March 26th, 2016

Istiqamah sahabat dalam periwayatan hadis

SAHABAT dalam istilah ilmu hadis ialah mereka yang bertemu dengan Nabi Muhammad SAW dan beriman dengan Baginda SAW kemudian mati juga dalam keadaan beriman.

Sahabat secara keseluruhannya mempunyai sifat 'adil.

'Adil dari segi ilmu hadis ialah sifat istiqamah mereka di atas ajaran agama, menunaikan segala perintah dan menjauhi larangan dalam agama dan mereka tidak akan sesekali berdusta di atas nama Rasulullah SAW. Jadi, sahabat ialah golongan yang dipercayai riwayat mereka tanpa sebarang keraguan.

Keadilan sahabat dijamin secara jelas dalam banyak ayat al-Quran, sunnah dan ijmak. Antaranya ialah firman ALLAH SWT: "Dan orang-orang terdahulu -yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang 'Muhajirin' dan 'Ansar', dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), ALLAH reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia..." (Surah At-Taubah: 100)

ALLAH berfirman lagi: "Demi sesungguhnya! ALLAH reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah)..." (Surah Al-Fath: 18)

Paling banyak  meriwayatkan hadis

Antara sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW ialah Abu Hurairah, Abdullah bin Umar, Anas bin Malik, 'Aisyah binti Abu Bakr, Abdullah bin Abbas, Jabir bin Abdullah, Abu Sa'id Al-Khudri, Abdullah bin Mas'ud dan Abdullah bin 'Amru bin Al-'As.




Mari kita berkenalan secara ringkas dengan tiga orang daripada mereka iaitu Abu Hurairah, Ibn Umar dan Aisyah.

Abu Hurairah RA

Nama beliau –mengikut pendapat yang tepat- ialah Abd Rahman bin Sakhr. Berasal dari kabilah Al-Dusi, salah satu kabilah di Yaman. Dilahirkan 19 tahun sebelum hijrah. Datang ke Madinah pada tahun ketujuh dan memeluk Islam pada tahun itu juga; iaitu tahun berlakunya Peperangan Khaibar. Meninggal dunia pada tahun 57 Hijrah di Madinah.

Abu Hurairah adalah dalam kalangan ahli suffah. Beliau sahabat yang sangat berjasa, khususnya berkaitan dengan pengumpulan dan periwayatan hadis. Beliau memang terkenal sebagai salah seorang sahabat yang banyak mengumpul dan meriwayatkan hadis.

Menurut Ibn Al-Jauzi, hadis yang diriwayatkan oleh beliau ialah sebanyak 5374 hadis. Oleh itu, ramai sahabat lain yang menjadikan Abu Hurairah sebagai tempat rujukan mengenai hadis.

Menurut Imam Al-Bukhari, tidak kurang daripada 800 tabiin yang telah datang mengambil hadis daripada Abu Hurairah. Imam Al-Bukhari dan Muslim juga banyak meriwayatkan hadis-hadis daripada Abu Hurairah.

Hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah menjadi asas yang kukuh dalam hukum hakam.

Bagaimana Abu Hurairah boleh menjadi sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis? Sedangkan beliau hanya sempat hidup sezaman dengan Rasulullah SAW selama lebih kurang empat tahun sahaja.

Berikut adalah antara faktor-faktornya:

(a) Selepas memeluk Islam, beliau sering menemani dan berdamping dengan Rasulullah SAW. Oleh itu, beliau banyak berinteraksi dan memerhatikan gerak geri Rasulullah SAW, menghadiri majlis ilmu dan perjumpaan Baginda SAW dengan sahabat lain.

(b) Beliau tidak sibuk dengan urusan pentadbiran atau kerja, berbanding dengan sahabat lain. Keadaan ini memudahkan beliau untuk menerima dan meriwayatkan hadis kepada sahabat dan tabiin.

(c) Berkat doa Rasulullah SAW kepadanya supaya diberikan ilmu pengetahuan yang banyak, mudah menghafal dan tidak lupa.

(d) Beliau sempat hidup lama selepas kewafatan Rasulullah SAW, iaitu lebih kurang 47 tahun. Hal ini memberi peluang kepadanya untuk menyampaikan hadis-hadis kepada tabiin.

Ibn Umar RA

Beliau ialah Abdullah bin Umar, iaitu anak kepada Umar Al-Khattab RAH. Dilahirkan kira-kira tiga tahun selepas Nabi SAW dilantik menjadi rasul. Semasa Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah, umur Ibn Umar dalam lingkungan 13 tahun. Jadi, Rasulullah SAW belum mengizinkannya lagi untuk turut serta dalam peperangan Badar dan Uhud.

Beliau hanya dibenarkan mengikuti peperangan Khandak, iaitu ketika usianya mencapai 15 tahun.

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, Ibn Umar meneruskan perjuangan menyebarkan Islam hingga ke Mesapotamia, Parsi dan Mesir. Meninggal dunia pada tahun 73 hijrah, di Makkah, ketika usianya 84 tahun.

Ibn Umar juga tergolong dalam kalangan sahabat yang banyak meriwayatkan hadis, selepas Abu Hurairah. Hadis yang diriwayatkan oleh beliau ialah sebanyak 2630 hadis. Antara sebab yang banyak membantu Ibn Umar dapat meriwayatkan banyak hadis ialah:

(a) Hubungan kekeluargaannya dengan Rasulullah SAW iaitu Hafsah binti Umar yang menjadi isteri Rasulullah SAW adalah saudaranya. Ini memberi kesempatan kepadanya untuk selalu bertemu Rasulullah SAW dan menerima banyak hadis.

(b) Beliau juga selalu bertanya kepada sahabat lain apabila beliau tidak dapat menghadiri sesuatu majlis ilmu Rasulullah SAW.

(c) Beliau wafat di Makkah pada tahun 72 hijrah. Ini bermakna beliau sempat hidup agak lama selepas daripada kewafatan Rasulullah SAW dan ia memberi peluang kepadanya untuk meriwayatkan banyak hadis kepada orang lain.

Aisyah RA

Beliau ialah Aisyah binti Abu Bakar, Ummu Al-Mukminin. Dilahirkan pada tahun kedua selepas perutusan Nabi SAW sebagai rasul. Beliau berkahwin dengan Rasulullah SAW ketika berumur enam tahun. Tetapi, beliau mulai hidup bersama Baginda SAW ketika berada di Madinah, iaitu ketika berumur sembilan tahun.Aisyah terkenal sebagai wanita yang mempunyai pengetahuan yang sangat mendalam mengenai hukum hakam agama. Beliau meninggal dunia pada tahun 57 hijrah di Madinah. Jenazah beliau dikebumikan di perkuburan Baqi'.

Aisyah adalah isteri Rasulullah SAW yang hidup agak lama bersama Baginda SAW. Jadi, beliau banyak mendengar hadis-hadis dan memerhati sendiri gerak geri Nabi SAW. Sebab itu, beliau dapat mengetahui perihal hadis dan hukum hakam agama lebih banyak daripada orang lain. Malah, ada perbuatan Nabi SAW yang hanya diketahui oleh beliau sahaja, terutamanya ketika di dalam rumah. Selepas kewafatan Rasulullah SAW, Aisyah adalah salah seorang sahabat yang dirujuk untuk mendapatkan fatwa dan ilmu agama.

Aisyah meriwayatkan sebanyak 2,210 hadis. Ramai dalam kalangan sahabat dan tabiin yang mengambil hadis daripada beliau. Antaranya ialah 'Urwah bin Zubair, 'Umrah bin Abd Rahman, Qasim bin Ahmad dan lain-lain lagi.

Karya perihal sahabat

Banyak karya yang dihasilkan oleh ilmuwan hadis khusus berkaitan sahabat. Mereka telah mengumpulkan senarai sahabat berserta latar belakang mereka. Antaranya ialah Al-Isti'ab fi Ma'rifati Al-Ashab oleh Ibn Abd Al-Bar, Usud Al-Ghabah fi Ma'rifati Al-Sahabah oleh Ibn Al-Athir dan Al-Isabah fi Tamyiz Al-Sahabat oleh Ibn Hajar.

Apa yang dikongsikan di ruang ini berkenaan tiga sahabat utama periwayat hadis adalah sangat sedikit. Terlalu banyak kisah dan sumbangan mereka yang perlu kita ketahui dan jadikan inspirasi. Sahabat telah memerah keringat sepanjang hidup mereka demi menuntut ilmu daripada Rasulullah SAW dan menyebarkannya pula kepada generasi berikutnya. Sumbangan yang mereka curahkan pada detik awal permulaan Islam dahulu, nikmatnya sedikit sebanyak sampai dan kita kecapi hingga ke hari ini.