March 18th, 2016

Khutbah Jumaat : “Mengingati Mati Menyucikan Jiwa”

Petikan Khutbah Jumaat 18 Mac 2016: JAIS

“Mengingati Mati Menyucikan Jiwa”

Keseronokan hidup di dunia akan tergugat dengan datangnya Malaikat Maut yang mencabut roh dari jasad dan berakhirlah segala kesenangan, kemewahan dan berpisahlah dari orang yang kita kasihi.

Firman Allah SWT dalam surah al-An’am ayat 32; “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan Yang sia-sia dan hiburan Yang melalaikan; dan Demi Sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang Yang bertaqwa. oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?”.Dengan mengingati mati, bukan sahaja boleh menimbulkan rasa sesal di atas dosa yang dilakukan, malah ia boleh melahirkan ketakutan untuk meneruskan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA bahawasanya Rasulullah SAW telah ditanya; فَأَي الْمؤمنِين أَكْيس ؟ قَالَ: "أَكْثَرهم للْموت ذكْرا، وأَحسنهم لما بعده استعدادا، أُولَئك الأَكْياس “Siapakah dikalangan mukmin yang paling bijak? Rasulullah SAW bersabda; “Mereka yang paling banyak mengingati mati dan yang paling baik persediaannya untuk selepas daripada mati, mereka itulah orang-orang yang bijak”. (Riwayat Ibnu Majah).

Menurut Imam al-Ghazali Rahimahullah, manusia terbahagi kepada dua golongan apabila berhadapan dengan kematian;

Pertama: Golongan yang tenggelam dengan dunia dan hiburan serta kemewahan. Mereka ini amat takut dengan mati kerana terlalu kasih dan cintakan dunia. Kalau boleh mereka tidak mahu langsung ingatkan mati. Kalau ingat pun mereka akan berusaha mengeluarkan tenaga dan wang ringgit untuk memastikan boleh hidup lama, serta terlalu bimbang memikirkan bagaimana hartanya akan digunakan oleh anak-anaknya nanti.

Kedua: Golongan yang apabila terdengar tentang kematian atau tazkirah yang bersangkutan dengan kematian akan timbul rasa takut dan bimbang akan nasib di alam kubur. Kesannya mereka akan bertaubat dan berusaha menjauhkan diri dari maksiat dan mendekatkan diri kepada Allah Taala. Dalam masa yang sama mereka tidak meninggalkan dunia kerana mengingati mati itu menjadikan mereka sangat mengambil berat tentang ibadah dan ilmu pengetahuan. Hasilnya mereka memahami Islam yang sebenar yang menyuruh umatnya bekerja untuk dunia dan akhirat

Diriwayatkan bahawa Ibnu Mu’ti, apabila tercetus di dalam hatinya tentang rasa kagum melihat rumah besar dan harta benda, terus sahaja ia menangis dan berkata: “Kalau tiada kematian, aku akan mencintai mu dan gembira sekali dengan rumah besarku. Andai kita tidak memasuki lubang kubur yang sempit, tentu mata kita akan terpesona selalu dengan kemewahan duniawi”.

Imam Syaddad Rahimahullah pernah berkata: “Kematian itu adalah sesuatu yang paling menakutkan bagi mukmin di dunia, maut lebih sakit dari digunting, digergaji dan dicampak ke dalam kawah yang menggelegak. Andaikata mereka yang telah meninggal dunia dibangkitkan dan menceritakan kepada orang yang hidup, nescaya tiada orang yang mengambil berat tentang dunia dan tiada yang akan dapat tidur lena”

Khalifah Umar b Abdul Aziz yang terkenal sebagai pemimpin yang kuat pegangan agamanya boleh dikatakan saban minggu menjemput para ulamak berhimpun di istananya untuk memberikan tazkirah kepadanya tentang kematian. Setiap ulama diberikan kebebasan menegur dan menyentuh tentang keperitan mati dan azab di alam barzakh. Biasanya majlis itu akan diakhiri dengan tangisan khalifah kerana beliau bimbang dan takut akan azab yang menunggu sekiranya berlaku sebarang kezaliman di dalam pemerintahannya.

Hasilnya pemerintahan Khalifah Umar bin Abd Aziz sebagai ketua agama Islam dizamannya telah berjaya menegakkan kembali kegemilangan pemerintahan Islam di zamannya meskipun hanya berkuasa selama dua setengah tahun. Setiap hari ada sahaja maksiat yang dihapuskan dan syariat yang ditegakkan. Natijahnya maksiat terus berkurangan manakala syariat Islam dapat dilaksanakan dalam tempoh yang singkat.

Untuk mengingati mati supaya jiwa kita sentiasa suci dan bersih, marilah kita mengambil langkah-langkah berikut:

1. Ingat kepada rakan atau sahabat yang telah meninggal dunia. Mungkin umur mereka sebaya dengan kita atau penyakit mereka sama dengan kita, oleh itu bila pula Malaikat maut akan menjemput kita.

2. Ingat bagaimana keadaan mereka meninggal dunia. Ada yang disebabkan penyakit buah pinggang, darah tinggi, kencing manis atau lemah jantung. Cuba tanya diri kita, apakah kita betul-betul sihat dan tidak akan menghidapi penyakit seperti ini. Atau ada yang ditimpa kemalangan tiba-tiba. Apakah kita boleh terselamat dari kemalangan seumpama ini?.

3. Bayangkan kehidupan mereka sebelum mati. Ada yang meninggal dalam keadaan baik kerana penghujung hayatnya ia menjadi ahli masjid dan dekat dengan Allah Taala. Ada yang kita dapat lihat jenazah dengan wajah yang tenang bertemu dengan Allah Taala. Ada juga sahabat yang meninggal tetapi hayatnya penuh dengan maksiat. Lihatlah wajahnya yang penuh dengan tanda azab dan kengerian.

4. Ziarahi orang yang sakit dan nazak. Lihat bagaimana azabnya sakaratul maut dan betapa seksanya berhadapan dengan saat kematian.

Akhirnya, sedarlah bahawa kematian pastinya akan menjenguk kita. Samada kita pemimpin atau rakyat, kaya atau miskin, tua atau muda, sihat atau sakit. Oleh itu segeralah bertaubat. Bagi yang sering melakukan maksiat seperti minum arak, meninggalkan solat, berzina , rasuah, berjudi dan sebagainya maka tinggalkanlah segera sebelum terlambat. Agar tidak menyesal apabila dimasukkan ke dalam liang lahad kelak. Selesaikanlah segala tanggungjawab dan kewajipan kita. Hutang kepada Allah dan Rasulnya, juga sesama manusia hendaklah diselesaikan sebelum kematian menjemput kita. Semoga dengan mengingati kematian dan sentiasa bersedia menghadapinya, boleh menyucikan hati dan jiwa kita semua.

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”. (Surah ali-Imran: 185).

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ “Ujian Sebuah Kesetiaan

Petikan Khutbah Jumaat 18 Mac 2016 / 2 Jamadilakhir 1437 JAKIM

“Ujian Sebuah Kesetiaan"

Ketika satu demi satu negara Islam di dunia semakin lemah atau hancur dek kerana rakyatnya telah tersilap pertimbangan akibat terlalu mengikut emosi sehingga termakan hasutan musuh, Malaysia masih berdiri teguh dan bertahan dari mengikut jejak langkah mereka. Malaysia sebagai sebuah negara Islam, menikmat pelbagai limpahan rahmat dan nikmat dari Allah SWT, dilihat mampu menjadi peneraju semua negara Islam di dunia.

Mentaati pemimpin yang adil adalah wajib sebagaimana disepakati majoriti ulama tafsir, fuqaha dan sebagainya. Perintah taat kepada pemerintah adalah bukan datang dari pemerintah tetapi datangnya dari Allah SWT, maka kalau rakyat menderhaka dengan pemerintah ertinya mereka menderhaka terhadap Allah SWT.

Hayati firman Allah SWT di dalam Surah an-Nisa’ ayat 59, Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, ta’atlah kamu kepada Allah dan ta’atlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Uli’l-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantahan (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Qur’an) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Mentaati penguasa atau pemerintah umat Islam (Ulil Amri) merupakan salah satu prinsip di dalam iktikad Ahlus Sunnah wal Jamaah. Oleh yang demikian, mereka wajib melaksanakan amanah menguruskan hal ehwal umat Islam dalam sesebuah negara demi menjaga urusan agama dan dunia.

Menurut Syaikh Abdus Salam Barjas, pengarang kitab Mu’ammalatul Hukkam fii Dhaw al-Kitab wa as-Sunnah bahawa terdapat beberapa kaedah dalam menentukan pemimpin umat Islam antaranya

(i) mereka yang memiliki kedaulatan atau kuasa mentadbir masyarakat atau rakyat,
(ii) mereka yang telah dipilih, atau telah menang dan memegang kuasa pemerintahan sama ada secara syar’i atau sebaliknya,
(iii) mereka yang tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan sebagai pemimpin yang sah, tetapi telah memegang kekuasaan dalam pemerintahan, maka wajib untuk ditaati, dan
(iv) mereka yang dilantik atas keperluan sesebuah negara atau wilayah tertentu.

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, Mafhumnya: “Orang Islam wajib mendengar dengan patuh dan taat semua arahan pemimpin, baik perkara itu disukai ataupun dibenci, melainkan apabila dia disuruh melakukan maksiat. Apabila dia disuruh melakukan maksiat, dia tidak boleh mematuhi suruhan itu”

Jika terdapat perselisihan dan perbezaan pandangan, segeralah kita kembali kepada pedoman al-Quran dan as- Sunnah serta raikanlah ruang berkenaan dengan cara yang penuh hikmah dan kasih sayang.

Imam Muslim meriwayatkan daripada ‘Auf bin Malik al-Asyja’i bahawa Rasulullah SAW bersabda, Mafhumnya: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah yang kamu cintai dan mereka mencintai kamu, kamu mendo’akan mereka dan mereka mendo’akan kamu.”

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Dzar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, Mafhumnya: “Sesungguhnya akan muncul selepasku pemerintah, maka janganlah engkau menghinanya, sesiapa yang ingin menghinanya maka sesungguhnya dia telah melepaskan tali kekang Islam dari lehernya.”

Islam mempunyai peraturan-peraturan yang begitu lengkap tentang tanggungjawab pemerintah dan juga tanggung jawab rakyat. Sekiranya kedua- dua pihak ini saling menunaikan tanggung jawab masing-masing dengan baik, maka bertambah aman dan sejahteralah negara itu.

Mengakhiri khutbah, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan iaitu

Pertama: Mentaati pemimpin dalam urusan kebaikan (ma’ruf) termasuk merealisasikan perintah dan membantu mereka dalam urusan kebaikan yang diperlukan adalah satu kewajiban.

Kedua: Rakyat yang taat dan baik sentiasa menghormati, memuliakan dan dan mendoakan kebaikan para pemimpin.

Ketiga: Islam melarang daripada saling menjatuhkan, serta menzahirkan sifat penentangan atau sehingga menghina atau mencela antara satu sama lain.

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat – benar (dalam segala perkara). Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa- dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang ta’at kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.” (Surah al- Ahzab: 70-71)

Wallahualam.