March 29th, 2016

Nasihat secara berhikmah, ikhlas jalin persaudaraan

SEBAIK-baik pemberi nasihat itu memiliki akhlak lemah lembut, bersopan dan berhemah untuk menyampaikan nasihat supaya mampu mengindahkan halwa telinga serta pertimbangan akal mereka yang menerima nasihat.

Allah SWT memerintahkan Nabi Musa dan Harun untuk menemui Firaun. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut." (Surah Taha, ayat 43-44)

Memberi nasihat mesti memilih kaedah yang sesuai dan tepat mengikut suasana, keadaan serta keperibadian seseorang.

Nasihat yang diberi mestilah bertujuan memperbaiki kesilapan yang dilakukan kerana Islam melarang perbuatan bermulut manis tetapi mengumpat serta mengutuk. Rasulullah SAW bersabda: "Bukanlah seseorang Mukmin itu yang menjadi pencaci, pelaknat, bukan yang suka berkata kotor atau yang lidahnya suka menyebut kata-kata yang hina." (Riwayat Bazzar dan Hakim)
MENGGUNAKAN pendekatan bersemuka ketika beri nasihat elak rasa malu. - Gambar hiasan


Adab beri nasihat

Islam menggariskan adat dan tatacara untuk memberi nasihat antaranya memberi nasihat di tempat tertutup.

Sebahagian ulama berkata, barang siapa menasihati seseorang dan hanya ada mereka berdua maka itulah nasihat yang sebenarnya.

Berbeza dengan seorang yang menasihati saudaranya di khalayak takut perbuatan itu boleh menjurus kepada sifat merendahkan orang yang dinasihati.

Seorang faqih dan ahli ibadah terkemuka, Fudhail bin Iyadh berkata: "Seorang Mukmin ialah orang yang menutup aib dan menasihati. Sedangkan orang fasik ialah orang yang merosak dan mencela."

Seorang yang melakukan kesalahan dan tidak membetulkan kesilapan itu melakukan dua kesalahan. Justeru, memberi nasihat adalah wajar supaya kesalahan tidak berulang dan pihak berkenaan boleh memperbaiki dirinya.

Imam Ibnu Hibban menyatakan: "Saya bertanya kepada Mis'ar: Apakah engkau suka apabila ada orang lain memberitahu akan kekurangan yang ada padamu?

Lalu dia menjawab: Apabila yang datang adalah orang yang memberitahu kekuranganku dengan cara yang memalukan aku, maka aku tidak berasa senang.

Tetapi apabila yang datang kepadaku seorang pemberi nasihat maka aku berasa selesa." Nasihat memiliki kedudukan istimewa dalam Islam kerana memberi nasihat dapat memantapkan jalinan persaudaraan sesama umat Islam.

Apabila nasihat yang disampaikan seorang Muslim terhadap saudaranya kerana Allah SWT, ia berupaya memperkukuh ikatan kasih sayang sesama saudara.

Bagaimanapun, nasihat yang diberi mesti atas niat yang tulus ikhlas kerana Allah SWT serta mengharapkan keredaan-Nya.

Hormati ilmu

Nasihat yang diberikan mestilah berdasarkan ilmu. Orang yang berilmu pandai menjaga dirinya supaya masyarakat menghormati ilmu yang ada padanya.

Imam Ghazali pernah berkata: "Barang siapa yang tidak menjaga dirinya maka tidak bergunalah ilmunya." Menghiaskan diri dengan akhlak yang lemah lembut dituntut kerana di situlah letaknya nilai keindahan nasihat itu.

Ibn Abbas meriwayatkan, Rasulullah SAW pernah berkata kepada al-Asyji: "Kamu mempunyai dua sifat yang membuat Allah SWT dan Rasul-Nya senang; lemah lembut dan murah hati." (Riwayat Muslim)

Dalam apa juga keadaan, pemberi nasihat mestilah banyak bersabar terutama ketika orang yang dinasihati tidak bersedia menerima nasihatnya.

Usah mudah berputus asa kerana sifat Mukmin itu sentiasa melakukan sesuatu yang baik secara berterusan.

Menghormati orang lain sama seperti kita menghormati diri sendiri, maka hendaklah menghiasi peribadi sebaiknya.

Keperibadian kita akan diukur melalui kasar atau lembutnya pengucapan kerana tutur kata lemah lembut itu lebih berkesan daripada bahasa kasar dan tidak sopan.

Agama sentiasa mengingatkan untuk berjaga-jaga dan berhati-hati dengan setiap lafaz ucapan supaya tidak mencederakan hati serta perasaan orang lain.

Sebab itu ia wajar dilakukan dengan penuh tertib. Amalan pengucapan yang baik tersenarai dalam ciri akhlak yang terpuji.

Imam al-Hasan al-Basri mendefinisikan akhlak terpuji sebagai wajah berseri, penuh kemurahan hati dan menahan diri daripada menyakitkan orang lain.

Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang ingin menasihati penguasa, janganlah ia menampakkan dengan terang-terangan.

Hendaklah ia pegang tangannya lalu menyendiri dengannya. Jika penguasa itu mahu mendengar nasihat itu, maka itu yang terbaik dan apabila penguasa itu enggan (tidak mahu menerima nasihatnya itu), maka sungguh ia telah melaksanakan kewajipan amanah yang dibebankan padanya." (Riwayat Ibnu Abi Ashim, Ahmad dan al-Hakim)

Himpunan kitab selawat Nabi SAW

BERSELAWAT kepada Nabi Muhammad SAW merupakan ibadah mulia dan terpuji. Ia mengandungi banyak kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri.

Antaranya, mampu memperoleh ganjaran besar daripada Allah SWT di hari akhirat kelak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya,” (Surah Al-Ahzab: 56)

Dengan kelebihan tersebut, ramai para sahabat dan ulama zaman dahulu mengambil inisiatif untuk membukukan bacaan selawat, doa dan puji-pujian kepada baginda SAW.

Usaha suburkan cinta kepada baginda
PALING LAMA...kitab tersebut ditulis pada abad ke-16 masihi oleh seorang ulama di Maghribi.

Usaha itu bukan hanya untuk manfaat diri mereka sahaja tetapi bagi memudahkan umat Islam membaca dan mengingati bacaan tersebut walau berada di mana sahaja. Antara mereka adalah ulama sufi tersohor, Imam al-Jazuli.

Ulama berketurunan Imam Hassan Ali, cucu kepada Nabi Muhammad SAW itu telah mengarang kitab Dala`il al-Khayrat yang dianggap karya seni agung dan digunakan sehingga ke hari ini.

Gubahan selawat ini telah menjadi sebuah kitab doa yang penting di tanah airnya, Maghribi dan tersebar di seluruh pelosok dunia Islam serta dianggap sebagai sumber utama kepada selawat ke atas Rasulullah SAW.

SUMBER INSPIRASI

Tradisi mengalunkan selawat daripada kitab Dala`il al-Khayrat sama ada dalam majlis keraian atau persendirian masih lagi diamalkan sehingga ke hari ini. Malah, kitab hebat itu turut menjadi inspirasi kepada penulis khat, juru hias dan pelukis di bengkel-bengkel Diraja untuk menghasilkan manuskrip doa yang dihias indah serta menonjolkan kepelbagaian rekaan dinasti-dinasti Islam yang tersendiri.


CARTA keturunan Rasulullah SAW bermula dari nabi Adam a.s.

Bagi memastikan legasi kitab tersebut terus subur dan tersebar ke seluruh pelosok muka bumi Allah SWT ini, sebilangan ulama tersohor selepas daripada beliau telah menyalin isi kandungan kitab berkenaan.

Sebagai menyambung usaha tersebut, Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM), Kuala Lumpur mengambil langkah untuk mempamerkan kepada umum kitab-kitab ulama yang menyalin isi kandungan kitab Dala’il al-Khayrat bermula 11 Mac sehingga 31 Ogos ini.

Menurut Kurator Muda MKIM, Izuan Fadzil Mohammad, pameran tersebut menampilkan 27 buah koleksi kitab sedemikian yang ditulis oleh ulama dari Maghribi, Asia Tenggara, China, Turki, Afrika Utara dan India.

“Himpunan kitab-kitab berkenaan bermula dari abad ke-16 hingga abad ke-19,” katanya ketika ditemui semasa sesi pra tonton media mengenai pameran itu di MKIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.



TERPANJANG...Izuan Fadzli Mohammad menunjukkan lampiran kertas yang mengandungi hampir keseluruhan isi kandungan kitab Dala`il al-Khayrat di MKIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pada itu, pameran tersebut turut menampilkan sebuah manuskrip berbentuk sehelai kertas panjang yang menghimpunkan semua kandungan kitab Dala`il al-Khayrat dan ia dihasilkan oleh al-Hafiz Mahbub Muhammad dari Loharu, India pada tahun 1879.

“Para pengunjung juga akan dapat mengetahui kandungan Dala’il al-Khayrat dan memahami isi, lapan ahzab (selawat harian) serta elemen-elemen penting yang terdapat di dalam manuskrip selawat ini.

“Pameran ini turut memberi peluang kepada para pengunjung untuk menyaksikan kepelbagaian ciri-ciri Dala’il al-Khayrat dari rantau yang berbeza seperti Afrika Utara, Asia Tengah, Turki, Benua Kecil India, China dan Asia Tenggara,” katanya.

BAHAGIAN MENARIK

Bahagian menarik di dalam manuskrip ini adalah halaman berilustrasi dengan imej raudah, mimbar, Mekah dan Madinah. Pada bahagian permulaan manuskrip itu, Imam Al–Jazuli menulis:

“Ini merupakan penerangan tentang al-Rawdah al-Mubarakah (Taman Indah dan Barakah), tempat di mana Nabi Muhammad SAW dimakamkan bersama-sama dua sahabat baginda iaitu Saidina Abu Bakar r.a. dan Saidina Umar r.a.”

Selain itu, bahagian khas mengenai Nabi Muhammad SAW dan tradisi berselawat ke atas baginda SAW akan membantu para pengunjung terutamanya yang bukan beragama Islam untuk memahami tentang kehidupan baginda.

“Inilah tujuan kenapa Dala’il al-Khayrat menekankan perihal kecintaan mendalam terhadap Nabi Muhammad SAW dan menjadi inspirasi dalam tradisi selawat yang masih di amalkan sehingga ke hari ini,” kata Izuan Fadzil.- Gambar WAHIDAH ZAINAL

Mari berkenalan dengan tiga jenis mimpi

“APA maksud mimpiku malam tadi? Nak dibiarkan berlalu sayang rasanya sebab nampak macam menarik. Nak ditafsir terlalu rumit, macam tiada punca dan hujung pangkalnya,”

Soalan ini lazimnya selalu berlegar dalam minda sejurus pagi menjengah. Apa yang dilihat malam tadi nampak kabur, bercampur baur dengan bayangan yang seakan jelas. Hati cuba mencari jawapannya kerana manusia tidak mampu menanggung misteri yang terkunci dalam minda. Indah sekali Islam yang dibawa Rasulullah SAW iaitu ketika manusia meraba-raba mencari maksud mimpinya, baginda SAW selaku wakil Allah yang bertauliah merungkaikan misteri berkaitan mimpi dengan sabdanya:

“Apabila waktu (kiamat) semakin dekat, hampir sahaja mimpi seorang Muslim tidak mendustainya. Orang yang paling benar mimpinya adalah orang yang paling benar lidahnya. Mimpi orang Islam adalah satu bahagian daripada 45 bahagian kenabian. Mimpi itu tiga jenis: mimpi yang benar adalah perkhabaran gembira daripada Allah, mimpi gangguan daripada syaitan (untuk menyedihkan) dan mimpi yang dipengaruhi oleh jiwa seseorang (psikologi). Sekiranya kamu bermimpi sesuatu yang tidak kamu sukai, maka bangunlah bersolat dan usahlah diceritakan mimpi itu kepada manusia,” -Sahih Muslim.

Jenis-jenis mimpi:

Mimpi mainan tidur - banyak dipengaruhi oleh emosi dan psikologi. Anda boleh cuba eksperimen mudah bagi menghadiahkan mimpi jenis ini kepada teman anda. Bagaimana? Siram air kepada teman anda yang sedang nyenyak tidur, besar kemungkinan mimpinya berkisar dalam lingkungan air.

Saya pernah menonton dokumentari berkaitan ular tedung ganas dari Mesir. Sejurus selepas itu, saya bermimpi sang ular menyeringai ganas ke arah saya. Kuat sekali memori sang ular terpahat dalam minda saya sehingga bayangannya menjengah masuk ke dalam mimpi. Ketika paginya saya pasti sang ular yang muncul dalam mimpi itu adalah imbasan memori ular yang ditonton dan bukannya “petanda saya didengki atau disihir sesiapa.”

Jangan terpengaruh dengan taktik licik syaitan


UMAT Islam sungguh beruntung kerana memiliki agama yang merungkaikan persoalan misteri mimpi yang selalu menjadi tanda tanya kepada manusia. - GAMBAR HIASAN

Mimpi jenis ini dipanggil “Adghathu Ahlam” atau mimpi mainan tidur sebagaimana jawapan mudah para menteri Mesir menyimpulkan mimpi yang berterusan menghantui sang raja:

“Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata: “Sesungguhnya aku mimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua kaum (yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menafsirkan mimpi”. Mereka menjawab: “Yang demikian itu ialah mimpi yang bercampur aduk dan kami bukanlah orang yang mengetahui mimpi (yang sedemikian) itu,” (Yusuf[12:43-44]).

Ayat di atas menyebut ia adalah mimpi yang bercampur aduk kerana sukar dilihat hujung atau pangkalnya. Orang yang mendapat mimpi ini ketika sedar pada awal paginya pasti kebingungan kerana mimpinya berserabut dan bercampur aduk. Bahkan perkataan “Adghath” sendiri merujuk kepada himpunan rumput jerami yang berserabut susun aturnya sama seperti serabutnya mimpi jenis ini (Tafsir al-Razi). Hatta jika anda bermimpi dihadiahkan keris Taming Sari oleh Hang Tuah sekalipun, itu mungkin boleh berlaku kerana minat mendalam terhadap hikayatnya.

Mimpi gangguan syaitan iaitu makhluk yang sudah mengikat janji untuk merosakkan manusia sehingga kiamat. Misinya ini berlaku secara rohani, mental dan fizikal. Serangan mental dan emosi paling mudah dijalankan kerana syaitan adalah makhluk yang lain jisimnya. Laluan perjalanan mereka merentas tubuh manusia melalui pembuluh darah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya syaitan (mampu) bergerak dalam (tubuh) manusia melalui pembuluh darah,” - Sahih Bukhari dan Muslim.

Pernah pada suatu pagi, saya menerima panggilan telefon daripada seorang pelajar, suaranya cemas seakan sesuatu yang buruk baharu sahaja berlaku. Dia bertanya:

“Ustaz pandai tafsir mimpi? Saya mendapat mimpi yang sangat ngeri, rumah kami terbakar dan habis semua ahli keluarga hangus dijilat api,”

Saya bertanya suatu soalan mudah bagi mengesan “jenis mimpi ini”: “Bila awak bermimpi?”

Beliau menjawab: “Baru sekejap, lebih kurang pukul 9 pagi.”

Saya memotong tuntas: “Sebenarnya kebenaran mimpi bersangkut juga dengan masa tidur. Sefaham saya, waktu Dhuha adalah waktu manusia keluar bekerja dan bukannya waktu tidur. Syaitan suka manusia pasif tidur pada waktu ini kerana ia tambah melemah dan memalaskan manusia. Awak anggaplah ia sekadar mimpi gangguan syaitan yang mahu menakutkan awak. Berdoa kepada Allah agar perkara tersebut dihindari.”

Mimpi yang benar atau perkhabaran gembira untuk orang soleh. Sabda Rasulullah SAW:

“Tidak tinggal lagi kenabian melainkan al-Mubasysyirat (perkhabaran gembira). Para sahabat bertanya apakah perkhabaran gembira itu? Baginda menjelaskan: Ia adalah mimpi yang benar,” - Sahih Bukhari

Menurut para ulama Tafsir (Tafsir Ibn Kathir), mimpi yang benar juga tergolong dalam perkhabaran gembira yang diperlihatkan kepada para wali Allah sebagaimana firman-Nya:

Maha Suci Allah! Umat Islam sungguh beruntung kerana memiliki agama yang merungkaikan persoalan misteri mimpi yang selalu menjadi tanda tanya kepada manusia.

Ketika orang bukan Islam kebingungan mencari erti di sebalik mimpi mereka, Islam sudah lama menyelesaikan pencarian itu melalui medium wahyu.

Sungguh masih banyak isu mimpi yang boleh dijelaskan seperti waktu mimpi yang benar, kisah mimpi dari al-Quran dan hadis, pensyariatan beberapa hukum pada zaman Rasulullah melalui mimpi, persoalan mimpi orang bukan Islam dan sebagainya. Bicara ini saya hentikan seketika bagi memberi laluan kepada anda semua untuk bermimpi.

TAKTIK JAHAT SYAITAN

Syaitan sebagai makhluk pembelit nombor satu boleh merosakkan keharmonian masyarakat dengan menimbulkan berbagai mimpi yang menimbulkan bibit curiga. Contohnya si fulan bermimpi jatuh tersungkur ditolak temannya dari tempat tinggi. Temannya pula memang sudah ada sedikit perselisihan faham dengannya. Mimpi ini pula diulang tayang oleh syaitan berkali-kali sehingga mangsa sering tersedar di tengah malam dalam ketakutan. Akhirnya, wajah temannya “yang tidak bersalah itu” dipahat sebagai bersalah oleh syaitan yang mencipta mimpi. Akibatnya, mangsa mulai memandang serong temannya itu. Sebarang tingkah temannya dicurigai. Bantuan temannya direnung dalam bacaan buruk sangka yang maha dahsyat.

Dalam situasi begini, ilmu memainkan peranan besar dalam membantu seseorang menangkis serangan mental dari syaitan. Rasulullah SAW mengajar kita cara mudah menangani mimpi ini dengan sabdanya:

“Apabila seseorang kamu bermimpi sesuatu yang disukainya, ketahuilah ia daripada Allah maka pujilah Allah atas mimpi tersebut dan berbicaralah tentangnya. Akan tetapi apabila seseorang itu bermimpi yang lain iaitu sesuatu yang tidak disukai, ketahuilah ia daripada syaitan. Maka hendaklah dia memohon perlindungan dengan Allah daripada kejahatannya. Jangan juga diceritakan mimpi itu kepada sesiapapun kerana mimpi itu tidak akan memudaratkannya,” - Sahih Bukhari.