March 28th, 2016

Ulama & fiqh alam sekitar

KRISIS berkaitan alam sekitar sudah lama diperkatakan, sejak akhir-akhir ini perhatian yang diberikan terhadap isu ini lebih serius. Ia bukan sahaja menjadi perbincangan akademik dalam kalangan sarjana saintis dan pencinta alam, malah turut melibatkan perbahasan golongan politik dan agamawan.

Namun, perbahasan dalam kalangan umat Islam khususnya cendekiawan agama dilihat amat terbatas biarpun Islam telah menggariskan asas yang begitu kukuh mengenai konsep alam tabii, terutamanya menerusi fiqh alam sekitar (fiqh al-bi'ah). Sebagai agama yang syumul dan kamil, Islam mempunyai perspektif, pendekatan dan kaedah penyelesaian yang tersendiri dalam menghadapi krisis alam sekitar. Perspektif Islam yang berteraskan ajaran tauhid memperincikan kedudukan dan peranan manusia sebagai khalifah yang memakmurkan bumi yang diciptakan untuknya.



Persoalannya sekarang, adakah masyarakat Islam telah menjalankan peranannya sebagai khalifah yang memakmurkan bumi dan mempertahankan keseimbangan (mizan) atau menjadi manusia tamak yang merosakkan? Bukti kelas terlihat di depan mata kita betapa bumi yang didiami sekarang ini begitu parah tercemar dan termusnah lantaran sikap keterlaluan khalifah yang gagal menjalankan peranannya. Justeru, Muzakarah Pakar: Ulama & Alam Sekitar: Kewajaran Fiqh Al-Bi'ah yang diadakan pada 8 Mac (Selasa) baru-baru ini di Dewan Besar Institut Kemahiran Islam Malaysia (Ikim), Jalan Duta, Kuala Lumpur bertujuan melihat prinsip-prinsip Islam sedia ada dalam perbendaharaan fiqh dan pemikiran Islam yang  boleh menyumbang ke arah mewujudkan suasana persekitaran yang lestari.

Antara objektif program ini adalah:-

-Memberi kefahaman dan kesedaran mengenai kepentingan alam sekitar kepada umat Islam amnya dan cendekiawan Islam khususnya.

-Melihat hujah-hujah kewajaran pembinaan fiqh al-bi'ah.

-Mengkaji konsep asas fiqh al-bi'ah dan kepentingannya dalam kerangka maqasid syariah.

Muzakarah yang dihadiri kira-kira 80 peserta terdiri daripada agensi agama, kakitangan awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini menampilkan panel hebat antaranya Prof Emeritus Datuk Paduka Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid dari Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Mufti Negeri Terengganu, Sahibus Samahah Datuk Dr Zulkifly Muda; Ketua Pengarah Ikim, Prof Datin Dr Azizan Baharuddin, Dr Fachruddin Majeri Mangunjaya dari Pusat Pengajian Islam, Universitas Nasional Indonesia dengan diperantarakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Ikim; Dr Mohd Zaidi Ismail.

Faham maksud fiqh

Dalam penggunaan biasa fiqh bermaksud faham secara umum. Bagaimanapun sebagai satu istilah dalam pengajian syariah, ia bermaksud kefahaman yang mendalam. Fuqaha klasik mendefinisikannya sebagai syarak terperinci atau secara mudahnya, memahami nas al-Quran dan as-Sunnah dalam konteks realiti semasa dan setempat.

Demikian ucapan pendahuluan daripada Mahmood Zuhdi semasa pembentangan kertas kerjanya bertajuk Fiqh Al-Bi'ah dan Kepentingannya dalam Kerangka Maqasid Al-Syariah.

Kata beliau, istilah pengajian syariah yang sangat berkait rapat dengan istilah fiqh ini ialah istilah ijtihad. Dalam penggunaan biasa ia bermaksud penggunaan daya dan usaha. Namun, sebagai satu istilah dalam pengajian syariah, ia bermaksud kerja penyelidikan secara serius.

Beliau memetik kata-kata Imam Al-Ghazali, fiqh itu ialah menggunakan daya usaha dalam mengetahui hukum syarak. Berasaskan konsep ini, bagi beliau ijtihad yang sepenuhnya ialah menggunakan usaha yang paling maksimum sampai berasakan tiada lagi daya yang lebih dari itu.