March 25th, 2016

Khutbah Jumaat : “Roh Yang Tergantung

Petikan Khutbah Jumaat 25 Mac 2016: JAIS

 “Roh Yang Tergantung"

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda; نفْس الْمؤمنِ معلَّقَةٌ بِدينِه حتى يقْضي عنه “Jiwa orang mukmin akan tergantung dengan hutangnya sehinggalah dia menjelaskan hutangnya”. (Riwayat at-Tirmizi)

Islam mengharuskan seseorang itu berhutang untuk memenuhi keperluan hidup khususnya dalam perkara-perkara dharuriyyat (tersangat penting). Umat Islam pula dituntut mengamalkan sikap tolong menolong antara satu sama lain termasuk memberikan bantuan sama ada melalui sedekah ataupun pinjaman bagi meringankan bebanan dan memenuhi keperluan yang ditanggung.

Terdapat dua keadaan seseorang yang ingin berhutang;

Pertama; seseorang yang terpaksa berhutang demi memenuhi keperluan kehidupan seperti mendapatkan makanan, tempat tinggal, pakaian, pelajaran dan seumpamanya.

Kedua; seseorang yang sengaja berhutang demi memenuhi tuntutan nafsu semata-mata seperti hiburan dan perhiasan, tambahan pula peluang pinjaman mudah diperolehi.

Pada 4 Mac 2016 sebuah akhbar tempatan melaporkan hasil daripada Kajian Indeks Sentimen Pelabur Manulife (MISI), mendapati 68 peratus daripada rakyat Malaysia dibebani dengan hutang. Ini merupakan rekod tertinggi dalam kalangan lapan Negara di Asia iaitu Filipina 41%, Singapura 33%, China dan Taiwan 32%, Hong Kong 22%, Indonesia 21% dan Jepun 15%.

Statistik sejak tahun 2010 hingga April 2015 menunjukkan daripada 107,000 individu yang telah diisytihar muflis, 23,484 daripadanya adalah golongan belia yang berumur antara 25 hingga 34 tahun. Seramai 1,469 belia di bawah umur 25 tahun turut muflis manakala individu yang berumur antara 35 hingga 44 tahun pula merupakan golongan tertinggi yang diisytiharkan muflis iaitu sebanyak 37,888 orang daripada jumlah keseluruhan.

Islam menganjurkan antara perkara-perkara yang wajib disegerakan di atas dunia ialah membayar segala hutang piutang selain daripada menyegerakan pengkebumian jenazah dan mengahwinkan anak perempuan apabila telah dipinang orang.

Seseorang yang tidak melunaskan hutang setelah berkemampuan, akan mendatangkan kesan yang buruk bukan sahaja didunia bahkan di akhirat kelak. Antaranya :-

1) Bertemu Allah SWT sebagai seorang pencuri. Hadis daripada Suhaib al-Khair RA bahawa Rasulullah SAW bersabda; أَيما رجلٍ يدين دينا وهو مجمع أَنْ لاَ يوفِّيه إِياه لَقي اللَّه سارِقًا “Sesiapa yang berhutang lalu berniat tidak mahu membayarnya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari kiamat) sebagai pencuri.” (Riwayat Ibnu Majah).

2) Perbuatan melewatkan bayaran hutang sebagai seorang yang zalim. Hadis daripada Abi Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda; مطْلُ الْغنِي ظُلْم “Penangguhan hutang oleh orang yang berkuasa (mampu) membayarnya adalah satu kezaliman.” (Riwayat Ibn Majah).

3) Mereka adalah berdosa besar. Hadis daripada Abu Musa alAsy’ari RA bahawa Rasulullah SAW bersabda; إِنَّ أَعظَم الذُّنوبِ عند االلهِ أن يلْقَاه بِها عبد – بعد الْكَبائرِ الَّتي نهى االلهُ عنها أَن يموت رجلٌ وعلَيه دين لاَ يدع لَه الْقَضاءَ. “Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba itu berjumpa dengan Allah nanti, selepas dosa besar lain yang ditegah ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah di hari Hisab dengan mempunyai hutang yang belum dijelaskan lagi.” (Riwayat Abu Daud)

4) Tidak diampunkan dosa walaupun mati syahid. Hadis daripada Abdullah Bin Amr’ RA bahawa Rasulullah SAW bersabda; يغفَر للشّهِيد كُلُّ ذَنبٍ إِلاَّ الدين “Semua dosa-dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutang” (Riwayat Muslim).

5) Rasulullah SAW sendiri tidak menyembahyangkan jenazah orang yang masih mempunyai hutang.

Hadis daripada Abu Hurairah RA menceritakan bahawa bila didatangkan kepada Rasulullah SAW satu jenazah, Rasulullah SAW tidak akan bertanya tentang amalan si mati, tetapi bertanya apakah si mati mempunyai hutang atau tidak. Jika si mati mempunyai hutang, baginda menyuruh sahabatnya menyembahyangkan jenazah tersebut atau baginda meminta sesiapa yang sanggup menanggung hutang si mati. Jika tiada, maka hutang tersebut akan diserah atau ditanggung oleh pihak Baitulmal. (Riwayat Muslim).

6) Kehidupan mereka dan ahli keluarga, sentiasa dalam ketakutan kerana diancam bunuh malah boleh membawa kepada membunuh diri.

Betapa beratnya tanggungan dan akibat orang yang tidak membayar hutang, maka marilah kita menginsafi bahawa;

1. Umat Islam hendaklah menjadi contoh apabila berhutang maka hendaklah melunaskan pembayarannya.

2. Setiap orang diharuskan berhutang (khususnya pada perkaraperkara dharuriyyat), tetapi hendaklah diingat jangan jadikan hutang sebagai budaya hidup sehingga membebankan diri kita sendiri.

3. Islam mewajibkan orang yang berhutang untuk membayar semula hutang mengikut tempoh perjanjian yang ditetapkan.

4. Islam mensyariatkan bahawa perjanjian hutang piutang hendaklah ditulis dengan adil dan disaksikan oleh dua orang lain supaya tidak berlaku penipuan atau mungkir janji.

5. Islam menghendaki supaya orang yang berhutang berniat untuk melunaskan hutangnya sebelum dia meninggal dunia, supaya Allah memudahkan urusannya untuk melunaskan hutang.

6. Rasulullah SAW mengajar kita supaya sentiasa berdoa kepada Allah agar dijauh dan dibebaskan dari belenggu hutang dengan doanya yang masyhur:

َللُّهم إِني أَعوذُبِك من غَلَبة الدينِ وقَهرِ الرجالِ. “Ya Allah, sesungguhnya aku mohon perlindungan-Mu dari bebanan hutang dan paksaan dari orang yang memaksa”.

“Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan”. (Surah al-Hasyr: 18).

Wallahualam.

Cara menjaga orang sakit

APAKAH yang anda perlu untuk jadi penjaga? Lumrah kehidupan, setiap  orang ada kemungkinan menjadi penjaga sama ada kepada  anak yang sakit ataupun ibu bapa yang sudah tua. Ada menjadi penjaga bagi masa singkat dan jangka masa yang lama.

Di Asia khususnya, moral kasih sayang adalah penting di mana anak perempuan dan anak lelaki harus mengambil peranan menjaga ibu bapa, sama ada bersedia atau tidak.

Sudah pasti cara anda menjaga orang yang anda sayang lebih senang berbanding mereka yang diupah untuk menjadi penjaga. Ini kerana nilai kasih sayang dan tanggungjawab yang tertanam dalam diri anda dan mereka berbeza.

CIRI-CIRI PENJAGA YANG BAIK

Andai anda tidak mampu menjaga ibu bapa atau anak yang terlantar sakit atas komitmen kerja untuk menampung kewangan keluarga, anda mungkin akan mengupah penjaga. Dalam hal ini anda dan penjaga tersebut perlu ada ilmu dan kemahiran. Jadi apakah ciri-ciri, kualiti yang perlu ada sebagai penjaga?

Menurut Ketua Latihan dan Penilaian Kualiti Aged Care Group, Norashikin Cheong Abdullah, semua orang adalah penjaga dalam rantaian nilai penjagaan. Setiap sumbangan ada nilai tertentu misalnya sesiapa yang menyumbang dalam bentuk kewangan adalah penjaga kewangan. Jika ahli keluarga boleh menemani ahli keluarganya yang terlantar, dia juga seorang penjaga dengan cara yang dia mampu.

Antara ciri yang perlu ada bagi seorang penjaga ialah:

1  Memberi perhatian terperinci kepada perkara tertentu misalnya mempunyai rutin dan arahan khusus yang terperinci, penjaga mestilah mematuhi.

2  Kemahiran interpersonal. Menjaga warga tua perlu lebih berhati-hati kerana mereka mungkin sensitif kepada apa yang anda katakan atau bagaimana anda melayani mereka. Ada penerima rawatan mungkin sedang mengalami kesakitan, lemah dan perlu dikendalikan dengan prihatin. Jadi, penjaga perlu ada simpati dan empati.

3  Membina hubungan baik dengan penerima rawatan agar mendapat kepercayaan daripada penerimanya.

4  Lihat dan memiliki stamina. Penjaga mungkin perlu mengangkat penerima rawatan ke dalam tab mandi atau mengalih dari katil ke kerusi roda dan lain-lain. Untuk melaksanakan penjagaan ini, penjaga mesti kuat fizikal dan kental emosi.

5  Mempunyai cara pengurusan masa yang baik. Seorang penjaga perlu cekap menguruskan tugas individu yang mereka jaga misalnya temu janji dengan doktor, waktu mengambil ubat-ubatan mesti mengikut jadual.

Menurut Norashikin lagi, memang ada sedikit persamaan antara tugas penjaga dan jururawat. Bagaimanapun, jururawat terlatih mampu memberi tahap penjagaan yang lebih baik. Bagi penjaga pula, mereka diajar membantu penerima rawatan untuk mandi, dandanan, kebersihan diri dan memberi makan. Mereka juga akan diajar bagaimana untuk menggerakkan penerima rawatan itu. Jika tidak kena caranya kedua-dua orang akan jatuh dan penjaga akan mencederakan ototnya.

Cabaran penjaga biasa hadapi:

Keletihan– Jika tiada orang lain yang boleh tolong, penjaga mengalami kelesuan akibat daripada penjagaan berterusan. Banyak penjaga yang menghadapi masalah ini tidak minta bantuan kerana mereka tidak sedar mereka letih dari segi fizikal dan emosi.

Rasa bersalah– Ada penjaga berasa bersalah jika dia meminta orang lain menjaga insan dia sayang kerana mereka berasa tidak melakukan penjagaan yang baik. Bagaimanapun penjaga sedar perasaan dan keperluan mereka diri sendiri dulu, bukan sesuatu aksi yang hanya mementingkan diri sendiri.

Rasa kehilangan dan kesedihan– Penjaga yang menjaga ahli keluarganya yang mempunyai dementia, Alzheimer atau sebarang penyakit lain yang berada dalam peringkat akhir hidup mereka sedih. Mereka mungkin mula bersedih atas kematian mereka yang dikasihi walaupun mereka masih hidup kerana mereka bukan lagi orang yang sama sepertimana ketika mereka sihat.

Emosi– Penjagaan warga tua, sama ada ahli keluarga anda atau tidak, boleh jadi susah kerana adakala penerima rawatan tidak boleh uruskan diri dan sensitif.

Tekanan, kebimbangan dan kemurungan– Ini akibat daripada keletihan, kemarahan, rasa bersalah dan bebanan kewangan serta tidak ada pihak lain yang mahu bergilir menjaga.

Penjagaan diri sendiri– Penjaga mesti meminta bantuan orang lain apabila mereka berasa terlalu terbeban. Mereka harus sedar had fizikal, emosi dan psikologi mereka sendiri. Tidur yang cukup, senaman dan diet pemakanan adalah penting untuk mengekalkan kesejahteraan mereka.

“Mungkin ada individu di luar sana berminat menjadi penjaga, tetapi mereka perlu mempunyai ilmu mencukupi. Penjaga yang menjalani program latihan vokasional di bawah Kementerian Sumber Manusia boleh meningkatkan diri dari aras 1 ke peringkat Diploma Lanjutan bagi latihan kemahiran pekerja. Mereka yang mempunyai syarat kelayakan minimum untuk Diploma kejururawatan boleh melanjutkan kursus kejururawatan untuk menjadi jururawat,” katanya.

Bagi membantu meningkatkan pengetahuan perihal penjagaan ini, PROGRAM SAYANG & PRIHATIN akan diadakan esok 26 Mac di SJMC Health Screening Centre, jam 1 petang. Orang ramai dijemput hadir dan masuk percuma. Program ini diadakan dengan kerjasama Tena, AgedCare, Mediplex dan Majalah Keluarga. Hubungi Shafiq, 018-2020086 untuk pendaftaran.

Sumber : Aged Care Group

Jaga Islam di setiap penjuru

MENJADIKAN Islam sebagai neraca mengukur sesuatu adalah perkara yang wajib diimani dan diamalkan dalam kehidupan ini.

Sebelum kita bertutur, sebelum kita menulis, sebelum kita bertindak, jadikan Islam sebagai 'filter' sama ada ia mendatangkan pahala ataupun dosa, sama ada ia akan menempatkan kita dalam syurga atau menghumbankan kita ke dalam neraka.

Janganlah kita masih terperangkap dengan mitos Islam hanya layak digunakan di atas tikar sembahyang, mahupun hanya laku dalam ritual agama sahaja. Itu bid’ah kuno yang perlu dibuang jauh dan itulah impian musuh Islam agar Islam difahami begitu, hasilnya Islam dilihat hanya statik dan tidak bergerak seiring dengan pantasnya kehidupan ini.

Sedangkan Islam adalah agama yang sangat dinamik dan sesuai sepanjang zaman. Menjadikan Islam sebagai 'penapis' kepada setiap tindakan yang kita akan lakukan tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja bahkan ia tanggungjawab semua golongan yang sudah akil baligh kerana ia akan dipertanggungjawabkan terhadap setiap pilihan tindakannya.

Raja, menteri, rakyat, lelaki dan perempuan semuanya tertakluk dengan peraturan ini. Logiknya semakin besar kedudukannya di dalam masyarakat maka semakin luaslah tanggungjawabnya dan semakin banyaklah persoalan yang akan dihadapinya ketika nanti berlaku soal jawab selepas kematian nanti.

Bertitik tolak dari kefahaman inilah, mari kita melihat posisi kita diamanahkan oleh ALLAH ketika kita masih diberi peluang hidup sekarang. Jangan sampai Islam itu dilemahkan melalui sudut-sudut Islam yang kita diamanahkan untuk menjaganya melalui posisi kita.

Al Marwazi menyebut dalam kitab al Sunnah sebuah hadis Hasan yang bermaksud: “Setiap lelaki dari kalangan orang Islam diamanahkan menjaga satu penjuru dari kubu-kubu umat Islam. Demi ALLAH janganlah Islam itu dilemahkan dari sudut yang dijaganya.”

Ulama diamanahkan untuk membimbing kehidupan pemimpin dan rakyat ke arah mengabdikan kehidupan ini selaras dengan kehendak ALLAH dan selayaknya sebagai hamba-hamba ALLAH di atas muka bumi ini.

Ulama sangat dilarang daripada kehilangan arah ketika menjalankan amanah ini. Meletakkan kepentingan menjaga perpaduan umat Islam adalah keutamaan berbanding bertegang leher menegakkan hujah dalam perkara khilafiah.

Sentiasa mengingatkan khalayak tentang ancaman dan bahaya yang sedang melingkari umat Islam seperti mengingatkan masyarakat mengenai ungkapan terang-terangan Thedore Hertzel pengasas negara haram Israel di dalam persidangan Yahudi Basel Switzerland 1897 : “Misi kamu semua bukanlah mengeluarkan mereka daripada Islam, walaupun yang terakhir ini adalah merupakan keberhasilan yang gemilang, tapi lebih pada usaha bagaimana menjauhkan mereka daripada Islam. Jadikanlah mereka sebagai orang Islam yang tidak kenal agamanya sendiri. Orang Islam yang gemar berfoya-foya. Hidup semata-mata untuk mencari harta dan kekuasaan. Suka dengan kemaksiatan. Hidup semata-mata untuk mencari harta dan kekuasaan. Jika umat Islam sudah menjadi seperti ini, maka misi kamu sudah berhasil. Laksanakan dan tunaikan misi kamu ini dengan penuh kesedaran”.

Masyarakat akan tercengang-cengang dan turut kehilangan arah apabila ulama kesukaannya lebih banyak terlibat dalam perdebatan daripada mengingatkan ancaman-ancaman yang timbul terhadap umat Islam.

Dan tidak semua pengikut sampai kepada tahap memahami sesuatu isu mengikut pemahaman sebenar sebaliknya akan melahirkan lebih ramai fanatik-fanatik tokoh bukan menilai lagi isu dengan hujah tetapi lebih kepada tokoh.

Islam perlu dijaga dengan kuasa pemerintahan. Tugas pemimpin sangat besar iaitu menjaga Islam dari posisinya. Sebagaimana besarnya kedudukan di sisi masyarakat begitu juga besarnya tanggungan selepas meninggal dunia nanti.

Islam di tanah air ini bukan sekadar dijaga oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri atau ataupun Exco Agama sesebuah negeri tetapi setiap menteri dan Exco wajib merasai bahawa bertanggungjawabnya mereka jika Islam dilemahkan melalui posisi yang dijaga.

Ini tanggungjawab agama dan diwajarkan dengan peruntukan perlembagaan negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Bahkan pemimpin bukan Islam pun mesti menghayati semangat ini sekurang-kurangnya mempertahankan peruntukan Perlembagaan sedia ada dan menjaga agar sensitiviti umat Islam terus terpelihara.