April 5th, 2016

Mencipta Dunia Dalaman yang Positif

CUBA bayangkan dua jenis kehidupan manusia, iaitu pertama seorang yang selalu risau atau susah hati, sakit hati dan bimbang. Perkataan yang mereka suka sebut, “kalau”, “tetapi” “nanti”, “tengoklah” dan sebagainya yang semuanya negatif. Cuba lihat orang macam ini, bagaimanakah hasil kehidupan mereka? Biasanya orang yang berfikiran negatif begini, hidup mereka selalu tidak sihat, duit pun tidak banyak, isteri/suami memberi masalah, anak-anak pula degil, dan hidup mereka tidak habis-habis dengan masalah.

Kedua, seorang yang sentiasa tenang, bahagia, baik, sihat, hidup suami isteri harmoni, penuh kasih sayang dan saling mempercayai, anak-anak mereka semuanya berjaya. Apabila kita bercakap dengan mereka, mereka sentiasa senyum, dan perkataan yang selalu keluar daripada mulutnya, “alhamdulillah” dan “syukur”. Mereka sangat bahagia dan sangat murah hati.

Cuba bezakan antara dua jenis manusia ini. Kalau dilihat dari segi fizikal mereka sama sahaja; ada mata, hidung dan semua anggota badan lengkap. Kadang-kadang dua jenis manusia ini duduk di kampung yang sama atau mungkin di dalam rumah yang sama atau mungkin bilik yang sama. Tetapi, apakah yang membezakan mereka? Yang membezakan mereka adalah pemikiran; iaitu cara mereka berfikir. Sebab siapa yang berfikiran sangat positif, emosi mereka sangat positif, sangkaan mereka positif, tindakan mereka pun positif, dan jangkaan mereka juga positif. Jika kita berfikiran sebaliknya (negatif) segala-galanya juga akan menjadi negatif.

Semua orang menginginkan hidup yang positif, lebih tenang, ingin lebih bahagia, dan seronok dalam semua perkara yang dilakukan. Namun begitu, tidak semua orang dapat mengecap rasa positif tersebut dalam kehidupan ini, kerana mereka selalu berasakan diri mereka menjadi mangsa kehidupan, serta faktor sekeliling sering mempengaruhi dan menjadikan hidup mereka negatif.

Sebenarnya apa-apa yang berlaku ke atas kita adalah tindak balas atau respons daripada apa yang kita lakukan terhadap orang lain. Lantaran itu sangat perlu kita mencipta dunia dalaman kita yang baik, supaya kita dapat mempamerkan dunia luaran fizikal kita yang baik iaitu dari segi kesihatan, ketenangan, kebahagiaan dan kekayaan. Apabila kita berfikir yang baik, insya-Allah emosi akan baik, emosi yang baik menghasilkan tindakan yang baik. Tindakan yang baik akan menghasilkan kehidupan yang baik.

Apabila kita tidak disukai orang, kita selalu menyalahkan orang, kita tidak cermin diri kita sendiri untuk melihat kekurangan diri, hingga menjadikan orang berpandangan negatif terhadap kita. Dan selalunya apabila kita ada masalah, kita mengatakan jadi macam ini sebab kesilapan ibu bapa mendidik kita semasa kita kecil. Atau kita mendakwa sebab di sekolah kita tidak mendapat perhatian daripada guru dan guru pilih kasih, maka kita tertinggal dalam pelajaran. Atau kita menyalahkan kawan-kawan yang kita anggap selalu menganiayai kita. Sedangkan kita tidak pernah merenung diri dan bertanya mengapa orang sekeliling kita bersikap negatif terhadap kita, hingga kita tidak bahagia. Sedangkan bahagia itu anugerah Allah SWT yang perlu diusahakan.

Tip untuk bahagia, buat yang disuruh tinggalkan yang dilarang, dengan menggunakan formula, “HIDUP DARI DALAM KE LUAR” bukan “HIDUP DARI LUAR KE DALAM”. Orang yang “HIDUP DARI DALAM KE LUAR”, kental semangat tidak mudah dipengaruhi tetapi mempengaruhi orang lain menjadi baik/jernih seperti mereka. Orang yang “HIDUP DARI DALAM KE LUAR”, mempunyai kekuatan dalam jiwa dan rohnya sendiri, sehingga tidak mudah dipengaruhi oleh persekitaran. Maksudnya, diri kita yang mencipta suasana, menarik orang lain ke dalam suasana yang kita cipta. Sebaliknya orang yang hidupnya “DARI LUAR KE DALAM”, suasana yang mempengaruhi kehidupannya, hingga mudah orang memperdayakannya, untuk memilih kehidupan yang negatif.

Sebab itu kekuatan dalaman amat penting untuk menempuh kehidupan ini. Satu kajian telah dilakukan oleh Brucelipton, dia meletakkan sel dalam persekitaran yang berbeza iaitu dalam patrij (alat untuk meletakkan sel) yang berbeza. Sel kalau diletakkan pada lutut ia menjadi organ lutut. Jika diletakkan di jantung ia akan menjadi organ jantung. Sel boleh berubah-ubah mengikut dalam persekitaran mana sel itu diletakkan.

Maknanya, manusia boleh berubah sikapnya bergantung pada persekitaran mana ia diletakkan. Kajian yang dilakukan oleh pakar sel tersebut mendapati bahawa sel-sel yang diletakkan dengan hormon yang berlainan akan menyebabkan sel itu berubah mengikut jenis hormon yang diletakkan kepadanya. Bayangkan dalam tubuh manusia ini ada 50 trilion sel, yang ditutup oleh kulit yang diibaratkan nisbahnya satu peratus (%) untuk kulit/luaran dan 99 % untuk dalaman seluruh tubuh kita yang mempunyai 50 trilion sel.

Renungkanlah, berdasarkan fakta tersebut, yang mana satu lebih penting kita jaga, (luaran/fizikal (1%) atau dalaman (99%)? Dunia sekarang menjadi kacau kerana manusia lebih tumpukan atau fokuskan untuk kehebatan yang 1% (luaran) bukan untuk kehebatan 99% (dalaman). Banyak orang lebih pentingkan kecantikan luaran; baju cantik, rumah besar, kereta besar dan seumpamanya, tetapi tidak ramai orang yang fokuskan kecantikan dalaman; pembinaan jiwa dan sistem nilai.

Untuk “HIDUP DARI DALAM KE LUAR”, kita perlu mendekatkan diri kepada Allah atas kesedaran ketuhanan yang tinggi dengan membina sikap positif. Antara sikap positif itu contohnya, suka bekerjasama, kalau bercakap menjaga silaturahim, penuh kasih sayang, suka melihat kebaikan dan kecantikan manusia dan semua makhluk Allah, suka perbaiki diri, terima manusia seadanya, sentiasa hendak membantu dan memberi bukan sentiasa hendak mendapat atau menerima.

Sebab itulah banyak orang yang asyik hendak dapat atau menerima, tetapi amat kurang orang yang lebih hendak memberi. Orang yang paling bijak ialah orang yang sibuk menyemai benih kehebatan dalaman seawal usianya, kerana dia akan menuai hasilnya pada usia dewasanya. Buatlah satu perubahan untuk membetulkan dalaman diri. Set semua (reset) minda dengan membersihkan jiwa dan melihat semua perkara, dengan “mata hati” untuk “memberi”. Kebahagiaan akan datang kalau kita meletakkan harga diri kita di tempat yang tinggi. Sebab orang yang bahagia ialah orang yang banyak memberi, bukan orang yang banyak menerima.

Biasa kita temui orang yang tidak berkemampuan, tetapi mereka tidak meminta-minta, sebaliknya berusaha sendiri untuk meneruskan hidup dan menerima kehidupan yang ala kadar itu dengan penuh keredaan dan kesyukuran. Orang yang ada harga diri, malu untuk mendapatkan sesuatu dengan percuma. Jika mendapat sesuatu, mesti mereka hendak memberi kembali. Kita tidak akan bahagia, jika kita sentiasa menghendaki sesuatu secara percuma sahaja. Hal ini adalah kerana rezeki datang daripada Allah melalui usaha, bukan apa yang kita dapat melalui pemberian orang sahaja. Oleh sebab itu berusahalah untuk mendapat sesuatu yang kita inginkan dalam hidup. - Dr. Muhaya Muhamad Utusan Malaysia Rencana 03 April 2016 6:12 PM

Wajibkah wang hantaran?

WANG yang dihantarkan oleh pihak pengantin lelaki kepada pihak pengantin pe­rempuan, itu adalah definisi wang hantaran menurut Kamus Dewan, tanpa menyebut sama ada ia wajib dihantarkan, ataupun tidak. Dalam rukun nikah, tidak juga disebut wang hantaran sebagai sebahagian daripada rukun berkenaan. Maka, di mana kedudukan wang hantaran?

Dalam ayat empat Surah an-Nisa’, Allah SWT berfirman untuk menjelaskan bahawa mas kahwin itu sebagai pemberian yang wajib, dan supaya tidak ada perkahwinan secara percuma dalam kalangan pasangan Islam, jika kita merujuk mafhum ayat 24 surah yang sama. Antara maksudnya, “Dihalalkan kepada kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu untuk kamu mencari isteri dengan harta kamu secara berkahwin, bukan secara berzina.”


Jumlah yang disebut semasa akad itulah mas kahwin atau mahar. Jika ia tidak disebut, ia tetap suatu jumlah yang munasabah dengan neraca mahar misil. GAMBAR HIASAN

Biasanya mas kahwin disebut dalam akad pernikahan. Tetapi, jika tidak disebut, maka kedua-dua pihak dalam perkahwinan harus memahami bahawa pengantin lelaki perlu membayar mas kahwin menurut konsep mahar misil. Iaitu dengan melihat berapa kadar mas kahwin yang pernah diberikan kepada saudara atau ahli kerabat perempuan di pihak pengantin perempuan ketika mereka berkahwin sebelum itu. Apa yang penting, mas kahwin mesti ada untuk isteri yang dinikahi walaupun tidak dibayar secara tunai. Sama ada secara hutang, atau beransur-ansur.

Dalam ayat 27, Surah al-Qassas menyebut yang membawa maksud bahawa, bapa pengantin perem­puan (Nabi Syuaib) berkata kepada Nabi Musa, “Aku kahwinkan kamu dengan salah seorang anak perempuanku dengan syarat kamu harus bekerja denganku selama lapan tahun.” Berdasarkan ayat ini apa yang dapat penulis fahami, walilah yang menentukan bentuk dan kadar mas kahwin secara tepat untuk perempuan yang berada di bawah perwaliannya. Cuma ia haruslah berada dalam lingkungan yang dijelaskan oleh ulama, dan yang mendapat pengiktirafan oleh masyarakat setempat.

Mazhab Hanafi dan Hanbali menyatakan kadar mahar mestilah sekurang-kurangnya sebanyak 10 dirham, berdasarkan rujukan mereka pada sebuah Hadis Rasulullah SAW. Di sini, penulis cuba mengambil kadar dirham dari mata wang Emiriah Arab Bersatu (UAE). Maka, pada 1 April 2016, 10 dirham adalah bersamaan dengan RM10.65.

Dari situ, kita boleh lihat walaupun negeri-negeri di Malaysia tidak mempunyai kadar seragam dalam meletakkan jumlah minimum tertentu sebagai kadar mahar kepada wanita Islam, tetapi kadar minimum yang ditentukan oleh kerajaan negeri masing-masing tidaklah sebanyak RM10.65. Walaupun demikian, kadar-kadar yang berbeza di negeri-negeri ini perlulah disemak dari semasa ke semasa supaya dasar atau polisi yang ditetapkan tidak melangkaui apa yang dibincangkan oleh ulama.

Jangan disebabkan hasrat untuk memudahkan pasangan Islam hendak membina rumah tangga, tidak ada kadar baharu bagi mas kahwin dengan jumlah yang lebih munasabah menurut perubahan semasa. Jika ada pihak yang tidak berkemampuan walaupun ia amat minimum menurut kadar semasa, maka di sinilah peranan baitulmal atau institusi zakat. Ini kerana agama Islam tidak meletakkan status wanita Islam di tahap yang rendah, apatah lagi untuk dipandang rendah oleh sesiapa pun.

Ulama bersependapat syarak tidak menentukan kadar maksimum tertentu bagi mas kahwin. Bermakna, terpulanglah kepada wali atau pengantin perempuan untuk meletakkan kadar atau jumlah mahar yang perlu diserahkan oleh pengantin lelaki. Pengantin lelaki perlu memahami bahawa ini adalah hak bakal isterinya. Haknya adalah ruang perbincangan sekiranya mendapati kadar itu amat membebankan. Mendesak bukanlah akhlak Islam. Ini kerana agama Islam sudah pun memberikan garis panduan terbaik dalam pembinaan perkahwinan.

Jumlah yang disebut semasa akad itulah mas kahwin atau mahar. Jika ia tidak disebut, ia tetap suatu jumlah yang munasabah de­ngan neraca mahar misil. Amaunnya adalah menjadi milik sepenuhnya pengantin perempuan. Ini tidak boleh menjadi hak kepada ahli kerabatnya. Kecuali selepas pengantin perempuan menerimanya, dia menyerahkannya atau sebahagiannya kepada orang lain secara rela hati. Jika mahar tidak disempurnakan pembayarannya sehingga si isteri meninggal dunia, ia wajib dilangsaikan kerana telah menjadi pusaka pihak isteri. Maka, sekali lagi persoalan yang timbul, di mana kedudukan wang hantaran?

Jika merujuk Kelantan, istilah wang hantaran sebenarnya merujuk kepada mas kahwin ataupun mahar. Wang hantaran di Kelantan mempunyai fungsi sama sebagaimana mas kahwin ataupun mahar. Pada pandangan penulis, amalan di Kelantan lebih ringkas dan mudah. Apa pun jumlah yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak, ia akan menjadi hak milik pengantin perempuan sepenuhnya.

Berbanding di negeri-negeri di Pantai Barat, walaupun wang hantaran tetap pemberian dalam bentuk wang daripada pihak pengantin lelaki, ia mempunyai fungsi agak berbeza. Ini kerana wang hantaran lahir daripada budaya, dan bukannya hukum syarak. Ada budaya yang menjadikan wang hantaran sebagai duit yang membiayai majlis perkahwinan. Ada juga budaya yang menjadikannya sebagai milik penuh kepada pengantin perempuan tetapi jumlah itu tidak disebut dalam akad pernikahan. Dari segi hukum syarak, bolehlah ia dianggap sebagai hadiah yang menjadi sebahagian daripada hibah ataupun pemberian.

Satu perkara lain, walaupun jumlah wang hantaran (bagi situasi selain Kelantan) tidak disebut dalam akad, dan tidak diserahkan kepada pengantin perempuan mengikut kepada peranannya yang merujuk kepada amalan kelompok atau daerah masyarakat Melayu tertentu, perjanjian yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak, perlulah ditunaikan. Sebagaimana Allah SWT menyuruh kita supaya menepati perjanjian. Menunaikan janji adalah akhlak seorang Mukmin, manakala sebaliknya adalah sebahagian daripada sifat munafik.

Akhlak Islam adalah membincangkan apa sahaja perkara dengan harmoni dan saling menjaga maruah. Jika kesepakatan gagal dicapai, pelbagai mekanisme telah disediakan Islam. Penulis berpandangan, apabila timbul krisis mengenai wang hantaran, kita seharusnya kembali semula kepada falsafah perkahwinan menurut Islam. Syariah tidak langsung membebankan umatnya dalam hal-ehwal perkahwinan. Ini kerana perkahwinan adalah perkara yang amat dianjurkan oleh Islam, dan amat dibanggakan oleh Baginda Rasulullah SAW.

-

Cara mengenang jasa Nabi Nuh

JASA datuk kita yang kedua, Nabi Nuh a.s. wajib dikenang. Bagaimana caranya? Dengan membina tugu peringatan? Menamakan jalan raya utama di negara umat Islam dengan nama baginda? Menamakan anak umat Islam dengan nama baginda? Memperkenalkan baginda sebagai “chef asal resipi” bubur Asyura?

Memperkenalkan baginda sebagai nabi pertama menemui kayu kokka yang ajaib untuk dijadikan bahan utama bahteranya?

Teguhkan tauhid, hindari perbuatan syirik, khurafat

SEBAHAGIAN ulama mengatakan generasi kedua manusia selepas zaman Nabi Adam a.s. berasal daripada tiga anak Nabi Nuh iaitu, Ham, Sam dan Yafith.- GAMBAR HIASAN

Jangan buat tugu peringatan kerana ia dibenci baginda! Bahkan tujuan utama pengutusan baginda adalah membersihkan penyembahan berhala yang berasal daripada lima tugu peringatan orang alim sebelum baginda.

Pada asalnya Wad, Suwa’, Yaghuth, Ya’uq dan Nasra adalah lima orang soleh yang ditugukan demi mengenang jasa mereka (Tafsir al-Tabari).

Tugu mereka kemudiannya menjadi lima berhala utama zaman sebelum baginda: “Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak). Dan mereka telah menjalankan tipu daya dengan merancangkan rancangan yang amat besar jahatnya (untuk menentang seruanku). “Dan (ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, Suwaa’, Yaghuth dan Ya’uuq serta Nasr,” (Nuh [71:21-23]).

Perlu ditegaskan, bukan tugu, bukan nama jalan atau nama anak, bukan chef pemilik resipi bubur legenda dan bukan juga cerita karut kayu kokka yang perlu diketengahkan untuk mengenang jasa Nabi Nuh a.s. Sebaliknya kenanglah baginda sebagai nabi yang memperjuangkan Tauhid: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya lalu berkatalah ia: Wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepada-Nya?,” (al-Mu’minun [23:23]).

Malang sungguh nasib umat Islam jika terpesong memahami intipati perjuangan dengan benda remeh seperti jenis kayu bahtera nabi Nuh yang ajaib lagi khurafat atau bubur legenda sehingga lupa perjuangan Tauhid baginda yang bukan sekejap, tetapi mencecah 950 tahun.

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggallah dia dalam kalangan mereka selama 950 tahun; akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka),” (al-‘Ankabut [29:14]).


Nabi Nuh penyelamat zuriat manusia

Jasa kedua baginda yang wajib dikenang adalah jasa menyelamatkan zuriat manusia daripada bencana banjir. Tanpa usaha baginda itu, manusia pastinya sudah pupus ditelan banjir. Sebahagian ulama mengatakan generasi kedua umat manusia selepas zaman Nabi Adam a.s. `hanya’ berasal daripada tiga anak baginda iaitu, Ham, Sam dan Yafith. Baki pengikut baginda yang bersama di atas kapal semuanya meninggal dunia tanpa meninggalkan zuriat. Ia difahamkan daripada firman Allah: “Dan Kami jadikan zuriat keturunannya (Nabi Nuh a.s.) sahaja yang tinggal hidup (setelah kami binasakan kaumnya yang ingkar). Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian: Salam sejahtera kepada Nabi Nuh dalam kalangan penduduk seluruh alam,” (al-Saffat [37:77-79]).

Ketika mengulas ayat ini para ulama menyebut zuriat berbagai bangsa manusia pada zaman seterusnya berasal daripada tiga anak baginda. Sam bin Nuh adalah bapa kepada bangsa Arab, Parsi dan Rom. Yafith bin Nuh pula melahirkan bangsa Asia berkulit kuning. Ham bin Nuh pula melahirkan bangsa kulit hitam (Tafsir Ibn Kathir). Hanya Allah yang paling mengetahui perkara ini.

Pun begitu, ada juga sebahagian ulama mengatakan zuriat manusia tidak hanya terbatas kepada tiga anak Nabi Nuh itu sahaja, tetapi turut melibatkan para pengikut baginda yang berbaki di atas bahtera tersebut. Pendapat ini pula disandarkan pada umum ayat ini: “(Wahai) keturunan orang yang telah Kami bawa bersama dengan Nabi Nuh (dalam bahtera) sesungguhnya dia adalah seorang hamba yang bersyukur,” (al-Isra’[17:3]).
Setelah kita tahu jasa baginda yang sangat besar ini, kita sebagai umat Islam wajib membalas jasa baginda dengan meneguhkan Tauhid dan hanya bertuhankan Allah. Hindarilah segala perbuatan syirik dan khurafat. Masuklah melalui pintu agama yang sebenar (iaitu kefahaman sebenar al-Quran dan Sunnah) dan bukannya melalui bumbung atau tingkap, barulah kisah para Rasul terdahulu mampu menjadikan kita semua hamba Allah yang sejati.