March 19th, 2016

Dunia tempat kita beramal

SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang menjadikan segala sesuatu setelah ditentukan suratan takdirnya. Sewajarnya kita bertakwa kepada ALLAH dengan mengetahui hanya amalan kita sahaja yang akan kita bawa ketika meninggalkan dunia ini. Amalan kita itu jugalah yang akan menentukan keadaan di akhirat kelak.

Sabda Nabi Muhammad SAW: "Si mati akan diiringi oleh tiga; keluarganya, hartanya dan amalannya. Dua daripadanya akan kembali manakala hanya satu sahaja yang akan tinggal (bersama si mati). Keluarga dan hartanya akan kembali manakala amalannya akan tinggal." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Amalan kita itulah yang akan menemani kesepian kita dalam kubur. Si mati sama ada akan mendapat kenikmatan dengannya sekiranya amalannya itu baik atau mendapat azab seksa sekiranya buruk.

Disebut dalam hadis Nabi SAW, amalan baik akan datang kepada si mati dalam rupa bentuk lelaki rupawan yang berpakaian cantik dan berbau harum. Dia akan berkata: "Terimalah khabar yang akan menggembirakanmu." Lalu si mati akan bertanya: "Siapa engkau? Sungguh rupamu rupa orang yang membawa kebaikan." Lelaki itu menjawab: "Akulah amalanmu yang soleh."

Adapun amalan yang buruk, ia mendatangi tuannya dalam kubur dalam rupa bentuk lelaki hodoh berpakaian buruk dan berbau busuk. Dia akan berkata: "Terimalah khabar yang akan menyedihkanmu. Inilah hari yang telah dijanjikan buatmu." Lalu si mati akan bertanya: "Siapa engkau? Sungguh rupamu rupa orang yang membawa keburukan." Lelaki itu menjawab: "Akulah amalanmu yang buruk. Sungguh engkau dahulu lambat melakukan ketaatan tetapi cepat melakukan kemaksiatan. Kerana itu ALLAH membalasmu dengan kejahatan." (Riwayat Abu Daud, sahih)

Tiba saat kematian

Ketahuilah, amalan soleh itulah yang akan didambakan oleh manusia di kala  menghadapi saat kematian. Firman-Nya: "Kesudahan mereka apabila sampai ajal maut, mereka berkata: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia); Supaya aku dapat mengerjakan amal-amal soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan." (Surah Al-Mu’minuun: 99-100)

Amal soleh jugalah yang akan didambakan oleh penghuni neraka apabila mereka dicampakkan ke dalam azab seksa api neraka.

Firman ALLAH: "Dan mereka menjerit-jerit dalam neraka itu (sambil merayu): Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (daripada azab ini); kami akan mengerjakan amal-amal soleh, yang lain daripada apa yang kami pernah kerjakan." (Surah Fatir: 37)

Ternyata jika kita tadabur al-Quran, kita dapati ALLAH menyuruh supaya kita banyak beramal soleh. ALLAH mengaitkannya dengan balasan baik dan buruk sebagaimana firman-Nya: "Dan tidaklah kamu dibalas melainkan berdasarkan apa yang telah kamu amalkan." (Surah Yasin: 54)

Kadang kala ALLAH mengkhabarkan bahawa Dia sentiasa melihat amalan manusia. Sebagaimana firman-Nya: "Sungguh Aku mengetahui apa yang kamu amalkan." (Surah Al-Mu'minuun: 51)

Ada kalanya dengan mengingatkan bahawa Dia telah mewakilkan malaikat yang mencacatkan segala amalan-amalan manusia. Sebagaimana firman ALLAH: "Sesungguhnya terdapat malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawas segala perbuatan kamu. (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi ALLAH), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu). Mereka mengetahui apa yang kamu lakukan." (Surah Al-Infitaar: 10-12)

Dalam ayat lain ALLAH memaklumkan kita akan bertemu apa yang kita amalkan di akhirat kelak. Kita akan melihatnya dan membacanya. Firman ALLAH: "Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, dia akan melihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, dia akan melihatnya." (Surah Al-Zalzalah: 6-8)

Firman-Nya lagi: "Dan setiap seorang manusia Kami kalungkan bahagian nasibnya di lehernya, dan pada hari kiamat kelak Kami akan keluarkan untuknya kitab (suratan amalnya) yang akan didapatinya terbuka (untuk ditatapnya). Bacalah kitab (suratan amalmu), cukuplah engkau sendiri pada hari ini menjadi penghitung terhadap dirimu (perihal segala yang telah engkau lakukan)." (Surah Al-Israa': 13-14)

Dalam ayat lain ALLAH menyuruh manusia supaya banyak beramal kerana setiap seorang itu beramal untuk dirinya sendiri bukan untuk orang lain. Firman ALLAH: "Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka ia adalah untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri." (Surah Fussilat: 46)

Firman-Nya lagi: "Sesiapa beroleh petunjuk, maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain." (Surah Al-Israa': 15)

Rebut peluang di dunia

Kita tidak akan diberi peluang untuk beramal kecuali ketika hidup di dunia ini. Maka hari ini adalah hari untuk kita beramal dan bukan untuk penghitungan. Esok pula adalah hari penghitungan dan bukan untuk beramal.

Tambah lagi, umur manusia adalah singkat dan ajalnya tidak diketahui bila akan tiba. Dan apabila ia tiba, ia tidak akan diawalkan mahupun dilambatkan. Firman ALLAH: "Maka apabila datang ajal itu, ia tidak akan dapat dilewatkan sesaat pun, dan tidak dapat pula mereka dipercepatkan." (Surah Al-A'raaf: 34)

Untuk itu, hari-hari yang kita tempuhi di dunia, ia adalah peluang yang sangat berharga buat kita. Nilainya tak terhingga. Jika kita mengetahui nilainya dan merebut peluang yang ada untuk melakukan apa yang bermanfaat, ia akan membuahkan kebahagiaan yang berterusan buat kita di kemudian hari.

Adapun sekiranya kita mensia-siakan dengan bermain dan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah, maka ia akan mendatangkan kerugian yang berterusan buat kita nanti.

Buat mereka yang prihatin dan gigih beramal soleh, pada hari kiamat akan dikatakan kepada mereka: "Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)." (Surah Al-Haaqqah: 24)

Bagi mereka yang mensia-siakan waktu di dunia dengan bermain dan berhibur, akan dikatakan kepada mereka: "Kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu, dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya. Maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina kerana kamu berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar, dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik." (Surah Al-Ahqaaf: 20)

Justeru, orang cerdik adalah mereka yang berkira-kira membuat persiapan untuk kehidupan selepas mati. Orang yang lemah pula adalah mereka yang terus menerus mengikut keinginan nafsu dan dalam masa yang sama mereka berangan-angan itu dan ini daripada ALLAH.

Riba? Jangan...

BERDASARKAN surah Al-Baqarah ayat 279, Allah dan Rasul-Nya mengisytiharkan perang ke atas mereka yang mengambil riba. Ketika menafsirkan ayat Al-Quran ini, Al-Qurtubi memetik kata-kata Imam Malik, “Sesungguhnya, aku telah membaca lembaran Al-Quran dan As-Sunnah dan tidak aku dapati benda yang lebih buruk dari riba, kerana Allah s.w.t. mengisytiharkan perang ke atas pelakunya.”

Sesungguhnya, riba adalah kesalahan yang besar. Menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk menjauhinya.

APA ITU RIBA?

Riba adalah kalimah yang berasal dari bahasa Arab yang bermaksud pertambahan. Ia bermaksud tambahan yang diperolehi oleh salah satu pihak daripada pihak yang lain dengan mengambil pulangan yang tidak wajar.

HARAMKAH RIBA?

Riba secara terang-terangan haram berdasarkan beberapa ayat Quran dan hadith. Imam Al-Bukhari ada meriwayatkan sebuah hadith yang menggerunkan tentang mereka yang memakan harta riba yang bermaksud: “Nabi s.a.w. bersabda: “Malam ini, aku bermimpikan dua orang datang berjumpaku dan membawaku ke sebuah tanah suci sehingga kami sampai di suatu sungai yang mengalir darah. Seorang lelaki berdiri di tengah sungai itu, manakala seorang lelaki lain berdiri di tebing sungai itu sambil memegang batu di kedua belah tangannya. Setiap kali lelaki di tengah sungai itu ingin keluar, dia dibaling batu ke dalam mulutnya oleh lelaki di tepi tebing, memaksanya kembali ke tempat asalnya.

Aku bertanya, “Apa hal ni?” Aku kemudian diberitahu:”Orang yang kau nampak di tengah sungai itu adalah pemakan riba” (Hadith no. 2085).

APA CONTOH RIBA?

Jika kita sedari, sebenarnya banyak transaksi kewangan konvensional adalah berasaskan riba, seperti pinjaman perumahan, pinjaman kereta, pinjaman peribadi, kad kredit dan simpanan tetap. Begitu juga dengan insurans konvensional, ia telah difatwakan haram oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan sejak 1972 kerana mempunyai unsur riba, gharar (ketidaktentuan dalam akad) dan maisir (perjudian).

Perlu diingat, riba juga boleh terjadi dalam kehidupan seharian kita jika kita tidak berwaspada. Contohnya, dalam pertukaran matawang asing, pertukaran perlu berlaku dengan serta-merta. USD 10 apabila ditukarkan dengan RM 40, ia perlu ditukar tanpa ada penangguhan salah satu daripada matawang tersebut.

Jika hendak menukar mata wang kepada pecahan mata wang yang lebih kecil pula, satu syarat tambahan perlu Riba?Jangan … Allah berfi rman dalam Surah ar-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud: “Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” diikuti iaitu mata wang tersebut mestilah sama nilainya. Contohnya, sehelai wang kertas RM 50 boleh ditukar untuk dipecahkan kepada helaian RM 10 dengan syarat terdapat 5 helai wang kertas RM10 yang ditukarkan serta-merta dengan wang kertas RM 50 itu.

Dalam hal peminjaman wang pula, riba boleh terjadi dalam bentuk wang atau manfaat, sama ada termaktub dalam kontrak atau pun diputuskan kemudian. Contohnya, si A meminjam RM6,000 daripada si B dan bersetuju untuk melunaskan hutang sebulan kemudian.

Jika awal-awal lagi si B mensyaratkan untuk membayar balik RM 6,001, tambahan RM1 itu sudah semestinya adalah riba. Atau jika selepas sebulan, didapati si A tidak mampu untuk membayar, dan si B memberi masa tempoh sebulan dan menambahkan jumlah wang yang perlu dibayar kepada RM 6,001, tambahan RM 1 itu tidak dapat disangkal lagi adalah riba. Atau jika si B meminta si A untuk memotong rumput di halaman rumahnya (yang sebelum itu, tak menjadi kebiasaan antara mereka berdua), manfaat dari rumput yang dipotong itu sememangnya riba. Tepuk dada, tanya iman kita.

Perubahan dalam skala besar tidak akan berlaku tanpa kesedaran dan perubahan dengan diri kita sendiri. Kerana itu, percayalah, apa yang penting, ialah langkah pertama itu sendiri. Allah berfi rman dalam Surah ar-Ra’d, ayat 11 yang bermaksud:

“Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” Wallahu’alam.