March 27th, 2016

Fadhilat sabar

SEGALA puji bagi ALLAH SWT atas kurniaan dan ihsan-Nya. Dia memerintahkan supaya kita bersabar dan memuji mereka yang bersabar dengan menjanjikan ganjaran pahala yang besar. Hendaknya kita bertakwa kepada ALLAH dalam segala urusan kita dan bersabar menghadapi rintangan yang menduga. Hidup manusia di dunia ini penuh dengan ujian dalam bentuk kebaikan ataupun kejahatan. Untuk itu, seseorang itu perlu kepada kesabaran bagi membolehkannya melepasi cubaan-cubaan ini.

Perkataan sabar disebut dalam al-Quran sebanyak 90 kali. Sabar adalah setengah daripada iman. Ini kerana iman itu mempunyai dua bahagian. Satu bahagian untuk bersyukur dan satu bahagian lagi untuk sabar.

ERTI SABAR




- Sabar menjurus kepada erti menahan diri. Terdapat tiga jenis sabar iaitu:

- Sabar dalam melaksanakan perintah ALLAH

- Sabar dalam menjauhi larangan ALLAH

- Sabar dalam menghadapi dugaan ALLAH

Dalam melaksanakan perintah ALLAH yang berupa hal-hal wajib dan sunat, tidak dinafikan ia adalah suatu yang sukar. Contohnya perintah solat. Tidak dinafikan ia adalah suatu yang memenatkan badan dan sampai terpaksa bangun tidur. Adapun puasa, ia adalah suatu yang sukar daripada sudut terpaksa menanggung perit lapar dan dahaga. Bersedekah pula menuntut supaya kita mengeluarkan harta wang ringgit yang lumrahnya disayangi oleh manusia. Jihad mempertahankan agama memaksa diri kita sampai terpaksa mempertaruhkan nyawa dan meletakkan diri dalam bahaya.

Semua keadaan ini adalah suatu yang susah dan tidak bertepatan dengan keinginan manusia untuk bersenang-senang dan berehat, cinta kepada harta dan prihatin untuk terus kekal hidup. Syaitan pula terus memperdayakan manusia dan membuatkan mereka malas.

Seseorang itu perlu kepada kesabaran supaya dapat teguh menunaikan suruhan ALLAH di samping menanggung keperitan dan kesukaran melaksanakannya. Di samping sabar, dia perlu kepada iman untuk dia memahami ganjaran baik yang menantinya. Keimanannya itu akan membuatkan kesukaran menunaikan suruhan ALLAH bertukar menjadi mudah. Malah barangkali amal ibadah tersebut akhirnya menjadi suatu kebiasaan yang membuatkannya rasa senang dan tenang sehingga tak sabar-sabar untuk mengerjakannya.

Sabar melaksanakan suruhan ALLAH turut terbahagi kepada tiga iaitu:

- Sabar sebelum melaksanakan suatu suruhan iaitu dengan mengikhlaskan niat untuk ALLAH semata-mata dan menjauhi riak.

- Sabar ketika melaksanakan suatu suruhan iaitu dengan melaksanakannya sejajar dengan apa yang diinginkan oleh syarak dengan rukun-rukunnya, kewajipan-kewajipannya dan perkara-perkara sunatnya sampai tidak ada apa-apa yang tertinggal.

- Sabar setelah melaksanakan suatu suruhan iaitu dengan menyembunyikannya dan tidak memaklumkannya kepada orang lain untuk tujuan riak dan mendapat pujian.

SABAR MENJAUHI LARANGAN

Adapun sabar dalam menjauhi larangan ALLAH, kita sedia maklum nafsu sentiasa mendorong kepada kejahatan kecuali mereka yang dirahmati ALLAH. Ia sentiasa mengajak kepada memenuhi keperluan syahwat walaupun ia membawa kepada mudarat. Syaitan pula terus-menerus mencantikkan apa yang diinginkan oleh nafsu itu. Maka sekiranya dorongan nafsu dan ajakan syaitan ini tidak dikekang dengan sabar, akan loloslah diri ke dalam lingkungan yang haram. Ketika itu keadaan akan menjadi sukar untuk berundur dan membebaskan diri daripada yang haram.

Oleh itu, menahan diri daripada apa yang haram walaupun sukar tetapi ia lebih mudah berbanding kalau seseorang itu sudah terjebak dalam hal yang haram. Sukar baginya meninggalkan apa yang haram itu setelah nafsu berasai nikmatnya.

Antara apa yang membantu kita untuk sabar daripada melakukan hal-hal maksiat adalah dua perkara: Melihat akibat dan kesudahan yang buruk. Menahan diri daripada berasai kemanisan yang sementara jauh lebih mudah berbanding azab api neraka yang pedih. Orang yang berakal jika dia membandingkan antara kenikmatan yang akan hilang dan kerugian yang akan kekal tentu akan dapat melihat perbezaannya bagi membolehkannya menjauhi apa yang dilarang.

Kehidupan ini adalah milik ALLAH. Dia mencipta kita dan memberi rezeki lalu Dia melarang kita derhaka terhadap-Nya. Bagaimana mungkin kita bertindak melawan-Nya sedangkan kita sentiasa bergantung kepada-Nya dalam segala keadaan dan urusan kita. Hamba yang memahami hakikat ini adakan meninggalkan hal-hal yang haram gara-gara malu dengan ALLAH.

Firman ALLAH: "Adapun orang-orang yang takutkan keadaan ketika dia berdiri di hadapan Tuhannya dan dia menahan dirinya daripada menurut hawa nafsu; maka sesungguhnya syurga akan menjadi tempat kediamannya." (Surah An-Nazi'aat: 40-41)

Sekiranya kita amati keadaan golongan yang melakukan maksiat di dunia, kehinaan dan buruknya gaya hidup mereka di samping cara fikir yang dangkal, keadaan sedemikian sebenarnya cukup untuk membuat kita menjauhi hal-hal maksiat.

SABAR HADAPI DUGAAN

Jenis sabar yang ketiga pula adalah sabar menghadapi dugaan ALLAH. Dugaan hidup yang mendatang menuntut supaya kita menahan diri daripada berputus asa dan lemah semangat, menahan lisan kita daripada mengucapkan perkara yang menunjukkan rasa tidak puasa hati terhadap takdir, mengelak daripada menangis secara berlebihan serta meratap, dan menahan anggota daripada melakukan perkara-perkara yang haram seperti memukul-mukul muka, badan dan seumpamanya sebagai tanda marah dan menyesal.

Jenis sabar ini dituntut sejurus selepas suatu musibah itu menimpa. Sebagaimana sabda Nabi SAW: "Sesungguhnya sabar itu adalah sejurus selepas musibah menimpa." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Firman ALLAH: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan harta benda, jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa suatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan ALLAH dan kepada ALLAH jualah kami akan kembali." (Surah Al-Baqarah: 155-156)

Justeru, adalah menjadi kewajipan seorang Muslim untuk sabar menahan diri atas apa yang berlaku atasnya. Antara apa yang dapat membantu sabar dalam keadaan ini adalah:

Teguhkan iman dengan ketetapan dan ketentuan ALLAH dengan percaya tidak ada suatu yang berlaku kecuali dengan izin dan keinginan ALLAH. Firman ALLAH: "Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada dalam kitab (suratan takdir) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya hal demikian adalah mudah bagi ALLAH." (Surah Al-Hadiid: 22)

Kuatkan harapan untuk memperoleh ganjaran pahala daripada ALLAH dan kesudahan yang baik. Kerana ALLAH menjanjikan golongan yang sabar menghadapi musibah dengan ganjaran pahala yang besar sebagaimana sabda Nabi SAW: "Sesungguhnya besarnya ganjaran bergantung pada sejauh mana besarnya musibah." (Riwayat Tirmizi, hasan)

Menyedari nikmat ALLAH atas hamba-Nya jauh lebih banyak berbanding apa yang hilang dalam musibah. Jika hal ini dapat difahami, musibah yang menimpa akan menjadi ringan dan mudah untuk dihadapi.

Orang yang ditimpa musibah juga perlu bermuhasabah dan mengetahui bahawa apa menimpanya adalah akibat dosanya. Sebagaimana firman ALLAH: "Dan apa jua yang menimpa kamu maka ia adalah hasil daripada perbuatan tangan-tangan kamu." (Surah As-Syura: 30)

Semoga ALLAH menggolongkan kita dalam kalangan mereka yang bersabar menghadapi cabaran dan dugaan di samping bersyukur dan memuji-muji-Nya atas nikmat yang diberikan-Nya.

Perkasa pendidikan tahfiz negara

Tradisi hafazan bermula sejak zaman Rasullullah SAW dan dikembangkan dalam kalangan para sahabat, tabie-tabien, para ulama dan ilmuan Islam dan merintis jalan ke arah pembangunan tamadun. Ilmuan seperti Ibn Sina, Abu Qasim az Zahrawi, al Biruni, al Khuarizmi dan ramai lagi adalah huffaz (hafiz Quran) dan menjadikan al-Quran sebagai sumber ilmu dan kepakaran.

Majid Nabawi menjadikan kegiatan halaqah atau usrah dimana al-Quran menjadi sumber rujukan utama. Kemudian di bina Suffah tempat anak-anak menghafaz al-Quran dan mendalami Fardhu Ain. Ia berkembang di Quttab, Nizamiyyah dan akhirnya di Madrasah yang melahirkan ribuan huffaz dan amat menyumbang kepada pembangunan tamadun.

Di Rantau Dunia Melayu tradisi hafazan berkembang di­pondok dan madrasah atau pesanteren sama ada di In­do­ne­sia, Pattani, Singapura, Brunei dan juga Malaysia.Tradisi hafazan menjadi sebahagian dari pendidikan Islam sebagai proses menyediakan diri untuk menjadi pendakwah dan juru tarbiyyah atau pun ulama.

Di Malaysia tradisi hafazan berkembang di pondok-pon­dok, maahad tahfiz dan juga madrasah. Kini tradisi ini se­ma­kin berkembang dan minat masyarakat terhadap pe­nga­jian sebegini sangat berkembang dan minat generasi mu­da terhadapnya semakin tinggi. Ia dikembangkan oleh pengendali pondok dan maahad secara swasta dan mula berkembang secara formal dalam sistem pengajian menengah dan universiti.

Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri secara formal memulakan program rasmi beberapa orang pelajar pe­rintis dan kemudian berkembang tradisi ini oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan menubuhkan Da­rul Quran di Kuala Kubu Baru dengan menghasilkan persijilan dan Diploma.

Terkini Maktab Rendah Sains Mara dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama mengambil langkah memperkenalkan Pengajian Ulul al Bab di beberapa buah sekolah dengan menawarkan program hafazan di samping subjek akademik, sains dan teknologi. Ia berkembang pula dalam kalangan universiti-universiti. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) umpamanya mengadakan program persijilan bersama Darul Quran selama 18 bulan dalam kalangan ratusan pelajar terbaik setiap tahun.

Setelah menjadi huffaz mereka akan disalurkan ke kuliah yang pebagai seperti perubatan, farmasi, dentistri, sains, kejuruteraan dan banyak lagi. Sehingga kini ribuan pelajar telah menjadi huffaz dan menjurus dalam pelbagai bidang ilmu. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) juga mengambil langkah yang sama supaya tradisi hafazan ini ditawarkan kepada para pelajar disamping subjek-subjek akademik dan professional.

ANJAKAN PARADIGMA

Pengajian Hafazan yang dikendalikan oleh pihak swasta banyak keterbatasannya. Dukungan kewangan adalah se­sua­tu yang paling utama. Prasarana yang serba kurang, ku­­rikulum yang sifatnya terbatas, aplikasi metodologi pe­ngajaran-pembelajaran ikut cara lama merupakan perkara-perkara yang perlu ditingkat dan diperkasakan.

Oleh itu usaha Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) telah mengumpulkan lebih 20,000 pelajar-pelajar tahfiz dalam suatu majlis yang di­ras­mikan oleh Perdana Menterii Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dimasjid Wilayah Persekutuan pada 20hb Mac lalu.

JAKIM bakal bertindak merangka Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTI). Ia suatu usaha bijaksana dan berpandangan jauh kerana perubahan paradigma sewajarnya berlaku kerana kewujudan maahad tahfiz dan institusi berorientasikan tahfiz perlukan islah supaya lulusan hari depan mereka lebih terarah dan mampu berperanan dengan baik kepada umat dan negara. Perdana Menteri memberi jaminan bahawa beliau sendiri akan memberikan perhatian secara peribadi kepada melaksanakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara.

Pendekatan Pendidikan Islam secara Qurani mengambil lima dimensi utama. Pertama hafazan, kemahiran memahami, upaya berfikir, pendekatan internalisasi (penyerapan) supaya wujud kesan penghayatan dan di terjemah dalam watak dan amal. Lima dimensi ini amat penting terjadi supaya natijah holistik (menyeluruh) terjadi. Ia menuntut tasawwur ilmu terbina melalui proses integrasi nakliah(wahyu) dan akliah terjadi. Satu kajian yang penulis lakukan mendapati sama ada tradisi tahfiz terpisah dengan keperluan akademi atau hafazan bergerak seiring dengan akademik dan terjadilah integrasi longgar.

Pengajian Ulul albab umpamanya bermatlamat mela­hir­kan insan tauhidik, ijtihadik dan ensaiklopedik dimana para huffaz nantinya menjadikan aspek tauhid sebagai tunjangan dalam keilmuan, pendidikan dan cara hidupnya. Para huffaz juga diharapkan mampu melakuan ijtihad terhadap isu kompleks pada masa depan dan menjadi rujukan terhadap il­mu yang pelbagai dan isu yang pelbagai juga akibat perkembangan sains dan teknologi.

Jangka panjangnya kena ada perancangan mengukuhkan epistemologi (teori ilmu) yang sifatnya sepadu. Bagaimana ayat-ayat al-Quran dalam aspek sains dan teknologi men­yantuni ilmu akliah supaya sifatnya tidak bercanggah dengan aqidah dan syariah. Ia menuntut para guru dan pensyarah memiliki kemampuan memahami kedua-dua disiplin ilmu itu secara tematik.

Guru-guru al-Quran harus memahami tema-tema sain­ti­fik dan teknologikal dan guru-guru sains dan teknologi harus memahami dan mendalami secara tematik apa yang terkandung dalam al-Quran. Contohnya mempelajari sains secara konvensional air itu dihubungkan dengan elemen hid­rogen dan oksigen H2O bagai memperjelaskan "apa itu air". Tetapi bila dihubungkan dengan al-Quran, Allah memperjelaskan bahawa air itu sebagai sumber kehidupan. Pendekatan "APA dan MENGAPA" bila diintengrasikan secara hakiki ia memberi makna yang amat luas.

Kerajaan Malaysia beberapa tahun yang lalu telah men­g­umumkan penubuhan Kolej Universiti al-Quran Malay­sia dan bakal memberi harapan kepada para calon hafiz dan para huffaz bahawa mereka mempunyai hari depan untuk menjadi huffaz yang professional, ahli akademik yang Qurani, para saintis dan teknologis berorientasi syariah dan mampu membangunkan sistem dan negara. Jika ini dapat dilakukan Malaysia bakal menjadi negara model yang membangunkan modal insan sepadu dan sifatnya menyumbang tidak saja kepada kekuatan pemahaman dan amalan agama tetapi me­miliki kualiti professional yang sifatnya menyumbang.

Oleh itu PINTA dan DPTN harus menstruktur semula institusi tahfiz yang sifatnya swasta dan formal dengan mem­perbaiki prasarana, menyusun semula kurikulum yang lebih sepadu, meningkatkan mekanisme pengajaran dan pembelajaran supaya tidak saja hafazan terjadi, ilmu berkembang, kemahiran berfikir berlaku dan pembentukan watak Qurani terjadi. - Dr. Sidek Baba Utusan Malaysia Rencana 27 Mac 2016 6:21 PM

Kepentingan mengawal fikiran

Manusia terdiri daripada pertama, roh. Roh suci dan baik, serta tidak pernah berubah, sejak dilahirkan hingga kita mati. Kedua, diri kita atau jasad kita sebagai manusia. Jasad akan berubah dari segi fizikal dan spiritual/kerohanian dan mudah dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Semasa kita bayi, kita seorang yang baik; tidak pandai melawan ayah ibu, dan lumrahnya tiada orang yang waras tidak suka kepada bayi, yang menyenangkan dan menyamankan mata memandangnya. Tetapi, mengapakah sering berlaku, apabila kita meningkat remaja dan menjadi dewasa, kita tidak lagi mampu membahagiakan orang di sekeliling kita. Kita sering memberikan masalah kepada mereka disebabkan tahap kesedaran keegoan kita yang tinggi, yang melibatkan beberapa sikap dan keperibadian negatif.

Pertama, kita menjadi seorang yang tidak boleh ditegur. Ingatlah setiap kali kita mendapat teguran, jika kita berasa marah itu tanda kesombongan. Didik hati kita suka menerima teguran dan tidak suka akan pujian, kerana dengan teguran kita akan tahu kelemahan diri untuk perbaiki. Kedua, kita menjadi seorang yang sukar memohon maaf dan memaafkan. Sedangkan orang yang memaafkan merupakan orang yang suci hatinya, dan berjaya merendahkan egonya serta berjaya meningkatkan ketakwaannya. Sesungguhnya hendak memaafkan mudah, tetapi hendak memohon maaf amat sukar, kerana kita terpaksa menurunkan keegoan kita. Ketiga, dalam apa-apa perkara kita sahaja yang betul. Kita mahu orang mesti dengar dan ikut cakap kita, sedangkan kita tidak sekali pun mahu menerima pendapat orang.

Sebenarnya segala tindakan kita hanya akan memperlihatkan apa yang ada dalam diri kita. Kalau kita banyak kebaikan dalam diri, kita akan dapat melihat kebaikan dan menerima kelebihan dalam diri orang lain. Hal ini terjadi kerana banyak faktor luaran yang negatif masuk meresap mempengaruhi jiwa atau roh kita yang suci, hingga hati kita dipenuhi dengan titik hitam yang menghijab kesucian roh. Jika tidak dijaga dengan betul akan wujud titik hitam atau dalam istilah pemikiran metafizik disebut blackhole, yang akan menjadi penghalang kepada minda bawah sedar/minda segar dan minda sedar merangsang antara satu sama lain, untuk menunjukkan potensi diri kita yang sebenar.

Manifestasi

Banyak orang beranggapan minda kita terletak pada otak. Sebenarnya minda terletak pada pintu masuk sel. Demikianlah betapa hebatnya ciptaan Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Pencipta. Bayangkan satu sel kita daripada 50 trilion sel. Setiap sel ada pintu masuk yang terdiri daripada nukleus, mengandungi gen yang menentukan DNA. Gen adalah sebahagian daripada juzuk sel pada benda hidup yang mengawal ciri fizikal, pertumbuhan dan perkembangan benda hidup yang berkenaan. DNA pula adalah juzuk utama yang membentuk bahan genetik (bahan penentu ciri kebakaan). DNA ialah benda yang menghasilkan manifestasi, dan DNA ialah satu alat yang Allah bagi untuk memanifestasikan fizikal. Sebab itulah kita akan menjumpai, ada orang yang wajahnya sama macam wajah emak atau ayahnya.

Hal ini terjadi kerana bahan genetik emak atau ayahnya yang membentuk struktur fizikalnya. Dalam tubuh kita ada pintu masuk sel, nukleus, organel atau bahan-bahan struktur lain yang boleh memberikan tenaga. Kita memiliki mitokondriam untuk tenaga, enzim dan bermacam-macam lagi yang ada dalam sel kita. Oleh sebab itu, bayangkan kalau kita kata fikiran kita di otak, dan berada di bahagian atas (dalam kepala kita sahaja). Apa yang kita fikir akan mempengaruhi emosi, dan emosi mempengaruhi biokimia (hormon atau bahan yang mengelilingi sel dalam tubuh kita).

Emosi yang telah terjejas akan mempengaruhi fikiran kita. Sama ada positif atau negatif ia berlaku secara spontan, maknanya tidak akan berlaku secara tidak natural atau dibuat-buat. Fikiran akan menjadi positif kalau mendapat sistem nilai yang positif melalui apa yang kita baca, yang kita dengar, tonton dan pandang, juga kalau pegangan akidah kita kukuh. Sistem nilai dan akidah kita akan menentukan fikiran menilai orang yang di sekeliling dan akhirnya membuat persepsi dan interpretasi.

Pintu sel yang mana akan terbuka bergantung kepada sel mana yang masuk. Sebab itulah jika persepsi dan interpretasinya positif, maka penerima pesanannya akan membuka pintu sel yang positif. Apa-apa sahaja yang terjadi kepada gen kita, akan mempengaruhi tubuh kita. Jika jiwa kita sihat/positif tubuh kita juga turut sihat/positif. Kita akan suka pada perkara yang ada dalam jiwa kita. Cuba bayangkan, jika kita suka membaca keburukan orang dalam laman sosial misalnya, bayangkan apa yang ada dalam jiwa kita? Maknanya jiwa kita penuh dengan keladak.

Kehidupan manusia ini ada peringkat-peringkatnya. Lazimnya manusia pada permulaan kehidupannya memerlukan keperluan asas untuk hidup, seperti makanan, minuman pakaian dan tempat perlindungan. Apabila usia mulai mengalami kematangan, minda kita mula berfikir mencari jalan bagaimana hendak memenuhi keperluan hidup yang seterusnya. Iaitu, sebagai manusia yang sempurna, kita akan ingin berkeluarga dan menemui pengakhiran kehidupan yang sebenarnya, apabila manusia menemui “tujuan kehidupannya".

Pada peringkat penghujung kehidupan ini, minda kita mula berfikir, mengapa kita menjadi doktor dan boleh merawat pesakit, mengapa sebagai guru/pensyarah kita berkebolehan mengajar dan mendidik murid/pelajar dan sebagainya? Minda kita mula terfikir, semua kelebihan yang Allah berikan kepada kita itu mesti ada tujuannya. Seterusnya kita akan berfikir mengapa ada perkara yang kita pandai/kuasai dan mengapa ada perkara yang kita tidak pandai/kuasai, tetapi orang lain yang pandai/kuasai hal itu?

Kita akhirnya akan mendapat jawapan bahawa Allah menjadikan kita dengan kelebihan dan kekurangan yang tersendiri adalah kerana untuk mengimarahkan dunia ini. Dengan kekurangan dan ketidaksempurnaan kita itulah, kita boleh menghargai kekuatan orang lain dan kita juga boleh menerima kelemahan orang lain, sebagaimana kita mengharapkan orang boleh terima kelemahan kita dan berkongsi kekuatan kita.

Ingat kembali konsep ADA – BERI – DAPAT. Iaitu, kita hanya boleh beri apa yang ada dalam jiwa kita dan kita akan dapat apa yang kita beri kepada orang. Maknanya jika kita inginkan ketenangan, kita berilah ketenangan kepada orang dahulu, bukan memberikan tekanan. Jika kita hendak bahagia, bahagiakan orang dahulu, bukan membuatkan orang bersedih kerana kita. Demikian jugalah, jika kita hendak kebebasan, tetapi kita hendak mengongkong orang, pasti kita juga hidup dalam belenggu perasaan. Iaitu dibelenggu oleh perasaan negatif, sentiasa berburuk sangka kepada orang lain dan tidak bersangka baik kepada Allah. Setiap masa audit dan kawallah diri, minda dan hati kita, agar sentiasa positif. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

- Dr. Muhaya Muhamad Utusan Malaysia Rencana 27 Mac 2016 6:19 PM

Banyak faktor menyebabkan Islamophobia berlaku

DALAM dunia hari ini, pihak Barat sering mengaitkan Islam dengan isu keganasan. Apabila sebut sahaja Islam, agama ini sering dikaitkan dengan pengganas.

Malah dalam isu global, bekas Presiden Amerika, George W. Bush secara terbuka menuduh orang Islam adalah pengganas dan menjadi punca utama runtuhnya menara berkembar World Trade Center (WTC) pada 11 September 2001.

Di samping itu, ramai juga pihak yang senada dengan beliau dalam berdiskriminasi Islam. Mereka mengatakan al-Quran mengajar manusia menjadi ganas, melukis gambar Nabi Muhammad SAW sebagai pengganas dan menggambarkan agama Islam ini jumud dan kejam.

Sehingga ke hari ini, mereka ini masih aktif dalam media sosial bagi memburuk-burukkan Islam. Kesemua ini secara tidak langsung menyebabkan pelbagai pihak terutama golongan bukan Islam memandang serong terhadap Islam.

Mereka bukan sahaja memandang serong, malah mendiskriminasikan Islam dalam hidup mereka (sama ada agama Islam itu sendiri atau individu yang menganut agama Islam). Inilah yang dinamakan Islamophobia – takut pada agama Islam.

Sebenarnya terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan Islamophobia ini terjadi. Faktor yang pertama kebanyakan umat Islam sendiri hanya berdakwah dalam kalangan mereka sahaja.

Usrah-usrah dan majlis ilmu kebanyakannya hanya diadakan dalam kalangan umat Islam tanpa melibatkan orang bukan Islam. Oleh itu, orang bukan Islam sendiri tidak didedahkan dengan lebih jelas tentang agama Islam yang sebenar.

Perkara ini diakui sendiri Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, yang mana beliau menyatakan orang bukan Islam kebanyakannya tidak mendapat dakwah dari orang Islam. Oleh itu, tidak hairanlah orang bukan Islam tidak dapat menilai inti pati Islam yang sebenar.

Dakwah-dakwah agama cukup bergema dalam kalangan umat Islam, akan tetapi amat sepi dalam kalangan orang bukan Islam. Faktor yang kedua pula wujudnya umat Islam yang memandang serong terhadap golongan bukan Islam.

Tidak dinafikan bukan semua umat Islam bersikap sebegini, akan tetapi sesetengah golongan yang anti non-muslim ini menyebabkan mereka semakin jauh dengan Islam. Disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga. Ada di antara mereka memandang orang bukan Islam hina, tempat mereka selepas mati adalah neraka, dan lebih parah lagi sehingga memulaukan mereka.

Sepatutnya golongan non-muslim seperti mereka perlu kita beri dakwah secara hikmah, bukannya dijauhi dan berdakwah hanya dalam kelompok kita sahaja. Faktor yang ketiga pula adalah orang Islam sendiri tidak menunjukkan tauladan dan hasil yang baik dalam kehidupan.

Dalam Islam, kita sentiasa diajar untuk menjadi umat yang berjaya. Islam tidak mengajar kita untuk mengejar akhirat semata-mata, akan tetapi Islam juga menyeru supaya umatnya berjaya di dunia.

Apabila adanya golongan umat Islam sendiri yang tidak menunjukkan tauladan yang baik seperti meragut, hisap dadah, suka tangguh kerja, suka curi tulang, menyebabkan orang bukan Islam semakin memandang serong terhadap agama Islam.

Jangan salahkan mereka Islamophobia kerana kita sendiri yang menjadikan mereka berfikiran sebegitu. Adalah amat baik sekiranya umat Islam dapat menunjukkan tauladan yang baik dan sentiasa menjadi golongan yang berdaya saing dalam setiap pekerjaan.

Gagal SPM, STPM bukan pengakhiran

RAMAI pelajar yang beranggapan bahawa peperiksaan di sekolah adalah penentu segalanya. Mereka akan bersungguh-sungguh di sekolah dan berusaha untuk memperoleh keputusan yang membanggakan bagi membolehkan mereka keluar sekolah dengan membawa satu ‘tiket’ bahawa mereka akan berjaya untuk peringkat seterusnya.

Proses pembelajaran tidak akan berhenti selagi mana kita masih hidup sebagai seorang manusia. Bukan semua yang dipelajari di sekolah itu merupakan titik permulaan bagi mereka untuk meneruskan kehidupan.

Akan tetapi ia merupakan satu permulaan bagi mereka meneruskan semangat untuk terus berhadapan dengan dunia yang sebenar. Hakikatnya, realiti yang berlaku dalam kehidupan hari ini merupakan ‘sekolah’ bagi mereka untuk mempelajari sesuatu yang tidak akan boleh dijumpai di dalam kelas.

Kebanyakan pelajar yakin bahawa sekiranya mereka berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM atau STPM, ini akan membolehkan mereka untuk pergi ke mana sahaja yang mereka inginkan. Apa yang lebih parah lagi ialah apabila mereka cuba untuk memperkecilkan golongan yang kurang berjaya dalam peperiksaan tersebut. Ternyata pelajar-pelajar ini masih belum memahami cabaran sebenar dunia hari ini yang tidak seindah seperti yang diceritakan dalam novel-novel atau drama-drama Melayu yang ditayangkan di kaca televisyen.

Seharusnya apa yang mereka perlu lakukan adalah keluar dan pergi mencari peluang-peluang baharu untuk mereka terokai. Peluang untuk belajar tidaklah datang bergolek. Ilmu itu perlu dicari dan perlu dipelajari sejajar dengan hadis Rasulullah SAW yang membawa maksud: “Menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap orang Muslim” - Hadis Riwayat Bukhari.

Berdasarkan daripada hadis tersebut kita boleh lihat dan mengambil iktibar daripada sejarah para sahabat yang tidak pernah lelah untuk menuntut ilmu. Mereka perlu berjalan sejauh beratus-ratus kilometer bagi membolehkan mereka mendalami sesuatu ilmu.

Kebanyakan jutawan yang ada pada hari ini juga bukanlah datangnya daripada golongan yang cemerlang dalam peperiksaan. Albert Einstain, Steve Jobs, Mark Zuckerberg dan lain-lain lagi yang boleh menjadi inspirasi bagi anak muda untuk terus bangkit dan tidak menyerah kalah pada saat kita merasakan bahawa tiada harapan lagi walaupun tidak berjaya di alam persekolahan. Oleh itu, kegagalan dalam peperiksaan bukanlah satu penamat bagi seseorang untuk tidak berjaya pada masa akan datang.

Memetik kata-kata seorang penulis novel dari negara Indonesia Pramoedya Ananta Toer, “Apalah guna sekolah-sekolah didirikan; kalau tidak dapat mengajarkan yang mana benar, dan yang mana tidak.”

Penyataan ini dapat dibuktikan dengan fungsi guru di institusi-institusi pendidikan yang ada pada hari ini bukan sahaja menekankan aspek kurikulum dan kokurikulum di sekolah, mereka juga berperanan bagi menanamkan nilai-nilai moral dan estetika yang boleh dijadikan amalan.

Tidak kurang dengan aspek nilai agama yang amat penting supaya mereka yakin dan percaya tidak ada kekuasaan lain yang boleh membantu mereka dalam apa keadaan sekalipun dan tiada kekuasaan lain yang boleh menjadikan sesuatu itu mustahil bagi-Nya melainkan Dia.

Matlamat hidup bukanlah terhenti sekolah. Ia satu jangka masa panjang yang perlu dirancang dan diatur dengan teliti agar setiap daripada rancangan tersebut berjaya dan yang pasti kita tidak lupa pada mereka yang tidak henti menyokong daripada belakang, iaitu ibu dan bapa kita yang sentiasa berkorban apa sahaja demi memenuhi keperluan anak-anak mereka.