April 9th, 2016

Jangan gila nak jadi Arab Oleh Kunta Kinte

CERITA Melayu nak jadi Arab bukan baharu. Kunta Kinte pun dah cerita sebelum ini. Ada orang setuju dan ada yang tak setuju malahan marah. Banyak orang Melayu emosi dan sensitif bila kita sentuh pasal Arab.

Dalam fikiran banyak orang Melayu, orang Arab istimewa. Ada yang percaya darjat orang Arab lebih tinggi daripada bangsa lain. Susah juga Kunta Kinte nak salahkan mereka.




Ada banyak sebab orang Melayu pandang orang Arab macam itu. Yang pertama selalu kita dengar orang kita kata adalah orang Arab keturunan Nabi Muhammad (SAW). Betul dan tak betul.

Ya ada orang Arab keturunan Nabi, tapi sikit saja berbanding dengan bilangan orang Arab yang ada hari ini. Lagi pun kalau kita ikut al-Quran, semua manusia adalah keturunan Nabi - Nabi Adam Alaihis Salam.

Kedua banyak orang kita taksub kepada bangsa Arab pasal merekalah yang paling awal peluk Islam.

Ketiga memanglah kita tak boleh nafi yang sebahagian besar ulama dan cendekiawan Islam dulu dan sekarang adalah Arab.

Keempat dan paling penting, bagi kebanyakan orang Islam, satu-satunya negara asing yang mereka kunjung adalah Arab Saudi bagi menunaikan haji.

Ada yang sekali seumur hidup dan ada yang berulang kali. Jadi tak hairanlah bila ada orang kita yang samakan Arab dan Islam. Bila balik dari Makkah banyak jemaah, khususnya lelaki, yang pakai cara Arab.

Mereka kata ambil berkat. Allahyarham ayah Kunta Kinte pergi haji dua kali. Pergi pakai pakaian biasa, balik pun sama.

Bila emak Kunta Kinte suruh dia pakai jubah dan serban, dia kata: "Aku pi Makkah nak jadi haji bukan nak jadi Arab." Tapi pada akhir-akhir ini nampaknya ada tanda yang kurang baik dan boleh cetus masalah.

Orang kita bukan setakat nak nampak macam orang Arab dengan jubah, serban, janggut, misai dan jambang tapi dah mula terikut-ikut dengan ideologi agama orang Arab.

Yang perempuan pula ada yang tutup muka sampai kita tak kenal anak siapa atau isteri siapa. Ini asalnya pakaian Arab padang pasir sebab mereka kena tutup muka untuk elak pasir masuk mata, mulut dan telinga.

Kakitangan tak boleh tutup muka

Masa Kunta Kinte jadi pengarang di The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Kunta Kinte buat syarat kakitangan wanita tak boleh tutup muka. Mula-mula ada yang kata jangan, takut cetus kontroversi.

Kunta Kinte kata, Islam yang Kunta Kinte tahu tak suruh macam itu. Lagipun kita ada syarat-syarat keselamatan. Kalau tutup muka tinggal mata saja, macam mana nak kenal kakitangan atau pelawat.

Yang paksa Kunta Kinte buat syarat itu adalah kerana ada penuntut perempuan dari institusi pengajian tinggi, khususnya UiTM, yang datang buat latihan amali tutup muka.

Kunta Kinte maklumkan kepada semua IPT, kalau nak hantar penuntut perempuan buat latihan amali dengan NSTP, tak boleh tutup muka. Inilah masalah sesetengah orang kita - nak jadi Arab lebih daripada orang Arab.

Mereka tak tahu atau tak sedar bukan semua orang Arab baik, banyak ilmu dan taat perintah agama. Yang banyak berjudi, pergi kelab malam, minum arak, rasuah, pecah amanah dan tunjuk kekayaan yang bukan-bukan di negara-negara Eropah adalah orang Arab.

Sebenarnya kita di Malaysia ni boleh kata memenuhi firman yang maksudnya: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).] Surah Al-Hujurat: ayat 13.

Kita orang Islam Malaysia dari dulu lagi dah elok. Kita hidup dalam suasana yang Allah terangkan dalam ayat di atas.

Kita amalkan perintah agama, kita sederhana, toleransi dan bersaudara sesama Islam dan berbaik-baik dengan jiran tetangga bukan Islam.

Tapi kononnya kerana nak jadi lebih baik ada yang bertukar daripada Melayu yang toleransi kepada Arab yang memang terkenal sejak turun-temurun suka bergaduh dan berperang sampai negara terjajah.

Hargai tradisi kebudayaan

Jadi sangat tepatlah kita bagi perhatian kepada nasihat Duta Besar Libya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Dr Aref Ali Nayed, yang mahu masyarakat Islam di Asia Tenggara teruskan tradisi kebudayaan mereka yang unik daripada mengambil budaya Arab.

Dalam temuramah dengan stesen televisyen Channel NewsAsia, Singapura yang disiarkan pada 28 Mac lalu, dia berkata: "Saya rasa sudah tiba masanya Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei benar-benar menghargai tradisi yang diajar di sekolah-sekolah kecil dan kampung selama beberapa abad."

Katanya lagi: "Mengapa seorang Melayu perlu tinggalkan cara beliau berpakaian atau cara bercakap atau bahasa semata-mata untuk membuktikan beliau lebih Islam dengan menggunakan beberapa perkataan Arab?"

Dr Nayed adalah juga pengasas dan pengarah Institut Kajian dan Media Kalam di Tripoli, Libya. Dia datang ke Singapura untuk bagi ucapan berkenaan cara tumpas IS di Institut ISEAS-Yusof Ishak.

Itulah juga pesanan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar baru-baru ini yang ingatkan orang Melayu supaya berpegang kepada budaya mereka daripada terikut-ikut trend Arab.

Kunta Kinte setuju dengan kedua-dua saranan itu. Lagipun tak guna kita pakai macam tok Arab kalau perintah agama kita tak ikut. Malah lebih teruk daripada orang kafir. Wallahuaklam.

Penjelasan bijaksana rungkai permasalahan berkaitan Islam

SETIAP kali syarahan Dr Zakir Abdul Karim Naik diadakan, pasti mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran ribuan pendengar dari seluruh pelosok negara terdiri daripada yang beragama Islam serta pelbagai latar belakang agama seperti Kristian, Yahudi, Hindu, Buddha dan golongan berfahaman Atheis.

Pengalaman Dr Zakir yang popular dengan panggilan Dr Zakir Naik menyampaikan lebih 2,000 syarahan menyaksikan ramai pendengar bukan Islam akhirnya menganut agama Islam di tangan beliau.

Tidak kurang juga yang bersikap skeptikal menyanggah hujah diberikan. Bukan sekadar mencerca peribadi Dr Zakir, bahkan turut menuduh beliau menggunakan beberapa teknik memukau hadirin untuk mempercayai setiap apa diperkatakannya.

Bagaimanapun, melihat kepada ketokohan Dr Zakir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman telah mengundang beliau untuk hadir memberikan syarahan ilmiah di Terengganu seiring prinsip kelapan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) untuk Memperkasakan Pendidikan sekali gus merealisasi jolokan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu.

Dr Zakir dilahirkan di Mumbai pada 18 Oktober 1965, memiliki ijazah dalam bidang perubatan (Bachelor of Medicine and Bachelor of Surgery) dari University of Mumbai, India.

KEHEBATAN Dr Zakir menyampaikan syarahan membantu merungkai persoalan agama dalam diri masyarakat.

Beliau pernah berkhidmat sebagai doktor sebelum beralih ke bidang dakwah pada 1991.

Mengambil inspirasi daripada Almarhum Ahmad Deedat, beliau mulai aktif dalam bidang dakwah dengan memberi fokus kepada remaja Islam berpendidikan yang semakin meragukan agamanya serta menganggap Islam adalah agama kuno.

Miliki daya ingatan kuat


Beliau juga berpendapat menjadi tugas setiap individu Muslim untuk menghakis salah faham terhadap Islam serta menanggapi sikap berat sebelah Barat dalam menilai Islam yang sebenar. Gelaran sebagai Walking Computer telah dinisbahkan kepada Dr Zakir kerana keistimewaannya memiliki daya ingatan kuat.

Kebolehan berhujah dalam merungkai permasalahan perbandingan antara agama juga menyebabkan beliau digelar 'Deedat Plus' pada 1994.

Semua fakta dan ayat yang dinyatakannya secara bersahaja tanpa merujuk kepada sebarang teks.

Pada Mei 2005, beliau menerima anugerah daripada Ahmad Deedat yang terpahat padanya, 'Wahai anak muda, kamu hanya mengambil masa selama empat tahun untuk mencapai apa yang saya dapat capai dalam tempoh 40 tahun. Alhamdulillah'.

Setiap kali slot syarahan diadakan, menjadi kewajipan untuk beliau bersoal jawab bersama penonton dan pendekatan digunakan ialah sentiasa memuji mereka yang bertanyakan soalan meskipun ia dianggap remeh bagi sesetengah pihak.

Hindari perdebatan sia-sia

Sebarang cabaran perdebatan yang dianggap sia-sia dan tidak memberi manfaat kepada Islam akan sentiasa beliau hindari.

Ini dapat dilihat apabila beliau meletakkan syarat untuk mengumpulkan 10,000 orang apabila dicabar oleh seorang paderi berdebat di hadapan orang ramai.

Jika tidak, beliau menyarankan paderi itu berjumpa sahaja dengan anak muridnya yang akan menjawab semua persoalan.

Pada hemat beliau, kenapa perlu membazirkan masa berdebat dengan orang yang tidak mempunyai pengaruh, bahkan hanya akan membuatkannya terkenal sahaja.

Dr Zakir seorang yang sangat tegas dalam menjawab setiap soalan diajukan. Fokus soalan akan ditentukan terlebih dahulu kemudian dijawab tanpa sebarang celahan sehingga selesai.

Kebijaksanaan memberi analogi yang bersifat nyata dilihat sangat membantu hadirin memahami maksud yang ingin disampaikan. Pengetahuan manusia hanya terhad kepada pancaindera yang telah dikurniakan sahaja.

Beliau juga tidak mudah menyalahkan sesiapa apabila diajukan perkara yang beliau tidak arif kesahihannya.

Pandangan ini dapat dilihat ketika beliau membicarakan tragedi keruntuhan World Trade Centre pada 11 September 2001.

Apabila seluruh dunia menuding jari kepada Osama Laden, Dr Zakir mengambil pendekatan harmoni dengan mengatakan: "Siapapun yang menjadi dalang terbunuhnya 3,000 orang di WTC, maka dia bersalah. Allahlah yang akan mengadilinya, kerana membunuh orang yang tidak berdosa adalah haram hukumnya di dalam Islam."

Apabila soalan membabitkan hukum-hakam Islam pula, beliau tidak terus meletakkan sesuatu perkara itu adalah haram.

Bahkan beliau menggunakan pendekatan mengelakkan dosa yang lebih besar tanpa menghalalkan dosa lebih kecil.

Namun, beliau berdoa dan mengharapkan supaya dielakkan dosa besar terdahulu, iaitu mensyirikkan Allah SWT kemudian perlahan-lahan meninggalkan dosa lain yang lebih kecil.

Kesimpulannya, Islam bukanlah seperti cerita Islamophobia yang digembar-gemburkan oleh media massa Barat.

Islam juga bukan diukur melalui individu Muslim yang sering melakukan dosa dan silap.

Berpegang teguh kepada al-Quran dan sunah, nescaya akan ditemukan kebenaran serta panduan. Apabila diri sendiri tidak mampu menemukan jawapan, maka carilah pakar yang boleh membantu seperti firman Allah SWT bermaksud: "Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui." (Surah an-Nahl, ayat 43)

Rungkai persoalan agama

Sehubungan itu, usaha kerajaan Terengganu menganjurkan program Dr Zakir Naik Terengganu Tour bermula 9 hingga 14 April ini baik bagi merungkai persoalan agama yang berlegar dalam masyarakat Malaysia amnya dan rakyat Terengganu khasnya.

Empat siri syarahan Dr Zakir akan berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak pada jam 9 malam Ahad ini dan di Masjid Pusat Islam Sultan Mahmud, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada jam 10 pagi Isnin.

Selain itu, syarahan umum di Sekolah Menengah Imtiaz, Besut pada jam 9 malam Selasa diikuti di Padang Astaka Kemaman pada jam 9 malam Khamis.