March 13th, 2016

Kewangan Islam tangani krisis ekonomi

KETIKA dunia sedang bergelut berdepan kemelesetan ekonomi, sistem perbankan dan kewangan Islam dilihat mampu menjadi instrumen ekonomi dan kewangan berkesan dalam mendepani kemelut tersebut. Sistem perbankan dan kewangan Islam lebih berdaya tahan dan berdaya saing dalam menangani inflasi, kemelesetan ekonomi kejatuhan nilai mata wang, kejatuhan pasaran modal, kejatuhan harga komoditi dan perdagangan antarabangsa (eksport dan import). Sistem perbankan Islam, kini bukan sahaja semakin popular dalam kalangan negara Islam, malahan sistem patuh Syariah Islam ini, semakin popular dalam kalangan negara bukan Islam.

Pada masa ini, sudah terdapat 32 negara melaksanakan perbankan Islam termasuk di Eropah, Asia dan Afrika seperti United Kingdom, Afrika Selatan, Australia, Bahamas, Cyprus, Denmark, Switzerland, Liberia, Filipina, Guinea, India, Luxembourg dan Thailand. Ia memberi pilihan kepada orang ramai, sama ada mahu menggunakan sistem perbankan konvensional atau perbankan Islam. Sebelum ini, suka atau tidak, orang ramai terpaksa mengguna pakai sistem perbankan konvensional, walaupun mengetahui sistem itu mengamalkan riba, kerana tidak mempunyai pilihan.

Sistem perbankan dan kewangan Islam tampil sebagai penyelesaian (jalan keluar) kepada umat Islam mengatasi masalah riba dalam urusan kewangan dan perbankan. Sistem kewangan Islam dan perbankan Islam akan menjadi lebih lengkap jika mata wang dinar, emas dan perak dapat digunakan oleh negara-negara Islam. Sebenarnya, idea penubuhan bank tanpa faedah telah mula dibincangkan sejak akhir 1940-an. Idea itu hanya berjaya direalisasikan sekitar 1960-an, apabila munculnya model perbankan Islam pertama yang diasaskan oleh Ahmad al-Najjar yang mula beroperasi pada 25 Jun 1963 di sebuah pekan kecil Mit Ghamr, 64 kilometer ke utara Kaherah, Mesir.

Namun, operasi bank Islam pertama itu berakhir pada 1967 kerana tidak mendapat sokongan daripada kerajaan Mesir, walaupun projek itu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat Islam Mesir. Kemudian pada akhir 1972, menteri-menteri luar negara Islam dijemput ke Jeddah, Arab Saudi untuk membentuk sebuah jawatankuasa khas bagi menyediakan perjanjian penubuhan bank Islam bersama.

Sebagai susulannya, pada 1973 dan 1974, menteri-menteri kewangan negara-negara Islam telah mengadakan dua mesyuarat di Jeddah yang akhirnya membawa kepada penubuhan Bank Pembangunan Islam (IDB) dengan modal berbayar sebanyak dua bilion dinar pada 1975. Bank ini merupakan satu-satunya institusi kewangan Islam antarabangsa yang ditubuhkan untuk membantu memajukan ekonomi dan sosial negara-negara Islam dan umatnya dengan mematuhi kontrak-kontrak yang berteraskan Syariah.

Berkembang

Di Malaysia, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) ditubuhkan pada 1 Julai 1983 sebagai bank Islam pertama di negara ini di bawah ABI dengan modal berbayar sebanyak RM80 juta. Seterusnya, perbankan Islam telah dikembangkan ke seluruh negara dengan meningkatkan bilangan peserta dalam tempoh yang singkat. Pada Mac 1993, Bank Negara Malaysia (BNM) telah memperkenalkan Skim Perbankan Tanpa Faedah (SPTF) yang membenarkan institusi perbankan konvensional menawarkan produk dan khidmat perbankan Islam.

Langkah ini adalah sebagai salah satu usaha kerajaan untuk menambah syer pasaran perbankan Islam dalam pasaran kewangan negara ke arah menjadikan sistem kewangan Islam selari dengan sistem kewangan konvensional.Pada 1 Disember 1998, istilah SPTF telah digantikan dengan Skim Perbankan Islam (SPI) memandangkan istilah SPTF tidak mencerminkan penampilan sebenar operasi perbankan Islam yang dilaksanakan oleh institusi perbankan. Malaysia mengamalkan pendekatan sistem dwiperbankan (dual banking system) iaitu melaksanakan sistem perbankan Islam dan dalam masa yang sama membenarkan operasi sistem perbankan konvensional.

Model dwiperbankan ini diiktiraf oleh banyak negara Islam sebagai model perbankan masa depan. Banyak delegasi terutamanya dari negara-negara Islam datang melawat BNM dan Bank Islam Malaysia Berhad untuk mendalami cara-cara sistem dual banking ini berfungsi. Indonesia mula mengikut langkah Malaysia melaksanakan sistem perbankan Islam sekitar 1990-an. Formasi ini (Islamic windows) seterusnya menjadi model perbankan Islam bagi sebahagian negara-negara Teluk seperti Bahrain, Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Setelah lebih 29 tahun SPI beroperasi di Malaysia, perkembangan yang berlaku amat memberangsangkan. Data terkini menunjukkan aset perbankan Islam di Malaysia sudah mencapai AS$72.5 bilion dengan purata perkembangan sebanyak 20 peratus setahun. Malah, sistem kewangan Islam telah mencakupi sektor perbankan, takaful, pasaran modal dan pasaran wang serta industri ini telah berkembang di beberapa benua dan negara.

Sistem kewangan Islam juga mencatat pertumbuhan pesat, yang mana aset 500 bank Islam utama di seluruh dunia telah meningkat sebanyak 28.6 peratus kepada AS$822 bilion (RM3,288 trilion) pada akhir 2009. Apa yang menarik sistem kewangan Islam kurang terjejas oleh impak negatif daripada krisis ekonomi global. Ini adalah kerana kewangan Islam tidak dibenarkan terlibat dalam pelbagai aktiviti yang telah menjadi faktor penyebab kepada krisis ekonomi seperti amalan riba dan spekulasi.

Walaupun terdapat kelembapan di pasaran Sukuk, namun Sukuk terus diterbitkan dan dipasarkan walaupun terdapat beberapa kes kegagalan menunaikan obligasi dalam transaksi Sukuk di beberapa negara, tetapi ia tidak memberi impak besar kepada industri kewangan Islam di peringkat tempatan atau global.

Pelbagai institusi khusus seperti IFSB, Persatuan Perbankan Islam dan takaful ditubuhkan bagi mempelopori inisiatif ini. Malah, dari sudut piawaian serta undang-undang yang menyokong aktiviti industri ini, ia dipelopori oleh institusi seperti AAOIFI, IFSB dan Bank Pusat atau Majlis Penasihat Syariah Pusat. Selain itu, terdapat lagi pelbagai inisiatif lain yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan dan kelangsungan sistem kewangan Islam.

Kejayaan menghadapi krisis kewangan yang terkini telah membawa rahmat kepada sistem kewangan Islam yang mana ia semakin mendapat perhatian dan kepercayaan pelbagai pihak. Sebagai contoh, ia telah membuka laluan ke pasaran kewangan di Eropah dan Amerika. Malah, banyak lagi negara Islam dan bukan Islam dijangka membenarkan institusi kewangan Islam beroperasi di peringkat tempatan. - Mustafa Kamal Basri Utusan Malaysia Rencana 13 Mac 2016 6:00 PM

Suami isteri positif jaminan kebahagiaan

DALAM hubungan suami isteri, apabila kita sudah duduk sebumbung berkongsi suka duka kehidupan dalam alam perkahwinan, barulah kita akan berhadapan dengan kehidupan yang sebenar. Alangkah sukarnya bagi pasangan suami isteri untuk menerima kenyataan, jika sewaktu dalam alam percintaan (sebelum berkahwin) kita tidak menjadi diri kita yang sebenar, sebaliknya kita hidup penuh kepura-puraan dan banyak yang kita selindungi daripada pasangan kita.

Sebab apabila kita berkahwin, kita sebenarnya akan menemui tiga orang yang berbeza daripada pasangan kita itu (orang yang kita kenali sepanjang percintaan kita). Pertama, orang yang kita sangka siapa dia? Maksudnya banyak antara kita yang terpedaya, menyangka bahawa pasangan kekasih mereka adalah seorang yang baik dan positif. Biasanya nilaian kita ini banyak diukur daripada luaran fizikal pasangan kita itu sahaja, iaitu dari segi cantik/tampan atau tidak pasangan itu, dan diukur dari segi status dirinya, kecerdikan, kekayaan, pangkat dan wang ringgitnya. Banyak antara kita yang tertipu dengan kehebatan luaran fizikal pasangan kita, namun ada juga yang bernasib baik yang mendapat pasangan yang sebagaimana hebatnya luaran fizikalnya, demikian jugalah hebatnya dalaman hati budinya.

Perkahwinan adalah pembuka realiti kehidupan. Selepas kita berkahwin kita akan berjumpa dengan orang baru daripada pasangan kita, yang kita anggap betul-betul telah kita kenali hati budinya sepanjang percintaan kita dengannya. Iaitu, barulah kita tahu siapa dia yang sebenarnya? Kebanyakan kita baru tahu siapa diri pasangan kita yang sebenar, selepas kita dengan pasangan kita telah bergelar suami isteri. Jika selama ini pasangan kita hanya berpura-pura berbuat baik dan bersikap positif untuk memenangi hati kita, tetapi setelah duduk sebumbung sebagai suami isteri, baru kita kenal atau terbuka tembelang hati budinya yang sebenar. Maka, akan bermula konflik hidup dalam alam perkahwinan. Walau bagaimanapun, kalau "dunia dalamannya" baik, maka "dunia luarannya" akan baik untuk selamanya, sama ada ketika sedang bercinta atau sesudah berkahwin.

Seseorang boleh berubah menjadi lebih baik atau lebih buruk selepas sah menjadi suami isteri. Inilah orang ketiga yang kita akan temui, iaitu siapa dia jadi selepas berkahwin dengan kita. Maknanya kita, (suami atau isteri) saling pengaruh mempengaruhi pasangan kita untuk berubah, sama ada daripada bersikap negatif kepada positif atau sebaliknya, bergantung pada sikap "dalaman diri" kita.

Kalau suami atau isteri selepas berkahwin dengan kita berubah laku, maka kitalah yang mengubahnya. Janganlah selepas berkahwin dengan kita, suami/isteri berubah, daripada berperangai baik kepada berperangai buruk. Jika hal ini terjadi bermakna berlaku tiga sebab. Pertama, ketakwaan pasangan kita belum benar-benar kuat. Kedua, "dunia dalaman" pasangan kita yang rapuh, hingga tiada keyakinan untuk mempertahankan prinsip hidupnya dan mudah dipengaruhi oleh pasangan. Ketiga, kesedaran keegoan kita yang sangat tinggi hingga mendesak pasangan kita mengikut cara hidup kita yang salah.

Melengkapkan

Kebanyakan pasangan suami isteri apabila berkahwin, kita hendakkan pasangan kita menjadi seperti kita. Suami akan menunjukkan ketegasannya dan keegoannya supaya isteri mendengar cakapnya dan mengikut cara hidupnya. Isteri pula bertegas dengan prinsipnya, apabila berkahwin mengharapkan "mendapat" kebahagiaan, bukan "membawa" kebahagiaan daripada hasil perkahwinan itu. Hingga menimbulkan konflik antara dirinya dengan keluarga suaminya. Sedangkan hakikatnya, perkahwinan adalah untuk saling lengkap melengkapkan dan sama-sama berkorban serta bersatu untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah dalam rumah tangga.

Jom audit diri kita, sebagai suami atau isteri adakah kita seorang yang membawa kebaikan dan rahmat hidup dalam perkahwinan atau sebaliknya? Kalau kita menyumbangkan peranan negatif dalam perkahwinan, ingatlah bahawa apa-apa yang kita lakukan hari ini pasti ada balasannya. Ayah dan ibu adalah contoh teladan anak-anak; bagaikan acuan dengan kuihnya, bagaimana bentuk acuan, begitulah jadinya kuih. Ingatlah konsep (ADA – BERI – DAPAT).

Kalau anda seorang lelaki, bagaimana anda melayani isteri anda, begitu juga anak perempuan anda akan dilayani oleh suaminya nanti apabila anak perempuan anda dinikahi. Demikian jugalah, bagaimana anda melayani isteri anda, macam itulah anak lelaki anda akan melayani isterinya. Ingatlah, bahaya yang paling besar bukan apa kejahatan yang orang lain lakukan kepada kita, tetapi kejahatan yang pernah kita lakukan, kerana tidak ada perkara baik atau buruk yang kita lakukan, melainkan akan kembali kepada kita.

Kepada para suami, tanyalah diri apakah yang anda telah lakukan kepada isteri anda, seorang anak gadis yang cantik, yang kini telah menjadi amanah dan tanggungjawab anda untuk menjaganya dengan baik dan penuh kasih sayang, seperti mana yang dikecapinya sejak berpuluh tahun hidup bersama-sama ayah dan ibunya. Adakah sebagai suami anda memberikan layanan yang sama atau lebih baik daripada yang ayah dan ibu isteri anda berikan? Adakah tergamak mensia-siakan hidupnya, gadis yang anda cintai, yang kini telah menjadi hak hingga yang haram telah halalkan?

Kepada para isteri pula, apakah yang kita lakukan kepada suami, seorang lelaki yang kita nikahinya kerana rasa cinta dan hormat kepadanya? Adakah kini kita tidak lagi mentaatinya, sedangkan suami itulah penentu syurga kita? Adakah kerana keegoan kita, membuatkan kita menjadi individu yang mempunyai dua keperibadian? Iaitu dengan orang lain di luar rumah kita mempunyai keperibadian yang baik, tetapi di dalam rumah dengan keluarga sendiri keegoan kita tinggi, hingga hilang rasa hormat antara isteri dengan suami, dan sirna rasa bahagia membahagiakan antara suami dengan isteri.

Sebagai seorang lelaki, sebaik-baik sah akad nikah, isteri adalah amanah Allah kepada seorang suami, yang perlu dijaga dan dibimbing oleh suami ke syurga. Isteri di bawah seliaan suami mesti dijaga imannya, takwanya, makan minumnya, kesihatannya, dan seumpamanya. Perlu diingat bahawa, tugas seorang suami bukan sahaja menyediakan keselesaan fizikal, tetapi mesti dipenuhi dada isteri dengan ilmu dan iman, untuk makanan rohaninya. Adakah wajar membiarkan isteri berada dalam kejahilan dan kekosongan rohaniah?

Kewajipan suami untuk membimbing isteri dengan membina kehidupannya hanya taat kepada Allah SWT. Akidah, ibadah dan akhlaknya terjaga. Solat berjemaah dengan isteri bermula saat pertama disahkan sebagai suami. Mohon kepada Allah supaya isteri mematuhi suruhan anda, sebagai suami untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Sesungguhnya, semakin dekat kita dengan Allah, semakin kita tenang dan bahagia. Kita akan memperlihatkan apa-apa yang ada dalam jiwa dan wajah kita. Wajah yang tenang dan bahagia adalah refleksi daripada ketenangan dan kebahagiaan jiwanya. Bahagiakan diri kita dengan berbuat baik dan bermurah hati dengan orang yang terdekat dengan kita dan orang di sekeliling kita.

Berbuat baiklah untuk diri sendiri, berbuat baik kepada keluarga kita, tanpa menangguhkannya. Bimbinglah diri kita dan keluarga kita ke arah kebaikan, semoga kita akan mendapat ketenangan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Para isteri/suami, setiap kali kita berkecil hati, tidak berpuas hati atau sakit hati dengan pasangan kita, mesti ingat pasangan kita juga macam kita, tidak sempurna. Maka kita mula lihat diri dan berasakan ini ujian Allah untuk menguatkan keimanan kita. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”. - Dr. Muhaya Muhamad Utusan Malaysia Rencana 13 Mac 2016 6:06 PM