March 23rd, 2016

Langkah tepat 
perkasa sekolah tahfiz, Memperkasakan lulusan aliran agama

Memperkasakan lulusan aliran agama

PENGAJIAN dalam pendidikan agama Islam sudah lama bertapak kukuh di negara ini. Malah, sejak era pramerdeka lagi, sistem pengajian berteraskan ilmu agama mempunyai kedudukan istimewa dan terlalu dekat di hati setiap masyarakat Islam.

Bukan sahaja di negara kita, pendidikan agama Islam mendapat tempat yang tinggi, boleh dikatakan di seluruh rantau Nusantara ini. Ia seperti satu trend pendidikan yang sentiasa dipergiatkan.


KITA usah lupa bahawa pengajian berasaskan sistem pendidikan agama Islam menerusi sekolah pondok dan madrasah tetap kekal relevan pada zaman moden ini. GAMBAR HIASAN

Maka, lahirlah sekolah pondok dan madrasah yang berselerak di seluruh bumi bertuah ini yang mempamerkan betapa ‘dahaganya’ masyarakat Islam terhadap ilmu agama mereka. Walaupun ketika negara terbelenggu dalam era penjajahan, kedudukan pengajian agama Islam menerusi pendidikan sistem pondok dan madrasah masih dapat terus berdiri kukuh hingga kini. Kita juga sedia menyedari bahawa lulusan pengajian agama Islam yang dihasilkan oleh sistem pendidikan sekolah pondok dan madrasah turut memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat yang bukan terhad sekadar menjadi Tok Imam dan Tok Bilal di surau dan masjid.

Ini kerana lulusan yang berstatus tahfiz itu juga menjadi pemangkin dan penggerak utama membangkitkan gerakan nasionalisme dan mencetuskan semangat patriotisme. Pasti kita tidak boleh mengetepikan peranan ulama lulusan sekolah pondok terdahulu seperti Tok Ku Paloh di Terengganu misalnya dalam menyebarluaskan kefahaman Islam sebenar kepada seluruh masyarakat Islam.

Bukan beliau sahaja, malahan terdapat ratusan lagi ‘graduan’ lulusan pengajian sistem sekolah pondok dan madrasah yang sama-sama turun padang menggiatkan usaha menentang penjajah demi kedaulatan negara tercinta ini. Ini hakikat yang pastinya kita tidak boleh sesekali dinafikan.

Kini, selepas lebih 58 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, apakah masih ada keistimewaan di mata masyarakat tentang kedudukan pengajian sekolah pondok dan madrasah itu? Apakah lulusan sistem pengajian tradisional itu masih berupaya menampilkan diri di tengah-tengah masyarakat untuk turut sama memainkan peranan sebagai antara penggiat aktif untuk kepentingan masyarakat dan negara?

Kita juga tertanya-tanya, apakah sistem pengajian berasaskan sekolah pondok dan madrasah ini akan tetap relevan dan penting buat masyarakat dan negara pada zaman digital ini? Tentu sekali kita akan membandingkan keberkesanan dan peri pentingnya dengan sistem pendidikan arus perdana lain.

Dalam zaman yang menyaksikan begitu ramai golongan ibu bapa yang mengimpikan anak-anak mereka menyambung pelajaran di menara gading dalam pelbagai bidang ilmu berasakan ilmu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, kita usahlah lupa bahawa pengajian berasaskan sistem pendidikan agama Islam menerusi sekolah pondok dan madrasah tetap kekal relevan dan mustahak.

Sesungguhnya, kita sebagai masyarakat yang cintakan agama, perlu mengikis sikap prejudis atau tanggapan bahawa lulusan pengajian agama baik di sekolah arus perdana mahupun yang dihasilkan menerusi sistem pengajian sekolah pondok dan madrasah hanya mampu menjadikan seorang ustaz dan ustazah sahaja. Sikap sebegini tidak lagi sesuai dengan keadaan pendidikan agama Islam masa kini yang menyaksikan betapa sistem pendidikan agama Islam tidak pernah sesekali diabaikan oleh pihak pemerintah.

Baik ia terangkum dalam sistem pendidikan arus perdana mahupun dalam sistem pengajian sekolah pondok dan madrasah, pihak kerajaan tidak bersikap lepas tangan, sebaliknya pihak berwajib menerusi pelbagai agensinya telah dan sedang giat mengusahakan pendekatan mencongak dan mengorak langkah dalam memperkasakan martabat sistem pengajian agama Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki baru-baru ini berkata bahawa dalam konteks pembinaan negara bangsa Malaysia yang berpandukan Islam sebagai agama rasmi, agenda Islamisasi perlu mencakupi segenap aspek kehidupan.

Sehubungan itu, katanya, para lulusan agama Islam bukan sahaja berpotensi untuk menjadi seorang ustaz atau ustazah sahaja, sebaliknya turut dididik untuk menjadi golongan profesional dalam pelbagai bidang lain.

Beliau turut memberi contoh usaha kerajaan dalam memperkasakan lulusan agama yang kerajaan mewujudkan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kerana tidak mahu produk aliran agama menjurus kepada satu bidang sahaja. Kerajaan mahu lulusan ini mempunyai kebolehpasaran dalam pelbagai bidang.

“Hasrat kerajaan mahu lulusan aliran agama menjadi pakar dalam bidang perubatan, kejuruteraan, ekonomi, perbankan atau perundangan, namun dalam masa sama golongan ini mempunyai jiwa tasawur pemikiran Islam,’’ kata beliau lagi.

Kita percaya berkat kesungguhan semua pihak baik pemerintah menerusi pelbagai agensi dan jabatan berkaitan yang turut mendapat sokongan oleh seluruh anggota masyarakat, maka tidak mustahil negara ini bakal melahirkan golongan cerdik pandai Islam yang bukan sahaja memiliki ilmu agama yang tinggi malah dalam masa sama mereka turut hebat dan unggul dalam ilmu-ilmu lain yang diperlukan oleh negara dan masyarakat.

Kita sangat berkeyakinan penuh bahawa lulusan aliran agama baik menerusi sistem pengajian sekolah, madrasah mahupun yang disalurkan melalui sekolah aliran perdana seperti Sekolah Imtiaz hinggalah ke peringkat pengajian tinggi, bakal mengembalikan sejarah kegemilangan umat Islam dalam pelbagai bidang baik dalam ilmu agama mahupun dalam bidang ilmu-ilmu lain, insya-Allah.



Langkah tepat 
perkasa sekolah tahfiz

SAYA cukup teruja dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin bahawa kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang merangka Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) bagi memastikan institusi pendidikan tahfiz al-Quran di negara ini terus diperkasakan.

Langkah berkenaan memang amat kena pada masanya kerana masih ada pihak yang mempunyai persepsi negatif terhadap pelajar tahfiz apabila mereka dikatakan hanya tahu menghafal al-Quran tetapi tidak faham makna ayat-ayat tersebut.

Dalam erti kata lain, pelajar tahfiz sebenarnya ‘buta huruf’ kerana tidak belajar dan memahami bahasa Arab. Walaupun menghafal adalah salah satu kaedah yang digunakan dalam pendidikan tetapi langkah itu menyebabkan pelajar tidak mampu berfikir secara logik dan kritikal.

Oleh itu, apabila seseorang pelajar tahfiz berhadapan dengan masalah baharu dalam kehidupan, mereka yang hanya mahir dalam aspek hafalan tidak mampu menyelesaikan masalah tersebut.

Saya berharap pihak pengurusan madrasah tahfiz yang ada di negara ini menggunakan ruang yang diberikan kerajaan untuk memberikan pandangan dan cadangan kepada pembangunan dasar itu supaya menjadi benar-benar berkesan.

Antaranya adalah bagaimana untuk menaik taraf sekolah tahfiz milik persendirian. Pada masa sekarang sesiapa sahaja yang mendakwa sebagai ustaz dan memiliki ijazah daripada pelbagai universiti di Asia Barat boleh membuka sekolah berkenaan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa.

Satu persoalan yang bermain dalam fikiran saya adalah apakah jaminan guru yang mengajar di sekolah tahfiz persendirian berkenaan telah diberikan pendidikan tentang teknik mengajar atau pedagogi yang betul bagi memastikan pelajar benar-benar mendapat manfaat?

Ini kerana kita mengharapkan guru terbabit bukan sahaja mengajar hafalan al-Quran malah mendedahkan pelajar mereka kepada mata pelajaran akademik dan ilmu-ilmu Islam yang lain.

Saya khuatir sekiranya guru di sekolah tahfiz tiada pendedahan tentang kemahiran mengajar yang kontemporari maka mereka akan gagal untuk membentuk generasi yang mampu menghadapi kecanggihan teknologi pada zaman moden ini.

Satu lagi, sekolah tahfiz juga tidak terlepas daripada isu salah laku guru terhadap pelajar mereka. Ada kes yang pernah disiarkan dalam media massa mengenai seorang ustaz yang memukul muridnya di sebuah sekolah tahfiz di Pahang hingga berada dalam keadaan kritikal.

Seorang ustaz memang boleh menghukum anak muridnya untuk memberi pengajaran tetapi bukannya menjadikan kaedah itu sebagai tiket untuk menghukum sesuka hati sampai tahap cedera parah.

Isu lain yang masih membelenggu sekolah tahfiz persendirian ialah ada sesetengah pentadbir yang mempergunakan pelajar bagi tujuan mengutip derma di tempat awam atas alasan bagi membiayai operasi institusi berkenaan.

Benarkah wang berkenaan digunakan untuk faedah sekolah tahfiz tersebut? Kenapakah pelajar diarahkan untuk mengutip derma di stesen minyak, restoran dan pasar malam sedangkan masa mereka sepatutnya berada di dalam bilik darjah?

Ada pihak yang mendakwa kegiatan itu tidak dilakukan oleh sekolah tahfiz, sebaliknya didalangi pihak lain yang menggunakan nama sekolah itu.

Sehubungan itu, perlu ada satu mekanisme pemantauan berpusat khususnya di peringkat Jakim sendiri bagi membolehkan orang ramai membuat aduan dan mendapat pengesahan adakah pengutip derma terbabit benar-benar dari sekolah tahfiz berkenaan?

Jika perkara itu memang berlaku, kerajaan perlu segera menyalurkan peruntukan kewangan bagi membantu sekolah tahfiz terbabit yang sudah tentu berada dalam keadaan ‘nazak’ sehingga terpaksa mengarah pelajar mereka mengutip derma. Haji Danial Utusan Malaysia Rencana Agama Alor Setar, Kedah 22 Mac 2016 6:02 PM