March 24th, 2016

Rozali bangkit 
bina hidup baharu

“DAHULU saya mudah naik angin dan tak takut untuk pukul orang. Saya tahu, ia berpunca daripada amalan hidup yang jauh daripada Allah SWT. Saya dipenjarakan beberapa kali. Kini, saya ingin bina hidup baharu. Biarlah kisah lama itu menjadi pengajaran paling bermakna dalam hidup saya,” kongsi Mad Rozali Sungip @ Wan Jali, 47.

Tahun 1999 Rozali dibebaskan dan sejak daripada itu dia meneruskan kehidupannya bersama isteri, Nor Liza binti Sajuki, 43, dan empat orang anak yang berusia antara 11 hingga 20 tahun.


Bersyukur diberikan peluang kedua


SELAIN terpaksa menghadapi serangan serangga, Mad Rozali Sungip turut terpaksa mengawal kebunnya daripada 'serangan' pencuri yang suka 'mengangkut' hasil tanamannya.

“Kami pernah hidup susah, menumpang di rumah emak berbelas tahun lamanya. Maklumlah, saya bukanlah bergaji tinggi, hidup di kampung dengan pendapatan ala kadar. Sejak dari zaman muda hingga kini, saya membuat bendang. Kemudian saya belajar bertatih membuka ladang tembikai susu. Syukurlah, kehidupan kami beransur-ansur membaik,” ujarnya yang kini menetap di Kampung Sungai Nipah, Sungai Besar, Selangor.

Rozali kini mengusahakan tanaman tembikai susu yang lazimnya diceburi oleh orang Cina dan agak jarang diusahakan oleh petani Melayu. Menceritakan lebih lanjut, dia berkata, semuanya berpunca apabila abangnya mengajak untuk mengusahakan tanah pusaka emak mereka.

Dia tidaklah mengikuti kursus pertanian sepenuh masa, sebaliknya hanya belajar daripada pengalaman. Namun apa yang menariknya tembikai susu dari kebunnya manis agak luar biasa. Tidak seperti tembikai susu yang dikeluarkan dari kawasan lain. Ramai yang mencubanya berasa hairan, malah bertanya apa rahsianya?

“Saya tiada rahsia, cuma saya yakin faktor kesuburan tanah. Mungkin tanah kami sangat sesuai, sebab penggunaan baja rasanya sama juga dengan kebun orang lain. Namun bila matang, buah tembikai susu kami memang manisnya sangat terasa. Dalam kalangan penduduk di sini, khususnya orang-orang Cina, mereka tahu sangat kualiti tembikai susu kami,” ceritanya lanjut.



MAD ROZALI SUNGIP bersyukur dengan hasil tembikai susu 'manis' dari kebunnya di Kampung Sungai Nipah, Sungai Besar, Selangor.

Dalam asyik berbual, isteri Rozali menatang dulang berisi jus tembikai susu yang kelihatannya segar sekali. Dia juga menghidangkan satu bekas besar penuh dengan potongan buah tembikai susu yang meranum. Sejuk rasanya kerana baharu dibawa keluar dari peti ais. Apabila penulis mencicip sepotong, terus tangan ini mengambil lagi potongan berikutnya. Sukar berhenti, kerana manisnya luar biasa.

Rozali dan abangnya mengusahakan tanaman berkenaan di kawasan seluas 1.2 hektar secara separuh-separuh. Dia sebenarnya bukan sekadar petani tetapi turut merangkap sebagai penceramah motivasi secara sambilan.

Kerajaan memanfaatkan pengalamannya untuk mengelilingi negara bagi menyampaikan ceramah motivasi kepada banduan kerana dianggap antara bekas banduan penghuni yang berjaya. Malah, kerajaan negeri memintanya menjadi jurulatih pertanian kepada yang baharu berjinak-jinak dalam bidang ini.

Namun begitu, bagi Rozali mengusahakan projek tembikai susu bukanlah mata pencariannya sepenuh masa. Dia memulakan penanaman dari November dan dituai pada Januari berikutnya. Ertinya, dia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada hasil tembikai susu.

“Jika saya menanam di luar musim, tidak jadi. Modal juga agak besar, iaitu bagi setengah ekar memerlukan kira-kira RM1,500,” ujarnya.

CABARAN DAN DUGAAN

Rozali juga bercerita dia pernah meminjam wang emaknya kerana tidak cukup modal untuk memulakan projek pertanian.

“Mujurlah emak ada dan dia telah meminjam RM2,000 sebagai permulaan kepada saya. Kini modal turut dibantu oleh pihak Jabatan Pertanian yang sesekali datang melawat. Mereka turut memberi saya pam air, plastik penutup batas, bantuan benih dan modal tunai RM5,000 untuk lima tahun sekali,” ceritanya.

Walau bagaimanapun, tidak semuanya manis, kerana mengusahakan tanah memang banyak halangannya. Rozali dan abangnya sendiri tidak terlepas daripada ujian.

“Hasil pertanian kami pernah dicuri orang. Sebab itu kami kena berjaga di sini 24 jam. Jika tidak, di tengah malam orang datang bawa lori angkut buah-buah ini. Jerebu juga ‘musuh’ pertanian. Musim jerebu kami rugi, buah tidak menjadi.

“Saya mulai dibantu Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak tahun 2006. Itu pun setelah ada asnaf lain yang mencadangkan agar saya memohon bantuan zakat. Waktu itu, kehidupan kami sekeluarga memang sempit. Anak-anak mahu bersekolah, wang tidak cukup. Menjelang musim raya, lagilah terasa. Dari situlah saya mendatangi LZS dan terus dibantu hingga kini,” katanya.

Realitinya LZS bukan sekadar memenuhi keperluan pendidikan anak-anak dan persiapan menyambut hari raya, kerana LZS memberikan sesuatu yang lebih bermakna buat Rozali dan isterinya.

“Tahun 2009, kami diberikan sebuah rumah oleh LZS. Bagi kami, ia amat bermakna, kerana sejak mendirikan rumah tangga, kami menumpang di rumah emak dan tidak bebas berbuat mengikut sekehendak hati. Mempunyai rumah sendiri, pastilah berbeza. Ia sangat besar dan bermakna sekali bagi kami,” katanya.

Di samping itu, seiring ketekunan Rozali mengusahakan projek pertanian, LZS melihat dia perlu digembleng agar dapat terus keluar dari lingkaran kemiskinan. Lalu, bantuan modal yang lebih bermakna disalurkan.

“Saya amat bersyukur. Van berharga RM27,000 diberikan, dengan modal tunai berjumlah RM3,000. Sebelum ini, saya terpaksa memanfaatkan kereta wagon buruk yang bagaikan mahu roboh ketika mengangkut buah,” ujar Rozali.

Bagi Rozali, dia belajar daripada pengalaman. Sehabis musim menuai buah tembikai susu, dia beralih kepada projek lain. Dia akan menanam labu untuk memastikan tanahnya dimanfaatkan semaksimum mungkin. Selain itu, dia juga masih mengusahakan bendang yang terus menjadi darah dagingnya.

“Sejak kami dibantu oleh LZS dan agensi kerajaan lain, banyak perubahan positif telah berlaku. Saya tidaklah menjadi kaya, namun kesenangan telah terasa. Contohnya, yuran persekolahan anak-anak tidak lagi tertunggak seperti dahulu. Malah kami tidak lagi terlalu bergantung harap kepada orang, kami sudah mampu berdiri di atas kaki sendiri.

“Ucapan terima kasih buat semua yang pernah membantu. Saya doakan semoga Allah SWT memberikan kebaikan kepada semua, dunia dan akhirat,” kata Rozali.

Nota: Rozali boleh dihubungi di talian 
019-398 4448.

-