakukan kemaksiatan. Masa yang lepas jadi sejarah yang tidak boleh diubah.

Sekarang mari kita berazam memastikan setiap apa yang kita lakukan hanyalah perkara yang baik-baik. Tidak semestinya ibadat khusus iaitu solat, puasa dan haji. Banyak lagi amal kebajikan yang boleh kita buat hatta mengubah duri atau halangan di jalanan pun dikira kebajikan.

Mengucapkan perkataan yang baik juga dikira sebagai melakukan kebaikan. Sebabnya berapa ramai manusia yang diseksa oleh Allah SWT di akhirat kelak angkara lidah yang tidak bertulang. Lidah yang mudah mencela dan mengumpat termasuk juga mengongsi (share) berita-berita yang belum dipastikan kesahihannya melalui laman-laman sosial.

Ingatlah hidup di dunia hanya sekejap berbanding kehidup­an di akhirat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah dunia itu dibandingkan dengan akhirat melainkan bagaikan salah seorang kamu memasukkan jari tangannya ke dalam lautan, perhatikanlah apa yang dibawa oleh jari itu.” (Riwayat Muslim) - Mohd. Radzi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana 11 Mac 2016 6:15 PM

Peperangan ikut syariat perlu bersandarkan ilmu, bukan kejahilan

Ramai orang terpengaruh dengan gerakan keganasan, termasuk pembunuhan sesama sendiri, kerana menganuti kepercayaan bahawa Islam mensyariatkan keganasan dan pembunuhan terhadap golongan yang diiktikadkan sebagai musuh Allah dan Islam.

Sebenarnya Islam tidak semudah itu mensyariatkan peperangan dan pembunuhan tanpa dalil yang jelas dan nyata daripada al-Quran serta hadis.

Fatwa muktabar daripada ulama yang menyatakan dengan terang bilakah peperangan itu disyariatkan dan menjadi amalan direstui syarak.

Generasi muda mudah terpengaruh dengan pertubuhan yang bertopengkan Islam kerana tidak memahami ajaran berdasarkan syariat. - Gambar pilihan


Penulis amat mengharapkan penjelasan dan fatwa yang jelas mengenai hal ini dapat disebarluaskan kepada masyarakat, kerana belia Islam dan angkatan muda kita pada umumnya amat ghairah bertindak melaksanakan syariah agama walaupun dengan mengorbankan nyawanya sendiri, sedangkan tindakan mereka ini dilakukan dalam kejahilan, tanpa panduan agama yang sahih.

Tanpa penyebaran ilmu dan pengajaran Islam yang fundamental dalam isu ini sebagai satu wadah pendidikan yang meyakinkan umat Islam, termasuk di negara kita, maka selama itulah kita akan terus menerus menyaksikan dunia Islam berada dalam krisis peperangan dan pembunuhan yang hanya akan merosakkan imej dan prestasi Islam yang maha suci.

Pembangunan dinamik

Kebangkitan Islam yang meluas sejak tahun 70-an di seluruh dunia menyaksikan pembangunan dinamik di Timur dan Barat.

Pembangunan ini dilihat sebagai agenda pembangunan yang universal, malah memberikan kekuatan kepada umat Islam dalam bidang ilmu pengetahuan, ekonomi, sains dan teknologi, juga dalam aspek kekuatan umat umumnya, yang secara langsung atau tidak langsung menghimpit malah ada kalanya mengancam agama lain.

Maka dalam senario ini, dalam situasi yang senyap-senyap pula, kita dapat merasakan bahawa amaran Allah SWT yang membawa tujuan bahawa Yahudi dan Nasrani tidak akan rela dengan agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW itu, telah mulai menjelma dalam satu permainan di tengah-tengah pentas dunia dalam bentuk permainan yang tersembunyi mesejnya dan amat licin sekali.

Masuk jarum permusuhan

Pihak Zionis dan pelampau Barat mula memasukkan jarum permusuhan di dalam dunia Islam dan dengan halus mulai menyamar dan bermain wayang yang menggambarkan bahawa umat Islam sedang menghadapi gerakan sekular yang amat ekstrem dan gerakan kemodenan melampau yang seharusnya ditentang habis-habisan oleh umat Islam yang masih berpegang teguh dengan ajaran dan syiar Islam yang dicabuli oleh umatnya sendiri.

Dengan itu timbullah iktikad bahawa keganasan melampau, malah pembunuhan dan peperangan adalah amalan yang harus dilakukan berdasarkan ajaran syariah Islam sendiri.

Perpecahan dan krisis kefahaman mazhab dan amalan ijtihad dalam masyarakat Islam telah diapi-apikan begitu rupa oleh anasir Zionis dan nasara, sehingga timbul puak yang merasakan bahawa mereka saja yang benar-benar berjuang kerana Islam, dan merekalah yang menentang musuh Allah, yang mengikut syariah, maka golongan musuh itu yang seharusnya dibunuh, kerana membunuh musuh Allah adalah tuntutan syariah, dan sesiapa yang terkorban di dalam proses ini akan mati syahid dan akan masuk syurga.

Ajaran Islam yang memberikan ganjaran syurga kepada pejuang yang berjuang dan berjihad bersama-sama Rasulullah SAW ketika menegakkan agama tauhid dalam kalangan masyarakat jahiliah dan kufur telah secara mudah diselewengkan kepada pejuang semasa yang kononnya berjuang menegakkan agama Allah dan mempertahankan agamanya tanpa memeriksa segala prinsip dan ajaran Islam yang sebenarnya mengenai jihad, dan membuat usul periksa berdasarkan dalil syariah yang sah mengenai siapakah musuh Allah dan siapakah musuh agama itu.


Beberapa kurun dan sehingga ke dekad terakhir ini, tidak terlihat kepada sarjana dan ahli sosiologi serta antropologi Barat bahawa agama itu mempunyai relevensi kepada pembangunan dan aktiviti dinamik manusia, terutamanya Yahudi dan Kristian, untuk pembangunan masyarakat dan negara yang diasaskan kepada ajaran agama itu.

Tetapi sejak kebangkitan Islam, dan kelihatan bahawa Islam ada sifat dinamik dalam menjadikan petrol sebagai senjata, kejatuhan Shah Iran yang ditunjangi begitu kuat oleh Amerika, malah kekuatan Arab yang mula mengancam penjajahan Yahudi ke atas Palestin, maka kuasa Barat dan penganut agama mereka mulai membuka mata, dan mulai merancangkan taktik serta strategi untuk melemahkan Islam dan umatnya, termasuklah segala kekusutan dan krisis yang berjaya dilakukan di dalam dunia Islam sekarang ini.

Umat Islam yang masih lemah iman dan kekuatan syariahnya menyerah kalah kepada ketentuan nasib dan matlamat yang dirangka oleh musuhnya, sehingga akhirnya Islam dicemarkan oleh umatnya sendiri dan mulalah jarum permusuhan yang dicucukkan ke dalam badan mereka oleh musuhnya, amat menyakitkan.

Kewajipan kita ialah memperkuatkan daya tahan ketika menghadapi permainan kotor orang lain dan mencerahkan minda generasi baharu mengenai bahaya serangan musuh. Islam tetap suci dan kuat, tetapi yang kotornya ialah fenomena 'Islamism', bukan ummah sebagai penganut Islam, tetapi Islam politik yang diselewengkan.

Raih 5A belum tentu 'anak menjadi'

Pernah satu ketika saya didatangi seorang ibu yang mengadukan hal anaknya. Katanya, "Tolonglah ustaz, anak saya tak menjadi."

Awalnya saya tidak memahami maksud beliau tetapi akhirnya saya faham tidak menjadi yang dimaksudkan itu ialah kerana anaknya tidak termasuk dalam statistik pelajar yang meraih 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). S

aya menerangkan kepada beliau, menjadi atau tidak anak belum boleh diukur seawal usia muda itu.

Ibu bapa wajib menyediakan pendidikan agama yang sempurna supaya anak mampu menjadi hamba Allah SWT yang beriman. - Gambar hiasan



Cara kita mengukur adalah berdasarkan kepada persoalan mengapakah Allah SWT menjadikan kita sebagai manusia di atas muka bumi ini.

Capai status perhambaan

Ada dua tujuan mengapa kita dijadikan Allah SWT di atas muka bumi ini.

Pertama, adalah mencapai status perhambaan seluruhnya kepada Allah SWT dalam segenap kehidupan seperti yang ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Tidak Aku jadikan manusia dan jin kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku." (Surah az-Zariyat, ayat 56)

Tujuan kedua ialah menjadi khalifah di atas muka bumi ini mengikut kehendak Allah SWT seperti yang ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Aku menjadikan manusia khalifah di atas muka bumi ini." (Surah al-Baqarah, ayat 30)

Ibu bapa wajib memastikan mereka menyediakan pendidikan agama yang cukup supaya anak faham dan mampu menjadi hamba Allah SWT.

Indikator awal yang boleh kita ukur pada tahap awal umur anak-anak ialah adakah mereka mengenal Allah SWT dan beriman hanya Islam sahaja yang diiktirafkan Allah SWT.

Ini penting kerana anak hari ini hidup dalam zaman penuh kekeliruan seperti promosi terancang dan berstrategi mengenai kesamarataan semua agama serta fahaman liberalisme.

Dari sudut syariat, indikator paling mudah untuk kita ukur ialah adakah anak menjaga solatnya. Adakah dikira anak kita 'menjadi' dengan meraih 5A walaupun ia cuai melaksanakan lima waktu solat.

Begitu juga dengan akhlaknya, adakah anak kita pandai menghormati guru dan ibu bapa. Berbanggakah kita mempunyai anak yang pandai akademik tetapi kontang budi pekerti?

Islam tak remehkan kecemerlangan akademik Islam tidak meremehkan kecemerlangan dalam semua bidang kehidupan termasuklah kecemerlangan akademik kerana ia satu anak tangga untuk mentadbir dunia ini.

Namun, bukan bermakna mereka yang tidak cemerlang tertutup peluang untuk menjadi khalifah pada posisi dan kapasitinya.

Janganlah kita menjadi ibu bapa yang baru mengenal huruf 'A' untuk diletakkan bertentangan dengan subjek diambil di dalam peperiksaan berbanding sebahagian orang Cina yang tidak lagi mengenal huruf 'A' tetapi telah sampai ke peringkat membaca suasana untuk masa hadapan anaknya.

Anak mereka yang tidak banyak mendapat 'A' telah didedahkan dengan pelbagai kemahiran untuk kelangsungan hidupnya pada masa akan datang.

Saya bukan anti kecemerlangan tetapi anti kepada meminggirkan anak yang kurang mendapat A di dalam peperiksaan.

Sekadar contoh, saya pernah menyarankan dalam kuliah menjadi kewajipan orang lelaki Muslim menghulurkan kepala untuk digunting oleh tangan yang sama-sama bersyahadah berbanding dengan rela membiarkan kepala yang sujud tiap-tiap hari dipegang oleh tangan yang belum tentu selesai bersihnya tatkala keluar daripada tandas.

Wira masyarakat


Isunya bukan hukum harus atau tidak bergunting di kedai bukan Islam tetapi saya ingin menarik perhatian pembaca betapa besarnya jasa tukang gunting Muslim yang sudah tentu tidak mendapat banyak 'A' dalam peperiksaan, namun telah menjadi wira di khalayak masyarakat Muslim.

Adanya mereka di tengah-tengah masyarakat Muslim melepaskan tanggungjawab fardu kifayah yang melepaskan belenggu dosa daripada tengkuk orang Islam lain. Inilah yang dinamakan menjadi khalifah dalam kapasitinya yang tersendiri.

Faham begini sepatutnya dihayati oleh setiap ibu bapa iaitu menjadi kewajipan utamanya adalah berusaha melahirkan anaknya sebagai khalifah, pemimpin yang berjiwa a'bid (hamba).

Unggul dalam bidang masing-masing, tetapi faham ia tetap hamba Allah SWT yang wajib berusaha merealisasikan segala tuntutan kehendak Allah di atas muka bumi ini.

Generasi sebegini sangat penting untuk menghapuskan pergantungan kita kepada orang lain setelah sekian lama dan dunia ini sudah sampai masanya menerima tawaran untuk ditadbir oleh keadilan Islam.