March 30th, 2016

Budaya integriti penjawat awam

Sejak akhir-akhir ini banyak diperkatakan mengenai isu yang melibatkan integriti terutamanya dalam kalangan penjawat awam. Isu penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, rasuah, penyelewengan walaupun dilakukan oleh segelintir individu penjawat awam namun tempiasnya tetap terkena kepada keseluruhan penjawat awam yang berada di negara ini.

Adalah penting untuk diketahui bahawa tidak semua penjawat awam dalam negara ini tidak mengamalkan budaya integriti seperti yang telah ditetapkan. Kebanyakan penjawat awam masih mendukung prinsip integriti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing bagi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada semua lapisan masyarakat dengan sedaya upaya mereka.

Apa yang dimaksudkan dengan integriti? Integriti secara umumnya adalah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu dan sesebuah organisasi. Isu integriti berkait rapat de­ngan isu etika dan nilai-nilai murni dalam diri seseorang dan sesebuah organisasi.


PENTING bagi semua penjawat awam melaksanakan segala tugas dan amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya supaya kepercayaan masyarakat umum terhadap perkhidmatan mereka tidak terjejas. – GAMBAR HIASAN

Integriti penjawat awam pula merujuk kepada apabila seseorang menjawat apa-apa sahaja jawatan yang diamanahkan dalam perkhid­matan kerajaan, penjawat awam terbabit perlu bertindak secara ju­jur dan amanah mengikut bidang kuasa dan tugasnya, telus, tiada konflik peribadi, berwibawa, akauntabiliti serta patuh kepada segala peraturan dan undang-­undang yang ditetapkan.

Apabila berlaku sesuatu konflik kepentingan, keutamaan haruslah diberikan kepada kepentingan awam. Oleh itu, adalah penting bagi semua penjawat awam melaksanakan segala tugas dan amanah yang diberikan dengan sebaiknya supaya kepercayaan masyarakat umum terhadap penjawat awam tidak terjejas sehingga boleh mengganggu kestabilan dan keharmonian negara.

Kerajaan telah lama cuba untuk menerapkan perkhidmatan awam yang lebih berkualiti serta berintegriti dalam negara ini melalui pengenalan beberapa dasar dan polisi yang berkaitan mulai dengan me­lancarkan kempen Bersih, Cekap dan Amanah pada 1982, kempen Kepimpinan Melalui Teladan pada 1983, Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam pada 1985, Etika Kerja Islam pada 1987, Budaya Kerja Cemerlang pada 1989, Anugerah Kualiti pada 1990, Piagam Pelanggan pada 1993, e-kerajaan dan MS ISO 9000 pada 1996, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada 2002, petunjuk prestasi utama (KPI) dan Islam Hadhari pada 2005 dan lain-lain langkah lagi.

Segala dasar dan polisi berkaitan yang dilaksanakan seharusnya di­amalkan oleh semua penjawat awam dengan sepenuh hati supaya mereka dapat melakukan sebarang tugas yang diberikan dengan baik dan cekap.

Selain pelaksanaan dasar dan polisi, pihak kerajaan juga mengeluarkan banyak pekeliling perkhid­matan awam bagi memberi garis panduan kepada setiap penjawat untuk membudayakan sikap inte­griti dalam melaksanakan sesuatu tugas atau amanah yang diberikan kepada mereka seperti Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam. Bil. 1. 2008, Panduan Pengurusan Perhubungan Pelanggan, Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam. Bil. 1 2009, Penambahbaikan Proses Pengurusan Aduan Awam, Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam Bil. 2, 1996, Panduan Melaksanakan ISO 9000: 2000, Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5, 2007. Panduan Pengurusan Pejabat dan lain-lain lagi.

Pada 24 Julai 2013, Jabatan Per­khidmatan Awam (JPA) juga mengeluarkan Pekeliling Perkhid­matan Bil.6/2013 mengenai Penubuhan Unit Integriti di Semua Agensi Awam.

Unit Integriti (UI) adalah sebuah unit yang ditubuhkan di setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau pun di peringkat negeri yang bertanggungjawab menguruskan dan melaksanakan inisiatif-inisiatif penginstitusian integriti, pencegahan, pematuhan, pengesanan salah laku dan tindakan punitif dengan secara yang lebih fokus, terancang, efisien dan optimum.

Segala garis panduan yang dike­luarkan perlu diikuti dengan sebaik-baiknya supaya sesuatu tugas atau amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Sikap integriti serta akauntabiliti adalah antara prinsip yang perlu ada dalam setiap penjawat awam dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

Pelaksanaan tanggungjawab yang diamanahkan yang disertakan dengan amalan prinsip-prinsip integriti akan dapat memastikan segala peruntukan yang diberikan kepada setiap agensi, program, aktiviti atau projek dapat disalurkan kepada pihak yang sepatutnya tanpa menghadapi risiko ketirisan atau kebocoran.

Nilai-nilai integriti yang telah lama disuruh dalam Islam juga perlu dihayati serta diamalkan oleh semua penjawat awam khususnya buat penjawat awam yang beragama Islam.

Islam menegah umatnya untuk melakukan sesuatu perkara yang sia-sia, yang tidak membawa apa-apa faedah serta yang boleh membawa kepada kemusnahan. Allah SWT berfirman dalam Surah Al - Maidah: Ayat 2 - “Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan takwa, janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan perlanggaran”.

-

Hati tak tenteram selagi diselubungi dosa

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Seorang hamba apabila melakukan sesuatu kesalahan (dosa), maka dititikkan dalam hatinya satu titik hitam. Apabila ia meninggalkannya dan meminta ampun serta bertaubat, hatinya dibersihkan. Apabila ia kembali (berbuat maksiat), maka ditambahkan titik hitam itu hingga menutupi hatinya. Itulah diistilahkan 'ar-Raan' yang Allah sebutkan dalam firman-Nya (mafhumnya): ''sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka". (Riwayat at-Tirmizi)

Rasulullah SAW menerangkan menerusi sabdanya itu bahawa amalan maksiat amat berpengaruh terhadap hati Mukmin di mana ia menjadi punca hati Mukmin itu menjadi hitam dan gelap, dapat merosakkan sendi keimanan dan menghapuskan pahala yang dikumpul Mukmin.

Adat manusia mengisi waktunya siang dan malam dengan amalan maksiat, sama ada maksiat kepada Allah dan Rasul-Nya iaitu meninggalkan perintah Allah seperti solat lima waktu, ataupun melakukan larangan Allah seperti berjudi, berzina, minum arak dan sebagainya.

Maksiat juga berpunca daripada anggota tubuh seperti suka ghibah, memfitnah, menipu, menatap lawan jenis (tidak halal) dengan bernafsu, sumbang mahram, mengadu domba, membuat tuduhan liar dan pelbagai perbuatan tercela lainnya.

Seseorang Mukmin yang benar-benar beriman pasti bersungguh-sungguh menjauhi sebarang bentuk maksiat.

Pertama kerana beliau tahu Allah SWT murka terhadap sebarang bentuk perbuatan maksiat dan kejahatan.

Kedua, perasaan malunya kepada Allah SWT kerana melakukan amalan yang dibenci-Nya sedang dia tahu bahawa Allah SWT Maha Melihat dan sentiasa mengawasinya setiap saat.

Mukmin yang beriman akan berusaha bersungguh-sungguh menjauhi maksiat kerana perasaan malu kepada Allah SWT. - Gambar hiasan


Bahayakan hati, fizikal

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah mengatakan bahawa maksiat sangat berbahaya terhadap hati dan fizikal.

Sesiapa yang masih hidup dengan bergelumang maksiat, dia hanya akan merosak kehidupannya dan membawa kecelakaan di dunia dan akhirat.

Banyak pengaruh buruk akibat maksiat antaranya seseorang itu akan menemukan perasaan terasing, yakni antara pelaku maksiat dengan Allah SWT.

Seseorang Mukmin yang bergelumang maksiat tidak mungkin dapat melakukan ketaatan kepada Allah. Sebaliknya, dia akan menjadi hamba syaitan, dan dia akan menjadi terasing dan akan jauh daripada mendapat petunjuk.

Keterasingan itu tidak akan dapat diganti dengan segala bentuk kenikmatan apapun di dunia ini. Apa juga kelazatan walau disatukan, tetap tidak akan dapat memberinya kepuasan.

Akibatnya, ia akan terasa hidupnya sangat sengsara. Seorang ahli makrifat mengatakan: "Jika kamu menemukan keterasingan dalam dirimu disebabkan perbuatan dosa, maka bersegera tinggalkan dosa dan maksiat.

Tiada hati yang tenteram dengan perbuatan dosa". Seorang Mukmin juga tidak akan mendapat menggapai takwa selagi maksiat menjadi amalan hidupnya. Insaflah bahawa segala amal kejahatan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah di akhirat dan pelakunya akan menerima azab seksaan Allah SWT.

Pelaku maksiat sentiasa resah

Saidina Ali berkata: "Hari ini (di dunia) adalah masa beramal (soleh) dan tidak ada hisab padanya, manakala hari esok pula (di akhirat) adalah waktu perhitungan (hisab) dan tidak ada peluang untuk beramal".

Pelaku maksiat juga akan sentiasa berperasaan resah, dihantui dosa. Sementara akal tidak lagi berfikiran jernih.

Orang yang bergelumang maksiat dibimbangi mati dalam keadaan menimbun dosa dan tidak sempat bertaubat.

Maka, seorang Mukmin jangan menganggap remeh suatu dosa atau maksiat yang diperbuat kerana dibimbangi kebaikan dan ibadahnya akan terhapus disebabkan perbuatan dosanya.

Terpedaya dengan syaitan

Mukmin yang menganggap remeh suatu dosa, bererti dia telah terpedaya oleh syaitan walaupun orang berkenaan telah banyak beramal.

Tsauban berkata, Nabi SAW bersabda (mafhumnya) : "Aku benar-benar melihat di antara umatku pada hari kiamat nanti, ada yang datang dengan membawa kebaikan sebesar gunung Tihamah yang putih, lalu Allah menjadikannya seperti debu berterbangan (kebaikan itu tiada nilainya), Tsauban bertanya, ya Rasulullah, jelaskan kepada kami siapa mereka itu agar kami tidak seperti mereka sementara kami tidak mengetahui! Baginda bersabda, mereka adalah saudara kalian dan sebangsa dengan kalian, mereka juga bangun malam seperti kalian, akan tetapi apabila mendapat kesempatan untuk berbuat dosa, mereka melakukannya". (Riwayat Ibnu Majah).

Indeks Syariah Malaysia demi kelestarian sejagat

Sistem keadilan pada hari ini lebih berbentuk punitif dan rehabilitatif. Lebih berbentuk hukuman dan pembaikan kelakuan pesalah jenayah. Untuk membaiki kelakuan pesalah, program demi program diperkenalkan.

Kosnya juga amat tinggi. Hasilnya, amat mendukacitakan apabila pesalah kembali melakukan jenayah. Sistem pemenjaraan juga memberi beban kepada kerajaan.

Sistem pemenjaraan terlalu lama tanpa sebarang pekerjaan ditawarkan akan menjadikan banduan tepu dan buntu serta dan mengakibatkan trauma kebosanan melampau yang beri kesan negatif kepada mental.

Kaedah ini diguna pakai ketika zaman British sejak kedatangan Francis Light.


Mahkamah kehakiman. - Gambar hiasan

Fokus utama sistem punitif adalah pembayaran denda dan penjenayah.

Penjenayah akan dipenjarakan dan diberi kesedaran dalam program pemulihan.

Denda yang dibayar pesalah tidak diberi kepada mangsa jenayah.

Harapkan takaful, insurans

Keluarga mangsa lebih mengharapkan kepada takaful, khairat kematian atau insurans untuk menampung kos pengebumian serta kelestarian hidup.

Muka yang dicurah asid, keluarga yang hilang mata pencarian, akan menderita.

Mereka harus mengeluarkan kos sendiri demi membaiki kerosakan yang telah dilakukan oleh penjenayah.

Keluarga bagi mangsa pembunuhan mungkin kehilangan tempat bergantung jika yang dibunuh itu adalah pencari rezeki bagi sesebuah keluarga.

Mangsa serangan asid akan hilang nikmat fizikal dan mengalami gangguan psikologi. Tak kurang juga kehilangan kos ekonomi seperti terpaksa berhenti kerja kerana sakit atau trauma.

Mangsa rogol akan kehilangan harga diri, trauma mental dan ekonomi. Semua mangsa ini tidak mengalami kesan ini secara perseorangan.

Suami akan terganggu dan dianggap sebagai mangsa kedua jika isterinya adalah mangsa rogol atau mangsa simbahan asid.

Tempias trauma akan dialami juga oleh mangsa ketiga iaitu keluarga seperti ibu bapa, anak dan sebagainya untuk berdepan dengan masyarakat jika jenayah berkenaan memalukan. Inilah dilema masyarakat sekeliling jika jenayah berterusan dan cara pengendaliannya masih sama.

Keadilan restoratif atau lebih dikenali dengan 'restorative justice' dibangunkan oleh Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi pelbagai wacana konvensyen antarabangsa.

Ia adalah kaedah di mana mangsa jenayah diberi hak bersuara. Kaedah ini juga beri peluang kepada penjenayah menebus kesalahan dan membayar kerosakan yang diakibatkan kepada mangsa, masyarakat dan juga negara.

Kaedah ini membawa bersama kekuatan komuniti untuk bersuara memberi pandangan terhadap kesan jenayah ke atas komuniti setempat.

Kaedah ini juga menggalakkan mediasi antara penjenayah dan mangsa. Proses ini amat penting kerana mampu melahirkan rasa keinsafan penjenayah serta kekuatan dalaman terhadap mangsa.

Mangsa juga berpeluang menyertai prosiding mahkamah untuk menyatakan pandangan mengenai kerosakan yang dilakukan sama ada dari segi fizikal, mental, ekonomi dan sosial.

Keadilan restoratif pada hari ini mampu mengelakkan perkara ini terus berlaku. Keadilan kepada mangsa harus dibela dengan telus.

Ada beberapa undang-undang kita mengamalkan keadilan restoratif. Pujian harus diberi kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang memperkenal khidmat sosial sebagai satu cara bentuk hukuman kepada pesalah juvana.

Bayaran pampasan

Yang terbaru adalah Akta Kanun Acara Jenayah memperkenal Victim Impact Statement (VIS) yang beri peluang kepada mangsa untuk menyatakan kehilangan serta kerosakan dialami akibat jenayah.

Keadilan restoratif memperkenalkan bayaran pampasan diberikan kepada mangsa jenayah oleh kerajaan. Selain itu, kaedah ini juga membantu mangsa jenayah mendapat bayaran ganti rugi daripada penjenayah.

Kaedah ini lebih mirip kepada pembayaran al-diyat dalam sistem Islam. Lebih menarik lagi, kuasa hukuman diberi kepada mangsa untuk menentukan bentuk hukuman.

Mangsa dibenarkan meminta pampasan, menentukan hukuman atau memaafkan pesalah. Oleh kerana Malaysia menuju ke arah Indeks Syariah Malaysia, mungkin kaedah ini boleh dipertimbang dan diperluaskan demi kelestarian hidup sejagat.

Indeks Syariah dibangunkan bagi mengukur keseriusan kerajaan dalam mencapai lima aspek maqasid syariah iaitu pemeliharaan nyawa, akal, keturunan, agama serta harta. Jelas, keadilan restoratif menjamin pemuliharaan bagi lima perkara diatas.