March 21st, 2016

Penulis hadis pada zaman tabi'in

GOLONGAN tabi'in (successors) ialah generasi selepas sahabat Nabi Muhammad SAW. Mereka adalah anak murid kepada sahabat. Pada zaman tabi'in, Islam semakin berkembang dan umat Islam semakin bertambah. Usaha menjaga kesucian dan ketulenan hadis semakin dipertingkatkan. Fokusnya ialah untuk membezakan di antara hadis sahih dan hadis palsu yang telah mula dicipta pada waktu itu.

Oleh sebab itu, kegiatan penulisan hadis pada zaman tabi'in semakin diberi perhatian. Namun begitu, terdapat juga beberapa tabi'in yang masih tidak menulis. Sebabnya adalah sama seperti yang berlaku pada zaman sahabat (boleh rujuk artikel saya sebelum ini bertajuk Sejarah Penulisan Hadis Pada Zaman Sahabat).

Antara yang dilakukan oleh golongan tabi'in dalam usaha mengembangkan penulisan hadis ialah:

Sangat berpegang kepada hadis, menghafaz, menulis dan memastikan kesahihan riwayatnya. Contohnya seperti yang diriwayatkan daripada Imam 'Amir Al-Sya'bi, dia berkata: "Jika engkau mendengar sesuatu hadis, maka tulislah ia, walau pun di atas dinding, kerana ia lebih baik bagi kamu... kerana kamu akan memerlukannya suatu hari nanti."

Menulis hadis di dalam catatan khas (suhuf): Penulisan hadis pada zaman tabii'n ini semakin berkembang berbanding pada zaman sahabat. Salah satu faktornya kerana majlis-majlis pembelajaran ilmu semakin banyak. Penulisan adalah kaedah asas yang digunakan dalam pembelajaran ketika itu.

Oleh itu, terdapat banyak suhuf yang ditulis oleh tabii'n, antaranya ialah: Sahifah Said bin Jubair (murid kepada Ibn Abbas), Sahifah Bashir bin Nuhaik (ditulis berdasarkan riwayat yang diterima daripada Abu Hurairah dan selainnya), Sahifah Ayub bin Abi Tamimah Al-Sakhtiyani dan banyak lagi.

Usaha dan sumbangan besar yang dilakukan pemerintah ketika itu iaitu Umar bin Abd Al-Aziz. Beliau memerintahkan ulama dalam kalangan tabii'n supaya menulis hadis dan dihantar beberapa salinan kepada negeri-negeri Islam yang lain.

Ibn Shihab al-Zuhri berkata: "Aku diperintahkan Umar bin Abd Al-Aziz supaya menghimpunkan Al-sunan (hadis-hadis). Maka, aku menulis di dalam buku-buku catatan. Kemudian, dihantar satu catatan kepada negeri-negeri yang diperintah oleh sultan..."

Al-Bukhari pula meriwayatkan daripada Abdullah bin Dinar, katanya: "Umar bin Abd Al-Aziz menulis surat kepada Abu Bakar bin Hazm, katanya: "Perhatikan daripada hadis-hadis Rasulullah SAW, maka tulislah ia. Sesungguhnya aku takut akan hilangnya ilmu dan perginya ulama (mati). Jangan kamu terima kecuali hadis-hadis Rasulullah sahaja...." (Lihat: Al-Zahrani, Muhammad bin Matar. (1996), Tadwin Al-Sunnah Al-Nabawiyah, Riyadh: Dar Al-Hijrah)

Oleh itu, kita dapat lihat usaha penulisan hadis secara rasmi bermula pada zaman tabii'n. Orang pertama yang dianggap memulakannya ialah Ibn Shihab Al-Zuhri, atas arahan khalifah ketika itu iaitu Umar bin Abd Al-Aziz. Tetapi, penulisan hadis atau Tadwin Al-hadis secara tidak rasmi telah bermula sejak zaman Rasulullah SAW lagi.

Usaha yang telah dirintis oleh Umar bin Abd Al-Aziz ini diteruskan selepas itu sehinggalah pada zaman khalifah Abu Ja'far Al-Mansur (daripada khalifah Abbasiyah yang memerintah dari tahun 136 hingga 158H). Abu Ja'far telah mengarahkan Imam Malik bin Anas supaya menyusun sebuah kitab mengenai hukum hakam fiqh yang berlandaskan hadis-hadis Nabi SAW. Hasil usaha Imam Malik, maka terhasillah sebuah kitab yang diberi nama 'Al-Muwatta'.

Di antara ulama yang terkenal dengan kegiatan penulisan hadis pada era tabi'in ialah Sufiyan bin Said Al-Thauri, Imam Malik bin Anas, Abdullah bin Al-Mubarak, Sufiyan bin Al-'Uyainah, Waki' bin Al-Jarrah dan ramai lagi.

Hadis pada zaman tabi' tabi'in dan selepasnya usaha penulisan hadis pada zaman tabi' tabi'in (successor of the successor) semakin aktif dan berkembang dengan baik. Ulama dalam kalangan tabi' tabi'in memberikan perhatian penuh kepada usaha pemeliharaan hadis dan juga ulum al-hadis (sciences of hadis).

Aktiviti penulisan hadis pada zaman ini berkembang kerana:

• Telah mulanya kegiatan tasnif al-hadis iaitu penulisan hadis dengan lebih tersusun dan diletakkan bab-bab. Ini berbeza dengan tadwin al-hadis iaitu hanya menghimpun dan menulis hadis di dalam satu catatan.

• Kaedah penulisan pada zaman ini ialah dengan menghimpunkan hadis-hadis yang berkaitan dalam satu bab, kemudian bab-bab yang berkaitan pula akan diletakkan di dalam satu buku atau dikenali dengan musannaf.

• Penulisan pada zaman ini menghimpunkan sekali fatwa-fatwa dalam kalangan sahabat dan tabi'in, bersama dengan hadis-hadis Rasulullah SAW.

Kurun ketiga pula dianggap kurun kegemilangan bagi  ilmu-ilmu Islam. Aktiviti ilmu semakin bertambah rancak. Ulama mula bermusafir jauh untuk mencari hadis-hadis. Kegiatan penulisan hadis juga mengalami perkembangan yang begitu pesat. Buktinya, pada kurun inilah terhasilnya kitab-kitab yang dikenali sebagai Al-Masanid dan Kutub Al-Sittah.

Tokoh-tokoh ulama hadis yang hebat-hebat juga muncul pada kurun ini. Mereka seperti Imam Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahawaih, 'Ali bin Al-Madini, Yahya bin Mai'n, Imam Al-Bukhari, Imam Muslim dan ramai lagi

Ulama yang menulis hadis pada kurun ini telah mula mengambil berat kepada darjat-darjat hadis sama ada sahih atau daif. Ada juga yang mengasingkan antara hadis-hadis Rasulullah SAW dan fatwa sahabat dan tabi'in.