March 20th, 2016

Al-Quran penyembuh masalah kehidupan

SEGENAP pujian hanya milik ALLAH SWT kerana dari Dia satu-satunya yang menurunkan al-Quran kepada hamba-Nya. Dia tidak mengadakan kebengkokkan pada kitab-Nya, sebagai bimbingan yang lurus untuk mengingatkan pertemuan hari akhirat dan memberi berita gembira kepada orang beriman yang mengerjakan amal soleh mereka akan mendapat balasan baik.

Al-Quran, kitab suci yang terjaga. Diturunkan Tuhan Yang Maha Mengetahui jiwa-jiwa manusia. Kerananya apa yang tertera dalam rangkaian kalimat dalamnya adalah petunjuk bagi ketenteraman jiwa dan kehidupan, ubat bagi segala kegalauan dan persoalan. Di dalam al-Quran terdapat semua jenis ubat bagi penyakit, namun usaha untuk mencari ubat itu diserahkan kepada manusia.

Sheikh As-Syinqithi menyebutkan beberapa contoh bagaimana al-Quran memberikan solusi-solusi terbaik terhadap masalah-masalah besar.

1. Al-Quran memberi petunjuk yang paling tepat dan benar dalam keseimbangan antara penampilan luar dan dalam diri manusia, demikian juga antara perasaan dan akhlaknya, dan antara akidah dan amalnya.

2. Al-Quran memberi petunjuk yang paling tepat dan benar dalam bidang ibadah. Al-Quran tidak memberi beban kepada seseorang di luar batas kemampuannya agar dia tidak berasa bosan atau putus asa saat menunaikan ibadah.

3. Al-Quran memberi petunjuk yang paling tepat dan benar dalam hubungan antara manusia, satu dengan yang lain, baik secara individu, pasangan, pemerintah, bangsa atau negara. Hubungan ini dibangunkan di atas asas yang kuat dan kukuh yang tidak terpengaruh dengan pandangan dan hawa nafsu, ia tidak cenderung kepada cinta dan permusuhan, serta tidak dapat dipalingkan kerana suatu kehendak satu pihak.

4. Al-Quran memberi petunjuk yang paling tepat dan benar dalam hubungan antara agama samawi, bahawa satu agama dengan yang lain memiliki keterikatan, menjaga kesuciannya dan melindungi kehormatannya, kerana pada hakikatnya semua akidah agama samawi membawa pesan perdamaian.

Sesungguhnya manusia tidak akan dapat membuka pintu-pintu fitrah yang tertutup penyakit kecuali dengan kunci-kunci yang diciptakan oleh ALLAH. Tetapi sebahagian besar manusia tidak mahu mengambil kunci itu dari pembuatnya.

Dalam menghadapi masalah dirinya, masalah kemanusiaan, masalah kebahagiaan dan kesengsaraan, manusia tidak mahu melalui kaedah pembaikan yang digariskan oleh Penciptanya. Walaupun manusia mengetahui untuk membaiki alatan elektronik yang rosak diperlukan jurutera elektrik pembuat perkakas tersebut, tetapi manusia tidak mahu mengaplikasikan prinsip ini pada dirinya yang rosak.

Islam tuntut dasar toleransi tanpa mengira batas agama

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturan-Nya)." (Surah Al-Baqarah, ayat 272).

Al-Nasa'i dan Al-Tabarani meriwayatkan daripada Ibnu Abbas katanya, orang-orang Islam merasa berat untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan mereka kepada keluarga mereka yang belum memeluk Islam, lalu mereka bertanya Nabi SAW sama ada boleh diberi bantuan kepada orang Musyrikin atau tidak.

Lalu Baginda mengharuskan bantuan itu diberi kepada keluarga mereka sekalipun mereka belum memeluk Islam.

Sehubungan itu, ayat ke-272 ini diturunkan.


UMAT Islam wajar bersyukur kerana terpilih menjadi insan beriman. - Foto hiasan
Sebahagian ulama menyatakan ayat ini diturunkan mengenai Asma' Abu Bakar yang keberatan untuk melayani ibu dan neneknya yang masih musyrik pada tahun 'umrah al-qada'.

Mereka selalu datang menemui Asma' kerana meminta sesuatu daripadanya. Lalu, beliau bertanya kepada Nabi SAW sama ada dia harus melayani mereka atau tidak lalu ayat ke-272 ini diturunkan.

Dari sinilah kita dapat melihat beberapa kemuncak toleransi yang diajar kepada pencinta al-Quran.

Kemuncak inilah Islam mengangkat hati orang beriman dan melatih mereka supaya mencapainya.

Dasar toleransi insaniah

Islam bukan saja menegakkan dasar kebebasan beragama dan melarang paksaan memeluk agama malah Islam menegakkan dasar yang lebih jauh dari itu iaitu ia menegakkan dasar toleransi insaniah yang diambil dari arahan Allah SWT yang menetapkan bahawa seluruh manusia itu berhak mendapat pertolongan dan bantuan.

Adapun urusan hati, hidayahnya dan kesesatannya, maka ia bukan urusan seseorang manusia walaupun dia itu Rasulullah SAW sendiri.

Ia adalah urusan Allah SWT kerana hati itu adalah dari ciptaan Allah dan tiada siapa selain Allah SWT yang boleh menguasai dan mengendalikannya.

Tiada siapa yang mempunyai kuasa di atas hati-hati itu selain dari Allah SWT. Nabi Muhammad SAW hanyalah seorang manusia yang sekadar dapat memberi peringatan dan khabar gembira.

Baginda hanya berkewajipan memberi bimbingan dan menganjurkan perbuatan baik dan pada waktu yang sama, melarang perbuatan keji seperti mengungkit-ungkit, menyakiti perasaan dan mendermakan barang-barang yang buruk.

Rasulullah SAW diutuskan dengan membawa segala bentuk kebaikan untuk umatnya, berita gembira untuk orang mukmin dan berita amaran untuk orang kafir.

Rasulullah SAW sangat menginginkan agar kaumnya mendapat hidayah. Baginda berasa amat sedih kepada sesiapa saja yang keluar daripada garis keimanan.

Baginda memberatkan dirinya dalam urusan dakwah mengatasi kemampuan yang ada bahkan melebihi apa yang dituntut kepadanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini." (Surah al-Kahfi, ayat 6)

Seperti diketahui Baginda tidak dituntut melainkan untuk menyampaikan risalah saja manakala hidayah itu adalah kurniaan dan pilihan Allah SWT.

Oleh kerana terlalu mengharapkan petunjuk untuk kaumnya, Allah menegur Baginda kerana itu akan membebankan dirinya sendiri.

Teguran di sini bukan kerana kesilapan yang dilakukan tetapi kerana kebaikan yang dimiliki oleh Baginda.

Ia umpamanya teguran seorang bapa kepada anaknya yang terlalu kuat belajar tanpa mengira siang dan malam, tanpa ada waktu rehat, justeru si bapa itu menegur anaknya.

Teguran itu bukan kerana kelemahannya ataupun kesilapannya tetapi kerana perbuatan tersebut mengatasi kemampuannya.

Sering kali hidayah dalam al-Quran dinafikan daripada Nabi SAW, maka penafian itu bermakna nabi tidak dipertanggungjawab sekiranya mereka tidak beroleh hidayah kerana Allah SWT yang menentukan semuanya.

Hanya Tuhan beri hidayah

Penafian itu bukan hanya ditujukan kepada Nabi SAW tetapi termasuk juga bukan nabi. Dengan kata lain, Nabi SAW hanya menunjuk jalan, tetapi tidak menentukan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam)." (Surah al-Qasas, ayat 56)

Hidayah dalam ayat ini dinafikan daripada Nabi SAW kerana Baginda hanya mampu menyeru mereka saja, tetapi pilihan terakhirnya terserah kepada Allah SWT tetapi tidak wajib ke atasnya menyampaikan kepada manusia hidayahnya secara nyata.

Orang yang beroleh hidayah ialah orang yang berjalan menuju matlamat yang jelas dan mengikuti petanda yang juga jelas menuju kepadanya.

Orang yang sesat jalan adalah orang yang mengikuti jalan yang tidak membawanya kepada matlamat yang ditujuinya.

Ayat di atas menyatakan bukan tanggungjawab Nabi SAW memberi hidayah kepada manusia, tetapi Allah SWT yang memberinya kepada mereka.

Tugas umat Islam ialah terus berdakwah sama ada secara langsung atau tidak termasuklah dengan menunjukkan akhlak yang baik dan indah.

Memberi petunjuk kepada semua manusia adalah hak Allah SWT kerana Allah telah melakarkan garis berfikir yang dapat dijangkau oleh akal dan hati mereka.

Dialah yang berkuasa memberi taufik dan petunjuk kepada mereka untuk mencapai pemikiran yang benar, yang akhirnya membuahkan perbuatan yang menjurus kepada kebahagiaan mereka.

Adat atau Syarak

HARTA sepencarian ber­asal daripada adat Me­­layu. Perkara ini ber­bangkit daripada ke­­a­daan tempatan. Da­­hu­lu, suami isteri sama-sama memugar tanah untuk dijadikan sawah, kebun atau dusun. Apabila berlaku perceraian, si suami hanya “menghantar balik” si isteri kepada ibu bapanya atau saudara mara di kampung asalnya sehelai sepinggang, biasanya bersama anak-anak yang masih kecil. Si suami kahwin lain. Pada masa itu belum ada Mahkamah Syariah, Enakmen Keluarga Islam, Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan lain-lain undang-undang berkenaan.

Dalam keadaan itulah, untuk berlaku adil kepada si isteri, mengikut adat pada masa itu, harta yang sama-sama dicari dan diusahakan dibahagi di antara si suami dan si isteri. Adat itu telah diterima pakai oleh Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi (Sivil) (Hakim-Hakim British) dalam kes-kes di hadapan mereka, sebelum merdeka.

Selepas merdeka, apabila Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam dibuat, ‘harta sepencarian’ telah dikanunkan dengan nama asalnya ‘harta sepencarian’ sedangkan tuntutan-tuntutan lain seperti ‘nafkah’ dan ‘mutaah’ menggunakan bahasa asalnya iaitu bahasa Arab.

Sebagai misalan, Seksyen 46(2)(b)(iv) Akta Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993(APAI (WP) 1993) memperuntukkan:

(2) “Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah — (b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dan yang berhubungan dengan — (iv) pembahagian atau tuntutan harta sepencarian”.

Peruntukan ini, secara umum, memberi bidang kuasa kepada mahkamah untuk membicarakan dan memutuskan kes-kes mengenai pembahagian atau tuntutan harta sepencarian. Ertinya, mahkamah ada bidang kuasa untuk membicarakan kes tuntutan harta sepencarian dan membuat perintah pembahagiannya.

Dalam keadaan mana perintah mengenai harta sepencarian boleh dibuat? Ini diperuntukkan oleh Seksyen 58, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 (AUKI (WP) 1984):

(1) Mahkamah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian, memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

Subseksyen (3) memperuntukkan:

(3) Mahkamah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talak atau membuat perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

Perhatikan, mengikut subseksyen (1) dan (3), seksyen 58AUKI (WP) 1984, mahkamah hanya boleh membuat perintah pembahagian harta sepencarian dalam dua keada­an sahaja:

i. apabila mengesahkan lafaz talak, dan

ii. apabila membuat perintah perceraian.

Dalam kata-kata lain, di Wilayah Persekutuan, pembahagian harta sepencarian hanya boleh dibuat apabila berlaku perceraian.

Di negeri Selangor, ada satu keadaan lagi di mana perintah pembahagian harta sepencarian boleh dibuat, iaitu apabila memberi kebenaran si suami berpoligami. Tetapi, itu tidak berkenaan dengan perbincangan sekarang.

Soalnya, apabila tuntutan dibuat selepas kematian si suami sedang­kan tidak ada perceraian semasa hidup keduanya, bukankah apa yang dikatakan ‘harta sepencarian’ itu sebenarnya sebahagian daripada pusaka si suami dan perlu dibahagikan mengikut faraid? Bolehkah, dalam menentukan bahagian waris-waris terhadap pusaka itu, ‘harta sepencarian’ si isteri ditolak terlebih dahulu dan bakinya baharulah dibahagikan mengikut faraid.?

Saya berhujah bahawa, mah­kamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat perintah dalam keadaan yang tersebut di atas kerana, di Wilayah Persekutuan:

n Pertama, seksyen 58 AUKI (WP) 1984 hanya membolehkan mahkamah membuat perintah pembahagian harta sepencarian dalam dua keadaan yang disebut itu. Seksyen 46(2)(b)(iv) APAI (WP) 1993 tidak boleh digunakan untuk meluaskan bidang kuasa mahkamah membuat perintah pembahagian harta sepencarian dalam keadaan selain daripada yang diperuntukkan oleh Seksyen 58.

Jika mahkamah berbuat demikian, bererti mahkamah telah menceroboh bidang kuasa dan mengambil alih tugas Parlimen. Hanya Parlimen yang berkuasa memberi bidang kuasa kepada mahkamah, tertakluk kepada apa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Arahan Amalan dan Fatwa juga tidak boleh meluaskan atau menambah bidang kuasa mahkamah.

n Kedua, apabila tidak ada perceraian dan si suami telah meninggal dunia, kesemua peninggalannya telah menjadi pusaka dan hendaklah dibahagikan mengikut faraid.

Daripada rencana dan penghakim­an Mahkamah Syariah yang saya temui dan baca, nampaknya, harta sepencarian telah dite­rima sebagai hukum syarak atas dua alasan:

1. Walaupun asalnya adat Mela­yu, amalannya tidak bercanggah dengan syarak.

2. Untuk berlaku lebih adil kepada si isteri.

Kedua-dua alasan itu betul jika pembahagian harta sepencari­an terhad kepada perceraian sahaja. Masalahnya apabila tidak ada perceraian dan si suami telah meninggal dunia dan peninggalannya telah menjadi pusaka. Dalam keadaan itu, bolehkah kita menggunakan urf (adat) untuk mengatasi nas-nas yang jelas mengenai pembahagian pusaka? Bolehkah adat mengatasi syarak?

Mengenai alasan kedua, iaitu untuk berlaku lebih adil kepada si isteri. Soalan saya, jika ini sebahagian daripada pusaka, adakah kita menga­takan bahawa pembahagian pusaka mengikut syarak itu tidak adil?

Pada pandangan saya, Mah­kamah Syariah perlulah berfikir semula dan membetulkan ‘kesilapan undang-undang’ (error of law) ini kerana implikasinya sangat besar baik dari segi nilai jumlah harta yang terlibat dan akan terus terlibat, hukum mahupun ketidakadilannya kepada waris-waris. Jika tidak, Parlimen atau Badan Perundangan Negeri, yang mana berkenaan, patutlah meminda undang-undang untuk membetulkan keadaan itu.

- Tun Abdul Hamid Mohamad Utusan Malaysia Rencana 18 Mac 2016 6:05 PM